Anda di halaman 1dari 16

KELOMPANGAN SOP DAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH:

CABARAN DAN HALANGAN AGENSI PENGUATKUASAAN AGAMA

Mohamed Fouzi Bin Mokhtar


Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan

ABSTRAK
Pelaksanaan undang-undang jenayah syariah sering menimbulkan persepsi negatif dan
menjadi kritikan dalam masyarakat. Kritikan yang sering diperkatakan adalah dari sudut
pelaksanaannya dan juga kelemahan undang-undang jenayah syariah itu sendiri. Justeru, satu
prosedur operasi standard yang selaras telah diwujudkan bagi menangani kritikan tersebut.
Artikel ini bertujuan untuk melihat mengkaji sejauh manakah SOP ini membantu melicinkan
perlaksanaan undang-undang jenayah syariah tersebut. Selain itu, artikel ini juga melihat
cabaran dan halangan yang dihadapi oleh agensi penguatkuasaan dalam menangani SOP
yang ada wujud kelompangan. Kajian ini merupakan kajian kualitatif menggunakan
pendekatan analisis dokumen dalam pengumpulan data. Hasil kajian ini mendapati tindakan
penguatkuasaan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana wujud kelompangan dari
sudut undang-undang mahupun SOP sedia ada. Oleh itu, kajian lanjut perlu dilakukan dalam
membantu Bahagian Penguatkuasaan mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam
penguatkuasaan dan seterusnya memperbaiki serta mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut
dalam mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah.

Kata kunci: Standard Operating Procedure, SOP, Lacuna, Undang-Undang Syariah

PENDAHULUAN

Undang-Undang Islam merupakan syariat yang bersumberkan wahyu yang diturunkan


oleh Allah SWT bersesuaian dengan fitrah dan kehidupan manusia yang meliputi soal ibadah,
kekeluargaan, jenayah, muamalat, siasah dan lain-lain. Pensyariatan undang-undang Islam
bertujuan bagi memelihara Maqasid Syariah yang lima iaitu menjaga agama, menjaga nyawa,
menjaga akal, menjaga keturunan, dan menjaga harta yang menjadi asas kepada syariat
termasuklah perundangan jenayah syariah. Pelaksanaan undang-undang jenayah syariah telah
lama dilaksanakan selaras dengan perkembangan agama Islam di Malaysia dan merupakan
1
sebahagian daripada asas undang-undang negara. Walaubagaimanapun, pelaksanaan undang-
undang jenayah syariah sering menimbulkan persepsi negatif dan menjadi kritikan dalam
masyarakat.

Kritikan yang sering diperkatakan dari sudut pelaksanaannya adalah seperti Pegawai
Penguatkuasa Agama (PPA) tidak menjalankan tugas dengan profesional, tidak adil, tidak
mengikut prosedur, melanggar hak asasi dan sebagainya (Zurul Iman Zakaria & Zaini Nasohah,
2019). Bahkan, terdapat segelintir individua atau pihak tertentu yang mencabar tindakan
penguatkuasaan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Sivil. Sebagai contoh dalam kes
Berjaya Books Sdn Bhd, antara isu yang dicabar adalah berkenaan dengan keesahan seksyen
13 dalam Akta Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997. Begitu juga dalam kes
Abdul Kahar yang mencabar peruntukan yang sama di bawah Enakmen Jenayah Syariah
(Selangor) 1995. Kes-kes semakan yang mempersoalkan keesahan peruntukan di bawah akta
dan enakmen jenayah syariah memperlihatkan ketidakpuasan hati segelintir pihak terhadap
pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia (Ibrahim Deris & Hanifah Haydar
Ali Tajuddin, 2015).

AGENSI PENGUATKUASAAN AGAMA

Setiap Jabatan Agama Islam negeri-negeri di Malaysia mempunyai sebuah Badan


Penguatkuasaan Syariah atau Bahagian Penguatkuasaan Syariah yang berfungsi untuk
menguatkuasakan Undang-undang Jenayah Syariah di negeri masing-masing. Badan
Penguatkuasaan ini diketuai oleh seorang Ketua Penguat Kuasa Agama yang akan dibantu oleh
beberapa Pegawai Penguat Kuasa Agama dibawahnya. Badan ini sebagai penguatkuasa
undang-undang hal berkaitan kesalahan jenayah syariah yang melaksanakan perkara-perkara
(kesalahan dan peraturan) yang diperuntukkan di dalam mana-mana undang-undang Islam
bertulis yang berkuat kuasa di setiap negeri-negeri. Ia termasuklah semua peruntukan yang
diperuntukkan di dalam enakmen kesalahan jenayah syariah negeri-negeri dan berkuasa untuk
mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang melanggar atau melakukan kesalahan
di dalam mana-mana undang-undang tersebut (Mohd Farok Mat Nor, et. al., 2017).

Penguatkuasaan jenayah syariah merujuk kepada melaksanakan peraturan yang


diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang Islam yang sedang berkuatkuasa seperti
peruntukan yang terdapat di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah negeri-negeri.
2
Kesalahan jenayah syariah ini boleh dianggap sebagai jenayah tanpa mangsa (victimless
crime). Undang-undang anti-maksiat seringkalinya bersangkutan dengan tingkahlaku dan
standard moral yang dianggap urusan peribadi (Siti Zubaidah Ismail, 2008).

Jelasnya PPA berperanan dalam usaha melaksanakan penguatkuasaan undang-undang


syariah negeri dan juga amat berkait rapat dengan gerak kerja hisbah, malah mereka juga turut
dipanggil dengan gelaran sebagai “Polis Syariah”. Tugas mereka sebagai muhtasib
(Penguatkuasa) adalah dilihat begitu penting sekali dalam memelihara kepentingan dan
kemaslahatan agama Islam dan umatnya. Penguatkuasa agama tersebut hanyalah mempunyai
kuasa menjalankan tugas berdasarkan enakmen kesalahan jenayah syariah negeri dengan
berpandukan kepada prosuder yang telah digariskan sebagaimana yang terkandung dalam
Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor (2003) dalam menjalankan tugas sebagai
penguatkuasa (muhtasib) (Abdul Qahhar bin Ibrahim, et. al., 2017).

Berdasarkan undang-undang kesalahan jenayah sedia ada, secara umumnya terdapat


empat bahagian yang menjadi skop tugas atau bidangkuasa pegawai penguatkuasa agama
dalam menguatkuasakan enakmen kesalahan jenayah Syariah iaitu:

a. Kesalahan berkaitan akidah seperti melakukan pemujaan salah, takfir, mendakwa


diri sebagai bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan di ambil, menyebarkan
ajaran sesat atau doktrin palsu dan membuat dakwaan palsu.

b. Kesalahan berhubung kesucian agama Islam seperti mempersendakan al-Quran dan


Sunnah, memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat, mengeluarkan
pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengajar agama tanpa tauliah, tidak
mendirikan solat jumaat, menghina agama Islam dan apa-apa perbuatan yang boleh
diketagorikan dalam kesalahan tersebut, berjudi, meminum minuman yang
memabukkan, tidak menghormati Ramadhan menghina pihak berkuasa agama,
tidak membayar zakat atau fitrah, mengingkari perintah Mahkamah Syariah dan
menjalankan penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.

c. Kesalahan berhubung kesusilaan seperti melakukan perbuatan sumbang mahram,


berkhalwat, melakukan zina, melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai,
bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki
3
bagi apa-apa tujuan yang menyalahi hukum syarak (Muncikari) dan lelaki berlagak
seperti perempuan.

d. Kesalahan pelbagai seperti memujuk lari perempuan bersuami, menghasut suami


atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan, menjual atau memberikan
anak kepada orang bukan Islam, penyalahgunaan tanda halal, melakukan qazaf
(tuduhan zina), memungut zakat atau fitrah tanpa kebenaran dari pihak majlis
agama.

Konsep jenayah syariah yang dikategorikan jenayah tanpa mangsa atau victimless
menyebabkan berlakunya kritikan dan kontroversi di kalangan masyarakat yang menganggap
mencampuri urusan peribadi mereka serta bertentangan dengan kebebasan dan hak asasi
manusia (Zurul Iman Zakaria & Zaini Nasohah, 2019). Selain kritikan, maksiat moral atau
bukan moral yang diketahui berlaku di belakang pintu tertutup atau yang berlaku di depan mata,
seringkali dilaporkan atau diadu oleh anggota masyarakat yang cakna kepada Bahagian
Penguatkuasaan. Hakikatnya, tidak boleh dinafikan bahawa agensi penguatkuasaan agama
sering menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha melaksanakan fungsi amar makruf nahi
mungkar dalam masyarakat (Mohamad Afandi Md Ismail & Mohd Sabree Nasri, 2019).

KELOMPANGAN STANDARD OPERATING PROCEDURE (SOP)

Agensi penguatkuasaan agama dalam melaksanakan tugasnya hendaklah mematuhi


Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh undang- undang. Menurut
terjemahan Black’s Law Dictionary, undang-undang merupakan satu rejim pentadbiran yang
bertanggungjawab mentadbir hal ehwal manusia yang dikuatkuasakan melalui sesuatu autoriti
politik. Rejim pentadbiran pula merujuk set peraturan seperti sistem penguatkuasaan undang-
undang. Antara sumber undang-undang bertulis di Malaysia termasuklah Perlembagaan
Persekutuan, perlembagaan negeri, akta, enakmen, ordinan dan undang-undang subsidiari yang
lain (Ibrahim Deris & Hanifah Haydar Ali Tajuddin, 2015). Dalam konteks perbincangan hari
ini, set undang-undang yang terlibat dalam penguatkuasaan jenayah Syariah di Malaysia secara
umumnya adalah undang-undang “tiga serangkai” iaitu undang-undang tatacara, kesalahan
jenayah dan keterangan selain Enakmen induk itu sendiri.

4
Namun jika dilihat berdasarkan kajian yang ada, terdapat kritikan yang diberikan turut
melibatkan peruntukan undang-undang itu sendiri yang menyatakan bahawa undang-undang
jenayah syariah sebagai tidak praktikal, kabur dan lemah. Ini menyebabkan sebahagian
daripada undang-undang jenayah tersebut gagal dikuatkuasakan secara menyeluruh serta gagal
mengawal perbuatan yang bertentangan dengan Hukum Syarak daripada berlaku di kalangan
masyarakat (Zurul Iman Zakaria & Zaini Nasohah, 2019). Sesuatu peruntukan undang-undang
hendaklah dinyatakan dengan jelas dan terperinci. Ini bagi menjelaskan maksud-maksud yang
terdapat dalam peruntukan serta tujuan sesuatu undang-undang digubal. Namun peruntukan
yang terdapat dalam undang-undang jenayah Syariah hanya menyatakan secara umum sahaja,
kabur dan tidak jelas. Antara kelemahan dalam peruntukan sedia ada dalam enakmen jenayah
Syariah adalah tiada penerangan yang menerangkan berkaitan elemen, definisi dan maksud
kesalahan tersebut berbanding dengan Kanun Keseksaan yang mempunyai huraian termasuk
definisi, contoh dan sebagainya (Zurul Iman Zakaria & Zaini Nasohah, 2020).

Di bawah undang-undang jenayah Syariah pada amnya, terdapat lebih kurang 45


peruntukan kesalahan yang merangkumi kesalahan berkaitan akidah, akhlak, kesucian agama
Islam dan pelbagai lagi. Jika diperhalusi, didapati hampir 20 kesalahan yang tidak begitu jelas
elemen-elemen kesalahannya. Akibatnya, ia menyukarkan pelaksanaan penguatkuasaan dan
Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) sering berhadapan dengan masalah ketika menjalankan
operasi. Sebagai contoh, perlakuan yang disifatkan sebagai suatu kesalahan di bawah kesalahan
perlakuan tidak sopan, di mana seksyen 57 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992
menjelaskan: “Sesiapa melakukan perbuatan atau berkelakuan tidak sopan yang
bertentangan dengan Hukum Syara' di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu
kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu
ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.” (Mohamad Afandi Md
Ismail & Mohd Sabree Nasri, 2019)

Definisi yang tidak jelas juga boleh mengganggu usaha penguatkuasaan dan juga
memasuki sempadan privasi. Sebagai contoh: jika kesalahan “perbuatan tidak sopan”
digunakan untuk menahan orang yang mendedahkan aurat dikira tidak adil kerana definisi
kesalahan itu tidak menyebut tentang pendedahan aurat dengan jelas. Peruntukan yang tidak
jelas ini juga memberikan kesukaran kepada PPA untuk menjalankan tugasnya dengan
berkesan kerana akan memberi kesukaran dan salah faham semasa membuat tindakan di lokasi

5
sehingga boleh menjejaskan kes yang dibawa ke Mahkamah kerana samada kekurangan bukti
atau bukti yang diambil tidak boleh membantu kes tersebut di mahkamah.

Selain daripada undang-undang jenayah itu sendiri, setiap Jabatan Agama Islam Negeri
itu sendiri turut mewujudkan suatu SOP yang dijadikan panduan kepada PPA semasa
menjalankan tugas mereka. Walaupun telah ada akta dan enakmen tatacara jenayah syariah
yang mempunyai peruntukan berkaitan menangani aduan, siasatan, tangkapan, geledah
sehinggalah kepada tatacara pendakwaan dan perbicaraan, namun ia dalam bentuk dan bahasa
undang-undang yang teknikal dan panjang. Justeru untuk memudahkan operasi dan
pemahaman tatacara dan prosedur, satu standard operating prosedur (SOP) memang diperlukan
bagi menghalusi lagi langkah-langkah penguatkuasaan dan pendakwaan. (Mohamad Afandi
Md Ismail & Mohd Sabree Nasri, 2019)

Menurut Siti Zubaidah dalam tulisannya, insiden di The Zouk ini telah menjadi
pemangkin kepada wujudnya garis panduan berkenaan penguatkuasaan dan pendakwaan
undang-undang jenayah syariah. Garis panduan yang dimaksudkan ialah Arahan Tetap
Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri (Garis Panduan Penguatkuasaan Undang-undang
Jenayah Syariah) 2007. Kemudiannya, garis panduan lain juga diwujudkan termasuklah
Arahan Ketua Pendakwa Syarie dan Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Agama
Islam Negeri 2008. Garis panduan ini diwujudkan untuk menjelaskan peruntukan yang terdapat
dalam akta dan enakmen sedia ada yang menggunakan bahasa undang-undang yang bersifat
teknikal dan menggunakan ayat yang panjang. Para penguat kuasa agama dan juga pegawai
pendakwa syarie yang tidak berlatar belakangkan undangundang dapat memanfaatkan
penjelasan dalam garis panduan ini. Mereka lebih mudah memahami konteks dan pemakaian
kandungan dalam seksyen tersebut. Perbincangan akan melihat dengan lebih lanjut garis
panduan ini (Ibrahim Deris & Hanifah Haydar Ali Tajuddin, 2015).

S.O.P yang disenaraikan dalam Arahan Tetap Pengarah 2007 ini juga dilihat sebagai
langkah berhati-hati untuk mengelakkan timbulnya aduan tidak puas hati daripada suspek yang
ditangkap. Dari segi perkataan yang digunakan pula, Arahan Tetap 2007 ini agak jelas dan
menggunakan susunan yang boleh difahami dengan mudah oleh seseorang yang tidak
berlatarbelakangkan undang-undang. Arahan Tetap 2007 ini bertujuan menghuraikan dan
menjelaskan peruntukan sedia ada dalam akta dan enakmen tatacara jenayah. Walau
bagaimanapun, arahan ini hanya memberikan gambaran mengenai tindakan yang perlu diambil
6
pada peringkat operasi dan siasatan sahaja dan perkara ini boleh dijadikan sebagai satu senarai
ringkas untuk anggota penguat kuasa agama supaya langkah-langkah yang penting sama ada
pada peringkat operasi atau siasatan tidak tercicir (Ibrahim Deris & Hanifah Haydar Ali
Tajuddin, 2015).

SOP yang digubal adalah bertujuan untuk dijadikan panduan kepada Pegawai
Penguatkuasa Agama dalam menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan supaya selaras dengan
konsep rahmatan lil-‘alamin (n.a., 2019). Dengan adanya garis panduan yang standard dan
tetap, sudah tentu perkara sebegini dapat dielakkan dan dalam masa yang sama ia berperanan
sebagai “quick reference” kepada pegawai yang baru memulakan tugas (Siti Zubaidah Ismail,
2008). Sebagai SOP, ia mampu menjadi ‘rakan karib’ kepada pegawai sedia ada dan panduan
berguna kepada pegawai baru. Cuma, oleh kerana ia merupakan garis panduan umum, langkah-
langkah yang lebih detail tidak dijelaskan. Walau bagaimanapun, arahan ini hanya memberikan
gambaran mengenai tindakan yang perlu diambil pada peringkat operasi dan siasatan sahaja
dan perkara ini boleh dijadikan sebagai satu senarai ringkas untuk anggota penguat kuasa
agama supaya langkah-langkah yang penting sama ada pada peringkat operasi atau siasatan
tidak tercicir.

Arahan Tetap 2007 ini sebenarnya tidak menghuraikan tatacara pada peringkat lain,
seperti peringkat apabila fail kes telah diserahkan kepada bahagian pendakwaan, peringkat
apabila kes sudah didaftarkan di mahkamah dan peringkat perbicaraan; sedangkan pada
peringkat ini tanggungjawab seseorang pegawai siasatan masih besar. Arahan ini juga tidak
menerangkan tindakan yang harus diambil untuk memaksa suspek hadir; prosedur apabila
penguat kuasa agama ingin membuat permohonan waran tangkap, waran geledah dan
sebagainya semasa kes masih pada peringkat siasatan. Arahan ini juga tidak menyenaraikan
cara sekiranya suspek ditahan di penjara; apabila dia perlu dibawa ke Mahkamah; prosedur
pengendalian alat elektronik seperti kamera, mesin alcho-blow, perakam video dan lain-lain
(Ibrahim Deris & Hanifah Haydar Ali Tajuddin, 2015).

Berdasarkan kajian di atas, boleh disimpulkan bahawa SOP yang ada masih lagi
mempunyai kekurangan yang perlu dikaji dan dimasukkan ke dalam SOP tersebut bagi
memudahkan PPA menjalankan tugas dengan berkesan. Haruslah difahami bahawa ianya amat
penting kerana tindakan ini boleh membantu PPA yang kebanyakannya merupakan pegawai
yang tidak mempunyai latar belakang perundangan. Kejayaan sesuatu kes pendakwaan itu
7
banyak bergantung kepada kebijaksanaan dan kefahaman PPA membuat tindakan di lokasi
tangkapan atau jenayah semada dari sudut mendapatkan maklumat, bukti dan barang kes.
Kegagalan memahami kehendak undang-undang tersebut akan menyebabkan kes pendakwaan
menghadapi kekalahan sebelum berjuang di mahkamah. Oleh itu, garis panduan sedia ada amat
penting untuk dikaji supaya kandungan ilmu di dalamnya dapat dikembangkan. Walau
bagaimanapun, di Wilayah Persekutuan didapati garis panduan sedia ada tidak dikaji secara
mendalam (Ibrahim Deris & Hanifah Haydar Ali Tajuddin, 2015).

CABARAN DAN HALANGAN AGENSI PENGUATKUASAAN AGAMA

Selain menghadapi masalaah kelompangan undang-undang dan SOP sedia ada, PPA di
seluruh negara juga menghadapai cabaran dan halangan dalaman yang tidak diketahui oleh
masyarakat walaupun telah banyak kajian dan pendedahan dibuat. Dengan kata lain, PPA di
seluruh negara terpaksa menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka dalam keadaan
mereka sendiri terpaksa menghadapi cabaran yang perlu dihadapi mereka di peringkat
dalaman. Cabaran dan halangan yang ketara dan terpenting yang dihadapi PPA ini boleh
menjejaskan mutu kerja, perkhidmatan bahkan motivasi mereka semasa menjalankan tugas
seperti yang berikut:-

1. Sumber manusia yang terhad dan tidak tetap

Kekurangan kakitangan adalah sesuatu yang lumrah dihadapi di mana-mana agensi


kerajaan terutama yang berkaitan dengan penguatkuasaan. Jumlah kakitangan Bahagian
Penguatkuasaan terutama di daerah-daerah sememangnya tidak mencukupi, bagi menjalankan
tugas mencegah dan mengawal kemungkaran, apatah lagi untuk mengurangkan kadar jenayah
Syariah berkaitan moral, akidah dan sebagainya (Mohd Farok Mat Nor, et. al., 2017).
Kekurangan pegawai PPA ini juga menyebabkan usaha untuk melaksanakan penguatkuasaan
undang-undang jenayah Syariah amat terbatas. Sebagai contoh, berdasarkan data yang
direkodkan, seramai 40 orang telah dilantik dan diwartakan sebagai PPA di Melaka. Manakala
statistik penduduk Islam di Melaka pula adalah seramai 542,433 orang. Berdasarkan statisk
tersebut, kita dapati bahawa nisbah bagi seorang PPA dengan bilangan penduduk Islam ialah
1: 13,561. Nisbah yang tinggi menunjukkan bilangan PPA sedia ada di Negeri Melaka adalah
kurang dan perlu ditambah selaras dengan peningkatan kapasiti penduduk bagi menjalankan
pelbagai tugas-tugas penguatkuasaan seperti rondaan, siasatan serta mencegah dan mengawal
8
kemungkaran selain mengurangkan kadar jenayah Syariah yang berkaitan dengan akhlak,
akidah dan kesalahan lain yang diperuntukkan dalam enakmen. (Zurul Iman Zakaria & Zaini
Nasohah, 2019)

Berdasarkan kajian yang telah dibuat mendapati terdapat beberapa kekangan dan
halangan dalam penguatkuasaan yang wujud di semua negeri seperti berikut:

1. Kekurangan kakitangan untuk menangani aduan dan juga membuat siasatan dan
tangkapan.
2. PPA kurang mahir undang-undang kerana bukan berlatarbelakang undang-undang.
3. kekurangan kemudahan seperti kereta, alat-alatan moden untuk membantu
mengumpul bukti.
4. Kekurangan sumber kewangan Kebanyakan negeri mendapat pembiayaan dari hasil
dalam negeri, beberapa negeri mendapat pembiayaan dari MAIN dan Sabah
mendapat pembiayaan dari Baitulmal.
5. Tertakluk kepada arahan pengarah JAIN bagi negeri yang belum di lakukan
pengasingan daripada JAIN.
6. Tiada skim perjawatan tetap. (Maffuza Salleh, et. al., 2017)

Ini ditambah pula dengan pertukaran kakitangan ke bahagian lain, setelah mereka mahir dalam
menjalankan operasi, siasatan dan memahami undang-undang (Mohd Farok Mat Nor, et. al.,
2017). Pegawai Penguatkuasa Agama adalah terdiri daripada anggota perkhidmatan awam
dalam skim Pegawai Agama/Pegawai Hal Ehwal Islam. Lantikan mereka ke dalam jawatan
PPA adalah bagi memenuhi jawatan yang perlu diisi. Oleh yang demikian, berlaku keadaan di
mana pegawai yang sebelumnya bertugas sebagai Pegawai Zakat atau Dakwah, apabila ada
keperluan untuk beliau mengisi jawatan kosong kerana berlaku proses pertukaran, kenaikan
pangkat dan sebagainya, pegawai tadi boleh dilantik memegang jawatan sebagai PPA. PPA
sedia ada juga akan bertukar ke bahagian lain, jika dalam proses kenaikan pangkat ke gred yang
lebih tinggi, wujud kekosongan di bahagian lain.

Ini merupakan suatu keadaan yang merugikan kerana ada kalanya proses ini melibatkan
PPA berpengalaman. PPA yang baru dilantik sudah pasti memerlukan masa untuk
membiasakan diri dan memahami selok-belok tugas baru. Sebagaimana yang sedia dimaklumi,
9
tindakan penguatkuasaan adalah berasaskan aduan dan juga operasi (Siti Zubaidah Ismail,
2008). Apabila seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang sudah berkhidmat lama dalam
Bahagian Pendakwaan, kemudian diarahkan bertukar ke Bahagian Masjid, maka dengan ini
kemahirannya dalam penyiasatan, tangkapan dan risikan akan disia-siakan. Malah menjadi
masalah kepada Bahagian Penguatkuasaan untuk melatih semula pegawai-pegawai yang
baharu dengan ketiadaan pegawai yang berpengalaman.

Selain itu, masa menjalankan proses penguatkuasaan dan tangkapan, pihak


penguatkuasa semestinya akan menyita barang-barang yang digunakan dalam proses tersebut
untuk dijadikan bahan bukti di mahkamah dan menguatkan hujahan pihak pendakwa. Namun
daripada barang-barang tersebut ada yang bersifat mudah rosak dan tidak tahan lama. Apabila
barang-barang kes ini sudah mulai rosak atau luput, ianya akan menjejaskan proses
pendakwaan dan mungkin akan menimbulkan keraguan. Misalnya dalam operasi serbuan di
pusat hiburan, terdapat pengunjung yang beragama Islam didapati meminum arak. Pihak
Penguatkuasa Agama akan merampas botol-botol arak tersebut untuk dijadikan bukti. Namun,
oleh kerana Bahagian Penguatkuasaan tidak mempunyai ruangan yang khusus ataupun peti
sejuk yang khusus untuk menyimpannya, tidak mustahil barang tersebut akan rosak (Mohd
Farok Mat Nor, et. al., 2017).

2. Kurang kefahaman terhadap Undang-undang dan SOP

Umum mengetahui bahawa kewujudan sumber manusia yang terlatih dan berwibawa
di Bahagian Penguatkuasaan akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme pegawai
penguatkuasa agama khususnya yang selama ini dipandang rendah berbanding pegawai
kerajaan lain. Tidak dapat dinafikan bahawa sumber manusia yang terlatih adalah berkait rapat
dengan prestasi dan tahap perkhidmatan yang tinggi kepada masyarakat. Kredibiliti pegawai
penguatkuasa agama sendiri dari segi kekurangan pemahaman dan latihan tentang undang-
undang yang dikuatkuasakan, terutama yang baru dilantik memegang jawatan tersebut juga
menimbulkan masalah. Pegawai yang berpengalaman pula bertukar kerja ke bahagian lain
kerana kenaikan pangkat atau ditukarkan, menyebabkan segala kemahiran dan pengalaman
operasi, penyiasatan dan pengumpulan bahan bukti tidak dapat dikembangkan (Siti Zubaidah
Ismail, 2008).

10
Sebagai contoh, alasan ketiadaan gambar dalam operasi disandarkan pada alasan
keterlupaan dalam penyelenggaraan kamera; atau siasatan yang tidak menyeluruh dalam
pengambilan keterangan saksi operasi mengikut peranan; padahal aspek itu telah ditekankan
dalam Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007. Semasa menjalankan tugas
menguatkuasakan kesalahan berkaitan akidah, PPA menghadapai kesukaran yang ketara dalam
mendapatkan bukti dan saksi untuk mengaitkan sesuatu kesalahan itu dengan orang yang
disyaki. Ini menyebabkan kebanyakan siasatan kes berkaitan akidah agak sukar dan memberi
kesan semasa pendakwaan di mahkamah. Apatah lagi jika melibatkan pengurusan barang bukti
yang banyak dalam sesuatu kes tersebut tetapi tidak diuruskan dengan baik semasa diproses di
lokasi jenayah dilakukan. Selain itu, kebamyakan maklumat hanya bergantung kepada
maklumat yang diperolehi daripada bekas pengikut yang telah lama meninggalkan kumpulan
sesat. Jadi, elemen masa sesuatu perbuatan itu dilakukan tidak dapat dipastikan.

Selain itu, kekurangan pemahaman terhadap keperluan undang-undang dan SOP juga
sering menyebabkan tindakan PPA di lokasi jenayah dipertikaikan dengan pelbagai alasan. Ini
termasuklah jika tindakan yang dibuat oleh PPA tersebut dibenarkan oleh undang-undang
namun dipertikaikan kerana PPA gagal memberi kefahaman yang baik kepada pihak terlibat di
lokasi. Sebagai contoh, semasa penguatkuasa kesalahan berkaitan moral misalnya, terdapat
langkah-langkah menangani suspek di tempat kejadian yang kadang-kadang dilihat sebagai
tidak sesuai sehingga tidak menyenangkan mereka yang terlibat. Oleh sebab itu, amat penting
bagi seseorang pegawai penguat kuasa agama memahami prosedur dan kaedah melaksanakan
operasi dan siasatan kes jenayah syariah. Kesan ketidakfahaman mengenai prosedur dan
kaedah operasi dalam siasatan akan menjejaskan keseluruhan kes.

3. Persepsi Masyarakat atau pihak tertentu

Selain daripada itu, cabaran lain ialah kritikan segelintir masyarakat yang menuduh
pihak penguatkuasa agama mencampuri urusan peribadi dan kebebasan mereka apabila
menangkap dan menyiasat golongan yang disyaki terlibat dengan kesalahan moral. Gelaran
ʻpolis moral’, ʻpengintip’ juga kedengaran dicanang dan dilaungkan oleh beberapa pihak yang
agak kritikal dengan pendekatan penguatkuasa agama menjalankan tanggungjawab mereka
(Siti Zubaidah Ismail, 2008). Terdapat juga persoalan berkenaan dengan hak individu didalam
penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan moral. Mereka yang terlibat kebiasaannya

11
menggunakan alasan berkenaan untuk menagih simpati dan akhirnya mendatangkan tekanan
kepada penguatkuasa agama (Mohamad Afandi Md Ismail & Mohd Sabree Nasri, 2019).

Walau bagaimana pun, pandangan negatif terhadap PPA sedikit sebanyak turut
memberikan kesan terhadap usaha pelaksanaan hisbah di Selangor antaranya tuduhan yang
dilontarkan kepada PPA seperti tidak mengikut Prosuder Penyiasatan (SOP), bertindak melulu
dan menceroboh ketika menjalankan penguatkuasaan. Malah kelemahan PPA dari aspek etika
ketika menguatkuasakan undang-undang syariah juga turut dijadikan isu sehinggakan
menimbulkan sudut pandangan yang buruk kepada peranan PPA dalam masyarakat. Segala
macam tohmahan dilempar kepada PPA yang kononnya hanya ingin “menjaga tepi kain
orang”. Apabila kes berjaya disabitkan dan hukuman dijatuhkan, timbul pula tohmahan
bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah bersifat menghina, kolot, menghalang kebebasan
individu dan menjatuhkan maruah wanita khasnya bagi hukuman sebat Syariah (Abdul Qahhar
bin Ibrahim, et. al., 2017).

Pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi oleh Pihak Berkuasa Agama dalam menjalankan
tugas ketika menguatkuasakan kesalahan di bawah enakmen jenayah Syariah kerana
kebanyakan kesalahan adalah berkaitan dengan moral dan akhlak yang berlaku dalam kalangan
masyarakat. Segala tindakan perlu dilakukan dengan berhemah dan berhati-hati mengikut
prosedur yang ditetapkan. Imej penguatkuasaan boleh terjejas sekiranya Pihak Berkuasa
Agama tidak mengendalikan Orang Yang Disyaki dengan cara beradab, memelihara aib dan
maruah mereka (Zurul Iman Zakaria & Zaini Nasohah, 2020).

HALA TUJU AGENSI PENGUATKUASAAN AGAMA

Hala tuju fungsi dan tanggungjawab agensi penguatkuasaan agama telahpun jelas
samada dari sudut agama mahupun undang-undang. Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA)
yang juga turut termasuk dalam kumpulan kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah
merupakan pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas hisbah yang berteraskan kepada
konsep amar maaruf nahi munkar yang juga boleh dipanggil sebagai muhtasib dan bukannya
sebagai mutatawwi’ di mana tugas mereka adalah untuk memastikan masyarakat mematuhi
undang-undang yang ditetapkan dan menjamin hak-hak dalam masyarakat yang membabitkan
pelbagai aspek dalam kehidupan sama ada dari sudut ekonomi mahu pun sosial sesuai dengan
bidang kuasa yang diberikan. Perlantikan mereka ini bertujuan untuk memberikan mereka
12
kuasa menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah di negeri-negeri (Abdul Qahhar bin
Ibrahim, et. al., 2017).

Justeru, walaupun pun kelompangan yang ada dari sudut undang-undang atau SOP dan
sebarang cabaran dan halangan yang wujud secara dalaman atau luaran, tugas dan
tanggungjawab PPA ini tidak boleh berhenti begitu sahaja. Ini kerana fungsi PPA ini adalah
sebagai memenuhi tuntutan agama yang menghendaki segolongan daripada masyarakat kita
hendaklah menjalankan konsep amar makruf dan nahi mungkar. Jika dilihat dari sudut
cadangan penambahbaikan yang telah dicadangkan melalui pelbagai kajian, terdapat pelbagai
saranan yang telah dikemukakan, antaranya adalah seperti yang berikut:-

1. Mewujudkan satu skim perjawatan khas bagi bahagian penguatkuasaan serta


mensyaratkan latar belakang undang-undang bagi pegawai penguatkuasa agama seperti
yang dilaksanakan di bahagian pendakwaan dengan permohonan melalui JAKIM.
2. Mengadakan kuarters khas bagi pegawai penguatkuasa agama bersifat setempat bagi
memudahkan operasi dijalankan.
3. Memperuntukkan bajet tahunan untuk kursus Pegawai penguatkuasa Agama di JAKIM
secara berkala.
4. Pengasingan urus tadbir bahagian penguatkuasaan dari Jabatan Agama Islam Negeri.
5. Membina satu kerangka bahagian penguatkuasaan kepada dua bahagian. contoh
kerangka A untuk negeri yang besar seperti Selangor, Pahang, Terengganu dan
kerangka B untuk negeri kecil seperti Perlis, Melaka, Negeri Sembilan.
6. Mewujudkan unit risikan dan unit waran tangkap di bahagian penguatkuasaan.
7. Menetapkan bayaran hasil-hasil denda mahkamah syariah diserahkan kepada MAIN
atau baitulmal untuk memudahkan permohonan bajet dan sebagainya. Rujukan boleh
dibuat kepada amalan negeri Selangor dan Sabah. (Maffuza Salleh, Azizah Mat Rashid,
et. al., 2017)
8. pegawai-pegawai di Bahagian Penguatkuasaan seharusnya terus kekal berada di dalam
Bahagian Penguatkuasaan. Pertukaran, sekiranya perlu hanyalah di dalam ruang
lingkup Bahagian Penguatkuasaan itu sendiri. (Mohd Farok Mat Nor, et. al., 2017)

Saranan di atas memang tidak boleh dinafikan bahawa merupakan suatu cadangan yang
terbaik untuk memperkasakan agensi penguatkuasaan agama negeri-negeri. Secara tidak
langsung, ia boleh memberi nilai tambah positif kepada PPA untuk menguatkuasakan undang-
13
undang jenayah dengan lebih berkesan dan teratur. Namun dalam masa yang sama, kita harus
berpijak ke bumi yang nyata, bahawa saranan tersebut terutamanya berkaitan pengasingan
agensi penguatkuasaan daripada Jabatan Agama Islam dan mewujudkan skim khas tersebut
memerlukan masa yang agak panjang untuk direalisasikan kerana usaha tersebut melibatkan
banyak pihak untuk diselesaikan.

Walaupun begitu, tindakan atau usaha bagi jangka pendek juga harus dijalankan bagi
membantu PPA mengurangkan bebanan tugas yang terpaksa ditanggung oleh mereka. Sebagai
contoh, terutama bagi negeri yang mempunyai anggota PPA yang sedikit dan tidak mempunyai
peluang untuk melantik PPA secara kontrak, maka pembahagian tugas menguatkuasakan
undang-undang jenayah itu boleh dibantu oleh pegawai agama Islam yang bersesuaian.
Sesetengah neger telahpun melantik Pendaftar Nikah Cerai Rujuk (PNCR) sebagai PPA bagi
membantu membuat siasatan dalam kes-kes penalti dalam Akta/Enakmen Undang-Undng
Keluarga. Ini suatu tindakan yang sangat baik sebagai pendedahan awal kepada mereka
sekiranya ditukarkan ke agensi penguatkuasaan agama. Bahkan pendekatan ini juga boleh
diperluaskan kepada pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam yang bertugas sebagai imam, bilal
dan siak di masjid-masjid bagi membantu PPA dalam menguatkuasakan undang-undang
jenayah Syariah di negeri masing-masing.

Selain itu, semua PPA hendaklah diberikan latihan yang komprehensif dan perkara
yang lebih perlu diutamakan ialah latihan yang betul kepada pelaksana perundangan ini sama
ada penguatkuasa agama, pendakwa syarie, peguam syarie mahupun mahkamah syariah.
Latihan yang dimaksudkan bukanlah latihan yang biasa dilakukan tetapi latihan berimpak
tinggi yang dapat menganjak minda, berinovasi serta mencari formula terbaik melaksanakan
perundangan syariah supaya menjadi paksi kepada keadilan (Zainul Rijal Abu Bakar, 2019).
Dalam konteks ini, latihan ini hendaklah dilaksanakan berdasarkan modul yang telah dibina
dan ditetapkan mengikut peringkat tertentu yang berbentuk ilmiah dan latihan simulasi. Bahkan
modul latihan ini hendaklah turut melibatkan bukan sahaja PPA yang sedang berkhidmat
tetaapi turut dilaksanakan secara wajib kepada semua PHEI yang merupakan calon PPA pada
masa akan datang.

Selain itu, suatu usaha untuk meminda Akta/Enakmen jenayah Syariah negeri juga
perlu diusahakan bagi proses penambahbaikan undang-undang tersebut terutamanya bagi
akta/enakmen yang telah lama tidak dikaji. Tindakan ini penting kerana tanpa usaha ini,
14
pengutkuasaan undang-undang jenayah Syariah secara maksimum dan berkesan tidak akan
mencapai matlamatnya. Selain sumber manusia dan peralatan yang mencukupi, latihan yang
betul dan berkesan, kejayaan penguatkuasaan amar makruf nahi mungkar di dalam undang-
undang jenayah Syariah ini juga bergantung kepada kesempurnaan peruntukan yang ada di
dalam undang-undang kesalahan jenayah itu sendiri. Tanpa penjelasan yang mencukupi maka
penguatkuasaan juga sukar untuk dilaksanakan.

KESIMPULAN

Oleh itu, tugas hisbah tersebut telah dipertanggungjawabkan kepada agensi


penguatkuasaan agama secara jelasnya berfungsi sebagai pegawai muhtasib (penguatkuasa)
dalam urusan penguatkuasaan undang-undang jenayah Syariah. Fungsi dan peranan yang
dimainkan oleh agensi penguatkuasaan agama ini adalah begitu penting serta signifikan dalam
usaha menyemarakkan dan meneruskan usaha amar makruf nahi mungkar di Malaysia ini
umumnya. Kejayaan agensi penguatkuasaan agama dalam menjalankan tanggungjawab dan
fungsi banyak bergantung kepada sumber manusia dan peralatan yang mencukupi, latihan yang
betul dan berkesan serta kesempurnaan peruntukan yang ada di dalam undang-undang
kesalahan jenayah itu sendiriPenulis bernama Eldefonso pernah berkata: If a law enforcement
agency is weak and poorly structured, then, regardless of the individual efforts made by any
or all dedicated officers it will fail in its purpose.

15
RUJUKAN

n.a. 2019. “Bengkel SOP Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah.” Kuala Lumpur. 18-19
April. http://www.islam.gov.my/

Zainul Rijal Abu Bakar. 2019. “Menjiwai-perundangan-jenayah-syariah.” Kolumnis. Sinar


Harian. 29 September. https://www.sinarharian.com.my/article/49779/KOLUMNIS/

Siti Zubaidah Ismail. 2008. “Dasar Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jenayah Syariah di
Malaysia: Satu Analisis.” Jurnal Syariah, Jil. 16. Keluaran Khas.

Mohamad Afandi Md Ismail dan Mohd Sabree Nasri. 2019. “Gejala LGBT Di Malaysia: Isu
dan Cadangan Penyelesaian.” Journal of Law & Governance. KUIM. Vol. 1. No. 1. t.t.

Mohd Farok Mat Nor, Mohamad Hafifi Hassim, Nor ‘Adha Ab Hamid, Azizah Mat Rashid,
Maffuza Salleh. 2017. “Skop dan Peranan Badan Penguatkuasa Jenayah Syariah
Negeri Sarawak: Kupasan dan Cadangan Penambahbaikan.” 4 th International
Research Management & Innovation Conference (IRMIC 2017). ILIM. Bangi. &
September.

Ibrahim Deris dan Hanifah Haydar Ali Tajuddin. 2015. “Penggunaan Garis Panduan dan Etika
Dalam Penambahbaikan Perjalanan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Kesalahan
Syariah.” Kanun: Jurnal Undang-Undang Malaysia. Vol. 27. No. 1. DBP. Januari.

Abdul Qahhar bin Ibrahim, Abdul Ghafar Hj. Don, Muhamad Faisal Asha’ari. 2017. “Peranan
Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) Dalam Melaksanakan Hisbah di Negeri
Selangor.” Jurnnal Fikiran Masyarakat. Penerbit Kemala, Indonesia. Vol. 5. No. 3. t.t.

16

Anda mungkin juga menyukai