Anda di halaman 1dari 7

SECEBIS KERTAS

Muhammad Azhad Mustaqim

Daniel merupakan anak sulong daripada lima orang adik-beradik. Sejak kecil mereka dibesarkan
dalam suasana serba kekurangan. Ibu dan ayahnya bekerja mengambil upah sebagai penoreh
getah. Pendapatan sebagai penoreh getah tidak menentu. Harga jualan getah yang rendah
ditambah hasil getah sekerap yang tidak menentu akibat faktor musim hujan dan panas yang
mempengaruhi kuantiti susu getah. Semua faktor tadi menjadi taruhan bagi ibu dan ayah Daniel
dalam meneruskan kehidupan membesarkan kelima-lima anak mereka.

“pin, pin” bunyi hon motorsikal posmen di depan rumah.

“Man, tolong ambilkan surat dari abang posmen tu” jerit Suraya kepada adiknya yang
sedang bermain di luar rumah.

Suraya adik kepada Daniel dan baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM.
Sebaik tamat persekolahan, dia tidak melakukan apa-apa pekerjaan melainkan hanya duduk di
rumah membantu ibunya menjaga dan menguruskan tiga orang lagi adiknya yang masih
bersekolah di sekolah rendah.

Suraya mengambil surat daripada adiknya lalu membukanya perlahan-lahan. Suraya tiba-
tiba tersengih sendirian. Perasaan gembira dan ceria jelas terpancar pada wajah Suraya sebaik
selesai membaca surat tersebut.

“Abang, saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang
undang-undang. Alhamdulillah.” Suraya dengan rasa bangga memberitahu abangnya.

“ Ya ke dik, Alhamdulilah, Ibu dan ayah mesti gembira dan bangga dengan kamu dik”
Daniel memuji adiknya.

“Abang tengoklah surat ni,” pinta Suraya sambil menghulurkan surat tersebut kepada
abangnya. Wajah Daniel yang pada mula tersenyum kegembiraan tiba-tiba pudar lalu melirikkan
pandangannya keluar jendela sebaik menatap surat tersebut.

“Mampukah ibu dan ayahku membiayai perbelanjaan adikku ke Universiti?” bisik hatinya
sambil memandang sayu ke ladang getah yang tidak jauh dari rumahnya.
Keesokan paginya,Daniel membuat keputusan untuk pergi ke Kuala Lumpur mencari
pekerjaan bagi meringankan beban kedua orang tuanya dalam membiayai pengajian dan
perbelanjaan adiknya ke universiti.

“ayah, ibu. Along sudah membuat keputusan” tiba-tiba Daniel bersuara.

“Keputusan apa Along?” Tanya Ibu Daniel kehairanan.

“Along ingin ke Kuala Lumpur nak cari kerja,” jelas Daniel sambil mengunyah-nguyah cucur
bawang yang disediakan oleh ibunya.

“Di kampung ini tak cukupkah untuk kamu cari duit, Along.?” Ibu cuba menyedarkan Along.

“Untuk saya seorang memang cukup ibu, tetapi bagaimana dengan Suraya yang nak
sambung belajar tu?” Along cuba membuat penjelasan dan sekali gus memberi alasan atas
tindakannya itu.

Dengan jawapan itu, ibu Daniel tidak mampu berkata apa-apa lagi melainkan hanya
memandang sahaja Daniel dengan pandangan kosong. Ibu faham dengan hasil mengambil upah
menoreh getah memang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan Suraya ke universiti.

.******

Setelah tiba di stesen bas di KL Centre, Daniel seperti dalam keadaan kebingungan. Dia
seolah-olah tidak tahu ke mana harus dituju. Daniel cuba menenangkan dirinya dan cuba duduk-
duduk dahulu di bangku menunggu teksi.

Tanpa di duga, sedang asyik dia mengelamun itu, dia telah disapa oleh seorang lelaki.

“Eh, Daniel! Kamu buat apa di sini?.” Sergah lelaki itu. Daniel kehairanan bagaimana lelaki
bertopi sudu dan berkaca mata hitam itu mengenalinya. Daniel cuba mengamati wajah lelaki
tersebut dan cuba mengingatinya.

“Aku Syafiq lah ” lelaki itu memperkenalkan dirinya.

“Kamu dah tak kenal aku ke?” Tanya lelaki itu lagi sambil membuka topi dan kaca mata
hitamnya.

“Oh, kamu rupanya Syafiq!, mati-mati aku sangkakan kamu ni nak ‘scam’ aku” Jelas Daniel
sambil ketawa.

“Al-maklumlah, dunia hari ini ramai orang suka ambil kesempatan dengan menipu” tambah
Daniel lagi.
“ Jom kita minum-minum dulu, sambil tu boleh kita bercerita panjang” pelawa Syafiq kepada
Daniel.

Syafiq merupakan rakan sekelas Daniel semasa di tingkatan 3. Syafiq tidak sempat
menghabiskan persekolahan. Dia telah diberhentikan sekolah kerana masalah disiplin dan kerap
ponteng sekolah.

“Syafiq,kau kerja apa di sini?”, tanya Daniel sambil menyedut teh ais di sebuah warung kaki
lima stesen teksi.

Syafiq hanya tersenyum apabila ditanya oleh Daniel tentang pekerjaannya.

“Untuk pengetahuan kamu, aku ke sini kerana nak cari kerja” Jelas Daniel.

“Apa-apa kerja pun tak kisah asalkan aku dapat hantar duit ke kampung” Tambah Daniel
lagi.

“ Di kampung tak ada kerja ke Daniel ?” tanya Syafiq

“ Kerja di kampung memang ada tetapi berapalah sangat yang dapat” Luah Daniel dengan
nada kecewa.

“Oh, ya ke?!, jangan risau aku boleh tolong kau mencari duit lebih di bandar ini,” Syafiq
cuba meyakinkan Daniel

“Betul ke Syafiq?, terima kasih banyak-banyaklah Syafiq kerana sudi menolong aku.” Kata
Daniel.

Selepas berborak lama,Syafiq mengajak Daniel ke rumahnya. Daniel merasa kagum dan
bangga dengan rakannya yang mampu memiliki kereta dan rumah yang mewah. Daniel tidak
menyangka sahabatnya dulu yang kaki ponteng dan mempunyai masalah disiplin kini sudah
menjadi seorang yang berjaya.

Daniel teringat akan pesan ibunya supaya menghubunginya jika sudah sampai ke Kuala
Lumpur.

“Assalamualaikum ibu,Daniel sudah selamat sampai di Kuala Lumpur ni. Alhamdulillah,


kebetulan terjumpa pula kawan lama sewaktu sekolah dulu, jadi buat masa sekarang Daniel tinggal
dengannya.” Jelas Daniel kepada ibunya.
“Waalaikumussalam Daniel, Alhamdulillah.Jaga diri elok-elok di sana,solat jangan tinggal,
dan sentiasa berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah,” pesan ibunya.

Keesokan paginya,Daniel melihat kawannya bersiap-siap untuk keluar rumah.

“Eh,Syafiq kau nak pergi mana pagi-pagi ni?” Soal Daniel.

“Oh,aku nak keluar sekejap!Ada urusan yang perlu diselesaikan.” Jawab Syafiq.

“Baiklah Syafiq” Balas Daniel.

******

“Assalamualaikum” Syafiq memberi salam dari luar rumah.

“Waalaikumussalam,eh, lambatnya kau balik! Urusan apa yang kau buat tu sampai dekat-
dekat maghrib baru balik?” Tanya Daniel.

“Tak ada apalah Daniel, biasa saja. Memang aku selalu macam ni keluar pagi balik
maghrib” Jawab Syafiq.

“ Daniel, kebetulan tadi bos aku cakap dia sedang cari orang kerja dengan dia” tiba-tiba
Syafiq cuba menarik perhatian Daniel.

“ Oh, betulkah Syafiq!. Tanya Daniel dengan penuh kegembiraan.

Daniel kelihatan teruja dan bersemangat untuk tahu. Mungkin pada fikirannya bahawa dia
bakal menjadi orang kaya seperti Syafiq kerana bekerja dengan bos yang sama dengan
sahabatnya

“Esok pagi kamu boleh ikut aku ke pejabat?” tanya Syafiq.

“Eh, tentulah boleh!, kalau bos kau nak jumpa aku malam ni pun aku sanggup” Jawab
Daniel sambil bergurau.

“Kalau begitu esok pagi ikut aku” tegas Syafiq.

*****

“ Ya Allah, kau pelihara anakku Daniel dari marabahaya, berilah petunjuk, rahmat dan
berkatmu ke atasnya. Pelihara dia daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan dirinya
dan agamanya. Aamiin ya robbal’alamin” Ibu Daniel berdoa sebaik selesai solat subuh.
Ibu terkenangkan Daniel yang berada di Kuala Lumpur. Ibu Daniel tidak pasti apakah
pekerjaan yang dilakukan oleh anaknya melainkan hanya mampu berdoa agar anaknya sentiasa
dalam peliharaan Allah swt.

*****

“ Selamat pagi bos”, ucap Syafiq kepada lelaki cina berkepala botak, bertatu seekor naga di
pipi kiri serta parut jahitan di kening sebelah kanannya.

Daniel sudah merasa tidak sedap hati apabila pertama kali melihat raut wajah bos
sahabatnya. Wajah bosnya seperti bukan orang baik-baik. Walau bagaimana pun hasrat untuk
membantu keluarga di kampung Daniel cuba bersangka baik bahawa bos Syafiq mungkin seorang
yang hanya minat kepada lukisan tatu. Pada hemat Daniel tatu di pipi bosnya itu hanyalah sekadar
hobi seperti kebanyakkan orang Eropah.

“ Syafiq, mana lu punya kawan?” tanya lelaki cina yang bermuka serius itu.

“Ini dia bos”, Jawab Syafiq sambil memalingkan mukanya ke arah Daniel.

“Lu apa nama?”, tanya lelaki berparut kening itu.

“Saya Daniel, bos”, Jawab Daniel ringkas.

“Ok,tak mau cerita panjang, ini barang lu mesti hantar pada ini orang ma. Ini orang akan
tunggu lu dekat itu pelabuhan Klang. Di sana nanti ada orang akan ambil ini barang”, Jelas lelaki
cina.

“Angkat ini wang dua ribu ringgit, pastikan ini barang selamat sampai sama saya punya
kawan, kalau ini barang tak sampai, lu mati”, tegas lelaki cina dengan raut muka yang lebih serius
sambil memandang tepat ke muka Daniel.

“Ba, Ba, Baik bos”, dengan nada tergagap-gagap Daniel menjawab.

Daniel dan Syafiq beredar dari bilik lelaki cina itu sambil membawa sebuah kotak bersaiz
kotak ‘food panda’.

“Apa dalam kotak ni Syafiq?” tanya Daniel untuk mendapatkan kepastian.

“Serius benar bos kamu tu Syafiq”, sambung Daniel lagi.

“ Tak ada apa Daniel, jalankan sahaja tugas kau Daniel”, yang penting kau dibayar gaji
untuk tugas ini.
Syafiq cuba meyakinkan Daniel untuk terus menjalankan tugasnya tanpa banyak bertanya.
Daniel kehairanan kenapa gajinya begitu mahal hanya untuk menghantar sebuah kotak bersaiz
kotak ‘Food Panda’. Sungguh pun Daniel seorang budak kampung tetapi otaknya tidaklah selurus
Pak Pandir. Dia semakin ingin tahu apa isi kandungan dalam kotak tersebut. Ada ketika terlintas
dalam fikirannya untuk membuka bungkusan itu dan melihatnya tetapi oleh kerana sikap amanah
yang telah diajar oleh ibu bapanya Daniel tidak melakukan perbuatan tersebut.

Daniel diberikan sebuah motorsikal untuk digunakan bagi menghantar barang tersebut.
Sepanjang perjalanan menuju ke pelabuhan, otak Daniel tidak berhenti-henti berfikir apakah
barang yang dihantarnya. Sekali-sekala terbayang wajah kegembiraan Suraya semasa membaca
surat tawaran ke Universiti. Daniel merasa sangat yakin dengan gajinya yang lumayan, adiknya
tidak lagi menghadapi masalah untuk meyambung pelajaran.

Oleh kerana terlalu asyik mengelamun, Daniel tidak perasan dia sedang melalui satu
selekoh tajam. Daniel terbabas. Daniel jatuh menggelonsor dan motorsikalnya terseret ke tepi
longkang. Kotak yang dibawanya terbuka dan terhambur keluar. Allah masih menyayangi Daniel.
Kecederaan yang dialami tidak begitu parah. Daniel hanya mengalami calar-balar di bahagian
tapak tangan dan sikunya sahaja. Dalam keadaan terhenjut-henjut, Daniel mendekati barang yang
terhambur keluar dari kotak. Daniel mengamati bungkusan-bungkusan kecil berwarna putih.Di
pegang-pegang dan dipicitnya. Tiba-tiba Daniel teringat kata-kata tegas cina berparut “kalau ini
barang tak sampai, lu mati”. Daniel terus menggeletar dan terlepas bungkusan putih itu. Daniel
memandang sekeliling kalau-kalau ada orang melihatnya jatuh. Untungnya Daniel jatuh di kawasan
sunyi. Cepat-cepat Daniel memasukkan semula bungkusan kecil itu ke dalam kotak dan beredar
dari situ.

“Assalamualikum, Syafiq. Aku ni Daniel?” Daniel cuba menghubungi Sayfiq.

“wa’alaikumussalam, Ha Daniel apa hal suara kamu termengah-mengah tu?” tanya Syafiq
apabila mendengar suara Daniel yang tersekat-sekat seperti orang lepas berlari seratus meter.

“Syafiq, kau kena tolong aku, aku kemalangan jalan raya”, jelas Daniel.

“Kau kena tolong hantarkan barang ini, motorsikal aku rosak”, Daniel memberi alasan.

“ Ok ok, Kamu bagaimana ok ke? “balas Syafiq dengan nada yang agak cemas.

“Alhamdulillah, aku tak ada apa-apa” terang Daniel.

“Kotak itu bagaimana, Daniel?” Syafiq serius bertanya.


“ Semua ok” Jawab Daniel ringkas.

Tanpa membuang masa Daniel menghantar lokasinya melalui aplikasi wasap kepada
Syafiq untuk mengambil barang tersebut. Daniel sudah tidak mampu lagi untuk berada bersama
dengan kotak tersebut. Dia segera meninggalkan kotak dan motorsikal itu di hadapan sebuah
kedai seven eleven.

*****

Tiba di kampung Daniel memeluk semua keluarganya kerana ingin melepaskan


rindu.Dan dia memberitahu ibu dan ayahnya bahawa dia akan mengambil cuti panjang dan duduk
dikampung untuk menolong ibu dan bapanya.

Anda mungkin juga menyukai