Anda di halaman 1dari 5

Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT


DARIPADA PERSPEKTIF PENGARUH IBUBAPA
Zainudin Abu Bakar
p-zain@utm.my
p-zain@hotmail.co.uk
Universiti Teknologi Malaysia

Abstrak
Proses pembentukan budaya pendidikan sepanjang hayat perlu dilihat berdasarkan proses bagaimana ia terbentuk. Artikel
ini membincangkan bagaimana keluarga, dalam hal ini ibubapa, boleh memainkan peranan membantu membentuk budaya
tersebut dalam diri setiap individu. Dengan menggunakan sumber daripada Al Quran dan Hadith di samping teori-teori
berkaitan isu pembentukan budaya pendidikan tersebut dikupas berdasarkan perspektif ibubapa. Kefahaman berkenaan
peranan yang perlu dimainkan membantu proses pembentukan budaya tersebut menjadi lebih mudah. Perbincangan
tersebut diharapkan dapat memberikan peringatan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh setiap
individu.

Pengenalan
Konsep pendidikan ditekankan dengan jelas dalam Islam. Setiap individu tertakluk kepada tanggungjawab
menyempurnakan proses pendidikan supaya menjadi insan yang ditetapkan. Allah SWT menyebutkan dengan
jelas berkenaan dengan ilmu dalam Surah Al Alaq (QS96:1) berkenaan dengan suruhan membaca dan menuntut
ilmu. Dalam konteks ini membaca berkaitan dengan aktiviti pendidikan yang perlu dilalui oleh setiap individu
bukan sahaja untuk kepentingan kehidupan tetapi juga kefahaman tentang gunsi dan peranan mereka sebagai
khalifah di muka bumi. Tanpa pendidikan maka kemahiran-kemahiran perlu dalam hidup tidak akan dapat
dikuasai. Ini memberi makna bahawa, tidak terkecuali, semua individu perlu belajar sebagai memenuhi tuntutan
dan keperluan sebagai manusia yang hidup di muka bumi.

Konsep Pendidikan Sepanjang Hayat


Pendidikan sepanjang hayat dalam hal ini juga merupakan manifestasi kepada kewajipan dan keperluan individu
menuntut ilmu. Namun begitu konsep pendidikan ini biasanya berbeza-beza mengikut individu. Bagaimanapun
dalam menerangkan konsep pendidikan sepanjang hayat Delors (1996) menjelaskan berdasarkan 4 komponen
utama iaitu belajar mengetahui, belajar melakukan, belajar hidup dengan orang lain, dan belajar menjadi
seseorang. Manakala Komisi Eropah (2001) menjelaskan pendidikan sepanjang hayat sebagai suatu
pembelajaran yang melibatkan elemen pendidikan diri, warganegara yang aktif, keterlibatan dalam sosial, dan
mampu bekerja dan menyesuaikan diri. Pernyataan di atas memberi makna bahawa proses pendidikan tidak
terhad atau terhenti pada satu-satu peringkat sahaja tetapi berterusan sepanjang hayat. Dengan lain perkataan
setiap individu perlu sentiasa update pengetahuan, kefahaman dan kemahiran yang dimiliki supaya sentiasa
relevan.
Kefahaman tentang pentingnya pendidikan perlu dipelihara oleh setiap individu. Melalui kefahaman tersebut
kita akan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri yang semestinya perlu dilakukan melalui proses
pendidikan. Oleh kerana kita sedia maklum bahawa manusia sentiasa memerlukan panduan dan bimbingan
maka kesedaran tersebut penting. Cuba lihat firman Allah SWT di bawah:
Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan. Dengan
kitab itulah Allah menunjukkan orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan-jalan
keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu daripada gelap gelita
kepada cahaya yang terang benderang dengan izinNya, dan menunjukkan mereka ke jalan yang
lurus (QS5: 15-16)

37

Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014

Tanpa kesedaran dan kesediaan sudah tentu rahsia yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam kitabNya tidak
mampu untuk dikuasai.
Membincangkan lebih lanjut perkara pendidikan kita perlu mengaitkannya dengan peranan diri individu itu
sendiri. Sekiranya kita gagal dalam memahami konsep pendidikan yang sifatnya berterusan maka kita
sebenarnya merancang diri kita untuk gagal dalam kehidupan. Keperluan tersebut terlihat dengan jelas melalui
perintah Rasulullah SAW:
Seseorang lelaki itu adalah pengembala di dalam keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap
gembalaannya itu, dan seseorang wanita itu adalah pengembala di dalam rumah suaminya dan ia
bertanggungjawab terhadap gembalaanya (HR Al Bukhari dan Muslim)
Tanpa mengamalkan pendidikan berterusan adalah sukar bagi kita melaksanakan tugas seperti dinyatakan oleh
Rasulullah SAW tadi. Ia adalah berkaitan dengan tanggungjawab dan pertanggungjawaban yang menjurus
langsung kepada kita secara individu.
Namun begitu dalam banyak keadaan kerap berlaku kepincangan dan ketidakselarasan dalam memahami dan
mengamalkan budaya pendidikan sepanjang hayat. Pengalaman pendidikan dan bimbingan yang dilalui oleh
setiap individu yang berbeza-beza menyebabkan keadaan ini berlaku. Lebih menyukarkan lagi ia juga berkaitan
dengan proses membentuk pengetahuan dan ketahaman yang berbeza-beza dan pelbagai mengikut diri individu.
Apa yang perlu dimaklumi adalah bagaimana kita boleh memastikan dalam kepelbagaian tersebut kefahaman
dan pengamalan pendidikan sepanjang hayat sentiasa selari dan bukan sesuatu yang bertentangan. Mari kita
lihat bagaimana perkembangan individu boleh menyebabkan berlakunya perbezaan tersebut.

Pengaruh Perkembangan Pendidikan


Perkembangan pendidikan adalah berkait rapat dengan konsep tanggugjawab. Setiap individu adalah
bertanggungjawab memperkembangkan dirinya sepanjang masa keranan tanggungjawab tersebut bukan sahaja
untuk dirinya, tetapi juga untuk tanggungannya, anak-anak didiknya, ahli keluarga, dan seluruh masyarakat.
Dengan lain perkataan individu perlu memperlengkapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk kebaikan semua.
Matlamat ini jelas seperti pernah dinyatakan oleh Rasulullah SAW:
Kedua kaki seorang hamba tidak akan berganjak pada hari kiamat sebelum ia ditanya empat
perkara: tentang umurnya yang dimusnahkan, tentang masa mudanya yang dirosakkan, tentang
sumber hartanya yang diperolehi dan bagaimana digunakan, dan tentang ilmu yang diamalkan
(HR At-Tirmizi).
Ini memberi makna bahawa untuk menjadi insan yang berguna kita perlu sentiasa memastikan diri lengkap
dengan pengetahuan, kemahiran, serta pengamalan yang sesuai seperti yang ditetapkan oleh Allah SWT. Allah
SWT menyebutkan kepentingan pengetahuan, kemahiran dan pengamalan seperti berikut:
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak ada pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya
pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya
(QS17:36).
Oleh yang demikian kita perlu maklum bahawa setiap apa yang kita lakukan hendaklah disertai dengan
pengetahuan dan kemahiran. Melalui pengetahuan dan kemahiran inilah baru kita dapat melaksanakan
tanggungjawab kita sebagai insan khalifah. Dengan lain perkataan, dalam proses pendidikan setiap individu
adalah saling pengaruh mempengaruhi. Tidak ada individu yang berdiri sendiri tanpa keterkaitan dengan orang
lain. Ibubapa bertanggungjawab kepada anak-anak, masyarakat kepada semua ahlinya, guru kepada anak didik
dan seumpamanya.

38

Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014

Dalam hadisnya Rasulullah SAW menyebutkan dengan jelas bahawa:


Setiap anak yang dilahirkan itu telah membawa fitrah beragama (perasaan percaya kepada Allah
SWT. Maka kedua orang tuanyalah yang menjadikan anak tersebut beragama Yahudi, Nasrani
ataupun Majusi (HR Al Bukhari).
Hadith di atas memberi gambaran bahawa individu berkembang dan menuntut ilmu dan menjadi seorang insan
adalah kesan daripada interaksi mereka dengan persekitarannya. Bronfenbrenner (1994) menerangkan tentang
bagaimana individu berkembang kesan daripada pengaruh persekitaran di mana mereka berada.

Rajah 1: Model ekologi perkembangan manusia

Daripada perkaitan tersebut dapat kita lihat bagaimana proses pembentukan insan perlu ditangani secara
bersama dan tidak terkecuali. Artikel ini bagaimanapun, akan hanya memberi fokus kepada perbincangan
tentang peranan keluarga dalam membentuk budaya pendidikan sepanjang hayat. Di dalam keluargalah titik
tolak sesuatu budaya dan amalan yang akan menjadi ikutan dan amalan kepada generasi baru.
Merujuk kepada pendidikan sepanjang hayat, budaya dan amalan ini perlu ditangani secara bersama.
Berdasarkan petikan hadith-hadith dan teori ekologi yang dinyatakan ia bermakna kita perlu melaksanakan
tanggungjawab kita dengan sepenuhnya. Proses pendidikan perlu ditangani dengan jelas dan tepat supaya
persekitaran yang kondusif dapat diwujudkan. Justeru budaya dan amalan pembelajaran sepanjang hayat perlu
menjadi inti kepada contoh teladan dan matlamat pendidikan yang dilaksanakan. Bimbingan dan didikan yang
konsisten berkenaan dengan keperluan-keperluan pengamalan budaya pendidikan tersebut adalah sangat
penting.
Ibubapa dalam konteks menanamkan budaya pendidikan perlu melaksanakan tugas menyediakan persekitaran
yang kondusif kepada anak-anak supaya mereka mendapat semua keperluan yang diperlukan. Adakalanya kita
membawa anak-anak ke kedai buku untuk tujuan membeli buku sekolah sahaja. Amalan ke kedai buku
seharusnya dilakukan bukan sahaja untuk membeli buku-buku sekolah, tetapi juga perlu dijadikan amalan biasa
supaya anak-anak memahami dan menyukai buku. Setiap bulan sekali contohnya, boleh dijadikan sebagai
aktiviti tetap supaya amalan ke kedai buku merupakan antara aktiviti yang disenangi oleh anak-anak. Kedai
buku seperti yang diketahui merupakan sumber di mana pelbagai buku boleh diperolehi dan dibeli.

39

Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014

Ada juga ibubapa yang menetapkan duit bulanan kepada anak-anak untuk membeli buku. Ini juga merupakan
pendidikan yang sangat positif kepada pembentukan budaya ilmu dalam diri anak-anak. Dengan bimbingan
semasa memilih buku yang akan dibeli anak-anak akan sentiasa ternanti-nanti untuk membeli buku. Bermula
dengan buku yang diminati dan ringan sehinggalah kepada buku-buku yang berat bacaannya lama-kelamaan
menjadikan anak-anak suka kepada membaca.
Namun begitu amalan ini kurang berkesan sekiranya di rumah kita tidak menunjukkan budaya suka membaca.
Ambil contoh membaca suratkhabar di rumah. Bacaan ini merupakan budaya yang paling mudah dan ringkas
tetapi boleh memberi kesan kepada minat membaca. Buku-buku yang dibeli juga perlu diajar kepada anak-anak
bagaimana untuk menghargainya iaitu dengan membaca. Sebagai ibubapa kita perlu menunjukkan contoh yang
kita juga mempunyai minat membaca. Membaca secara bersama-sama contohnya boleh meningkatkan budaya
ini. Hadith Rasulullah SAW menyatakan didiklah anak-anak kamu dengan pendidikan yang baik (HR Ibnu
Majah). Ini diperkukuhkan lagi oleh Bandura (1986) bahawa salah satu kaedah berkesan dalam proses
pembelajaran adalah pembelajaran pemerhatian. Oleh itu penetapan waktu membaca bersama keluarga juga
boleh dilakukan supaya anak-anak tidak sahaja belajar budaya membaca tetapi juga budaya menghargai masa.
Ini penting kerana konsep pendidikan sepanjang hayat adalah termasuk budaya suka membaca dan sentiasa
menghargai masa.
Bercakap tentang gaya bimbingan dalam rumah Diane Baumrind (1996) menjelaskan terdapat sekurangkurangnya 4 gaya keibubapaan yang boleh dipertimbangkan dalam mendidik anak-anak iaitu gaya autoritatif,
gaya autoritarian, gaya permisif, dan gaya tak peduli. Gaya autoritatif merujuk kepada didikan yang tegas,
sentiasa menekankan pematuhan kepada peraturan dan norma, tetapi dalam masa yang sama sentiasa memberi
ruang kepada anak-anak untuk belajar dan memberi pandangan. Gaya autoritarian pula lebih menekankan
ketegasan yang tidak boleh dipersoalkan. Ibubapa adalah pemerhati dan penguatkuasa kepada pematuhan
peraturan dan arahan yang diberikan. Gaya permisif pula berkenaan dengan gaya keibubapaan yang terlalu
longgar dengan peraturan dan keperluan kerana ibubapa lebih cenderung menuruti kehendak anak untuk
mengelakkan pertentangan. Manakala gaya tak peduli lebih menjurus kepada gaya keibubapaan yang langsung
tidak mengambil berat dan memberi kebebasan kepada anak untuk belajar tanpa bimbingan. Kebijaksanaan
setiap ibubapa dalam memilih dan menerapkan gaya keibubapaan adalah sangat penting dan bermakna. Ada
ketikanya kita rasa kita menerapkan gaya autoritatif kepada anak-anak kita tetapi pada hakikatnya kita tidak
jelas bahawa amalan yang diterapkan lebih menjurus kepada pendekatan autoritarian. Dengan lain perkataan
tanpa budaya ilmu kita akan menghadapi masalah dalam menerapkan sesuatu kepada anak-anak kita.
Dalam kajian berkenaan pengaruh didikan ibubapa dalam akademik dibuktikan bahawa anak-anak yang
mempunyai ibubapa yang tegas dan direktif tetapi sentiasa mengekalkan kemesraan dan sokongan emosional
berkecenderungan untuk melahirkan individu yang cemerlang dalam akademik dan matang emosionalnya
(Garner & Spears, 2000; Jarrett, 1995). Apabila pemilihan gaya keibubapaan yang tepat dan sesuai telah
dilaksanakan maka asas dan budaya pendidikan sepanjang hayat dapat diterapkan kepada anak-anak. Dengan
lain perkataan sebagai pendidik, ibubapa perlu menunjukkan contoh terbaik ciri-ciri individu yang sentiasa
mengamalkan budaya pendidikan sepanjang hayat kepada anak-anaknya untuk dicontohi.

Implikasi dan Penutup


Perbincangan di atas menunjukkan keterkaitan erat antara individu dengan persekitaran terutamanya ibubapa
dalam membentuk keperibadian dan kematangan diri. Apa yang penting setiap individu perlu memahami dan
menyedari tanggungjawab yang perlu dimainkan untuk membentuk budaya, keperibadian dan amalan yang baik
seperti yang dikehendaki. Pengamalan budaya pendidikan sepanjang hayat tidak terbentuk dalam masa yang
singkat, tetapi memerlukan pendedahan, pengamalan dan contoh yang berterusan. Tanpa persekitaran yang
kondusif proses pembentukan sikap tersebut adalah sukar.
Adalah sukar bagi kita untuk menerapkan budaya dan amalan pendidikan sepanjang hayat sekiranya kita sendiri
tidak mempunyai amalan tersebut. Proses pemindahan sikap dan amalan kepada anak-anak adalah sukar dan
mungkin tidak akan berlaku sama sekali. Ini kerana sebelum anak-anak berupaya membentuk satu-satu
kebiasaan atau sikap, mereka perlu mendapat didikan, pendedahan dan bimbingan yang secukupnya. Hanya
melalui sumber pendidikan yang memadai disertakan dengan didikan yang tepat barulah mereka berupaya
memahami dan berusaha untuk menjadikannya sebagai amalan. Dapat disimpulkan bahawa individu yang

40

Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014

mengamalkan budaya pendidikan sepanjang hayat dapat membentuk generasi penerusnya yang juga
mengamalkan budaya yang sama untuk membentuk masyarakat berilmu dan berkeperibadian.

Rujukan
Abdullah Nashih Ulwan. (1990). Pedoman Pendidikan Anak Dalam Islam. Bandung, Indonesia: Penerbit
Asy-Syifa.
Bandura, A. (1986). Social Foundations of Thought and Action. Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall.
Baumrind, D. (1996). The discipline controversy revisited. Family Relations, 45, 405-414.
Bronfenbrenner, U. (1994). Ecological models of human development. In International Encyclopedia of
Education, Vol.3, 2nd Ed. Oxford: Elsevier.
Delors, J. (1996). Learning: The treasure within Report to UNESCO of the International Commission on
Education for the Twenty-first Century, UNESCO.
European Commission. (2000). Making a European area of lifelong learning a reality, Brussels, COM.
Garner, P.W. & Spears, F.M. (2000). Emotion regulation in low-income preschool children. Social
Development, 9, 246-264.
Jarret, R. (1995). Growing up poor: The family experiences of socially mobile youth in low-income African
American neighbourhoods. Journal of Adolescent Research, 10, 111-135.
Woolfolk, A. (2014). Educational Psychology. Edinburgh, Essex: Pearson.

41

Anda mungkin juga menyukai