Anda di halaman 1dari 7

Bila Sajak Menjadi Murah

Tuntutan hidup meruntun manusianya bersibuk-sibukan dengan kerja

harian yang sentiasa mengasingkan warga atau penghuni kota ke sudut

individual atau kesendirian. Jarang sekali ada kesempatan, mengambil

semangat puisi sebagai penawar. Terkadang, seorang pembaca mengambil

buku puisi dibacanya buat menghela kegelisahannya sebentar itu, kerana

begitu meluas sekali produk fizikal yang lebih rasi untuk dijadikan tonik kepada

masalah luaran manusia mutakhir ini.

Seolah-olah sedang kehilangan Usman Awang, Latif Mohidin, A. Samad

Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala dan sebagainya. Kita juga kehilangan

suara-suara yang lebih berani melalui puisi kita, menyatakan perihal

persekitaran yang berlaku di sekeliling kita dengan nada suara yang vital.

Media tidak pernah surut menggerakkan masyarakat kepada pelbagai

isu yang tidak memberi keuntungan maknawi. Fungsi media cetak sudah

ditangani secara rasminya oleh media baharu yang lebih pantas. Campuran

budaya pop dan raja lawak lebih mengungguli kehidupan di bandar malah di

ceruk desa. Barangkali kita selalu tercuit dek keuntungan lahiri, sepertimana
cerita-cerita artis dan soal-soal politik yang semakin rancu bergetar dalam

telefon pintar. Semuanya memadati ruang tatapan pembaca, daripada

segenap umur. Dalam masa yang sama, puisi yang seakan separa hidup tidak

mendapat tempat yang selayaknya. Sekadar dijadikan sisipan dalam suatu

upacara, dalam buku teks dan sesekali menjadi halwa teliga lewat corong

radio. Di sini puisi tidak lansung mampu masuk campur memberikan ciapan

estetikanya, lantaran semakin lama senstiviti manusia kepada kehalusan

bahasa dan rasa sudah terhakis dengan sendiri.

Dan semakin hari, semakin kita dikejarkan dengan penggera ambulans

atau lain-lain, yang tidak lagi menggera perasaan atau batin kita kepada

persoalan kemanusiaan kita yang makin murah dan semacam kurang

bernyawa, ataupun kian rendah gizinya. Kocek sendiri lebih penting untuk

diperiksa dan berapa jumlah wang yang tinggal dalam akaun mungkin lebih

mustahak diwaspadai. Semakin sudut seni dan kehalusan rasa ini dilemahkan

atau dialpakan, sudut lain pula menjadi ekstravaganza dan penuh berkolestrol.

Misalnya sudut hiburannya, materialismenya, sudut untungrugi

perbelanjaannya dan sebagainya. Semakin hari semakin kecil perasaan kita

kepada kemewahan kemanusiaan dalam diri kita, dek himpitan yang bertabuh

tiap masa hampir tiap minit.


Lama kelamaan kita makin terlupa soal perasaan yang tidak berapa

diampuhkan dengan sesuatu yang berharga atau sekurang-kurang yang dapat

menyembuh kesunyian yang semakin difahami sebagai kepadatan masa atau

kemacetan jadual yang tidak mudah diselenggara mengikut ukuran yang lebiph

waras. Soal puisi atau sastera menjadi kian menipis dan hilang dalam pakaian

masing-masing, meskipun baju atau kemejanya agak berjenama dan seluar

atau kasutnya juga bukan murah harganya.

Sajak menjadi makin murah dan semakin tidak lagi penting dalam

putaran rutin yang makin memanjang dalam hari yang kian pendek. Julat

perasaan yang turut terbungkus dalam pakej jadual yang sangat padat itu, tak

mampu mengendalikan diri dan perasaan kemanusiaan yang kian dilarakan.

Makin ramai manusia lantang berbicara tentang sisi peribadinya kepada

khayalak massa, lewat media baharu yang sentiasa menghangatkan

netizennya. Tiada penting lagi bahasa indah, perasaan berjaga dan senstiviti

kepada kehalusan rasa yang makin dipinggirkan. Barangkali manusia era ini,

lebih senang visual yang dramatik, cerita-cerita kecil tapi sensasi, soal remeh

yang mungkin dapat menghiburkan. Biarlah keharuan juga boleh menjadi

bahan tawa dan biarlah cerita rumahtangga menjadi bualan untuk semua

tanpa sempadannya.
Kehalusan perasaan semakin nadir di kalangan masyarakat kerana soal

kemuflisan material lebih menjadi topik utama kerana melibatkan kedudukan

individu dan nama keluarga tertentu. Maka mengapa perlu kepada puisi untuk

mengucapkan terima kasih kepada kehidupan dan mengumpulkan citra-citra

berperasaan itu dan ini untuk dipuja meskipun hati menderita! Semakin hari

orang tidak berasa perasaan halus itu harus diwaspadai atau dibimbing.

Tahun-tahun 70-an barangkali merupakan tahun yang mahal bagi medan puisi.

Tahun 80-an menyaksikan arena puisi matang dan mencapai kepada

kemuncaknya. Sebuah penanda bahawa ‘’sememangnya puisi itu tidak mati”.

Barangkali boleh dikatakan dua era tersebut melahirkan ramai penyair yang

hebat.

Ada ketikanya era 80-an dan 90-an, bentuk dan aliran puisi menjadi

rencam dengan nama dan gaya yang unik. Surealisme misalnya dikaitkan

dengan Suhaimi Haji Muhammad, intelektualisme dengan Muhammad Haji

Salleh dan puisi ekspremental yang sinonim dengan AGI. Seringkali juga hadiah

dan sayembara puisi muncul memeriahkan khayalak sastera, dan begitu juga

kumpulan puisi diterbitkan dengan begitu menyakinkan. Penulis cenderung

menyatakan perihal ini bukan semata-mata perbandingan dengan konteks


semasa atau nostalgia era masa lampau, tetapi melihat kepada bagaimana

proses semula jadi puisi sangat menarik dan menggembirakan.

Hari ini khalayak masih melihat puisi dibaca, ditulis dan didigitalkan

dalam medium yang lebih menarik sesuai dengan peredaran zaman. Puisi

diraikan disambut dalam pelbagai citarasa dan dimeriahkan dalam berbagai-

bagai “kenduri puisi”. Takdir dan umur puisi tempatan tampaknya semakin

matang dan terus subur mendewasa dengan begitu dibanggakan. Anak-anak

muda turut menyusup masuk gerbang puisi yang terbuka ini bagaikan

pelancong yang menemui khazanah panorama yang sangat menakjubkan.

Ternyata puisi masih memiliki magnet yang tersendiri, menarik khalayak muda

untuk berekspreasi dan mengucapkan suara generasi yang tidak harus

dipinggirkan. Justeru, puisi tidak sahaja dibenihkan atau ditangani oleh tangan

penyair matang dan yang sudah begitu berpengalaman, tapi melandanya

semacam berlaku peralihan tanggungjawab itu kepada anak-anak muda. Hal ini

persis dengan yang berlaku pada era 70-an atau 80-an sebelum ini (sekiranya

ianya dapat dikaitkan !).

Sepertimana di negara luar, kita terus mengekalkan tradisi berpuisi ini

dalam majlis atau program perdana. Wacana puisi masih disuburkan dalam

lingkungan dan kelompoknya yang tersendiri. Puisi yang lama dan baru terus

digali dan disemaikan dengan bakat dan kreativiti yang berlimpahan minatnya.
Masih ligat sebahagian penerbit yang berani menerbitkan buku puisi malah

mampu memasarkannya dengan baik. Maknanya kemungkinan puisi untuk

mati atau tidak popular sangatlah tipis dan meleset. Maka hal ini semacam

suatu ‘rahmat’ sekiranya dilihat pada suatu sudut.

Cumanya kita masih mencari wajah dan bentuk puisi yang

dikembangkan oleh para penyair kita sebagai kesinambungan tradisi yang

sedia ada. Masih terumbang-ambing dengan persoalan bentuk dan gaya, yang

sebenarnya sudah begitu lumrah dibicarakan mungkin pada 80-an atau 90-an

oleh para pengkritik puisi. Dalam banyak situasi puisi terus terapung dan

menyampaikan mesejnya kepada khalayak manusia secara literal, sedangkan

zaman menuntut subjek atau garapan baharu. Sisi pandang puisi sedia ada

hanya ghairah menyingkap di sana sini kemelut harian yang penuh gelora

bercampur sukaria. Dalam masa yang sama manusia di luar sana, sama ada

manusia itu kita atau bukan kita, dapat melihat sendiri puisi semakin jauh

dalam pengetahuan semasa dan massa kerana terbucu di suatu ruangnya yang

tersendiri.

Puisi yang muncul saban hari, adalah berbentuk perkataan-perkataan

yang digunting dan ditampalkan, kerana terlalu terdesak untuk melahirkan

‘kemanusiaan sejati’ itu. Subjek dan luahan tidak diperbaharui, sekadar

pembujukan kepada lara dan perasaan atau pengalaman yang lama dulu.
Bagaimanakah mungkin puisi manusiawi itu dapat lahir kembali dengan

segala semulajadinya, kerana banyak sungguh rintangan yang menggedalanya.

Anda mungkin juga menyukai