Anda di halaman 1dari 2

AL-QURAN MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI

AKHLAK ialah tingkahlaku yang dipengaruhi oleh nilai-nilai yang diyakini oleh seseorang dan sikap
yang menjadi sebahagian daripada keperibadiannya. Nilai-nilai dan sikap itu pula terpancar
daripada konsep dan gambarannya terhadap kehidupan. Dengan perkataan lain, nilai-nilai dan sikap
itu terpancar daripada aqidahnya iaitu gambaran tentang kehidupan yang dipegang dan diyakininya.

Aqidah yang benar dan gambaran tentang kehidupan yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh
kepalsuan, khurafat dan falsafah-falsafah serta ajaran yang palsu, akan memancarkan nilai-nilai
benar yang murni di dalam hati. Nilai-nilai ini akan mempengaruhi pembentukan sistem akhlak yang
mulia.

Sebaliknya, jika aqidah yang dianuti dibina di atas kepalsuan, gambarannya mengenai
kehidupan yang bercelaru dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai fahaman palsu, ia akan
memancarkan nilai-nilai buruk di dalam diri dan mempengaruhi pembentukan akhlak yang
buruk. Akhlak yang baik dan akhlak yang buruk, merupakan dua jenis tingkahlaku yang berlawanan
dan terpancar daripada dua sistem nilai yang berbeza. Kedua-duanya memberi kesan secara
langsung kepada kualiti individu dan masyarakat.

lndividu dan masyarakat yang dikuasai dan dianggotai oleh nilai-nilai dan akhlak yang baik akan
melahirkan individu dan masyarakat yang sejahtera. Begitulah sebaliknya jika individu dan
masyarakat yang dikuasai oleh nilai-nilai dan tingkahlaku yang buruk, maka akan porak perandalah
sesebuah masyarakat. Masyarakat yang kacau bilau, tidak mungkin dapat membantu mewujudkan
tamadun yang murni dan luhur.

Sejarah membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu yang inginkan kejayaan bermula daripada
pembinaan sistem nilai yang kukuh yang dipengaruhi oleh unsur-unsur kebaikan yang terpancar
daripada aqidah yang benar. Masyarakat itu runtuh dan tamadunnya hancur disebabkan keruntuhan
nilai-nilai dan akhlak yang terbentuk daripadanya. Justeru itu, akhlak mempunyai peranan yang
penting di dalam kehidupan dan dalam memelihara kemuliaan insan serta keluhurannya. Martabat
manusia akan menurun setaraf haiwan sekiranya akhlak runtuh dan nilai-nilai murni tidak dihormati
dan dihayati. Oleh kerana itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutus
untuk melengkapkan akhlak yang mulia." (Riwayat al-Baihaqi)

Para sarjana dan ahli fikir turut mengakui pentingnya akhlak di dalam membina keluhuran peribadi
dan tamadun manusia. Akhlak yang mulia menjadi penggerak kepada kemajuan dan kesempurnaan
hidup. Sebaliknya, akhlak yang buruk menjadi pemusnah dan perosak yang meruntuhkan
kemanusiaan serta ketinggian hidup manusia di bumi ini. Kepentingan akhlak dalam kehidupan
dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran menerusi berbagai-bagai pendekatan yang
meletakkan Al-Quran sebagai sumber pengetahuan mengenai nilai dan akhlak yang paling terang
dan jelas.

Pendekatan Al-Quran dalam menerangkan akhlak yang mulia, bukan pendekatan teoritikal tetapi
dalam bentuk konseptual dan penghayatan. Akhlak yang terpuji dan akhlak yang buruk
digambarkan dalam perwatakan manusia, dalam sejarah dan dalam realiti kehidupan
manusia semasa Al-Quran diturunkan.

Al-Quran menggambarkan bagaimana aqidah orang-orang beriman, kelakuan mereka yang


mulia dan gambaran kehidupan mereka yang penuh ketertiban, keadilan, keluhuran dan
kemuliaan dibandingkan dengan perwatakan orang-orang kafir dan munafiq yang jelek dan
merosakkan. Gambaran mengenai akhlak mulia dan akhlak keji begitu jelas dalam perilaku manusia
sepanjang sejarah.

Al-Quran juga menggambarkan bagaimana perjuangan para Rasul untuk menegakkan nilai-nilai
mulia dan murni di dalam kehidupan dan bagaimana mereka ditentang oleh kefasikan, kekufuran
dan kemunafikan yang cuba menggagalkan tertegaknya dengan kukuh akhlak dan budi pekerti yang
mulia sebagai teras kehidupan seorang Muslim.
.

Anda mungkin juga menyukai