Anda di halaman 1dari 15

SEMESTER 1, SESI PENGAJIAN 2017/2018

Kerja Kursus:

PPPY1192 AKHLAK DAN TASAWUF

Tajuk:
HUBUNGAN ILMU DAN AKHLAK DALAM PEMBENTUKAN
PELAJAR YANG BERKUALITI

Pensyarah:
DR. ZAIZUL BIN AB RAHMAN
Jabatan Pengajian Usuluddin dan Falsafah
Fakulti Pengajian Islam, UKM

Disediakan:
AHMAD FARIS DANIAL BIN ZAIDI (A157434)
MUHAMMAD HARIZ BIN ZAIDI (A157483)
MUHAMMAD HAZIM BIN MOHD NOH (A158251)
SITI NOORMARDHIAH BINTI ROSSALIM (A160553)
Jabatan Pengajian Al-Quran Dan Al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam, UKM
2

1.0 PENGENALAN

Maha suci Allah SWT yang telah menjadikan sekalian alam, pada hakikat kejadian yang
terkandung akannya hakikat nur Muhammad sebagai syarat maujud yang melazimi di
antara ruh dan jasad, berhubungan di antaranya atas tiap-tiap yang mengenali hakikat
asal makhluk sebagai fitrah kembali sebagai seorang hamba Allah, yang berhujung
maujud tiada. Hadirnya Islam itu pada teras tertinggi yang diliputi akarnya secara induk
daripada intipati kandungan Hadis Jibril, yang secara lengkapnya diriwayatkan oleh
Imam Muslim (no. 8), dan diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad (I/27,28,51,52), Abu
Daud (no. 4695), al-Tirmidzi (no. 2610), al-Nasa`i (VIII/97), Ibnu Majah (no. 63), Ibnu
Hibban (no. 168,173), al-Bukhari dalam Khalqu Af’aalil ‘Ibaad (no. 190), Ibnu
Khuzaimah (no. 2504) dari sahabat Ibnu ‘Umar sebagaimana dari bapanya ‘Umar bin
Khathab. Terkandungnya elemen rukun agama yang terdiri daripada perbahasan Islam,
Iman, dan Ihsan, yang menjadi kerangka utama dalam membina mihrab penyempurnaan
ilmu dan adab yang benar berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Segalanya adalah bertitik mula daripada rujukan sirah nubuwah yang


berkisarkan penurunan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW di Mekah, sebelum
berlakunya peristiwa hijrah, iaitu Surah al-Alaq, ayat 1 sehingga 5, disepakati secara
rajih oleh para ulama sebagai suatu tema pengajaran buat Rasulullah SAW, dalam
penjelasan tentang Allah, perihal perbuatan dan sifat-Nya dan hanya Dia-lah sumber
milikan daripada segala ilmu pengetahuan yang menjadi kurniaan di alam ini.
Sehubungan itu, catatan sirah bertempohkan 23 tahun penurunan al-Quran secara
sempurna ke atas nubari Rasulullah SAW, menghasilkan sebuah penyaksian zaman
yang memiliki jalinan manusia terhadap al-Mala`ul `Ala, yang menjadi bukti kebenaran
agama Islam dan asas utama yang mencakupi segenap kehidupan manusia sehingga ke
akhir zaman. Sebagaimana firman Allah SWT, di dalam al-Quran (Surah Ali Imran:
138), mafhumnya iaitu: “(al-Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan
petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa”. Dan diteruskan lagi
penegasan tersebut di dalam firman Allah (Surah Ibrahim: 52) mafhumnya iaitu: “(al-
Quran) ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia, dan supaya mereka diberi
peringatan dengan-Nya, dan supaya mereka mengetahui bahawasanya Dia adalah
Tuhan yang Maha Esa dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran”.
3

Kronologi sirah nubuwah ini membawa kepada satu objektif yang bersifat
faktual berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran (Surah al-Maidah: 3)
mafhumnya: “Pada hari ini, (iaitu pada hari Haji Wada` ini), telah Ku sempurnakan
untuk kamu agamamu, (iaitu telah Aku perjelaskan kepadamu syariat-syariat agamamu,
baik yang halal mahupun yang haram, baik yang berupa perintah mahupun larangan),
dan telah Ku cukupkan nikmat-Ku, dan telah Ku redhai (bahawasanya) Islam itu jadi
agama bagimu. Penghasilan tafsiran ini membawa motif perutusan Rasulullah SAW
sebagai penyempurnaan segala aspek kehidupan manusia khususnya dalam gagasan
ilmu dan akhlak. Maka dengan ini, lingkungan kefahaman daripada al-Quran dan al-
Sunnah menghasilkan rumusan serta jaminan akan pembentukan individu yang
berkualiti dan berjaya menurut perspektif Islam, berdasarkan firman Allah di dalam al-
Quran (Surah al-Mukminun: 1) mafhumnya: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang
yang beriman”, sebagaimana dikehendaki melalui firman Allah SWT di dalam al-Quran
(Surah al-Mujadalah: 11) mafhumnya: “Allah akan meninggikan orang-orang yang
beriman di antaramu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan dengan
beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. Oleh yang
demikian, hubungkait di antara sumber ilmu dan amali akhlak menjadi wacana
perbahasan pengkaji dalam menumpukan kesannya terhadap pembentukan pelajar yang
berkualiti, sebagaimana difahami bahawa segala pintu ilmu adalah berpunca dari uslub
Hadis Jibril.

2.0 KONSEP ILMU DAN AKHLAK

2.1 DEFINISI ILMU

Perkataan ‘Ilmu’ dari segi etimologinya berasal dari kata dasar yang menghasilkan kata
jamaknya `ulum, bermaksud ilmu-ilmu. Kamus al-Munjid (1992) mendefinisikan ilmu
sebagai “memperolehi pengetahuan tentang sesuatu perkara dengan sebenar-benarnya
atau mengetahui sesuatu perkara berdasarkan keyakinan dan pengetahuan. Seterusnya,
Ibn Manzur (1955) dalam Lisan al-`Arab turut memberikan empat penghuraian
terhadap akar kata al-`ilm. Pertamanya, `ilm adalah merujuk kepada sifat-sifat Allah
SWT, Yang Maha Mengetahui. Keduanya, al-`ilm adalah merupakan antonim ke atas
sifat al-jahl iaitu tidak tahu atau dungu. Ketiganya, `ilm atau mengetahui sesuatu
bermakna mengenalinya atau `arafa. Keempatnya `ilm dengan pengertian al-`alam
4

berasaskan akar kata yang sama tetapi membawa makna tanda atau alamat. Merujuk
kepada Hajj Khalifah (1941) dalam ensiklopedianya Kashf al-Zunun, beliau telah
merumuskan lima belas takrif ilmu di dalam hasil perbahasan para ahli kalam, ahli fiqh
dan ahli falsafah. Beliau menggalurkan rumusan istilah ilmu sebagai pegangan terhadap
sesuatu, pengenalan, pengetahuan, pencapaian sesuatu, pengesahan berasaskan
keyakinan, penjelasan, kepercayaan yang kukuh, keyakinan yang sempurna,
penghasilan akal, keupayaan membezakan sesuatu dari yang lain, suatu ingatan dan
terhasilnya makna sesuatu ke dalam jiwa.

Konsep ilmu menurut perspektif Barat telah dirumuskan secara komprehensif


dan menyeluruh oleh The Encyclopedia of Philosophy yang menyatakan bahawa
definisi yang diterima umum tentang ilmu atau knowledge adalah “kepercayaan yang
benar dan hakiki” (Edward & Paul 1967). Manakala Oxford Dictionary of English
mendefinisikan ilmu sebagai fakta, informasi dan kemahiran mengetahui melalui
pengalaman dan pendidikan; kefahaman teori dan praktikal terhadap perkara” (Soanes,
Catherine & Stevenson 2005). Sementara itu Merriam Webster’s Collegiate Dictionary
mentakrifkan ilmu sebagai “sesuatu fakta atau keadaan mengetahui sesuatu dengan
kebiasaan yang diperolehi melalui pengalaman atau sesuatu yang berkaitan; ataupun
suasana atau keadaan untuk memahami sesuatu kebenaran atau fakta melalui proses
berfikir atau taakulan” (Basri bin Husin 2009).

Seterusnya, pengkaji turut mengetengahkan kefahaman Imam al-Ghazali yang


turut membahaskan konsep ilmu dari pelbagai perspektif. Rumusan keilmuan daripada
pandangan beliau boleh diselidiki melalui puluhan karyanya seperti Ihya’ `Ulum al-Din,
al-Munqidh Min al-Dalal, Mizan al-`Amal, Mi`yar al-Ilm, al-Risālah al-Ladunniyah
dan sebagainya (Basri bin Husin 2009). Namun demikian, takrifan yang dikemukakan
olehnya dalam Ihya’ `Ulum al-Din, al-Munqidh Min al-Dalal dan Mizan al-`Amal
dilihat lebih bersifat holistik dan realistik iaitu:

a. Ilmu ialah satu kelebihan pada dirinya secara mutlak tanpa dihubungkan kepada
yang lain dan ilmu merupakan sifat kesempurnaan bagi Allah SWT, dan
kemuliaan bagi malaikat dan para rasul (al-Ghazali 1967).
b. Ilmu adalah hakikat semua perkara di mana ilmu adalah pengetahuan yang tidak
dapat diragui yang dikenali sebagai `ilm al-yaqin (al-Ghazali 1964).
5

c. Ilmu ialah tersingkapnya sesuatu perkara dengan sejelas-jelasnya sehingga tiada


lagi ruang untuk keraguan, tidak mungkin salah atau keliru, aman dari bahaya
kesilapan dan disertai dengan keyakinan yang benar darjat kefahamannya (al-
Ghazali 1964).

2.2 DEFINISI AKHLAK

Akhlak merupakan bentuk jamak dari khulq, yang secara etimologi bermaksud
kebiasaan, tabiat, perilaku, sifat dasar dan perangai (Yoke Suryadarma & Ahmad
Hifdzil Haq 2015). Selain itu, Mu’jam Lisan al-Arab turut menerangkan bahawa akhlak
merupakan agama kerana terkandung padanya perintah dan larangan yang membentuk
persona seseorang individu (al-Ghazali 2005). Menurut Imam al-Ghazali (2005), lafaz
khuluq dan khalqu adalah dua sifat yang saling melazimi. Kalimah khalqu bermaksud
adalah bentuk lahir, sedangkan penggunaan kalimah khuluq maka membawa takrifan
bentuk batin. Perbahasan Imam al-Ghazali ini adalah merujuk daripada mafhum firman
Allah SWT di dalam al-Quran (Surah Sad: 71-72), iaitu: “(Ingatkanlah peristiwa) ketika
Tuhanmu berfirman kepada malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia
(Adam dari tanah). Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku
tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya”.
Pengkaji mendapati kefahaman dalil ini membawa kesinambungan yang terkait antara
usul kejadian makhluk dan fitrah yang dikurniakan dalam neraca taklif, yang menjadi
kewajipan makhluk untuk mengetahui bagaimanakah pembinaan kendiri yang dituntut
di dalam Islam, khususnya dalam kalangan penuntut ilmu yang benar pendidikannya.

Berdasarkan konteks terminologi, akhlak adalah merupakan sifat yang mekar


tumbuh dan hidup di dalam diri seseorang (Abdullah Salim 1986). Segala kondisi
perasaan dan emosi yang terpancar atas perilaku individu adalah hasil tuntunan daripada
lubuk nuraninya. Penegasan daripada Imam al-Ghazali (2005), menyatakan akhlak
adalah ungkapan tentang sesuatu keadaan yang tetap di dalam jiwa, yang darinya
muncul seluruh perbuatan secara natural, tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian.
Kefahaman al-Ghazali (2005) telah meletakkan akhlak bukanlah sebagai objektif akhir
manusia di dalam perjalanan hidupnya, melainkan keberadaannya sebagai alat untuk
mendukung fungsi tertinggi jiwa dalam mencapai kebenaran tertinggi iaitu, ma’rifat
6

Allah, yang kandungannya manusia akan mencapai martabat hakikat dalam menikmati
kebahagiaannya yang sebenar.

3.0 SUMBER ILMU DAN HUBUNGKAIT DALAM PEMBINAAN AKHLAK

Sumber ilmu di dalam Islam sememangnya merujuk al-Quran dan al-Sunnah. Namun,
pengkaji mendapati di sana terdapat beberapa sumber epistemologi yang menjadi
wahana kepada dapatan ilmu dalam konteks kontemporari ini. Antaranya ialah
pancaindera, yang mana merupakan salah satu saluran utama yang membekalkan ilmu
pengetahuan kepada manusia, yang bersifat realiti dan empirikal. Saluran pancaindera
ini merupakan deria luaran yang membekalkan maklumat berkenaan tentang alam
sekeliling manusia. Data-data yang diperolehi melalui pancaindera ini juga terdiri
daripada data al-mahsusat al-zahirah, di mana data yang bersifat saintifik ini mampu
mencapai kepada maklumat yang bertaraf `ilm al-yaqin. Seterusnya, wujudnya akal
yang sejahtera. Data-data yang diperolehi melalui fakulti akal adalah bersifat rasional
dan apriori, di mana akal akan mentafsirkan sesuatu maklumat berdasarkan kepada
kerangka logiknya. Sementara itu, Ibn Rushd menyatakan bahawa operasi akal dalam
menghasilkan sumber ilmu adalah berdasarkan tiga kerja asas iaitu mengabstrak,
menggabung dan menilai. Ketiga-tiga asas ini merupakan tindakan akal dalam
mencerap sesuatu gagasan mahupun konsep yang bersifat universal dan hakiki (Esa bin
Khalid 2004). Selain itu, ilham dan intuisi juga merupakan sumber ilmu kerana ilham
yang benar adalah datang dari Allah. Ia dicampakkan ke dalam jiwa hambanya yang
bersih melalui jalan kashf. Melalui jalan ini, pintu hati akan terbuka dan segala
maklumat akan dicapai tanpa sebarang halangan (Bahri bin Husin 2009).

Dapatan sumber ini secara implisit turut mempengaruhi pembentukan akhlak


pelajar dalam proses hariannya. Maka merujuk kepada pandangan Imam al-Ghazali
yang menyatakan perubahan akhlak bagi seseorang individu adalah bersifat mungkin
(Yoke Suryadarma & Ahmad Hifdzil Haq 2015). Hasil pandangan Imam al-Ghazali
membawa kepada terhasilnya tujuan dan metode tazkiyat an-nafs. Kewajiban penyucian
diri ini mempunyai perincian di dalam kitab “Ihya’ Ulumuddin” iaitu, mendahulukan
kesucian jiwa, bersedia merantau untuk mencari ilmu pengetahuan, tidak bersikap
sombong dengan ilmunya dan menentang gurunya, dan mengetahui kedudukan ilmu
7

pengetahuan dalam maratib `aulawiyat. Segala perkaitan daripada sumber ilmu


menghasilkan disiplin akhlak yang meneladani konsep seorang penuntut ilmu.

4.0 PERANAN ILMU DALAM PEMBENTUKAN PELAJAR YANG BERKUALITI

Mendasari pengkajian ini, peranan ilmu itu terhasil dalam pendidikan Islam yang terdiri
daripada tiga istilah, yang lazimnya digunakan untuk mentakrifkan apakah itu
Pendidikan Islam. Kalimah yang berkaitan ialah, al-Tarbiyah, al-Ta’lim dan al-Ta’dib.
Sekiranya konsep kelimuan itu menumpukan kepada penghasilan adab seseorang
pelajar, maka pengkaji memetik pandangan Syed Naquib al-Attas (2011) yang merujuk
makna pendidikan dari konsep ta’dib iaitu, menyerapkan dan menanamkan adab pada
manusia (ta’dib).

4.1 MENCAPAI MARTABAT TAZKIYAH AL-NAFS

Sentuhan di dalam aspek ini, melibatkan tatacara dan persoalan hati individu yang
bergelar pelajar, tentang bagaimanakah persepsi dalaman mereka menerima amanah
dan tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu. Kunci terawal dalam jalinan ilmu
ke dalam amali kehidupan adalah kedudukan niat yang diletakkan sepenuh keikhlasan
hanya milik Allah SWT jua, sebagaimana firman-Nya (Surah al-Zumar: 14)
mafhumnya: “Katakanlah lagi: "Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan
amalan agamaku kepada-Nya”. Dalam amalan menuntut ilmu, keadaan ini mampu
diperkirakan sebagai ibadah berbalik kepada tajdid niatnya sebagai suatu tujuan ibadah
hanya kerana Allah SWT. Proses ini memerlukan elemen tawaduk merujuk kepada
hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Ahmad Bazzar, Abu Ya`la dan al-Thabrani di
dalam kitab al-Aushat yang bersumber daripada Umar al-Khattab r.a, mafhumnya:
“Barangsiapa yang tawaduk kerana Aku (Allah) seperti begini (isyarat daripada
Rasulullah SAW dengan menelungkupkan tangannya ke bumi), nescaya akan Aku
angkatkan seperti ini (lalu Nabi SAW menterbalikkan telapak tangannya yang tadi dan
mengangkatnya ke arah langit)” (Ahmad Asyhibashi 1975).

Hal ini juga dinyatakan melalui hadis riwayat Muslim (no. 2865) mafhumnya:
“Dan sesungguhnya Allah mewahyukan padaku untuk memiliki sifat tawaduk’.
8

Janganlah seseorang menyombongkan diri (berbangga diri) dan melampaui batas pada
yang lain”. Berdasarkan kefahaman Fudlail bin `Iyaadl, seorang ahli tasawuf, tawaduk
itu memerlukan seseorang untuk tunduk dan taat dalam melaksanakan yang hak serta
menerima kebenaran itu daripada sesiapapun. Kenyataan ini turut diperkukuhkan oleh
al-Harawi, iaitu seseorang itu memerlukan nilai bersungguh-sungguh untuk mencapai
sesuatu yang baik. Pendapat ini juga mendasari pandangan Ibnu `Athaillah al-
Sakandari, seorang ahli fiqh, yang menyatakan perlunya untuk berlapang dada dalam
menerima yang hak, sepertimana kenyataan al-Junaid, ahli tasawuf yang turut
memperjelaskan soal berlapang itu merupakan struktur penting untuk menerima
kebenaran (Ahmad Asyhibashi 1975).

Rentetan ini membawa kepada keluhuran hati secara hikmah menuju kepada
penyucian hati yang benar tanpa nodaan amarah dan syaitan. Berdasarkan firman Allah
di dalam al-Quran (Surah Ali Imran: 164) mafhumnya: “Sesungguhnya Allah telah
mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Allah
mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang
membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan al-Quran yang membuktikan
keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan (menyucikan) mereka (dari
iktikad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (al-Quran) dan al-Hikmah
(pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat). Dan sesungguhnya
mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang
nyata”. Perbahasan ini mengorak suatu konsep pembersihan jiwa daripada segala sifat
mazmumah dan tercela, khususnya kepada golongan pelajar, agar terkandung nilai adab
yang tinggi dalam pengamalan seharian (Mohd Radhi Ibrahim 2010). Hubungkait yang
terhasil daripada penyucian hati ini secara tidak langsung membina kehalusan berfikir
dalam kelompok pelajar untuk bersabar dan tidak mengeluh dalam nilaian jati diri yang
tinggi demi menimba ilmu yang hak, yang dicitakan tanpa megah kerana duniawi
(Mohd Farid Linggi 1998).

4.2 MENINGKATKAN DARJAT MANUSIA

Prinsip ilmu mempunyai signifikan dalam meningkatkan persona seseorang insan yang
benar menghayati kandungan ilmunya, tidak hanya tertakluk pada teori dan asasnya
sahaja. Hal ini kerana nur ilmu itu merupakan suatu rahmat dari Allah yang berkembang
9

mekar dalam jiwa individu khususnya golongan pelajar, dalam memateri


kesinambungan realiti dalam aplikasi harian. Hal ini dinyatakan di dalam al-Quran
(Surah al-Zumar: 9) mafhumnya: “Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-
orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya
orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang
yang berakal sempurna”.

Jika diteliti kesan daripada seseorang yang mencapai peningkatan darjat di sisi
Allah, pastinya terlihat pada zahir perilakunya yang saban hari kian patuh dan taat
terhadap perintah Allah SWT. Di sebalik tabir jiwanya, telah terbitnya maqam syukur
yang benar-benar menghayati nikmat ilmu itu dengan hakikat rasa yang hanya
dikurniakan oleh Allah SWT ke atas hamba-hambanya yang benar pengabdiannya serta
keberserahan yang tulus hanya Allah sahaja di akhir maujudnya. Peringkat ini
menyaksikan suatu rona kemanisan iman yang hanya dilalui oleh insan yang terpilih
untuk berada di dalam lautan fana`, yang mana secara implisitnya terpancar pada
segenap perbuatannya hanya untuk Allah dan segala-galanya kerana Allah. Kemapanan
aqidahnya menjadi tuntunan antara ilmu milikan hati dan akalnya, bersama amali
ibadahnya yang benar tanpa sebarang penafian yang lain semata-mata Allah. Oleh yang
demikian, darjat yang dikurniakan itu adalah menjadi rahsia dan hikmah di dalam ilmu
Allah SWT, namun implimentasi kehidupannya akan berlaku suatu transformasi dan
evolusi yang menjadikan dirinya benar dalam menghargai dan menikmati nilaian ilmu
sehingga mencapai aspek adabiah yang tertinggi (Mohd Radhi Ibrahim 2010).
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran (Surah Ibrahim: 7) mafhumnya:
“Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu
bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari
(nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih”.

4.3 MENDORONG SIFAT MAHMUDAH

Penuntunan ilmu akhlak bukanlah hanya memberikan sempadan perbuatan baik dan
buruk, namun turut memberikan suatu ruangan hidup yang memproduksikan kesucian
amalan yang dituntut di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Jika diteliti secara
kontemporarinya, sememangnya kesan dirian ilmu dan akhlak tidaklah mampu
mencakupi dan mempengaruhi manusia ini secara menyeluruh. Namun begitu, pengkaji
10

ingin menyatakan bahawa saranan implikasi kebaikan ini memerlukan kewujudan


suasana dan kondisi masyarakat am yang turut sama meneladani konsep akhlak
Islamiah sejajar daripada sirah nubuwah yang mempamerkan Rasulullah SAW sebagai
kudwah yang sempurna dalam segenap kehidupan. Sebagaimana yang dinyatakan di
dalam al-Quran (Surah al-Qalam: 4) mafhumnya: “Dan bahawa sesungguhnya engkau
(Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia”. Sehubungan itu, penerapan ilmu
yang benar penghayatannya menghasilkan peribadi yang mendasari al-Sunnah
terutamanya golongan pelajar di dalam konteks persona seorang penuntut ilmu.

Dasar kebaikan ini memerlukan perhatian dalam suatu perbahasan yang kritikal
iaitu tentang sifat ekstremis, yang mana memerlukan kepada tahap preventif daripada
nilai ketaksuban terhadap sesuatu individu mahupun ilmu. Hal ini kerana, dalam
melunturkan jalan kebaikan yang sedia ada bagi seorang pelajar, sikap taksub itu
menjadikan kotak pemikirannya kian minimal dan gemar melihat yang khilaf daripada
kebenaran sesuatu. Terkadangnya perihal ini menjadikan ruangan perbahasan ilmu itu
berwujud sempadan pada tiapnya, sehinggakan mampu membejat aspek
kemasyarakatan am. Dari lubuk pemikiran sebegini menampilkan peribadi yang keras
dan bersifat individualistik tanpa nilai keterbukaan. Maka punahlah hubungan pelajar
terhadap guru, dan pelajar terhadap ilmunya. Oleh yang demikian, kefahaman ilmu dan
aplikasi akhlak yang menuntun al-Quran dan al-Sunnah, bukan sahaja mencipta mihrab
kebaikan, namun di sana wujudnya ketinggian martabat ilmu yang mencapah nilai
keharmonian di antara aspek al-Ta`dib dan al-Ilm (al-Majidi 2013).

4.4 MANIFESTASI KESEMPURNAAN IMAN

Berdasarkan mafhum riwayat Abu Hurairah r.a daripada penegasan Rasulullah SAW
iaitu, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya”
(al-Tirmizi: no. 1162). Terdapat juga riwayat hadis yang lain, turut menerangkan
perkaitan ini iaitu mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan yang
paling dekat denganku tempatnya pada hari Kiamat adalah yang terbaik akhlaknya di
antara kalian” (al-Tirmizi: no. 2018). Sehubungan dengan itu, hasil yang dapat pengkaji
terbitkan adalah kesempurnaan iman menjadi medium terhasilnya ketinggian akhlak
pada peribadi seseorang. Dengan kata lain, untuk menghasilkan martabat akhlak yang
mulia memerlukan manifestasi iman dalam setiap perihal hidupnya. Menurut Mohamad
11

Radhi Ibrahim (2010), penjanaan akhlak yang sempurna menghasilkan suatu nilai
perhubungan yang baik dalam segenap perhatian. Beliau merujuk pandangannya itu
daripada hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 1994) mafhumnya: “Yang paling
baik di kalangan kamu (di sisi Allah SWT) ialah yang paling baik akhlaknya”. Dapatan
ini turut tertumpu kepada implikasi wujudnya ilmu yang hidup dalam asas pembentukan
peribadi individu, untuk melahirkan konteks pelajar yang berkualiti secara benar.

Jika ingin membicarakan konteks pelajar dalam perbahasan ini, adalah menjadi
pilihan pengkaji untuk mengemukakan perhatian terhadap catatan sirah nubuwah,
tentang proses isolasi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sebelum baginda secara
rasminya menjadi utusan Allah. Perhubungan Rasulullah SAW dengan al-Ruh al-Amin,
menjadi suatu pembuktian bahawasanya di sana berlakunya suatu proses pengajaran
dan penerimaan ke atas hati Nabi SAW (Mansur Abdul Hakim 2015). Hal ini bertepatan
sebagaimana firman Allah (Surah al-Syua`ra: 193-194) mafhumnya: “Ia (al-Quran)
dibawa turun oleh al-Ruh al-Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu
menjadi salah seorang di antara orang yang memberi peringatan”. Jika diteliti peristiwa
ini, di sana wujudnya proses penerimaan dan metode pendidikan berlandaskan wahyu
Allah. Hasil nurani yang mampu difahami daripada sirah ini, terkandungnya elemen
ilmu dan akhlak yang saling berhubungan untuk mencapai suatu nilai martabat yang
tinggi dalam kesedaran akal, yang tertakluk kepada kemapanan iman dan maqam
ketaqwaan yang benar pengisiannya. Rumusan matlamatnya menghasilkan nilai
hikmah di dalam konteks hubungan insaniah yang bertitik mula daripada sentuhan ilmu.

4.5 MEMBENTUK KERUKUNAN MASYARAKAT YANG SEJAHTERA

Di dalam perbahasan ini, pengkaji ingin menerbitkan lingkungan am daripada hasil


bergelar seorang pelajar yang menjalani proses menimba ilmu dalam pembentukan
kendiri dan matlamat bersifat insaniah dalam dunia hari ini. Dari kaca mata pengkaji,
seorang pelajar yang benar dikategorikan sebagai berkualiti, perlu padanya
mendatangkan suatu produktif yang bermanfaat ke atas masyarakat am sebagai nilai
amanah dan hasil daripada jalan juang pendidikannya. Menurut Tafsir al-Misbah,
terdapat suatu konteks perbahasan tentang hak dan amanah, yang menjadikan takrifan
amanah sebagai sesuatu yang diserahkan kepada pihak lain untuk dipelihara dan
dikembalikan apabila tiba saatnya tanpa khianat. Proses ini merujuk kepada dapatan
12

ilmu daripada kelompok pelajar yang wajib dikembalikan manfaat pengetahuannya


untuk keperluan masyarakat bersama (M. Quraish Shihab 2007). Hal ini merujuk
kepada firman Allah di dalam al-Quran (Surah al-Nisa`: 58) mafhumnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah-manah kepada
ahlinya (yang berhak menerima)”.

Selain itu, Shari Naim (2012), turut menyertakan dalil amanah pada konteks
muslim, berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad, daripada riwayat Anas r.a, sabda
Nabi SAW, mafhumnya: “Tidak beriman orang yang tidak beramanah itu dan tidak
beragama bagi orang yang tidak menunaikan (tanggungjawab) agamanya”. Seterusnya,
berdasarkan sabda Rasulullah SAW, yang diriwayatkan oleh al-Muttaqi al-Hindi (no.
1998), mafhumnya: “Manusia yang paling baik ialah memberikan manfaat kembali
kepada manusia yang lain”. Maka dengan ini, kondisi yang terjalin adalah suatu
hubungan yang murni di antara seorang pelajar apabila dirinya berada di dalam
kelompok masyarakat kelak, sebagaimana yang dituntut di dalam al-Quran (Surah al-
Hujurat: 10) mafhumnya: “Orang-orang yang beriman itu sesungguhnya bersaudara.
Oleh itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah
terhadap Allah supaya kamu beroleh rahmat”. Dalam meneroka situasi ini, para pelajar
perlu diingatkan agar sentiasa berlapang dada dan bersangka baik terhadap pemikiran
masyarakat yang berbeza corak pengetahuan dan pandangan mereka. Oleh yang
demikian, aplikasi ilmu yang benar mencapai kebijaksanaannya mampu menuntut
penyampaian akhlak yang munasabah dan baik dalam menelusuri jaringan masyarakat
yang tiada terduga kefahamannya.

5.0 KESIMPULAN

Tumpuan kajian ini membawa kepada suatu rumusan akhir yang merupakan induk
perkaitan di antara ilmu dan akhlak bagi pembentukan pelajar yang berkualiti iaitu,
mengembalikan fitrah kehambaan dalam konsep jalinan manusia dan Allah SWT. Tiada
yang memiliki sebarang keutamaan dan ketinggian melainkan segala-galanya adalah
datang daripada Allah SWT (Mohd Radhi Ibrahim 2010). Sesungguhnya kejadian
manusia ini adalah dinyatakan kemuliaannya di dalam al-Quran, namun hanya sedikit
yang bersyukur. Peringatan ini merujuk firman Allah SWT (Surah al-A`raf: 179)
mafhumnya: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin
13

dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-
ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti
keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya
(ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi;
mereka itulah orang-orang yang lalai”. Uslub ilmu dan akhlak ini mengakhirkan kepada
satu matlamat iaitu nilai ketaatan dan pengabdian yang benar terhadap Allah dalam
segenap rona kehidupan. Terdapat beberapa elemen ketaatan yang perlu
diimplimentasikan sebagai hakikat akhir pembinaan kendiri oleh seorang pelajar yang
parwah terhadap amanah dan tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu. Konklusi
akhir kepada pembentukan pelajar yang berkualiti melalui hubungan ilmu dan akhlak,
ialah mengadakan mu`ahadah, muraqabah, dan muhasabah.

Kefahaman mua`hadah adalah merupakan fasa perjanjian dengan diri sendiri,


yang mana memerlukan keazaman yang utuh untuk melahirkan nilai istiqamah yang
benar. Diteruskan dengan kefahaman muraqabah adalah susulan daripada fasa yang
pertama iaitu, memerlukan proses pemerhatian dan penelitian terhadap setiap tingkah
laku, dan perjalanan hariannya, dalam mengenali sempadan hak dan batil yang tertuntun
sebagai landasan kehidupan bersyariat. Berikutan itu, fasa yang terakhir ialah
muhasabah, iaitu pelajar dikehendaki melakukan penilaian keseluruhan daripada
amalan hariannya itu adakah menepati tuntutan syariat dan mendasari disiplin keilmuan
yang seharusnya melazimi akhlak setiap individu muslim. Ketaatan yang terhasil
meliputi perkara fardu dan kifayah dalam tuntutan agama, yang mana segalanya
bermotifkan sifat mahmudah. Sebagaimana firman Allah (Surah al-Hajj: 77) yang
menjadi peringatan am, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta
sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan
mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di
dunia dan di akhirat)”.

Akhir kalam dalam bicara perbahasan ini, pengkaji ingin mengetengahkan


firman Allah (Surah al-Baqarah: 222) mafhumnya: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi
orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa
mensucikan diri”. Oleh yang demikian, hubungkait antara ilmu dan akhlak
menghasilkan nilai ketaatan yang tertinggi, dalam mencapai ma`rifat Allah, serta
14

maqam ini tidak lain hanyalah melalui proses penyucian hati iaitu tazkiyah al-nafs
daripada uslub ketaubatan yang benar tanpa di sesali di akhirnya.

RUJUKAN

Al-Qur`an al-Karim.

Al-Munjid fi al-Lughah. 1992. Beirut: Dar al-Mashriq.

Asyibashi, Ahmad. 1975. Hadis Qudsi. Bandung: Penerbit CV Diponegoro.

Attas, M. al-Naquib. 2011. Islam dan Sekularisme. Terj. Khalif Muammar. Bandung:
PIMPIN.

Baharom, Noresah. (pnyt.). 2007. Kamus Dewan Bahasa Malaysia. Edisi. ke-4. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bukhari, al-Imam Abu Abdullah Muhammad bin Ismail. 1997. The Translation of The
Meanings of Sahih al-Bukhari, Arabic-English. Jil. 1&2. Terj. Muhammad
Muhsin Khan. Riyadh: Darussalam Publishers and Distributors.

Edwards, Paul (pnyt.). 1967. The Encyclopedia of Philosophy. Jil. 6. New York: The
Macmillan & The Free Press & London: CollierMacmillan Limited.

Ghazali, al-Abu Hamid Muhammad bin Muhammad. 1964, al-Munqidh Min al-Dalal,
Mahmud. `Abd al-Halim (pnyt.). Kaherah: Maktabah al-Anjalu al-Misriyyah.

Ghazali, al-Abu Hamid Muhammad bin Muhammad. 1964. Mizan al`Amal, Dunya.
Sulayman (pnyt.). Kaherah: Dar al-Ma`arif.

Ghazali, al-Abu Hamid Muhammad bin Muhammad. 1967. Ihya’ `Ulum al-Din. Jil. 1.
Kaherah: Mu’assasah al-Halabi wa al-Shurakah li al-Nashr Wa al-Tawzi`.

Ghazali, al-Abu Hamid Muhammad bin Muhammad. 2005. Ihya’ Ulum ad-Din. Beirut:
Dar Ibnu Hazm.

Hajjaj, al-Imam Abul Hussain Muslim. 2007. The English Translation of Sahih Muslim.
Jil. 1&2. Hafiz Abu Tahir Zubair `Ali Zai` (pnyt.), Terj. Nasiruddin al-Khattab.
Riyadh: Darussalam Publication Ltd.
15

Hakim, Mansur Abdul. 2015. Jibril A.S. Penyampai Wahyu, Gua Hira` Menyaksikan
Wahyu Pertama Diturunkan kepada Baginda Rasulullah SAW. Selangor: Grup
Buku Karangkraf Sdn. Bhd.

Husin, Basri. 2009. Beberapa Aspek Epistemologi: Konsep, Tabiat Dan Sumber-
Sumber Ilmu Dalam Tradisi Islam.

Ibn Manzur, Muhammad bin Mukram. 1955. Lisan al-`Arab. Jil. 52. Beirut: Dar Sadir.

Ibrahim, Mohd Radhi. 2010. Pembangunan Insaniah Pelajar Muslim. Nilai: Penerbit
Universiti Sains Malaysia.

Khalifah, Hajj. 1941. Kashf al-Zunun, `An Asami al-Kutub wa al-Funun. Mustafa bin
`Abdullah (pnyt.). Baghdad: Maktabah al-Muthanna.

Linggi, Mohd Farid. 1998. Kehidupan dalam Tiga Dimensi. Kuala Lumpur: Pustaka
Syuhada.

Majidi, al-Halim. 2013. Keindahan Akhlak Rasulullah. Selangor: Pustaka Ilmuwan.

Naim, Shari. 2012. Tasawwur Islami. Etika Kerja Menurut Nilai-Nilai Islam. Bandar
Seri Begawan: Pusat Da`wah Islamiah.

Salim, Abdullah. 1986. Akhlaq Islam. Jakarta: Media Dakwah.

Shihab, M. Quraish. 2007. Tafsir Al-Misbah: Pesan, Kesan dan Keserasian Al-Qur’an.
Jil. 1. Jakarta: Lentera Hati.

Soanes, Catherine & Stevenson. 2005. Oxford Dictionary of English. Edisi Kedua.
Angus (pnyt.). Oxford: University Press.

Suryadarma, Yoke. & Haq, Ahmad Hifdzil. 2015. Jurnal at-Ta`dib. Pendidikan Akhlak
Menurut Imam Al-Ghazali 10(2): 361-381.

Tirmidzi, al-Imam al-Hafiz Abi 'Isa Muhammad. 2007. Jami` al-Tirmidzi. Jil. 1&2.
Hafiz Abu Tahir Zubair `Ali Zai` (pnyt.), Terj. Abu Khaliyl. Riyadh:
Darussalam.

Qurtuby, el-Usman. 2013. Al-Quran al-Karim, al-Haramain 7 dalam 1. Selangor:


Karya Bestari Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai