Anda di halaman 1dari 11

KERTAS CADANGAN KAJIAN

TAJUK:

Kefahaman Guru-guru berkaitan dengan Sustainable Development Goals (Quality Education)

KUMPULAN 10

NAMA PELAJAR & NO MATRIK:

NURUL NASUHA BINTI MOHD NOOR ZAIDI (P132943)

ABDUL AFIQ IQBAL BIN AHMAD (P132973)

AMIRAH NABILAH BINTI YUSOF (P132998)

UMMI AFIFAH BT ABDUL LATIF (P133014)

DIANA ANAK BADI (P133045)

KOD & NAMA KURSUS:

GGGD5022 SEKOLAH DAN MASYARAKAT

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA


1.1 PENDAHULUAN

Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) merupakan salah satu Agenda 2030 yang telah
dibahas dan dipersetujui oleh semua Negara Anggota Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB)
pada September 2015. Matlamat pembangunan mampan ini adalah rangka tindakan bersama- sama
oleh semua anggota bagi menjaga keamanan dan kemakmuran untuk semua kehidupan di bumi
untuk generasi sekarang dan yang akan datang (United Nation, 2016). Terdapat 17 matlamat
pembangunan mampan (SDGs) yang telah disahkan oleh anggota dalam Sidang Kemuncak
Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) termasuklah berkenaan dengan matlamat ke- 4 iaitu:
Memastikan Pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang
pembelajaran sepanjang hayat untuk semua (United Nation, 2016).

Kefahaman guru berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dalam


Kualiti Pendidikan adalah penting bagi hala tuju pendidikan yang berkualiti, inklusif dan saksama
sejajar dengan matlamat ke- 4 yang disasarkan. Menurut Hanifah Mahat, Mohmadisa Hashim,
Yazid Saleh, Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah dan Nasir Nayan, 2016 dalam kajian tentang
Aspek Kritikal Pendidikan Pembangunan Lestari Berdasarkan Data Temu Bual Guru,
pengetahuan merupakan komponen penting dalam adanya kesedaran dalam seseorang individu
yang dibantu oleh guru sebagai perantis penggerak atau perancang untuk sesuatu aktiviti yang
berkaitan dengan Pendidikan alam sekitar, Pembangunan lestari dan Pendidikan pembangunan
lestari.

Oleh yang demikian, matlamat ke -4 SDGs (Kualiti Pendidikan) untuk memastikan


“pendidikan berkualiti inklusif dan saksama untuk peluang pendidikan sepanjang hayat” dilihat
mempunyai matlamat yang sama dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025
seperti yang disenaraikan dalam lima aspirasi sistem pendidikan Malaysia sebagai rujukan kepada
warga pendidik.
1.2 PERMASALAHAN KAJIAN

Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) masih lagi baru untuk dikenali dan diaplikasikan
sepenuhnya di negara kita. Hal ini bermakna, masih ramai masyarakat terutamanya golongan
penjawat awam yang tidak faham berkenaan dengan SDGs ini, termasuklah guru- guru berkenaan
dengan matlamat keempat iaitu Kualiti Pendidikan. Berdasarkan kepada kajian Data World
Ranking 2018, Malaysia menduduki di tangga ke- 22 daripada 63 negara yang mempunyai tahap
pendidikan berkualiti. Walaubagaimanapun, pihak kementerian dan juga warga guru tidak boleh
selesa dengan kedudukan itu, justeru perlu memastikan kualiti pendikan negara kita sentiasa
meningkat.

Permasalahan yang timbul dalam keadaan ini ialah terdapat sebahagian guru yang mungkin
tidak tahu maksud sebenar Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan hubung kaitnya dengan
perubahan kualiti sistem pendidikan lestari mengikut peredaran zaman sekarang dalam pengajaran
dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

1.3 OBJEKTIF KAJIAN


1. Mengkaji sejauh mana pengetahuan & pemahaman guru mengenai pembangunan
lestari (Pendidikan Berkualiti).
2. Mengenalpasti pengetahuan amalan pendidikan pembangunan lestari di dalam
sekolah.
3. Menganalisis sejauhmana kejayaan program pembangunan lestari yang dirancang
oleh guru.

1.4 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tahap kefahaman guru terhadap matlamat pembangunan
mampan daripada segi konteks pendidikan yang berkualiti. Matlamat pembangunan lestari
pendidikan berkualiti adalah satu perkara yang tidak asing dalam dunia pendidikan. Setiap guru
mempunyai pandangan yang tersendiri dalam merealisasikan matlamat pembangunan lestari
pendidikan. Pendedahan yang dilakukan oleh guru membantu pengkaji untuk lebih mendalami
tentang pembangunan lestari pendidikan berkualiti.

Selain itu, kajian ini bertujuan mengenalpasti pengetahuan amalan pendidikan


pembangunan lestari di dalam sekolah. Pelaksanaan amalan pendidikan pembangunan lestari di
dalam sekolah adalah sangat penting bagi memastikan setiap murid mendapat pendidikan
berkualiti. Kajian ini membantu pengkaji untuk mengetahui tahap pengetahuan dan kemahiran
guru dalam merealisasikan amalan pendidikan pembangunan lestari di sekolah.

Akhir sekali, kajian ini bertujuan untuk menganalisis sejauhmana kejayaan program
pembangunan lestari yang dirancang oleh guru. Amalan pendidikan pembangunan lestari
melibatkan banyak aspek. Guru perlu menggunakan pengetahuan dan kemahiran bagi memastikan
objektif amalan pendidikan pembangunan lestari tercapai. Kajian ini membantu pengkaji untuk
mengetahui kejayaan-kejayaan guru dalam merealisasikan program pembangunan lestari.

1.5 BATASAN KAJIAN

Dalam kajian ini, pengkaji memfokuskan kajian terhadap sejauh mana pengetahuan dan
pemahaman guru mengenai pembangunan lestari serta menganalisis sejauh mana kejayaan
program pembangunan lestari yang dilaksanakan oleh guru sekolah. Pengkaji tidak dapat
melakukan kajian secara meluas dan terperinci, dengan itu, batasan kajian akan dibuat supaya skop
kajian lebih berfokus. Keputusan kajian pula tidak boleh dijadikan penyelesaian ataupun indikator
terhadap kefahaman guru berkaitan dengan Sustainable Developments Goals (Quality Education).
Hal ini kerana, kajian yang dilakukan tidaklah menyeluruh di semua sekolah yang ada di Malaysia.
Tambahan pula dengan jumlah responden yang bakal ditemu bual yakni guru adalah terhad. Oleh
itu, jawapan dan pandangan guru-guru berkenaan tidak boleh dijadikan penanda aras terhadap
kajian kefahaman guru mengenai Sustainable Developments Goals (Quality Education). Namun,
guru-guru yang bakal ditemu bual dapat mewakili kerana status mereka sebagai seorang guru yang
masih berkhidmat dan bersesuaian dengan kehendak kajian pengkaji.

Dalam aspek metodologi kajian, pengkaji hanya menggunakan kaedah temu bual,
pemerhatian dan kajian kepustakaan sahaja untuk mendapatkan data-data kajian. Pengkaji juga
akan membataskan responden temu bual yakni guru yang berkhidmat di sekolah menengah sahaja.
Dalam konteks temu bual juga, pengkaji menyediakan beberapa soalan yang berfokuskan kepada
tajuk kajian sahaja iaitu kefahaman guru berkaitan dengan Sustainable Developments Goals
(Quality Education). Selain itu, pengkaji akan membataskan jumlah responden yang bakal di temu
bual, iaitu 4 orang guru sahaja dan bukan semua guru yang ada di sekolah berkenaan. Temu bual
yang dijalankan melalui medium secara dalam talian atau panggilan telefon sahaja, yang mana
akan dirakam sepenuhnya.

1.6 SOROTAN KAJIAN

Bahagian ini akan melakukan penelitian terhadap kajian-kajian lepas yang berkaitan
dengan amalan Pendidikan Pembangunan Lestari (Pendidikan Berkualiti). Kajian lepas yang
dipilih tertumpu kepada kajian pengetahuan dan pemahaman guru berkenaan amalan Pendidikan
pembelajaran di dalam sekolah. Hal ini bagi mengenalpasti keberadaan bagi kajian pemahaman
guru terhadap amalan pendidikan dan sejauh mana kejayaan pembangunan lestari yang dilakukan.

Di dalam kajian Matlamat Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) daripada


Perspektif Guru Geografi KSSM (Nurul Adilla Md Zain, 2021), pengkaji menyatakan bahawa
penerapan matlamat sebenar ESD di dalam pendidikan sekolah menengah di Malaysia masih
belum dapat dipastikan lagi. Metod bagi kajian ini ialah kaedah temu bual separa berstruktur bagi
memperoleh data kajian berkaitan matlamat penerapan konsep ESD dalam pengajaran geografi.
Pengkaji menggunakan kaedah persampelan menerusi informan kajian yang terdiri daripada 11
orang guru opsyen geografi KSSM yang mengajar di 11 buah sekolah menengah di Malaysia.
Seterusnya, pengkaji menggunakan kaedah analisis tematik yang dilakukan secara manual.
Transkrip temu bual informan dianalisis serta kod-kod awalan yang muncul berkaitan dengan
matlamat penerapan konsep ESD dalam pengajaran dikenal pasti. Kod-kod awalan ini
kemudiannya diubah suai untuk membentuk tema yang lebih tepat menerangkan tentang matlamat
Pendidikan dalam konteks ESD. Hasil kajian dibahagikan mengikut tiga matlamat kerangka
teoretikal yang digunakan pengkaji. Menerusi kajian ini pengkaji menyedari bahawa ESD dalam
pengajaran Geografi di Malaysia turut menerapkan matlamat ESD jangka pendek dalam
pengajaran. Hasil temu bual didapati 2 tema, iaitu prestasi peperiksaan pelajar dan sasaran
menghabiskan silabus mengikut rancangan pengajaran tahunan. Kesimpulannya, daripada 11
orang informan, iaitu guru yang ditemu bual, pengkaji menemukan 8 orang memiliki matlamat
penerapan konsep ESD jangka panjang manakala 3 orang selebihnya menetapkan matlamat
penerapan konsep ESD jangka pendek.

Menerusi kajian Penerapan Elemen Kelestarian Alam Sekitar dalam Mata Pelajaran
Sejarah Sekolah Menengah (Kaviza, M., & Bukhari, N., 2022), pengkaji melakukan kajian
tinjauan bagi mengenal pasti tahap perspektif guru terhadap kepentingan penerapan elemen
kelestarian alam sekitar dalam mata pelajaran sejarah. Objektif bagi kajian ini ialah untuk
mengenal perspektif guru-guru terhadap kepentingan penerapan elemen kelestarian alam sekitar
dalam mata pelajaran sejarah, berdasarkan profil demografi guru seperti jantina, umur,
pengalaman mengajar, pengkhususan dan kelulusan pendidikan serta mengenal pasti isu-isu
kelestarian alam sekitar yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sejarah. Reka
bentuk bagi kajian ini terdiri daripada kajian kuantitatif dengan reka bentuk tinjauan secara
deskriptif. Pengkaji menggunakan teknik persampelan rawak mudah bagi menentukan responden
yang akan terlibat dan seramai 200 orang guru berjaya ditemukan. Instrumen kajian ini berbentuk
soal selidik. Data kajian kemudian dianalisis secara deskriptif. Interpretasi tahap min dalam kajian
ini berdasarkan tiga tahap, iaitu tinggi sederhana dan rendah. Dapatan kajian mendapati ketiga-
tiga objektif perspektif pada tahap tinggi. Ini menunjukkan bahawa guru-guru telah mempunyai
perspektif yang tinggi terhadap keperluan menerapkan elemen kelestarian alam sekitar dalam
proses pengajaran dan pembelajaran sejarah dengan mempelbagaikan isu-isu kelestarian alam
sekitar.

Menerusi artikel yang bertajuk PROJEK SEKOLAH HIJAU: PENDIDIKAN UNTUK


PEMBANGUNAN LESTARI (ESD) DALAM KALANGAN WARGA SEKOLAH (Hashim, N. H., &
Keong, C. C., 2020), pengkaji melakukan penilaian terhadap Projek Sekolah Hijau yang telah
dilaksanakan di sebuah sekolah di Pulau Pinang. Ini bagi mengenal pasti kesan pelaksanaan Projek
Sekolah Hijau terhadap warga sekolah yang terlibat secara langsung dalam aktiviti yang
dijalankan. Terdapat dua aktiviti yang dijalankan iaitu, membuat bekas penanaman pokok dan
menyediakan poster bertemakan ‘Jom Cintai Alam’ dengan menggunakan bahan-bahan kitar
semula. Pelaksanaan projek ini terdiri daripada membina jawatankuasa, meninjau persekitaran
sekolah, melaksanakan pelan tindakan, aktiviti membuat bekas penanaman pokok dan aktiviti
membuat poster daripada bahan terbuang. Instrumen soal selidik dan temu bual kemudiannya
digunakan untuk pengujian. Soal selidik yang dijalankan secara dalam talian kepada murid tahun
lima dan hasil dapatan mencatatkan 32 orang murid sahaja yang berjaya melengkapkan soal selidik
yang diberi berkaitan keberkesanan projek lestari yang telah dijalankan di sekolah. Bagi item
kekerapan setuju dalam soal selidik secara keseluruhannya mendapati projek lestari yang
dijalankan ke atas murid adalah berkesan dan mendapat maklum balas yang positif. Bagi soalan
terbuka dapat disimpulkan bahawa murid dapat mempelajari ilmu berkaitan penanaman, penjagaan
alam sekitar, pengetahuan kitar semula, menggunakan bahan kitar semula dengan kreatif serta
mendapat pengalaman baru. Hasil temu bual bersama murid mendapati bahawa 2 orang murid
mengakui seronok menjalankan aktiviti individu tetapi tidak pada berkumpulan kerana ada ahli
kumpulan yang tidak memberi kerjasama. Dapatan daripada temu bual bersama guru mendapati
bahawa guru bersetuju dengan projek yang dijalankan sesuai bagi menyemai semangat cinta akan
alam sekitar dalam diri murid-murid. Secara keseluruhannya, guru-guru memberikan maklum
balas yang baik hasil daripada aktiviti yang dijalankan serta mempunyai kesedaran akan
kepentingan menjaga alam sekitar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dapat melestarikan
alam sekitar kepada murid.

Secara keseluruhannya, setelah melakukan pemerhatian terhadap kajian-kajian lepas,


pengkaji mendapati bahawa guru memahami tentang konsep pendidikan pembangunan lestari
menerusi pendidikan lestari yang telah dijalankan di dalam kelas mahupun sekolah.

1.7 KAEDAH PENYELIDIKAN

1.7.1 Kaedah Kajian

Di bawah kaedah kajian, pengkaji telah menggunakan pendekatan kualitatif di mana ia merupakan
satu kajian bukan berbentuk empirikal berdasarkan prosedur-prosedur yang sistematik dan
saintifik bagi menyiasat fenomena semasa dalam pelbagai konteks kehidupan yang sebenar. Ia
juga mampu memberikan lebih pengetahuan dan memahami sesuatu fenomena yang kompleks
melalui kemunculan konsep-konsep atau tema yang lebih daripada yang telah ditetapkan dalam
kajian yang dijalankan oleh kumpulan kami. Ciri-ciri dan kelebihan yang telah disenaraikan
ternyata memperlihatkan kepada pengkaji bahawa kaedah penyelidikan kualitatif adalah
bertepatan dengan tujuan kajian ini iaitu untuk mengkaji sejauh mana pengetahuan dan kefahaman
guru mengenai pembangunan lestari (Pendidikan Berkualiti). Kajian tidak menekankan atau
memberikan fokus terhadap dapatan secara statistik atau menguji suatu hipotesis. Namun, apa
yang diharapkan berlaku adalah kefahaman yang dibina berdasarkan pengetahuan dan pengalaman
peserta kajian itu sendiri serta interpretasi pengkaji dalam memberi justifikasi yang boleh diterima
bagi menghuraikan objektif kajian.

1.7.2 Kaedah Mendapatkan Data dan Maklumat

Dalam mendapatkan data kajian berkaitan dengan kefahaman guru-guru tentang pendidikan
pembangunan lestari, pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian, kajian kepustakaan dan kaedah
temu bual yang mendalam. Cara ini memudahkan pengkaji untuk mendapatkan responden dengan
cepat, mudah dan dapat menjimatkan wang serta tenaga. Kaedah temu bual merupakan salah satu
kaedah mengumpul maklumat yang utama dalam kajian tinjauan di mana kaedah ini menyamai
kaedah soal selidik dalam banyak aspek, perbezaannya ialah cara melaksanakan kajian iaitu temu
bual dilakukan secara lisan (perbualan) dan jawapan direkod oleh pengkaji secara bertulis melalui
rakaman, video, audio dan media elektronik yang lain. Bagi kesahan dan kebolehpercayaan
instrumen kajian pula, pengkaji akan memastikan bahawa semua soalan yang akan di temubual
adalah jelas dan betul. Dalam kaedah ini, penyelidik akan menyediakan beberapa soalan yang
diajukan kepada guru-guru yang sedang berkhidmat di mana-mana sekolah menengah.

1.7.3 Kaedah Memproses dan Menganalisis Data

Data yang diperolehi adalah daripada hasil temu bual secara mendalam yang dilakukan bersama 4
orang guru sekolah menengah berlainan sekolah dan daerah. Data tersebut dianalisis dengan
menggunakan bentuk kualitatif. Sewaktu temu bual dijalankan sama ada secara bersemuka atau
tidak bersemuka, pengkaji merekodkan rakaman suara dan video informan menggunakan telefon,
Zoom Meeting, Google Meet dan alat elektronik yang lain. Pengkaji turut mencatat maklumat
yang penting dalam buku nota yang kecil. Selain itu, pengkaji memahami maklumat data yang
disampaikan dengan pembacaan dan mendengar rakaman berulang kali serta membuat sedikit
kesimpulan yang signifikan mengenai aspek-aspek penting berkaitan hasil temu bual yang telah
dikumpul. Seterusnya, proses transkripsi iaitu menukarkan rakaman audio temubual dan nota
lapangan kepada bentuk jadual agar mudah dibaca, difahami dan dianalisa. Pengkaji menukarkan
keseluruhan maklumat dalam bentuk bertulis dan bertaip tanpa perlu menukar struktur ayat atau
perkataan agar mengekalkan keaslian transkrip asal. Pengkaji menggunakan nama sebenar
informan selepas mendapatkan kebenaran. Akhir sekali, proses analisis iaitu melalui pendekatan
rangka analisis berdasarkan pembacaan, pengalaman atau pemikiran yang logik. Konklusinya,
data-data diperjelaskan dalam dapatan kajian secara terperinci bagi menjawab objektif kajian dan
menyelesaikan permasalahan kajian.

1.9 PENUTUP

Kefahaman dan pengetahuan merupakan asas pemahaman individu untuk mencapai pemahaman
asas kepada pendidikan pembangunan lestari. Oleh hal yang demikian, pengetahuan dalam
melaksanakan aktiviti kelestarian membantu individu mendapatkan pelbagai pengalaman,
memperoleh pemahaman asas dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar. Malah,
peningkatan tahap pengetahuan tentang alam sekitar juga dapat membentuk sikap positif terhadap
alam sekitar. Oleh itu, setiap guru perlu diberikan pendedahan awal dengan pengetahuan aktiviti
pendidikan pembangunan lestari dan juga memainkan peranan penting dalam membantu serta
menggalakkan murid terlibat dalam pelbagai aktiviti kelestarian sama ada di dalam atau di luar
sekolah. Hal ini kerana jika tahap pengetahuan seseorang guru itu lemah, maka amalannya juga
terbatas dan maklumat yang ingin disampaikan kepada pelajar tidak mampu membuka minda
pelajar terhadap pembangunan lestari.
1.10 RUJUKAN

Hashim, N. H., & Keong, C. C. (2020). Projek Sekolah Hijau: Pendidikan untuk
Pembangunan Lestari (ESD) dalam kalangan warga sekolah. Proceedings of
International Conference on the Future of Education.

Kaviza, M., & Bukhari, N., (2022). Penerapan Elemen Kelestarian Alam Sekitar dalam
Mata Pelajaran Sejarah Sekolah Menengah. Malaysian Journal of Social Sciences
and Humanities (MJSSH).

Mannion G., Biesta G., Priestley M., & Ross H. (2016). The global dimension in
education and education for global citizenship: Genealogy and critique. The
political economy of global citizenship education, 134-147.

Mahat, H., Hashim, M., Saleh, Y., Che Ngah, M. S. Y., & Nayan, N. (2016). Aspek
kritikal pendidikan pembangunan lestari berdasarkan data temu bual guru.
EDUCATUM–Journal of Social Science, 2(1), 52-66
https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/EJOSS/article/download/92/74

Nations, U. (2023). Goal 4: Quality Education. The Global Goals.


https://www.globalgoals.org/goals/4-quality-education/

Nurul Adilla Md Zain, K. A. (2021). Matlamat Pendidikan untuk Pembangunan Lestari


(ESD) daripada Perspektif Guru Geografi KSSM. Malaysian Journal of Social
Sciences and Humanities (MJSSH), Volume 6, Issue 10,, 54-64.

Idris, N. H., & Hamzah, R. (2012). Nilai Profesionalisme Bakal Guru Berteraskan
Indikator Standard Guru Malaysia (SGM). View of nilai Profesionalisme Bakal
guru berteraskan indikator standard guru Malaysia (SGM).
https://sainshumanika.utm.my/index.php/sainshumanika/article/view/172/171
LAMPIRAN

Soalan Temubual

1. Adakah cikgu mengetahui tentang pembangunan lestari (pendidikan kualiti)?

2. Berdasarkan pemahaman cikgu, bolehkah cikgu jelaskan apa itu pembangunan lestari?

3. Bagaimanakah cikgu mengaplikasikan pengetahuan yang sedia ada berkenaan dengan

pendidikan lestari di peringkat sekolah?

4. Apakah amalan pendidikan pembangunan lestari yang dijalankan di dalam sekolah dan

juga di luar sekolah cikgu?

5. Adakah program pembangunan lestari yang dirancang oleh cikgu berjaya?

6. Apakah ada penambahbaikan yang ingin dicadangkan melalui program pembangunan

lestari yang telah dijalankan sebelum ini?

Anda mungkin juga menyukai