Anda di halaman 1dari 9

Petua Membentuk Anak-anak Dengan Budi Pekerti Mulia Hati anak-anak kecil adalah suci laksana mutiara yang

berharga, indah, bersih dari segala gurisan dan bentuk. Ia akan menerima apa saja yang di buat terhadapnya. Jika dibiasakan itu dengan perbuatan-perbuatan baik yang diajarkan kepadanya, ia akan besar dalam keadaan itu, sehingga berbahagialah kehidupannya dunia dan akhirat. Kedua ibu bapa, guru pendidik dan semua orang yang turut mengasuhnya akan bersyarikat dalam mendapat pahala dari Allah Taala. Sebaliknya, jika anak-anak itu dibiasakan dengan perbuatan-perbuatan yang jahat dan dicuaikan pendidikannya seperti kehidupan binatang yang terbiar, tentu sekali ia akan menjadi celaka dan binasa, dan dosanya turut terpikul ke atas pundak walinya atau penanggungjawabnya. Allah Taala berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. (At-Tahrim: 6) PENDIDIKAN ANAK-ANAK DI PERINGKAT AWAL Kedua-dua ibu bapa yang bersungguh-sungguh untuk melindungi anak-anak mereka dari api dunia perlu mengetahui bahawa melindungi mereka dari api akhirat adalah lebih penting dan lebih utama lagi. Cara melindungi anak itu ialah dengan memberinya pendidikan yang baik dan membiasakannya dengan segala akhlak dan budi pekerti yang terpuji, memeliharanya daripada pergaulan dengan kawan-kawan jahat. Ibu bapa jangan sekali membiasakan anak-anak dengan kesenangan yang berlebih-lebihan ataupun mengikutkan kemahuan anak-anak dalam serba serbi kemewahan dan perhiasan diri, kelak anak-anak itu akan menghabiskan umurnya berkecimpung dalam menuntut kemewahan dan kesenangan. Ini akan menarik mereka kepada kebinasaan yang berterusan. Yang paling perlu sekali, ibu bapa harus memerhati pendidikan anak-anak sejak mula-mula pertumbuhannya. Mereka tidak mengupah orang untuk mengasuh atau menyusukan anak, kecuali setelah dikenalpasti dia seorang perempuan yang soleh, baik urusan agamanya dan makan hanya yang halal sahaja. Apabila dilihat ada tanda tamyiz (kepandaian) pada anak itu, maka hendaklah dia memperketatkan lagi pengawasan terhadapnya. Permulaan tanda-tanda tamyiz ialah tumbuhnya sifat malu pada diri. Sebab itu ia sudah pandai malu dan meninggalkan sebahagian dari kelakuan-kelakuan yang tertentu, maka itulah tandatanda tertibnya cahaya pemikiran di dalam akalnya. Dan ini juga adalah gejalagejala baik yang menunjukkan bahawa akhlak anak itu telah lurus, dan hatinya telah bersih. Anak yang pemalu tidak seharusnya dibiarkan begitu saja, malah hendaklah ia dibantu dengan menambah lagi pendidikan dalam sikap malunya dan tamyiznya.

ASAS-ASAS PENDIDIKAN UNTUK ANAK-ANAK 1. Asas adab makan untuk anak-anak Sifat yang mula-mula akan menonjol pada anak-anak, ialah kegelojohan dengan makanan. Ia harus dididik dengan cara-cara dan adab sopan menghadapi makanan iaitu: 1. Jangan mengambil makanan melainkan dengan tangan kanan sahaja. 2. Membaca Bismillah apabila mula menyuap makanan 3. Jangan tergesa-gesa mengambil makanan sebelum orang lain mengambilnya. 4. Jangan meliarkan pandangan kepada makanan, ataupun meneliti muka orang yang sedang makan. 5. Jangan terlalu cepat atau gelojoh apabila makan. 6. Mengunyah makanan baik-baik sebelum telan. 7. Jangan sampai mengotorkan tangan dan pakaian dengan makanan itu. 8. Membiasakan makan roti tanpa lauk-pauk pada sesetengah waktu, supaya seleranya tidak memandang wajib adanya lauk-pauk dalam makanan. Ibu bapa harus mengingatkan anak-anak, bahawa banyak makan itu sifat yang tercela, dan orang yang suka makan banyak mempunyai tabiat yang buruk. Dan ibu bapa hendaklah memuji anak yang pandai menjaga adab dalam menghadapi hidangan makanan, dan anak yang makannya sedikit. Ibu bapa juga harus membiasakan anak-anak, supaya suka mendahulukan orang lain dalam hidangan makanan dan selalu bersikap puas dengan makanan yang ada saja, yakni tidak terlalu cerewet. 2. Asas adab pakaian untuk anak-anak Ibu bapa harus tidak menggalakkan anak-anak lelaki memakai pakaian yang berwarna-warni, ataupun memakai pakaian sutera dan menyatakan kepada mereka, bahawa pakaian berwarna atau sutera itu adalah pakaian kaum wanita, ataupun pakaian orang pondan. Orang lelaki harus merasa malu apabila memakai pakaian serupa itu. Hal ini hendaklah diingatkan kepada anak-anak itu berulang kali. Perlihatkan rasa tidak senang jika anak lelaki itu suka mencuba-cuba pakaian menyerupai perempuan. 3. Asas adab pergaulan anak-anak Hendaklah ibu bapa memelihara anaknya daripada bercampur-gaul dengan budak-budak yang telah dibiasakan dengan kehidupan bersenang-lenang dan bermewah-mewahan atau memakai pakaian yang indah-indah. Ibu bapa juga harus melindungi anak-anaknya dari orang yang memperdengarkan kepadanya sesuatu yang tidak baik. Sebab apabila anak itu tidak dikawal sejak dari mula, nescaya ia akan dikuasai oleh berbagai-bagai sikap yang rendah, seperti buruk budi pekerti, pendusta, pendengki, pencuri, suka meminta dengan paksaan, suka menjaga tepi kain orang, banyak tipu daya dan suka membuat sesuatu yang tidak berguna. Maka seharusnya anak itu diberikan perlindungan dari segala sifat tadi, iaitu dengan jalan mendidiknya dari permulaan pertumbuhannya.

4. Asas agama untuk anak-anak Anak itu hendaklah dihantar ke sekolah supaya dia belajar al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w., mendengar cerita-cerita para salihin dan sejarah kehidupan mereka agar tertanam dalam hatinya kecintaan terhadap orang-orang yang mulia itu. Hendaklah ia dijaga supaya tidak membaca atau mendengar lagulagu yang melukiskan gambaran asyik masyuk dan orang-orang bercinta-cintaan, kerana ini akan menumbuhkan benih-benih kerosakan di dalam dirinya. 5.Teknik pendidikan akhlak Puji: Apabila terlihat budi pekerti dan kelakuan anak yang terpuji, maka hendaklah dia dimuliakan dan dibalas dengan sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya dan dipuji kelakuannya yang baik itu di hadapan orang ramai. Tetapi jika ia terlanjur sesekali dalam sesetengah perkara, maka hendaklah berpura-pura terlupa atau tidak nampak akan kelakuannya yang salah itu. Tegur: Jangan sekali-kali memalukan anak itu atau membuka rahsianya, dan janganlah menampakkan kepadanya, bahawa ada orang lain yang berani melakukan sepertinya. Terutama sekali apabila anak itu telah mencuba untuk menutup keaibannya, dan bersungguh-sungguh cuba menyembunyikan kesilapannya. Sebab membuka rahsianya mungkin akan menimbulkan perasaan tindak balas anak itu, sehingga ia menjadi berani mengulangi kelakuan yang salah itu, meskipun diancam untuk didedahkan kesalahan itu kepada orang ramai. Tetapi sekiranya ia mengulangi lagi perbuatan salah itu bagi kali kedua, maka sebaiknya hendaklah ia ditegur secara rahsia dan menyatakan, bahawa perkara yang dibuat itu tidak patut dibuat oleh seseorang sepertinya. Kemudian hendaklah ia diingatkan sekali agar jangan kembali melakukan perkara seperti itu lagi, kerana akan memalukan dirinya jika diketahui orang. Apabila menegur anak, janganlah terlalu banyak mencelanya pada setiap waktu, sebab ini akan menyebabkan, telinga si anak menjadi tebal (tidak mengendahkan segala celaan itu). Dia akan terus berani membuat kesalahan dan segala nasihat yang dihamburkan kepadanya tidak akan meninggalkan apa-apa kesan di dalam hatinya. Haruslah seseorang ayah dan ibu itu bijak mengendalikan cara-cara berbicara dengan anaknya. Ia tidak menegur atau memarah anaknya melainkan pada masamasa yang tertentu. Bagi ibu pula harus pandai memainkan peranannya, iaitu dengan mengingatkan si anak supaya bersifat segan kepada ayah dan menegahnya supaya menjauhi segala kelakuan yang buruk. Oleh: Syeikh Ismail Hj Hashim, Ketua Pen. Pengarah Yadim

10 Petua Memotivasikan Anak Dalam Kerjaya

Jika anda menghadapi stres setelah seharian penat bekerja dari jam lapan pagi hingga pukul empat petang, bebanan emosi ini lebih-lebih lagi dirasai oleh anak-anak anda yang bergelumang dalam dunia persekolahan. Realitinya tanggungjawab sebagai seorang pelajar adakalanya lebih berat berbanding tanggungjawab kita ibu bapa yang masih boleh bekerja dengan keadaan tenang dan selesa. Belajar juga merupakan satu kerjaya. Cuba kita fahami kedudukan anakanak yang bekerja sebagai pelajar, di mana sekolah adalah tempat dia bekerja, guru besar dan guru-guru pula adalah bos mereka, sementara bilik darjah adalah pejabat mereka dan kawan-kawan sedarjah merupakan rakan sekerja mereka. Mereka pergi kerja lebih awal dari kita, kemudian terpaksa bekerja di dalam satu pejabat yang mempunyai ramai pekerja yang sama dengannya, kerana kadangkadang satu kelas mempunyai 30 hingga 40 orang pelajar. Tugas mereka adalah untuk belajar. Balik rumah pula terpaksa buat kerja rumah, kalau tidak dia akan dimarahi guru. Walhal kita walaupun sibuk macam mana sekalipun, tidak pernah bawa kerja di rumah. Demikian menurut Puan Ida Hartina Ahmad Thorbe, Pensyarah dan juga Kaunselor berdaftar dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya sewaktu memberi panduan kepada pelajar-pelajar dan ibu bapa di Seminar Ibu Bapa Cemerlang, Pelajar Gemilang anjuran Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, Kuala Lumpur. Tetapi kita sebagai ibu bapa mudah sahaja kita memarahi mereka tanpa ambil peduli perasaan mereka walhal mereka juga tertekan, ujarnya lagi. Katanya, jika sikap sebegini yang diambil oleh ibu bapa akan membantutkan semangat anakanak untuk belajar. Sebaiknya para ibu bapa sentiasa memberi rangsangan untuk memotivasikan anak-anak. Beliau memberi tip-tip berkesan bagaimana memotivasikan anak-anak dalam dunia kerjaya ini: BAGAIMANA IBU BAPA BOLEH MEMBANTU? 1. Tolonglah anak anda untuk menghadapi hari bekerja mereka seperti: * Sediakan makanan berkhasiat setiap hari * Sediakan pakaian yang bersih dan sesuai * Peralatan sekolah yang mencukupi seperti pen, pensil dan pemadam

DI RUMAH 2. Sediakan ruang khusus untuk belajar: * Tidak perlu besar tetapi selesa. Didiklah anak-anak yang masih kecil menghormati sudut bilik ataupun meja khas yang disediakan khusus untuk abang atau kakak mereka semasa belajar. * Meja yang disediakan hendaklah jauh dari telefon dan televisyen * Sediakan peralatan dan buku yang perlu untuk mereka melaksanakan tugas * Pastikan suasana yang sesuai seperti lampu yang terang, suasana tenang (boleh sekadar soft music) 3. Kenal pasti cara bekerja yang berkesan. * Gaya pembelajaran berdasarkan rangsangan tertentu: * Rangsangan persekitaran suasana senyap dan tenang membantu anak belajar * Rangsangan emosi perlu diucap selalu oleh para guru/ibu bapa * Rangsangan sosiologi ada anak yang boleh belajar dengan keadaan sunyi manakala ada yang suka belajar secara berpasukan (study group). Ibu bapa boleh galakkan anak mengajak kawan mereka belajar bersama-sama di rumah. * Rangsangan fizikal dengan cara melihat, bereaksi mendengar cerita anak-anak. Setiap individu itu unik dan ada cara tersendiri untuk bekerja dengan produktif. Kalau kita tidak faham nanti kita akan tersalah anggap, kata Pn Ida Hartina. 4. Latih anak-anak pengurusan masa yang berkesan: * Pastikan anak-anak mempunyai masa untuk belajar, bermain, bersama keluarga dan masa untuk diri sendiri. * Pecahkan tugasan besar kepada bahagian kecil. * Peruntukan masa yang berpatutan untuk setiap kerja. Katanya, Sebagai contoh untuk karangan sepatutnya diselesaikan dalam masa setengah jam dan bagi ulangkaji mata pelajaran Matematik antara 10 hingga 30 soalan untuk satu hari. * Adakan senarai perkara yang perlu dibuat harian dan mingguan dengan membuat jadual waktu peribadi dan diari. * Tentukan kepentingan tugas apa yang perlu dilakukan dahulu. * Laksanakan sepertimana yang dirancangkan. 5.Tunjukkan minat anda secara aktif: * Bukan setakat tanya, Bagaimana sekolah hari ini? OK? * Pertanyaan hendaklah lebih spesifik dan berkaitan. Contohnya, tanyalah hari ini belajar apa? Kalau susah boleh ke mak atau kakak tolong? * Ambil tahu tentang aktiviti, tugas, masalah belajar, masalah dengan rakan sebaya dan sebagainya. * Pujilah anak-anak sekiranya mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik. * Tunjukkan minat anda terhadap idea dan pendapatnya. * Lazimnya anak berasa seronok jika ibu bapa mengambil berat. 6. Kenal pasti kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan tugas: * Dapatkan gambaran daripada buku laporan, perjumpaan dengan guru, inventori personaliti dan lain-lain untuk mengetahui kelebihan dan kelemahan otak. * Ibu bapa boleh bantu kekurangan anak-anak dengan mengajar sendiri, kelas tambahan, sesi kaunseling, kursus dan lain-lain.

7. Bantu anak-anak dengan kerja rumah secara berpatutan: * Sekiranya ibu bapa mampu, lakukan sendiri, jika tidak dapatkan bantuan daripada guru tuisyen. Anak-anak biasanya lebih suka dapatkan bantuan luar kerana berasa dirinya tidak dihakimi sebagaimana kesilapan yang sering dilakukan oleh para ibu bapa, ujar beliau. * Pastikan anak-anak tahu usaha ini adalah untuk kebaikan dirinya sendiri. * Pastikan anak melakukan sebaiknya ikut kemampuan. * Beritahu anak anda bahawa anda berasa bangga dengan mereka. * Berikan masa untuk berehat. * Jangan sampaikan mesej bahawa anda malu sekiranya dia kurang kemahiran, atau dia telah mengecewakan kita. * Jangan sesekali menghukum sekiranya dia kurang mahir. * Jangan labelkan anak sebagai pemalas, bodoh dan lain-lain. 8. Cara-cara mengajar anak-anak: * Cari jalan untuk memulakan komunikasi untuk kerjasama mendengar masalah sebenar. * Pastikan sesi belajar seronok bagi anda dan anak. Anda boleh sediakan keropok dan air kopi untuk merangsang semangatnya. * Duduk bersebelahan bukan berhadapan serta sama tinggi situasi ini lebih mesra dan jelas. * Jika anak nampak tak minat cuba dengar alasannya kenapa. * Jangan terus menghukum. Mungkin anak takut tidak dapat mencapai kehendak anda. * Pastikan arahan dan langkah-langkah jelas dan mudah difahami. Buat dengan perlahan dan teratur. * Rancang kerja menggunakan langkah kecil yang perlu jawapan dan tumpuan yang baik. * Lebih mudah untuk kenal pasti di mana kelemahannya. * Jika anak bercakap, perhatikan wajahnya. Lebih mudah untuk kesan kekecewaan dan kekeliruan yang berlaku. * Jangan abaikan mana-mana soalan yang agak susah untuk melatih anak supaya tekun walaupun susah. * Kurangkan kritikan dan kata-kata negatif. * Jika salah nyatakan semula soalan dan berikan panduan untuk dia berfikir. * Sekiranya berjaya, berikan pujian. 8. Ketahui lebih lanjut tentang kerjaya anak anda * Libatkan diri secara aktif * Ambil tahu subjek, aktiviti projek yang terlibat, buku yang diperlukan, berapa banyak kerja rumah dan apa yang diharapkan daripada pelajar. * Ketahui prospek kerjaya dan minat anak anda personaliti dan kesesuaian bidang tugas. 9. Jumpa bos anak anda sekali-sekala: * Bukan hanya kerana dipanggil oleh guru besar. * Dapatkan laporan perkembangan. * Dapat maklum balas dari guru kelas, guru kaunseling. * Kenal pasti masalah sekiranya ada. * Ketahui apa yang anda boleh bantu di rumah.

10. Libatkan diri dengan aktiviti sekolah: * Tunjukkan sikap ambil berat dan pamerkan kasih sayang. * Anak rasa bangga dan dihargai. * Hadiri majlis sekolah, hari sukan, konsert tahunan, hari penyampaian hadiah, mesyuarat PIBG, gotong-royong, lawatan sambil belajar, hari kerjaya dan sebagainya. Kenal pasti sekiranya anak anda mengalami burn-out! * Ada anak-anak yang bekerja terlalu kuat untuk membuktikan kepada ibu bapa atau orang lain dia mampu berjaya. * Diberi terlalu banyak tugas dan tanggungjawab. * Berasakan diri berminat dengan semua perkara. * Elakkan burn-out agar tidak terganggu kesihatan dan perkembangan anak.

UBAH PERSEPSI ANDA! * Bersekolah bukan semudah yang disangka. * Bantuan anda penting untuk anak-anak berjaya. * Semua anak ingin berjaya, disayangi dan diberi perhatian. OLEH ITU: Sama-samalah kita membantu anak-anak melaksanakan tugas dengan baik dan menjadi pekerja yang komited, cemerlang, berdisiplin dan mempunyai motivasi kendiri yang tinggi.

Petua Awet Muda Sejurus bangun pagi baca doa, amalkan petua ini sebelum mandi dan gosok gigi. Muka anda biasanya akan berminyak selepas bangun dari tidur. Inilah masanya untuk mengamalkan urutan wajah. * Urutkan wajah anda dengan air dari bawah dagu hingga ke atas dahi diiringi selawat Nabi 3 kali. * Gunakan jari telunjuk kedua-dua belah tangan dan diletakkan di bawah mulut (dagu). * Pusingkan jari anda ke pipi, pipi ke hidung dan seterusnya ke bahagian dahi. * Lakukan setiap pagi disusuli dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi. * Perlu diingat, jangan sesekali mengurut wajah anda dari atas ke bawah kerana ia akan mempercepatkan proses kedutan. Masukkan air dalam mulut selama 10 saat dan selawat 3 kali dalam hati. Kemudian, baru diteguk. Air liur pada awal pagi ada enzim yang boleh jadi ubat kemudian barulah menggosok gigi. Amalkan bangun pagi dan mandi embun. Usap embun dari hujung daun pada wajah, rambut dan kulit badan. Khasiat air embun amat banyak. Insya-Allah wajah akan berseri dan tubuh badan menjadi sihat serta awet muda. Baca ayat 35 - 38 Surah al-Waqiah setiap kali mandi untuk curahan pertama, mulakan dari kepala. Kalau ada telaga di rumah, amalkan mandi air telaga sulung yang diambil pada waktu pagi sebelum ada orang lain mengambilnya terlebih dahulu daripada kita. Mandilah sebelum air telaga itu ditimba orang. Insya-Allah wajah akan berseri dan badan sentiasa ramping. Setelah solat Subuh, bacalah Surah Yusuf kemudian minum air suam sebanyak tiga teguk sahaja. Insya-Allah wajahmu akan kelihatan muda daripada umur sebenar anda. Setelah itu lakukan senaman ringan. Hirup udara segar di luar dan jalan tanpa memakai kasut (mandi embun). Geselkan kaki di atas rumput yang masih berembun. Amalkan memotong kuku atau rambut pada hari-hari baik iaitu Isnin, Khamis dan Jumaat. Mulakan memotong jari telunjuk kanan hingga ke jari kelingking dan seterusnya jari kelingking kiri ke ibu jari tangan kiri. Amalkan menanam kuku dan rambut yang dipotong atau gugur mudah-mudahan mendapat berkat di dunia dan akhirat. Semasa berdandan pada waktu pagi baca selawat Nabi di kedua-dua tapak tangan dan raupkan ke muka berserta niat dalam hati supaya di indahkan wajah seperti Nabi Yusuf. Amalkan setiap pagi.

Ketika makan janganlah disulam dengan minum air. Minumlah setelah setengah jam selepas makan. Rajin-rajinlah membaca al-Quran dengan niat ikhlas kerana Allah. Amalkan solat Tahajud. Sentiasa tenang dan tidak mudah marah. Mulakan sesuatu urusan dengan nawaitu yang baik dan niat kerana Allah. (Koleksi Anis /Susunan: Ummu Asilah bin Muhammad Nor)

Anda mungkin juga menyukai