Anda di halaman 1dari 1

Tatabahasa dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pengetahuan tatabahasa lazimnya dn umumnya dikaitkan dengan silap atau betulnya sesuatu

penyampaian dari aspek struktur dan penggunaan perkataan. Dalam konteks bahasa sebagai alat atau cara berkomunikasi, aspek tatabahasa kadangkala tidak dititikberatkan kerana sering bersifat menghadkan, terutama sekali dalam komunikasi yang bersifat ekspresif seperti sajak dan pantun. Walaubagaimanapun, peranan tatabahasa dalam setiap bahasa amat penting dalam mendefinasikan struktur ayat dan penyampaian makna yang tepat dan sesuai, tidak mudah disalahertikan serta boleh dirasionalkan. Pengetahuan tatabahasa membolehkan kita mengkaji dan membincangkan cara ayat-ayat dibina, dan merumuskan makna yang terkandung serta cuba hendak disampaikan oleh sesuatu ayat mengikut kefahaman umum yang diterima. Dari segi tradisional pula tatabahasa ialah satu cara mengkaji bahasa berdasarkan hukum-hukum yang telah dibuat terhadap bahasa itu berdasarkan makna. Plato (429347) menerangkan ayat sebagai ucapan juga mempunyai fikiran yang lengkap yang terdiri daripada kata nama dan perbuatan. Menurut Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1996) tatabahasa ialah peraturan-peraturan bagaimana sesuatu perkataan dibentuk dan bagaimana perkataan itu bergabung dengan perkataan-perkataan lain untuk menghasil ayat-ayat yang gramatis. Tatabahasa dalam bahasa Melayu umumnya mencakupi dua bidang, iaitu morfologi dan sintaksis (Nik Safiah Karim et al.,2004). Morfologi ialah ilmu yang membicarakan struktur, bentuk dan golongan kata, serta cara perkataan diwujudkan daripada bunyi bahasa dan pengaruhnya terhadap makna kata. Di dalam morfologi, morfem merupakan unit terkecil yang menjadi unsur perkataan dari mana terbitnya perkataan-perkataan lain seperti perkataan berimbuhan. Sintaksis pula ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruksi ayat. Ia juga seterusnya mendefinasikan hukum atau rumus tatabahasa dalam penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat. Dalam pengajaran dan pembelajaran tatabahasa secara tidak langsung, keupayaan murid dalam menguasai pembentukan kata dan ayat mengikut sistem yang betul perlu sentiasa dipantau. Penekanan harus diberi melalui penggabungjalinan kemahiran bahasa seperti sebutan, intonasi dan semantik serta penggunaan peribahasa dan perbendaharaan kata yang betul. Walaupun disampaikan secara tidak langsung dan per se, perancangan yang rapi dan menyeluruh sebelum melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam aspek tatabahasa adalah perlu untuk menjamin keberkesanan penyampaian pengajaran yang distrukturkan daripada yang mudah kepada yang lebih kompleks. Perancangan yang rapi ini perlu diatur dengan mengambilkira aspek-aspek dan tahap kesukaran tatabahasa. Dalam menyediakan karangan atau ayat-ayat untuk dibincangkan, ruang untuk mengaplikasikan teknikteknik seperti penerangan, keperihalan, perbandingan serta pembinaan dan analisis, perlu diwujudkan. Proses ini amat penting dijalankan secara tidak langsung dan mengikut konteks kerana dipercayai lebih bermanafaat kepada murid dengan membenarkan mereka mempelajari sesuatu secara selektif dan tidak dibebankan dengan terlalu banyak istilah dan peraturan.

Anda mungkin juga menyukai