Anda di halaman 1dari 3

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana yang sentiasa berpaksikan kepada

keadilan, semestinya, saudara penjaga masa Yang setia dengan randiknya, seterusnya rakan seperjuangan yang saya segani serta hormati sekalian. Selamat pagi, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia. Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk membuang masa hadirin, bukan pula untuk berbicara kosong akan tetapi menyampaikan pidato saya yang bertajuk Rukun Negara Membentuk Rakyat Berkualiti. Hadirin yang saya hormati, Malaysia merupakan sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada rakyat berbilang kaum yang mempunyai nilai hidup sosial, kebudayaan dan kepercayaan yang berbeza. Ini menyebabkan perpaduan agak sukar dicapai kerana setiap orang mempunyai kepercayaan dan pandangan hidup yang berbeza. Oleh itu, kita memerlukan sesuatu yang dapat mengeratkan perhubungan sesama rakyat dan membolehkan kita hidup bersama dengan aman dan harmoni di bawah bumbung yang sama tidak kira sama ada dari kaum atau status yang berbeza. Sehubungan itu, Rukun Negara telah diisytiharkan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1970. Antara tujuan Rukun Negara adalah untuk dijadikan prinsip hidup semua rakyat negara ini dan menjamin perpaduan kaum dan keamanan negara. Rukun Negara seharusnya dijadikan panduan oleh setiap rakyat yang mengaku dirinya sebagai warganegara Malaysia. Sekiranya panduan ini sentiasa dipatuhi, pastinya ia akan membentuk rakyat berkualiti. Rakyat yang berkualiti bersinonim dengan warganegara yang bermutu tinggi dan tinggi nilainya. Lima Prinsip Rukun Negara Hadirin sekalian, Itulah lagu yang sering kali dimainkan di corong-corong radio dan televisyen. Ianya bukanlah sekadar untuk hiburan semata-mata tetapi ada mesej yang ingin disampaikan. Mari kita tinjau apakah mesej yang ingin disampaikan. Prinsip yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Setiap agama pastinya menyeru kepada kebaikan. Justeru, bagi insan yang beragama, pastinya mereka percaya bahawa melakukan perkara yang baik adalah sangat dituntut. Di sini kita dapat

memahami bahawasanya prinsip yang pertama ini akan dapat melahirkan rakyat yang berkualiti yang mana inginkan sesuatu yang terbaik untuk dirinya dan masyarakat. Jadi, tidak dinafikan, rukun negara dapat membentuk rakyat yang berkualiti melalui prinsipnya yang pertama. Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia . Prinsip yang kedua ialah Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Prinsip ini menyeru supaya rakyat Malaysia sentiasa mengamalkan sikap taat setia kepada pemimpin dan tanah air. Rakyat yang taat dan sayang akan tanah airnya pasti akan berusaha untuk memajukan negara. Walau apa-apa pun yang terjadi, kesanggupan mereka untuk berkorban sangatlah dihargai. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat yang berkualiti tinggi. Prinsip kesetiaan inilah yang akan memacu rakyat Malaysia untuk berubah memajukan negara Malaysia. Rakyat yang bersemangat seperti inilah yang akan dapat memimpin negara kelak. Pepatah Melayu ada mengatakan di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Hadirin yang saya muliakan, Prinsip yang ketiga pula ialah keluhuran perlembagaan. Maksudnya ialah setiap warganegara hendaklah menghormati perlembagaan negara yang juga merupakan sumber perundangan tertinggi negara. Setiap rakyat haruslah

menghormati dan mematuhi perlembagaan yang telah ditetapkan. Ia bertujuaan untuk menjaga hak-hak keistimewaan setiap rakyat Malaysia. Justeru, dalam usaha membentuk rakyat yang berkualiti, prinsip ini memainkan peranan yang sangat penting. Setiap rakyat pastinya dibawah naungan perlembagaan negara yang semestinya menjaga hak-hak mereka. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Kalau sudah ditetapkan a, jangan pula dibuatnya b. Maksud yang saya ingin sampaikan di sini ialah setiap negara mempunyai undang-undangnya tersendiri. Ia adalah berasaskan kepada perlembagaan negara. Perkara ini termaktub di dalam rukun negara yang keempat iaitu Kedaulatan Undang-Undang. Dengan adanya undang-undang, maka setiap rakyat akan berdisiplin dan mematuhi segala yang telah ditetapkan. Warganegara yang berdisiplin akan membentuk rakyat yang berkualiti tinggi.

Hadirin yang disanjungi, Prinsip yang terakhir iaitu Kesopanan Dan Kesusilaan. Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang berkualiti. Masyarakat yang majmuk namun hidup bersatu padu. Inilah yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sememangnya rakyat yang berkualiti tinggi. Bulat kata kerana pembentung bulat kata kerana muafakat. Yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. Itulah amalan rakyat Malaysia yang sentiasa berpandukan kepada idealogi negara yang telah membentuk rakyat yang berkualiti. Dengan adanya kerjasama yang erat dan perpaduan yang kukuh berakar umbikan rukun negara, maka tidak hairanlah negara Malaysia mampu membentuk rakyat yang berkualiti tinggi dan disegani di dunia. justeru, marilah kita bersama-samasama menghayati rukun negara dan sekaligus menjadi insan yang berkualiti. Ingatlah, pepatah Melayu ada mengatakan, ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua. Tepuk dada, tanya minda. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai