Baca dan teliti setiap bahan yang diberikan, kemudian buat satu rumusan yang panjanganya tidak melebihi
120 patah
perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal bahan.
Bahan 1
Membaca merupakan jambatan ilmu. Kata hikmat ini sering kita dengar dan lihat. Apakah kepentingan membaca?
Membaca penting untuk seseorang menimba ilmu pengetahuan dan memperoleh maklumat. Hal ini demikian kerana
membaca merupakan satu keperluan dan cara yang paling mudah untuk seseorang memperoleh ilmu. Membaca juga
membolehkan seseorang menguasai dan memahami kosa kata dengan lebih mendalam. Dengan itu, kemahiran
menulis akan bertambah baik dengan bertambahnya perbendaharaan kata.
Meskipun kepentingan membaca diketahui umum, namun budaya membaca dalam kalangan remaja menunjukkan
penurunan yang amat ketara. Kerajaan sememangnya memandang serius hal ini. Rentetan itu, kerajaan
memperkenalkan baucar buku kepada para pelajar di universiti awam dan universiti swasta yang bertujuan untuk
memastikan generasi di pusat pengajian tinggi berupaya untuk memperoleh bahan bacaan yang bermutu. Kerajaan
dan swasta juga memperkenalkan banyak potongan harga kepada kelompok ini untuk membeli buku dengan
diskaun yang melebihi 50 peratus kepada pembeli yang berstatus pelajar atau mahasiswa.
Peranan pihak sekolah juga tidak boleh disisihkan dalam usaha menggalakkan amalan membaca ini. Hal ini
demikian kerana remaja yang bergelar pelajar menghabiskan sebahagian besar masa mereka di sekolah. Justeru,
pihak sekolah perlu melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk menggalakkan amalan membaca dalam
kalangan murid. Contohnya, program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) perlu dilaksanakan di sekolah dengan
pengurusan sungguh dan pengiktirafan yang sesuai diberikan kepada murid mengikut bilangan buku yang telah
dibaca. Remaja perlu mempunyai kesedaran tentang kepentingan membaca. Kata orang, membaca menajamkan
minda. Jadi, usaha untuk menggalakkan amalan membaca ini tidak akan mendatangkan impak yang diharap-
harapkan jika remaja sendiri tidak mempunyai kesedaran tentang hal tersebut. Remaja sekurang-kurangnya
memperuntukkan 10 hingga 30 minit sehari untuk membaca.
Langkah menyenaraikan buku dan tema yang ingin dibaca juga dapat membantu memotivasikan diri untuk sentiasa
menghabiskan bacaan. Tuntasnya, penggembelengan tenaga semua pihak penting untuk membentuk generasi muda
yang berilmu, disegani, dan mampu bersaing pada masa hadapan.
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Budaya Membaca Remaja’
Dewan Siswa, Bil. 4/2020