Anda di halaman 1dari 4

faaqihgroup.wordpress.

com
ebook gratis – animasi gratis – mp3 arabic gratis – software gratis – islam video gratis – islam galeri gratis
– edukasi games gratis – tips/tutorial computer gratis – 3D wallpaper gratis – info bisnis online

Apakah sistem kapitalis?


Oleh Muhammad Salleh

Kita kini sedang menghayati sebuah dunia di mana kekayaan sedang diciptakan pada kadar yang
tidak dapat dibayangkan oleh generasi-generasi dahulu. Kejayaan-kejayaan teknologi, seperti
kejuruteraan genetik dan dunia Internet, sedang berkembang dengan pesat. Semua ini, kita
diberitahu, adalah hasil daripada kejayaan sistem kapitalis. Menurut penyokong-penyokong
sistem kapitalis di merata dunia, sistem inilah yang telah membolehkan umat manusia mencapai
tahap kemajuan yang tinggi, lantas menjadikan sistem kapitalis sebuah sistem sempurna, yang
tidak lagi dapat diubahkan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa buat kali pertama dalam sejarah dunia, kita mempunyai
kekayaan yang mencukupi untuk memuaskan keperluan-keperluan setiap insan di dunia. Namun,
apa yang tidak dikatakan oleh penyokong-penyokong kapitalisme itu adalah bahawa berjuta-juta
orang masih mengalami kebuluran, berjuta-juta orang masih mengalami penyakit yang mudah
dicegah, kehidupan berjuta-juta orang masih dikecewakan oleh kemiskinan. Masyarakat kita,
iaitu masyarakat kapitalis, dikuasai oleh ketidak-samarataan dan ketidak-adilan, sambil
kehidupan kita semua diancam oleh krisis ekonomi dan konflik bersenjata. Pada masa apabila
sistem kapitalisme masih muda, Karl Marx sudah melihat percanggahan-percanggahan ini
dengan jelas, lalu menulis:

Dalam satu tangan, kuasa-kuasa perindustrian dan saintifik telah memasuki kehidupan,
yang mana-mana zaman sejarah manusia lalu tidak pernah mengharapkan. Dalam
tangan sebelah wujudnya ciri-ciri kereputan, yang jauh melintasi kengerian Empayar
Rom. Pada hari-hari ini, semuamya seolah-olah hamil dengan percanggahannya.
Jentera, dihadiahkan dengan kuasa memendekkan dan meringankan usaha manusia, kita
melihat melaparkan dan membebankan manusia. Sumber-sumber kekayaan luas, oleh
sesuatu keajaiban luarbiasa, diubahkan menjadi punca-punca keperluan.

Di sebalik perbincangan-perbincangan seperti ini, terdapat satu persoalan asas, iaitu apakah
sebenarnya sistem kapitalis? Apakah ciri-ciri asas sistem tersebut, dan apakah kesan daripada
ciri-ciri tersebut? Pada pandangan pertama, jawapan kepada soalan-soalan seperti ini mungkin
dikatakan ringkas. Bukankah sistem kapitalis sebuah sistem di mana beberapa individu yang
kaya memiliki kilang-kilang, pejabat-pejabat dan perusahaan-perusahaan yang lain? Bukankah
pihak kapitalis menyokong pasaran bebas, tanpa apa-apa perancangan terpusat? Namun, dewasa
kini, persoalan-persoalan tersebut tidak dapat ditangani dengan begitu mudah. Misalnya,
kebanyakan perusahaan gergasi kini tidak lagi dimiliki oleh seorang individu, tetapi mungkin
digerakkan oleh pejabat perusahaan atau kerajaan negara. Walau apapun perbezaan-perbezaan
ini, yang jelas adalah bahawa para pekerja dan golongan bawahan terus dieksploitasi dan ditindas
di bawah sistem kapitalis ini.
Maka, erti kapitalisme perlulah dikaji dengam menyeluruh dan disesuaikan dengan
perkembangan ekonomi mutakhir. Dari segi ini, kajian Karl Marx terhadap sistem kapitalis
sangatlah penting, kerana, dalam kata-kata Georg Lukacs, teori Marx teori Marx, “meleburkan
wajah pertubuhan-pertubuhan sosial yang kaku, tidak bersejarah dan semulajadi; ia
mendedahkan punca-punca bersejarah mereka dan maka menunjukkan bahawa ianya tertakluk
kepada sejarah dari setiap segi termasuk kemunduran bersejarah.” Marx telah menunjukkan
bahawa tindakan manusia pada masa yang lalu telah menciptakan dunia moden, bahkan juga
bahawa tindakan manusia dapat membentukkan masa depan yang bebas dari percanggahan-
percanggahan kapitalisme.

Berhadapan dengan pendekatan ini, kita perlulah terlebih dahulu mengkaji sejarah sistem
kapitalis untuk mengenalpasti ciri-cirinya. Sebelum bangkitnya sistem kapitalis, iaitu semasa
wujudnya sistem feudal, manusia belum lagi memajukan cara-cara untuk menguasai dunia
semulajadi, atau untuk menghasilkan barangan yang mencukupi bagi setiap insan. Marx telah
menulis bahawa kesemua hubungan-hubungan sosial dalam sistem feudal “diikat kepada tahap
perkembangan kuasa-kuasa produktif dan tenaga pekerja yang rendah serta hubungan-hubungan
terhad di antara manusia dan proses menciptakan dan menghasilkan semula kehidupan materialis
mereka, dan maka juga hubungan-hubungan terhad di antara manusia dan alam.”

Dalam sistem feudal, tanah merupakan sumber pengeluaran. Inilah yang dimaksudkan oleh Marx
apabila dia menulis bahawa “Dalam permilikan tanah feudal, kita sudah menjumpai penguasaan
tanah sebagai kuasa sesuatu yang asing ke atas manusia. Hamba serf adalah sampingan kepada
tanah. Serupa dengan itu, pewaris melalui sistem pewarisan feudal, iaitu anak lelaki sulong,
dimiliki oleh tanah. Ia mewarisi dia.” Dalam satu tangan, tahap kuasa-kuasa produktif yang
rendah bermakna usaha berterusan bagi golongan petani, sambil dalam tangan sebelah, tuan-tuan
feudal dan pegawai-pegawai gereja mengambil apa yang mereka menghendaki dari petani
dengan kekuasaan.

Hubungan-hubungan sosial dalam masyarakat feudal merupakan hubungan-hubungan


penguasaan dan penaklukan, tetapi ia sudah jelasnya merupakan hubungan-hubungan sosial di
antara individu-individu. Dari segi ini, batasan-batasan feudalisme sangatlah berbeza daripada
dinamik kapitalisme. Pihak borjuasi muda menginginkan sebuah masyarakat di mana segalanya
dapat dijual-beli dengan duit. Sebuah masyarakat seperti itu sudah pasti bergantung kepada
pembatasan-pembatasan tanah bersama dengan kejam. Ini bermakna bahawa, buat kali pertama
dalam sejarah manusia, majoriti masyarakat dinafikan jalan secara langsung kepada pengeluaran
dan cara-cara menciptakan kekayaan. Maka, pada abad ke-17 dan ke-18 di Eropah, sebuah kelas
pekerja yang tidak memiliki tanah telah ditaklukkan kepada bentuk pengeksploitasian yang baru,
iaitu pekerjaan bergaji.

Pendek kata, kapitalisme melibatkan perubahan asas dalam hubungan-hubungan di antara


manusia, peralatan-peralatan pengeluaran dan bahan-bahan pengeluaran.” Oleh kerana
perubahan-perubahan asas ini, setiap aspek kehidupan manusia telah diubah. Namun, perubahan-
perubahan ini hanya dapat dilaksanakan melalui apa yang Peter Linebaugh telah menamakan
„serangan-serangan perundangan‟ pada hujung abad ke-18 untuk memperdayakan kelas pekerja
bahawa apa yang mereka menghasilkan sebenarnya dimiliki oleh pihak kapitalis yang memiliki
kilang-kilang. Menjelang abad ke-19, pekerjaan bergaji telah menggantikan kesemua bentuk
pembayaran yang lain di Eropah.

Kajian Marx terhadap sistem kapitalis muda pada abad ke-19 menunjukkan bagaimana tenaga
pekerja telah menjadi sebuah komoditi, yang dapat dijual-beli pada pasaran. Pihak kapitalis dan
para pekerja mungkin bebas dari satu sama lain dari mana-mana segi rasmi, tetapi dalam realiti
mereka berkait rapat. Pengeluaran barangan tidak lagi berlaku di rumah atau bengkel-bengkel
kecil (seperti dalam sistem feudal), tetapi kini berlaku di kilang-kilang baru di mana mekanisasi
tenaga pekerja telah mengubah hubungan-hubungan manusia. Dalam karyanya yang terpenting,
iaitu Kapital, Marx membandingkan usaha tukang-tukang kraf di bawah sistem feudal dengan
pekerja kilang di bawah sistem kapitalis:

Dalam kraftangan dan pengeluaran, para pekerja menggunakan peralatan; di kilang,


jentera menggunakan pekerja. Di sana, gerak-geri peralatan tenaga pekerja bergerak
baginya, di sini ia adalah gerak-geri jentera yang mesti mengikutinya. Dalam
pengeluaran, para pekerja adalah sebahagian daripada mekanisme hidup. Dalam kilang,
kita mempunyai mekanisme tanpa kehidupan yang asing daripada pekerja, yang hanya
menjadi sampingan hidup.

Salah satu ciri kapitalisme yang paling membinasakan merupakan pembahagian tenaga pekerja.
Sebelum kapitalisme, memang terdapatnya pembahagian tenaga pekerja secara sosial, dengan
orang-orang berbeza telibat dalam cabang-cabang pengeluaran atau kraf yang berbeza. Dengan
kapitalisme telah bangkitnya pembahagian tenaga pekerja secara terperinci dalam setiap cabang
pengeluaran. Pembahagian tenaga pekerja ini bermakna bahawa pekerja terpaksa menjadi khusus
dalam tugas-tugas tertentu. Maka, tidak menghairankanlah bahawa John Ruskin pernah menulis
bahawa pembahagian tenaga pekerja adalah ungkapan palsu kerana ia adalah manusia yang
dibahagikan.

Dalam sistem kapitalis, para pekerja semakin bergantung kepada pihak kapitalis yang memiliki
cara-cara pengeluaran seperti kilang-kilang dan pejabat-pejebat. Ia menjadi semakin mustahil
bagi pekerja untuk hidup secara bebas daripada kapitalisme – jika dia bekerja, dia menjadi ibarat
sebuah jentera; jika dia tidak bekerja, dia akan hidup dalam kemiskinan. Marx menulis mengenai
para pekerja: “Kewujudan kapital adalah kewujudannya, kehidupannya, kerana ia menentukan
kandungan kehidupannya dalam cara yang tidak mempedulikannya.” Pendek kata, para pekerja
tidak mempunyai pilihan – bersedia bekerja atau bersedia mengalami kemiskinan. Maka, di
bawah kapitalisme, tenaga pekerja menjadi tenaga pekerja yang dipaksa kerana para pekerja
tidak dapat memilih untuk tidak bekerja, para pekerja tidak memiliki apa yang diciptakan oleh
mereka dan para pekerja tidak dapat memilih apa yang patut diciptakan. Marx menulis:

… pekerja hanya merasai dirinya apabila tidak bekerja; apabila dia bekerja, dia tidak
merasai dirinya. Dia berasa selesa apabila tidak bekerja, dan bukannya di rumah
apabila dia bekerja. Maka usahanya bukan secara sukarela tetapi dipaksa, ia adalah
tenaga pekerja dipaksa. Maka, ia bukan kepuasaan sesuatu keperluan, tetapi hanya cara
untuk memuaskan keperluan tersebut secara asing daripadanya. Sifat asingnya
ditunjukkan dengan jelas oleh fakta bahawa sesudah apa-apa fizikal atau pemaksaan
lain wujud, ia dipulaukan seperti wabak penyakit.
Di sini, kita dapat merumuskan perbincangan di atas dengan kata-kata berikut. Marx sebenarnya
tidak menganggap permilikan alat-alat atau cara-cara pengeluaran oleh individu sebagai masalah
utama kapitalisme. Dalam kajiannya ke atas sistem tersebut, yang menjadi jelas adalah bahawa
dia menolak situasi di mana cara-cara pengeluaran dikuasai oleh sebuah minoriti (iaitu kelas
kapitalis atau borjuasi), dengan tujuan mengeksploitasi majoriti (iaitu kelas pekerja).
Pengeksploitasian ini dapat mengambil pelbagai bentuk dalam hubungan-hubungan sosial di
antara manusia. Seperti yang telah dikatakan di atas, para pekerja tidak memiliki cara-cara
pengeluaran, dan terpaksa menjual satu-satunya komoditi yang dimiliki mereka, iaitu tenaga
pekerja mereka. Inilah satu sebab mengapa kemungkinan untuk merancangkan jalan-jalan
ekonomi demi kepentingan masyarakat umum tidak dapat bangkit dalam keadaan seperti ini.

Tambahan pula, setiap kapitalis didoring untuk bersaing demi memajukan perusahaannya sambil
mengorbankan orang yang lain. Marx telah melaungkan: “Akumulasi! Akumulasi! Itulah nabi-
nabi baginya.” Ini bermakna bahawa kapitalis yang kuat memakan kapitalis yang lemah, dan
bahawa sistem kapitalis akan merosot dengan dramatik apabila mengalami krisis ekonomi.

Sejak abad ke-19, sistem kapitalis ini telah menyebar ke setiap penjuru dunia, dan mungkin tidak
terdapatnya negara yang bebas daripada cengkamannya. Inilah sebab utama mengapa kajian
Marx sangatlah relevan dan penting pada hari ini. Cara-cara pengeluaran masih dikuasai oleh
golongan minoriti, biarpun di sebuah negara membangun seperti Malaysia atau sebuah negara
maju seperti Amerika Syarikat. Walaupun bentuk persaingan kapitalis mungkin berbeza dari satu
tempat ke tempat yang lain, hasilnya sentiasa sama: “Akumulasi! Akumulasi! Itulah nabi-nabi
baginya.” Dan para pekerjalah yang menjadi mangsa.

Maka, apa yang dapat dilakukan? Kajian Marx juga telah mengenalpasti kelas pekerja sebagai
unsur yang dapat menumbangkan sistem kapitalis dan mengubah masyarakat. Walaupun pihak
borjuasi atau kelas pemerintah dapat menggunakan penguasaan mereka ke etas ekonomi untuk
menguasai kanca politik melalui kerajaan, tentera dan polis, kejayaan sistem mereka juga
mewujudkan sebuah kelas yang mempunyai kuasa untuk membebaskan seluruh umat manusia –
iaitu kelas pekerja. Kelas pekerja ini tidak mengenali warna kulit, jantina, orientasi seksual,
mahupun sempadan negara. Hanya kelas pekerja sendiri yang dapat membina sebuah masyarakat
tanpa keperluan dan tanpa diktator kerana kelas pekerja sememangnya berbeza daripada kelas-
kelas yang lain. Kini terdapatnya beratus-ratus juta pekerja dan jumlah mereka semakin
meningkat setiap hari. Kerana kapitalisme merupakan sistem antarabangsa, ia terus mengembang
dan mengerjakan mereka yang suatu hari nanti akan memusnahkan sistem kapitalis itu.

Kemampuan unik kelas pekerja untuk mengubah dunia berpunca dari kedudukan kelas tersebut
dalam sistem kapitalisme. Secara asasnya, kapitalisme menarik penduduk dari desa dan
menghimpunkan mereka di tempat-tempat bekerja yang besar. Maka, para pekerja mendapati
bahawa mereka telah menjadi sebahagian daripada unit yang melibatkan beratus-ratus atau
beribu-ribu orang. Untuk mencapai pembaikan dalam keadaan mereka, para pekerja perlulah
bertindak secara kolektif, dengan melibatkan rakan-rakan sekerja mereka. Untuk mengubah
dunia, kelas pekerja perlulah bersatu di bawah panji-panji demokratik lagi sosialis.

Anda mungkin juga menyukai