Anda di halaman 1dari 19

PENGENALAN PROGRAM GOLD TO DIAMOND “REMAJA HIGH CLASS” PELAJAR

PASCA UPSR

Program Gold to Diamond “Remaja High Class” ini dibuat bagi memenuhi syarat kursus subjek

COU 5500 Perkembangan Kerjaya dan merupakan aktiviti untuk pelajar pasca UPSR Sekolah

Kebangsaan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. Program ini berdasarkan keprihatinan

kaunselor pelatih terhadap kerjaya pelajar. Program ini melibatkan seramai 90 orang pelajar

Tahun 6 bagi memberi kesedaran tentang kepentingan pemilihan kerjaya pelajar. Di samping itu,

melalui program ini juga memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan aspek komunikasi dan

pengurusan diri bagi menempuh alam sekolah menengah.

Lazimnya pelajar mempunyai kerjaya idaman. Malahan sejak kanak-kanak lagi mereka

sudah mempunyai cita-cita menjadi doktor, penyanyi atau pelakon. Namun begitu, seiring

perkembangan pemikiran, budaya dan persekitaran berlakunya pertukaran cita-cita. Oleh sebab

itu, wujudnya kaunseling kerjaya yang merupakan satu proses membantu individu mengenal

dirinya sendiri, mengenal dunia pekerjaan serta menyesuaikan diri dengan peluang pekerjaan

berdasarkan tahap kemampuan, minat dan peluang yang ada. Pemilihan kerjaya akan berakhir

apabila pelajar tersebut berjaya memilih kerjaya yang bersesuaian dengan diri dan keperluan

pekerjaan. Di samping itu perkembangan usia 11 hingga 18 ini merupakan peringkat untuk

pelajar mula memilih kerjaya berdasarkan apa yang diminatinya. Namun seiring peningkatan

usia, pelajar ini akan mula memikirkan kerjaya yang sesuai dan khusus. Di sini peranan

kaunselor kerjaya dalam membantu meningkatkan kesedaran tentang pemilihan hala tuju dan

kerjaya pelajar. Kaunseling kerjaya ini sangat penting kerana dapat membantu pelajar merancang

laluan kerjaya dengan baik.


Oleh itu, program ini berobjektifkan untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan

mengetahui hala tuju kerjaya kepada pelajar melalui kaedah “fun base”. Selain itu ia memberi

pendedahan tentang kesihatan mental serta peranan kaunseling dalam membantu kesejahteraan

mental dan emosi. Para pelajar SK Gong Badak didorong untuk menghargai diri, berwawasan

dan memiliki keyakinan diri yang tinggi. Dalam masa yang sama kaunselor pelatih dapat

meningkatkan “soft skill” dalam penganjuran program ini.

Pengenalan Ringkas Tentang Aktiviti Yang Dijalankan

Program Gold To Diamond : Remaja High Class telah dijalankan selama dua
(2) hari iaitu pada 4 dan 5 November 2019 melibatkan seramai 114 orang
pelajar dari Sekolah Kebangsaan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Pada hari pertama program (4 november 2019) sebanyak empat slot


program telah dijalankan. Sebelum setiap slot yang dirancangkan dijalankan,
program ini telah dimulakan dengan majlis perasmian oleh wakil dari
Sekolah Kebangsaan Gong Badak. Slot pertama merupakan slot ‘Ice
Breaking’. Objekdtif bagi slot ini adalah untuk:

1. Mewujudkan suasana mesra serta interaksi yang lebih terbuka di


anatara peserta program serta fasilitator.
2. Memberi peluang kepada peserta untuk berkenalan di antara satu
sama lain dalam satu suasana yang menyeronokkan.
3. Mengurangkan rasa malu, rendah diri serta takut apabila peserta
berada di dalam satu kelompok yang baru.

Langkah pelaksanaan program ini melibatkan:

1. Semua peserata perlu mendengar arahan yang diberikan oleh


fasilitator.
2. Peserta bergerak dalam dua kolompok yang besar mengikut jantina.
3. Dalam masa 10 saat, peserta diminta membuat bulatan iaitu peserta lelaki berada di
bahagian dalam bulatan, manakala peserta wanita di bahagian luar. Peserta yang tidak
berjaya membentuk bulatan mengikut masa yang telah ditetapkan akan dikenakan denda.
(mengikut kreativiti dan kesesuaian semasa.
4. Peserta diminta berhadapan di antara satu dengan yang lain masih dalam bulatan yang
telah dibentuk tadi. Seterusnya peserta diminta membuat sesi perkenalan dengan peserta
yang berada dihadapannnya dengan bertanyakan soalan seperti nama, hobi, nama ayah,
nama ibu dan sebagainya.
5. Selepas 10 saat, fasilitator akan meniup wisel menandakan peserta perlu bergerak ke
kanan dan meneruskan aktiviti suai kenal dengan orang yang berbeza.
6. Fasilitator akan meniup wisel beberapa kali supaya peserta dapat berkenalan dengan
beberapa orang peserta yang lain.

Slot kedua pula merupakan slot Cerminan Diri yang telah dijalankan
bertujuan untuk membantu peserta mengenal pasti minat mereka serta
membantu peserta meneroka kerjaya berdasarkan minat mereka sendiri.
Perjalanan slot ini melibatkan:

1. Fasilitator memberikan setiap ahli kelompok kertas A4 kosong.


2. Fasilitator memberi arahan kepada ahli kelompok untuk membuat kolaj mengikut
kreativiti mereka sendiri menggunakan bahan yang telah disediakan.
3. Ahli kelompok yang terpilih kemudiannya diminta untuk membentangkan serta
menjelaskan hasil kolaj mereka kepada ahli kumpulan yang lain.
4. Fasilitator menerangkan secara lebih jelas minat mereka dan mengaitkan pekerjaan yang
sesuai dengan minat masing-masing.

Slot ketiga melibatkan slot yang diberi nama ‘My Next Journey’ yang dibuat bertujuan untuk
memberikan informasi berkaitan aliran sekolah yang terdapat di Malaysia, memahami perbezaan
antara setiap aliran sekolah di Malaysia serta membantu peserta membuat persediaan
berdasarkan kecenderungan aliran yang dipilih.

Langkah perlaksanaan asal bagi slot ini adalah:

1. Fasilitator mengedarkan pamplet berkenaan info dalam aliran yang terdapat dalam
sekolah di Malaysia.
2. Fasilitator memberi perkongsian tentang info bagi setiap aliran sekolah menengah di
Malaysia.
3. Para peserta di minta berkumpul mengikut kelompok aliran yang mereka cenderung.
4. Para fasilitator memberi penerangan tentang persediaan yang perlu mereka ada mengikut
kelompok aliran masing-masing.
5. Para peserta diminta untuk mengikut kumpulan masing-masing.

Slot terakhir pada hari pertama merupakan slot ‘Myself and I’. Slot ini diwujudkan bertujuan
untuk:

1. Membantu peserta untuk mengetahui potensi yang ada pada diri dengan lebih baik.
2. Mendorong peserta untuk muhasabah diri berdasarkan kelebihan dan kekurangan diri
masing-masing.
3. Membantu peserta menerapkan nilai positif dalam diri sebagai persediaan melangkah ke
alam remaja.

Langkah perlaksanaan slot ini melibatkan:

1. Fasilitator mengedarkan kertas A4 yang mempunyai lakaran pokok kepada ahli kelompok
sambil menerangkan apa yang perlu ditulis pada kertas tersebut.
2. Fasilitator meminta ahli kelompok untuk menulis nama pada batang pokok,
menyenaraikan kekuatan di dahan pokok serta menulis kelemahan diri pada lakaran
lukisan daun yang disediakan.
3. Fasilitator menyuruh ahli kelompok untuk menampalkan lakaran daun pada ranting
pokok.
4. Ahli kelompok perlu menukarkan kelemahan diri kepada apa yang perlu dilakukan untuk
perbaiki diri pada lukisan berbentuk daun.
5. Fasilitator meminta ahli kelompok membaca apa yang ditulis dalam kelompok secara
bergilir-gilir dan rakan lain digalakkan untuk bertanya.
6. Pada masa yang sama, fasilitator berbincang berkenaan dengan tanggungjawab, peranan,
sumbangan dan wawasan diri yang perlu diamalkan oleh ahli kelompok pada masa akan
datang.
7. Fasilitator meminta ahli kelompok berkongsi pengalaman berdasarkan apa yang mereka
tulis.

Program pada hari kedua (5 November 2019) dimulakan dengan sesi memanaskan badan
bersama para peserta dan fasilitator. Seterusnya, program ini diteruskan dengan slot ‘Explorace’
di mana slot ini melibatkan enam checkpoint iaitu:

1. Check point 1: Mari Berfikir


2. Check point 2: Match It!
3. Check point 3: Muzik Berbunyi
4. Check point 4: Who Am I?
5. Check point 5: Buat & Jual
6. Check point 6: Are You Smart?

Slot ini dijalankan untuk memberi ruang kepada para peserta untuk memahami setiap kriteria
yang ada pada satu-satu jenis kerjaya secara 'hands on' serta mendidik para peserta untuk
bekerjasama antara satu sama lain bagi menyelesaikan tugasan dan mengambil peranan sebagai
ahli dalam pasukan. Langkah perlaksanaan slot ini adalah:

1. Fasilitator memberi arahan kepada para peserta tentang peraturan & langkah keselamatan
bagi aktiviti Eplorace.
2. Para peserta dilepaskan untuk ke check point yang telah ditetapkan.
3. Para peserta perlu melengkapkan aktiviti ini dengan pergi ke semua check point yang
telah ditetapkan.

Slot terakhir bagi program ini adalah Pulau Idaman yang diwujudkan bertujuan untuk
memastikan para peserta dapat belajar melakukan perancangan mengikut pandangan dan idea
mereka sendiri serta menggalakkan kerjasama di antara satu sama lain dalam kumpulan.
Langkah perlaksanaan slot ini adalah:

1. Setiap kumpulan diberikan peralatan aktiviti.


2. Fasilitator memberikan arahan kepada para peserta.
3. Para peserta perlu membuat 1 plan pulau mengikut cita rasa mereka tersendiri.
4. Setiap kumpulan diminta membuat perbentangan hasil plan pulau masing-masing.

Hasil maklum balas organisasi

Setelah program dijalankan selama dua hari di Sekolah Kebangsaan Gong Badak bersama

dengan pelajar pasca UPSR, pihak sekolah telah memberikan maklumbalas secara lisan kepada

pengarah program dan pensyarah penyelia yang hadir pada majlis penutup program.

Menurut wakil Guru Besar, Cikgu Azmi Yahya, Penolong Kanan Pentadbiran SK Gong

Badak, beliau sangat berpuas hati dengan program yang dijalankan. Beliau mengakui bahawa

aktiviti yang terkandung di dalam program memberi impak yang sangat baik kepada pelajar

dalam memahami dan mengetahui haluan kerjaya mereka secara umumnya, dan membuat

pemilihan sekolah yang sesuai dengan minat serta pencapaian mereka di peringkat menengah

secara khasnya.
Selain itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah juga memberikan maklum balas

yang positif terhadap program yang dijalankan. Menurut beliau, program Gold To Diamond ini

sesuai dan memberi manfaat kepada para pelajar. Tambahan pula program ini dilaksanakan pada

masa yang tepat dan dilihat dapat memberi pengisian masa yang optimum kepada pelajar selepas

peperiksaan UPSR. Jesteru, pihak sekolah sangat berbesar hati dan mengalu-alukan pihak kami

bagi melaksanakan program-program seumpama ini di masa akan datang.

Hasil maklum balas fasilitator

Setelah dua hari berlangsungnya program Gold To Diamond ini, maklum balas dari setiap

fasilitator diambil bagi melihat sejauh mana tahap kepuasan fasilitator terhadap komitmen,

kerjasama dan disiplin dalam kalangan fasilitator sepanjang fasa perancangan, perlaksanaan dan

pelaporan program.

Soal selidik telah diagihkan menerusi pautan google form yang memudahkan fasilitator

menjawab soal selidik tersebut dengan pantas dan boleh diakses di mana-mana sahaja. Kaedah

ini mempercepatkan proses pengumpulan data untuk dianalisis. Berikut merupakan item-item

yang dikemukan dalam soal selidik tersebut:

Maklumbalas Program (Fasilitator)


Arahan: Sila tandakan (/) di dalam petak yang berkenaan mengikut skala yang berikut:
1. Sangat Tidak Setuju 2. Tidak Setuju 3. Tidak Pasti 4. Setuju 5. Sangat Setuju

BIL PERKARA 1 2 3 4 5
Saya berpuas hati dengan kerjasama, komitmen,
1 dan disiplin semua ahli sebelum program (Fasa
Perancangan)
2 Saya berpuas hati dengan kerjasama, komitmen,
dan disiplin semua ahli semasa program (Fasa
Perlaksanaan)
Saya berpuas hati dengan kerjasama, komitmen,
3 dan disiplin semua ahli semasa program (Fasa
Perlaksanaan Laporan)
Saya merasakan aktiviti-aktiviti yang dijalankan
4 dalam program ini berjaya mencapai objektif
program.
Saya merasakan perlaksanaan program ini berjaya
meningkatkan kemahiran-kemahiran saya sebagai
5
kaunselor dalam kaunseling kerjaya secara
keseluruhannya.

Hasil dapatan analisis yang telah dibuat, skor 5 hingga 11 menunjukkan tahap kepuasan

yang rendah dan tiada peratusan ditunjukkan. Bagi tahap kepuasan yang sederhana di mana skor

adalah dari 12 hingga 18, menunjukkan sebanyak 17 peratus daripada fasilitator berada di tahap

ini. Secara keseluruhannya, sebanyak 83 peratus fasilitator berada di tahap kepuasan yang tinggi

di mana skor nya adalah 19 hingga 25.

Skor Tahap Kepuasan Bilangan Peratusan %


5 Hingga 11 Rendah 0 0%
12 Hingga 18 Sederhana 2 17%
19 Hingga 25 Tinggi 10 83%

Rumusan dapatan maklum balas soal selidik dirumuskan ke dalam bentuk carta pai seperti di

bawah.
Hasil maklum balas peserta

Selain maklum balas yang diperolehi daripada pihak pengurusan sekolah, kami juga turut

mendapatkan maklum balas daripada para peserta bagi melihat sejauh mana program ini

memberi impak kepada mereka. Kami telah mengedarkan borang soal selidik kepada setiap
peserta untuk dijawab selepas tamat program. Berikut merupakan 10 item yang terkandung

dalam borang soal selidik tersebut:

Maklum balas program


Gold to Diamnod
“Remaja High Class”
Arahan: Sila tandakan (/) di dalam petak yang berkenaan mengikut skala yang berikut:
2. Sangat Tidak Setuju 2. Tidak Setuju 3. Tidak Pasti 4. Setuju 5. Sangat Setuju

BIL PERKARA 1 2 3 4 5
1 Saya rasa gembira setelah mengikuti program ini
2 Melalui program ini, saya mengenali diri saya
dengan lebih baik.
3 Aktiviti yang dijalankan sangat menarik.
4 Saya mempersoleh pengetahuan yang berguna
tentang persediaan untuk melangkah ke sekolah
menengah.
5 Bahan edaran/paparan visual yang disediakan
berkualiti
6 Setelah mengikuti program ini, saya dapat
memadankan minat dan personaliti diri dengan
kerjaya yang sesuai.
7 Masa yang diperutukkan mencukupi untuk setiap
aktiviti.
8 Isi kandungan yang disampaikan sesuai dengan
tajuk/aktiviti.
9 Penerangan/arahan dari fasilitator sangat jelas dan
mudah difahami.
10 Saya lebih berkeyakinan dan bersedia untuk
menempuhi alam sekolah menengah bermula hari
ini.

Bagi kaedah pemarkatan, skor 10 hingga 23 menggambarkan tahap kepuasan yang rendah, skor

24 hingga 36 adalah tahap kepuasan yang sederhana manakala skor 37-50 menggambarkan

tahap kepuasan yang tinggi. Berikut merupakan dapatan maklum balas yang diperolehi daripada

para peserta program selama dua hari itu.


Skor Tahap Bilangan Peratus (%)

10 hingga 23 Rendah 0 0

24 hingga 36 Sederhana 18 20

37 hingga 50 Tinggi 72 80

Daripada keseluruhan maklum balas yang diperolehi mendapati 80 peratus daripada keseluruhan

peserta memberikan maklum balas yang sangat positif dengan memberikan skor antara 37-50

iaitu pada tahap yang tinggi. Manakala 20 peratus daripada peserta memberikan maklum balas

tahap kepuasan pada tahap yang sederhana. Secara keseluruhannya, maklum balas yang

diberikan oleh para peserta adalah sangat positif. Carta pai di bawah menunjukkan tahap maklum

balas keseluruhan daripada peserta program sepanjang dua hari.

Refleksi Fasilitator

Fasilitator : AZNIDA SUHANI JAILANI (P3515)


Sesuatu program yang dijalankan lazimnya mempunyai objektif yang tersendiri agar memberi
impak yang maksimum kepada setiap peserta khususnya dan pada penganjur amnya.
Berobjektifkan untuk memberi kesedaran berkaitan kepentingan peserta pasca UPSR untuk
mengetahui hala tuju kerjaya, menghargai diri, berwawasan dan memiliki keyakinan diri yang
tinggi melalui kaedah fun-base, program ini dirancang dengan teliti agar objektif tercapai,
sekaligus dapat meningkatkan dalam kalangan kaunselor pelatih Sarjana Kaunseling.

Pada peringkat perancangan program, pelbagai tugasan telah dilaksanakan dan


pembahagian tugas dibuat berdasarkan jawatan kuasa yang telah dipersetujui bersama. Antara
tugas-tugasnya ialah menyempurnakan kertas cadangan program, membina modul,
merekabentuk poster, bahan edaran seperti risalah dan borang soal selidik, perjumpaan dengan
pihak sekolah, mesyuarat dalam kalangan ahli jawatankuasa, perbincangan dengan pensyarah
subjek dan sebagainya. Secara keseluruhannya, diperingkat ini saya sangat bersemangat dan
berkerja keras untuk memberikan komitmen yang terbaik bagi memastikan semuanya berjalan
dengan lancar. Persediaan yang menyeluruh dan lebih terperinci bagi mengelakkan kesulitan di
hari program adalah satu perkara yang paling utama pada pandangan saya.

Perbincangan dengan pihak sekolah untuk menetapkan tarikh dan aktiviti program pada
awalnya berjalan dengan baik. Namun begitu, saya sedikit terganggu apabila berlaku perubahan
tarikh program di saat-saat akhir. Secara profesionalnya saya merasakan hal ini tidak seharusnya
berlaku, kerana telah terdapat persetujuan di antara kedua-dua pihak dan perubahan berlaku di
saat-saat akhir. Alhamdulillah, akhirnya isu ini dapat ditangani dengan baik, dan saya dapat
belajar bagaimana untuk berfikir dengan tenang dan sentiasa berbincang sekiranya terjadi isu-isu
yang tidak diingini.

Kerjasama rakan-rakan yang lain adalah sangat baik walaupun terdapat beberapa orang
rakan-rakan yang mempunyai kekangan masa untuk sama-sama berbincang tentang aktiviti dan
progress perancangan program. Apa yang saya pelajari di peringkat ini adalah untuk bersikap
tolak ansur, saling bekerjasama, menerima kritikan dengan hati yang terbuka, menguruskan masa
dengan baik, komunikasi memainkan peranan penting dan paling utama adalah bersikap positif.

Setelah program berlangsung selama dua hari iaitu pada 4 & 5 November 2019 yang lalu,
saya sangat enjoy dan gembira mengendalikan aktiviti bersama anak-anak di peringkat awal
remaja, walaupun ianya sedikit mencabar kerana memerlukan sedikit kesabaran bagi memastikan
mereka fokus pada apa yang disampaikan oleh fasilitator. Terdapat enam slot aktiviti yang telah
dilalui oleh peserta iaitu, ice breaking, Cerminan Diri, My Next Journey, Myself and I, Explore
race (My Ambition) dan Pulau Idaman. Kesemua aktiviti ini adalah menjurus kepada persediaan
peserta bagi melangkah ke alam sekolah menengah seterusnya mengenali minat dan cita-cita ke
peringkat yang seterusnya. Rata-rata peserta memberikan maklum balas yang baik, mereka
seronok dan berpeluang melakukan perkara-perkara yang mereka minati. Antara aktiviti yang
ditunggu-tunggu ialah aktiviti Explore race. Adalah menjadi lumrah bagi kanak-kanak di
peringkat ini yang gemarkan aktiviti fizikal berasaskan permainan atau games.

Sejujurnya saya melihat ada dalam kalangan peserta yang nampak kebosanan apabila
berada di dalam kelompok yang tidak sama dengan rakan-rakan mereka yang biasa. Keadaan ini
menimbulkan sedikit ketegangan dan gangguan dalam kelancaran fasilitator untuk memproses
ahli kelompok. Namun, ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh bakal kaunselor dalam
setting yang sebenar. Kemahiran dan kecekapan fasilitator atau kaunselor perlu dipertingkatkan
dari masa ke semasa.

Kelebihan yang ada pada diri saya dalam menjayakan program ini adalah di mana saya
boleh bergerak dengan aktif dan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan
berlaku sepanjang program berlangsung. Contohnya ketika slot ice breaking, kebanyakan peserta
malu-malu dan agak pasif memberikan kerjasama untuk bertanyakan soalan kepada peserta yang
berlawanan jantina. Mereka tidak mahu bergerak untuk aktiviti ini. Saya mengambil inisiatif
memberikan kata-kata positif untuk memastikan mereka bergerak dan tidak malu bertanyakan
soalan.

Kerjasama antara ahli jawatankuasa sangat baik dan saling menyokong antara satu sama
lain. Senario ini memberi gambaran yang positif tentang sikap semua ahli jawatankuasa.
Kesemua aktiviti dikendalikan dengan baik dan mencapai objektif yang telah disasarkan. Slot
cerminan diri dapat membantu peserta mengenalpasti minat dan personaliti diri mereka.
Walaupun pada permulaannya sesetengah peserta agak kabur dengan apa yang perlu mereka
lakukan. Dalam kelompok yang saya kendalikan, terdapat seorang peserta yang masih tidak tahu
tentang minat dirinya sendiri.

Dalam slot My Next Journey, peserta-peserta didedahkan dengan sekolah-sekolah yang


boleh dimohon berdasarkan minat dan keputusan peperiksaan UPSR mereka. Antara sekolah-
sekolah yang diberi penerangan adalah Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Sukan Malaysia dan
Negeri, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Tahfiz dan Sekolah Menengah Agama. Peserta
memberikan tumpuan yang memuaskan dan ada dalam kalangan mereka sudah membuat
keputusan untuk menyambung pengajian ke sekolah-sekolah yang telah diterangkan.

Slot Myself and I adalah slot untuk peserta mengenalpasti kelebihan dan kelemahan diri
sendiri. Walaupun aktiviti ini diolah dengan menarik oleh fasilitator, terdapat peserta yang sukar
untuk menulis apakah kelebihan dan kelemahan masing-masing. Ada yang malu, dan ada yang
tidak tahu apa yang perlu ditulis. Peserta juga mempunyai masalah dari segi komunikasi
terutamanya kelompok kendalian saya. Mungkin masih belum wujud kepercayaan mereka
kepada saya dan peserta-peserta kelompok yang lain.

Melalui slot Pulau Idaman, saya melihat peserta bebas menggunakan imaginasi mereka
dengan melukis serta merancang pulau idaman mereka. Di sini, kecenderungan peserta dapat
dilihat. Saya berasa sangat kagum dengan kebolehan peserta.

Tidak dinafikan dalam merialisasikan program ini hingga selesai adalah satu perkara
yang memenatkan dan menuntut masa serta pengorbanan yang bukan sedikit. Namun, ia
memberi kepuasan yang tidak ternilai kepada saya apabila melihat wajah-wajah peserta yang
gembira dan diakhirnya mereka memperolehi sesuatu yang bermakna buat diri mereka. Mungkin
tidak semua yang mereka dapat, sekurang-kurangnya ada satu dua yang memberi menfaat
kepada mereka. Membentuk insan itu bukan dalam masa sehari dua, ianya perlu berterusan dan
mempunyai sistem sokongan yang ampuh.

Penambahbaikan program

Hasil daripada perbincangan selepas program bersama rakan-rakan kumpulan, di sini

dapat digariskan beberapa cadangan dan penambahbaikan program yang dapat dirumuskan dan

dijadikan panduan bagi menjalankan aktiviti pada masa hadapan. Cadangan penambahbaikan

adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti program pada masa akan datang. Daripada
cadangan penambahbaikan ini, rakan-rakan ahli kumpulan dapat mempelajari dan berusaha

untuk memperbaiki kemahiran, pengetahuan dan cara yang terbaik untuk mengendalikan sesuatu

program kelak.

Cadangan penambahbaikan program yang pertama ialah, rakan-rakan ahli kumpulan

perlu menyediakan modul tambahan (back up plan) sekiranya sesuatu keadaan tidak berjalan

lancar seperti mana yang dirancang. Pemilihan modul yang bersesuaian dengan aktiviti dan tahap

kognitif peserta juga perlu diberi perhatian. Keadaan ini bertujuan untuk mengelakkan peserta

mudah berasa bosan dan tidak berminat kepada program yang dijalankan. Aktiviti yang

dijalankan juga perlu melihat kepada faktor persekitaran, tempat program yang hendak

dijalankan dan juga tahap umur peserta. Bagi aktiviti ini, terdapat sedikit kekurangan ketika

menjalankan aktiviti pertama iaitu slot ice-breaking di mana keadaan agak tidak terkawal

daripada peserta kerana aktiviti yang dijalankan kurang bersesuaian dengan kapasiti dan keadaan

dewan. Namun begitu, keadaan ini dapat diatasi dengan mengambil kira faktor tempat dan masa

program dijalankan.

Seterusnya, perancang program perlu peka terhadap tahap pembelajaran, pemikiran dan

mengambil kira perbezaan dari segi kecerdasan intelek, emosi, latar belakang sekolah dan

persekitaran supaya proses program tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan peserta dapat

mempelajari sesuatu hasil daripada aktiviti yang dijalankan. Jika dilihat kepada kelebihan pelajar

di sekolah ini, tahap pembelajaran dan intelektual mereka adalah baik, Oleh itu, aktiviti yang

dijalankan perlu bersesuaian dengan tahap kecerdasan minda mereka supaya dapat membantu

dan meransang lagi pemikiran serta pembelajaran yang diterima.

Sebelum melakukan sebarang aktiviti atau perubahan antara slot yang berikutnya,

fasilitator perlu memaklumkan terlebih dahulu kepentingan, tujuan dan hasil pembelajaran yang
akan diterima oleh peserta bagi setiap aktiviti yang hendak dijalankan. Perkara ini dapat memberi

gambaran kepada peserta dan membantu peserta untuk memahami dengan lebih baik tentang

sesuatu aktiviti yang dijalankan. Arahan aktiviti perlu disampaikan dengan jelas dan mudah

untuk difahami oleh peserta. Selepas berakhir setiap aktiviti yang dijalankan, fasilitator perlu

merumuskan hasil dapatan daripada aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung, perkara ini

dapat membantu fasilitator untuk mencapai objektif dan misi aktiviti seperti yang dirancang.

Fasilitator juga dapat mengaitkan aktiviti yang dijalankan dengan pengajaran dan pengetahuan

yang diperolehi oleh peserta dalam program yang telah dilaksanakan.

Kepelbagaian aktiviti dan teknik pembelajaran yang digunakan dapat membantu program

berjalan dengan lancar dan menarik minat peserta untuk sentiasa bersemangat sepanjang aktiviti

dijalankan. Dalam masa yang sama, tingkah laku yang ditonjolkan oleh fasilitator perlu sentiasa

dijaga dan diberi perhatian. Keseronokan dan semangat yang diterima oleh peserta juga

bergantung kepada keupayaan dan kemahiran yang dimiliki oleh fasilitator. Sikap fasilitator yang

sentiasa menunjukkan minat, perhatian dan sokongan kepada peserta dapat membantu peserta

untuk memberi kerjasama yang lebih baik ketika menjalankan sesuatu aktiviti.

Selain itu, fasilitator juga perlu menguasai kemahiran-kemahiran seperti komunikasi yang

baik, menjadi pendengar dan pemerhati yang peka terhadap persekitaran, mampu merancang

masa dengan baik. Sikap professional yang ditunjukkan oleh fasilitator dapat mengawal keadaan

dan menjadi contoh yang baik kepada peserta serta dalam kalangan ahli fasilitator. Walaupun

aktiviti yang telah dijalankan tidak mempunyai sebarang masalah dari segi etika dan tingkah laku

fasilitator, tetapi elemen ini perlu dikekalkan dan sentiasa diberi perhatian untuk kebaikan

program akan datang.


Dalam program ini, penyediaan bahan, peralatan dan keperluan lain yang digunakan

dalam sesuatu aktiviti yang dijalankan perlu mencukupi dan dalam keadaan yang baik. Keadaan

ini bertujuan untuk memastikan kelancaran aktiviti tidak terganggu apabila bahan yang

digunakan tidak mencukupi. Tambahan pula, akan menyukarkan peserta untuk memberi

kerjasama mengikut arahan yang diberikan sepertimana dalam tempoh masa yang diberikan.

Faktor kekurangan sumber bahan dan peralatan memberi kesan yang tidak baik kepada

kelancaran sesuatu program. Penyediaan bahan yang mencukupi dan bersesuaian dengan aktiviti

dapat membantu aktiviti berjalan dengan baik dan menjimatkan masa.

Konklusinya, setiap fasilitator atau pengendali program perlu menguasai segala

kemahiran yang merangkumi aspek kecekapan komunikasi, pembelajaran, pengurusan diri dan

masa serta cara untuk mengendalikan sesuatu program secara efektif dan sistematik. Penguasaan

dalam segala aspek kecekapan memainkan peranan yang signifikan untuk membantu kelancaran

program supaya dapat dilaksanakan dengan baik pada masa akan datang. Pencapaian matlamat

atau objektif program ini juga, boleh dijadikan pengetahuan dan pengalaman kepada peserta

supaya lebih dekat dan diingati oleh peserta pada masa akan datang. Program yang telah

dikendalikan juga dapat meningkatkan tahap profesionalisme fasilator sebagai seorang kaunselor

pada masa akan datang.

RUMUSAN

Pelaksanaan Program Gold To Diamond “Remaja High Class” anjuran pelajar Sarjana

Kaunseling, Universiti Malaysia Terengganu dengan kerjasama unit Bimbingan dan Kaunseling,
Sekolah Kebangsaan Gong Badak telah berjaya dianjurkan seperti mana yang telah dirancang.

Kelancaran perjalanan program adalah sumbangan daripada kerjasama yang sangat baik oleh

pihak sekolah dari aspek penyediaan tempat dan kerjasama daripada guru – guru serta kerjasama

daripada setiap ahli kumpulan. Penyertaan dan kehadiran para pelajar pasca UPSR selaku peserta

program sangat memberangsangkan walaupun jumlah kehadiran adalah berbeza pada kedua-dua

hari penganjuran program. Pelaksanaan program ini juga telah memberikan impak yang positif

serta mencapai objektif program, hasil dari maklum balas yang diterima daripada pihak

pengurusan sekolah, pensyarah dan juga peserta.

Secara keseluruhannya, program Program Gold To Diamond “Remaja High Class” yang

dianjurkan berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa kekangan terutamanya dari aspek

masa, di mana fasilitator tidak dapat meneroka ahli kelompok dengan lebih mendalam ketika

aktiviti-aktiviti dalam kelompok dilaksanakan. Semoga program seperti ini dapat diadakan lagi

di masa akan datang dalam memberi pendedahan dan informasi berkaitan kerjaya bagi

membentuk masa depan yang lebih cemerlang untuk para pelajar. Segala permasalahan dan

kekangan yang berlaku ketika program kali ini diharap dapat ditambahbaik dan dijadikan rujukan

agar ianya tidak berlaku di masa akan datang.

Sebagai pelajar dan bakal kaunselor, proses melaksanakan program ini merupakan satu

medium pembelajaran yang sangat bermakna buat kami dalam meneroka kemahiran-kemahiran

dan ilmu baru yang akan berguna bagi merealisasikan seorang kaunselor yang berkompeten.

Akhirnya, jutaan terima kasih kami ucapkan buat pensyarah-pensyarah subjek

Perkembangan Kerjaya (COU 5500) yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan bantuan

sepanjang fasa program ini dijalankan. Diharapkan usaha ini dapat mencapai objektif subjek

Perkembangan Kerjaya secara keseluruhannya.

Anda mungkin juga menyukai