Anda di halaman 1dari 4

CONTOH KARANGAN BAIK Karangan laras sastera Contoh 1 : Soalan 1 STPM 2003 Dalam usaha mempelbagaikan keluaran industri

negara, Malaysia begitu prihatin untuk terus memperkembangkan industri kecil dan sederhana (IKS). Bincangkan potensi dan masalah yang dihadapi oleh industri kecil dan sederhana pada masa ini di negara kita. Industri kecil dan sederhana (IKS) ialah industri yang terdapat di bandar atau luar bandar dengan menghasilkan barangan seperti makanan atau minuman, pakaian, dan perabot yang nilai modal asalnya kurang RM 500,000. Industri kecil dan sederhana amat berpotensi untuk dimajukan, namun terdapat juga masalah yang dihadapi oleh industri ini dalam usaha memajukannya. Industri kecil dan sederhana dapat meyediakan peluang pekerjaan. Peluang pekerjaan yang banyak dalam industri ini dapat menurunkan kadar pengangguran.Secara tidak langsung, masalah sosial dapat diatasi dengan pengurangan kadar pengangguran. Selain itu, peluang pekerjaan ini mengelakkan penghijrahan penduduk ke bandar, terutamanya jika industri ini diwujudkan di kawasan bandar. Industri kecil dan sederhana juga berfungsi sebagai pengekal warisan seni masyarakat. Kini unsur seni masyarakat digunakan dalam perusahaan IKS seperti pembuatan kraftangan dan kain sutera. Unsur seni yang digunakan bukan sahaja menambahkan kecantikan dan keunikan IKS, malah dapat mengekalkan warisan seni tradisi yang dinikmati turun-temurun. Dengan ini,kita juga mampu menonjolkan unsur seni masyarakat di negara kita kepada dunia luar. Dengan mengekalkan warisan seni ini, kita dapat membantu generasi muda mengenali dan mengetahui warisan seni negara serta menjamin warisan tersebut tidak pupus ditelan zaman. Industri kecil dan sederhana memang berpotensi untuk dimajukan, namun terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh industri ini . Antara cabaran yang dihadapi ialah kekurangan modal. Kekurangan modal telah menyebabkan kebanyakan pengusaha IKS tidak mempunyai modal yang besar untuk membeli mesin atau alatan yang lebih canggih. Modal yang kurang juga menyukarkan lagi pemasaran barangan IKS ke pasaran antarabangsa mahupun bersaing dengan barangan yang lebih moden. Kesukaran mendapat pinjaman daripada bank dan instirusi kewangan turut menyekat modal pusingan pengusaha-pengusaha IKS. Selain itu, IKS menghadapi masalah persaingan. Barangan IKS terpaksa bersaing dengan barangan yang serupa dengannya di pasaran. Barangan import yang lebih berkualiti memberi persaingan yang hebat kepada barangan IKS. Di samping itu, persaingan juga berlaku antara barangan IKS dengan barangan tiruan yang menyamai barangan IKS. Barangan tiruan dijual dengan harga yang lebih murah harganya berbanding barangan IKS. Persaingan ini akan menjejaskan IKS dan industri ini sukar berkembang. IKS dapat memajukan ekonomi negara jika dapat dimajukan dan diusahakan secara besar-besaran. Justeru, usaha yang berkesan wajar dilaksanakan untuk meningkatkan pencapaian IKS.

Contoh 2 : Soalan STPM tahun 2004 Proses urbanisasi menjadi satu keperluan kepada negara-negara membangun, namun pada masa yang sama proses tersebut juga menimbulkan masalah kepada negara-negara berkenaan. Bincangkan. Proses pertumbuhan satu-satu kawasan yang melibatkan pertukaran corak aktiviti ekonomi, perubahan fizikal dan juga sosial berlaku di negara-negara seluruh dunia, lebih-lebih lagi di negara negara sedang membangun. Proses urbanisasi ini sememangnya amat diperlukan oleh negara-negara membangun. Proses urbanisasi mempercepatkan pembangunan fizikal sesebuah negara . Pertambahan penduduk yang pesat di kawasan bandar menyebabkan pelbagai kemudahan asas dibina untuk menampung pertambahan tersebut. Sebagai contoh, sekolah, hospital dan kemudahan elektrik disediakan untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk. Selain itu, sistem perhubungan dan pengangkutan turut dimajukan untuk memenuhi permintaan penduduk. Justeru, kawasan yang mengalami proses urbanisasi akan membangun lebih cepat dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk. Di samping itu, proses urbanisasi dapat memajukan ekonomi sesebuah negara . Industri berkembang maju di kawasan yang mengalami urbanisasi. Perkembangan perindustrian akan menawarkan peluang pekerjaan yang banyak kepada penduduk. Aktiviti perindustrian yang giat dan maju dapat meningkatkan produktiviti sesuatu kawasan san seterusnya menyumbang kepada pertambahan pendapatan negara. Kawasan bandar juga menjadi tumpuan pemilik gedung perniagaan dan perdagangan. Pertambahan gedung perniagaan mengurangkan kadar pengangguran dan menstabilkan ekonomi negara. Urbanisasi mendatangkan banyak kepentingan kepada negara, namun proses ini juga mendatangkan masalah kepada negara-negara sedang membangun . Proses urbanisasi membawa masalah pencemaran yang serius. Pertambahan industri, kilang dan kenderaan menyebabkan pencemaran udara, seperti pembebasan asap dan debu ke atmosfera,. Penyaluran bahan kimia ke sungai menyebabkan pencemaran air. Pembinaan bangunan bercermin pula memerangkap haba dan mengakibatkan pencemaran terma. Masalah sanitasi akibat pembuangan sampah-sarap yang tidak sistematik mencetuskan pencemaran darat. Proses urbanisasi juga mengakibatkan pencemaran bunyi akibat pelbagai aktiviti, seperti perindustrian dan pertambahan kenderaan di bandar. Selain itu, urbanisasi juga mengakibatkan masalah kesesakan lalu lintas.Penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas. Di samping itu, akibat peningkatan taraf hidup di kawasan bandar, bilangan kenderaan semakin meningkat. Pertambahan kenderaan ini tidak diiringi dengan pembinaan jalan raya yang mencukupi. Justeru, keadaan ini menimbulkan masalah kesesakan yang serius di bandar-bandar besar, seperti Kuala Lumpur. Proses urbanisasi patut diteruskan untuk menuju sebuah negara maju. Oleh itu, masalahmasalah yang timbul akibat proses tersebut wajar ditangani demi menjamin kesejahteraan hidup dan mencapai Wawasan 2020.

Karangan laras sains

Contoh 1 : Soalan 4 STPM 2002 Penggunaan kaedah kawalan biologi merupakan satu kaedah alternatif kepada kelemahan penggunaan bahan kimia untuk mengatasi masalah serangga dan makhluk perosak dalam sektor pertanian. Bincangkan pernyataan ini. Kaedah kawalan biologi merupakan satu kaedah alternatif yang amat berkesan dalam sektor pertanian. Kaedah ini yang berlandaskan konsep mangsa pemangsa dapat menggantikan kelemahan penggunaan bahan kimia untuk mengatasi masalah serangga dan makhluk perosak dalam sektor pertanian. Penggunaan kaedah bahan kimia menguatkan lagi sistem keimunan serangga perosak. Racun serangga sebenarnya menyebabkan makhluk perosak menjadi lebih kebal kerana membina pertahanan baru selepas terkena semburan racun tersebut. Tahap keimunan yang meningkat menyebabkan serangga sukar dibunuh. Justeru, manusia memerlukan sukatan racun serangga yang tinggi untuk memusnahkannya. Keadaan ini akan memberi kesan sampingan kepada manusia. Selain itu, penggunaan bahan kimia pertanian mengakibatkan pencemaran alam. Aktiviti semburan racun serangga akan mencemarkan udara sekeliling dengan bahan-bahan racun. Sumber air juga turut tercemar apabila proses larut resap dan larian permukaan berlaku, terutamanya ketika hujan. Bahan racun yang terlarut resap dan masuk ke dalam kolam, sungai, tasik dan laut. Hal ini akan mencemarkan sumber-sumber air. Kebergantungan kepada racun serangga yang terlalu lama juga merendahkan kadar kesuburan tanih. Kaedah kawalan biologi tidak mencemarkan alam sekitar . Kaedah ini tidak membebaskan gas beracun ke atmosfera. Tambahan pula, kaedah ini juga tidak meninggalkan kesan kumulatif kepada tanah yang boleh merosakkan struktur tanah. Keadaan ini dapat menjamin kualiti alam sekitar serta menurunkan kadar pencemaran ke tahap minimum. Selain itu, kaedah kawalan biologi adalah bersih dan selamat . Petani hanya perlu memelihara burung hantu untuk menghapuskan tikus di ladang mereka. Konsep mangsa pemangsa ini adalah lebih menjamin dan tidak akan mengancam kesihatan petani dan pengguna. Tambahan pula, kaedah ini juga tidak meninggalkan sisa-sisa toksik atau bahan beracun yang boleh memudaratkan kesihatan petani atau haiwan yang lain. Dengan cara ini keselamatan manusia dan kebersihan sekeliling adalah terjamin. Kaedah kawalan biologi menjamin kelestarian alam sekitar. Penggunaan ini bertepatan dengan usaha pihak kerajaan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Oleh yang demikian, petani wajar memperluas penggunaan kawalan biologi dalam memajukan sektor pertanian di negara ini.

Contoh 2 : Soalan STPM 2003

Obesiti merupakan satu masalah yang berlaku di kalangan anggota masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya masalah tersebut dan kesannya terhadap kehidupan manusia. Obesiti atau kegemukan merupakan keadaan individu yang mengalami lebihan berat badan. Masalah ini sering berlaku di kalangan remaja dan kanak-kanak. Masalah ini berlaku disebabkan pelbagai faktor dan obesiti meninggalkan kesan buruk kepada manusia. Obesiti berlaku kerana amalan makan dan pemakanan yang tidak seimbang . Amalan memakan makanan yang terlalu banyak kandungan lemak dan kolestrol menyebabkan mudah menjadi gemuk. Selain itu, makan tidak mengikut masa menggalakkan seseorang itu menjadi obes. Anggota masyarakat kini kurang mengamalkan gizi makanan yang seimbang. Sebagai contoh, pengambilan makanan yang mengandungi kolestrol dan karbohidrat yang tinggi menyebabkan berlakunya himpunan lemak dalam badan manusia. Selain itu, faktor genetik atau keturunan juga menyebabkan obesiti . Ibu bapa yang gemuk menyebabkan anak-anak turut menjadi gemuk. Dari segi biologi, keturunan serupa ini mudah mengalami proses metabolisme yang rendah. Keadaan biologi ini menyebabkan lemak atau kolestrol tidak mudah terbakar. Faktor genetik tidak dapat diatasi dengan kawalan pemakanan dan perubatan. Oleh itu, golongan ini mudah menjadi gemuk walaupun mengamalkan kawalan pemakanan dan sistem pemakanan berjadual dan ubat-ubatan. Obesiti juga membawa kesan buruk kepada manusia. Masalah obesiti ini akan menjejaskan kesihatan. Pengambilan lemak yang berlebihan menyebabkan lemak termendak di dalam saluran darah dan sekeliling organ-organ badan. Keadaan ini menyebabkan penyakit darah tinggi dan penyakit jantung. Penyakit jantung terjadi akibat pengumpulan lemak di sekeliling jantung. hal ini mengakibatkan jantung terpaksa berdenyut melebihi keupayaannya untuk megepam darah dan oksigen. Selain itu, mereka juga mengalami tekanan psikologi . Orang yang gemuk berasa malu dan rendah diri. Mereka suka mengasingkan diri daripada bergaul dengan rakan-rakan lain. Mereka juga kurang aktif berbanding dengan orang yang kurus. Ejekan dan sindiran daripada rakan-rakan membawa kepada tekanan mental dan jiwa secara berlebihan. Hal ini menjejaskan emosi dan sahsiah individu terlibat. Kesimpulannya, obesiti menimbulkan banyak masalah kesihatan kepada manusia. Oleh itu, pelbagai langkah harus diambil supaya masalah kegendutan ini tidak menimbulkan masalah kesihatan yang serius.

Anda mungkin juga menyukai