Anda di halaman 1dari 26

PEMARKAHAN

PPGPJJ SEMESTER 1 SESI 2014/2015

KRB 3023 : PRINSIP PENGAJARAN PENULISAN

TAJUK ESEI ILMIAH

PERINGKAT PENGAJARAN PENULISAN

DISEDIAKAN OLEH
NAMA NO MATRIK
NUR SYAFALIZA BINTI ZOLKEPLI D 20112055579

PUSAT PEMBELAJARAN : EL - GROUP UPSI23 (KNCC SEREMBAN)


NAMA TUTOR E-LEARNING : ENCIK RIDZUAN BIN JAAFAR
TARIKH SERAH : 5.12.2014
ISI KANDUNGAN

BIL PERKARA
1 PENDAHULUAN
2 PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN MENGARANG
 Peringkat Pra Tulis
 Peringkat Mekanis
 Kemahiran Menulis Untuk Penglahiran
3 TEORI PENGAJARAN PENULISAN
 Teori Behaviorisme
 Teori Kognitif
 Teori Mentalis
 Tori Interaksionalisme
 Teori Konstruktivisme
4 MODEL PENGAJARAN PENULISAN
5 PENDEKATAN PENGAJARAN MENULIS
 Pendekatan Terkawal
 Pendekatan Bebas
 Pendekatan Komunikatif
6 KAEDAH-KAEDAH PENGAJARAN PENULISAN
 Kaedah Pengucapan Terkawal
 Kaedah Pengucapan Bebas
 Kaedah Retorika
7 TEKNIK-TEKNIK PENGAJARAN PENULISAN
 Teknik Pengajaran Berpandu
 Teknik Sumbangsaran
8 RUMUSAN
9 RUJUKAN
PENDAHULUAN

Kemahiran menulis adalah di antara cabang kemahiran yang perlu dipelajari oleh
manusia untuk melengkapkan proses kelangsungan berbahasa secara natural dan mudah. Tujuan
kajian ini adalah untuk meneliti proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bidang pengajaran
penulisan. Kajian mencakupi perbincangan dari segi teori, pendekatan, kaedah dan teknik yang
digunakan untuk merealisasikan kemahiran penulisan yang efektif yang pada akhirnya
membantu murid-murid melahirkan pendapat dan idea mereka secara berkesan dan cemerlang.
Bagaimanapun dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah dinyatakan dengan
jelas bahawa kemahiran menulis adalah keperluan wajib bagi selain daripada kemahiran
membaca, mengira dan menaakul yang menjadi elemen pengukuhan aplikasi untuk perlaksanaan
modul-modul pembelajaran di alaf baru ini.

Perlu diingatkan jua bahawa menulis tidak seperti membaca memerlukan kaedah yang
spesifik dan memerlukan koordinasi minda dan anggota tubuh. Proses menulis adalah proses
berterusan yang tidak tertakluk kepada pengajaran di sekolah tetapi berlangsung sepanjang
hidup. Empat kemahiran dalam KSSR perlu melangkah seiring memandangkan keperluan
pendidikan Bahasa Melayu dan mata pelajaran lain yang masih menetapkan pengukuran prestasi
dan keupayaan murid-murid dinilai secara bertulis.

Beberapa ahli kaji bahasa telah memberikan pandangan dan hasil kajian mereka
mengenai definasi menulis. Antaranya A.C. Krizan dan Joyce. P Logan (2000) mentakrifkan
menulis adalah proses menyampaikan maklumat dan maksud. Maklumat bertulis mempunyai
keupayaan untuk disimpan dan dimanfaatkan dengan pelbagai cara seperti wahyu-wahyu yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W yang dikumpul dan direkodkan pada zaman Saidina
Othman sehingga memberi kebaikan kepada umat Muslim meskipun ratusan tahun sudah berlalu.
Proses penyampaian itu boleh jadi juga melalui grafik yang digabungkan dan berkait rapat
dengan lambang bunyi yang diucapkan semasa kita bercakap sehingga dapat melahirkan gagasan
yang difahami dan diikuti. Menurut Bloomfield (1933: 21) di dalam Lyons. (1995 : 253) pula
mengatakan bahawa penulisan bukanlah bahasa, tetapi cara mencatatkan bahasa dengan tanda
yang dapat dilihat. Tanda-tanda yang dapat dilihat itulah yang dinamakan simbol atau huruf
yang disatukan sehingga menjadi perkataan yang membawa makna. Lyons (1995 : 13)
mentakrifkan penulisan ialah bahasa yang disampaikan melalui bunyi atau grafik malahan
melalui cara yang tidak terhingga banyaknya.
Sungguhpun begitu, berlainan pula dengan Walshe, R.D. (1981) yang menyebut bahawa menulis
ialah proses memilih, menggabung, menyusun dan mengembangkan gagasan di dalam ayat,
perenggan atau untuk persembahan lisan seperti kuliah dan syarahan secara berkesan.
Menurutnya lagi menulis memerlukan koordinasi tubuh sekata seperti minda, mata dan tangan
untuk memilih ujaran dan kalimat yang sesuai untuk disepakati menjadi seperangkat ayat atau
perenggan yang lengkap yang kemudiannya memberi makna dan kesan untuk melahirkan ilham
atau idea untuk difahami dan diaplikasi oleh masyarakat umum, jika perlu. Justeru, Sukatan
Pelajaran Malaysia telah memainkan peranan menggariskan beberapa rentangan kriteria yang
perlu dikuasai oleh murid-murid dalam menghasilkan pelbagai jenis penulisan yang menepati
kehendak pembelajaran dan melahirkan idea yang jelas tentang kefahaman mereka terhadap apa
yang mereka pelajari.

Beberapa fungsi kemahiran menulis telah dikenalpasti termasuklah :


1. Mendirikan tapak yang berstruktur teguh dengan menggunakan modul pembelajaran
terbaik agar murid-murid dapat menulis dengan baik, cekap dan pantas.
2. Membolehkan murid-murid mengeja dan memahami perkataan serta menyusun ayat
dengan betul dan boleh difahami.
3. Membolehkan murid-murid menggunakan kemahiran menulis untuk mengulangkaji
pelajarannya dengan kaedah membaca semula tulisan atau nota, draf atau teks atau
membaca buku luar sebagai tambahan dan ilmu bantu untuk mengukuhkan
pehamanannya terhadap pelajarannya.
4. Memberi peluang kepada murid-murid melahirkan gagasan, hujah dan pendapat mereka
secara tersusun di dalam bentuk tulisan.
5. Mengembangkan minat menulis dan mengarang di kalangan murid-murid. Ada kanak-
kanak yang sudah mempunyai bakat tersendiri dan mempunyai kemahiran menulis tetapi
tidak digilap.
6. Memperkayakan kosa kata dan memperluaskan pengetahuan tentang bahasa dan tulisan.
7. Menyiapkan diri murid-murid untuk menghadapi peperiksaan.
PERINGKAT MENGAJAR KEMAHIRAN MENULIS

Menyentuh dengan lebih lanjut mengenai kemahiran menulis ini, ia merupakan


keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis
penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui
dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang
jelas, cantik dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk
menghasilkan penulisan imaginatif. Ia dapat dibuktikan dengan mengetahui dengan lebih jelas
mengenai peringkat-peringkat kemahiran menulis yang terdiri daripada :

Peringkat Pra Tulis


Berdasarkan peringkat pra menulis adalah tempoh masa murid-murid disediakan dengan
aktiviti-aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf dengan kemas dan betul. Dalam
tempoh ini latihan otot –otot tangan, jari dan mata serta koordinasi mata dan tangan diberi. Ia
bertujuan untuk membolehkan mereka mengusai kemahiran membentuk lambang-lambang yang
kemas dan jelas. Pelajaran tulisan haruslah dirancang secara sistematik dan bermula dengan
peringkat pra menulis. Ia melibatkan beberapa latihan:

a) Tangan
 Mengenggam dan membuka tangan dilakukan beberapa kali
 Menggengam dan meronyokkan kertas
 Memegang benda-banda seperti pensel atau pembaris
 Melukis bentuk-bentuk di dalam bekas yang mengandungi pasir atau tanah
 Memasang butang atau mengikat tali kasut.

b) Latihan pergerakan mata


 Menutup kedua-dua mata dengan tangan, membuka dan menyebut banda yang
ditunjuk oleh guru.
 Melihat benda yang dipegang oleh guru dan dibawa kekiri-kanan dan ke kiri.
 Menyebut nama-nama benda kecil yang dipegang oelh guru.
c) Latihan koordinasi mata dan tangan
 Menyusun benda mengikut golongsn, bentuk warna dan ukuran
 Mencantum bahagian-bahagian gambar yang terpotong
 Mencantum titik
 Mencantum arah jalan, memadankan gambar bagi benda-benda yang serupa.
 Mencari benda yang tersembunyi
 Membentuk lukisan ‘zig zag
 Membentuk asas huruf dan nombor.

Peringkat Mekanis
Melalui kemahiran menulis secara mekanis pula diharuskan dengan menguasai peringkat
awal supaya murid-murid dapat menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca. Aktiviti-
aktiviti tulisan seperti membuat corak, menekap dan membentuk huruf dan sebagainya adalah
penting kerana ia bertujuan memberi latihan dan pengalaman asas yang diperlukan agar dapat
membantu murid-murid menguasai kemahiran menulis selanjutnya seperti kemahiran menulis
suku kata, perkataan, ayat dan sebagainya. Justeru, latihan-latihan mekanikal yang boleh
dijalankan untuk mendapatkan kemahiran tersebut ialah di antaranya melalui:
(a) Latihan pergerakan tangan, otot, jari dan membentuk atau membuat garisan-garisan,
bulatan, segi-segi, bentuk-bentuk awan larat dan sebagainya.
(b) Tunjukkan cara pergerakan tangan, tulisan di awangan, di pasir, papan tulis dan
sebagainya.
(c) Bermain, menyusun dan berlatih membentuk huruf dengan benda-benda seperti
plastisin.
(d) Melatih atau menunjukkan cara membentuk huruf, menulis perkataan dan ayat.
(e) Mengawasi tulisan murid tentang bentuk, saiz, tegak atau condong, jarak dan
kekemasan, kebersihan, dan lain-lain.
(f) Melatih menulis cepat, senang dan mudah dibaca.
(g) Melatih menulis dengan cantik.
Kemahiran Menulis Untuk Penglahiran
Antara lain adalah kemahiran penulisan untuk pelahiran pula biasanya dikuasai setelah
kanak-kanak mendapat kemahiran mekanis. Kemahiran ini banyak melibatkan mental. Latihan-
latihan mental yang boleh dijalankan untuk mendapat kemahiran ini ialah seperti:
(a) Latihan penyataan fikiran atau pendapat.
(b) Latihan penyataan perasaan.
(c) Latihan mengeluarkan pendapat yang tulen atau asli.

Pengajaran-pengajaran menulis terbahagi kepada tiga iaitu:


(a) Peringkat Pramenulis (persediaan)
(b) Peringkat mendirikan asas (peringkat mekanis)
(c) Peringkat untuk pelahiran

Bagaimanapun peringkat pramenulis ialah tempoh masa murid-murid disediakan dengan


aktiviti-aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf dengan kemas dan betul.
Dalam tempoh masa ini latihan otot-otot, tangan dan jari serta koordinasi tangan dan mata diberi
kepada murid awal-awal lagi. Bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran membentuk
lambang-lambang dengan kemas dan jelas, pengajaran tulisan haruslah sistematik dan berkesan.
Latihan-latihan pramenulis boleh melibatkan latihan-latihan seperti:
(a) Menguasai latihan pergerakan tangan
(b) Menguasai gerakan tangan yang bebas supaya boleh menulis dengan selesa dan
sempurna
(c) Latihan pergerakan mata, serta latihan koordinasi tangan dan mata.

Selain itu, dalam peringkat mendirikan asas pula murid-murid sepatutnya telah faham
serta tahu cara memegang pensel, membentuk lambang dan sebagainya seperti yang diajar dalam
kemahiran pra menulis. Pada peringkat awal, dicadangkan murid membentuk huruf di kertas
kosong yang tidak mempunyai garisan. Setelah didapati memuaskan barulah dilatih membentuk
huruf pada halaman bergaris. Apabila murid membentuk huruf pada kertas bergaris, kawalan
tulisan perlu dilakukan. Ia harus bermula daripada garisan yang lebar hingga kepada lembaran
satu garis.
Contohnya adalah dengan melakukan aktiviti seperti:
(a) Latihan membentuk bulatan dan garis lurus dalam keadaan terkawal
(b) Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris dua
(c) Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris satu
(d) Latihan membentuk lambang tulisan dengan cara dengan cara yang betul untuk
mendapat keseragaman cara menulis bagi menghasilkan tulisan yang seragam dan mudah
dibaca.

Akhir sekali setelah menguasai peringkat mekanis, murid-murid patut digalakkan


melahirkan fikiran mereka secara bertulis. Cara-cara yang dicadangkan ialah bermula
daripada yang terkawal iaitu berpandukan gambar-gambar dan perkataan, mengisi tempat
kosong, melengkapkan ayat-ayat dan perenggan sehingga murid-murid itu boleh
menghasilkan tulisan tanpa panduan. Di antara aktiviti-aktiviti menulis yang boleh
dijalankan ialah:
(a) Mengisi silang-kata
(b) Mengisi tempat kosong dalam ayat
(c) Melengkapkan ayat dengan menambah rangkai kata yang sesuai
(d) Menuliskan ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberi
(e) Memanjangkan ayat dengan menambah rangkai kata yang sesuai
(f) Membentuk ayat bagi memudahkan cerita
(g) Menulis ayat berdasarkan gambar yang disediakan
(h) Menulis jawapan-jawapan kefahaman
(i) Menulis rencana daripada bahan yang diperlihatkan
(j) Menulis karangan daripada tajuk yang disediakan dan sebagainya dengan merujuk
sukatan Pelajaran Bahasa Melayu.
TEORI PENGAJARAN PENULISAN

Seperkara yang perlu dititikberatkan adalah berkaitan dengan teori penulisan. Beberapa
teori pembelajaran yang dikaitkan secara langsung dengan pengajaran penulisan tetapi tiada satu
pun yang disepakati secara tuntas. Antara teori yang dikemukakan ialah Teori behaviorisme,
kognitif, mentalis dan interaksionalis. Ia bersangkutan dengan teori pemerolehan bahasa iaitu
rentetan peringkat perkembangan manusia daripada lahir sehingga ia membesar. Kesemua teori
ini dikaji sehingga melahirkan teori pembelajaran bahasa yang dipraktiskan oleh guru-guru
semasa proses pembelajaran bahasa di dalam bilik darjah berlangsung.

Teori Behaviorisme
Teori Behaviorisme merujuk kepada gerak balas yang berlaku apabila ada rangsangan
daripada guru dan menghasilkan pembelajaran. Ia dipelopori oleh Bloomfield, Edward Spir,
Boss dan Brooks yang merupakan ahli bahasa dan dikaji oleh ahli psikologi seperti Ivan
Pavlov. Ia merangkumi ciri-ciri seperti;
1. Proses timbal balik rangsangan dan gerak balas,
2. Gerak balas yang berulang-ulang akan dilakukan untuk memperolehi ganjaran
3. Gerak balas yang dipantau dengan peneguhan positif akan lebih kerap diulangi
4. Gerak balas yang kerap akan menghasilkan kebiasaan
5. Proses pembelajaran bahasa adalah proses penekanan terhadap latihan dan pengulangan
yang mencorak kebiasaan. Ia adalah proses mekanis yang memerlukan koordinasi daya
mental
6. Proses pembelajaran memerlukan pengukuhan berbentuk ganjaran , pemantauan dan
pembetulan serta merta.
7. Latih tubi adalah keperluan sepanjang proses pembelajaran berlangsung.
8. Pembelajaran bahasa menitikberatkan persekitaran bilik darjah yang kondusif kepada
seluruh ahli yang terlibat seperti guru dan murid-murid.

Sungguhpun begitu, Ahli behaviorisme menegaskan bahasa pengajaran bahasa mestilah


dimulakan dengan kemahiran lisan. Guru-guru boleh mengadaptasi teori ini dalam
pengajaran mereka untuk sesi latih tubi dan penyediaan isi dan data-data untuk membentuk
sebuah karangan. Maka, teknik sumbangsaran dalam pengumpulan isi, fakta dan data di
dalam kelas amat menepati teori ini.

Teori Kognitif
Berlainan pula dengan teori ini. Teori Kognitif ini menitikberatkan perkembangan kognitif
murid-murid melalui latihan mengingat, mengekod dan menyimpan maklumat bersesuaian
dengan kebolehan mental mereka dan telah dipopularkan oleh Jean Piaget. Pendapat yang
dipersetujui oleh ahli pemikiran kognitif lain seperti Robin Lakoff, D. Slobin dan Mangantar
Simantunjak ini menegaskan bahawa proses ini (pembelajaran bahasa) adalah proses internal
yang abstrak. Ia berlaku di dalam minda dan tidak dapat diukur melalui tingkah laku. Mazhab
kognitif ini menggariskan ciri-ciri berikut sebagai tunjang utama teori yang dibawa mereka iaitu
1. Pengetahuan terhasil daripada pemikiran manusia secara semulajadi.
2. Teori ini merangkumi elemen kesejagatan yang ada hubungan dengan kognitif.
3. Bahasa bersifat kreatif, tidak berlegar di dalam seputar persoalan objek, peristiwa,
pengalaman perilaku atau pengalaman naluriah seperti yang didakwa oleh pemikir teori
behaviourisme.
4. Otak/kognitif menjadi sarana penting dalam pemprosesan bahasa.
5. Fikiran harus berada di dalam pemikiran sebagai satu komponen yang tidak boleh
terpisah.

Teori Mentalis
Jika disorot dari segi teori mentalis pula, ia menegaskan bahawa bahasa adalah aktiviti
mental, milik istimewa manusia yang dikurnia bersama-sama kelahirannya. Teori ini
menekankan bahawa pengetahuan bahasa, penafsiran makna seseorang dilahirkan oleh proses di
dalam otak dan saraf. Ahli pemikir kognitif juga terlibat melahirkan teori mentalis yang juga
dikenali sebagai Koda Kognitif atau Innatis ini. Justeru, George A. Miller direkodkan sebagai
mencatatkan bahawa proses mental dilakukan oleh seorang pendengar apabila menghadapi
pertuturan yang meliputi proses memadan, menerima, mentafsir, memahami dan mempercayai.
Di antara ciri-ciri teori mentalis yang berkait rapat dengan pengajaran penulisan ialah:-
1. Semenjak dilahirkan, manusia sudah dibekalkan dengna jentera penguasaan bahasa.
Manusia mempunyai kebolehan semula jadi untuk merumus dan membentuk ayat-ayat
mengikut sistem bahasa yang mereka ada.
2. Kecekapan yang merupakan rumus-rumus atau tatacara bahasa sudah berada di dalam
mental manusia. Manakala prestasi yang merupakan penggunaan atau penghasilan
daripada apa yang berada di dalam stor mental manusia. Kedua-dua elemen ini saling
kait mengait menurut teori mentalis.
3. Murid-murid mesti diajar dengan ayat yang gramatis, iaitu yang sempurna menurut
hukum hakam tatabahasa kerana ia memainkan peranan penting dalam proses
pembentukan ayat.
4. Kemahiran membaca dan menulis adalah keutamaan dan kemahiran tatabahasa pula
hendaknya diajar secara formal.

Teori Interaksionalisme

Meskipun begitu, teori ini menitikberatkan aktiviti komunikasi di mana penyampaian


makna adalah subjek utama di dalam proses pembelajaran dan pengajaran bahasa. Teori ini lebih
menekankan bahawa latihan berterusan harus diberikan kepada murid-murid agar mereka
memperolehi kekuatan mempelajari struktur bahasa dan interaksi agar dapat menggunakan
bahasa dengan fasih dan lancar. Teori lain yang turut terlibat di dalam proses pengajaran ialah
teori interaksionalisme. Teori ini meletakkan pembelajaran bahasa sebagai komponen wacana
dan melibatkan mental dan linguistik. Mark Halliday menegaskan bahawa kebolehan
pembelajaran bahasa tidak boleh bergantung sekadar kepada kebolehan kognitif semata-mata. Ini
kerana, menurut beliau, kemahiran kognitif hanya membolehkan murid-murid mentafsir makna
tetapi belum tentu pentafsiran itu boleh dilahirkan di dalam bentuk bahasa yang sewajarnya
tanpa bantuan linguistik.
Teori Konstruktivitisme

Teori ini berputik daripada pandangan kognivitisme iaitu pengetahuan manusia dibina
secara aktif oleh manusia itu sendiri melalui daya pemikirannya. Segala maklumat yang diterima
oleh murid-murid akan diserap dan disesuaikan dengan maklumat sedia ada untuk membentuk
storan baru di dalam fikirannya. Mc Brien & Brandt (1997), menegaskan bahawa manusia tidak
sekadar menerima pengetahuan tetapi membina pengetahuan melalui informasi yang diterima
otaknya. Melalui pengalaman sedia ada, murid-murid membina pengetahuan dengan cara
menguji idea dan pendekatan, mengadaptasinya dan meletakkannya bersama-sama pengetahuan
sedia ada di storan baru. Teori ini lebih dikenali juga dengan teori pengajaran dan pembelajaran
berpusatkan murid. Guru bertindak sebagai penyumbang gagasan dan pereka bentuk bahan
pengajaran dan terpulang kepada murid-murid untuk menganalisis idea, mengolah semula atau
mengadaptasinya bersesuaian dengan pengetahuan yang sedia ada di dalam mindanya.

Selaras dengan kelima-lima teori yang diberi, dirumuskan bahawa teori pengajaran
penulisan adalah sebahagian daripada proses pemerolehan bahasa melalui prinsip yang empat
yang saling berkaitan itu iaitu kemahiran membaca, mengira, menulis, dan menaakul. Kesemua
proses tersebut melibatkan koordinasi minda dan anggota lainnya sebagai sebahagian daripada
proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

MODEL PENGAJARAN PENULISAN

Dalam memastikan pengajaran penulisan diadaptasikan dengan baik. Maka, telah dipilih
satu model sebagai panduan iaitu :-

Model Pengajaran Penulisan Kaedah Bergambar dan Carta


Penggunaan kaedah ini bermaksud penulisan yang dihasilkan adalah dengan berasaskan
gambar yang dilihat dan ditunjukkan. Kebiasaannya, gambar bersiri akan digunakan sebagai
bahan bantu mengajar dan peristiwa yang terdapat dalam gambar-gambar itu akan dijadikan
bahan penulisan. Namun begitu, kaedah ini juga dapat dilaksanakan menerusi teknik
penyampaian dengan menggunakan slaid. Teknik slaid lebih menarik dan dapat menimbulkan
minat pelajar kerana menyeronokkan, ditambah lagi dengan iringan irama muzik yang
bersesuaian, umpamanya pertunjukan slaid tentang kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan.
Namun, teknik slaid memerlukan peralatan yang tertentu. Jika menggunakan teknik ini, pelajar
mesti mempunyai daya ingatan yang kuat untuk mengingati gambar-gambarslaid yang telah
ditonton.

Dalam menggunakan kaedah bergambar, terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti dalam
menyampaikan pengajaran, iaitu:
1. Gambar yang digunakan mestilah sesuai sebagai bahan bantu mengajar dan tahap
peringkat pelajar, disamping tidak mengenepikan aspek kualiti gambar;
2. Guru mengarahkan pelajar meneliti gambar yang disediakan dan memikirkan perkara-
perkara yang dapat diperkatakan mengenainya;
 Pelajar disuruh mencatat idea atau isi penting yang hendak diperkatakan
berdasarkan gambar yang dilihat;
 Aktiviti sumbang saran dapat dijalankan, iaitu pelajar diberikan peluang
menyuarakan pendapat dan idea mereka secara lisan dan kemudian guru
menulisnya pada papan tulis, sambil menyemak kegramatisan ayat-ayat yang
diutarakan.
 Guru mengadakan sesi perbincangan dengan pelajar tentang isi-isi yang diberikan
dan membuat rumusan tentang penyusunan isi-isi penting; dan
 Pelajar menulis dengan berlandaskan perbincangan yang telah dilakukan.

Sementara itu, teknik carta aliran bermaksud guru mengedarkan atau menunjukkan
sebuah carta aliran berdasarkan proses-proses penghasilan sesuatu bahan atau produk. Teknik
carta aliran agak bersistematik mengikut kronologi peristiwa. Teknik ini ada persamaan dengan
teknik gambar bersiri, bahawasanya setiap proses itu digantikan dengan frasa-frasa yang
menceritakan secara ringkas apa-apa yang berlaku pada setiap peringkat yang dipaparkan dalam
carta. Prosedur-prosedur atau peringkat-peringkat itu boleh ditunjukkan dengan menggunakan
penanda ‘anak panah’ atau berbentuk paparan carta.
Cara Melaksanakan Model Pengajaran Penulisan Kaedah Bergambar Dan Carta
Pengajaran penulisan kaedah bergambar dan carta hampir sama. Oleh itu, saya menggunakan
satu model pengajaran sahaja untuk pengajaran penulisan kaedah bergambar dan carta. Berikut
ialah model pengajaran penulisan kaedah bergambar dan carta yang saya cadangkan.

Tajuk : Penternak Ayam


Bahan Bantu Mengajar : Gambar Bersiri
Langkah-langkah Pengajaran :

Langkah 1
Guru mengedarkan gambar kepada murid-murid. Guru meminta murid-murid supaya meneliti
aktiviti, peristiwa atau perkara-perkara penting yang dapat diperkatakan atau diceritakan
berdasarkan gambar yang diberi. Guru boleh menetapkan jumlah aktiviti atau peristiwa yang
dikehendaki bagi setiap gambar. Contohnya, guru ingin murid –murid menyenaraikan dua
aktiviti atau peristiwa penting bagi setiap gambar. Selain itu, guru juga boleh memberi
kebebasan kepada murid-murid untuk mencari sebanyak mungkin aktiviti atau peristiwa daripada
setiap gambar tersebut.

Langkah 2
Murid-murid diminta mencatat perkara-perkara penting, aktiviti atau peristiwa berdasarkan
gambar yang diberi. Aktiviti ini boleh dilakukan secara individu atau kumpulan. Jika aktiviti ini
dijalankan secara individu, guru hendaklah memainkan peranan supaya aktiviti pengajaran dan
pembelajaran menjadi aktif. Sebagai contoh, guru perlu bersoal jawab dengan murid jika tidak
ada pelajar yang ingin memberi pendapat secara suka rela. Bagi pelajar-pelajar yang lemah, guru
hendaklah membimbing mereka agar mereka dapat menyatakan idea dengan lebih yakin.

Sekiranya guru ingin menjalankan aktiviti ini secara kumpulan, guru hendaklah mengarahkan
para pelajar supaya berada dalam kumpulan masing-masing sebelum aktiviti ini dajalankan.
Setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua dan seorang pencatat. Guru hendaklah
mengarahkan murid-murid supaya berbincang dalam keadaan yang terkawal. Murid-murid perlu
diingatkan supaya mengambil bahagian dalam sesi perbincangan. Setiap pelajar diwajibkan
mengemukakan pendapat berdasarkan perkara yang dibincangkan. Guru juga boleh menerapkan
nilai murni kepada murid-murid semasa aktiviti kumpulan dijalankan. Contohnya, nilai
bekerjasama dan bertolak ansur.

Semasa aktiviti kumpulan dijalankan, guru perlu memainkan peranan sebagai fasilitator dengan
memantau setiap kumpulan dan memberi bimbingan kepada kumpulan yang menghadapi
masalah. Seelok-eloknya, setiap kumpulan dibekalkan dengan peralatan yang diperlukan untuk
sesi pembentangan hasil kerja. Untuk peringatan, guru juga perlu menyatakan masa yang
diperuntukkan untuk sesi perbincangan supaya murid-murid tidak terleka.

Langkah 3
Setelah selesai sesi perbincangan, setiap kumpulan dikehendaki menghantar wakil kumpulan
untuk membentangkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing. Semasa sesi
pembentangan, seorang lagi ahli kumpulan dikehendaki mencatat idea atau isi penting yang
dibentangkan oleh pembentang kumpulannya pada papan tulis. Murid-murid atau ahlikumpulan
yang lain diminta mendengar pembentangan itu dengan teliti dan mencatat idea atau isi penting
yang dibentangkan oleh kumpulan lain.

Apabila setiap kumpulan selesai membentangkan hasil perbincangan mereka, kumpulan lain
diberi peluang untuk memberi komen tentang idea atau isi penting yang dikemukakan oleh
kumpulan tersebut. Kumpulan lain juga perlu peka terhadap idea atau isi penting yang yang telah
dikemukakan oleh kumpulan terdahulu agar tidak berlaku pertindihan idea. Idea atau isi penting
yang sama tidak perlu dibentangkan oleh kumpulan berikutnya. Selepas itu, murid-murid diminta
membaca idea-idea yang tercatat pada papan tulis hasil perbincangan semua kumpulan. Guru
juga boleh memilih murid-murid secara rawak untuk membina ayat secara lisan dengan
menggunakan idea yang telah diperoleh. Kemudian, guru mengadakan perbincangan dengan para
pelajar tentang isi-isi yang diberikan dan membuat rumusan tentang penyusunan isi-isi penting
semasa menulis karangan. Di samping itu, guru juga boleh berbincang tentang sistem bahasa
yang dirasakan perlu ada dalam karangan tersebut. Contohnya, penggunaan penanda wacana,
penggunaan imbuhan, kata tugas dan lain-lain.
Langkah 4
Selepas itu, murid-murid diminta menulis karangan dengan menggunakan idea atau isi-isi
penting yang telah dibincangkan atau dibentangkan oleh setiap kumpulan. Aktiviti ini boleh
dilakukan secara individu atau kumpulan. Jika aktiviti ini dilakukan secara kumpulan, seorang
ahli kumpulan perlu menulis karangan manakala ahli yang lain membantu membina ayat-ayat
yang gramatis. Guru pula memainkan peranan sebagai fasilitator. Semasa aktiviti ini dijalankan,
guru perlu sentiasa mengingatkan para pelajar tentang kesalahan umum yang sering dilakukan
oleh kebanyakan pelajar semasa menulis.

Setelah selesai menulis, murid perlu menyemak untuk memastikan sama ada terdapat tulisan
yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah
dan aspek tatabahasa yang lain.

Langkah 5
Seterusnya, beberapa kumpulan akan dipilih untuk membacakan karangan masing-masing.
Semasa wakil kumpulan membaca karangan, murid-murid lain diminta mendengar dengan teliti
dan memberi komen terhadap kesalahan yang terdapat dalam karangan tersebut, contohnya
kesalahan dari segi struktur ayat, penggunaan imbuhan dan sebagainya. Guru juga hendaklah
membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh setiap kumpulan pada masa itu juga. Setiap
kumpulan diminta membuat pembetulan terhadap kesalahan yang telah dilakukan sebelum
menghantar karangan mereka kepada guru.

Langkah 6
Guru menyemak karangan tersebut dengan teliti dan membetulkan setiap kesalahan yang
dilakukan oleh murid-murid. Selepas itu, karangan tersebut akan dipulangkan kepada murid-
murid dan setiap ahli kumpulan dikehendaki menulis semula karangan tersebut dalam buku
masing-masing. Setiap kumpulan juga diminta menyediakan satu salinan karangan yang telah
dibaiki untuk ditampal di dalam kelas atau dijilid untuk dijadikan sebuah buku sebagai rujukan
murid-murid.
PENDEKATAN PENGAJARAN PENULISAN

Apa yang dimaksudkan dengan pendekatan? Pendekatan didefinasikan sebagai arah atau
hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran. Dalam pengertian yang lebih luas,
pendekatan juga diertikan sebagi "to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk
melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau
generalisasi yang tertentu. Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan
untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran
atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran.

Ahli bahasa iaitu Kamarudin Hj. Husin (1988), mendefinisikan pendekatan sebagai satu
kumpulan andaian yang saling berkait tentang hakikat bahasa, hakikat pengajaran bahasa dan
hakikat pembelajaran bahasa. Manakala Edward M. Anthony (1963), pula berpendapat bahawa
pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan
pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Berlainan pula dengan Parera (1986), ada
menyebut pendekatan merupakan satu latar belakang falsafah atau pandangan mengenai idea
utama yang hendak dibahaskan dan merupakan satu aksioma (pernyataan yang diterima umum
dan menjadi asas kepada sesuatu huraian). Pendekatan juga dikatakan sebagai cara atau langkah-
langkah bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas seperti menyelesaikan masalah,
Kamus Dewan (1988). Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti
pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan
kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak menyentuh tentang
kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru adalah bebas memilih kaedah yang
difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut.

Setelah diteliti, pendekatan-pendekatan yang wujud adalah berdasarkan aspek-aspek


pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi perhatian yang lebih utama. Sebab itu, ada
kalanya pendekatan menyerupai klasifikasi pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan wujud
berdasarkan kriteria-kriteria yang kita gunakan untuk meneliti proses pengajaran. Pendekatan-
pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan murid, cara-cara fakta
disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata
pelajaran lain. Selain itu, pendekatan yang memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai
pendekatan memusatkan guru manakala pengajaran yang mementingkan murid disebut sebagai
pendekatan memusatkan murid. Maka dengan hal itu, kaedah-kaedah yang seiring dengan
pendekatan yang memusatkan guru adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi
manakala kaedah-kaedah pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran yang
memusatkan murid adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah bermain dan kaedah
perbincangan kumpulan. Berdasarkan kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka isi
mudah ke isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.

Secara terperincinya dapat dikatakan bahawa pendekatan merupakan sesuatu yang agak
umum dan ia seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana
caranya untuk menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk menuju arah yang ditetapkan
oleh sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedah-kaedah pengajaran. Secara keseluruhannya,
pendekatan adalah bersifat aksiomatik dan menggambarkan hakikat bahasa dan proses belajar
bahasa yang dijadikan landasan untuk menyusun kaedah mengajar. Manakala, kaedah pula
adalah bersifat prosedur dan teknik merupakan perlaksanaan kaedah dalam kelas.

Pendekatan pengajaran Penulisan Raimes

Raimes mengemukakan empat pendekatan pengajaran penulisan wacana iaitu Pendekatan


Terkawal, Pendekatan Bebas dan Pendekatan Komunikatif ( dalam Juriah Long dan rakan-rakan,
1990:214)

Pendekatan Terkawal
Berdasarkan pendekatan terkawal ini, guru dapat memandu dan mengawal pelajar
daripada melakukan kesalahan. Pada peringkat awal, guru mengawal secara menyeluruh. Namun
begitu, pelajar masih diberikan kebebasan untuk memilih perbendaharaan kata atau struktur ayat
mereka sendiri. Sebagai contoh, bentuk-bentuk kawalan yang diberikan oleh guru adalah dengan
menyediakan sebuah penulisan yang menghendaki pelajar mengisi tempat-tempat kosong dengan
perkataan yang sesuai; guru memberikan senarai frasa yang berkaitan dengan sesuatu topik dan
pelajar perlu membina ayat untuk melengkapkan frasa; guru mengambil satu petikan yang
menggambarkan sesuatu kejadian atau peristiwa kemudian pelajar disuruh menggambarkan
semula keseluruhan pengalaman berdasarkan kejadian itu.

Pendekatan Bebas
Melalui pendekatan ini pula, ia memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyuarakan
pendapat mereka tentang sesuatu topik penulisan. Walau bagaimanapun, pendekatan ini hanya
sesuai digunakan bagi pelajar yang sudah dapat menguasai bahasa dengan baik. Misalnya dalam
pengajaran penulisan wacana yang ada hubung kait dengan masalah penggunaan dadah dalam
kalangan remaja, guru boleh keratan-keratan akhbar untuk ditunjukkan kepada pelajar dan
menyuruh mereka memberikan pendapat melalui aktiviti sumbang saran. Melalui cara ini pelajar
akan lebih berminat, aktif dan dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan.

Pendekatan Komunikatif
Pendekatan Komunikatif ini menegaskan tentang seseorang yang sudah mempunyai
pengetahuan tentang struktur bahasa dan kebolehan membina ayat-ayat yang gramatis. Ini tidak
bermakna dia sudah dapat berkomunikasi dengan baik dan berkesan memandangkan kecekapan
berbahasa dan berkomunikasi itu juga menitikberatkan unsur-unsur lain yang boleh
mempengaruhinya, seperti aspek-aspek sosiolinguistik dan psikolinguistik. Dell Hymes yang
merupakan pengasas pendekatan ini antara lain menyatakan bahawa kecekapan komunikatif
merupakan penguasaan bahasa secara naluri yang dimiliki oleh seseorang pelajar, iaitu
keupayaan pelajar mengguna dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi
dan berinteraksi dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial.

Lazimnya, pelbagai pendekatan, kaedah, dan teknik dapat diaplikasikan dalam


pengajaran aspek-aspek bahasa termasuk pengajaran penulisan wacana. Tidak ada satu
pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan di dalam bilik darjah melainkan
masing-masing perlu disesuaikan dengan topik penulisan yang hendak diajar. Ini bergantung
kepada kebijaksanaan guru kerana yang penting ialah pelajar dapat turut serta dan aktif dalam
aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Pengajaran dan pembelajaran mestilah
berpusatkan pelajar. Guru hendaklah bertindak sebagai pemudah cara.
Dalam erti kata lain, tidak ada pendekatan, kaedah atau teknik yang terbaik untuk
diaplikasikan di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, guru perlu menggunakan pendekatan,
kaedah dan teknik yang berbeza untuk mengajar murid-murid yang pandai dan murid-murid
yang lemah. Sekiranya guru menggunakan kaedah perbincangan atau sumbang saran untuk
mengajar murid-murid yang lemah, sudah pasti aktiviti pengajaran dan pembelajaran tersebut
tidak berkesan. Ini kerana setiap pelajar adalah berbeza. Jadi, guru perlu lebih kreatif untuk
menyampaikan ilmu kepada para pelajar dengan menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik
yang difikirkan sesuai berdasarkan ilmu yang hendak disampaikan agar murid-murid dapat
menerima ilmu tersebut dengan baik. Begitu juga jika guru menggunakan Pendekatan Terkawal
untuk mengajar murid-murid yang pandai, sudah pasti murid-murid akan berasa bosan dan
mengongkong kemahiran berfikir murid-murid. Oleh itu, guru perlu bijak memilih dan
menentukan pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai untuk mengajar murid-murid agar
pengajarannya menarik dan berkesan.

KAEDAH PENGAJARAN PENULISAN

Menurut Kamus Dewan kaedah bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum
atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan
tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. Kemahiran khusus tersebut adalah dimaksudkan
sebagai teknik. Oleh itu, untuk menjayakan sesuatu yang kita ingini kaedah yang dipilih mestilah
disertai dengan teknik-teknik yang betul. Memilih kaedah yang tepat tanpa menguasai teknik-
teknik yang baik menurut kaedah tersebut tidak akan menjaminkan tercapainya matlamat kaedah
yang diingini. Selain itu, kaedah juga boleh didefinisikan sebagai satu rancangan tentang apa
yang akan dilaksanakan sesuai dengan situasi bagi mencapai sesuatu objektif pengajaran (Ishak
Ramly, 2006).Ahli kaji bahasa Parera (1986), pula mendefinisikan kaedah sebagai satu
rancangan menyeluruh untuk menyampaikan secara teratur bahan-bahan bahasa, tidak ada
bahagian-bahagiannya yang saling bertentangan dan semuanya berdasarkan pendekatan.
Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai
urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk
menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain. Lantaran
itu, kaedah-kaedah pengajaran adalah seperti cercerita, perbincangan, bermain, latih tubi, main
peranan, menyelesaikan masalah, brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan, projek, soalan atau
Socratik dan lain-lain lagi.

Kaedah Pengucapan Terkawal


Secara keseluruhan, Pincas mengandaikan bahawa penggunaan bahasa adalah
manipulasi daripada corak tetap yang dipelajari daripada prosses imitasi. Apabila ia telah
difahami dan dipelajari secara konsisten, barulah terhasil keaslian dalam variasi. Pendapat
beliau, penulisan karangan bebas adalah proses penciptaan dan kreativiti. Maka seharusnya ia
berbeza dengan mana-mana kaedah pengajaran saintifik yang rigid dan skema, malahan tertakluk
kepada pilihan jawapan. Beliau juga berpendapat bahawa penekanan harus diberikan secara
berperingkat-peringkat bermula daripada penggantian perkataan di dalam ayat yang berbeza
bentuk kepada penggantian ayat–ayat di dalam perenggan. Kaedah ini boleh juga dianggap
kaedah terus di dalam pembelajaran bahasa di mana guru akan memberitahu apa yang perlu
dilakukan sebelum murid dibebaskan untuk memperkembangkan istilah penggantian mereka
sendiri secara bebas. Beliau menggariskan ciri-ciri berikut sebagai peringkat-peringkat latihan di
dalam pengajaran penulisan iaitu penggunaan pelbagai leksikon dan pembentukan ayat di dalam
latihan penulisan dan lisan. Pelajar yang dibenarkan menghasilkan tulisan hanya apabila
dipastikan bahawa mereka menghargai dan memahami pelbagai tahap ciri penulisan. Program
penulisan karangan yang melibatkan penggantian pelbagai. Pincas juga mengandaikan bahawa
penggunaan bahasa adalah manipulasi daripada corak tetap yang dipelajari daripada prosses
imitasi. Apabila ia telah difahami dan dipelajari secara konsisten, barulah terhasil keaslian
dalam variasi.

Kaedah Pengucapan Bebas


Kaedah ini pula memperkenalkan Eramus (1960) yang menggariskan beberapa ciri
kaedah pengucapan bebas seperti murid-murid digalakkan menulis secara cepat dengan sedikit
ulangkaji. Kaedah ini menekankan latihan yang banyak sepanjang penulisan pelajar dan
keutamaan terhadap kuantiti ini menjadikan hasil penulisan pelajar lebih sempurna kerana
murid-murid sentiasa membuat latihan. Beliau menghujahkan lagi bahawa metod ini akan
menguatkan pemahaman bahasa pelajar dengan pengalaman membetulkan kesilapan dan
penemuan perkataan-perkataan baru yang akan menambah kepelbagaian kosa kata mereka di
dalam jajaran sintaksis. Penghujahan beliau disokong oleh Chastain (1976) berasaskan
pemerhatian dan kajian yang dibuat oleh Brieve di UCCA.

Kaedah Retorika
Berbalik dengan kaedah ini, Retorika adalah merujuk kepada seni penggunaan bahasa
yang menarik dan berkesan dalam melahirkan gagasan untuk memujuk atau mempengaruhi
khalayak mengenai sesuatu perkara. Deskripsi ini dinyatakan oleh Nik Safiah dan Wan Malini.
Ia melibatkan perkara-perkara seperti penciptaan, susunan dan stail dalam penulisan. Di antara
elemen retorika yang terkenal ialah keberkesanan bentuk-bentuk prosa deskriptif, naratif,
ekspositori dan argumentatif. Kehadiran asas retorika di dalam teks boleh dirasai apabila
kedapatan elemen-elemen skema berdasarkan maklumat atau isi yang boleh disusun. Teks akan
menekankan penyusunan isi yang berbeza berdasarkan perenggan-perenggan yang telah
mungkin diproses melalui gaya analisis, analogi, kontras masa, falsafah dan sebagainya. Oleh
kerana ikatan tersebut, murid-murid akan terhalang daripada untuk menulis secara spontan dan
memendekkan kejelasan pemikiran mereka. Walhal, kaedah ini menitikberatkan bentuk-bentuk
pengembangan perenggan yang berlainan seperti yang ditegaskan Kaplan (1966) melalui Bander
yang menegaskan bahawa setiap satu perenggan yang terdapat di dalam sesebuah penulisan
berkecenderungan mempunyai jalinan pengembangan yang berbeza-beza seperti pengembangan
selari atau pengembangan terus.

Rumusnya, terhadap pelbagai kaedah yang perlu disesuaikan oleh guru-guru di dalam
proses pengjaran dan pembelajaran menulis karangan dan usaha mendapatkan karangan yang
cemerlang. Guru-guru harus jelas dengan objektif dan keupayaan murid-muridnya ketika
merangka sesuatu sekuen latihan yang hendak digunakan. Terdapat kaedah yang mungkin sesuai
untuk sesebuah sekolah berdasarkan latar belakang dan lokasi murid-murid serta beberapa aspek
lain yang perlu diambil kira.
TEKNIK-TEKNIK PENGAJARAN PENULISAN

Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1988), berpendapat bahawa teknik
pengajaran ialah pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah
dimana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Jika seseorang guru itu tidak dapat
menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat
kaedah itu akan tidak berhasil. Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara
khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Berlainan pula dengan Edward M. Anthony (1963),
yang mendefinisikan teknik sebagai satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh
guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian
bahasa tertentu. Beliau juga mengatakan bahawa teknik ialah kemahiran guru yang digunakan
untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktivitipengajaran dan
pembelajaran.

Teknik Pengajaran Berpandu


Melalui teknik pengajaran berpandu menjurus kepada teknik yang paling popular dan
digunakan dengan pengawasan guru sepenuhnya. Boleh dikatakan teknik merangkumi latih tubi
dan soal jawab ini adalah gabungan kaedah pengucapan terkawal, yang memerlukan murid-
murid menghasilkan kuantiti karangan yang banyak di samping mengenalpasti kesalahan yang
dilakukan semasa proses menulis itu berlangsung. Tiga elemen penting yang perlu diambil
perhatian adalah murid-murid didedahkan dengan prinsip utama bidang kepengarangan iaitu apa
yang hendak dikata (isi), bagaimana menyusun apa yang dikatakan (organisasi) dan bagaimana
hendak mengatakan apa yang hendak dikatakan (ekspresi). Teknik ini adalah berasaskan
pendekatan deduktif iaitu di mana guru-guru akan memperkenalkan, menerangkan peraturan dan
seterusnya memberikan langkah-langkah untuk menghasilkan bentuk penulisan tersebut. Teknik
ini telah disokong oleh Marohaini dan Zulkifli (1997) yang juga mencadangkan agar guru
memberikan penumpuan terhadap aspek penghasilan gagasan atau isi yang baik berbanding
proses mengarang itu sendiri. Tugas murid ialah menyiapkan latihan tersebut dan sebaik-
baiknya dilakukan berulang-ulang untuk mendapatkan hasil tulisan yang baik dan cemerlang.
Teknik ini dinamakan teknik pengajaran berpandu di mana murid-murid akan dipandu oleh guru
dan dikawal daripada melakukan kesalahan. Pada peringkat awal, isi dan bahasa akan
disediakan oleh guru dan murid-murid akan diarahkan mengisi tempat kosong atau membina
ayat berdasarkan petikan gambar.

Teknik Sumbangsaran
Meskipun begitu, bagi karangan yang berasaskan fakta atau gambar, guru-guru boleh
juga mempraktiskan teknik sumbangsaran atau perbincangan yang melibatkan murid-murid
sepenuhnya. Mereka boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan membenarkan
murid-murid mengembangkan idea secara kolaboratif dengan pantauan guru. Teknik yang
berasaskan pendekatan bebas ini membolehkan murid-murid bebas melahirkan pendapat masing-
masing secara kritis dan analitikal berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh guru. Teknik ini
lebih sesuai digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran untuk tahap dua. Pada tahap ini
murid-murid diberikan kebebasan untuk menentukan hala tuju idea mereka selagi masih
berpegang kepada tiga prinsip mengarang yang disebutkan di atas. Murid-murid juga boleh
memanipulasi apa sahaja bahan sama ada di luar atau di dalam bilik darjah selagi ia tidak
terkeluar daripada skop penghasilan penulisan mereka. Penulisan bentuk ini boleh dibahagikan
kepada bentuk ilmiah seperti bentuk laporan, pidato, syarahan, debat yang memerlukan bantuan
fakta atau penulisan kreatif dalam bentuk penceritaan. Justeru, dengan kecanggihan teknologi
maya, guru-guru mungkin boleh memaksimumkan penggunaan gajet-gajet dengan menyelitkan
teknik-teknik seperti, simulasi, permainan bahasa, soal jawab untuk variasi pengajaran penulisan
yang menarik dan penting sekali menyediakan pelajar mendepani peperiksaan.
KESIMPULAN

Demikianlah secara seimbas lalu, setelah membincangkan mengenai pendekatan, teori,


kaedah, model dan teknik, dapatlah dirumuskan bahawa pengetahuan secara holistik merupakan
satu keperluan yang mendesak di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran penulisan.
Sememangnya, tiada pendekatan, kaedah atau teknik khusus di dalam menghasilkan kualiti dan
kuantiti cemerlang di dalam pengajaran penulisan tetapi guru-guru mempunyai seleksi yang luas
dengan kepelbagaian pendekatan dan konsep yang telah dibincangkan di atas. Keutamaan
adalah memastikan objektif pengajaran berkesan mencapai matlamatnya. Di antara ciri
pengajaran berkesan ialah kepelbagaian penyampaian dan kejelasan penyampaian oleh
guru. Diantara objektif penulisan ialah memperkembangkan imaginasi dan pemikiran kritis
murid-murid disamping menyediakan murid-murid yang berpengetahuan menyampaikan maksud
melalui penulisan yang betul.

Di samping menitikberatkan proses penulisan yang sesuai, tidak ketinggalan juga ialah
pemuliharaan hukum bahasa baku yang melibatkan tatabahasa, ejaan, kosa kata serta sebutan
yang betul di dalam aktiviti menulis dan membaca.
RUJUKAN

Tuan Jah Tuan Yusof PHD.(2011). Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah.
Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.

Adenan Ayob,Khairuddin Mohamad.(2012).Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu. Selangor:


Oxford Fajar Sdn.Bhd.

Faridah Nazir.(2011)Kurikurum Dan Perkaedahan Dalam Pengajaran Bahasa Melayu.


Selangor: Open University Malaysia.

Dr.Ali Mahmood,Mashudi Bahari,Lokman Abd Wahid.(2011).Pengenalan Pendidikan


Bahasa Melayu.Selangor: Open University Malaysia.

RUJUKAN INTERNET

Institut Pendidikan Guru.2011.Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah.


(atas talian).www.imsipda.net/…/BMM3117_kaedah_pengajaran_bahasa_SR.pdf

Anda mungkin juga menyukai