Anda di halaman 1dari 11

1

PENDEKATAN GERAKAN DAKWAH PADA ZAMAN RASULULLAH SAW DAN KHALIFAH AL-RASHIDIN MARLON P. GULENG (A131196)

Pendahuluan

Masa kini, terdapat pelbagai orientasi pendekatan gerakan dakwah dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran umat Islam dalam penghayatan beragama. Ada yang memilih orientasi haraki (gerakan), terdapat juga yang memilih orientasi siyasah (politik), berkembang juga orientasi tablighi (menyampai) dan tidak kurang juga cenderung ke arah orientasi sufi (penyucian) bagi mencapai keberkesanan dalam kefahaman amal Islami. Sesetengah orientasi ini menyandarkan kepada jemaah atau gerakan yang terdapat di luar negara yang mempunyai orientasi, maslahah, dan cabaran yang tidak sama dengan apa yang terdapat di Malaysia. Manhaj atau kaedah Mesir atau India umpamanya, kalau ditinjau dari segi sejarah, budaya, situasi sosioekonomi, ia tidak sama dengan apa yang terdapat di Malaysia. Lain negara lain budaya, negara yang berlainan budaya sudah tentu berbeza pendekatan kaedah dakwahnya. Gerakan Islam mestilah sebuah gerakan Islah yang mengasaskan

perjuangannya kepada interaksi sosial dan kesedaran seseorang insan untuk membina kebaikan dan menonjolkan nilai-nilai al-Quran seperti yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW. Gerakan Islam mestilah bertanggungjawab untuk mengerah dan mengarah kader-kader yang memiliki kemampuan dan potensi memimpin umat manusia ke arah mencapai wawasan dan gagasan yang dikehendaki dalam agama Islam. Gerakan Islam perlu muncul sebagai gerakan Islah global yang memfokuskan wawasan umat ke arah ketuhanan, memandu mereka ke arah al-Quran supaya mereka dapat mengecapi nikmat yang berharga dalam setiap ruang kehidupan. Pendekatan gerakan dakwah yang diasaskan oleh Rasululah SAW dalam bidang pendidikan dan pentarbiyahan sepatutnya dijadikan contoh dan landasan dalam merealisasikan gerakan dakwah yang dijalankan dalam usaha memperbaiki umat manusia. Pendekatan gerakan dakwah tersebut disambung oleh Khulafa al-Rashidin walaupun terdapat beberapa pendekatan baru yang digunakan dalam menangani

permasalahan umat Islam pada zaman mereka akibat daripada masalah baru yang timbul pada zaman tersebut. Sama ada melihat peranan pembaharuan harus dilakukan oleh individu atau berkumpulan yang lebih penting ialah hakikat bahawa peranan yang tertanggung oleh mereka yang terlibat dengan usaha pembaharuan, dakwah atau islah adalah amat besar dan berat. Sebagai penggerak kepada masyarakat, pendokong gerakan harus mempersiapkan diri mereka lebih dari sasaran dakwah yang mereka ingin dekati. Dalam arena dakwah, penggerak gerakan Islam sekurang-kurangnya perlu terlebih dahulu memahami beberapa perkara asasi iaitu matlamat akhir atau arah tuju yang ingin digerakkan dalam masyarakat. Selain itu pendokong gerakan juga harus memahami keadaan dan permasalahan lingkungan masyarakat yang ingin digerakkannya. Pendokong gerakan Islam juga harus mengetahui cara dan manhaj terbaik yang akan digunakan untuk melakukan perubahan dalam masyarakat. Masyarakat yang berbeza memerlukan pendekatan yang berbeza untuk menangani permasalahan yang ada. Justeru itu, ahli gerakan harus mempunyai kebijaksanaan yang tinggi dalam menjalankan dakwah kepada sasaran mereka. Oleh yang demikian, dalam rencana ini perbincangan mengenai pendekatan gerakan dakwah pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rashidin seharusnya diketengahkan supaya kita sama-sama dapat melihat beberapa kaedah pendekatan gerakan dakwah yang digunakan pada zaman tersebut dan kaedah-kaedah tersebut dapat diaplikasikan pada zaman kini mengikut kesesuaian dan keadaan semasa.

Pada Zaman Rasulullah SAW

Rasulullah SAW ialah seorang model pendakwah terbaik sepanjang zaman. Pendekatan gerakan dakwah yang diketengahkan oleh baginda SAW dapat dijadikan panduan umat Islam hingga ke hari kiamat. Walaupun belum wujud nama organisasi yang khusus pada zaman ini akibat daripada kekurangan bilangan kaum muslimin, tentangan yang hebat di kalangan kafir Quraish, kekurangan ilmu pengetahuan di kalangan penganut Islam tetapi kaedah dan cara tersendiri sudah kelihatan wujud pada

zaman ini. Antara pendekatan gerakan dakwah yang wujud pada zaman Rasulullah SAW ialah: a. Rumah al-Arqam

Menurut pendapat yang rajih, setelah bilangan umat Islam mencecah lebih kurang empat puluh orang, Rasulullah SAW mulai membuka pusat pengajian untuk menyampaikan maklumat tentang aqidah dan akhlak Islam. Di rumah al-Arqam inilah Umar al-Khattab RA menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam yakni pada tahun keenam kenabian baginda. Pemelukan Umar telah menarik ramai para madu memeluk Islam secara terbuka berbeza dengan situasi sebelum ini di mana dakwah dijalankan secara tersembunyi. Menurut riwayat, jumlah umat Islam ketika Umar memeluk Islam ialah seramai empat puluh orang dan orang yang keempat puluh adalah Umar sendiri. Sumber lain turut menyebutkan bahawa umat Islam ketika Umar memeluk Islam sememangnya telah melebihi empat puluh orang. Mereka itulah yang bertindak sebagai perintis dan golongan penuntut pertama yang diberi bimbingan secara langsung oleh Rasulullah SAW di rumah al-Arqam (al-Asqalani 1990, 1: 28).

b.

Rumah Rasulullah SAW

Rumah baginda SAW merupakan markas tarbiyah sepanjang period sebelum hijrahnya Rasulullah ke Madinah. Rumah baginda telah menjadi pusat latihan dan perkaderan yang amat efektif sehingga dapat melahirkan para mujahid dakwah yang amat komited serta mampu menyambung perjuangan Rasulullah SAW selepas baginda wafat. Dari institusi pengajian inilah munculnya kaum Muhajirin yang merupakan saudara kepada kaum Ansar di Madinah. Dari sana juga lahirnya tokoh kepimpinan role model kepada seluruh umat Islam hingga ke hari ini (al-Asqalani 1990, 1: 28).

c.

Rumah Para Sahabat

Rasulullah SAW sering menumpangkan tetamu baginda di rumah sahabat yang berkemampuan. Peluang ini tidak dilepaskan oleh sahabat untuk menyampaikan

risalah Islam. Mereka memberi bimbingan serta nasihat kepada tetamu tersebut dengan tujuan meyakinkan mereka tentang ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah. Misalnya, peristiwa di mana baginda didatangi oleh tetamu dari Qabilah Qais yang tinggal di Madinah selama sepuluh hari. Ketua kumpulannya, Abdullah al-Ashajj sengaja ditumpangkan di rumah Ramlah binti al-Harith sementara pengikut beliau ditempatkan di rumah sahabat di kalangan Ansar. Abdullah, ketua qabilah sentiasa bersama Rasulullah SAW dan bertanya tentang Islam serta ajarannya, sementara tetamu yang lain belajar di rumah para sahabat. Dalam satu peristiwa yang lain Qabilah Ghamid telah ditempatkan di rumah Ubay ibn Kaab yang menjadikan rumahnya sebagai tempat tumpangan dan pengajian (al-Asqalani 1990, 1: 28).

d.

al-Suffah

Selepas umat Islam berhijrah bersama-sama Nabi SAW ke Madinah, antara usaha awal umat Islam ialah mendirikan masjid yang merupakan institusi sosial dan tarbiyah yang paling penting untuk pembangunan insan. Masjid yang kini dikenali sebagai Masjid Nabawi telah menjadi pusat pengajian Islam yang dibimbing secara langsung oleh Rasulullah SAW. Tempat pengajian di dalam masjid tersebut dinamakan alSuffah. Al-Suffah ketika itu menjadi pusat dakwah yang sengaja dibangunkan bertujuan untuk melatih para calon pendakwah yang kemudiannya menjadi mujahid dakwah di seluruh pelusuk daerah yang menerima Islam. Berbanding pusat Islam yang sebelumnya di Makkah, al-Suffah lebih tersusun di mana ia memiliki sistem pengurusan dan pentadbiran yang kemas lantaran situasi Madinah yang lebih stabil berbanding suasana Rasulullah SAW ketika di Makkah. Di samping Rasulullah SAW sendiri menjadi tenaga pengajar di institusi tersebut, terdapat juga pengajar yang lain yang mendapat latihan dan pendidikan langsung di Makkah. Antara mereka yang menjadi pembantu Rasulullah SAW sebagai pendidik ialah Abdullah ibn Said ibn alAs, Ubaidah ibn Samit, Ubaidah ibn Kaab dan lain-lain. Terdapat juga di kalangan pendidiknya yang merupakan tawanan Perang Badar yang memiliki kepakaran dalam bidang tertentu yang dijadikan tebusan (Ahmad ibn Hanbal t.th., 5: 315). Para ulama bercanggah pendapat mengenai bilangan pelatih pusat dakwah di al-Suffah. Menurut Abu Nuaim jumlah mereka bergantung kepada keadaan semasa.

Adakalanya ramai, kadang-kadang sedikit kerana keluar menjalankan tugas khas seperti menyertai peperangan. Menurut Ibn Taimiyah pula, jumlah mereka lebih kurang empat ratus orang. Sementara Qatadah telah meriwayatkan jumlah mereka mencecah sembilan ratus orang. Abu Hurairah dan Wathilah ibn al-Aqsa adalah antara pelatih awal al-Suffah (Ibn Saad 1980, 1: 255). Antara yang menarik mengenai pengajian di al-Suffah ialah kesemua pelatihnya menuntut ilmu serta mendapat latihan secara percuma. Demi menjamin keperluan hidup mereka, Rasulullah SAW telah menyeruh para sahabat untuk menjamin mereka. Baginda sendiri menjamin seramai sepuluh orang penuntut di Pusat Dakwah (Ahmad ibn Hanbal t.th., 1:197).

e.

Dar al-Qura

Ia merupakan kediaman Malik ibn Nawfal yang dijadikan tempat berkumpul para sahabat yang berminat untuk menghafal dan membaca al-Quran yang sudah pun diturunkan kepada Rasulullah SAW. Walaupun ada riwayat lain yang menyatakan bahawa ianya merupakan asrama tambahan kepada pelatih yang menuntut di al-Suffah (Azami 1994: 83).

f.

Kuttab

Institusi ini merupakan tempat pengajian kanak-kanak Islam yang memerlukan tarbiyah, terutama bagi menggalakkan kanak-kanak mempelajari al-Quran. Abdullah ibn Masud menyatakan bahawa beliau bersama Zaid ibn Thabit pernah belajar alQuran sebanyak tujuh puluh surah secara talaqqi yakni berhadapan dengan Rasulullah SAW di Kuttab sewaktu beliau masih kecil (Azami 1994: 8).

g.

Pendekatan Penghantaran Utusan

Metode ini merupakan lanjutan kepada metode-metode yang terdapat di atas di mana para pendakwah yang telah diberi latihan serta pendidikan Islam secara langsung oleh

Rasulullah SAW. Pendekatan ini merujuk kepada pengiriman para pejuang dakwah ke pelbagai daerah di luar tempat Rasulullah SAW menetap. Menurut riwayat, Musab ibn Umayr adalah pendakwah pertama yang dikirim oleh Rasulullah SAW untuk mengembangkan dakwah Islamiah di Madinah. Beliau tinggal di rumah Saad ibn Zurarah di Madinah. Antara tugas beliau ialah mengajak qabilah-qabilah di sekitar Madinah untuk menerima Islam. Di samping itu, beliau turut mengajar akidah dan akhlak Islam berdasarkan pemahaman al-Quran yang sudah diturunkan ketika itu kepada mereka yang baru memeluk Islam khasnya di kalangan mereka yang mengangkat sumpah setia di Aqabah di hadapan Rasulullah SAW (Ibn Saad 1980, 3: 315). Pada tahun ke-4 Hijrah, iaitu penghantaran tenaga pendakwah ke Najd di atas permintaan seorang ahlinya yang bernama Amir ibn Malik. Para pendakwah yang telah dikirimkan itu seramai tujuh puluh orang sahabat yang diketuai oleh al-Mundhir ibn Amr. Misi tersebut menghadapi cabaran yang amat hebat apabila penguasa Najd, Amir ibn al-Tufayl telah menentang habis-habisan rombongan pendakwah tersebut yang akhirnya mencetuskan tragedi Bicr Macunah yang menyayat hati dengan gugurnya para syuhada di kalangan tenaga pendakwah yang telah dikirim itu. Yang tinggal hanyalah seorang iaitu Amr ibn Umayyah yang segera menyampaikan kejadian tersebut kepada Rasulullah SAW. Disebabkan tragedi itu, Rasulullah SAW telah mengamalkan qunut al-nazilah selama sebulan bagi mengutuk perbuatan keji tersebut (Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah t.th., 2: 122). Dalam peristiwa yang lain, Rasulullah SAW pernah dikunjungi oleh penduduk Najran yang beragama Kristian yang meminta agar Rasulullah SAW menghantar pendakwah yang amanah yang boleh mengajar tentang Islam. Nabi menghantar Abu Ubaidah ibn al-Jarrah untuk tujuan dakwah. Demikian juga Khalid ibn Walid yang dihantar ke Yaman pada tahun ke-10 Hijrah untuk berdakwah dan berjaya mengislamkan kesemua ahli Qabilah Bani Harth di sana (Ibn al-Qayyim al-Jawziyah t.th., 3: 41). Apabila Makkah dibebaskan dari kekuasaan puak mushrikin dalam tahun ke-8 Hijrah, Rasulullah SAW telah menghantar Mucadh ibn Jabal ke sana untuk mengislamkan mereka yang belum menganuti Islam dan memberi didikan Islam serta

mengajar al-Quran kepada mereka yang sudah memeluk Islam lagi baru Islamnya. Untuk menjamin pembangunan Kota Makkah, baginda SAW telah melantik Attab ibn Usayd sebagai Datuk Bandar (Ibn Saad 1980, 2: 137).

Pada Zaman Khulafa al-Rashidin

Pendekatan dakwah melalui pendidikan dan tarbiyyah pada zaman ini merupakan kesinambungan daripada metodologi dakwah yang ditinggalkan oleh baginda SAW kepada para sahabatnya. Tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa perubahan pendekatan dakwah melalui pendidikan dan tarbiyyah yang dilakukan oleh Khalifah al-Rashidin mengikut perubahan masa dan suasana yang mereka hadapi pada zaman mereka masing-masing. Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah sebahagian Khalifah mendapat cabaran pada zaman pemerintahan mereka. Antaranya ialah pada zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq RA menghadapi tentangan golongan riddah dan nabi palsu, pada zaman Uthman ibn Affan menghadapi fitnah dan pelbagai tohmahan yang dilontarkan kepadanya, manakala Ali Abi Talib pula berhadapan dengan pelbagai kontroversi seperti perang Jamal, Siffin dan perselisihan antaranya dan Muawiyyah RA. Walau bagaimanapun, perkara-perkara di atas tidaklah menjadi penghalang bagi mereka supaya tidak meneruskan dakwah dan melakukan perubahan dalam gerakan dakwah melalui bidang pendidikan dan tarbiyyah.

a. Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq RA Pada zaman Abu Bakar al-Siddiq RA sudah mula timbul pelbagai ujian dan cabaran dalam pemerintahannya selepas mengambil alih pucuk pempinan daripada Rasulullah SAW. Antara cabaran yang dihadapinya ialah penentangan dan keengganan membayar zakat oleh segelintir umat Islam, tersebarnya segolongan umat Islam yang murtad akibat daripada kewafatan Rasulullah SAW dan timbulnya nabi palsu di

kalangan beberapa ketua kabilah di Yaman dan sebagainya (cAli Muhammad Muhammad al-Salabi 1422H). Sumbangan Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq dan juga atas cadangan Umar ibn al-Khattab RA yang paling besar dalam bidang pendidikan ialah pembukuan al-Quran atas alasan ramai di kalangan para huffadh al-Quran yang gugur mati syahid di Yamamah akibat daripada peperangan menentang golongan nabi palsu dan juga riddah. Dalam kejadian tersebut, Abu Bakar RA memanggil Zaid ibn Thabit al-Ansari supaya mengumpul dan menulis ayat-ayat al-Quran yang terdapat daripada pelepah tamar, batu-bata, dada-dada manusia, kulit-kulit binatang dan tulang-tulang binatang. Manakala ayat yang terakhir iaitu ayat 128 dalam surah al-Taubah terdapat pada Abu Khuzaimah al-Ansari. Al-Quran yang telah dikumpulkan berada di tangan Abu Bakar RA dan setelah kewafatannya beralih pada Umar RA selepas pemergiannya jatuh ke tangan anaknya iaitu Hafsah binti Umar (Ali Muhammad Muhammad al-Sallabi 1422H: 518-522).

b. Saiyyidina Umar ibn al-Khattab RA

Selepas kewafatan Abu Bakar al-Siddiq RA, jawatan tertinggi diambil alih oleh Saiyyidina Umar al-Khattab RA selaku Khalifah yang kedua. Pada zaman pemerintahannya banyak kawasan dibuka sebagai tanah jajahan baru umat Islam. Ramai di kalangan umat manusia yang memeluk Islam daripada pelbagai tempat dan wilayah yang berjaya ditakluki oleh mujahid-mujahid Islam. Atas dasar ini, Umar RA memikirkan bagaimana mendidik umat Islam yang baru memeluk Islam. Justeru itu, Umar RA menjadikan Madinah sebagai pusat ilmu dan fatwa, pusat pendidikan dan tarbiyyah. Selepas pembukaan beberapa wilayah maka lahirlah beberapa pusat ilmu, antaranya Makkah, Basra, Kuffah, Syria, Mesr dan sebagainya sehingga dapat melahirkan ramai ilmuan, fuqaha dan mufti pada zaman ini. Sistem pendidikan yang terdapat di Madinah dijadikan model kepada sistem pendidikan di wilayah-wilayah negara Islam pada ketika itu (Ali Muhammad Muhammad al-Sallabi 1422H: 328387).

Setelah pembentukan beberapa wilayah menjadikannya jajahan negara Islam maka pada zaman Umar RA masjid dibina agar umat Islam memudahkan urusan mereka dalam mengerjakan ibadah, menuntut ilmu, mendapat tarbiyyah dan mengadukan permasalahan mereka kepada ahli-ahli ilmu yang dilantik sebagai pakar rujuk umat Islam pada zaman ini. Dianggarkan lebih kurang 4000 masjid dapat dibina pada zaman ini dan antara sahabat yang membangunkan masjid pada zaman pemerintahan Saiyyidina Umar RA ialah Iyad ibn Ghanam (Ali Muhammad Muhammad al-Sallabi 1422H: 68). Manakala dari segi tarbiyyah pula, Umar RA memerintahkan kepada rakyatnya supaya dapat melatih dan mendidik kanak-kanak umat Islam agar dapat menjadi mahir dalam menunggang kuda, berenang dan memanah (Ali Muhammad Muhammad al-Sallabi 1422H: 70).

c. Saiyyidina Uthman ibn Affan RA

Pada zaman pemerintahan Saiyyidina Uthman RA selepas dilantik menjadi Khalifah maka bermulanya pelbagai fitnah yang menyebabkan umat Islam pada waktu ini ke arah kemunduran dari segi nilai pemikiran, keimanan dan ketaqwaan berbanding pada zaman pemerintahan Saiyyidina Umar RA. Zaman ini menghadapi cabaran kebendaan yang sangat menguji keimanan umat Islam pada waktu ini. Antara fitnah yang dilemparkan ke atasnya ialah melakukan bidah dalam pemerintahannya kerana menyusun al-Quran dan kemudian membakar al-Quran yang masih dalam bentuk mushaf, melantik orang yang dikenali fasiq memegang tugas negara, banyak menggunakan harta benda sebagai hadiah atau ganjaran kepada kaum keluarga dan sanak saudara ketika menerajui pimpinan negara dan sebagainya (Marzuki Hj Mahmood 1994: 69-81). Dapat disimpulkan melalui kenyataan di atas bahawa pada zaman pemerintahan Saiyyidina Uthman RA sumbangannya terhadap gerakan dakwah dalam bentuk pendidikan dan tarbiyyah ialah penyusunan semula al-Quran kepada satu

10

mushaf yang lebih teratur selain daripada kesinambungan hasil daripada peninggalan Khalifah yang sebelumnya.

d. Saiyyidina Ali ibn Abi Talib RA

Pemerintahan pada zaman Saiyyidina Ali RA agak huru-hara kerana terdapat tragedi berdarah yang akhirnya menjadi isu yang kontroversi di kalangan pemikir dan penulis-penulis sejarah. Kontroversi itu bertambah kompleks apabila ia dipengaruhi pula oleh sentiment puak seperti Syiah dan Sunni atau sebagainya. Antara kontroversi yang dimaksudkan ialah; Peperangan Jamal (unta) di antara pasukan Ali ibn Abi Talib RA dengan pasukan Ummu al-Mukminin Aisyah RA pada tahun 37H dan peperangan Siffin di antara Ali RA dengan Muawiyah ibn Abi Sufyan RA pada bulan Zulhijjah, tahun 36H (al-Masudi 1996: 500-558). Kesimpulan yang boleh dibuat pada zaman pemerintahan Saiyyidina Ali RA ialah terdapatnya penentangan yang berterusan di kalangan penganut Islam yang kurang berpuashati atas perlantikan Saiyyidina Ali sebagai khalifah sehingga hilang penempuan beliau daridapa urusan pentadbiran, pendidikan dan pengurusan negara akibat daripada fitnah yang berterusan.

Penutup

Pendidikan dan tarbiyyah merupakan asas utama dalam mencapai kemajuan diri dari aspek rohani dan fizikal. Pendidikan dan tarbiyyah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW mampu melahirkan generasi seperti para sahabat baginda yang berjaya mencapai darjat yang tinggi dan mampu meneruskan dakwah Islamiah yang bersifat global setelah kewafatan baginda SAW. Lebih-lebih lagi setelah proses tersebut disambung oleh keempat-empat Khalifah yang Agung setelah mendapat bimbingan dan didikan yang sempurna daripada kekasih mereka iaitu Nabi Muhammad SAW.

11

RUJUKAN

al-Asqalani. 1990. Fadhail al-Sahabah min Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari . Birut: Dar al-Kitab al-Alami. Azami, Muhammad Mustafa. 1994. Hadis Nabawi dan Sejarah Kondifikasinya . Jakarta: PT Pustaka Firdaus. Ibn al-Qayyum al-Jawziyyah. t.th. Zad al-Macad: Qahirah: Dar al-Turath al-Arabi. Ahmad ibn Hanbal. t.th. al-Musnad. Qahirah: Dar al-Turath al-Arabi. Ibn Saad. 1980. al-Tabaqat al-Kubra. Birut: Dar al-Fikr. Marzuki Hj Mahmood. 1994. Isu-Isu Kontroversi dalam Sejarah Pemerintahan Khulafa al-Rashidin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. al-Mascudi, Abu Hasan Ali ibn al-Hussain. 1966. Muruj al-Zahab wa Maadin alJawar. Qahirah: Kitab al-Tahir. Muhammad Husain Haekal. 2002. Umar bin Khattab. Indonesia: Perpustakaan Nasional. al-Sallabi, Ali Muhammad Muhammad. 1422H. Sirah Abi Bakar al-Siddiq. Riyadh: Darussalam. al-Sallabi, Ali Muhammad Muhammad. 1422H. Ali ibn Abi Talib. International Islamic Publishing House: Dar al-Alamiyah. al-Sallabi, Ali Muhammad Muhammad. 1422H. Sirah Uthman ibn Affan. Riyadh: Darussalam.

Anda mungkin juga menyukai