Anda di halaman 1dari 20

KURSUS PIFA DAN PMET: KEBAIKAN DAN KEBURUKAN DALAM

MENJADIKAN KURSUS INI SEBAGAI SYARAT KENAIKAN PANGKAT

Sinopsis
Kenaikan pangkat merupakan satu anugerah dan pengiktirafan yang diberikan oleh
perkhidmatan terhadap kompetensi diri anggota untuk terus berkhidmat dengan
cemerlang serta mengembangkan potensi diri mereka. Pangkat juga membuktikan
bahawa seseorang itu sudah layak untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan
mampu membimbing ‘man’ di bawah seliaannya dan ‘machine’ di bawah jagaannya.
Bagi menjaga kualiti dan prestij anggota, ATM telah menetapkan bahawa Kursus PIFA
dan PMET sebagai modul yang perlu dihadiri oleh semua peringkat anggota sebelum
mereka layak untuk dinaikkan pangkat. Kursus ini adalah selari dengan hasrat pucuk
pimpinan ATM iaitu bagi melahirkan perajurit yang bukan sahaja hebat di medan
pertempuran malah mampu menjadi modal insan yang baik budi pekertinya di samping
dapat membangunkan’spiritual combat power’. Oleh itu, esei ini akan membincangkan
kebaikan dan keburukan kursus PIFA dan PMET yang perlu dihadiri oleh anggota LLP
bagi memenuhi syarat kenaikan pangkat. Dapatan akhir mendapati bahawa
penambahbaikan kursus PIFA dan PMET harus dilaksanakan dari semasa ke semasa
bagi mengekalkan ‘output’ yang dihasilkan sentiasa berkualiti seiring dengan peredaran
masa serta mampu menjamin keutuhan TD khasnya dan ATM amnya.

“’Spiritual combat power’ dapat dibangunkan melalui penerapan prinsip


agama, moral positif dan komitmen terhadap harga diri insan. Ia menyuburkan
rohani seseorang dan mencegah mereka daripada melakukan kejahatan secara
menyeluruh. Nilai-nilai ini perlu dipupuk secara berkesinambungan untuk
mengekalkan tingkah laku yang terbaik dalam diri seseorang"
Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal
Panglima Angkatan Tentara Malaysia Ke-14
Marksman: The Target for the Malaysian Army

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakarkan sejarah apabila buat julung kalinya

telah mengadakan Perbarisan Pemakaian Pangkat Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP)

bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 21 Februari

2013. (MATM, 2013) Perbarisan pemakaian pangkat yang gilang-gemilang dan bersejarah ini

melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan di dalam ATM telah disempurnakan oleh

Menteri Pertahanan ketika itu. Perbarisan melibatkan seramai 1,580 orang anggota LLP yang

telah dinaikkan pangkat ke Lans Koperal dan Koperal berasaskan kepada sistem time based.

Sudah tentu ia mengukirkan kenangan manis dalam lipatan hidup anggota-anggota terbabit

kerana pengorbanan dan jasa mereka dihargai oleh perkhidmatan dengan kenaikan pangkat

tersebut.

1
Sesungguhnya setiap pangkat yang diberikan kepada anggota mempunyai syarat-

syarat yang tersendiri dan harus dipenuhi oleh seseorang anggota bagi memastikan mereka

kompeten dan berpengetahuan terhadap sesuatu tugas yang diamanahkan kepada mereka.

Justeru syarat-syarat perkhidmatan telah ditetapkan oleh ATM kepada anggota untuk

menghadiri kursus-kursus kerjaya dan fungsional tertentu serta memenuhi tempoh

perkhidmatan yang ditetapkan bagi membolehkan mereka mengisi sesuatu perjawatan khusus

yang melayakkan mereka untuk dinaikkan pangkat. Namun disebabkan masalah kekurangan

kekosongan perjawatan telah menyebabkan ramai anggota tidak dapat dinaikkan pangkat

sehinggalah sistem time based diperkenalkan bagi merungkaikan masalah berkenaan.

Melalui sistem kenaikan pangkat time based, anggota-anggota yang telah mencukupi

tempoh perkhidmatan tertentu akan diberikan kenaikan pangkat walaupun kekal di perjawatan

sedia ada dengan syarat tambahan yang memerlukan mereka lulus dalam sama ada dalam

ujian Pendidikan Islam dan Fardu Ain (PIFA) atau Pendidikan Moral dan Etika Tentera

(PMET). Keperluan kursus PIFA dan PMET ini dijustifikasikan bagi pengukuhan disiplin

serta jati diri anggota yang selayaknya dipikul dengan pangkat yang akan disandang oleh

mereka. Susulan matlamat murni pengenalan kursus PIFA dan PMET tersebut, ATM telah

memperluaskan peranannya dengan mewajibkan kelulusannya bagi tujuan kenaikan pangkat

hakiki juga. Implementasi ini menggambarkan bahawa ATM secara serius telah menjadikan

PIFA dan PMET sebagai wadah kepada pembangunan afektif di kalangan anggotanya.

Walau bagaimanapun, kursus PIFA dan PMET dilihat mempunyai kebaikan dan

keburukan tersendiri apabila dijadikan sebagai syarat kenaikan pangkat anggota.

Bagi membincangkan kebaikan dan keburukan kursus PIFA dan PMET sebagai syarat

kenaikan pangkat, maka esei ini akan distrukturkan seperti berikut: pertama, transformasi

2
sistem kenaikan pangkat dalam ATM; kedua, pengenalan PIFA; ketiga, pengenalan PMET;

keempat, kebaikan kursus PIFA dan PMET; dan terakhir, keburukan kursus PIFA dan PMET.

Di akhir esei ini, rumusan keseluruhan akan diberikan berkaitan kebaikan dan keburukan

kursus PIFA dan PMET terhadap syarat kenaikan pangkat anggota ATM.

Transformasi Sistem Kenaikan Pangkat dalam ATM. Menurut Zainal (2020),

kenaikan pangkat merupakan suatu promosi kepada pekerja untuk terus berusaha dengan lebih

gigih lagi dalam pekerjaan mereka. Selain itu, promosi kenaikan pangkat juga mampu

mengembangkan motivasi dan semangat diri pekerja bagi meningkatkan kompetensi diri,

semangat bekerja, serta membina kesetiaan kepada kepimpinan serta organisasi pekerjaannya.

Begitu juga bagi anggota ATM, di mana kenaikan pangkat merupakan satu anugerah dan

pengiktirafan yang diberikan oleh perkhidmatan dan kerajaan Malaysia terhadap kompetensi

diri anggota untuk terus berkhidmat dengan cemerlang serta mengembangkan potensi diri

mereka. Malahan upacara pemakaian pangkat anggota tentera secara tradisinya dilakukan

secara formal dalam sesuatu perbarisan telah menjadikannya lebih bermakna serta dihargai.

Kerajaan Malaysia sentiasa prihatin dengan kebajikan kakitangan perkhidmatan awam

dengan sentiasa mengkaji sistem penggajian mereka dari semasa ke semasa. Sistem Saraan

Malaysia (SSM) telah diguna pakai dalam Sistem Perkhidmatan Awam sejak tahun 2002.

Bermula Januari 2011, SSM telah ditukarkan kepada Saraan Baru Perkhidmatan Awam

(SBPA). Hasil kajian dan penambahbaikan ke atas SBPA menyebabkan beberapa skim telah

ditambah baik. Ini termasuklah skim kenaikan pangkat secara time based yang telah diberikan

kepada ATM di mana sebelum ini hanya perkhidmatan awam yang lain sahaja yang

mengguna pakai skim ini. (JPA, 2011) Khabar gembira ini telah mencetuskan keterujaan

kepada seluruh peringkat warga ATM, di mana dalam skim baru ini telah membolehkan

3
warga tentera merasai impak penambahbaikan yang telah diumumkan. Semua anggota ATM

telah mendapat nafas baru yang boleh diibaratkan sebagai durian runtuh kerana mempunyai

syarat yang mudah untuk kenaikan pangkat secara time based. Dalam masa yang sama, ia

juga boleh disifatkan sebagai suatu keuntungan kepada ATM kerana pangkat time based ini

tidak menjejaskan perjawatan sedia ada kerana pangkat boleh dipakai oleh anggota di

perjawatan sedia ada tanpa perlu menunggu kekosongan perjawatan lain. Penambahbaikan

ini dilihat mampu menyuntik semangat warga ATM untuk terus bekerja dengan penuh

dedikasi, bermotivasi dan komited.

Bagi anggota LLP, kelebihan yang diperoleh hasil daripada penambahbaikan skim

perkhidmatan ini ialah kenaikan pangkat secara time based bagi Lans Koperal dan Koperal.

Bagi kenaikan pangkat Lans Koperal, anggota mestilah telah berkhidmat selama lima tahun.

Manakala bagi kenaikan pangkat Koperal pula, anggota mestilah telah berkhidmat sekurang-

kurangnya selama lapan tahun. Walau bagaimanapun, syarat kenaikan pangkat secara time

based ini menetapkan bahawa selain keperluan untuk anggota menghadiri kursus kerjaya

mengikut kor dan tred masing-masing, mereka juga perlu menghadiri serta lulus kursus PIFA

dan PMET sebagai syarat kekompetenan yang ditetapkan. (JPA, 2013) Susulan itu, syarat

kenaikan pangkat yang memerlukan kelulusan kursus PIFA dan PMET ini seterusnya

diperluaskan oleh ATM untuk kenaikan pangkat semua peringkat anggota LLP bagi

perjawatan hakiki. (PMAT 1/2013) Syarat ini diperkenalkan dengan matlamat untuk

membentuk dan meningkatkan kewibawaan anggota agar sentiasa berdisiplin, memiliki jati

diri, serta berketerampilan tentera sesuai dengan pangkat dan tanggungjawab yang disandang

oleh mereka.

4
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa skim penggajian yang disediakan oleh kerajaan

kepada ATM melalui SBPA bukan sahaja memberi peluang yang mudah untuk kenaikan

pangkat kepada anggota, malahan turut menyuntik semangat kepada anggota untuk terus

berkhidmat dengan lebih efisien dan komited. Secara tidak langsung ia juga mampu

mengurangkan kerentanan ATM terhadap risiko pemberhentian awal anggota daripada

perkhidmatan.

Pengenalan PIFA. Kenaikan pangkat secara time based di dalam SBPA telah

menyebabkan berlakunya perubahan di dalam laluan kerjaya anggota LLP. Majlis Angkatan

Tentera yang bersidang pada 31 Januari 2013 telah memperakui bahawa skim kenaikan

pangkat secara time based akan diguna pakai di dalam ATM. Namun begitu, skim tersebut

telah menetapkan kelulusan kursus PIFA sebagai syarat kekompetenan bagi anggota yang

beragama Islam untuk dinaikkan pangkat bermula tahun 2013. Seterusnya, syarat ini

diperluaskan kepada semua peringkat anggota LLP untuk tujuan kenaikan pangkat.

Dalam masa yang sama, syarat kekompetenan ini mempunyai tujuannya yang

tersendiri dan bukan semata-mata sebagai syarat untuk kenaikan pangkat kepada anggota.

Melalui penerapan pengetahuan agama Islam dan fardu ain, kursus ini sebenarnya bertujuan

untuk melahirkan modal insan yang berdaya juang dan berdaya saing tinggi bagi menempuh

cabaran masa kini serta dapat menjadi contoh tauladan kepada anggota bawahan. (Bujai &

Hashim, 2015) Selain itu, kursus yang bermula pada tahun 2008 ini dikendalikan oleh Kor

Agama Angkatan Tentera (KAGAT) sebagai suatu bentuk instrumen bagi meningkatkan dan

melaksanakan Dasar Pembinaan Mental dan Kerohanian Islam ATM berpandukan kepada

PMAT 9/91, iaitu bagi membolehkan anggota ATM menerima pendidikan Islam Fardu Ain

secara bertahap di sepanjang perkhidmatan mereka. (KAGAT, 2008)

5
Menurut Nawawi (2020), pelaksanaan kursus PIFA dibuat dalam lima tahap

berdasarkan pangkat yang berbeza, iaitu bermula daripada Tahap 1 hingga Tahap 5, iaitu:

Tahap 1 untuk Prebet dan setaraf bagi kenaikan pangkat ke Lans Koperal; Tahap 2 untuk Lans

Koperal bagi kenaikan pangkat ke Koperal; Tahap 3 Koperal bagi kenaikan pangkat ke Sarjan

dan Staf Sarjan; Tahap 4 untuk Staf Sarjan bagi kenaikan pangkat ke Pegawai Waran Dua;

dan Tahap 5 bagi Pegawai Waran Dua untuk kenaikan pangkat ke Pegawai Waran Satu.

Beliau juga menegaskan bahawa penerapan pengetahuan dan ilmu teras pendidikan Islam

melalui kursus PIFA adalah signifikan dengan matlamat pembangunan spiritual combat

power di kalangan anggota beragama Islam.

Dalam aspek pelaksanaan, kursus PIFA telah ditetapkan dijadualkan pembelajarannya

selama satu minggu. Walau bagaimanapun, sekiranya pasukan menghadapi kesukaran untuk

melaksanakan kursus dalam tempoh tersebut, maka ia boleh dilaksanakan secara fleksibel,

iaitu berdasarkan kesesuaian masa dan lokasi pasukan masing-masing dengan syarat ia perlu

memenuhi jumlah waktu bagi setiap modul yang telah ditentukan bagi setiap tahap kursus

berkenaan. Selain itu, jumlah kursus dan tahap kursus yang akan dianjurkan juga bergantung

kepada keperluan pasukan masing-masing. Pencalonan peserta kursus adalah berdasarkan

kepada pangkat semasa dan tahap kelayakan anggota yang terlibat, namun prioriti diberikan

kepada anggota yang telah layak untuk kenaikan pangkat seterusnya.

Jabatan Arah KAGAT telah dipertanggungjawabkan untuk mengkoordinasi dan

merancang pelaksanaan kursus PIFA. Kursus mendapat bimbingan daripada pegawai dan

anggota KAGAT yang telah menghadiri Kursus Kejurulatihan PIFA yang dianjurkan oleh

Jabatan Arah KAGAT. Antara kandungan modul PIFA ialah Pengajian Akidah, Pengajian

6
Syariah, Pengajian Akhlak, Pengajian Al-Quran dan Hadis, serta Pengajian Pengukuhan

Pendidikan Islam. Setiap anggota yang menghadiri kursus PIFA perlu menduduki ujian PIFA

di akhir kursus berkenaan. Ia bertujuan untuk mengetahui sejauh mana tahap penerimaan

anggota terhadap pembelajaran mereka. Dalam masa yang sama, ia juga dapat mengenal pasti

sama ada anggota lulus ataupun gagal dalam kursus ini. Seterusnya penganjur kursus akan

mengeluarkan sijil kursus kepada peserta kursus yang layak bagi tujuan bukti dokumentasi

untuk proses kenaikan pangkat mereka.

Kesimpulannya, apa yang dihasratkan oleh pucuk pimpinan ATM dengan mewajibkan

kursus ini kepada anggota telah tercapai dengan jayanya berpandukan kepada keputusan ujian

PIFA. Ternyata kursus ini juga mampu memberikan ilmu teras pendidikan Islam yang dapat

digunakan dan diamalkan oleh anggota untuk menjadikan mereka sebagai seorang pemimpin

di peringkat rendah serta berakhlak mulia. Di samping itu, pembentukan nilai-nilai murni

dapat disuburkan dalam diri anggota bagi menjadikan mereka sebagai anggota tentera yang

berwibawa dan seterusnya dapat membangunkan spiritual combat power modal insan ATM.

Pengenalan PMET. Kursus PMET mula diperkenalkan kepada semua anggota di

bawah Pemerintahan Medan Tentera Darat (PMTD) pada tahun 2006 susulan peningkatan kes

perlanggaran disiplin, gejala sosial yang memudaratkan, dan jenayah bagi tempoh 2001

hingga 2005. Kursus ini diilhamkan dengan hasrat untuk membangunkan satu ketumbukan

angkatan medan yang bukan sahaja mampu mempertahankan kedaulatan Malaysia, malahan

mampu menonjolkan jati diri tentera yang konkrit melalui pembudayaan nilai-nilai moral dan

etika ketenteraan yang sebenar-benarnya oleh para anggotanya. Objektif kursus ini terhadap

anggota adalah untuk menyuburkan sifat-sifat yang berakhlak mulia dalam kehidupan,

mempamerkan etika profesion ketenteraan dalam perlaksanaan seharian dan melahirkan

7
modal insan yang memiliki pegangan moral yang kuat. (Zubir, 2020) Dalam masa yang sama

kursus PMET juga diharapkan agar dapat membentuk perwatakan yang baik dan positif di

kalangan anggota tentera yang seterusnya dapat menyumbang kepada kejayaan organisasi dan

keharmonian keluarga serta masyarakat.

Pada peringkat awal pelaksanaan kursus PMET, semua anggota PMTD, iaitu

beragama Islam dan bukan Islam, diwajibkan untuk menghadiri kursus ini. Namun, setelah

PIFA diperkenalkan pada tahun 2008, kursus PMET telah dikhususkan hanya kepada anggota

bukan Islam. Pada tahun 2013, pelaksanaan kursus PMET telah diperluaskan di peringkat

ATM tetapi hanya dikhususkan kepada anggota bukan Muslim, di mana ia digunakan untuk

memenuhi syarat kekompetenan bagi sistem kenaikan pangkat time based. Menyedari

kepentingan pembangunan spiritual combat power di kalangan anggota tentera, maka

kepimpinan tertinggi ATM kemudiannya telah mewajibkan kursus PMET bagi semua anggota

bukan Islam sebagai syarat kenaikan pangkat mereka (PMAT 1/2013). Bagi tujuan

koordinasi dan perancangan pelaksanaannya, kursus PMET telah dipertanggungjawabkan

kepada Jabatan Arah Pendidikan.

Jabatan Arah Pendidikan seterusnya mengambil langkah proaktif untuk

memperkasakan pelaksanaan kursus PMET dengan menyediakan lima modul kursus bagi

memenuhi keperluan lima tahap anggota yang diperlukan seperti kursus PIFA, iaitu dari

Tahap 1 bagi Prebet dan setaraf sehinggalah Tahap 5 bagi PW2. Modul bagi setiap tahap

direka bentuk dengan 21 nilai moral dan etika ketenteraan yang sama tetapi mempunyai aras

pembelajaran yang berbeza berdasarkan Taksonomi Bloom iaitu pengetahuan, pemahaman,

aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Bagi tujuan keberkesanan proses pengajaran PMET,

8
Jabatan Arah Pendidikan telah memperkenalkan Kursus Fasilitator PMET kepada Pegawai

dan Jurulatih Pendidikan bagi melayakkan mereka menjadi Fasilitator PMET.

Bagi tujuan pelaksanaan kursus PMET, markas-markas formasi dalam ATM telah

diberi tanggungjawab untuk merancang dan melaksanakannya di peringkat masing-masing

bersesuaian dengan keperluan anggota di bawah naungan mereka. Pelaksanaannya

mengambil masa empat hari bagi memenuhi keperluan sukatan pelajaran PMET yang

ditetapkan untuk setiap tahap tertentu. Ujian PMET akan dikendalikan oleh Jabatan Arah

Pendidikan di akhir setiap kursus untuk memastikan bahawa anggota telah menguasai nilai-

nilai moral dan etika ketenteraan yang ditetapkan untuk setiap tahap. Sijil kelulusan PMET

juga akan dikeluarkan oleh Jabatan Arah Pendidikan bagi kegunaan anggota dalam

dokumentasi kenaikan pangkat mereka.

Berdasarkan kepada validasi yang dilakukan di setiap akhir kursus, kursus PMET

dilihat telah berjaya mencapai objektifnya bagi pengukuhan jiwa tentera dan pembangunan

spiritual combat power di kalangan anggota bukan Islam. Malahan terdapat syor-syor yang

diajukan oleh pelbagai pihak agar kursus PMET turut disertai oleh anggota beragama Islam

kerana kandungan kursus yang menjurus secara langsung kepada pembinaan moral dan etika

ketenteraan. Ia juga tidak dapat disangkal apabila kajian yang dilakukan oleh Jabatan Arah

Pendidikan mendapati terdapat pengurangan yang ketara dari semasa ke semasa dalam-kes-

kes perlanggaran disiplin dan tatatertib, serta perlakuan jenayah di kalangan anggota bukan

Islam dalam tempoh semenjak kursus PMET diperkenalkan.

Secara konklusinya, kursus PMET terbukti mampu membentuk keperibadian anggota

agar mempunyai sahsiah yang terpuji dan mampu menjadi modal insan yang berketerampilan

9
serta kompeten seiring dengan pangkat dan jawatan yang disandang oleh mereka.

Penyuburan amalan nilai-nilai moral dan etika tentera dalam konteks persekitaran organisasi,

masyarakat dan keluarga mampu mewujudkan keharmonian kehidupan masyarakat tentera

serta membangunkan spiritual combat power warga ATM.

Kebaikan Kursus PIFA dan PMET. Penetapan kursus PIFA dan PMET sebagai

syarat kenaikan pangkat telah diputuskan oleh kepimpinan ATM dengan mengambil kira

pelbagai kebaikan dan kepentingannya. Antara kebaikan yang diperhatikan ialah bagi

pembangunan spiritual combat power, pembinaan akhlak dan jiwa tentera yang unggul, dan

pembentukan masyarakat madani.

Pembangunan spiritual combat power. Kuasa tempur (combat power) merupakan

suatu faktor yang amat signifikan dengan kemampuan sesuatu ketumbukan tentera untuk

mencapai kejayaan dalam operasi atau memenangi peperangan. Mengikut doktrin TDM,

kuasa tempur melibatkan tiga elemen utama iaitu manoeuvre, kuasa tembakan dan morale

(semangat). Di sebalik pelaksanaan latihan ketenteraan, sama ada latihan individu atau

latihan kelompok, yang lebih tertumpu kepada pembangunan pengetahuan dan kemahiran

ketenteraan bagi meningkatkan kemampuan elemen manouevre dan kuasa tembakan, kursus

PIFA dan PMET dilihat amat signifikan dalam aspek pembangunan afektif bagi membina

kekuatan morale anggota. Modul PIFA dan PMET telah direka bentuk untuk mengukuhkan

kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan rohani (SQ) anggota, iaitu berkait rapat dengan

kekuatan afektif atau jiwa, bagi menyemai semangat juang yang tinggi dan daya tahan diri

yang kental. Kekuatan afektif inilah yang akan membangunkan spiritual combat power

secara keseluruhannya dalam sesuatu ketumbukan tentera untuk memastikan anggota

memiliki dan sentiasa mengekalkan morale yang tinggi bagi mencapai kejayaan dalam

10
sesuatu pertempuran atau operasi. Oleh itu, dengan pengenalan kursus PIFA dan PMET

kepada anggota, maka ia akan melengkapi ke semua domain pembelajaran anggota yang

meliputi domain pengetahuan, afektif dan psikomotor bagi mencapai matlamat kuasa tempur

yang signifikan dalam ketenteraan.

Pembinaan akhlak dan jiwa tentera yang unggul. Pendidikan akhlak merupakan salah

satu dari lima kategori pendidikan yang telah digariskan oleh ATM dalam visinya menjadi

sebuah angkatan yang versatil dalam abad ke-21. Matlamat pendidikan akhlak adalah untuk

menyemai pengetahuan dan pengalaman baru ke arah pembentukan karakter dan jiwa tentera

anggota unggul dalam organisasi, masyarakat serta sistem sosial. (Kementerian Pertahanan,

2003) Salah satu daripada usaha pencapaiannya dapat direalisasikan melalui pelaksanaan

kursus PIFA dan PMET. Kedua-dua kursus ini memiliki komitmen dalam membentuk

keperibadian dan keterampilan anggota ke arah pengamalan nilai-nilai murni dan pengukuhan

rohani dalam menjalani kehidupan seharian sebagai anggota tentera. Justeru itu, sesuailah

dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh pucuk pimpinan ATM melalui PMAT Bilangan 1

Tahun 2013 yang berkehendakkan anggota LLP menghadiri kursus PIFA dan PMET sebagai

syarat kenaikan pangkat agar anggota yang dinaikkan pangkat mempunyai keperibadian diri

berteraskan kepada pegangan agama serta nilai moral dan etika ketenteraan. Hal ini penting

bagi menjamin seseorang anggota yang akan dinaikkan pangkat boleh menjadi role model

dari segenap aspek tahap kepimpinannya termasuklah penampilan akhlak dan sahsiah dirinya

kepada anggota lain. Hal ini secara tidak langsung mampu mengurangkan dari berlakunya

kes-kes kontra disiplin serta perlanggaran tatatertib di pasukan serta sentiasa terpelihara

daripada melakukan perkara-perkara yang boleh melanggar batasan agama dan melampaui

garis moral yang boleh mencalarkan imej mereka sebagai seorang warga tentera.

11
Pembentukan masyarakat madani. Domain afektif dalam pembelajaran PIFA dan

PMET adalah amat signifikan dalam bidang ketenteraan, iaitu tidak seperti perkhidmatan

awam yang lain, untuk dijadikan syarat kekompetenan bagi kenaikan pangkat disebabkan

kepentingannya untuk membangunkan spiritual combat power serta pembentukan jiwa tentera

yang unggul. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa PIFA dan PMET bukanlah

sesuatu yang terlalu sukar pembelajarannya kerana ia sememangnya merupakan sebahagian

daripada kurikulum pembelajaran yang pernah dipelajari oleh anggota di sekolah sebelum ini,

iaitu sama ada dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Moral.

Malahan pembelajaran nilai-nilai murni dan kerohanian turut dimasukkan dalam subjek-

subjek lain oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan pembentukan

masyarakat madani yang bersesuaian dengan Prinsip Rukun Negara. (KPM, 1979) Sebagai

warga tentera, seseorang anggota tentera itu selayaknya menjadi role model kepada

masyarakat awam keseluruhannya untuk menjunjung Prinsip Rukun Negara setinggi-

tingginya. Di samping itu warga tentera juga bertanggungjawab memikul janji sumpah setia

mereka yang dilafazkan melalui Ikrar Kesateria tanpa berbelah bahagi. Oleh itu,

pembelajaran PIFA dan PMET ini dilihat sebagai suatu konsep pembelajaran sepanjang hayat

yang diimplementasikan oleh ATM terhadap anggotanya dalam menerapkan nilai-nilai murni

dan kerohanian yang berterusan dalam diri anggota bagi menjadi warga negara dan warga

tentera yang setia kepada negara dan perkhidmatan ini. Maka bertepatanlah ia dijadikan

sebagai syarat kenaikan pangkat kepada semua anggota LLP bagi tujuan pembentukan

masyarakat madani.

Secara konklusinya, implikasi positif daripada kewajipan menghadiri kursus PIFA dan

PMET terjurus kepada penambahbaikan organisasi ATM dalam membentuk jati diri

anggotanya yang kental jiwa ketenteraan mereka serta berakhlak dan berkeperibadian yang

12
baik. Seterusnya, pengukuhan domain afektif anggota melalui pembelajaran PIFA dan PMET

bukan sahaja dapat memenuhi aspirasi ATM dalam pembangunan spiritual combat power,

malahan turut dapat memenuhi aspirasi negara dalam pembentukan masyarakat madani.

Keburukan Kursus PIFA dan PMET. Walaupun telah digariskan beberapa kebaikan

kursus PIFA dan PMET sebagai syarat kenaikan pangkat, namun didapati terdapat juga

beberapa kelemahan yang difikirkan perlu untuk ditambahbaikkan untuk tujuan berkenaan.

Beberapa faktor yang menampakkan kelemahan terhadap penganjuran kursus ini adalah

berkenaan ketidakpastian pencapaian matlamat, ketidakseragaman syarat kekompetenan, serta

kredibiliti dan integriti ujian.

Ketidakpastian pencapaian matlamat. Mengikut model Knowledge-Attitude-Practice,

pertambahan pengetahuan seseorang individu mampu mempengaruhi perubahan tingkah

lakunya. Pembentukan tingkah laku (practice) seseorang dikatakan terhasil daripada domain

afektif (attitude) apabila seseorang itu menilai sesuatu tindakan mereka sebagai penilaian

moral yang baik atau buruk. Penilaian moral tersebut pula bersandarkan kepada pengetahuan

(knowledge) individu berkenaan sama ada ia diperoleh melalui pembelajaran formal, tidak

formal atau pengalaman. (Siltrakool, 2017)

Apabila kepimpinan ATM memutuskan untuk menjadikan kursus PIFA dan PMET

sebagai syarat kenaikan pangkat, ia bermakna ATM begitu komited untuk memastikan

anggota mereka mempunyai tingkah laku yang sebenar-benarnya berjiwa tentera, iaitu

berdisiplin dan bertatatertib, berjiwa tentera unggul, berakhlak baik, dan bermoral tinggi.

Pengetahuan yang diperoleh daripada kursus berkenaan diharapkan akan dapat membentuk

sikap positif kepada anggota dan seterusnya diamalkan oleh mereka untuk bertingkah laku

13
baik dalam kehidupan harian. Namun timbul persoalan terhadap kemampuan pembelajaran

PIFA dan PMET bagi membina tingkah laku baik berkenaan kerana tiada pemantauan dan

penilaian susulan yang dilakukan selepas anggota menamatkan kursus. Terdapat juga

kemungkinan bahawa anggota yang lulus ujian PIFA atau PMET, namun masih

mempamerkan tingkah laku negatif. Ia boleh berlaku jika seseorang anggota mempunyai

kemampuan pembelajaran kognitif yang baik dan mampu menjawab soalan ujian dengan

baik, namun pembelajaran afektifnya lemah yang menyebabkan mereka tidak dapat menjiwai

atau menghayati pengetahuan yang dipelajari dan seterusnya menghalang berlakunya

perubahan tingkah laku yang baik. Oleh demikian, kursus PIFA dan PMET boleh dikira

gagal memenuhi matlamat penetapan syarat kekompetenan anggota bagi kenaikan pangkat.

Untuk tujuan penambahbaikan, validasi luaran boleh dibuat, misalnya selepas enam bulan,

dengan melibatkan penilaian pemerintah atau penyelia anggota terhadap tingkah laku mereka

berdasarkan objektif kursus yang ditetapkan sebelum melayakkan mereka untuk dinaikkan

pangkat.

Ketidakseragaman syarat kekompetenan. Seterusnya, terdapat persoalan di kalangan

anggota yang mempertikaikan keperluan untuk memenuhi syarat kenaikan pangkat yang

berbeza disebabkan oleh faktor agama. Ini berpunca daripada ketetapan syarat kekompetenan

yang dibuat kepada anggota Muslim untuk mengikuti kursus PIFA, manakala anggota bukan

Muslim pula mengikuti kursus PMET. Walaupun matlamat kursus adalah sama, namun

objektif dan kaedah pembelajaran kursus-kursus berkenaan adalah berbeza kerana perbezaan

kurikulum bagi kursus-kursus berkenaan. Tahap kesukaran pembelajaran atau ujiannya juga

mungkin berbeza yang boleh mengundang kepada ketidakpuasan hati anggota jika berlaku

kegagalan dalam kursus yang dihadiri mereka, dan seterusnya akan menghalang kenaikan

pangkat mereka.

14
Sememangnya dimaklumi bahawa kursus PIFA adalah berteraskan kepada

pembelajaran Pendidikan Agama Islam, maka PIFA diakui hanya sesuai untuk penyertaan

anggota Muslim. Sebaliknya, PMET yang berteraskan Pendidikan Moral dilihat mempunyai

kurikulum yang sesuai kepada semua anggota tanpa mengira agama kerana ia menerapkan

nilai-nilai moral dan etika ketenteraan yang bersesuaian dengan Prinsip Rukun Negara dan

Ikrar Kesatria. Oleh itu, untuk bersikap lebih adil kepada semua anggota, ATM sewajarnya

dapat menyeragamkan syarat kekompetenan bagi kenaikan pangkat anggota dengan hanya

memilih keperluan menghadiri kursus PMET sahaja kerana ia dapat disertai oleh semua

anggota. Dalam masa yang sama, keseragaman syarat kekompetenan ini juga dapat

memastikan matlamat pembangunan jiwa tentera di kalangan anggota akan lebih jelas dalam

aspek kaedah dan fokusnya.

Kredibiliti dan integriti ujian. Selain itu, ujian bagi kursus PIFA dan PMET juga

dikendalikan oleh pihak yang berbeza, di mana ujian PMET dikendalikan oleh Jabatan Arah

Pendidikan, manakala ujian PIFA oleh Jabatan Arah KAGAT. Persoalannya, tanpa

mempunyai kawalan kualiti ujian yang seragam, adakah soalan ujian itu benar-benar telus

bagi menepati kualiti peperiksaan dan mampu mengidentifikasikan keberhasilan peserta

kursus tersebut. Ia menimbulkan kemungkinan berlakunya perbezaan tahap kesukaran soalan

yang disediakan untuk kedua-dua kursus berkenaan, di mana seterusnya akan menyebabkan

ketidakadilan kepada anggota-anggota yang berkepentingan tersebut. Kerahsiaan soalan dan

integriti ujian juga turut dipertikaikan kerana terdapat kes-kes kebocoran soalan di kalangan

anggota tertentu atau penggunaan soalan yang sama dan berulang bagi setiap tahap kursus

berkenaan. Hal-hal berkenaan akan menjejaskan kredibiliti kursus PIFA dan PMET sebagai

syarat kekompetenan bagi kenaikan pangkat anggota. Oleh itu, bagi meningkatkan ketelusan

15
dan integriti ujian PIFA dan PMET yang dilaksanakan, pengendalian ujian perlu diperkemas

dan bilangan set soalan perlu diperbanyakkan. Pengendalian ujian juga perlu diselaraskan

oleh satu pihak yang khusus dan bukannya dikendalikan oleh penganjur-penganjur kursus.

Secara konklusinya, kelemahan-kelemahan penggunaan kursus PIFA dan PMET

sebagai syarat kenaikan pangkat memerlukan penambahbaikan dalam aspek penilaian

pencapaian matlamat, penyeragaman syarat kekompetenan dan peningkatan kredibiliti

ujiannya. Melalui pertimbangan dan penambahbaikan aspek-aspek berkenaan, maka dapat

dilihat bahawa kursus PIFA dan PMET akan menjadi lebih relevan bagi memenuhi keperluan

sistem kenaikan pangkat anggota.

Kesimpulannya, kursus PIFA dan PMET sememangnya mempunyai kebaikan

dan keburukan tersendiri apabila dijadikan sebagai syarat kenaikan pangkat anggota.

Namun pada hakikatnya, ia perlu dilaksanakan oleh ATM sebagai syarat kekompetenan

anggota LLP untuk kenaikan pangkat mereka, iaitu sebagaimana yang ditetapkan oleh

kerajaan dalam mengimplementasikan transformasi skim perkhidmatan awam melalui SBPA.

SBPA yang dilihat bersifat dinamik dan progresif ini telah menawarkan peluang kenaikan

pangkat yang lebih terbuka kepada warga tentera, terutamanya bagi skim kenaikan pangkat

time based. Ia bukan sahaja telah mencetuskan semangat kepada anggota untuk terus

berkhidmat dengan lebih komited dan efektif, malahan turut mengurangkan kerentanan ATM

terhadap risiko pemberhentian awal di kalangan anggota.

Kerelevanan ATM menjadikan kursus PIFA dan PMET sebagai syarat kenaikan

pangkat adalah berteraskan kepada kemahuannya untuk menyuburkan domain afektif

warganya melalui pembangunan spiritual combat power dan jiwa tentera unggul. Untuk

16
tujuan tersebut, kurikulum kedua-dua kursus berkenaan telah direka bentuk untuk menerapkan

nilai-nilai murni moral dan etika ketenteraan, serta pengukuhan rohani ke dalam jiwa anggota.

Ia diharapkan dapat menyerlahkan akhlak dan keperibadian terpuji anggota dalam tingkah

laku seharian mereka yang merangkumi persekitaran organisasi, masyarakat, dan sistem

sosial.

Tidak seperti latihan ketenteraan yang kebiasaannya lebih tertumpu pada

pembangunan pengetahuan dan kemahiran, kursus PIFA dan PMET dilihat mampu

melengkapi keperluan pembangunan modal insan ATM dalam aspek pembangunan sikap

(attitude) anggota melalui pendekatan afektif. Ia dilihat telah memberi impak positif melalui

penyuburan pengetahuan dan sikap ke arah pembentukan karakter yang berakhlak dan berjiwa

tentera unggul. Ia juga amat signifikan dengan pembangunan spiritual combat power untuk

memastikan anggota memiliki dan sentiasa mengekalkan morale yang tinggi dalam apa jua

situasi. Selain itu, kursus ini juga dilihat berkemampuan memupuk kesetiaan anggota

terhadap negara dan perkhidmatan, dan seterusnya merealisasikan pembentukan masyarakat

madani sebagaimana yang di aspirasikan oleh kerajaan.

Di sebalik kebaikan-kebaikan berkenaan, kursus PIFA dan PMET dilihat mempunyai

kelemahan tertentu yang menyumbang kepada keburukan implementasinya sebagai syarat

kenaikan pangkat. Ia melibatkan kelemahan berkaitan penilaian pencapaian matlamat

sebenarnya kerana penilaian dibuat berdasarkan ujian yang diduduki oleh anggota tanpa

mengambil kira perubahan tingkah laku yang dipamerkan mereka. Selain itu, penetapan

syarat kekompetenan berdasarkan kepada dua kursus yang berbeza, iaitu berasaskan

perbezaan agama, telah menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan anggota, terutamanya

apabila berlaku kegagalan dalam kursus berkenaan. Seterusnya, terdapat keraguan di

17
kalangan anggota terhadap kredibiliti dan integriti ujian yang dilaksanakannya yang berpunca

daripada kelemahan dan ketidakseragaman kawalan kualiti ujian serta pengendaliannya.

Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada impak positif yang disumbangkannya, maka

disarankan agar kelemahan-kelemahan tersebut ditangani sewajarnya oleh ATM bagi

memastikan matlamat yang disasarkan tercapai dengan berkesan.

(3,994 patah perkataan)

18
Bibliografi

Bujai, M. & Hashim, A. (2015). ‘Pelaksanaan Aktiviti Keagamaan dan Hubungannya dengan
Penghayatan Kerohanian Anggota Tentera Malaysia’ [online]. Tinta Artikulasi Membina
Ummah, Vol(1). Diakses pada 21 Mac 2021 dari https://www.
researchgate.net/publication/280499752_Pelaksanaan_Aktiviti_Keagamaan_dan_Hubun
gannya_dengan_Penghayatan_Kerohanian_Anggota_Tentera_Malaysia.

Idris, A.S. (2011). Tradisi dan Adat Resam Rejimen Askar Melayu Diraja. Kuala Lumpur:
Urusetia Askar Melayu DiRaja.

Jabatan Arah Pendidikan (2020). Arahan Pelaksanaan Kursus Pendidikan Moral dan Etika
Tentera (PMET) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mulai Tahun 2020. Surat
MATM/PEND/GI/1035/(PMET) bertarikh 13 disember 2019.

Jabatan Perkhidmatan Awam (2011). Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam Bagi
Pegawai Perkhidmatan Persekutuan [online]. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11
Tahun 2011. Diakses pada 15 Mac 2021 dari https://www.selangor.gov.my/
sepang/resources/PEKELILING%20PERKHIDMATAN/2017/Pekeliling_Perkhidmatan
_Bilangan_11_Tahun_2011.pdf.

Jabatan Perkhidmatan Awam (2014). Perkhidmatan Awam [online]. Sorotan Ilmiah


Perkhidmatan Awam. Diakses pada 16 Mac 2021 dari https://docs.jpa.gov.my/
docs/flipbook/VariaRanah

Jabatan Perkhidmatan Awam (2013). Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan


Kecemerlangan Bagi Pegawai Kumpulan Pelaksana Yang Berada Di Gred Lantikan.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2013. Diakses pada 15 mac 2021
https://pendaftar.upm.edu.my/upload/dokumen/90131_pp082013.pdf

Jabatan Perkhidmatan Awam (2017). Kenaikan Pangkat Secara Time-Based


Berasaskan Kecemerlangan bagi Pegawai Kumpulan Pelaksana [online].
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017. Diakses pada 15 Mac
2021 dari https://docs.jpa.gov.my/ docs/pp/2017/ pp102017.pdf

Kementerian Pendidikan Malaysia (1979). Dasar Pendidikan Kebangsaan [online].


pmo.gov.my. Diakses pada 13 Mac 2021 di https://www.pmo.gov.my/
dokumenattached/Dasar/09DASAR_PENDIDIKAN_KEBANGSAAN.pdf

Kementerian Pertahanan (2003). Kementerian Pertahanan sebagai Organisasi Pembelajaran.


Kuala Lumpur: Penerbitan Selaseh.

Kor Agama Angkatan Tentera (2008). Rancangan Pengurusan Kursus (RPK) Pendidikan
Islam Fardu Ain Tahap 1. Kuala Lumpur: Markas Angkatan Tentera. Jabatan Arah Kor
Agama Angkatan Tentera

Kor Agama Angkatan Tentera (2011). Profesion Ketenteraan dan Bimbingan Rohani
Menurut Islam. Kuala Lumpur: Sinaran Bros.

19
MATM (2008). Kelab Sukan Sosial dan Kebajikan ATM (KSSKA) [online]. mafhq.mil.my.
Diakses pada 17 Mac 2021 dari https://www.mafhq.mil.my/index. php/my/mengenai-
kami/markasatm/sekretariat/kelab-sukan-sosial-dan-kebajikan-atm-ksska.

MATM (2013). Upacara Perbarisan Pemakaian Pangkat Mega Anggota Lain-Lain Pangkat
ATM [online]. mafhq.mil. my. Diakses pada 15 Mac 2021 dari https://www.mafhq.mil.
my/index.php/my/2016-03-29-11-08-38/2018-01-19-09-23-33/2013/345-upacara-
perbarisan-pemakaian-pangkat-mega-anggota-lain-lain-pangkat-atm

MATM (2013). Syarat-syarat Perkhidmatan Pegawai dan Askar Lasykar Angkatan Tetap,
Angkatan Tentera Malaysia 2013. Perintah Majlis Angkatan Tentera Bilangan 1 Tahun
2013. Kuala Lumpur: Markas Angkatan Tentera.

Markas Tentera Darat (2013). Pindaan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia.Surat.
Surat MKTD/G1/1762/(D&P) bertarikh 26 Feb 2013.

Markas Tentera Darat (2013). Ketetapan Arahan Pelaksanaan Kursus Pendidikan Islam
Fardu Ain (PIFA) dan Kursus Penguasaan Moral dan Etika Tentera (PMET). Surat MK
TD/G1/D&P.500-5/1/17 bertarikh 19 Mac 2013.

Nawawi. D. (2020) Kursus PIFA [online]. army.mod.gov.my. Diakses pada 18 Mac 2021 dari
https://army.mod.gov.my/kagat/index.php/ms/component/content/article/31-berita/
berita-4/58-kursus-pifa-siri1-2019? Itemid=153

Siltrakool, B. (2017). Assessment of Community Pharmacists’ Knowledge, Attitude and


Practice Regarding Non-Prescription Antimicrobial Use and Resistance in Thailand
[online]. Researchgate.net. Diakses pada 23 Mac 2021 di https://www.
researchgate.net/publication/322675323_Assessment_of_Community_Pharmacists'_Kn
owledge_Attitude_and_Practice_Regarding_Non-Prescription_Antimicrobial
_Use_and_Resistance_in_Thailand/download

Zainal, Abdul Aziz. (2008). Marksman in the 21st Century. Kuala Lumpur: Kementerian
Pertahanan Malaysia.

Zubir. A (2020). Kepentingan Kursus PMET [online]. airforce.mil,my. Diakses pada 18 Mac
2021 dari http://www.airforce.mil.my/index.php/bm/informasi/berita/berita-semasa1/
majlis-penutup-kursus-pendidikan-moral-dan-etika-tentera-pmet-tahap-3-pangkalan-
udara-butterworth

20

Anda mungkin juga menyukai