Anda di halaman 1dari 4

Pertembungan Junaidah dengan komando

[Masthurah yang sudah mengetahui Junaidah yang membunuh bapa mereka, terserempak
dengan Junaidah lalu melaung ‘Kak Ju!”]

[Masthurah membantu polis dan komando menjejaki Junaidah]

[operasi mengesan dan menangkap Junaidah bersama Dabbah yang bersekongkol dengannya
bermula]

[Junaidah tewas selepas melindungi ketua Dabbah. Ketua Dabbah melarikan diri.]

“Jangan bergerak! Kalian telah dikepung!” Laungan Farid bergema menerusi corong hailer.

Kumpulan lima ekor Dabbah itu, dengan Junaidah menunggang belakang ketua mereka, kini
berjaya diperangkap dalam sebuah gudang terbiar di tengah hutan.

Laser-laser dari para komando yang memakai rerangka ekso (exoskeleton) yang dicipta
CHEMTECH, terarah kepada makhluk-makhluk itu dan Junaidah.

“Junaidah, serah diri sahaja. Hukuman kamu akan diringankan.” Farid memaklumkan kepada
Junaidah.

Junaidah tidak menjawab. Tangannya menggigil. Mata meliar dalam gelap gudang cuba
mencari jika ada jalan keluar dari sini. Bumbung gudang ini konkrit. Lubang-lubang tingkap
pula terlalu kecil untuk makhluk ini menyelinap keluar. Hanya satu jalan keluar yang tinggal,
iaitu pintu hadapan. Tiada tangga di sini kerana gudang ini hanyalah setingkat.

Junaidah tahu makhluk ini tidak akan mampu menewaskan laser-laser mereka. Junaidah tahu
dia pasti akan dihukum gantung kerana telah bersubahat dengan makhluk-makhluk ini.
Junaidah tidak percaya hukumannya akan diringankan seperti kata komando itu, kerana
meskipun dia remaja bawah umur, kesalahannya terlalu berat. Dia telah bersubahat
membunuh ratusan nyawa.

Namun Junaidah juga sedar, kebarangkalian makhluk ini ditewaskan laser bukanlah seratus
peratus. Junaidah memilih untuk berjudi. Dia tetap mahu melepaskan diri.

“Junaidah, usah sekali-kali cuba meninggalkan gudang atau kami akan menembakmu.”

“Kak Ju! Kak Ju! Serah diri Kak!” Kedengaran bunyi suara yang amat dikenali Junaidah.

Masthurah berlari tercungap-cungap di pintu masuk gudang.

“Suara siapa tu?” Soal salah seorang komando kepada Farid.

“Budak Junaidah itu ada pakatankah?” Soal seorang lagi komando.

Farid nampak kelibat susup-sasap balik belukar dan hilang.


[Junaidah di saat akhir hidupnya selepas melindungi ketua Dabbah yang sentiasa
bersamanya.]

“Tembak!”

Satu batang laser menerobos ke arah seekor Dabbah yang sedang ditunggangi Junaidah,
namun Junaidah menundukkan badannya sehingga lehernya melindung laser itu. Dia rebah
dari Dabbah itu.

“Kak Ju!!” Laung Masthurah yang tiba-tiba berlari dari belukar, terus masuk ke dalam gudang
dan memeluk Junaidah. Dabbah-dabbah lain sudah menghalimunan dan melarikan diri.

Masthurah memangku Junaidah yang sudah terkulai. Junaidah kesamaran, lehernya berdarah-
darah.

**

Hidup apalah yang aku lalui ini. Andai aku tidak diperlakukan sedemikian rupa oleh bapa
bangsat itu, aku mungkin telah melanjutkan pelajaran, berkerjaya, berkahwin dan bahagia
hingga ke tua. Andai aku tidak melalui semua ini, sudah pasti aku bahagia seperti rakan-
rakanku. Namun hayat apalah yang telah aku lalui ini. Mengapa begitu celaka sekali nasibku.
Ujian Tuhan yang manakah di dunia ini yang lebih teruk dari apa yang telah aku lalui...

Kerana celakanya hidup ini aku tergamak membunuh bapa sendiri, bahkan menyeksa sebelum
membunuhnya. Andai dia tidak memulakan laluan celaka dan jijik ini pasti aku masih lagi
menyayanginya sepertimana anak-anak yang lain yang ada bapa. Pasti aku bahagia hidup
berbapa, merasa selamat di rumah sendiri, merasa bangga ada seorang bapa sepertimana
anak-anak yang lain, yang bapa mereka datang di hari penyampaian hadiah di sekolah, di hari
konvokesyen di universiti...

Namun apa maknanya semua itu, apa maknanya. Bagaimana mungkin aku memandangnya
sebagai bapa dan pelindung dengan noda dan dosanya ke atasku masih berbekas di jiwa
sehingga saat ini, sehingga saat nyawaku di hujung tenggorok. Bagaimana mungkin aku boleh
hidup di dunia ini dengan membenci susuk itu. Aku masih keliru sehingga kini. Dalam hati
sungguh berat untuk terus membenci kerana dia darah dagingku. Namun aku telah memilih
jalan ini, kerana aku tidak dapat... aku tidak akan mampu hidup dengan parut pada maruah
dan kesucianku. Aku sungguh tidak mampu melakukannya, ia terlalu menghiris dan
memeritkan.

Junaidah memegang lehernya yang ditembusi sinar laser yang sepatutnya menghala ke
Dabbah yang dilindunginya tadi. Sepertiga daging lehernya hangus dibakar laser, ada kesan
asap sisa merunut keluar, luka separa kering dek haba laser yang panas melecurkan.

Apalah celaka sungguh hidup yang aku lalui ini...


“Kak Ju...” Kedengaran suara halus dan lembut menyeru Junaidah. Dalam kesamaran,
Junaidah dapat melihat kelibat Masthurah di hadapannya sedang mencangkung, matanya
berair, dahi kecilnya berkerut. Tudungnya warna merah jambu melitup kepala dan berlingkar
pada leher.

“Mas... Mas bukan?” Soal Junaidah dalam lemah.

“Kak Ju!” Masthurah memeluk Junaidah dan menangis teresak-esak.

“Kak Ju, Mas dah tahu segalanya. Kak Ju yang bunuh abi kan?”

Junaidah tergamam. Bagaimana Mas mengetahuinya?

“Mas ada pada hari Kak Ju menangkap abi. Mas dah tengok semuanya!”

“Mas... marah?”

Mas menggeleng kepala. Esakannya masih kedengaran, dia masih memeluk Junaidah.

“Mas tahu apa yang abi dah lakukan kepada Kak Ju selama ni. Tapi Mas tak berani lapor pada
polis, Mas pun tak berani beritahu ummi. Mas tahu kenapa Kak Ju kerap diam selepas itu. Mas
tahu semuanya! Mas berterima kasih Kak Ju, kalau Kak tak bunuh abi, mungkin Mas pun akan
jadi mangsa!”

“Apakah... Mas... abi pun...”

“Ya, Kak Ju. Abi jadi makin aneh. Abi pernah mengintai...”

Dalam lemah dan menahan sakit, Junaidah meletakkan jari pada mulut Mas agar
menghentikan laporannya. Mas mengangguk kecil. “Usahlah dibicarakan dosa jijik abi lagi.
Dia sudah mati. Sekarang biar dia jawab dengan Allah.”

“Kak Ju, maafkan Mas kerana tak bertindak.”

Junaidah menggeleng-gelengkan kepala. “Mas buat perkara betul demi adik-adik. Mas tak
bersalah...”

Mata Junaidah mula naik ke atas dan mata putih kian menakluk kornea. Masthurah
mengajarkan kakaknya dua kalimah syahadah. Mulut Junaidah mengikut dalam lemah.

Para komando yang berkawal di luar sudahpun merapat dan menghala ke lokasi dua beradik
itu, sedang senjata api dan laser mereka dihala ke arah lain demi mengesan dan menembak
mana-mana Dabbah yang cuba menghampiri mereka.

Masthurah masih memeluk Junaidah ketika seorang komando rapat ke arahnya.

“Budak perempuan... engkau dari mana?”

Masthurah tidak menjawab. Dia seolah tidak mendengar teguran komando itu.

“Budak perempuan, beredar dari sini segera.”


“Apa yang kalian tahu...” Masthurah berkata perlahan. Dia masih enggan melepaskan jasad
Junaidah.

“Beredar atau kami akan gunakan kekerasan.”

Masthurah bangkit dan cuba menyepak kaki komando itu, namun dia pula yang terjatuh.
Komando itu menahan Masthurah dan mengikat tangannya. Masthurah meronta-ronta.
Masthurah diserahkan kepada komando lain. Mayat Junaidah diangkut. Dabbah-dabbah lain
sudah lesap entah ke mana, namun apa yang pasti, mereka tidak kembali ke situ lagi demi
Junaidah. Junaidah sudah dilupakan. Pada mereka, Junaidah hanyalah sekadar juadah,
menunggu masa untuk dijamah. Junaidah seperti tikus yang hidup dalam kalangan kucing
dan menanti masa untuk dijamah sahaja selepas kucing-kucing itu hilang minat terhadapnya.
Namun pabila komando dengan senjata canggihnya tiba, mereka tidak dapat menjamah
Junaidah atau akan dihancurkan laser CHEMTECH itu.

Penderitaan yang ditanggung Junaidah itu adalah sebahagian dari penderitaan sama yang
dilalui sebilangan wanita di dunia ini. Yang dilaporkan dan ditayang di dada akhbar itu mungkin
hanya sepicing dari bongkah ais yang besar. Selebihnya mungkin sedang berlaku di celah
pelusuk kampung yang terpencil, di rumah-rumah terpencil jauh dari tamadun, dan tidak
dilaporkan, dan mungkin pada saat kita membaca kisah ini, ia sedang berlaku dan kita tidak
dapat berbuat apa-apa. Cuma apa bezanya antara Junaidah dengan mangsa-mangsa lain, dia
masih diberi kekuatan membasmi syaitan yang membuat onar ke atas maruahnya. Namun
malangnya manusia tidak akan memahaminya. Manusia menilai dari luaran namun hakikatnya
kerosakan yang dilakukan Junaidah itu berakarumbi dari kerosakan jiwanya berbapakan
syaitan seperti Nawi.

Apa yang rosak pada Junaidah bukan hanya maruah tetapi jiwanya. Ia bermula dengan
maruah dan berjangkit menjalar busuk dan kumannya pada jiwa dan hati. Hasilnya manusia
lain menjadi mangsa. Malang Junaidah, malang sungguh, celaka sungguh nasibnya. Celaka
sungguh nasib wanita yang berbapakan syaitan seperti Nawi itu.

**

Anda mungkin juga menyukai