Anda di halaman 1dari 17

KRITIK SOSIAL DALAM SKRIP DRAMA PENTAS ‘MA’AL HAYAT’

Ena Herni Wasli


Pengajian Melayu
Program Kesusasteraan Melayu
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Brunei Darussalam

Abstrak: Kritik Sosial merupakan suatu bentuk luahan atau ekpresi pengarang tentang masalah-
masalah sosial yang hadir dalam masyarakat. Ini bertujuan untuk mengajak pembaca memikirkan
dan memahami masalah-masalah tersebut yang tidak seharusnya berlaku. Penelitian yang
dilakukan dalam Kumpulan Skrip Drama Pentas ‘Ma’al Hayat’ karya Panji Lara memperlihatkan
pelbagai isu yang dihadapi oleh masyarakat sebagai satu masalah yang memerlukan
penyelesaian, pembaharuan dan perubahan. Sebanyak empat naskah drama akan dibincangkan,
iaitu Raja Paduka, Bakat, Rezeki dan Pe(mimipi)n. Teguran dan kritikan tentang kelemahan
manusia yang secara tidak langsung menuntut adanya pembaikan. Kumpulan skrip drama ini
banyak disisipi unsur humor namun pengarang berjaya menyuarakan kritikan, teguran dan
sindiran terhadap permasalahan sosial masyarakat sehariannya.

Kata kunci: kritik sosial, naskah drama, isu sosial, konflik

Abstract:
Social criticism is a way for authors to express their thoughts on societal issues. This aims to
invite readers to think and comprehend issues that should not arise. This study explores
Kumpulan Skrip Drama Pentas ‘Ma’al Hayat’ by Panji Lara, highlighting a number of societal
issues that require solutions, improvements, and changes. The four play scripts that will be
discussed are Raja Paduka, Bakat, Rezeki, and Pe(mimipi)n. The author manages in voicing
critiques and sarcasm about the social issues of society’s everyday life filled with humor
components.

Keywords: social criticism, drama script, social issue, conflict

1
KRITIK SOSIAL DALAM SKRIP DRAMA PENTAS ‘MA’AL HAYAT’

Pendahuluan

Drama sebagai sebuah karya kreatif yang dicipta oleh pengarangnya, bukan setakat

memaparkan keindahan yang mengandungi moral atau mesej, malah sarat dengan kehidupan

sosial masyarakat sekeliling. Penikmatan drama tidak sekadar melalui pembacaan naskah atau

skrip tetapi pengarang ingin meningkatkan kesedaran dan mencabar pembaca berfikir secara

kritis tentang dunia di sekeliling. Penulisan drama banyak berkisar pada pergolakan alam

kehidupan sesuatu zaman, ataupun yang dapat memberi keinsafan terhadap tanggungjawab,

pelajaran dan teladan yang menjadi perbandingan hidup. Penciptaan naskah drama berkait rapat

dengan masyarakat kerana karya sastera dan masyarakat merupakan komponen yang tidak dapat

dipisahkan. Naskah atau skrip drama sebuah karya sastera yang dihasilkan dari peniruan

kehidupan, dan merupakan cerminan fenomena sosial dan budaya yang terdapat dalam

kehidupan sebenar. Naskah ini kemudiannya diolah berdasarkan peristiwa yang berlaku, difikir

dan dialami oleh pengarang. Idea dan gagasan pengarang yang dituangkan dalam naskah drama

tidak lepas dari pengalaman subjektifnya sebagai anggota masyarakat.

Seperti juga karya sastera (novel dan cerpen), drama turut menampilkan atau

menuangkan teguran, kritik dan sindiran terhadap masalah-masalah sosial yang terjadi dalam

masyarakat. Sebagaimana yang di utarakan oleh Kamis Tuah (1993:33), ‘seseorang penulis

menghasilkan sesuatu karya sastera (novel, cerpen, drama atau sajak) kerana ia melihat ada

sesuatu hal atau keadaan yang dibenci atau yang tidak disukai yang sedang berlaku dalam

masyarakat yang menurut penulis mungkin tidak seharusnya berlaku.’ Dalam hal ini, seorang

pengarang menulis karya adalah kerana ia ingin mengemukakan kebenaran yang menurut

fikirannya baik untuk dijadikan tatapan atau pengajaran kepada pembaca (masyarakat).

2
Sehubungan dengan ini, drama dikatakan menjadi ‘penyambung lidah masyarakat dalam

menyampaikan kritik dan komentar sosial,’ (Sutarman, Suhendi & Ansori, 2020:2). Sutarman,

Suhendi dan Ansori (2013) menyimpulkan kritikan itu timbul kerana melihat adanya masalah-

masalah atau kejadian-kejadian yang tidak seharusnya berlaku yang mendorong pengarang

mengeluarkan teguran atau kritikan. Ini kerana naskah drama merupakan alat yang berkesan

untuk menyampaikan mesej tentang isu-isu sosial yang berlaku.

Penelitian ini akan membincangkan kritik sosial di dalam skrip drama pentas Ma’al

Hayat karya Panji Lara atau Sham Hidie. Perbincangan ini melihat kritik sosial itu sebagai satu

teguran dan sindiran pengarang terhadap fenomena atau masalah yang terjadi dalam masyarakat

yang tidak sepatutnya berlaku. Berdasarkan hasil penelitian pada skrip drama pentas ‘Ma’al

Hayat’, skrip drama pentas ini sarat dengan kritik sosial yang disampaikan secara tersirat dan

diolah secara halus oleh pengarangnya. Naskah-naskah yang dihasilkan walaupun dilihat

berunsur hiburan dan humor, dan apabila dibaca seolah-olah tidak ada apa-apa tetapi pengarang

berjaya menyuarakan kritikan, perasaan dan pandangan terhadap permasalahan-permasalahan

sosial berdasarkan pandangannya sebagai penulis. Hampir semua naskah yang terkandung di

dalam skrip drama pentas Ma’al Hayat ini cuba mengupas beberapa isu atau permasalahan sosial

yang berlaku dalam masyarakat seharian. Pengamatan pengarang terhadap masyarakat sekeliling

diungkapkan dengan jelas melalui gaya penulisan beliau yang sangat menarik. Teguran atau

sindiran tentang masalah-masalah sosial yang secara tidak langsung menuntut adanya pembaikan

dan kumpulan skrip drama pentas ‘Ma’al Hayat’ ini banyak memperlihatkan isu yang dihadapi

oleh masyarakat sebagai satu masalah yang memerlukan penyelesaian, pembaharuan dan

perubahan.

3
Hasil Penelitian dan Pembahasan

Naskah-naskah yang terkandung di dalam kumpulan skrip drama pentas ‘Ma’al Hayat’ bertujuan

untuk mewakili dan mengulas kehidupan masyarakat serta meneroka perasaan dan pandangan

mereka sendiri. Panji Lara memanfaatkan penulisannya untuk mencerminkan permasalahan

masyarakat dan mengamati bagaimana permasalahan tersebut boleh dicabar atau diubah.

Hadirnya kritik sosial ini memperlihatkan kepekaan pengarang terhadap masalah yang berlaku di

kalangan masyarakat. Dalam hal ini, Panji Lara menggunakan naskah drama untuk

mengekspresikan pandangan, perasaan dan idea melalui karya yang ditulisnya. Perbincangan ini

akan mengupas empat naskah yang ada di dalam kumpulan skrip drama pentas ‘Ma’al Hayat’

yang mengandungi kritik sosial.

Naskah Raja Paduka

Suatu masalah merupakan gejala sosial yang meresahkan masyarakat dan masalah ini muncul

kerana anggota-anggota masyarakatnya berasa terganggu kerana tidak ada keseimbangan

pergaulan sesama anggotanya. Naskah Raja Paduka memperlihatkan beberapa masalah yang

dihadapi oleh anggota masyarakatnya. Berikut adalah beberapa penggalan adegan dan dialog

yang memperlihatkan permasalahan yang dihadapi oleh penghulu-penghulu di sebuah negara

yang diperintah oleh Raja Paduka.

PENGHULU 1 : Bekalan air ke mukim kami telah putus, Tuanku. Jadi segala
pekerjaan jadi terbejat. Tak boleh memasak, mencuci pakaian,
apalagi nak mandi. Nak tunggu air hujan sekarang tengah musim
panas. Itulah sebabnya makan kami tak kenyang sebab asyik makan
makanan kering saja, tidur kami tak lena dan mandi pun tak basah
kecuali oleh peluh saja, sebab badan miang lama tak mandi. Buang
air pun jarang-jarang. Mohon ampun, Tuanku.

RAJA PADUKA : Bukankah orang tua-tua ada cakap air ditetak tak akan putus.
Bagaimana pula boleh ada masalah air dekat situ sedangkan yang

4
beta faham mukim Tok Penghulu ni dekat dengan tasik. Sudah
diadukan kepada pegawai air negara ke?

PENGHULU 1 : Dah banyak cara kita kontek dia orang Tuanku. Surat, telefon, faks,
pager, mesej berantai, e-mel, semua belum jalan. Bila ada anak
buah pergi tanya ke pejabat, dia orang bilang sedang diusahakan,
tapi batang hidung bos dia orang pun tak nampak-nampak. Janji
bukan main.

RAJA PADUKA : Oh, begitu. Jurutulis, tolong dicatat. Beta mahu tindakan seberapa
segera juga.

Pada petikan dialog di atas, pengarang menghadirkan kritikan terhadap kondisi masyarakat

secara realiti yang memerlukan perhatian. Masalah-masalah ini tidak akan terjadi jika hubungan

interaksi sosial antara individu dan kelompok masyarakat dapat dicapai melalui komunikasi yang

baik dan efektif, kerjasama dan toleransi. Pengarang secara jelas memperlihatkan sikap

sesetengah pihak atau individu yang sambil lewa menjalankan amanah yang diberikan sehingga

menimbulkan masalah pada kehidupan masyarakat. Petikan tesebut cuba menyedarkan pihak-

pihak tertentu dengan kesan yang berlaku pada masyarakat.

Selanjutnya, masalah yang turut menjejaskan kondisi masyarakat juga diperlihatkan

melalui aduan Penghulu 2 dan masalah ini telah mengganggu malah merugikan masyarakat.

Pengarang menggambarkan kesusahan yang harus ditanggung oleh masyarakat disebabkan sikap

sesetengah pihak yang tidak menjalankan tugas yang diamanahkan.

PENGHULU 2 : Mukim kami diserang penyakit berjangkit, Tuanku. Semuanya


disebabkan oleh satu gigitan.

RAJA PADUKA : Gigitan? Pontianak menyerang ke atau drakula?

PENGHULU 2 : Bukan, Tuanku. Ini lebih parah daripada kedua-duanya, Tuanku.


Dia menyerang tak kira tempat, kadang-kadang waktu siang, tapi
selalu mula rembang senja sehingga matahari tinggi.

RAJA PADUKA : Apa bendanya tu, Tok Penghulu?

5
PENGHULU 2 : Sekarang tikus dan nyamuk sedang bermaharajalela menyerang.
Tikus-tikus pula habis menyerang kebun dan sawah bendang. Habis
peralatan rumah, kain baju, buku sekolah kena gigit. Tak cukup
dengan itu, dia boleh pula sembur “air keramat”, habis busuk hangit
satu rumah. Macam mana kami nak beraya nanti, Tuanku?

RAJA PADUKA : Yang nyamuk itu pula, sama juga ke?

PENGHULU 2 : Kurang lebih, Tuanku. Cuma yang ini habis warga mukim jatuh
sakit demamlah apalah. Gara-gara digigit nyamuk.

RAJA PADUKA : Apa sebab jadi semua ini?

PENGHULU 2 : Sistem saliran dan pembentungan di tempat kami tak berfungsi


dengan baik, Tuanku. Sumbat sana, rosak sini, timbus sana, gali
sini. Jadi longkang banyak tersumbat. Aliran air tak jalan lancar. Itu
yang tikus dan nyamuk suka hati membiak dekat situ.

Pengarang turut membicarakan secara sindiran dan terbuka tentang isu pengangguran dan

mempersoalkan punca berlakunya pengangguran. Punca utama pengangguran berlaku yang cuba

digambarkan oleh pengarang adalah kerana tiada peluang pekerjaan diberikan. Melalui perbualan

Penghulu 3 dengan Raja Paduka memperlihatkan kebanyakan ruang pekerjaan dibolot oleh

orang-orang senior. Pengarang seolah-olah menyindir faktor utama berlakunya pengangguran di

kalangan anak-anak muda disebabkan sikap para senior yang tidak memberi peluang dan

menganggap anak-anak muda kurang berpengalaman.

PENGHULU 3 : Kadar pengangguran di tempat patik terlalu tinggi, Tuanku.


Masalahnya ditambah lagi dengan dasar pencen dengan umur yang
tinggi. Jadi penjawat awam dan pegawai yang dah “senior-senior”
masih tetap bekerja sedangkan umur dah lanjut sangat, tak mahu
pencen-pencen, Tinggallah yang muda-muda ni tak kerja-kerja lagi
sebab belum dapat menggantikan yang “senior-senior” ni.
Termasuklah patik ni yang masih bekerja sedangkan umur dah
lanjut sangat. Nak minta ganti belum ada yang sesuai, pengalaman
dia orang belum cukup.

RAJA PADUKA : Macam mana nak dapat pengalaman kalau yang muda-muda tu tak
diberi kerja? Lagi pula dah habis ke ruang kerja di mukim Tok
Penghulu? Kerjalah apa-apa pun, berbudi pada tanah ke, meredah
lautan ke, berniaga ke, tak pun jadi seniman, kerja bidang kreatif?

6
Janji halal dan tak kacau orang. Atau susah sangat suruh saja dia
orang tu pergi merantau?

PENGHULU 3 : Nak suruh dia orang tu merantau susah, Tuanku. Siapa nak
bayarkan tiket kapal terbang, kapal laut, tak pun minyak kereta
dengan duit poketnya sekali? Sekarang harga minyak dunia tak
tentu, Tuanku.

Berdasarkan petikan di atas, pengarang menyarankan perlunya pihak-pihak tertentu

memikirkan penyelesaian untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan harus bertindak segera

untuk mengurangkan pengangguran di kalangan anak-anak muda. Adalah penting bagi pihak-

pihak tertentu untuk tidak mementingkan diri sendiri.

Peribahasa Melayu ada mengungkapkan ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’ dan

begitulah juga negara yang aman, jangan disangka tiada masalah. Petikan di bawah ini seolah-

olah satu sindiran terhadap sikap individu atau sekelompok masyarakat yang apabila sudah

terlalu selesa dengan kondisi yang serba serbi cukup, mereka memilih untuk tidak berbuat apa-

apa. Keadaan ini agak bertentangan dengan masalah yang dihadapi oleh Penghulu 3. Masalah

yang dihadapi oleh Penghulu 4 ini melibatkan ruang pekerjaan yang sudah terlalu cukup dan

dapat memenuhi kehendak masyarakatnya. Namun, perlu diiringi dengan usaha agar negara itu

terus bergerak berkembang dan mempunyai masa depan. Pengarang ingin menegur sikap

segelintir masyarakat yang tidak mahu maju ke depan.

PENGHULU 4 : Disebabkan keadaan yang terlalu aman itu menyebabkan semua


artis, seniman, penggiat seni, dan budayawan di tempat patik sudah
mogok, ketandusan idea, kebantutan daya kreatif. Penyajak dan
penyair sudah tidak melaungkan kata-kata mereka. Penyanyi sudah
tidak bersenandung. Para dramatis, novelis dan cerpenis sudah tidak
mengakrabi kehidupan ini dalam tiap perenggan aksara mereka.
Bahkan para penari, pelakon, pelukis, sarjana, semua yang berkaitan
semacam sudah tidak bernyawa lagi. Disebabkan keadaan terlalu
aman itu, mereka telah jadi patung bernyawa, hidup tidak berinti
kosong tanpa mimpi.

7
RAJA PADUKA : Aduh, ini sudah parah. Kalau mereka sudah tidak bergiat lagi
macam mana kita mahu menarik industri pelancongan berasaskan
seni dan budaya? Bagaimana kita mahu mengekalkan sumber
warisan buat generasi mendatang? Macam mana agar identiti
bangsa kita tidak hilang begitu saja?

PENGHULU 4 : Ini yang sangat merunsingkan hati dan fikiran kami, Tuanku.

Dari sudut yang lain pula, petikan di atas memperlihatkan perjuangan seni yang kurang

dihargai. Kedudukan seni itu dilihat kurang mendapat perhatian dari sesetengah pihak padahal

seni memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Seni berperanan sebagai alat

untuk mengekpresikan nilai-nilai dan identiti suatu negara. Seni juga dapat digunakan untuk

meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan meningkatkan kesedaran sosial (keadaan yang

terlalu aman seperti yang dikatakan oleh Penghulu 4). Raja Paduka mewakili suara para seniman

dan penggiat seni yang melihat kepentingan seni sebagai satu alat untuk meningkatkan ekonomi

negara dan melestarikan keragaman budaya agar tidak hilang begitu saja.

Secara keseluruhannya, naskah Raja Paduka menyampaikan pelbagai isu sosial

masyarakat dari isu yang dianggap kecil sehingga yang utama. Naskah ini menawarkan

pandangan dan teguran tentang isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat. Segala isu masyarakat

yang berlaku di sebuah negeri pemerintahan Raja Paduka disampaikan secara bersahaja tetapi

dalam masa yang sama mendorong pembaca berfikir tentang apa yang ingin disampaikan oleh

pengarangnya.

Naskah Bakat dan Rezeki

Kondisi pengangguran yang tinggi dapat digunakan sebagai indikator kesihatan ekonomi

suatu negara. Pengangguran adalah isu global yang sangat membimbangkan seluruh dunia. Isu

ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang tidak bekerja, tetapi juga komuniti

masyarakat sekeliling. Pengangguran yang tinggi boleh membawa kesan terhadap ekonomi dan

8
sosial sesebuah negara. Adalah penting untuk memahami punca pengangguran yang tinggi untuk

membangunkan strategi yang berkesan. Kedua-dua naskah Bakat dan Rezeki menonjolkan isu

pengangguran di kalangan belia dan pengarang telah memperlihatkan punca dan kesan

pengangguran melalui kedua-dua naskah ini. Melalui naskah Bakat, pengarang mengemukakan

dua permasalahan punca berlakunya pengangguran iaitu pertama, dari sikap majikan atau

organisasi itu sendiri dan kedua, sikap generasi belia yang mensia-siakan peluang yang

diberikan. Berikut adalah penggalan kritik sosial dalam naskah Bakat dimana pengarang

menyindir sikap segelintir individu yang tidak jujur dalam menjalankan amanah.

AWANG : Ehehe senang saja Bos. Kan ramai budak-budak tak kerja dekat luar
tu. Kita ambil la seorang dua letak jadi pelakon ke, kru tukang
angkat pasang barang ke, kru tukang jaga ke, kuli ke apa-apalah.
Bayar duit makan dengan minyak pun cukuplah. Duit lebih tu kita
laburkan benda lain. Apa macam?

BOS : (MARAH) Kau ni, tak boleh harap langsung, asyik ingat nak
senang saja. Kau fikir buat begitu boleh tolong anak bangsa kita
maju ke, boleh tolong kurangkan pengangguran sekarang? Boleh
bina ekonomi negara? Ada sedarlah sikit orang lain dah maju ke
hadapan pun kau masih dengan fikiran nak jadi pacat menghisap
keringat bangsa sendiri. Nak aku pecat kau sekarang juga biar kau
rasa macam mana jadi penganggur sekarang?

Pengarang dengan terbuka menyindir sikap segelintir individu yang tidak jujur dalam

menjalankan amanah dan suka mengambil kesempatan terhadap bangsa sendiri. Ini secara tidak

langsung menyebabkan kualiti kehidupan bangsa sendiri turut menurun kerana tidak ada peluang

diberikan kepada anak bangsa sendiri. Sikap sebegini harus dipandang serius dan langkah perlu

dilakukan sewajarnya untuk membantu industri pekerjaan agar anak bangsa sendiri terjamin dan

bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Selain itu, pengarang juga menyampaikan

kritikan tentang pemikiran sesetengah individu atau pihak yang memberi peluang lebih kepada

orang luar dan kebanyakan didominasi golongan luar sedangkan sepatutnya melatih anak

9
tempatan atau golongan belia menguasai kemahiran yang mampu menjana lebih banyak

pendapatan.

AWANG : Apa kata kita cari pengarah dari luar negara. Skrip boleh buat
baharu. Cerita kita adaptasi daripada cerita rakyat ke mitos, legenda
ke apa, ala ... yang macam orang putih selalu buat tu. Tak pun buat
cerita seram, cerita hantu. Lebih senang orang tengok. Bikin teriak-
teriak, bunyi seram, efek over dah ok. Tak ada jalan cerita tak apa.
Nak yang hebat, buat cerita romantik cinta-cinta. Pelakon boleh cair
baharu, yang muda, hensem, jambu, kiut semua boleh. Tak pandai
berlakon tak apa janji muka dan body dia pakej. Confirm penonton
cairlah, Bos.

BOS : (BERFIKIR) Kau ni biar betul. Macamlah anak tempatan tak ada
yang pandai mengarah. Asyik harapkan orang luar saja. Pelakon
kau nak cari jenis macam tu, buang masa betullah nak ajar dia orang
berlakon, harapkan muka saja. idea dan skrip cerita adaptasi tu aku
setuju. Boleh promo cerita-cerita rakyat orang kita. Tak nak cerita
hantu. Cerita cinta-cinta pun tak mahu, naik geli aku tengok. Tak
membina pemikiran masyarakat langsung.

Naskah Bakat ini juga menegur sikap golongan generasi baru yang diberi peluang

pekerjaan tetapi disia-siakan. Pengarang tidak memperlihatkan isu memilih kerja tetapi

pengarang menyindir sikap acuh tidak acuh di kalangan belia yang mengharapkan “gaji dan

bayaran segera.” Sikap terlalu mengharapkan gaji yang tinggi dan tidak mahu menerima gaji

permulaan yang mungkin rendah di kalangan anak-anak muda juga turut menjadi sindiran

pengarang. Sikap sebegini merugikan majikan atau pihak -pihak tertentu dan akan menjadi

masalah besar jika tidak ditangani kerana belia hari ini adalah pelaburan untuk masa depan

negara.

PENGARAH : Begini. Saya perhatikan budak dua orang tu, macam tak boleh
berlakon saja. Kaku, kayu, tak ada feel, tak ada rasa, tak ada nuansa.
Kosong. Kalau teruskan begini, rasa-rasanya projek ni tak boleh
jalanlah, bos. Masa dah makin suntuk. Tapi dia orang asyik nak
main-main saja. Ditegur susah, tak mahu dengar cakap. Syok
sendiri.

10
BOS : Lah iya ke? Nak buat macam mana ni, takkan nak batalkan pula?
Rugilah kita. Saya dah bayar banyak pada tuan pengarah, CIk Yuni.
Siap belanja makan lagi. Kostum, set, kelengkapan teknikal, dan
lain-lain saya dah tempahlah. Tak boleh batal. Rugi besar kita. Tuan
pengarah taka da jalan lagi ke? Tolonglah, latih sajalah budak-
budak tu? Buatlah apa yang patut.

PENGARAH : Itulah, saya dah buat apa yang patut. Harap-harap dia orang boleh
beri kerjasama dengan kita.

Mengulas mengenai peluang pekerjaan, sikap generasi muda itu sendiri perlu memiliki mental

yang kuat dan tidak mengharapkan ganjaran atau bayaran dengan cara yang cepat bahkan

hasilnya tidak ada. Penglibatan anak-anak tempatan dalam apa pun bidang pekerjaan memainkan

peranan penting dalam memikul tanggungjawab menyumbang kepada ekonomi negara.

Pengarang mengingatkan golongan generasi ini agar menitikberatkan tanggungjawab dan

perhatian dalam bidang pekerjaan yang diceburi. Namun masih didapati segelintir generasi baru

yang dianggap bersikap “rebellious” dan perlu melayan kehendak dan kemahuan mereka. Ini

digambarkan oleh pengarang melalui petikan dibawah ini:

BOS : Eh mana budak dua orang tu. Takkan rehat lama sangat. Awang,
kau pergi panggil pelakon kita dua orang tu. Mungkin tengah
minum-minum dekat luar tu.

AWANG : Baik Bos! (SEGERA KELUAR DAN BEBERAPA KETIKA


KEMUDIAN MASUK SEMULA SEORANG DIRI)

BOS : Ah, mana dia orang tu?

AWANG : Taka da Bos, dah hilang.

PENGARAH : What do you mean, hilang?

AWANG : Dah puas saya cari di mana-mana. Bilik persalinan, tandas, warung,
kantin, sampai ke tempat letak kereta saya caru, taka da! Budak
sekuriti luar tu kata, dia orang dah cabut!

CIK YUNI : Apa yang dia dah cabut?

11
AWANG : Lari! Tak nak datang lagi. Dia ada pesan tak usah cari lagi, dia
orang dah berhenti dah. Tak nak teruskan berlakon lagi. Tak
seronok, asyik kena marah saja, tak enjoy kata dia orang!

PENGARAH : Huh dasar anak manja, tak profesional langsung. Jentik sikit dah
nangis.

Manakala, dalam naskah Rezeki pula, pengarang memperlihatkan sikap generasi muda yang

tidak memilih pekerjaan dan merebut peluang yang diberikan. Namun di awal naskah ini,

pengarang turut membangkitkan punca berlakunya pengangguran di kalangan anak-anak muda.

Kesukaran memperoleh pekerjaan disebabkan kerana adanya konsep ‘pilih kasih,’ alasan

kelulusan tidak setimpal dan melebihi kelulusan. Permasalahan ini disuarakan dengan lantang

oleh pengarang melalui watak Awang yang dilihat mewakili generasi baru yang menganggur dan

masih belum mendapat sebarang panggilan pekerjaan. Berikut adalah penggalan beberapa

petikan Awang tentang ketidakpuasannya apabila ditanya soal pekerjaan oleh emaknya:

AWANG : Awang bukannya tak nak kerja, mak. Tapi tahulah zaman ekonomi
merosot sekarang, susah nak dapat kerja. Satu jawatan ditawarkan,
seribu orang nak ambil. Belum lagi jawatan yang ditawarkan tu
memerlukan pengalaman bertahun-tahun. Ada lagi beberapa
jawatan tu diiklankan tapi bila dipohon tahu-tahu dibatalkan. Lagi
teruk ada yang dah diisi awal alias main orang dalam. Macam mana
nak dapat?

….

AWANG : Bukan macam tu mak. Tapi, iyalah dengan keadaan ekonomi kita
sekarang ni nak buat macam mana. Kita ni kan hanya orang kecil,
bertindak pun kecil saja. Nak tunjuk pandai nanti ada pula orang
yang lebih pandai jadi tak senang, ramai pula yang dengki, dendam,
iri hati dengan kita. Mana ada orang berbadan besar tu nak pandang
kita serba-serbi kecil ni. Maklumlah, orang kita ni kan, kalau tak
disorongkan duit nanti dia orang gelar kita pelit. Apa yang boleh
kita buat cuma bersabar, berdoa banyak-banyak.

Dalam hal ini, kesukaran anak-anak muda seperti Awang untuk mendapat peluang pekerjaan

terbantut menyebabkan mereka cenderung untuk tidak berbuat apa-apa. Pengarang seolah-olah

12
ingin menyampaikan bahawa golongan anak-anak muda seperti Awang terpaksa menghadapi

situasi yang sukar apabila masih terdapat sesetengah pihak yang bersikap berat sebalah.

Pengarang menonjolkan watak Awang dan Amat sebagai generasi yang dibelenggu kerana

kesukaran mencari pekerjaan walaupun telah berusaha.

AWANG : Aku ni teringin juga nak ada kerja, nak pegang duit sendiri. Nak
beli itu, beli ini. Nak juga merasa mewah sikit walaupun tak
banyak. Kadang-kadang aku kasihan juga tengok mak aku tu. Dia
dah berumur, sepatutnya aku yang mesti menyara dia bukan
sebaliknya. Tapi, hmm sakit kepala aku memikirkannya.

AMAT : Iyalah betul juga kata kau. Aku ni pun walaupun kaya sikit daripada
kau, duit belanja mak bapa semua tanggung tapi macam tak
seronok. Tak, memang tak seronok langsung pun. Malulah asyik
minta duit dekat mak bapa aku tu. Hmm, aku pun ikut sakit kepala
memikirkan masalah tak ada kerja ni.

Menerusi kedua-dua naskah Bakat dan Rezeki, pengarang telah membangkitkan mengenai isu

pengangguran yang mendatangkan implikasi kepada golongan generasi muda. Dalam hal ini,

pengarang mengkritik segelintir individu dan pihak tertentu untuk mengubah pemikiran dan

sikap agar golongan muda perlu diberikan peluang untuk meningkatkan kualiti hidup mereka

dalam mencapai taraf kehidupan yang lebih baik secara adil.

Naskah Pe(mimpi)n

Naskah ini membicarakan tentang sikap individu apabila berdepan dengan konflik atau

masalah. Konflik muncul adalah disebabkan perebutan kuasa atau jawatan dan beberapa pihak

ingin bersaing untuk mendapatkan atau mempertahankan hak masing-masing. Masalah yang

dikritik oleh pengarang di dalam naskah ini adalah mengenai ketamakan kuasa yang ditonjolkan

melalui lima watak orang kota. Apabila sikap tamak wujud maka pertelingkahan akan berlaku

dan masing-masing akan cuba menegakkan benang yang basah.

ORANG KOTA 1 : Begini. Mengikut pandangan aku, tak perlulah kita nak susah-
susah buat undian, pilih siapa-siapa nak jadi pemimpin baharu

13
kita. Biar aku saja secara sukarela meletakkan diri aku jadi
pemimpin baharu kalian. Memandangkan aku yang lebih tua di
sini, pengalaman pun banyak. Dah puas makan garam. Jadi tak
salahkan kalau aku yang menggantikan jawatan tu. Macam
mana? Kalian setuju sudahlah. Cantik!

ORANG KOTA 2 : Habis, kami yang lain ni macam mana pula? Walaupun kami
tak suka makan banyak garam tapi tetap punya kelayakan untuk
mengganti pemimpin, tau! Akulah yang lebih layak sebab
sentiasa mengamalkan kehidupan sihat. Jadi potensi untuk
memimpin kalian dalam tempoh yang lama itu ada harapan
tinggi. Pilih aku!

ORANG KOTA 5 : Tak ada kena-mengena. Contoh pemimpin terbaik ada pada aku
ni! Masih muda tapi banyak pengetahuan terutama dengan
benda alat canggih macam ni. Engkau orang apa ada? Harapkan
gusi dengan rahang saja.

ORANG KOTA 4 : Tak patut. Aku yang lebih alim di sini. Tengok kopiah atas
kepala dengan tanda di dahi aku ni. AKulah yang patut engkau
orang angkat jadi pemimpin. Ada potensi memimpin kalian
menuju kebahagiaan hidup di dunia dan ...

ORANG KOTA 3 : (MEMOTONG) Tak jadi juga. Aku lebih kaya antara kalian.
Biar aku saja jadi pemimpin. Tiap hari engkau orang boleh
minum-minum luar rumah aku. Elaun jadi pengikut khas aku
bagi tiap bulan.

Pengarang telah menonjolkan sikap dan tingkah laku manusia yang mempunyai

keinginan yang berlebihan untuk memiliki sesuatu dan kesannya membawa kepada eksploitasi

orang lain dan penyalahgunaan kuasa.

ORANG KOTA 1 : Baiklah, memandagkan kita sudah buat undian dan pilihan jatuh
kepada aku, maka mulai hari ini rasmilah saya menjadi
pemimpin baharu kalian. Jadi sekarang, tunduk hormat! Salam
dan cium tangan saya!

ORANG KOTA 5 : (TIDAK PUAS HATI) Mana boleh? Mungkin ada konspirasi!

ORANG KOTA 4 : (PROTES) Kenapa pula kami kena buat macam itu?

ORANG KOTA 1 : Sebab saya pemimpin kalian, kena tunjuk hormat! Perbesarkan
saya!

ORANG KOTA 3 : Ini sudah melampau. Kami tidak mahu gaya begitu!

14
ORANG KOTA 1 : (HAIRAN) Habis kalian mahu gaya bagaimana? Begitulah gaya
selayaknya untuk memuliakan pemimpin seperti saya ini.

ORANG KOTA 2 : Ini paksaan. Kami tidak setuju. Kami tidak mahu hidup di
bawah pemimpin yang memaksa. Kmai mahu sukarela.
Pemimpin harus yang kami suka. Jagi kami pun akan rela!

ORANG KOTA 3 : Betul! Pemimpin yang harus kami paksa, menerima apa saja
dari kami. Bukan kami yang dipaksa!

ORANG KOTA 5 : Gulingkan dia! Gulingkan pemimpin pemaksa!

Petikan di atas menggambarkan seseorang yang tamak kuasa didorong oleh keinginan yang kuat

untuk mengawal dan menguasai orang lain untuk mencapai dan mengekalkan kedudukan kuasa

mereka. Sikap tamak yang digambarkan oleh pengarang akan memberi kesan buruk pada orang

lain dan diri sendiri. Lantaran itu, pertelingkahan akan sentiasa berlaku kerana masing-masing

tetap dengan kepentingannya. Pengarang menggunakan naskah ini untuk mengkritik segelintir

pihak atau individu yang menjadi penyebab munculnya masalah-masalah dalam lingkungan

kehidupan masyarakat. Naskah ini membawa pembaca memahami konflik dalam kehidupan

melalui ketamakan dan pertelingkahan sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang

pemimpin, tamak kuasa dan alpa kerana dahagakan kuasa.

ORANG KOTA 4 : (BERSORAK GEMBIRA) Yeaa, akhirnya kita berjaya


menyingkirkan pemimpin pemaksa! Sekarnag secara saksama
kita kena melantik pemimpin baharu.

ORANG KOTA 2 : Kami rasakau lebih layak menjadi pengganti. Sebab berani dan
ada wawasan. Kalau tidak kau yang memulakan protes tadi
mungkin kita akan habis dilenyek pemimpin pemaksa tadi!

ORANG KOTA 3 & : (SERENTAK) SETUJU! SETUJU!


5

ORANG KOTA 4 : Baik kalau begitu. Aku pun memang bercita-cita hendak
memimpin kalian. Memandangkan aku memang seorang
pemimpin yang pemberani dan ada wawasan, mulai hari ini kita
akan bekerja keras bahkan lebih keras dan berat lagi. Demi
kebaikan tampuk kepimpinan kita!

15
ORANG KOTA 2 : (TERKEJUT) Kerja keras dan berat macam mana itu
pemimpin? Tolong dijelaskan, kerana kami tidak biasa kerja
macam itu.

ORANG KOTA 4 : (BERFIKIR) Hmm, macam mana ya … ah begini saja. Untuk


kerja permulaan semua kena melayan aku. Kau (KEPADA
ORANG KOTA 5) urut lemak betis aku. Kau (KEPADA
ORANG KOTA 3) Potong kuku jari tangan aku. Dan aku
(KEPADA ORANG KOTA 2) ambilkan aku minuman sejuk,
jangan lupa kipaskan aku juga.

Begitulah pertelingkahan sesama mereka berterusan kerana masing-masing tidak pernah puas

dengan keputusan mereka sendiri dan akhirnya setiap pemimpin yang dilantik akan digulingkan.

Naskah ini dengan jelas telah memaparkan sikap individu yang sentiasa berprasangka buruk dan

tidak tetap pendirian yang boleh saja menggugat keamanan dan keharmonian masyarakat.

Pengarang telah membawa pembaca secara sindiran dan seolah-olah menempelak sikap manusia

yang gilakan kuasa, gelojoh dalam memilih pemimpin, rakus dalam membuat keputusan dan

terlalu mementingkan diri sendiri sehingga akhirnya merosakkan perpaduan hidup

bermasyarakat. Pengarang juga memperlihatkan kepelbagai jenis dan fiil individu untuk

menyindir kerencaman karenah manusia. Ini menimbulkan kebimbangan kerana manusia lebih

mengutamakan kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan keadilan dan keharmonian.

Kesimpulan

Berdasarkan penelitian yang dilakukan tentang kritik sosial dalam kumpulan skrip drama pentas

‘Ma’al Hayat,’ dengan mengupas empat naskah, pengarangnya telah menyampaikan pelbagai isu

dan permasalahan yang berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat. Isu dan permasalahan

digarap dengan berkesan dan kumpulan skrip drama pentas ini sarat dengan pemikiran dan fakta

yang mengajak pembaca berfikir. Pengarang menyelitkan sindiran dan teguran terhadap individu

16
atau pihak tertentu diolah dalam bentuk humor. Ini menunjukkan kepekaan pengarang terhadap

permasalahan yang berlaku dalam masyarakat sekelilingnya.

Rujukan

A. Kamis Hj. Tuah, “Tema Dan Plot Matahari Petang Satu Analisis Secara Strukturalisme” dlm.
Bahana, Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei, Jun 1993

Sutarman, S., Suhendi, D. and Ansori, A., 2020. “Kritik Sosial dalam Naskah Drama Zetan karya
Putu Wijaya dan Implikasinya dalam pembelajaran Sastra Di SMP.” Disertasi Ph.D,
Universitas Sriwijaya.

Nugroho, A., 2018. Nilai Sosial dan Moralitas dalam Naskah Drama Janji Senja Karya Taofan
Nalisaputra. Silampari Bisa: Jurnal Penelitian Pendidikan Bahasa Indonesia, Daerah,
Dan Asing, 1(2): 216-230.

Solihat, Ilmi., 2017. “Konflik, Kritik Sosial, dan Pesan Moral dalam Naskah Drama Cermin
Karya Nano Riantiarno (Kajian Sosiologi Sastra).” Jurnal Membaca Bahasa dan Sastra
Indonesia, 2(1): 29-36.

Wijayanti, Murti, dan Rusdian Noor Dermawan., 2019. “Masalah Sosial dan Kritik Sosial dalam
Naskah Drama Monolog Sarimin Karya Agus Noor: Sebuah Tinjauan Sosiologi
Sastra.” Caraka: Jurnal Ilmu Kebahasaan, Kesastraan, dan Pembelajarannya, 5(2): 62-
79.

17

Anda mungkin juga menyukai