Anda di halaman 1dari 16

BAB 4

BALASAN

OBJEKTIF BAB

Setelah mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Menghuraikan takrif balasan.
2. Membezakan jenis-jenis balasan.
3. Membincangkan perbezaan balasan di bawah Akta Kontrak
dan Undang-undang Inggeris.
4. Menjelaskan balasan dari aspek kewajipan undang-undang dan
keberpadaan balasan.
5. Mengenali dan memahami perjanjian tanpa balasan.

4.1 TAKRIF BALASAN

Kita memerlukan balasan untuk mewujudkan kontrak yang sah. Balasan


adalah satu perbuatan atau harga yang diberikan oleh satu pihak untuk
membalas janji atau perbuatan pihak yang lain. Seksyen 2(d)
mentakrifkan balasan seperti berikut:

2(d) Menurut kehendak pembuat janji, apabila


penerima janji atau siapa sahaja yang telah
membuat atau telah menahan diri dari membuat
sesuatu, atau membuat atau menahan diri dari
membuat sesuatu maka perbuatan atau penahanan
diri atau janji itu adalah disebut balasan untuk janji
itu.

Sementara itu Lush J. dalam kes Currie lwn Misa (1875) LR 10 Ex 153
menyatakan balasan itu adalah sebagai suatu balasan yang bernilai
mengikut pengertian undang-undang, boleh dalam bentuk sesuatu hak,
kepentingan, keuntungan atau faedah kepada satu pihak atau suatu
pengorbanan, mudarat, kerugian atau kehilangan atau kewajipan yang
dibuat, dibebani atau ditanggung oleh satu pihak lagi.

Contohnya: Ah Tan membeli sebuah basikal dari Bakar dengan harga


RM100. Balasan Ah Tan kepada Bakar untuk basikal itu adalah RM100,
sementara balasan Bakar kepada Ah Tan untuk RM100 adalah sebuah
basikal. Kalau kita rujuk kepada definisi balasan yang disebutkan di atas,
balasan seperti ini mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak.
29
4.2 JENIS-JENIS BALASAN

Balasan boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu balasan eksekutori,


balasan tersempurna dan balasan lepas/lampau.

4.2.1 Balasan Eksekutori

Balasan eksekutori adalah balasan yang belum dilaksanakan tetapi akan


dilaksanakan. Ini bermaksud bahawa balasan tersebut hanya akan
dilaksanakan apabila balasan untuk satu lagi janji dilaksanakan. Ia juga
dikenali sebagai janji untuk membalas janji.

Contoh: Omar bersetuju menjual komputernya kepada Amir, dan Amir


bersetuju untuk membayar RM3000 ketika dia menerima komputer
tersebut.

4.2.2 Balasan Tersempurna

Balasan tersempurna adakalanya disebut sebagai balasan yang akan


dilaksanakan. Balasan tersempurna adalah suatu janji untuk membalas
suatu perbuatan.

Contohnya, Omariah menawarkan RM100 kepada sesiapa yang dapat


memulangkan anak kucingnya. Pamela menjumpai anak kucing
kepunyaan Omariah, dan memulangkan anak kucing tersebut kepada
Omariah. Perbuatan memulangkan anak kucing adalah balasan
tersempurna.

4.2.3 Balasan Lepas/Lampau

Balasan lampau adalah janji yang dibuat untuk membalas suatu perbuatan
yang telah pun dibuat atau telah dilaksanakan.

Contoh: Ali telah menjumpai sebuah buku di kantin sekolah. Ali datang
memulangkan buku tersebut kepada Cikgu Razak kerana namanya
tertulis pada buku tersebut. Cikgu Razak kemudian berjanji untuk
memberi sebatang pen kepada Ali. Perbuatan Ali memulangkan buku
adalah balasan lampau.

4.3 BALASAN – PERBEZAAN DI ANTARA AKTA


KONTRAK DAN UNDANG-UNDANG INGGERIS

Saya akan menghuraikan perbezaan-perbezaan yang terdapat di antara


Akta Kontrak dan Undang-Undang Inggeris mengenai balasan. Kita akan
mengkaji perbezaan tersebut dari beberapa aspek yang akan
dibincangkan di bawah ini.
30
4.3.1 Balasan dari Penerima Janji

Di bawah Akta Kontrak, balasan boleh datang dari sesiapa sahaja dan
tidak semestinya dari penerima janji sahaja. Hal ini telah diperuntukkan
di dalam s 2(d) yang berbunyi:

2(d) menurut kehendak pembuat janji, apabila


penerima janji atau siapa sahaja yang telah
membuat atau telah menahan diri dari
membuat sesuatu, maka perbuatan atau
penahanan diri atau janji itu adalah disebut balasan
untuk janji itu.

Daripada s 2(d) ini adalah jelas melalui perkataan “… apabila penerima


janji atau siapa sahaja yang telah membuat sesuatu …”, bahawa balasan
boleh datang dari penerima janji itu sendiri atau sesiapa sahaja.

Keadaan ini berbeza di bawah undang-undang Inggeris, iaitu balasan


mestilah datang dari penerima janji sahaja dan bukannya dari orang lain.
Dalam kes Tweddle lwn Atkinson (1861) 1 B. & S. 393, H dan W adalah
sepasang suami isteri, dan selepas perkahwinan mereka, satu perjanjian
telah dibuat di antara X dan Y iaitu bapa kepada kedua-dua H dan W
bahawa X dan Y akan memberi sejumlah wang kepada H, dan H
mempunyai kuasa tersebut untuk menuntut jumlah tersebut. Selepas
kematian X dan Y, H menuntut dari pentadbir harta Y untuk jumlah
wang yang dijanjikan. Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan H harus
ditolak. Ini adalah disebabkan H bukanlah pihak kepada kontrak di
antara X dan Y, H juga tidak memberi apa-apa balasan kepada perjanjian
tersebut.

4.3.2 Balasan Lampau

Di bawah Akta Kontrak juga melalui seksyen 2(d) balasan yang sah boleh
datang dalam bentuk balasan lampau atau balasan semasa. Ini adalah
kerana s 2(d) menyatakan bahawa “… apabila penerima janji atau siapa
sahaja yang telah membuat atau telah menahan diri dari membuat
sesuatu atau membuat atau menahan diri dari membuat sesuatu…”.

Perkataan telah di sini bermaksud bahawa perbuatan tersebut telah


dilakukan atau telah dilaksanakan. Oleh itu suatu balasan yang lampau
atau lepas adalah sah untuk membentuk kontrak yang mengikat di sisi
undang-undang di bawah Akta Kontrak.

Kes Kepong Prospecting Ltd & Ors lwn Schmidt [1968] 1 MLJ 170
menjelaskan kedudukan undang-undang Malaysia mengenai balasan
lampau. Dalam kes ini Schmidt telah memberi perkhidmatannya untuk
31
mendapatkan permit mencari gali bijih besi dari Kerajaan Negeri Johor
kepada Tan. Selepas permit tersebut diperoleh pada bulan November
1953, Tan membuat perjanjian dengan Scmidth bahawa beliau akan
membayar satu peratus daripada harga setiap jualan bijih yang
diusahakan.

Syarikat perayu ditubuhkan untuk mengendalikan urusan kerja


perlombongan di mana Tan dan Scmidth menjadi pengarah. Selepas
penubuhan syarikat iaitu pada bulan Julai 1954, satu perjanjian dibuat
supaya syarikat perayu membayar satu peratus daripada harga setiap
jualan bijih kepada Scmidth seperti yang dijanjikan oleh Tan sebelum
penubuhan syarikat. Mesyuarat pengarah kemudiannya telah
mengesahkan perjanjian tersebut.

Pada bulan September 1955, satu perjanjian tambahan dibuat di mana


terdapat peruntukan yang menyatakan bahawa syarikat akan membayar
kepada Scmidth satu peratus daripada harga setiap jualan bijih sebagai
balasan kepada perkhidmatan Scmidth kepada syarikat perayu “sebelum
penubuhannya, selepas penubuhannya dan khidmat di masa hadapan”.
Scmidth membuat tuntutan di mahkamah terhadap perjanjian ini apabila
pertelingkahan timbul di antaranya dan syarikat perayu.

Mahkamah memutuskan bahawa sebarang perkhidmatan yang diberikan


oleh Scmidth sebelum penubuhan syarikat perayu tidak boleh menjadi
balasan kerana syarikat tidak wujud pada ketika itu. Tetapi perkhidmatan
yang diberi selepas penubuhan syarikat, iaitu sebelum adanya perjanjian
boleh menjadi balasan yang sah di bawah undang-undang dan Scmidth
berhak kepada jumlah yang dituntutnya.

Apa yang kita boleh rumuskan dari kes Kepong Prospecting Ltd. & Ors ialah
balasan lampau adalah diiktirafkan sebagai satu balasan yang sah di sisi
undang-undang di Malaysia.

Tetapi kedudukan di bawah undang-undang Inggeris adalah berbeza


kerana balasan lampau adalah tidak bernilai dan tidak boleh mewujudkan
kontrak yang sah. Mari kita lihat kepada kes Roscola lwn Thomas (1842) 3
QB 234, untuk mengetahui kedudukan undang-undang Inggeris dengan
jelas. Dalam kes ini plaintif membeli seekor kuda dari defendan. Selepas
penjualan kuda itu, defendan berjanji bahawa kuda itu sihat dan tidak
ganas. Plaintif dapati kuda tersebut adalah ganas dan menuntut terhadap
janji yang dibuat oleh defendan.

Mahkamah memutuskan plaintif tidak memberikan apa-apa balasan


untuk janji yang diberikan oleh defendan. Ini adalah kerana balasan yang
diberikan untuk membeli kuda adalah balasan lampau.

32
Namun begitu, terdapat pengecualian kepada prinsip balasan lampau di
bawah undang-undang Inggeris, iaitu sekiranya satu tindakan yang telah
dilakukan oleh penerima janji itu adalah pada asalnya di atas kehendak
pembuat janji. Ini boleh mewujudkan balasan yang sah dan bernilai.

Di dalam kes Lampleigh lwn Braithwait (1916) 80 ER 255, pihak defendan


telah meminta pertolongan plaintif supaya plaintif mendapatkan
pengampunan dari raja. Plaintif telah mengeluarkan perbelanjaannya
sendiri untuk tujuan mendapatkan pengampunan. Defendan
kemudiannya berjanji akan membayar 100 pound sterling kepada plaintif
atas usahanya. Plaintif menuntut jumlah tersebut.

Mahkamah memutuskan bahawa balasan lampau oleh plaintif adalah sah


kerana tindakan yang telah dilakukan oleh plaintif adalah pada asalnya
atas permintaan defendan. Oleh itu defendan hendaklah membayar wang
yang telah dijanjikan itu.

4.3.3 Pembayaran Sebahagian

Di bawah Akta Kontrak pembayaran sebahagian boleh melangsaikan


keseluruhan hutang. Perkara ini telah diperuntukkan di dalam s 64 Akta
Kontrak yang berbunyi seperti berikut:

64. Tiap-tiap penerima janji boleh membebaskan atau


mengurangkan sebahagian atau keseluruhan
daripada perlaksanaan janji yang telah dibuat
kepadanya, atau boleh melanjutkan masa untuk
perlaksanaan sedemikian itu, atau boleh menerima
sebagai gantinya sebarang pemenuhan-janji yang
dia fikir berpatutan.

Kita boleh bahagikan s 64 kepada tiga bahagian iaitu:

(a) Penerima janji boleh membebaskan atau mengurangkan


sebahagian atau keseluruhan daripada perlaksanaan janji.
(b) Penerima janji boleh melanjutkan masa untuk
perlaksanaan janji.
(c) Penerima janji boleh menerima sebagai ganti sebarang
pemenuhan janji yang dia fikir berpatutan.

Bahagian pertama iaitu (a) adalah relevan untuk topik perbincangan kita
mengenai pembayaran sebahagian. Mari kita lihat kepada misalan (b) dan
(c) yang menghuraikan maksud penerima janji boleh membebaskan atau
mengurangkan sebahagian atau keseluruhan daripada perlaksanaan janji.

33
Misalan (b):

A terhutang kepada B sebanyak RM5000. A membayar kepada B


sebanyak RM2000 dan B menerimanya sebagai penjelasan untuk
keseluruhan hutang yang dibayar pada masa dan tempat di mana
RM5000 itu mesti dibayar. Keseluruhan hutang itu telah
dilangsaikan.

Misalan (c):

A berhutang kepada B sebanyak RM5000. C membayar kepada B


RM1000 dan B menerimanya sebagai memenuhkan tuntutannya kepada
A. Bayaran ini ialah suatu perlangsaian kepada keseluruhan
tuntutan itu.

Konsep dalam s 64 iaitu pembayaran sebahagian boleh melangsaikan


keseluruhan hutang juga diterangkan dalam kes Kerpa Singh lwn Bariam
Singh [1966] 1 MLJ 38. Bariam Singh berhutang kepada Kerpa Singh
sebanyak RM8869.94 mengikut penghakiman mahkamah. Anaknya
menulis surat kepada Kerpa Singh, menawarkan RM4000 sebagai
penjelasan penuh hutang bapanya, dan menyertakan sekeping cek untuk
nilai tersebut dengan syarat bahawa sekiranya cadangan itu ditolak oleh
Kerpa Singh, dia hendaklah memulangkan cek tersebut. Peguam Kerpa
Singh menunaikan cek tersebut dan menyimpan RM4000. Kerpa Singh
menuntut baki hutangnya.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perbuatan menunaikan cek


dan menyimpan RM4000 menunjukkan bahawa Kerpa Singh bersetuju
bahawa bayaran RM4000 akan melangsaikan keseluruhan hutangnya.
Oleh itu, Kerpa Singh tidak boleh menuntut baki hutangnya dari Bariam
Singh.

Kedudukan di bawah undang-undang Inggeris adalah berbeza kerana ia


tidak mengiktiraf pembayaran sebahagian daripada hutang boleh
melangsaikan keseluruhan hutang tersebut.

Dalam kes Pinnel (1602) ER 237, Pinnel membawa tuntutan terhadap


Cole untuk pembayaran balik hutangnya sebanyak 8 pound sterling 10
syiling pada 11 November, 1600. Cole berhujah bahawa beliau telah
membayar 5 pound sterling 2 syiling 2 pence pada 1 Oktober, dan Pinnel
telah menerima jumlah tersebut sebagai penyelesaian penuh. Mahkamah
memutuskan bahawa tuntutan Pinnel hendaklah dibenarkan, iaitu
pembayaran sebahagian tidak melangsaikan keseluruhan hutang (kerana
kecacatan teknikal dalam pliding kalau tidak mahkamah akan memberi
penghakiman kepada Cole kerana pembayaran telah dibuat lebih awal
dari tarikh yang telah ditetapkan).
34
Kaedah dalam kes Pinnel telah diterima pakai dalam kes Foakes lwn Beer
(1884) 9 App. Cas. 605 selepas hampir tiga dekad. Dalam kes ini, Dr.
Foakes terhutang kepada Puan Beer sebanyak 2090 pound sterling. Puan
Beer bersetuju sekiranya Dr. Foakes membayar 500 pound sterling dan
bakinya secara ansuran dia tidak akan mengambil tindakan undang-
undang terhadap Dr. Foakes. Dr. Foakes membayar mengikut arahan
yang ditetapkan oleh Puan Beer tetapi Puan Beer menuntut untuk faedah
sebanyak 360 pound sterling. Apabila Dr. Foakes enggan membayar
jumlah tersebut, Puan Beer menuntut di mahkamah.

Mahkamah memutuskan bahawa Puan Beer berhak untuk menuntut 360


pound sterling dari Dr. Foakes.

Sementara itu dalam kes Neuchatel Asphalte Co. Ltd lwn Barnett (1957) 1
All ER 362 mahkamah memutuskan bahawa pembayaran melalui cek
berjumlah 200 pound sterling tidak boleh melangsaikan hutang sebanyak
259 pound sterling.

Menurut undang-undang Inggeris terdapat beberapa pengecualian


kepada kaedah Pinnel, iaitu prinsip estopel janji (promissory estoppel),
perkiraan dengan pemiutang, dan pembayaran sebahagian oleh pihak
ketiga di mana pembayaran sebahagian boleh melangsaikan keseluruhan
hutang seseorang.

4.4 BALASAN – KEWAJIPAN UNDANG-UNDANG

Perkara yang akan dibincangkan dalam topik ini adalah mengenai balasan
yang diberikan oleh seseorang kerana terikat dari segi undang-undang
untuk melaksanakan suatu kewajipan. Misalnya, Ali telah menghadiri
perbicaraan kes sivil Ahmad sebagai saksi kerana Ahmad telah berjanji
untuk membayar RM200. Apabila Ahmad enggan membayar, bolehkah
Ali menuntut di mahkamah untuk jumlah yang dijanjikan itu? Untuk
mengetahui jawapannya marilah kita melihat kepada beberapa kes
Inggeris kerana Akta Kontrak tidak memberi peruntukan mengenai
perkara ini.

Dalam kes Stilk lwn Myrick (1809) 2 Camp. 317, kapten kapal telah
berjanji dengan anak kapal bahawa sekiranya mereka sanggup melakukan
kerja dua orang anak kapalnya yang telah melarikan diri, gaji dua orang
anak kapal tersebut akan dibahagikan di antara mereka. Mahkamah
memutuskan bahawa janji kapten tidak dapat dikuatkuasakan kerana anak
kapal adalah terikat di sisi undang-undang untuk memastikan kapal
tersebut selamat sampai ke destinasinya.

35
Keputusan yang sama telah dibuat dalam kes Collins lwn Godefroy (1831) 1
B & Ad 950. Dalam kes ini plaintif telah menerima sapina untuk
menghadiri satu perbicaraan sebagai saksi untuk kes defendan. Defendan
berjanji membayar sejumlah wang untuk tujuan tersebut. Mahkamah
memutuskan bahawa janji defendan tidak dapat dikuatkuasakan kerana
plaintif wajib hadir di mahkamah apabila sapina telah dikeluarkan.

Walau bagaimanapun keputusan yang berbeza telah dibuat dalam kes


Glassbrook Brothers, Ltd. lwn Glamorgan County Council [1925] A.C. 270.
Dalam kes ini, pihak polis telah menuntut 2200 pound sterling yang telah
dijanjikan oleh sebuah syarikat perlombongan di mana pihak polis telah
memberi kawalan keselamatan yang ketat semasa pekerjanya
melancarkan mogok. Mahkamah memutuskan bahawa pihak polis boleh
menuntut kerana mereka telah memberikan perkhidmatan lebih daripada
yang dikehendaki oleh undang-undang.

4.5 KEBERPADAAN BALASAN

Keberpadaan balasan bermaksud sama ada balasan yang diberi itu


mencukupi atau tidak. Misalnya apabila kita membeli sebuah basikal,
sekiranya harga jualan adalah RM5 sahaja, akan wujud persoalan sama
ada balasan yang diberi itu memadai atau tidak. Mengikut huraian 2
dalam s 26:

Sesuatu perjanjian di mana persetujuan pembuat janji


diberi secara bebas tidaklah batal semata-mata kerana
balasan itu tak memadai.

Sama ada balasan itu memadai atau tidak, mahkamah akan


mempertimbangkan dengan menentukan persoalan sama ada persetujuan
pembuat janji itu diberi secara bebas atau tidak. Sekiranya persetujuan
pembuat janji itu diberi secara bebas, balasan tersebut adalah memadai.
Mengikut Akta Kontrak persetujuan adalah bebas sekiranya tiada unsur
seperti paksaan, pengaruh tidak berpatutan, tipuan, salahnyataan dan
khilaf.

Misalan (f) s 26 dapat menerangkan perkara ini dengan lebih lanjut iaitu:
A bersetuju untuk menjual seekor kuda yang bernilai RM1000 dengan
harga RM10. Persetujuan A dalam membuat perjanjian itu adalah diberi
secara bebas. Perjanjian itu adalah suatu kontrak sekalipun balasan itu tak
berpada.

Misalan (g) s 26 juga menghuraikan tentang keberpadaan balasan iaitu: A


bersetuju untuk menjual seekor kuda yang bernilai RM1000 dengan harga
RM10. A menyangkal bahawa persetujuannya dalam membuat perjanjian

36
itu adalah diberi secara bebas. Ketakberpadaannya balasan itu adalah
suatu fakta yang harus dikira oleh mahkamah dalam mempertimbangkan
sama ada persetujuan A telah diberi secara bebas.

Dalam kes Phang Swee Kim lwn Beh I Hock [1964] MLJ 383, pihak
responden telah memindah milik sebahagian daripada haknya terhadap
sebidang tanah kepada suami perayu, si mati. Balasan ke atas pindah
milik itu adalah 20,000 mata wang Jepun. Pindah milik tersebut tidak
pernah didaftarkan tetapi si mati telah menduduki tanah itu sehingga dia
meninggal dunia. Tidak ada sebarang wasiat yang ditinggalkan oleh si
mati. Pihak perayu, balu si mati memperolehi surat kuasa dan menduduki
tanah tersebut. Tidak lama kemudian, tanah itu dibahagikan kepada dua
lot dan bahagian tanah yang diduduki oleh pihak perayu menjadi milik
responden. Kini pihak responden mendakwa bahawa pihak perayu telah
mencerobohi tanah responden dan menuntut untuk pemilikan kosong
(vacant possession).

Dalam tuntutan balas, pihak perayu memohon supaya mahkamah


mengisytiharkan bahawa perayu adalah pemilik lot berkenaan
berdasarkan perjanjian lisan di antaranya dan responden. Apabila kes ini
dibicarakan hakim memutuskan bahawa perjanjian lisan tersebut adalah
batal kerana balasan tidak mencukupi.

Rayuan telah dibuat ke Mahkamah Persekutuan. Mahkamah membuat


keputusan yang memihak kepada pihak perayu di mana s 26, huraian 2
telah digunakan.

Kesimpulan yang kita boleh buat dari kes tersebut di atas ialah balasan
yang diberikan di bawah satu perjanjian tidaklah perlu mencukupi dan
perjanjian tidak menjadi batal semata-mata balasan tidak mencukupi
asalkan persetujuan pembuat janji diberi secara bebas.

Sementara itu dalam kes Macon Works & Trading Sdn Bhd lwn Phang Hon
Chin & Anor [1976] 2 MLJ 177, bayaran nominal satu ringgit seperti yang
dikehendaki dalam opsyen pembelian tanah tidak diberikan. Oleh itu
opsyen tersebut tidak dapat dikuatkuasakan kerana ketiadaan balasan.
Namun begitu, mahkamah memutuskan bahawa suatu balasan tidak
perlu mencukupi tetapi mestilah bernilai dan sah di sisi undang-undang.

Di dalam kes Inggeris Chappell & Co. Ltd lwn Nestle Co. Ltd. [1960] AC
87, pihak perayu adalah pemilik hak cipta lirik “Roskin Shoes” dan pihak
responden adalah pembuat coklat. Pihak responden menawarkan kepada
pihak umum rekod gramophone untuk lirik tersebut bagi setiap

37
pengiriman 1 pound sterling 6 siling, dan tiga keping kertas pembalut
coklat keluaran responden. Menurut Akta Hak Cipta 1956, sesiapa sahaja
mempunyai hak menggunakan lirik yang ada perlindungan hak cipta
dengan syarat ia membayar peratus tertentu harga jualan runcit biasa
(ordinary retail selling price) kepada pemilik hak cipta tersebut.

Pihak perayu berhujah bahawa pihak respoden tidak boleh bergantung


kepada seksyen tersebut kerana balasan yang digunakan dalam kes ini
adalah termasuk tiga keping kertas pembalut coklat.

House of Lords memutuskan bahawa kertas pembalut coklat adalah


sebahagian dari balasan untuk mendapatkan rekod tersebut dan ia boleh
menjadi satu balasan yang bernilai. Kes ini menunjukkan bahawa balasan
di bawah undang-undang Inggeris juga tidak perlu mencukupi tetapi
mempunyai nilai di sisi undang-undang.

4.6 PERJANJIAN TANPA BALASAN

Sebelum ini, kita menyatakan suatu kontrak atau perjanjian tanpa balasan
adalah batal dan tidak dapat dikuatkuasakan. Walau bagaimanapun ada
beberapa keadaan di mana suatu kontrak tetap akan menjadi sah dan
dapat dikuatkuasakan walaupun tiada balasan yang diberikan. Seksyen 26
Akta Kontrak memperuntukkan empat keadaan di mana perjanjian tanpa
balasan adalah sah. Keadaan yang pertama dinyatakan dalam s 26(a) yang
berbunyi:

26(a) Sesuatu perjanjian yang dibuat tanpa balasan


adalah batal, kecuali – ianya dinyatakan secara
bertulis dan didaftarkan menurut undang-undang
(jika ada) yang pada masa itu berkuat kuasa untuk
pendaftaran dokumen sedemikian dan dibuat
berdasarkan atas kasih sayang semula jadi antara
pihak-pihak yang ada hubungan karib antara satu
sama lain.

Seksyen 26(a) menyenaraikan beberapa syarat yang mesti dipatuhi supaya


perjanjian tersebut dapat dikuatkuasakan iaitu

(i) Perjanjian mestilah bertulis.


(ii) Didaftarkan menurut undang-undang (jika ada) pada
masa itu.
(iii) Dibuat berdasarkan kasih sayang semula jadi antara
pihak-pihak yang ada hubungan karib antara satu sama
lain.

38
Mari kita lihat kepada misalan (b) yang diberikan di bawah s 26 iaitu:

A kerana kasih sayang semula jadi, berjanji memberi kepada anak


lelakinya, B, RM1000. A menyatakan kepada B secara bertulis, dan
mendaftarkannya menurut undang-undang yang berkuat kuasa pada
masa itu untuk pendaftaran dokumen sedemikian. Ini adalah suatu
kontrak.

Syarat-syarat penggunaan s 26(a) adalah mudah difahami khususnya


mengenai syarat bahawa perjanjian itu mestilah bertulis dan didaftarkan
sekiranya undang-undang memerlukan.

Syarat yang ketiga mengenai kasih sayang semula jadi telah ditakrifkan
dalam kes Re Tan Soh Sim [1951] MLJ 21. Dalam kes ini, satu perjanjian
telah dibuat oleh waris mendiang Puan Tan So Sim bahawa harta
peninggalan si mati hendaklah dibahagikan di antara dua anak saudara
angkat perempuan, dan dua anak saudara angkat lelakinya untuk
memenuhi hasrat si mati.
Isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah ialah sama ada anak angkat
lelaki mempunyai hubungan rapat dengan keluarga ayah angkat atau
keluarga ibu angkatnya.
Mahkamah memutuskan isu tersebut berdasarkan adat resam masyarakat
kaum Cina, iaitu anak angkat lelaki mempunyai hubungan rapat dengan
keluarga ayah angkatnya sahaja dan bukan dengan keluarga ibu
angkatnya. Oleh yang demikian perjanjian untuk pembahagian harta
adalah batal kerana ketiadaan balasan dan tidak memenuhi syarat yang
ketiga iaitu mengenai kasih sayang semula jadi antara pihak-pihak yang
ada hubungan karib.
Penulis Shaikh Mohd Noor Alam S. M. Hussain (1995) dalam bukunya
yang berjudul Undang-Undang Komersil Malaysia memberi
pendapatnya tentang tafsiran kehakiman mengenai istilah kasih sayang
semula jadi, dan mengesyorkan bahawa tafsiran yang lebih luas patut
diberikan kepada istilah tersebut. Beliau juga merujuk kepada ulasan
Singhal dan Subrahmanayam 1980, The Indian Contract Act, edisi kedua,
jilid satu, halaman 658 yang menyatakan:
“Perkataan-perkataan ‘pihak-pihak yang mempunyai
hubungan rapat’ tidak harus diberi pengertian sempit dan
terhad kepada ‘saudara-saudara terdekat sahaja’. Sudah
memadai jika mereka mempunyai hubungan rapat. Malah,
perkataan ‘hubungan rapat’ harus diberi pengertian yang
biasa dan hakiki… Pembahasan fasal itu tidak
memerlukan hubungan itu terhad kepada hubungan
darah.”
39
Pengecualian kedua dan ketiga bahawa perjanjian tanpa balasan adalah
sah dinyatakan di dalam s 26(b) iaitu:

26(b) Sesuatu perjanjian yang dibuat tanpa balasan


adalah batal kecuali –
ianya sesuatu janji untuk memampaskan
keseluruhan atau sebahagiannya, kepada seseorang
yang telah berbuat sesuatu secara sukarela untuk
pembuat-janji atau berbuat sesuatu yang pembuat
janji boleh dipaksa di sisi undang-undang untuk
membuat ...

Mari kita lihat kepada keadaan pertama dahulu iaitu sesuatu janji untuk
memampaskan, keseluruhan atau sebahagian kepada seseorang yang telah
berbuat sesuatu secara sukarela untuk pembuat janji.

Untuk menggunakan seksyen ini, penerima janji mestilah membuat


sesuatu secara sukarela dan bukan menurut kehendak pembuat janji.
Contoh paling mudah yang dapat menerangkan seksyen ini adalah satu
keadaan di mana Anita terjumpa beg Anuar dan mengembalikan beg itu
kerana terdapat alamat pada beg tersebut. Anuar berjanji akan memberi
RM100 kepada Anita. Janji Anuar adalah satu kontrak kerana janji itu
adalah memampaskan keseluruhan perbuatan Anita yang dilakukan
secara sukarela itu.

Seperti dinyatakan pada perenggan di atas, perbuatan itu mestilah


dilakukan secara sukarela dan bukan atas kehendak atau permintaan
pembuat janji. Di dalam kes J.M. Wotherspoon & Co. Ltd. lwn Henry Agency
House (1962) 28 MLJ 86, mahkamah memutuskan bahawa sekiranya
sesuatu perbuatan atau tindakan itu dilakukan atas cadangan pihak lain
maka perbuatan atau tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai sukarela.

Bahagian kedua s 26(b) menyatakan tentang sesuatu janji untuk


memampaskan keseluruhan atau sebahagiannya kepada seseorang yang
berbuat sesuatu yang pembuat janji boleh dipaksa di sisi undang-undang
untuk membuat. Saya fikir adalah lebih baik sekiranya saya dapat
bahagikan seksyen ini kepada dua perenggan supaya saya dapat
menerangkan dengan lebih jelas iaitu

(i) Mesti ada janji untuk memampaskan (to compensate)


seseorang lain yang telah melakukan sesuatu,
(ii) Perbuatan yang dilakukan adalah yang pembuat janji
boleh dipaksa di sisi undang-undang untuk
melakukannya.

40
Contoh yang boleh kita gunakan untuk menerangkan s 26(b) adalah
seperti berikut:

Pak Din telah menanggung Khalid, anak Bakar yang belum dewasa
semasa Bakar berada di dalam penjara selama empat tahun. Apabila
Bakar dibebaskan, Bakar berjanji kepada Pak Din bahawa beliau akan
membayar kepada Pak Din segala perbelanjaannya terhadap Khalid. Janji
Bakar adalah satu kontrak yang dapat dikuatkuasakan kerana Bakar
sebagai seorang bapa mempunyai tanggungan untuk memberi nafkah dan
menyediakan keperluan kepada anaknya, dan Bakar boleh dipaksa di sisi
undang-undang-undang untuk berbuat demikian.

Contoh lain ialah Ridwan telah membayar kompaun bagi kesalahan jalan
raya yang dilakukan oleh abangnya Razak. Razak berjanji akan membayar
kembali jumlah yang dibayar itu. Janji Razak boleh dikuatkuasakan
kerana Razak boleh dipaksa di sisi undang-undang untuk membayar
kompaun atau denda tersebut.

Keadaan yang terakhir di mana perjanjian tanpa balasan adalah sah


disebut dalam s 26(c) yang berbunyi:

26(c) Sesuatu balasan yang dibuat tanpa balasan adalah


batal kecuali –
ianya sesuatu janji yang dibuat secara bertulis dan
ditandatangani oleh orang yang menanggungnya
atau oleh agennya, yang diberi kuasa secara am
atau khusus untuk maksud itu, supaya membayar
keseluruhan atau sebahagian dari sesuatu hutang,
yang pembayarannya boleh dikuatkuasakan oleh si
piutang seandainya tidak ada undang-undang
mengenai batasan guaman.

Seksyen ini nampaknya agak panjang tetapi kita boleh pecahkan seksyen
tersebut seperti berikut supaya kita mudah memahaminya iaitu

(i) Ada perjanjian secara bertulis.


(ii) Perjanjian itu ditandatangani oleh orang yang
menanggung hutang atau agennya yang diberi kuasa.
(iii) Perjanjian itu adalah untuk membayar keseluruhan atau
sebahagian hutang.
(iv) Hutang tersebut mestilah yang dihalang oleh had masa
(lebih dari enam tahun).

Syarat-syarat seperti yang terkandung dalam (i), (ii) dan (iii) adalah
mengenai adanya satu perjanjian baru secara bertulis, dan perjanjian itu

41
telah ditandatangani serta perjanjian tersebut adalah untuk membayar
keseluruhan atau sebahagian hutang. Saya fikir syarat-syarat ini tidak
perlu diterangkan kerana mudah difahami.

Mari kita lihat kepada syarat keempat iaitu mengenai hutang yang
dihalang oleh had masa. Sebenarnya hutang yang dihalang oleh had masa
bermaksud hutang yang tidak boleh dituntut melalui tindakan mahkamah
kerana had masa yang ditetapkan oleh undang-undang telah luput.
Menurut Akta Had Masa 1953, tempoh masa untuk mengambil tindakan
undang-undang adalah enam tahun dari masa kausa tindakan wujud.

Untuk tujuan menuntut hutang, tempoh masa suatu tindakan undang-


undang boleh dibawa ke mahkamah adalah enam tahun dari masa
kemungkiran pembayaran berlaku. Setelah enam tahun kita menyatakan
bahawa hutang itu telah dihalang oleh had masa. Ini bererti pemiutang
tidak boleh menuntut untuk hutang tersebut sebab hutang itu dihalang
oleh had masa. Akan tetapi s 26(c) menyatakan pengecualian iaitu
sekiranya tiga syarat yang telah saya senaraikan di bawah ini dipenuhi
iaitu

(i) Ada perjanjian secara bertulis.


(ii) Perjanjian itu ditandatangani oleh orang yang
menanggung hutang atau agennya yang diberi kuasa.
(iii) Perjanjian itu adalah untuk membayar keseluruhan atau
sebahagian hutang.

Apabila tiga syarat tersebut di atas dipenuhi, hutang yang dihalang oleh
had masa tadi akan ‘hidup semula’. Ini bererti bahawa hutang itu boleh
dituntut semula walaupun ia dihalang oleh had masa pada awalnya.

Mari kita lihat kepada misalan (e) dalam s 26 yang menghuraikan maksud
s 26(c) iaitu A terhutang RM1000 kepada B, tetapi hutang itu dihalang
oleh had masa. A menandatangani suatu janji bertulis untuk
membayar RM500 kepada B sebagai bayaran hutang itu. Ini adalah suatu
kontrak.

4.7 RUMUSAN

Sebagai kesimpulan kita boleh menyatakan bahawa balasan adalah harga


yang kita bayar kepada satu pihak untuk membeli janji pihak lain. Balasan
juga tidak semestinya cukup tetapi perlulah memadai. Pihak mahkamah
juga tidak akan campur tangan dengan tawar menawar yang dibuat oleh
pihak-pihak yang berkontrak. Walau bagaimanapun ketakberpadaan
balasan adalah menjadi suatu fakta yang harus dikira oleh mahkamah
dalam mempertimbangkan sama ada persetujuan telah diberi secara
bebas atau tidak.
42
Kita juga harus tahu perbezaan yang terdapat di antara undang-undang
Inggeris dan Akta Kontrak. Perbezaan yang nyata dalam undang-undang
Inggeris adalah mengenai balasan mesti datang dari penerima janji;
balasan lampau tidak bernilai; dan pembayaran sebahagian tidak boleh
melangsaikan keseluruhan hutang.

Balasan yang diberikan untuk menyempurnakan suatu kewajipan di sisi


undang-undang juga tidak boleh dikuatkuasakan di mahkamah. Salah
satu sebab yang saya boleh fikirkan ialah untuk menjadikan kita sebagai
warganegara yang berguna untuk nusa dan bangsa. Kalau tidak, apa jua
yang seseorang lakukan kerana kewajipan di sisi undang-undang boleh
dituntut sebagai balasan.

Walaupun kaedah umum menyatakan perjanjian tanpa balasan adalah


batal. Akta Kontrak memberi pengecualian kepada kaedah ini dalam
empat keadaan, iaitu perjanjian yang berdaftar dan bertulis atau sesuatu
janji untuk memampaskan sesuatu yang telah dibuat dan sesuatu janji
untuk membayar hutang yang dihalang oleh had masa.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Nyatakan syarat-syarat pemakaian s 26(a) Akta Kontrak.

2. Pak Chin mempunyai tiga hektar tanah kebun di Sanglang. Beliau


mengalami masalah kewangan kerana anaknya, Rosni
memerlukan RM3000 untuk menjalani pembedahan jantung. Pak
Chin mendapat tahu bahawa Puan Rose memerlukan tanah
untuk membina rumah bungalownya. Pak Chin menawarkan
tanah kebun nya pada harga di bawah harga pasaran iaitu
RM30000 sahaja. Puan Rose menjelaskan kesemua harga tanah
secara tunai. Baru-baru ini, setelah Rosni selamat menjalani
pembedahan, Pak Chin datang berjumpa dengan anda untuk
mengetahui sama ada beliau boleh membatalkan pindahmilik
tanah tersebut atas alasan ketakberpadaan balasan.
Nasihatkan Pak Chin.

3. Firdaus adalah kawan baik Farhana. Beliau telah memberikan


pinjaman kepada Farhana untuk membiayai pelajarannya di
Universiti Utara Malaysia pada tahun 1989. Menurut perjanjian di
antara mereka, Farhana dikehendaki membayar balik pinjaman
tersebut setelah Farhana tamat pengajiannya iaitu pada tahun
1991. Farhana tidak pernah membuat apa-apa bayaran untuk

43
pinjaman tersebut walaupun dia kini bekerja sebagai pegawai
akaun di salah sebuah bank di Kuala Lumpur. Baru-baru ini
Firdaus yang sedang mengalami masalah kewangan datang
menuntut kembali wang yang dipinjamkan kepada Farhana iaitu
sebanyak RM20000.

Nasihatkan Farhana berdasarkan maklumat di atas.

4. Ah Meng adalah seorang anak yatim piatu. Ah Meng telah


dijadikan sebagai anak angkat oleh keluarga Tan Seng. Tan Seng
amat menyayangi Ah Meng kerana beliau adalah seorang yang
jujur dan rajin. Ah Meng telah mengusahakan ladang kelapa
sawit milik Tan Seng. Pada tahun lalu, Tan Seng telah
membelikan sebidang tanah, dan sebuah motosikal untuk Ah
Meng dengan hasil jualan kelapa sawit. Tindakan Tan Seng telah
menimbulkan kemarahan di kalangan anak-anaknya.

Pada awal bulan April yang lalu, Tan Seng meninggal dunia
dalam satu kemalangan jalanraya. Akan tetapi sebelum itu beliau
sempat memindahmilik tanah dan motosikal tersebut ke atas
nama Ah Meng.

Sementara itu Ah Meng telah membayar denda sebanyak RM250


untuk Tan Hoo, abang angkatnya bagi kesalahan tidak memiliki
lesen radio dan televisyen. Walau bagaimanapun Tan Hoo
berjanji akan membayar balik jumlah tersebut. Tetapi apabila
Ah Meng menuntut, Tan Hoo enggan membayar.

Nasihatkan Ah Meng mengenai kesahan pindahmilik tanah,


motosikal dan hak untuk mendapatkan denda yang dibayar
olehnya.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

44

Anda mungkin juga menyukai