Anda di halaman 1dari 14

Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours)

dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian atau seumpamanya kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR) terdapat empat kesalahan rasuah yang utama: meminta/menerima rasuah, menawar/memberi rasuah, membuat tuntutan palsu, dan menyalahguna jawatan/kedudukan Jenayah rasuah yang begitu menular di dalam masyarakat kita hari ini dikatakan telah sampai ke paras yang cukup mencemaskan sehingga timbul saranan agar para penjenayah jenis ini dikenakan hukuman yang lebih berat. Amalan rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya yang kian meningkat itu menyebabkan kita tertanya-tanya apakah sistem pengurusan dan pentadbiran kita sedang mengalami keruntuhan akhlak yang sudah tidak terkawal lagi?

Persoalan yang timbul sebenarnya mungkin lebih jauh dari soal hukuman. Dalam kaitan ini mungkin berfaedah kita merenung persoalan yang lebih dasar iaitu persoalan terhakisnya nilai amanah dalam cara hidup kita. Ternyata untuk membina budaya hidup yang unggul, tidak cukup hanya dengan kemahiran dan peralatan canggih, tetapi ianya mesti dilandasi dengan kekuatan rohaniah dan nilai-nilai akhlak yang murni. Dengan kata lain, pembinaan budaya hidup itu mestilah bermula dari pembinaan insan itu sendiri. Memang undang-undang dan hukuman yang setimpal boleh membentuk perilaku seseorang. Tetapi ada manusia yang dengan kepintarannya tidak pernah kehabisan helah untuk melepaskan diri dari undangundang. Malah dalam budaya hidup sekarang dengan adanya dikotomi atau pemisahan di antara undang-undang dengan moral, orang boleh saja melakukan perbuatan-perbuatan tidak berakhlak tetapi dianggap sah menurut undang-undang. Lalu timbullah ungkapan legally right, but morally wrong'. Sesungguhnya kecelaruan dan kekeliruan ini menuntut perhatian yang lebih besar dan iltizam perubahan yang bersungguh-sungguh, kerana sebahagian besar dari apa yang disebut sebagai problem of humanity (masalah kemanusiaan) zaman ini pada hakikatnya adalah problem of morality atau masalah akhlak dan kerohanian.

Empayar Rom, Empayar Uthmaniah, Dinasti Ming, yang tidak terurus pentadbirannya menyebabkan tentera dan kakitancan awamnya terpaksa mengamalkan rasuah sehingga akhimva hancur. Demikian juga dengan kisah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka akibat berlakunya amalan rasuah di kalangan raja dan pembesamya. Kerajaan Nasionalis China Kai Shek di China, Pichard Nixon di Amerika, Marcos di Filipina dan akhimya Presiden Mobuto di Zaire tumbang kerana gejala yang sama.

Esei ini Memenangi Hadiah Tempat Kedua Pertandingan Menulis Makalah Undangundang dalam Bahasa Malaysia anjuran Majlis Peguam, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara Tahun 2004 **

Tajuk: Rasuah dapat dibendung melalui hukuman gantung bagi pemberi dan penerima? Oleh: Wong Hon Wai 29 Julai 2004

Rasuah dapat dibendung melalui hukuman gantung bagi pemberi dan penerima? 1: Pengenalan Gejala rasuah bukan suatu fenomena yang baru. Sejarah rasuah boleh disusuri ke masa manusia mulai membentuk masyarakat bersosial sejak beribu-ribu tahun lalu. Dr Syed Hussein Alatas dalam kajiannya telah mengupas kejadian rasuah di peradaban lama seperti Roman, Greek dan Cina.[1] Amalan rasuah ditegah oleh agama Islam. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya) [2] Secara ringkasnya, gejala rasuah yang menular bukan sahaja menghakis kemoralan sesuatu masyarakat, mencabuli hak sosial dan ekonomi golongan miskin dan terpinggir, mencabar keluhuran undang-undang dan kesannya ialah pembangunan masyarakat yang terbantut. [3] Esei ini akan mengkaji perundangan semasa Malaysia dalam menangani gejala rasuah serta membincangkan samada hukuman gantung adalah sesuai dan efektif dalam membendung gejala rasuah. 2: Kawalan Undang-undang terhadap Rasuah

Kawalan undang-undang terhadap rasuah adalah melalui penguatkuasaan Akta Pencegahan Rasuah 1997, Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat No 22, 1970, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Kanun Keseksaan dan Akta Kastam 1967. [4] 2.1 : Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) Akta 575 merupakan Akta yang paling utama dalam menangani rasuah. Akta 575 ini adalah bertujuan menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Banda Pencegah Rasuah 1982 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No 22 tahun 1970 (Ordinan 22). [5] Kesalahan utama adalah dikanunkan di bawah Bahagian III Akta 575. Seksyen 10 Akta 575 memperuntukkan kesalahan menyetuju terima suapan. Seksyen 11 pula berkenaan kesalahan memberikan atau menyetuju-terima suapan oleh ejen. Seksyen 12 memperuntukkan bahawa penerima atau pemberi suapan adalah bersalah walaupun maksud tidak terlaksana atau perkara tidak ada hubungan dengan hal ehwal atau perniagaan prinsipal. Seksyen 13 pula berkenaan kesalahan mendapatkan penarikan balik tender secara rasuah. Penyogokan pegawai badan awam diperuntukkan oleh Seksyen 14. Seksyen 15 pula berkenaan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan. Suapan pula diberi definisi yang luas di bawah seksyen 2 dengan merangkumi bentuk kewangan atau bukan kewangan. Antara kategori suapan bukan kewangan ialah jawatan dan kebesaran. Seksyen 14 memperuntukkan secara spesifik kesalahan berkenaan penyogokan pegawai badan awam. Seksyen-seksyen lain tidak terhad kepada pengawai badan awam tetapi termasuk juga sektor swasta. Dari segi ini, dalam kes William Minggu Nyegang lwn Pendakwa Raya [6], mahkamah memberikan tafsiran terhadap pegawai badan awam di bawah seksyen 2 iaitu manamana orang yang menjadi anggota, pegawai,pekerja atau pengkhidmat sesuat badan awam dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam .

Mahkamah memutuskan dan hendaklah ditafsirkan sebagai disjunktif. Pembuktian salah satu elemen cukup untuk memenuhi intipati pegawai badan awam. Mahkamah memutuskan pegawai polis bantuan ialah pegawai badan awam memandangkan ia memenuhi elemen menerima saraan dari wang awam. Tafsiran ini telah memperluaskan ruang lingkup pemakaian seksyen 14. 2.2 : Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No 22, 1970 (Ordinan 22) Ordinan 22 ini merupakan satu lagi undang-undang yang penting dalam menangani rasuah. Dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim lwn Pendakwa Raya [7], Mahkamah Persekutuan menyatakan Ordinan 22 masih lagi berkuatkuasa memandangkan Dewan Negara belum lagi meluluskan resolusi untuk membatalkannya walaupun Dewan Rakyat telah berbuat demikian. Mahkamah juga menerangkan bahawa matlamat Ordinan tersebut adalah luas sehinggakan boleh mendakwa ahli-ahli politik dan pegawai-pegawai awam yang telah menyalahgunakan kedudukan atau jawatan awam mereka untuk manfaat kewangan atau manfaat lain bagi diri mereka sendiri. 2.3 : Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5) Seksyen 10 dan Seksyen 11(b) Akta 5 menerangkan intipati kesalahan penyogokan sebagai satu perbuatan rasuah. 2.4 : Kanun Keseksaan dan Akta Kastam 1967 Terdapat beberapa seksyen di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan tentang kesalahan rasuah iaitu seksyen 161 hingga 165, 213 dan 215. Begitu juga dengan seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan tentang kesalahan menerima rasuah. Saya berhujah Akta 575 telah merangkumi kesalahan-kesalahan yang dimaksudkan dalam Kanun Keseksaan dan Akta Kastam. Saya mencadangkan seksyen-seksyen tersebut harus dimansuhkan dengan peruntukan peralihan.

3. Pihak yang terlibat dalam rasuah Dr Syed Hussein Alatas telah mengambil pendekatan sosiologi dalam mengkaji gejala

rasuah. Beliau telah membuat klasifikasi berkenaan 7 jenis rasuah iaitu berbentuk transaktif, pemerasan, defensif, pelaburan, nepotisme, autogenik dan sokongan. [8] Definisi rasuah dalam Akta 575 adalah kombinasi model-model yang dicadangkan oleh Dr Syed Hussein Alatas. Dalam model transaksi, kedua-dua pihak saling bersetuju untuk melakukan tindakan rasuah untuk kepentingan kedua-dua pihak. Dalam model pemerasan pula, pemberi rasuah bertindak memberi rasuah untuk mengelakkan bencana ke atas dirinya. Model autogenik merujuk kepada keadaan di mana hanya seorang sahaja yang terlibat dalam rasuah iaitu menyalahguna kedudukannya untuk mengaut keuntungan. Di samping itu, seksyen 20 Akta 575 memperuntukkan orang-orang yang terlibat dalam percubaan, persediaan, persubahatan dan komplot rasuah akan dikenakan hukuman yang sama. Sementara itu, pihak ketiga yang terlibat dalam pengubahan wang haram di mana harta itu adalah akibat perbuatan rasuah juga boleh dihukum di bawah seksyen 4 dibaca bersama seksyen 3 dan Jadual 2, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Akta 613). Secara ringkasnya, sabitan terhadap jenayah rasuah tidak dihadkan kepada pemberi atau penerima sahaja tetapi memrangkumi pihak ketiga seperti yang diterangkan di atas. Oleh kerana perbuatan rasuah dilakukan dalam keadaan sulit, maka adalah sukar untuk menyabitkan kedua-dua pemberi dan penerima secara serentak apatah lagi menyabitkan pihak ketiga. Dalam kebanyakan kes, lazimnya satu pihak sahaja yang dikenakan pertuduhan. Keadaan ini terjadi disebabkan tidak ada saksi yang tampil memberikan bukti atau keterangan di atas perlakuan kedua-dua pihak. Kedua-dua pihak akan cuba menyembunyikan keterangan berdasarkan kepentingan masingmasing. Pertimbangan biasa dibuat untuk menentukan pihak mana yang dimangsai antara si pemberi dan si penerima itu. Pilihan mempertuduh satu pihak, pada lazimnya, berdasarkan pihak mana yang melaporkan perkara itu kepada Badan Pencegah Rasuah

(BPR) sebagai bukti yang ia tidak bersetuju dan juga ia bukan rakan sejenayah dalam transaksi itu. Di sini, Seksyen 44 Akta 575 memberi perlindungan kepada pemberi rasuah yang menjadi mangsa. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa keterangan ejen provokasi diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding atas sesuatu kesalahan. Tiada saksi boleh dianggap sebagai rakan sejenayah hanya semata-mata kerana saksi itu telah memberikan apa-apa suapan. Kesulitan yang dialami oleh Pendakwa Raya untuk membuktikan intipati rasuah boleh diilustrasikan dalam kes Pendakwa Raya lwn Rosli bin Mahat[9]. Dalam kes tersebut, pihak Pendakwa Raya gagal dalam pembuktian pertuduhan meminta rasuah di bawah Seksyen 10(a)(bb) tetapi berjaya dalam pembuktian menerima rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta 575. Dalam kes tersebut, mangsa telah membuat laporan kepada BPR dan wang perangkap telah digunakan. Mahkamah memutuskan bahawa tuduhan pertama gagal kerana tiada keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa mengenai perbualan telefon yang menjadi intipati permintaan. Anggapan kesalahan di bawah Sekseyn 42(1) terbit apabila tertuduh meminta atau menerima suapan tetapi anggapan tersebut boleh dipatahkan sekiranya terdapat keraguan munasabah. Dalam kes Ng Kok Jooi lwn Pendakwa Raya[10], Mahkamah menyatakan walaupun undang-undang melayan seorang pemberi sama dengan penerima rasuah, tetapi mahkamah mengambil kira fakta kes dalam penghukuman. Dalam kes tersebut, penerima rasuah adalah seorang yang tamak dan telah membelakangi tugas dan kepercayaan awam terhadapnya. Tetapi, pemberi hanya bertindak atas ketakutan untuk dikenakan tindakan undang-undang. Oleh itu, keberatan hukuman ke atas pemberi adalah kurang berbanding penerima. Dalam kes New Tuck Shen lwn Pendakwa Raya[11] pula, mahkamah menyatakan takat penghukuman harus berdasarkan perkadaran niat jahat dalam pemikiran pesalah. Mahkamah membezakan si pemberi yang hanya bertindak atas ketakutan untuk dikenakan undang-undang kepada si pemberi yang secara aktif memberi rasuah kepada pegawai badan awam tanpa diminta. Menurut mahkamah, kategori kedua ini adalah lebih merbahaya daripada kategori pemberi pertama mahupun penerima rasuah dan harus dikenakan hukuman lebih berat kerana tindakan tersebut menghakis urusan

pentadbiran awam. 4. Hukuman terhadap rasuah Bahagaian III Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) secara intipati adalah sama dengan kesalahan-kesalahan yang diperuntukan dalam Bahagian II Akta Pencegah Rasuah 1961 (Akta 57). Seksyen 10,11,12,13 dan 14 Akta 575 adalah in pari materia dengan Seksyen 3,4,6,7 dan 9 Akta 57. Seksyen 15 Akta 575 pula mengandungi kesalahan yang sama dengan seksyen 2 Ordinan 22. [12] Satu perbezaan ketara antara Akta 575 berbanding Akta 57 dan Ordinan 22 ialah penalti hukuman pemenjaraan dan denda telah ditingkatkan. Untuk kesalahan rasuah di bawah Ordinan 22, tiada had pemenjaraan minimum. Dalam kes Pendakwa Raya lwn Datuk Tan Cheng Swee [13], tertuduh disabitkan atas kesalahan Seksyen 2(1) Ordinan 22 iaitu menggunakan kedudukan sebagai pegawai awam untuk keuntungan kewangan, Mahkamah Persekutuan hanya mengenakan hukuman denda RM2000 sahaja. Di bawah Akta 57 (yang sudah dimansuh), tempoh maksimum pemenjaraan ialah 7 tahun atau denda 10 ribu ringgit atau kedua-duanya. Tiada had pemenjaraan minimum di bawah Akta 57. Bagi Akta 575 pula, tiga jenis penalti dikenakan iaitu pemenjaraan, denda atau melucuthakan harta. Seksyen 16 memperuntukkan pemenjaraan selama tempoh minimum 14 hari dan tempoh maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang ditawarkan atau diterima, jika dapat dinilaikan, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut yang mana-mana yang lebih tinggi. Seksyen 36 dan 37 berkenaan dengan pelucuthakan harta yang dibuktikan menjadi hal perkara rasuah. Penalti pemenjaraan minimum yang dicadangkan semasa Bacaan Kali Pertama dan Kedua Rang Undang-undang Pencegahan Rasuah 1997 di Dewan Rakyat adalah 6 bulan. Tetapi, melalui Kertas Pemberitahuan semasa Bacaan Ketiga Rang Undangundang tersebut, penalti pemenjaraan minimum dikurangkan menjadi 14 hari. [14] Dengan ini, adalah disimpulkan niat Parlimen ialah mengenakan

pemenjaraan minimum yang pendek dan mahkamah diberi budi bicara untuk menentukan tempoh pemenjaraan berdasarkan fakta kes. Tafsiran terhadap penghukuman di bawah Seksyen 16 Akta 575 dibincangkan dalam kes Pendakwa Raya lwn Mohd Salim Hamiddulrahman. [15] Mahkamah Tinggi menafsirkan Seksyen 16 sebagai mana-mana orang yang didapati bersalah boleh apabila disabitkan dipenjarakan dan didenda. Mahkamah menyatakan pemenjaraan dan denda diharus dibaca secara bersama iaitu tafsiran secara konjuktif. Mahkamah juga turut menambah tafsiran konjuktif sedemikian tidak bermakna bahawa perkataan boleh apabila disabitkan adalah mandatori. Apa yang dimaksudkan ialah Mahkamah masih boleh guna budibicaranya dalam menggunakan kuasa di bawah seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah iaitu pelepasan ikat jamin dengan syarat supaya berkelakuan baik. Tetapi, sekiranya seksyen 16 hendak digunakan, maka kedua-dua denda dan pemenjaraan harus dikenakan bersama. Intepretasi tersebut berdasarkan rujukan terhadap Rang Undang-Undang. Seperkara yang menarik ialah tiada hukuman sebatan ke atas kesalahan rasuah. Secara umumnya, sebatan hanya dikenakan ke atas pesalah yang menggunakan kekerasan. Di sini timbulnya pengecualiaan apabila Parlimen meluluskan Kanun Keseksaan (Pindaan) 1993 dengan mengenakan sebatan ke atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang (seksyen 403 dan 404), pecah amanah jenayah (seksyen 406-409) dan menipu (seksyen 420). [16] Tiada elemen kekerasan digunakan dalam seksyen-seksyen tersebut. Di bawah Seksyen 288(4) Kanun Prosedur Jenayah, rotan yang digunakan ke atas kesalahan seksyen tersebut ialah rotan halus.

5. Samada Hukuman Gantung ke atas pemberi dan penerima boleh membendung gejala rasuah? Ahli Juris zaman dulu telah mencuba pelbagai pendekatan untuk membendung gejala rasuah. Undang-undang Hammrabi misalnya telah menetapkan hukuman mati bagi pegawai awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah tertentu. [17] Hukuman mati juga dikenakan ke atas mereka yang terlibat dalam rasuah di Cina purba. [18] Walaupun

hukuman mati dikenakan, gejala rasuah masih menular. Saya berhujah berdasarkan pengalaman sejarah, hukuman mati bukanlah satu hukuman yang berkesan untuk membendung rasuah. Oleh kerana rasuah adalah satu jenayah yang dilakukan secara sulit, maka adalah mustahil untuk mendapatkan perangkaan tentang kes rasuah yang sebenarnya berlaku. Sebagai alternatif, persepsi terhadap kejadian rasuah seringkali digunakan sebagai kayu ukur. Indeks Persepsi Rasuah yang diterbitkan oleh Transparency International merupakan sumber berwibawa. Indeks tersebut diperolehi dengan soal-selidik untuk mendapatkan perspektif ahli perniagaan asing terhadap rasuah dalam sektor awam. Kedudukan Malaysia ialah dalam lingkungan 4.8 hingga 5.32 daripada skala 10 bagi tempoh 1996-2003. Kedudukan Malaysia adalah jauh di belakang dengan negara jiran kita, Singapura yang mencapai markah melebihi 9 dan berkedudukan dalam senarai 10 negara yang paling kurang rasuah. [19] Seksyen 5 Akta Pencegahan Rasuah Singapura [20] memperuntukkan bahawa hukuman am bagi rasuah ialah denda tidak melebihi S$100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. Untuk kesalahan spesifik yang dinyatakan dalam Akta tersebut, hukuman pemenjaraan ditingkatkan kepada maksimum 7 tahun. Tempoh pemenjaraan maksimum kesalahan rasuah di Singapura adalah jauh lebih pendek daripada tempoh maksimum 20 tahun Akta 575 Malaysia. Pengalaman Singapura membuktikan pengurangan gejala rasuah bukan disebabkan oleh hukuman berat sahaja. Di Malaysia, hukuman mati dikenakan ke atas 4 jenis kesalahan sahaja iaitu kesalahan membunuh (Seksyen 302 Kanun Keseksaan), mencolek (Seksyen 364 Kanun Keseksaaan atau Seksyen 3(1) Akta Mencolek 1961), memiliki senjata api (Seksyen 57, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) dan pengedaran dadah merbahaya (seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952). [21] Elemen keganasan melampau wujud dalam 3 kesalahan pertama tersebut. Bagi kesalahan mengedar dadah pula, justifikasinya ialah

untuk membendung aktiviti sindiket pengedaran dadah supaya bekalan dadah tidak berleluasa sehingga melumpuhkan masyarakat. Secara umumnya, salah satu objektif hukuman mati adalah berdasarkan konsep balasan iaitu hutang darah dibayar darah. Objektifnya ialah membalas balik secara fizikal perbuatan si penjenayah. Saya berhujah kesalahan rasuah tidak boleh digolongkan dalam kategori ini. Objektif hukuman mati yang lain ialah bertujuan pencegahan secara am iaitu untuk menakutkan mereka yang ada kecenderungan melakukan jenayah dan masyarat secara amnya. Kelaziman hukuman dijatuhkan akan menjadi amaran berterusan kepada masyarakat. Hukuman mati juga akan mematahkan keupayaan secara kekal. Mereka yang dianggap merbaya kepada masyarakat akan diasingkan secara kekal dengan masyarakat. Saya berhujah konsep hukuman secara moden adalah berdasarkan pemulihan. Pesalah harus diberi peluang untuk pulang ke pangkal jalan. Hukuman mati tidak memberi peluang kepada pesalah untuk menjadi seorang warga yang baik semula. Saya juga menyokong hujah bahawa keberkesanan tindakan polis dan pendakwaan untuk memastikan pesalah disabitkan mempunyai impak yang lebih besar berbanding hukuman berat. Dengan perkataan lain, formula pencegahan terhadap berlakunya jenayah ialah kepastian terhadap tangkapan dan hukuman dan bukan keberatan hukuman per se. [22] Saya turut menyokong hujah bahawa hukuman harus berkadaran dengan kesalahan. Ini kerana tujuan hukuman ialah untuk mengambil kira keuntungan tidak adil yang diambil oleh pesalah. Hukuman setimpal harus dikenakan untuk memusnahkan keuntungan tidak adil yang dinikmati oleh pesalah. Hukuman terlampau berat adalah tidak adil kepada pesalah.[23] Saya berhujah hukuman mati adalah terlampau berat dan tidak adil bagi pesalah rasuah. 6. Kesimpulan

Roscoe Pound menyatakan dalam dunia moden ini, undang-undang telah menjadi alat kawalan sosial yang paling utama menggantikan kemoralan dan agama. [24] Saya berhujah demi untuk membendung rasuah, kawalan bukan undang-undang harus diberi penekanan yang secukupnya. Kita harus merenungi apa yang dikatakan oleh ahli falsafah Cina, Confucius: Sekiranya rakyat jelata dikawal dengan undang-undang, maka mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak diheret ke penjara dan mereka tidak akan berasa malu untuk melakukan kesalahan. Jika mereka dididik dengan moral dan etika, maka mereka akan berasa malu untuk melakukan kesalahan dan akan menjadi orang yang baik. [25] Di samping penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada, rancangan meningkatkan ketelusan dari segi sistem kewangan, sistem pembekalan dan seumpamanya harus dititikberatkan. Dalam aspek ini, Kerajaan Malaysia telah menggariskan Pelan Integriti Nasional [26] yang bertujuan untuk menggubal strategi bagi semua sektor masyarakat demi memantapkan nilai etika dan integriti. Pelan ini mempunyai sasaran lima tahun (2004-2008) yang konkrit iaitu untuk mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa serta meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dari 5.2 (tahun 2003) ke 6.5 (tahun 2008). [27] Sebagai kesimpulan, hukuman gantung terhadap pemberi dan penerima rasuah bukanlah formula untuk membendung rasuah. Kita harus menerimapakai nasihat Confucius dengan pendekatan bersepadu yang merangkumi pendekatan undangundang dan bukan undang-undang. Dengan ini, barulah kita dapat memupuk nilai integriti sebagai budaya nasional untuk menentang gejala rasuah.

Bibliografi [1] Syed Hussein Alatas, Corruption: Its Nature, Causes and Functions, S. Abdul Majeed & Co, 1991.

[2] Surah al-Baqarah, ayat 188. http://www.pmo.gov.my/ [3] Lima Declaration Against corruption, 8th International Anti-Corruption 1997http://www.transparency.org/iacc/lima/e-limadecl.html [4] Laman Web Badan Pencegah Rasuah, http://www2.jaring.my/bpr [5] DR 30/97: Rang Undang-Undang Pencegahan Rasuah 1997,http://www.parlimen.gov.my/ [6] William Minggu Nyegang lwn Pendakwa Raya [2002] 8 CLJ 1008 [7] Dato Seri Anwar Ibrahim lwn Pendakwa Raya [2002] 3 CLJ 457 [8] Syed Hussein Alatas, op.cit., ms2 [9] Pendakwa Raya lwn Rosli bin Mahat [2002] 1 LNS 116 [10] Ng Kok Jooi lwn Pendakwa Raya [1974] 1 LNS 105 [11] New Tuck Shen lwn Pendakwa Raya[1982] CLJ 606 [12] DR 30/97: Rang Undang-Undang Pencegahan Rasuah 1997,http://www.parlimen.gov.my/ [13] Pendakwa Raya lwn Datuk Tan Cheng Swee [1980] 1 LNS 58 [14] Kertas Pemberitahuan Notis tentang Pindaan kepada Rang Undang-undang Pencegahan Rasuah 1997 (Pindaan yang dicadangkan kepada jawatankuasa oleh YAB Timbalan Perdana Menteri), http://www.parlimen.gov.my/ [15] Pendakwa Raya lwn Mohd Salim Hamiddulrahman [1998] 4 CLJ 199

[16] Roziah Omar & John Doling (Eds), Issues and Challenges of Social Policy: East and West, University of Malaya Press, 2000. [17] Syed Hussein Alatas, op. cit., ms13 [18] Syed Hussein Alatas, op.cit., ms54 [19] Indeks Persepsi Rasuah , Transparency International,http://www.transparency.org/pressreleases_archive/2003/2003.10.07.c pi.en.html [20] Prevention of Corruption Act (Singapore) (Chapter 241) http://agcvldb4.agc.gov.sg

[21] Mimi Kamariah, Criminal Procedure in Malaysia, Third Edition, University of Malaya Press, 1999, ms494. [22] Stanley Yeo Meng Heong, Mandatory Minimum Sentences: A tying of Judicial Hands [1985] 2 MLJ clxxxvi. [23] CMV Clarkson, Criminal Law in Singapore and Malaysia, Malayan Law Journal Ptd Ltd, 1989, ms19. [24] Roscoe Pound, Social Control Through Law, Transaction Publisher. [25] Syed Hussein Alatas, op. cit., ms55. [26] Dato Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Ucapan Majlis Pelancaran Pelan Integriti Nasional, 23 April 2004, http://www.pmo.gov.my/ [27] New Straits Times, 27 Julai 2004 ,ms8.
P O S T E D BY H WW ON G A T 8 : 2 2 P M

COMMENTS: