Anda di halaman 1dari 2

REFLEKSI AMALI PERMAINAN TRADISIONAL NAMA: ESTER SUBIN UNIT: PISMP BM 2011 ___________________________________________________________________

Pada 16 Mac 2013 yang lalu, satu karnival amali permainan tradisional telah diadakan bertempat di padang IPG Kampus Kent. Amali permainan itu telah disertai oleh empat buah unit iaitu PISMP Bahasa Melayu, PISMP Pengajian Sosial, PISMP Pendidikan Jasmani dan PISMP Sains. Dalam pelaksanaan amali permainan tersebut, kumpulan kami telah melaksanakan satu jenis permainan tradisional iaitu Permainan Ketingting Enam. Dalam pelaksanaan permainan tradisional ini, beberapa kelemahan dan kelebihan telah saya kenalpasti. Kami dapat melaksanakan amali permainan dalam masa yang telah ditetapkan iaitu selama sepuluh minit. Kami menggunakan jam randik untuk memastikan kami tidak melampaui masa yang diperuntukkan. Aspek komunikasi juga kami tekankan. Mujurlah kami dapat menyampaikan arahan dengan baik sehingga para peserta dapat memahami cara bermain permainan tersebut. Permainan yang kami perkenalkan juga membawa keseronokan kepada para peserta. Hal ini terbukti dari riak wajah mereka yang gembira dan saling menyokong antara satu sama lain. Selain itu, kami juga telah berjaya memotivasikan para peserta untuk bermain dengan bersungguh-sungguh. Kami telah menyediakan hadiah dan saguhati khas untuk para peserta dan hal ini telah menjadikan mereka lebih bersemangat untuk bermain. Susunan alatan dan bahan juga agak kemas dan sistematik. Hal ini membawa kepada pelaksanaan permainan yang lebih teratur dan tidak serabut. Seterusnya, kumpulan kami juga telah melakukan kolaboratif dengan pensyarah pembimbing sebelum melaksanakan amali. Hal itu menjadikan kumpulan kami mendapat inspirasi dan idea-idea untuk melaksanakan amali tersebut dengan lebih berkesan. Kami juga mendapat komen yang memberangsangkan daripada pensyarah mengenai alternatif yang kami sediakan untuk menentukan para pemenang yang mana kami telah menyediakan tiga cara untuk menentukan pemenang.

Namun, di sebalik kelebihan-kelebihan ini terdapat juga kelemahan sewaktu pelaksanaan amali ini. Antaranya ialah kegagalan kami untuk menyediakan papan markah. Hal ini menyebabkan kami telah gagal memenuhi salah satu kriteria pemarkahan yang diwajibkan dalam penilaian amali kali ini. Pada masa akan datang, saya berharap agar sama ada dalam bentuk berkumpulan atau secara individu saya akan lebih banyak berkolaboratif dan belajar melalui pelbagai pengalaman untuk memastikan penganjuran karnival permainan seumpama ini akan dapat dijalankan dengan lebih baik dan bermakna. Saya sedari pembelajaran bukan semestinya bergantung kepada apa yang disampaikan oleh pensyarah secara lisan mahupun secara praktikal tetapi juga daripada pengalamanpengalaman sendiri yang saya alami secara tidak sedar. Akhir sekali, saya bersyukur kepada Tuhan kerana dengan izin-Nya kami dapat melaksanakan amali permainan tradisional kali ini. Ribuan terima kasih juga saya titipkan buat para pensyarah pembimbing dan pensyarah penilai yang telah memberikan banyak bimbingan dalam pelaksanaan amali ini.

Anda mungkin juga menyukai