Anda di halaman 1dari 2

PENYEPIT / CHOPSTICK

Selain kutleri (pisau-sudu-garpu), penyepit (chopstick) juga merupakan salah satu daripada alat makan utama yang sering disediakan di meja makan untuk menikmati hidangan. Dalam bahasa Cina, penyepit dikenali sebagai k'uai-tzu. Kuai atau chop (dalam bahasa Inggeris), bermaksud cepat atau segera. Manakala, tzu bermaksud kayu kecil.

Makan menggunakan penyepit merupakan budaya yang cukup popular dalam kalangan penduduk di Asia. Budaya makan menggunakan penyepit di Malaysia cukup sinonim dengan masyarakat Cina. Kini, budaya dan pengaruh penggunaannya turut popular dalam kalangan masyarakat lain. Penyepit bukan sahaja berfungsi sebagai alat untuk makan sahaja, malah juga berfungsi sebagai alat memasak selain senduk, sudip, dan sebagainya. Penyepit bukan sekadar digunakan semasa makan, malah dijadikan kraftangan serta koleksi cenderamata yang menarik. Dalam kalangan masyarakat Jepun, penyepit dianggap sebagai sesuatu yang amat berharga dan digunakan khusus untuk upacara keagamaan. Masyarakat Cina dipercayai mula menggunakan penyepit lebih daripada 5000 tahun yang lalu, iaitu semenjak abad keempat Sebelum Masihi. Penyepit diperkenalkan pada waktu itu kerana penduduk Cina yang banyak dan kurangnya sumber makanan. Bagi mengatasi masalah ini, makanan dipotong kecil-kecil untuk menjimatkan penggunaan minyak masak. Potongan makanan ini dinikmati dengan menggunakan penyepit. Penggunaan penyepit menurut cerita, diilhamkan oleh dua orang petani miskin yang diusir dari kampung halaman mereka kira-kira 2500 tahun yang lalu. Ketika berkelana, oleh sebab terlalu lapar, mereka telah mencuri sebuku daging daripada sebuah stor makanan lalu melarikan diri ke dalam hutan. Mereka pun memanggang daging tersebut, dan oleh sebab tidak sabar menunggu daging yang dipanggang sejuk, mereka telah mematahkan ranting pokok yang berdekatan untuk menjamah makanan tersebut. Penggunaan penyepit bertujuan menggantikan pisau di meja makan, melambangkan pengaruh dan kekuasaan seseorang cendekiawan sebagai wira, yang mengatasi kedudukan seorang pahlawan di Cina. Budaya dan pengaruh penggunaan penyepit amat sinonim dengan masyarakat Cina. Pada peringkat awal, penyepit berbentuk seperti penyepit kecil (tweezer), yang diperbuat daripada sepotong buluh dan diikat di bahagian atas. Walau bagaimanapun, pada abad ke-10, dua potong buluh kecil telah diperkenalkan bagi menggantikan bentuk yang sedia ada. Pelbagai bahan digunakan untuk membuat penyepit yang disesuaikan mengikut kegunaannya. Ada yang diperbuat daripada kayu, buluh, plastik, tulang haiwan, gading, jade, porcelain, batu

karang dan logam. Biasanya penyepit kayu dan plastik, digunakan untuk makan sehari-hari, manakala penyepit buluh digunakan secara pakai buang (wari-bashi) telah dicipta oleh orang Jepun pada tahun 1878. Penyepit yang diperbuat daripada buluh adalah yang paling popular karana ciri-cirinya yang istimewa seperti harga yang murah, senang dipisah-pisahkan, tahan haba serta tidak mempunyai bau atau rasa. Bentuk penyepit juga pelbagai, ada yang diwarnakan, dilukis, dan diukir dengan puisi atau tulisan kaligrafi Cina atau Jepun. Terdapat perbezaan bentuk di antara penyepit yang dihasilkan di China dengan penyepit yang dihasilkan Jepun. Penyepit yang dihasilkan di China berbentuk segi empat bujur, tumpul di hujung dan panjangnya kira-kira 9-10 inci. Manakala, penyepit yang dihasilkan di Jepun, berbentuk bulat, agak pendek berbanding dengan penyepit Cina, iaitu kira-kira 7-8 inci dan ruang di hujung. Penyepit moden pula berukuran 20 cm panjang dan berbentuk segi empat tepat di bahagian atas untuk memudahkan pengguna memegangnya. Penyepit seperti juga kulteri yang lain, mempunyai adab penggunaan yang khusus dan pantang larang di meja makan. Penyepit tidak boleh digunakan untuk menunding ke arah individu untuk menarik perhatiannya dalam sesuatu perbualan. Penyepit juga tidak boleh digunakan untuk mengais-ngais makanan atau sup yang dihidangkan. Seseorang itu juga dilarang menjilat penyepitnya, yang dianggap sebagai perbuatan yang kurang manis dan sopan. Hari ini, penyepit bukan sahaja digunakan untuk makan, malah melalui kreativiti manusia, penyepit juga dijadikan kraftangan serta koleksi cenderamata yang menarik lagi unik. Malah, penyepit juga digunakan untuk menghasilkan karya seni seperti lukisan yang berestetika dan bernilai tinggi. Penyepit turut diperkenalkan ke dunia fesyen, sebagai salah satu daripada asesori perhiasan rambut wanita dan pakaian. Wanita yang gemar bergaya dan sukakan sesuatu yang baru, menggunakan penyepit sebagai cucuk sanggul untuk menyerlahkan lagi gaya dan keanggunan. Selain itu, penyepit juga dijadikan senjata untuk mempertahankan diri seperti yang dapat disaksikan dalam filem-filem kung-fu dan aksi, antaranya filem Crouching Tiger Hidden Dragon. Makan menggunakan penyepit merupakan seni tradisi yang diwarisi semenjak berabad-abad lamanya dan akan terus diwarisi sampai bila-bila. Makan menggunakan tangan, kutleri ataupun penyepit akan terus menjadi amalan manusia selagi manusia itu sendiri mampu menggerakkan tangan untuk makan, dan yang lebih penting, masih mempunyai selera untuk makan.

Anda mungkin juga menyukai