Anda di halaman 1dari 11

BIAH SOLEHAH PEMANGKIN KECEMERLANGAN SAHSIAH PELAJAR

ABD RASHID BIN ZAINAL1

SUMAIYAH BINTI SULAIMAN2

SITI NOR BINTI JAFFAR3

Abstrak

Pembinaan insan dalam Islam bermula dari pendidikan yang diterima. Sekolah merupakan
institusi yang terpenting memikul tanggungjawab membentuk sahsiah pelajar. Sejajar dengan
perkembangan Malaysia ke arah pendidikan yang bertaraf dunia, sekolah yang berjaya
menggarap kecemerlangan akademik dan sahsiah perlu diiktiraf dan dijadikan „bench mark‟
sudut pelaksanaannya dan disebarluaskan agar dapat dijadikan model. Kertas kerja ini akan
membincangkan bagaimana Biah Solehah di sebuah sekolah berprestasi tinggi (SBT); Kolej
Islam Sultan Alam Shah (KISAS) berperanan membentuk sahsiah dan pembinaan insan
dengan acuannya yang tersendiri dalam beberapa aspek kehidupan. Justeru kertas kerja ini
membincangkan amalan harian sehingga terbentuknya budaya Biah Solehah dikalangan
warga KISAS SBT. Penulis juga akan cuba mengenengahkan program-program yang
dilaksanakan serta cuba mengemukakan cadangan bagi meningkatkan kualiti sahsiah pelajar
di sekolah-sekolah seterusnya boleh dijadikan asas pembudayaan Biah Solehah yang
terbilang.

Kata kunci : Pendidikan, biah solehah, Kolej Islam Sultan Alam Shah, sahsiah, pembinaan
insan

1
KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH, KLANG
2
IPG KAMPUS PENDIDIKAN ISLAM, BANGI
3
SEK AGAMA MENENGAH TINGGI SULTAN HISAMUDDIN ALAM SHAH, KLANG

1
Pendahuluan

Merujuk Kamus Lisanul Arab, biah adalah perkataan Arab yang membawa maksud
kediaman (ar.wikipedia.org). Iklim yang baik dan harmonis disebut dalam bahasa Arab
sebagai al-biah al-solehah. Kewujudan persekitaran yang soleh atau baik dan takwa akan
mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada dalamnya. Menurut Abd.
Rahim (2006), golongan remaja menyesuaikan dirinya dengan faktor-faktor persekitaran
keluarga, persekitaran sosial dan budaya yang akan mencorakkan perkembangan tingkah laku
mereka. Pelajar yang mempunyai asas agama yang lemah dan pemahaman betapa pentingnya
nilai-nilai kerohanian juga lemah mudah terjebak dalam gejala sosial (Zainudin & Norazmah:
2011). Abdullah Nasih Ulwan (2004) menyatakan jika si anak dibiarkan bercampur-gaul
dengan teman-teman yang pincang dan rosak akhlaknya, maka lidahnya akan mengeluarkan
kata-kata kesat dan caci maki. Membentuk peribadi seorang insan memerlukan
pengembelingan seluruh masyarakat, bukan sekadar dua ibubapa sahaja. Asas utama untuk
menyelesaikan masalah masyarakat itu ialah tiang-tiang seri atau tunggak masyarakat
(Murshidah & Maryam 2004). Maka tidak hairanlah kegagalan membentuk seorang anak
agar menjadi soleh kadang-kala dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

Jika ibu bapa merupakan insan soleh dan mengiklimkan rumah tangga dengan unsur-unsur
yang baik, tetapi apabila anak tersebut ke sekolah, bergaul dengan kawan, berjalan di
kampung atau bandar, melihat televisyen dan majalah dan seumpamanya yang kesemuanya
menyumbang ke unsur-unsur anti-soleh atau negatif, maka kemungkinan unsur pengajaran
yang baik itu akan terhakis. Jika tidak terhakis pun, kekeliruan dan pelbagai persoalan dari
jiwa yang mentah itu akan muncul. Begitu insan di setiap peringkat terpengaruh dengan
persekitarannya atau teman rapatnya. Nabi saw menyebut dalam hadis:

Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu
memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya

(Riwayat Ahmad)

Justeru betapa pentingnya membentuk atau mewujudkan biah solehah ini, maka kita tidak
hairanlah jika Allah menegaskan antara tanggungjawab para pemimpin masyarakat dan
keluarga ialah memelihara diri dan ahli keluarga atau masyarakat dari azab api neraka.
Perintah ini termaktub dalam surah al-tahrim ayat 6 yang bermaksud:

“Peliharalah diri kamu dan ahli kamu dari azab api neraka”

Dalam hal ini Allah telah jelas menegaskan kepentingan memelihara ahli keluarga dari
kemungkaran. Proses memelihara itu akan berlaku apabila iklim dan persekitaran dihiasi
dengan perkara-perkara yang makruf dan dihindari dari kemungkaran yang nyata lagi
mencemarkan masyarakat.

Biah Solehah Pemangkin Kepada Proses Pendidikan Berterusan

Pendidikan bermula daripada buaian sehingga ke liang lahad. Setiap saat manusia akan belajar
perkara baru. Sesuai dengan hadis Rasulullah SAW Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke
liang lahad. Proses pendidikan yang berterusan ini telah digambarkan dengan jelas melalui
falsafah pendidikan Islam (FPI)

2
Pendidikan Islam adalah satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran,
dan penghayatan berdasarkan al quran dan as Sunnah, bagi membentuk sikap, kemahiran,
keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab
untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar, negara ke arah mencapai kebaikan di
dunia dan akhirat.

Matlamat FPI ini jelas untuk melahirkan individu yang soleh iaitu beriman, berilmu, beramal
dan berakhlak mulia. Menurut Ghazali (2001), FPI membawa maksud usaha berterusan
menyampaikan ilmu, membentuk kemahiran dan memupuk penghayatan berdasarkan al-
Quran dan al-Sunnah sepanjang hayat. Oleh itu pendidikan Islam haruslah diajar untuk
memperlihatkan kesyumulan Islam sebagai satu sistem cara hidup yang sempurna selamat dan
menyelamatkan. Pembudayaan Islam dalam kehidupan seharian meliputi kehidupan secara
formal dan tidak formal (Zanaton: 2005). Kehidupan secara formal apa yang berlaku dalam
kehidupan sebagai pelajar di dalam bilik darjah dan kehidupan tidak formal apa yang mereka
lalui selepas itu. Justeru itu, proses pendidikan yang berterusan akan mewujudkan biah
solehah yang mana ahlinya akan membudayakan hubungan yang baik sesama manusia
dengan terbina akhlak mahmudah dan seterusnya mengekalkan rasa kehambaan kepada
Tuhan yang Maha Esa.

Berdasarkan FPI, penulis merumuskan konsep biah solehah sebagai pemangkin proses
pendidikan berterusan seperti dalam rajah 1 berikut:

Biah Solehah Biah solehah

Rajah 1 : Kerangka konsep biah solehah yang diadaptasi dari FPI

Berdasarkan rajah di atas, apabila seseorang telah mengamalkan seperti yang dikehendaki
oleh al-Quran dan as-Sunnah, ini bererti dia telah menjadi hamba Allah yang taat. Manfaat
akan diperolehi pada diri, masyarakat, alam sekitar dan negara. Hasilnya ialah kebahagiaan
dunia dan akhirat. Semuanya terangkum hasil biah solehah.

Sejarah ringkas Kolej Islam Sultan Alam Shah

Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) yang pada asalnya dinamakan Kolej Islam Malaya
(KIM) dan Kolej Islam Klang (KIK), adalah satu pusat pengajian Islam formal yang pertama.
Kolej ini ditubuhkan pada tahun 1374H/1955M. Nama sebenarnya pada masa itu ialah Kolej
Islam Malaya. Ia didirikan di atas sebidang tanah seluas kira-kira 14.3 ekar yang terletak di
Jalan Kota Raja, iaitu kira-kira satu setengah kilometer dari bandar Kelang
(http://ms.wikipedia.org/wiki/Kolej_Islam_Sultan_Alam_Shah). Sebelum itu, pendidikan
Islam di Tanah Melayu bertebaran di pondok-pondok yang diusahakan oleh tok-tok guru yang

3
serba kekurangan. Kolej ini kemudiannya melahirkan lulusan yang menyumbang ke arah
pembangunan ummah di tanah air.

Penubuhannya untuk melahirkan golongan ulama pewaris nabi, telah berlangsung


pada 8 April 1955 di tapak Istana Jemaah, Kampung Jawa, Klang dengan dirasmikan oleh
Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj, Sultan Selangor V1 selepas solat jumaat
dalam majlis yang penuh gilang gemilang. Baginda Almarhum telah mewakafkan Istana
Jemaah tersebut sebagai tapak dan bangunan. D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Al
Haj mengatakan dalam Kolej Islam Mutiara Ilmu (2005) Sempena sambutan Jubli Emas Kolej
Islam Sultan Alam Shah.

“Detik bersejarah itu dapat disempurnakan apabila Almarhum Paduka


Nenda Beta telah berangkat merasmikan Kolej Islam Malaya pada 8 April 1955
selepas solat jumaat dalam majlis yang penuh gilang gemilang.
Tradisi dan amalan wakaf ini mencerminkan kefahaman dan
penghayatan keluarga Diraja Selangor terhadap amalan yang murni ini demi
membangunkan Islam di negeri Selangor Darul Ehsan. Penubuhan kolej ini
sendiri membuktikan tradisi kerjasama erat antara ulama dan umara dalam
memartabatkan kegemilangan Islam.
Ia juga memperlihatkan keperihatinan semua lapisan masyarakat
daripada kalangan Raja-raja Melayu, pejuang masyarakat, pemimpin politik dan
alim ulamak tentang masa depan pendidikan tinggi Islam.”
Beta menaruh harapan tinggi agar warga Kolej Islam Sultan Alam Shah
hari ini menjiwai falsafah dan asal penubuhan Kolej Islam itu sendiri yang jelas
dalam cogan kata kolej ini “Tetaplah (istiqamah) atas jalan lurus sebagaimana
diperintahkan” (Surah Hud : ayat 112)

Dengan pembangunan drastik terhadap MSC dan IT dalam negara, KISAS telah
terpilih sebagai Sekolah Bestari pada tahun 1999, dinobatkan sebagai sekolah kluster pada
tahun 2007. Pengiktirafan kepada KISAS sampai kekemuncaknya apabila dinobatkan sebagai
salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kohort pertama
(bpsbpsk.webs.com/senaraisbt.htm) sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Menteri
Pelajaran pada 25 Januari 2010. Pelajar-pelajar KISAS telah dipilih dari seluruh Malaysia,
berdasarkan keputusan yang cemerlang dalam PMR dan SPM. Sebelum ini, untuk tujuan
penguasaan Bahasa Arab dan ilmu agama dari segi akademik pelajar KISAS tingkatan 5 dan 6
perlu menduduki peperiksaan khas, STK ( Sijil Tinggi Kolej) dan SKK (Sijil Khas Kolej).
Sijil ini juga akan membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah (Abdul
Talib & Firdaus: 2003) Walau bagaimanapun, dengan pengenalan peperiksaan yang baru iaitu
STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) di seluruh negara dengan fungsi yang sama,
peperiksaan STK dimansuhkan.

Apa yang unik, sekalipun bangunan berubah, nama peperiksaan berubah, namun visi
penubuhan KISAS tidak berubah walaupun usianya telah mencapai lebih lima puluh tahun,
iaitu “ Ke Arah Melahirkan Pemimpin Bertaqwa dan Berilmu Pengetahuan”. Dengan visi ini,
KISAS telah berjaya melahirkan ramai cendekiawan dan ulama, tokoh politik dan pentadbir,
pendidik, teknokrat dan saintis. Sebagai guru pendidikan Islam, dengan menyedari hakikat
dan hasrat penubuhan, modal pelajar-pelajar yang ada dan program-program yang dijalankan,
penulis akan membincangkan bagaimana persekitaran KISAS membentu melahirkan individu
yang bertakwa dan bersahsiah mulia. Mohamad Johdi et. al (2009) telah menjalankan kajian
personaliti insan kamil yang sempurna dan seimbang dari aspek JERISAH (akronim Jasmani,
Emosi, Rohani, Intelek, Sosialisasi, Alam persekitaran, Hamba Allah) dalam kalangan pelajar
KISAS. Namun, dalam kertas ini penulis akan memfokuskan kepada biah solehah yang
4
terdapat di KISAS melalui program dakwah dan tarbiah serta bagaimana pembudayaan biah
solehah yang terdapat dalam kalangan pelajar.

Program Dakwah dan Tarbiah di KISAS

Dakwah kepada Islam adalah seruan dengan cara yang murni dan sempurna, yang tidak
tercemar lagi terpelihara sehingga melahirkan individu yang berdiri di atas dasar akidah yang
ruhnya tauhid, yang berdiri dia ibadah yang ruhnya adalah kebaikan, yang berdiri di atas
keadilan, dan ikatan yang ruhnya adalah ukhwah, serta buah dari semua itu adalah peradaban
yang ruhnya adalah keseimbangan dan kelengkapan. Dakwah pada nilai-nilai yang
sedemikian, bukanlah perkara mudah bahkan ia memerlukan kerja keras. Dengan sifatnya
yang tidak akan menerima otak yang jumud, hati yang sakit, kekuatan yang kejam atau
kelompok-kelompok yang dikendalikan oleh hawa nafsu dan tenggelam dalam kenikmatan
dunia. Oleh sebab itu dakwah ini memerlukan para penyeru dakwah yang berjiwa kukuh,
yang sesuai dengan keagungan dakwah dan sifat universalnya, yang mampu menyebarkan
sinarnya dalam jiwa, akal dan perasaan manusia, setelah raga dan kehidupan mereka telah
mampu diterangi. Sesungguhnya dai yang ideal adalah kekuatan yang menjadi motor
penggerak dan „dynamics‟ pendorong laju gerakan dakwah.

Maka, KISAS sebagai SBT yang berteraskan agama, Badan Dakwah dan Rohani
(BADAR) yang merupakan salah sebuah badan khas
(http://ms.wikipedia.org/wiki/Kolej_Islam_Sultan_Alam_Shah) telah diwujudkan semenjak
1967 dan dianggap sebagai antara badan yang menjadi pembantu utama kepada pentadbir
kolej bagi memastikan bahawa kesemua kegiatan pelajar sejajar dengan matlamat dan falsafah
pendidikan KISAS. Dasar badan ini adalah penghayatan Islam dan seruan badan ini ialah
“Amar Makruf dan Nahi Mungkar”. BADAR menjalankan seruannya dari masa ke semasa
secara berterusan dan seimbang melalui biro-bironya, iaitu Biro-biro khas, Biro Usrah, Biro
Musalla, Biro Ekonomi, Biro Ceramah, Biro Kebajikan dan Biro Tamrin dan kegiatan luar.
Antara program BADAR sepanjang tahun ialah:

BIL AKTIVITI OBJEKTIF


1 Kursus Kepimpinan Islam -Melatih para pemimpin dari kalangan
pelajar seni kepimpinan Islam.
2 Simposium Nuqabak -Memberi latihan kepada para naqib
dan naqibat sebagai persediaan
mengetua usrah
3 Kursus Imam Dan Bilal -Meningkatkan kemahiran pelajar
untuk menjadi imam dan bilal.
4 Kem Pengenalan Tarbiyah Islamiyah -Mendedahkan kepada para pelajar
baru program pentarbiahan yang
berlansung di KISAS.
5 Am I A Truly Muslimah? -Membudayakan ciri-ciri muslimah
dalam berpakaian dan ibadah.
6 Halawatun Nasyid Aspiration Night - Mencungkil bakat-bakat baru dalam
(HANNAN) bidang persembahan nasyid.
7 Minggu Keamanan Palestin -Memberi kesedaran kepada pelajar
perjuangan yang dilalui penduduk
Palestin untuk membebaskan tanahair.
8 Rehlah Nuqabak Dan Naqibat -Meningkatkan ukhwah dan rasa

5
bersama dan bekerjasama.
9 Kem Pengurusan Jenazah -Meningkatkan kemahiran
mengendalikan sesuatu kematian.
10 Kursus Persediaan Kampus -Mendedahkan peluang pelajar untuk
ke alam kampus.
11 Muktamar Sanawi BADAR -Melantik pemimpin yang
berkelayakan untuk memimpin
BADAR.

Sumber: Laporan pelan taktikal dan operasi Badan Dakwah dan Rohani (BADAR)
2010

Nilai-nilai Islam juga disuburkan melalui program berkala. Di antara program


berteraskan Islam, selain BADAR ialah “Sahsiatul Kisas” yang berjalan mengikut tema yang
telah ditetapkan, sama ada Al Ikram wa Al Iithaar, Khidmat Murabbi, Adab Berkomunikasi,
Ath thadhiah wal Infaq dan Al Istiqamah wa Iltizam. Ia juga sebagai wadah untuk seluruh
warga kolej menghayati nilai-nilai keimanan dan keluhuran akhlak Islamiyah dan budaya
masyarakat Islam yang tinggi, umpama “The Quranic Generation”. Program ini juga berjalan
secara berterusan, dari awal tahun sehinggalah akhir.

Di samping program-program BADAR dan Sahsiatul Kisas, program kegiatan agama


berterusan, Ihyak Ramadhan dan Nadwah Kepemimpinan SBP turut dijalankan. Kesemua
program-program ini dirancang dan dilaksanakan ke arah melahirkan warga pelajar KISAS
yang mempunyai perwatakan cemerlang, beradab dan beretika serta berketrampilan.

Menurut pemerhatian penulis kecemerlangan BADAR KISAS telah menjadi „bench


mark‟ kepada sekolah-sekolah lain di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sepanjang
tahun 2012, terdapat beberapa aliran sekolah yang telah memilih KISAS sebagai penanda aras
kecemerlangan BADAR antaranya ialah Maktab Rendah Sains Mara, seperti MRSM Beseri
Perlis dan MRSM Tun Ghafar Baba Melaka. Tidak ketinggalan juga sekolah Agama Bantuan
Kerajaan seperti Hishamudin Kg Jawa Klang. Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama ( SMKA) juga tidak ketinggalan dalam berkongsi pengalaman dengan KISAS. Antara
SMKA tersebut ialah Sekolah Menengah Naim Lil Banat Kelantan. Sek SMNA 1, Manyar
Indonesia pula contoh sekolah peringkat antarabangsa yang telah menjadikan BADAR
KISAS sebagai „bench mark‟.

Program Khidmat Murabbi

Antara program sahsiatul KISAS yang telah diamalkan semenjak tahun 2002 sehingga ke
hari ini ialah Khidmat Murabbi. Program ini bertujuan melahirkan rasa cinta dan hormat
kepada para pendidik KISAS. Para guru akan rasa dihormati dan dihargai manakala para
pelajar pula akan mendapat kepuasan jiwa kerana dapat menyumbang dan berkhidmat kepada
guru mereka. (Kertas kerja khidmat murabbi 2012)

Menurut pengamatan pengkaji program khidmat murabbi ini di bahagi kepada program harian
dan juga program berkala. Program harian ialah para pelajar akan menunggu di kawasan
parking dan mereka akan menolong mengangkat beg atau buku ke bilik guru. Perlaksanaan
program ini mengikut jadual yang telah disusun. Program ini telah merapatkan jurang antara
pelajar dan guru. Seterusnya rasa kasih mengasihi antara mereka semakin terjalin. Menurut
(Zainaton, Rohana 2005) konsep pengajaran yang berkesan ialah keberkesanan yang dapat

6
diwujudkan antara pengajar dan pelajar semasa proses pengajaran, pembelajaran dan selepas
itu. Perubahan sikap serta peningkatan akademik sebagai bukti jelas kejayaan sesuatu proses
pembelajaran tersebut.

Manakala program berkala adalah seperti kenduri kahwin atau kenduri kesyukuran. Apabila
seseorang guru melangsungkan perkahwinan anaknya sekumpulan pelajar akan memberi
khidmat untuk menjayakan majlis tersebut. Kebiasaanya pelajar akan terlibat dalam
persembahan nasyid atau gamelan. Sebahagian lagi membantu pengusaha katering melayan
para tetamu. Amalan mulia melalui pendidikan tidak formal ini sesuai dengan hadis yang
bermaksud:

“Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya
kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang
sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”.

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan kajian Mohamad Johdi (2009) terhadap pelajar KISAS, sumbangan yang ingin
mereka capai setelah tamat belajar ialah membangunkan masyarakat dan negara 60%, dan,
berkhidmat untuk agama 40%. Ini menunjukkan KISAS berjaya melahirkan pelajar yang
berwatak pejuang yang menekankan hubungan dengan manusia dan berwatak abid iaitu yang
kuat hubungan dengan Allah. Pendirian dan cita-cita murni ini dibentuk melalui biah solehah.

Pembudayaan Biah Solehah Kalangan Pelajar

1. Ibadah Harian

Sudah menjadi rutin harian para pelajar untuk bangun seawal jam 5.00 pagi. Seterusnya
mereka akan menunaikan solat berjemaah dan wirid selepas solat. Antara wirid yang
diamalkan ialah al-Ma‟thurat. Pada pemerhatian penulis, semua pelajar akan terus membaca
zikir ini secara berjemaah. Bagaimanapun apabila mereka menghadapi kesuntukan masa
untuk wirid disebabkan waktu subuh yang lewat mereka berzikir di tapak perhimpunan pagi.
Selain itu, biah solehah diwujudkan dengan galakan solat berjemaah di surau dan tidak
mendirikan solat di dalam bilik asrama masing-masing. Melalui latihan yang berterusan
semasa di tingkatan boleh memberikan kesan yang sangat positif. Atas kesedaran betapa
pentingnya dan manisnya solat berjemaah di surau, maka ia menjadikan pelajar sentiasa
berusaha untuk mendirikan solat berjemaah pada setiap waktu. Suasana berjemaah ketika itu
menyebabkan pelajar yang berniat untuk mengerjakan solat secara bersendirian di bilik atau
istilah „musollik‟ berasa serba-salah dan malu walaupun tidak dikenakan tindakan disiplin. Ini
bertepatan dengan kajian Mohamad Johdi et. al (2009) di KISAS, Penglibatan pelajar dalam
solat berjemaah setiap hari ialah 100%. Perkataan biah solehah juga selalu diulang-ulang oleh
para pentazkirah yang terdiri daripada guru-guru dan pelajar senior semasa mereka
memberikan ucapan dan tazkirah setiap kali selepas subuh dan maghrib khususnya. Mereka
ditekankan betapa pentingnya untuk menjaga biah solehah, memeliharanya daripada dicemari
oleh anasir-anasir yang tidak baik serta betapa pentingnya menjaga biah solehah di atas tanah
wakafan yang sudah lama berjasa melahirkan para ulama dan orang-orang yang berjasa
kepada agama, bangsa dan negara.

2. Pergaulan antara lelaki dan perempuan

7
Antara tumpuan utama dalam mewujudkan biah solehah ialah dalam menjaga batas-batas dan
adab-adab perhubungan antara pelajar lelaki dan perempuan. Penulis mendapati ia merupakan
keutamaan di KISAS dan keutamaan bagi seorang pelajar apatah lagi dalam usia remaja yang
mudah untuk digoda dan dipengaruhi oleh hawa nafsu dan syaitan. Buktinya istilah „babul
liqa‟ yang memberi pengertian menundukkan pandangan ketika berlaku perbincangan di
sebalik pintu antara pelajar lelaki dan perempuan adalah satu fenomena yang tidak asing di
KISAS. Ia bertepatan dengan ayat

“Katakanlah kepada orang-orang mukmin (lelaki) agar mereka menundukkan


pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Demikian adalah lebih suci bagi
mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Dan
katakanlah kepada wanita mukminah agar mereka menundukkan pandangan mereka
dan menjaga kemaluan mereka”
( Surah An-Nur : ayat 30,31)

Maka, dengan terpeliharanya adab-adab perhubungan antara pelajar lelaki dan perempuan,
maka banyak masalah lain yang kemungkinan besar akan timbul sudah dicegah dan disekat
awal-awal lagi serta akan mewujudkan persekitaran yang baik dan kondusif untuk
menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dan segala aktiviti yang dirancangkan.

3. Pakaian

Aspek pemakaian yang bersyariat kalangan pelajar lelaki dan perempuan amat ditekankan di
KISAS baik sewaktu sesi persekolahan dalam kelas mahupun ketika menjalani aktiviti
kokurikulum seperti sukan, perkhemahan dan sebagainya. Pelajar perempuan akan dipastikan
berpakaian menutup aurat dengan ber t-shirt labuh menutup punggung, berseluar panjang
longgar dan lengkap berstokin. Pelajar juga digalakkan memakai stokin tangan (arm socks),
walaupun lengan mereka sudah ber‟kaf‟. Pernah berlaku pelajar lelaki menasihati pelajar
perempuan yang tidak memakai setokin ketika aktiviti kokurikulum. Ini menunjukkan
keprihatinan kedua pihak dalam menjaga dan memelihara biah solehah. Bertepatan dengan
firman Allah

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi


penolong bagi setengahnya yang lain; mereka mengajak kepada kebaikan dan
mecegah daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan
memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat
oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(at-Taubah: 71)

Ciri-ciri yang telah disebutkan bukan berlaku secara kebetulan. Ia dipupuk melaui program-
program tarbiah secara berterusan. Justeru, sesiapa yang pernah menjadi warga pelajar di
KISAS akan dibiasakan dengan ungkapan ini:

“5 Uniques in KISAS: Teachers, Friends, Ukhuwah, Biah Solehah & Tarbiah”

Walau bagaimanapun, penulis mendapati antara senario dalam dunia pendidikan ada kalanya
berlaku para ustaz atau ustazah telah berusaha mendidik para pelajar untuk mendirikan solat
dan menutup aurat. Tetapi, apabila mereka pulang sahaja ke rumah, ada ibu bapa mereka pula
yang tidak membantu untuk mempercepatkan proses pendidikan tersebut dengan tidak

8
mengerjakan solat dan tidak menutup aurat. Tidak hairanlah apabila para pelajar perempuan
ketika di sekolah menutup aurat, tetapi keluar sahaja dari kawasan sekolah, ada yang terang-
terangan mencabut tudungnya di depan mata guru sendiri
(mendidik.blogspot.com/2007/02/biah-solehah). Berdasarkan pemerhatian penulis,
perlanggaran syariat ada juga berlaku dalam kawasan sekolah, begitu juga ketika outing,
pulang bercuti di rumah dan di luar kawasan sekolah. Penulis menyimpulkan ini menunjukkan
walaupun pembudayaan biah solehah masih belum berlaku sepenuhnya kerana terdapat
pelajar yang menganggap ia terikat dengan tempat dan persekitaran. Sedangkan pendidikan
Islam yang berjaya ialah bila mana seseorang itu mampu mengekalkan rasa berTuhan kerana
takut dan cinta, walau di mana berada mereka tetap rasa kehadiran Tuhan (Abdurrahman &
Gina: 2003).

Implikasi dan Cadangan Penambahbaikan

Matlamat keseluruhan KISAS samada dari aspek kurikulum dan kokurikulum bukan sahaja
untuk melahirkan modal insan yang mahir dari segi akademik tetapi juga sahsiah (Mohamad
Johdi et al: 2009). Berdasarkan perbincangan, jelaslah bahawa insan apabila hidup dalam
sesuatu suasana, secara kebiasaannya suasana itu akan mempengaruhi hidupnya. Jika
seseorang yang kurang bijak hidup di kalangan mereka yang bijak, maka sedikit sebanyak
bicara dan pendapat yang bijak dan berkualiti itu akan tempias kepadanya. Perkara yang
sebaliknya juga mungkin berlaku. Insan yang tidak jahat, tetapi jika terbiasa dengan mereka
yang melakukan aktiviti atau akhlak yang jahat, maka tidak mustahil pengaruh-pengaruh jahat
itu akan menyerap ke dalam jiwanya nanti. Bagi memantapkan biah solehah di KISAS,
penulis mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan:

1. Proses pendidikan yang memfokuskan keimanan yang mendalam sehingga pelajar


merasa takut dan gerun untuk melakukan sebarang maksiat walau di mana berada dan
dalam sebarang situasi. Ia hanya berlaku apabila pelajar telah mengenali Tuhan dan
mengenali hakikat hamba itu sendiri iaitu sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.
Mengenal diri bukanlah sekadar menilai kecantikan, tinggi rendah, warna kulit,
keturunan dan bangsa. Kerana manusia sebenarnya terdiri dari dua jasad yang dipadu
erat, iaitu jasad lahir dan jasad batin. Mengenal diri ertinya mengenal hakikat manusia.
Hakikat manusia adalah batinnya. Tanpa hakikat, yang lahir tidak berguna. Apa bila
ini berlaku, ia secara langsung akan meningkatkan disiplin dan sahsiah pelajar.

2. Perlu ada role model dari kalangan pelajar yang lebih senior. Apabila semua pihak
telah mengenal pasti golongan yang patut dicontohi maka suasana biah solehah akan
terbentuk dan boleh dikekalkan.

3. Proses amar makruf nahi mungkar perlu menjadi budaya dalam sesebuah institusi
lebih-lebih institusi yang berteraskan pendidikan Islam. Bagaimanapun proses ini
perlu berjalan dalam suasana yang harmoni dan bijaksana tanpa menyakiti mana-mana
pihak sesuai dengan Islam sebagai agama yang menekankan keamanan dan
kesejahteraan.

4. Istiqamah terhadap amalan lahir dan amalan rohani. Konsep biah solehah di KISAS
perlu difahami dan dihayati secara menyeluruh bukan hanya setakat ibadah dan syariat
lahir. Program ke arah mengeratkan ukhwah dan silaturrahim juga perlu dipupuk
secara berterusan baik kalangan pelajar, guru dan semua warga. Apabila hati telah
terdidik dengan keimanan yang padu, kasih sayang akan merata dan akan lahirlah

9
masyarakat yang saling berkasih sayang, bertolak ansur, berlapang dada,
berkerjasama, dan bebas dari penyakit-penyakit hati seperti hasad dengki, ego,
mementingkan diri sendiri, buruk sangka dan lain-lain. Semuanya lahir dari hati yang
takut dan cintakan Tuhan.

Rumusan

Persekitaran yang baik atau biah solehah merupakan faktor penting yang menyumbang
pembentukan peribadi dan sahsiah pelajar. Adalah menjadi tanggungjawab setiap institusi
pendidikan memastikan berlaku biah solehah dalam institusi tersebut. Apabila biah solehah
sudah terbentuk dengan acuan yang Islam kehendaki, maka ia dapat membantu membentuk
akhlak dan sahsiah pelajar. Persekitaran KISAS yang berjaya mewujudkan biah solehah patut
dicontohi. Namun penambahbaikan juga perlu diteruskan di seluruh aspek. Sesungguhnya,
pendidikan yang berjaya dan berkualiti adalah pendidikan yang mampu mengembalikan
manusia kepada peranannya sebagai hamba dan khalifah di muka bumi. Pembangunan insan
yang berterusan hendaklah menjadi agenda utama bagi semua yang berkecimpung dalam
bidang pendidikan kerana sesungguhnya pendidikan itu rapat dengan rohaniah manusia.

Rujukan

Al quran karim

Abd. Rahim Abd. Rashid (2006). Menangani Perkembangan dan Masalah Tingkah Laku
Remaja Dalam Keluarga. Universiti Malaya: Pusat Pembangunan Keluarga.

Abdullah Nasih Ulwan (2004) Pendidikan Anak-anak dalam Islam, Jld 1. Terj Syed Ahmad
Semait. Singapore: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Abdul Talib Ahmad & Firdaus Ahmad Azzam (2003). Kolej Islam Kelang, KIK, Kelang.

Al-Qasimi, Muhammad Jamaluddin. (2004). Bimbingan mukmin. Terj. Johari Yaman, Azhari
Ibrahim. Batu Caves: Percetakan Zafar.

Gamal Abdul Nasir Zakaria (2005) Prinsip-prinsip Pendidikan Islam Ibnu sahnun, al Qabisi,
Ibnu Khaldun.

Ghazali Darussalam. (2001). Pedagogi Pendidikan Islam. Kuala Lumpur : Utusan


Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kertas Kerja sekolah Kluster (t.th) Kolej Islam Sultan Alam Shah

Kertas kerja khidmat murabbi 2012 (t.th) Kolej Islam Sultan Alam Shah

Kolej Islam Mutiara Ilmu 1955-2005. (2005) Shah Alam: Malindo Printers

Mohamad Johdi Salleh, Dianah Omar, Fazlina Mohamad, Rohaya Ramli ( ) Menjana
Modal Insan Kamil Model „JERISAH‟: Kajian Kes Di Kolej Islam Sultan Alam Shah,
Klang, Malaysia. Wacana pendidikan Islam kali ke 7. 5-6 Disember 2009. Anjuran UKM-Gontor,
Indonesia.

10
Murshidah Mustafa & Maryam Shafie (2004) Menangani Gejala Sosial Menurut Islam.
Rawang, Penerbitan Minda Ikhwan.

Zainudin Sharif & Norazmah Mohamad Roslan (2011) Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi
Remaja Terlibat Dalam Masalah Sosial Di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka.
Journal of Education Psychology & Counseling, volume 1 Mac 2011, Pages 115-140

Zanaton Iksan & Rohana Kamaruddin (2005) Penerapan Nilai Islam Melalui Proses
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dlm Pendidikan Islam ke Arah Kemanusiaan Sejagat,
hlm. 203-212.

Laman Sesawang

ar.wikipedia.org
bpsbpsk.webs.com/senaraisbt.htm
http://ms.wikipedia.org/wiki/Kolej_Islam_Sultan_Alam_Shah
mendidik.blogspot.com/2007/02/biah-solehah

11

Anda mungkin juga menyukai