Anda di halaman 1dari 4

Peranan al-Quran dan al-Sunah sebagai panduan dalam kehidupan manusia

1.0 Pengenalan
Islam merupakan agama yang syumul iaitu satu sistem hidup yang menyeluruh dan sempurna
kerana setiap aturan yang berkaitan dengan aspek dan bidang dalam kehidupan manusia telah
ditetapkan di dalam al-Quran dan al-Sunah. Menurut Osman Bakar (2008), al-Quran
merupakan sumber intelektual dan spiritual Islam. Ia merupakan asas bukan hanya bagi agama
dan pengetahuan spiritual tetapi bagi semua ilmu pengetahuan. Ia merupakan sumber utama
inspirasi pandangan muslim tentang kesepaduan sains dan pengetahuan intelektual. Oleh itu,
al-Quran dan al-Sunah perlu dijadikan sebagai bahan rujukan utama oleh umat Islam bagi
mendapatkan keterangan atas sesuatu perkara yang menjadi kemusykilan dalam setiap bentuk
aspek iaitu ekonomi, politik, sosial, kebajikan dan pendidikan.

2.0 Ekonomi
Menurut Al-Qadarawi (1995), ekonomi menurut perspektif Islam adalah kegiatan yang
berlandaskan ketuhanan, bertitik tolak daripada Allah S.W.T, bertujuan akhir kepada Allah S.W.T
dengan menggunakan apa yang telah digariskan tanpa melewati batas yang telah digariskan
oleh syariat Allah S.W.T. Berdasarkan pendapat tokoh yang berkaitan dengan ekonomi Islam
tersebut, seorang muslim perlu menjalankan kegiatan ekonomi berlandaskan al-Quran dan
al-Sunah dalam pembangunan ekonomi Islam agar dapat mengimbangi antara keperluan
kebendaan dan keperluan rohani tanpa melanggar batasan yang telah ditetapkan syariat Islam.
Misalnya, Allah S.W.T mengharamkan riba dalam aktiviti perniagaan berdasarkan nas yang jelas
di dalam al-Quran yang bermaksud “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan
mengharamkan riba” (al-Baqarah: 275). Ini kerana riba mengandungi unsur penindasan atau
dalam erti kata lain adalah kezaliman dan penipuan yang dapat menyebabkan kos sara hidup
akan meningkat dan mengakibatkan kehidupan sesorang individu menjadi lebih susah. Selain
itu, konsep tazkiyah perlu diterapkan dalam pembangunan ekonomi seperti zakat sebagaimana
firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud “Ambillah sebahagian daripada harta
mereka sebagai sedekah (zakat), agar dengan demikian akan membersihkan (harta) dan
mensucikan (hati) mereka serta doakanlah mereka, kerana doamu itu akan membawa
ketenangan untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Lagi Maha Mengetahui”
(Surah At-Taubah 9:103). Hal ini dapat dijelaskan bahawa zakat merupakan satu bentuk
penyucian dan pembangunan spiritual. Akan tetapi, zakat juga merupakan satu bentuk jaminan
keselamatan sosial bagi mereka yang miskin dan membangunkan pertumbuhan ekonomi
yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat (Pathmawati Hj
Ibrahim, 2008).

3.0 Politik
Menurut kamus dewan, politik ialah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan cara
pemerintahan sesebuah negara atau diringkaskan sebagai ilmu kenegaraan (Kamus Dewas Edisi
ke-4). Ilmu kenegaraan perlu dititkberatkan dalam sistem pemerintahan sesebuah negara bagi
memastikan keharmonian hidup manusia kerana menurut Imam al-Ghazali, “Sesungguhnya,
kerusakan rakyat disebabkan oleh kerusakan para penguasanya, dan kerusakan penguasa
disebabkan oleh kerusakan ulama, dan kerusakan ulama disebabkan oleh cinta harta dan
kedudukan dan barang siapa dikuasai oleh ambisi duniawi ia tidak akan mampu mengurus
rakyat kecil, apalagi penguasanya. Allah-lah tempat meminta segala persoalan” (Ihya’
Ulumuddin hal. 381). Jelaslah bahawa politik memainkan peranan penting dalam membina
sesebuah negara yang harmoni dengan mengikut etika politik yang berlandaskan al-Quran dan
al-Sunah. Tamsilnya, perbincangan beramai-ramai atau disebut sebagai musyawarah perlu
dilaksanakan bagi menyelesaikan permasalahan dalam negara. Hal ini dapat mengelakkan
penindasan terhadap golongan yang lemah. Selain itu, keadilan juga perlu diberi penekanan
dalam sistem pemerintahan bagi memastikan setiap golongan mendapatkan hak-hak mereka.
Oleh itu, etika-etika politik yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunah perlu diterapkan dalam
diri seorang pemimpin bagi menjamin kesejahteraan negara.

4.0 Sosial
Istilah sosial dapat dikaitkan dengan ilmu kemasyarakatan atau lebih dikenali sebagai sosiologi
iaitu satu kajian ilmu yang berkenaan dengan interaksi manusia antara satu sama lain
(Mohammad Kamil, 2000). Manusia sehingga ke hari ini sering mewujudkan kehidupan
masyarakat dengan pelbagai jenis pemahaman dan falsafah sosial, namun Islam meletakkan
asas kepada kehidupan sosial haruslah bebas daripada sebarang unsur ketidakterlaluan dan
ketidakseimbangan (El-Muhammady, 1970). Sistem sosial dalam Islam menerangkan bahawa
pergaulan dan hubungan sesama manusia dalam menjalani kehidupan masing-masing perlulah
berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Allah melalui al-Quran dan al-Sunah. Sebagai
contoh, tuntutan amar makruf dan nahi mungkar merupakan tuntutan yang utama dalam Islam
bagi mewujudkan ukhuwah Islamiyah iaitu persaudaraan yang berlandaskan keimanan dan
ketakwaan kepada Allah. Selain itu, manusia diberi tanggungjawab dalam memelihara dan
memakmurkan bumi daripada kerosakan agar setiap lapisan masyarakat dapat memanfaatkan
kemaslahatan sumber alam.

5.0 Kebajikan
M. Qurais Shihab (2013) menjelaskan bahawa kebajikan dalam Islam mencakupi semua urusan
keduniaan dan akhirat. Hal ini kerana kebajikan terbahagi kepada tiga perkara iaitu kebajikan
dalam beribadah kepada Allah, kebajikan dalam menyantuni keluarga dan kebajikan dalam
melakukan interaksi sosial. Contohnya, umat islam digalakkan melakukan amalan bersedekah,
menginfakkan harta dan membuat kebaikan terhadap golongan yang memerlukannya seperti
golongan miskin, fakir, anak yatim mahupun orang yang berada di dalam kesusahan bagi
meringankan bebanan dalam kehidupan mereka sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam
al-Quran iaitu “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu
menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya
Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik” (al-Baqarah: 195).

6.0 Pendidikan
Dalam sudut pandangan Islam, pendidikan merupakan satu pelajaran atau pendidikan bagi
kognitif, fizikal dan roh untuk melahirkan insan yang berperikemanusiaan. Oleh itu, al-Quran
dan al-Sunah memainkan peranan penting dalam membentuk umat Islam yang bertamadun
tanpa menyekutukan Allah. Umat Islam diwajibkan memberi didikan awal terhadap
kanak-kanak bagi membina jati diri kanak-kanak yang berakhlak mulia dan berpegang kepada
akidah yang benar. Perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud “Dan
(ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya,
“'Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan
(Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar” (Luqman: 13).

7.0 Penutup
Jelaslah bahawa peranan al-Quran dan al-Sunah adalah sangat penting bagi umat Islam untuk
dijadikan sebagai panduan kerana Allah berfirman di dalam al-Quran, ”Jika kamu berselisih
dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuknya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah)
Rasul jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Tindakan demikian adalah
paling baik (bagi kamu) dan paling elok akibatnya” (Surah an-Nisa’: ayat 59).

Anda mungkin juga menyukai