Anda di halaman 1dari 3

Rumusan bengkel:Gulens Thoughts on Promoting Mutual Respect and Better Understanding.

Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad www.ilmuwan-w.blogspot.com wasiferdogan@gmail.com

Hari ini saya dan rakan-rakan Universiti Facebook,Jaringan Anak Muda bertandang ke MTDS.Kami mendapat jemputan dari MTDS untuk menghadiri bengkel anjuran MTDS yang menampilkan Prof Dr Fatmir Shehu.Beliau dijemput untuk membentangkan tajuk Gulens Thoughts on Promoting Mutual Respect and better understanding. Dalam ucapan alu-aluannya ,Presiden MTDS menasihati kami anak muda agar menggunakan masa muda dengan penuh bermakna dan tidak mensia-siakan usia muda.Beliau menekankan soal persaudaraan tanpa mengenal batas sempadan negara dan mengajak semua untuk saling bertukar idea dan pandangan serta saling memahami antara satu sama lain.Beliau menjelaskan betapa pentingnya segala sesuatu bergantung kepada pendidikan.

Prof Dr Fatmir Shehu dalam pembentangannya menghuraikan tentang latar belakang Fethullah Gulen dan menurut beliau Fethullah Gulen ini seorang yang sangat tawaduk-merendah diri.Barangkali kerana ketawadukannya itulah beliau kurang dikenali dan ditonjolkan berbanding tokoh-tokoh lain namun begitu anak murid dan para pengikutnya memainkan peranan yang cukup besar dan aktif dalam memperkenalkan beliau dan pemikirannya di seluruh dunia.

Menurut Prof Dr Fatmir Shehu ,Fethullah Gulen mahu muslim menjadi muslim bukan sekadar hanya sebagai satu pilihan tetapi berdasarkan pencarian sendiri terhadap kebenaran dan berdasarkan ilmu.Beliau mempromosi nilai-nilai Islam dan menekankan bagaimana usaha kita dalam melaksanakan apa yang kita katakan secara langsung atau tidak langsung dan menekankan aspek sikap dan contoh terbaik serta sangat menekankan pendidikan moral bagi melahirkan generasi yang memiliki karakter dan akhlaq yang baik.

Saya perlu menjadi contoh tauladan yang terbaik.Demikianlah kenyataan yang perlu sentiasa diserapkan dalam jiwa muslim sekaligus direalisasikan dengan amal perbuatan dan bukan sekadar retorik ungkapan di bibir mulut.

Fethullah Gulen menurut Prof Dr Fatmir Shehu juga menyarankan kepada semua pihak agar memahami antara satu sama lain dan menekankan Islam sebagai agama universal yang tiada sempadan.Oleh kerana itu beliau meletakkan keutamaan atas usaha pembinaan keamanan,dialog antara budayaagama yang berbeza,dan mahu semua pihak menjadi agen keamanan sejagat.

Selain mengusahakan hubungan baik antara agama-agama yang berbeza beliau juga cuba memainkan peranan dalam membina hubungan yang baik antara pelbagai aliran yang wujud sesama agama.Beliau menyarankan semua pihak untuk menggunakan keintelektualan dengan sebaiknya disamping mengharmonikan antara pencerahan dan kebijaksanaan intelektual dengan spiritual. Beliau sering mempertanyakan persoalan kebenaran diri( siapa anda sebenarnya?) dan mahu mewujudkan keseimbangan terhadap hal dunia dan akhirat. Fethullah Gulen juga seorang yang ambil peduli terhadap apa jua isu kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia dan boleh dikatakan sebagai seorang aktivis kemanusiaan.

Beliau cuba membawa pendekatan Islam yang bersifat inklusif dan universal dan mengharapkan muslim memiliki kesedaran pendidikan yang tepat,harmoni antara dunia dan akhirat sekaligus memahami visi Islam secara lebih meluas.

Isu kejahilan dan kemiskinan menjadi antara isu utama yang beliau tekankan dan jika dilihat gerakan yang digerakkan beliau juga cuba menyelesaikan permasalahan tersebut dengan gerakan aktif dalam pendidikan dan keintelektualan bagi membasmi kejahilan dan kekuatan ekonomi dan kewangan yang kukuh dalam melawan kemiskinan. Beliau cuba memainkan peranan dalam menyelamatkan nilai-nilai kemanusiaan,memupuk keharmonian sosial, keamanan dan memiliki sikap toleransi,saling memaafkan,dan merendah diri.

Bagi Prof Dr Fatmir Shehu,Fethullah Gulen cuba mencari jawapan terhadap krisis intelektual dan ekonomi kontemporari,merawat penyakit-penyakit sosial,dan membina hubungan baik antara agama disamping cuba membawa pendekatan moderat dan melawan kefahaman sempit tentang agama.

Anda mungkin juga menyukai