Anda di halaman 1dari 6

AYAT MAJMUK Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih

dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadi ayat yang baharu. Contoh: 1) Ali sedang membaca buku dan Fatimah sedang membuat latihan Matematik. a) Ali sedang membaca buku. b) Fatimah sedang membuat latihan Matematik. 2) Anak itu menangis kerana ia lapar. a) Anak itu menangis. b) Anak itu lapar. 3 jenis ayat majmuk: 1) Ayat majmuk gabungan 2) Ayat majmuk pancangan 3) Ayat majmuk campuran AYAT MAJMUK GABUNGAN Ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi dan sebagainya. Contoh: a) Murid-murid berlari dan bernyanyi. b) Ahmad kurus tetapi adiknya gemuk. Pembentukan Ayat Majmuk Gabungan Ayat-ayat berikut merupakan contoh ayat majmuk yang dibentuk dengan menggunakan kata hubung seperti dan, lalu, lagi, serta dan sebagainya. Contohnya: a) Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak. b) Mereka bangun lalu turun ke serambi. c) Ayahnya banyak pengalaman lagi besar pengaruhnya. Perkaitan antara ayat dalam ayat majmuk jenis ini dapat digambarkan secara gambar rajah seperti yang berikut: Ayat

Ayat 1

Kata hubung

Ayat 2

Dalam rajah di sebelah, ayat majmuk gabungan(ayat 1) terdiri daripada gabungan ayat 2 dengan ayat 3, melalui kata hubung. Dari segi teori, ayat majmuk jenis ini boleh terdiri daripada percantuman beberapa ayat tunggal, seperti dalam gambar rajah yang berikut:

Ayat

Ayat 1

Ayat 2

Ayat 3

Ayat 4

.....

Dengan mengambil ayat Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak sebagai contoh, gambar rajahnya dapat dibuat seperti yang berikut:

Ayat

Ayat 1

Kata hubung

Ayat 2

Saya minum teh

dan

Aminah makan nasi lemak

Jenis Gabungan Ayat gabungan ini dibentuk dengan menggunakan beberapa kata hubung. Penggunaan kata hubung yang berbeza ini sekurang-sekurangnya menghasilkan tiga jenis gabungan utama, iaitu: i) Gabungan yang susun faktanya berurutan, yakni satu demi satu.Contoh; a) Beliau memandang saya sambil tersenyum. b) Pendapat beliau amat cetek, tambahan pula disampaikan dengan cara yang tidak menarik.

ii)

Gabungan yang susunannya member maksud pertentangan fakta dalam ayat-ayat yang digabungkan. Contoh; a) Ayahya rajin berniaga tetapi anaknya tidak berminat sama sekali. b) Musim hujan dingin, sebaliknya musim kemarau panas.

iii)

Gabungan yang susunannya menggabungkan dua ayat atau lebih, menggunakan kata hubung yang berpasangan seperti lebih baik....daripada, apakah...ataupun, adakah...atau(pun), sama ada... atau, dan sebagainya. Contoh; a) Daripada kita makan gaji, lebih baik bekerja sendiri. b) Apakah Menteri akan hadir di majlis itu ataupun wakilnya?

AYAT MAJMUK PANCANGAN

Dalam ayat majmuk pancangan terdapat satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu. Ada tiga jenis ayat majmuk pancangan iaitu:

i) ii) iii)

Ayat relatif Ayat komplemen Ayat keterangan

Ayat relatif Ayat yang ditandai dengan penggunaan perkataan yang; Contoh: a) Saya membeli baju yang berwarna merah itu. Ayat ini sebenarnya terdiri daripada dua ayat iaitu: 1) Saya membeli baju 2) Baju itu berwarna merah

Apabila kedua-dua ayat itu dimajmukkan, ayat Baju itu berwarna merah dipancangkan ke dalam ayat induk Saya membeli baju. Oleh sebab ungkapan baju diulang, maka baju yang kedua itu digugurkan dan digantikan dengan kata hubung relatif yang. Prosesnya:

Pertama: Saya membeli baju + Baju itu berwarna merah Kedua: Saya membeli baju + Baju itu berwarna merah Ketiga: Saya membeli baju yang berwarna merah.

Ayat komplemen Terdapat dua kata komplemen iaitu untuk dan bahawa. Contoh; a) Dia mengetahui bahawa Ahmad telah bersara. b) Untuk Ali melakukannya sangat sukar.

*Tiap-tiap satu daripada ayat di atas itu terdiri daripada dua ayat iaitu satu ayat induk dan satu ayat komplemen yang dipancangkan seperti:

a) Dia mengetahui bahawa Ahmad telah bersara. i) ii) Dia mengetahui(sesuatu). Ahmad telah bersara. Kata komplemen: bahawa

b) Untuk Ali melakukannya sangat sukar. i) ii) Ali melakukannya. Perkara itu sangat sukar. Kata komplemen: untuk

Ayat keterangan

Ayat majmuk keterangan ialah ayat majmuk yang terdiri daripada ayat-ayat induk yang terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil atau lebih yang berfungsi sebagai keterangan kepada predikat. Contoh; a) Dia bukan ketua saya ketika saya bekerja dahulu.

*Contoh di atas menunjukkan bahawa ayat majmuk itu mempunyai dua ciri iaitu pertama adanya ayat induk dengan satu ayat kecil atau lebih yang tidak dapat berdiri sendiri dan kedua, adanya kata hubung yang menjalinkan ayat induk dengan ayat kecil(misalnya ketika, kerana, semasa,sewaktu dan sekiranya). Ayat kecil ini disebut ayat keterangan. Hubungannya seperti yang berikut: Ayat induk+kata hubung+ayat keterangan

Kedudukan ayat keterangan ini tidak tetap, boleh hadir di belakang atau di hadapan ayat induk.

AYAT MAJMUK CAMPURAN Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat iaitu terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk. Contoh;

a) Ahmad sedang membaca buku tetapi kawan-kawannya yang sudah letih lesu itu telah lama tidur.

Ayat ini terdiri daripada ayat majmuk gabungan yang disambungkan dengan kata hubung tetapi. Ayat pertama ialah Ahmad sedang membaca buku sementara ayat kedua ialah kawan-kawannya yang sudah letih lesu itu telah lama tidur .Ayat yang kedua ini merupakan ayat majmuk juga kerana terdapat ayat relatif iaitu yang sudah letih lesu, dipancangkan ke dalamnya.

RUJUKAN TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA PENGARANG: NIK SAFIAH KARIM, FARID M. ONN, HASHIM HJ MUSA DAN ABDUL HAMID MAHMOOD

DBP, KUALA LUMPUR, 2008

Anda mungkin juga menyukai