Anda di halaman 1dari 38

ENTRI PERTAMA Salam anak desa tercinta, Lahirnya blog "di sini kita bersatu" bukan untuk mencabar

sesiapa , jauh sekali untuk menunjuk kepandaian. Tapi lahirnya blog ini sebagai satu wadah informasi untuk anak-anak desa tercinta sama ada yang berada di desa ataupun yang berada di perantauan. Satu laman penyampaian informasi, mengumpulkan maklumat untuk menjadi rujukan generasi akan datang, laman untuk mengumpul informasi untuk maklumat rakan sedesa.

Sumber Foto: PAKAM

Sumber Foto: Laman Muka Buku En Yazid Osman Terlalu ramai anak desa yang mencipta nama di luar desa dan kadang kita terlupa menghebahkan kejayaan ini sebagai panduan untuk anak-anak, adik adik dan kaum kerabat. Dengan wujudnya laman ini dapat kiranya kita berkongsi cerita, pengalaman, suka dan duka serta menghebahkan informasi terkini untuk semua warga Kampung Air Molek Kuala Sungai untuk Baru.

Sumber Foto: Laman Muka Buku En Ahmad Salehuddin Tercetusnya idea setelah membaca catatan di muka buku tentang PAKAM yang baru dilahirkan dan dengan sedikit ilmu yang ada, saya cuba menceriakan kisah desa tercinta, kisah perjuangan anak bangsa dan catatan perjuangan PAKAM dalam usaha untuk memajukan desa serta meletakkan Air Molek Kuala Sungai Baru setanding desa-desa lain di Melaka. Terlalu banyak info yang diperolehi dari laman muka buku yang saya rasakan boleh menjadi perkongsian untuk semua. Seperti kata Yang Berbahagia Datuk, PAKAM dilahirkan menjadi penggerak ke arah usaha untuk memajukan desa, mengubah minda dan seterusnya menjana informasi Terima kasih kepada Yang Berbahagia Datuk Nordin yang memberikan ruang untuk laman blog ini beroperasi. Pada peringkat awal ini, laman ini menggunakan domain percuma. Jika berjaya menarik pengunjung, saya cuba usahakan laman ini menjadi laman rasmi Kampung Air Molek dengan domain dan hosting berbayar. Segalanya akan ditentukan oleh masa. Bagi yang berminat ingin menyampaikan maklumat atau berkongsi idea atau sejarah desa, sejarah kejayaan dan sebagainya, emailkan butiran kepada saya di akuanakmelaka65@gmail.com agar mudah saya melakukan suntingan dan membuat posting di laman blog ini. Jika ada foto-foto lama yang boleh dikongsikan juga boleh diemailkan kepada saya untuk dikongsikan. Salam ukhuwah anak-anak desa tercinta. Jebat Admin Blog

SENARAI ANAK DESA YANG BERADA DI PUNCAK KEJAYAAN 1 Prof Madya Dr Ramle Hj Khamis Prof Madya-Pensyarah 2 Prof Said@Abdullah Bin Hj.Gahni Professor-Pensyarah 3 Ustad Haji Marwan Haji Jalil Guru Kanan Lepasan Universiti Azhar 4 Prof Madya Sarudin bin Haji Kari Prof Madya-Pensyarah 5 Prof Madya Mustafa B Haji Shamsudin Prof Madya-Pensyarah 6 Dr Zaidi bin Embong PHD Pensyarah 7 Dr Md Jani @ Hanif Bin Ibrahim Doktor Perubatan 8 Dr Fadilah Bte Majid Doktor Perubatan 9 Dr Bashir Elon PHD-Pensyarah (dulu pendaftar UKM) 10 Dr Hamzah Sakidin PHD-Pensyarah 11 Tuan Haji Rashid Budin -Pegawai PPD Melaka 12 Rahim Bin Ibrahim -Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka 13 Hj Awang Arshad -Pernah di lantik sebagai Pegawai Jabatan Ketua Menteri dan JKKK kg.Ayer Molek 14 Ir Hanafi bin Sulaiman - Perunding Wawasan Kreatif (Perunding Kejuruteraan Sivil) 15 Abdul Rahim @ Tapa bin Wahab - Eksukutif Petronas Carigali Sudan 16 Badrul Hisham bin Ismail @ Main - Pensyarah Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (MPPM) 17 Ibrahim bin Othman (kancil) - Pensyarah UITM Shah Alam 18 Leftenan Kolonel (B) Hayata bin Hj Alias (ATM) 19 Mejar Idris bin Borhan (ATM) 20 Leftenan Kolonel Udara Khairul Annuar (Yun) bin Shamsudin 21 Leftenan Muda Atikah binti Hairudin (TLDM) 22 Raid bin Hj Sulaiman - Pensyarah Matrikulasi Londang 23 Mohd Saufi bin Mansor - Wartawan Harian Metro 24 Abdul Kadir bin Abdul Rahman - Pengarah Urusan nnD Enterprise 25 Norhaslina binti Md Noran (Hatta) - Pensyarah Kolej Matrikulasi Tangkak 26 Ramli bin Bujang - Arkitek 27 Azmi bin Hj Kari - Hakim (Pendaftar Istana Keadilan Putrajaya) 28 Fausiah binti Abdul Rahman - Sister Hospital Besar Melaka Sumber info: Laman Muka Buku Azman Kari

Sejarah SK Air Jernih 1. Lokasi Sekolah.

Jarak sekolah ini terletak kira-kira 6 KM dari Pekan Kuala Sungai Baru dan 46 KM dari bandar Melaka. Keluasan kawasannya 1.675 ekar (Lot No. 3187 + Lot No. 3191). Terletak di Kampung Air Molek, Mukim Sungai Baru Hilir, Daerah Alor Gajah. 2. Sejarah Awal Pembukaan Sekolah Menyedari pentingnya pendidikan kepada anak-anak bangsa, demi menjamin masa depan dan maruah mereka, maka penduduk tempatan dengan dipelopori oleh keluarga Allahyarham Encik Dollah bin Kamal telah berjaya mendirikan satu tempat belajar bagi anak-anak mereka di kampung ini. Pada asalnya bangunan ini berupa sebuah pondok sahaja. Semenjak dari tahun 1915, di mana sekolah ini diasaskan hingga terdirinya bangunan yang sedia ada pada masa sekarang, ianya telah mengalami beberapa kali perpindahan; a) Tahun 1915, semasa diasaskan muridnya menumpang belajar di atas serambi rumah Encik Aman Bin Dollah iaitu belajar Quran dan mengira. b) Tahun 1916 berpindah di sebuah bangsal yang beratap dan berdindingkan rumbia di atas tanah Lot No. 1063. c) Tahun 1918 berpindah ke kedai Encik Noh bin Ismail di atas tanah Lot 1070 Tahun 1922 berpindah ke rumah kedai Encik Ang Gau seorang bangsa Tionghua di atas tanah Lot 1093 kepunyaan Encik Baba bin Deli. d) Tahun 1924 berpindah di tanah Lot 1082 kepunyaan Encik Lonjang bin Daiman. Bangunannya adalah sebuah pondok yang tiangnya kayu bulat yang ditanam, berlantaikan simen serta beratap dan berdindingkan rumbia pada paras 3 kaki dari tanah. e) Pada tahun 1926 berpindah lagi ke tanah Lot 3191 kepunyaan Tuan Imam Alang kerana sekolah asalnya roboh dipukul ribut. Sekolah ini terletak pada tapak rumah guru yang ada sekaran Perkembangan Sekolah Pada tahun 1927 sebuah sekolah baru didirikan oleh kerajaan di atas tanah Lot 3187. Bentuk bangunannya bertiang batu dua tingkat, bangunan kayu atap genting, tingkat atas berlantai serta berdinding papan dan tingkat bawahnya berlantaikan simen. Panjang bangunan ini 76 kaki dan lebarnya 29 kaki. Bangunannya dicat hitam. Seramai 65 orang pelajar dalam 5 buah kelas dimuatkan Di bangunan ini. Bangunan ini sekarang telah diganti dengan bangunan baru.

Pada tahun 1970 sebuah bangunan satu tingkat mengandungi 3 buah bilik darjah telah didirikan bagi menampung bilangan murid yang bertambah. Seterusnya pada tahun 1988 sebuah lagi bangunan baru telah didirikan dari peruntukkan projek gotong-royong. Pembinaan dari projek ini menyediakan dua buah bilik darjah dan sebuah bilik untuk pejabat Guru Besar. Sehingga kini di tanah Lot 3187, terdapat 3 bangunan sekolah, sebuah rumah guru, sebuah kantin dan sebuah padang bola sepak. 1. Jumlah Keramaian Murid Sekolah Di bawah Pentadbiran Masyarakat Tempatan Tahun 1915 - 10 orang pelajar lelaki. Tahun 1916 - 15 orang pelajar lelaki Tahun 1918 - 20 orang pelajar lelaki Sekolah Dibawah Pentadbiran Kerajaan. Tahun 1926 - 60 orang pelajar Lelaki Tahun 1940 - 90 orang pelajar Lelaki dan perempuan Tahun 1969 - 215 orang pelajar Lelaki dan perempuan Tahun 1996 - 153 orang pelajar Lelaki dan perempuan 2. Nama Sekolah Tahun 1915 - Sekolah Masyarakat Tahun 1922 - Sekolah Ayer Molek Jajahan 111 Tahun 1927 - Sekolah Melayu Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, Melaka. Tahun 1958- Sekolah Umum Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, Melaka. Tahun 1963- Sekolah Kebangsaan Air Jernih, Kuala Sunagai Baru, Melaka. 3. Pentadbiran.

Guru Besar. 1915-1921 Encik Alias bin Lani ( Ditaja Oleh Masyarakat ) 1922-1927 Encik Alias bin Lani ( Dibawah pentadbiran Kerajaan ) 1927-1932 Encik Mohamad Bin Tambi 1932-1940 Encik Jaidin bin Akibon 1941-1945 Darurat ( penjajahan Jepun ) 1945-1947 Encik Hashim bin Abd Jalil 1947-1948 Encik Bachek bin Bahaudin 1948-1951 Encik Mohamad Amin bin Jaidin 1952-1961 Encik Mohamad bin Md Nor 1962 Encik Mohamad bin Ajum 1963 Encik Tuan Haji Hasim bin Abd Jalil 1964 Encik Othman Bin Shawal 1965 Encik Baba Bin Jais 1966-1970 Encik Tuan Haji Yaakob bin Abu 1971-1975 Encik Tuan Haji Abdullah Bin Kassim 1976 Encik Kari bin Baba ( Memangku Guru Besar ) 1977-1982 Encik Baharom bin Rashid 1983-1987 Encik Yusof bin Ahmad 1988-1991 Encik Abu bin Othman

1992 Encik Ibrahim bin Said BKT, PPN, PJK ( Memangku Guru Besar ) 1993 Encik Tuan Haji Ismayatim bin Rahimin 1994 Encik Tuan Haji Mohd. Anuar bin Abd Aziz 1995 Encik Mohd Shah bin Haji Achin 1997 Puan Pouziah bte Ghani

MENGGAMIT MEMOIR SILAM Dunia awal remaja di desa Air Molek amat mengujakan dan barangkali generasi sekarang tidak lagi merasai suasana itu. Pertama kerana suasana telah berubah dan kedua, anak-anak generasi Y lebih tertarik dengan gadjet-gadjet moden malah lebih tertarik dengan motosikal berkuasa tinggi. Bukan kerana mereka ini gemar merempit, tetapi suasana zaman telah berubah. Generasi seangkatan dengan saya pasti teringat lagi suasana waktu musim kering. Ramai yang pergi menimba lopak-lopak air atau "kubang" untuk mencari ikan betuk, haruan mahupun sembilang. Masa tu bukan peduli atau tahu tempat tu ada ikan atau tidak. Main belasah jer. Janji boleh menimba. Puas menimba, seekor ikanpun tak dapat. Kalau dapatpun sepat ronggeng. Seekor dua. Jadi penyedap hati. Kalau tidak begitupun, sedang elok air nak kering empang pulak pecah. Punyalah sakit hati. Tubuh dah penuh lumpur, bau dah semacam. Balik ke rumah dah tentu kena bebel dengan mak dan ayah. Puas menimba kubang, beramai-ramai ke benteng yang terletak di hadapan rumah Pak Lang Minhat. Kira itulah swimming pool yang paling hebat. Macam-macam gaya terjunan dibuat. Nak dikatakan airnya dalam, tidak juga. Bukan setakat benteng itu sahaja. Benteng sajak juga tidak ketinggalan. Barangkali generasia baru tidak kenal siapakan aruah Tok Sajak. Tanyalah pada orang-orang tua. Lokasinya benteng inipun saya ingat-ingat lupa. Namun begitu, seingat saya, pernah kena kejar dengan Datuk Thambi kerana aruah tidak suka budak-budak kampung mandi di sana. Bahaya dan airnya bukanlah bersih.Berterabur lari sambil bawa seluar. Itulah memoir yang terindah zaman itu.....

MENGGAMIT MEMOIR SILAM 2 Beberapa ikon yang masih segar bermain dalam ingatan saya adalah orang-orang yang rapat dengan saya sewaktu saya mula menanjak dewasa. Antaranya Aki Bab. Atau Aki Baba. Ayah kepada Cikgu Kari Baba. Saya dan saudara Man Kari sering bersama beliau untuk pergi "mengambil kerbau" di kawasan ladang atau berhampiran rumah makcik Timah di jalan masuk ke Manlok. Selain Aki Bab, Aki Latif, Atuk Md Jai, Atuk Ghaim dan beberapa orang lagi. Kami akan berbasikal dari kampung hingga ke kawasan tersebut kemudian mengesan kedudukan kerbau sebelum menghalau kerbau-kerbau balik ke arah kampung. Ikon-ikon ini akan bercerita tentang pelbagai perkara sepanjang perjalanan pergi. Topiknya tidak menentu. Dari situasi semasa hinggalah kepada sejarah silam. Bagaimana orang-orang kampong mengambil upah memasak gambir, atau mengangkut getah ke pantai untuk dibawa ke seberang pada zaman getah mahal dulu. Yang menariknya semua tuanpunya kerbau ini mengenali kerbau masing-masing. kerbau-kerbau ini akan dihalau melalui kebun getah kemudian menghala ke paya. Merentasi rumah Viman. dari situ akan melalui rumah aruah Pakcik Mat, ayah datuk Nordin dan di masukkan ke dalam kandang di bawah pokok Asam Jawa berhadapan dengan rumah Wan Leme. Di sanalah kerbau tadi akan ditindik atau dipasang tali untuk dibawa ke kandang masing -masing. Kandang kerbau yang saya maksudkan berada di bawah pokok asam jawa milik Wan Leme berhampiran rumah

Pak Lang Adam sekarang ni. Kandang biasa. Bertiangkan kayu hutan dan kawat duri. Bilangan kerbaunya juga bukan sedikit. Mencapai 50 ekor.

Perasaan anak-anak remaja masa tu seperti cowboy yang menghalau lembu-lembu di Amerika. bezanya kami menggunakan basikal untuk mengiringi kerbau-kerbau ini. Kerbau-kerbau ini akan ditambat untuk suatu ketika sebelum dilepaskan semula. Seperkara lagi yang menarik, saya pernah melihat bagaimana pada awal bulan puasa atau menjelang hari raya, kerbau-kerbau disembelih dan dibahagikan sama rata dengan dengan bayaran yang setimpal. Setiap orang yang membayar jumlah tertentu akan menerima daging, tulang, limpa, hati dan sebagainya. Begitulah muafakatnya masyarakat desa Air Molek. Namun kini semuanya telah menjadi kenangan. Aki Bab, Aki Latif, Aki Ghaim telah lama berpulang ke rahmatullah. Kandang kerbau di bawah pokok Asam sudah tiada lagi. Tetapi yang masih ada ialah kata-kata aruah Aki Bab. Dalam perut kerbau tu ada TV, kereta, motor dan sebagainya. Puas memikirkan apak maksudnya. Rupanya dengan menjual kerbau pelbagai perkara boleh dimiliki. Tanyalah saudara Man Kari tentang falsafah itu. Tinggi falsafah orangorang tua dahulu

MENGGAMIT MEMOIR SILAM 3 Tinggal disebuah rumah kecil terletak di Solok Hilir. Bersebelahan dengan rumah Atuk Md Jai dan Atuk Ghaim dulunya adalah rumah Aki Taib. Seorang tukang yang begitu tinggi seninya. Aruah ini adalah abang kepada Atuk Ghaim dan adik kepada Atuk Baba. Beliau adalah datuk kepada Ghani Md Sah yang kini tinggal di seberang. Selain dari memiliki kepakaran bertukang, beliau juga rajin menggetah burung Bayan yang makan buah gemola (belimbing) di belakang rumahnya. Rumah beliau yang asal dulunya terletak di sebelah tapak rumah lama saya sebelum keluarga saya berpindah ke Taman Rebana. Rumah itu musnah ditimpa pokok Bacang dalam satu kejadian ribut. Beliau kemudian membina rumah di bahagian atas sedikit dan sekarang tapak rumah itu telah menjadi rumah Abang Mahat Jumbang. Seingat saya, tongkat yang digunakan khatib sewaktu membaca khutbah pada hari Jumaat dan Hari Raya adalah hasil tangan beliau. Beliau mengambil masa 1 bulan untuk menyiapkan tongkat ini. Penempahnya adalah Atuk Mail yang dulunya menjadi salah seorang ahli jawatan kuasa masjid. Selepas sekolah, saya sering menemani beliau membuat sarung parang atau hasil-hasil kerja seni di serambi rumah. Sambil menakuk kayu cempedak untuk dijadikan sarung parang beliau akan bercerita tentang sejarah mahupun cerita-cerita lama. Seingat saya cerita-cerita lisan yang disampaikan adalah cerita Pulau Sembilan, Cerita Pulau jambu, Cerita-cerita jenaka dan banyak lagi. Bayaran untuk mendengar cerita ialah saya harus ke kedai membelikan barang-barang untuk beliau. Antaranya rokok "Signal". Dan kedai yang menjadi tumpuan saya adalah kedai Atuk Kassim yang terletak di hadapan rumah Atuk Keri. Masa tu, kicap boleh dibeli dengan harga sepuluh sen atau dua puluh sen dan diisi dalam cawan yang dibawa sendiri. Kedai aruah tidaklah besar sangat tetapi lengkap dan mampu memenuhi keperluan pelanggan. Kedai itu salah satunya kedai milik orang Melayu selain sebuah lagi di Solok Seberang. Masa tu kedai koperasi belum ada lagi. Hanya kedai Apak dan Guan sahaja yang ada. Kini, bersebelahan dengan tapak kedai Atuk Kassim telah terbina kedai Abang Depo. Makin maju nampaknya kedai tersebut. Tak perlulah penduduk di sebelah hilir ke kedai Ah Pak atau Teck Lai.

IKON KAMPUNG Beberapa ikon Kampung Air Molek Kuala Sungai Baru Melaka masih kekal dalam ingatan saya. Antaranya Cikgu Ibrahim Said yang mengajar di SK Air Jernih. Bering kelihatan mengusung senapang laras dua untuk menembak tupai. Beliau banyak membawa pembangunan ke kampung ini. Selain beliau adalah Atuk Awang Arshad yang juga antara insan yang banyak menabur jasa dalam usaha membangunkan kampung ini. Beliau yang sering tersenyum pernah berkhidmat dengan Jabatan Ketua Menteri Melaka. Selain itu, Cikgu Jati Dolmat, Cikgu Kari Baba yang tulisannya amat cantik dan tak pernah marah, Khatib Leman, Imam Jalil, Sidang Baba yang popular dalam dunia masing-masing dan saling memberikan khidmat untuk kampung. Masing-masing membawa perubahan melalui peranan mereka sebagai imam, khatib mahupun bidang pendidikan. Di solok hulu, mungkin kita masih ingat Long Said Lambak, di hilir Long Saman, di bahagian tengah pula Long Seman, menghala ke arah paya, Tuk Ali. Mereka ini adalah pemandu-pemandu dan pemilik kereta sewa yang memberikan perkhidmatan untuk membawa orang kampung ke pekan Kuala atau ke Masjid tanh. Selain itu saya ingat lagi Long Adi yang mahir dengan jalanjalan di KL

UBI AJINOMOTO Ramai yang barangkali tidak tahu bahawa di kampung kita ini dahulu pernah ditanam dengan ubi ajinomoto. Maksudnya ubi yang digunakan sebagai ramuan untuk membuat ajinomoto. Kawasannya di dari rumah Wan Che Me (rumah Ramli-driver bas Patt Hup) hinggalah ke rumah Pakcik Md Ali (Pakcik Kanton).

Ini bukan ubi ajinomoto tetapi ubi biasa. Orang kampung gemar membakar ubi ini dalam bara api yang digunakan untuk melayur mengkuang. Ubinya amat besar. Ada yang sebesar peha orang dewasa. Pokoknya pula agak tinggi. Puas juga nak mencabut ubi jenis ini. Kena gali dulu. Kemudian diangkut ke rumah aruah Datuk Puteh Baba di pangkal simpang untuk ditimbang dan bayaran dibuat kepada pemiliknya. Tak ingat berapa harganya waktu itu.Selain itu, kawasan bahagian hadapannya pula pernah ditanam dengan ubi keledek, sayur dan kacang tanah. Lumayan juga hasilnya.

Pelajar SK Air Jernih mulakan persekolahan dalam keadaan daif ALOR GAJAH 5 Jan. - Sebanyak 216 murid dan 15 guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Jernih di sini memulakan sesi persekolahan 2009 yang bermula hari ini dalam keadaan yang begitu daif. Ibu bapa yang sejak dari awal pagi datang untuk menghantar anak ke sekolah, jelas kecewa melihat keadaan dan persekitaran sekolah yang tidak teratur hingga menjejaskan sesi hari pertama persekolahan. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati para guru terpaksa menggunakan dua buah kontena untuk Cikgu Emy Omar, dibantu Mohd. Ezhan Shafri Mohd Selan dan Muhd. Ikmal Adib (depan) dijadikan pejabat, perpustakaan dan bilik guru. membawa buku latihan ke kontena yang Manakala sebahagian daripada murid-murid menempatkan pejabat dan bilik guru di Kuala pula terpaksa ditempatkan di kawasan kantin Sungai Baru, Alor Gajah, semalam. sekolah yang dijadikan bilik darjah. - Gambar GAIE UCHEL Lebih menyedihkan, kawasan persekitaran sekolah menjadi sempit dan berbahaya kepada murid-murid ekoran pembinaan dua buah bangunan sekolah baru yang masih belum siap. Malah beberapa serpihan tajam atap genting, paku, zink dan kayu tajam dilihat bertaburan berhampiran sekolah dan dalam longkang yang boleh mengancam keselamatan murid. Hanya dua buah bangunan lama yang mempunyai lapan bilik darjah boleh digunakan. Masalah di sekolah itu berpunca daripada kegagalan pihak berkenaan menyiapkan projek pembinaan bangunan baru mengandungi dua blok empat tingkat mengikut jadual. Difahamkan ia sepatutnya siap Julai lalu tetapi telah ditangguhkan sehingga November lalu dan ditangguh sekali lagi sehingga Februari ini. Kebanyakan ibu bapa pelajar yang ditemui melahirkan rasa sedih dan kecewa melihat keadaan sekolah yang sempit dan tidak teratur yang terpaksa diharungi oleh anak-anak mereka ketika memulakan sesi persekolahan pertama. Seorang bapa, Ahmad Totin, 58, berkata, suasana sekolah seperti itu dilihat seperti tidak sesuai untuk murid-murid memulakan sesi persekolahan. "Macam mana hendak belajar, sekolah baru tak siap. Bilik darjah pula kurang selain keadaan persekitaran sekolah yang sempit dan berselerak," katanya. Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri khususnya Kementerian Pelajaran bertindak untuk mengatasi masalah yang menimpa sekolah berkenaan. Rakannya, Bahari Rantau, 56, turut melahirkan rasa sedih dan mengharapkan supaya pihak bertanggungjawab dapat menyiapkan segera bangunan baru sekolah itu demi keselesaan murid dan guru. ''Tidak sepatutnya sekolah tidak siap. Melihat guru-guru terpaksa menggunakan kontena sebagai pejabat dan bilik guru, ia memang amat memalukan," katanya. Suri rumah, Rohaida Abdul Rahman, 31, berkata, selain faktor keselesaan pelajar, keselamatan murid-murid juga harus diberi keutamaan dan sentiasa dipantau.

"Pelbagai serpihan kayu dan zink dari tapak bangunan baru yang terbengkalai di sebelah sekolah boleh mencederakan pelajar jika ia tidak dibuang," katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Ismail Osman, ketika melawat sekolah tersebut berkata, persekitaran sekolah terbabit menimbulkan suasana yang tidak selesa untuk sesi pembelajaran. "Dengan segala prasarana seperti ini, saya lihat ia tidak sesuai untuk pembelajaran. "Saya amat berharap, Kementerian Kerja Raya dapat melantik kontraktor baru untuk meneruskan projek ini kerana kontraktor lama tidak mahu lagi meneruskan pembinaan sejak enam bulan lalu," katanya Sumber: Utusan Online

SEJARAH KAMPUNG AIR MOLEK Terdapat beberapa versi yang menceritakan tentang desa kecil ini. Saya cuba ketengah beebrapa salah satu versi yang saya ambil dari laman muka buku PAKAM yang ditulis oleh Datuk Nordin Ahmad. Sebagai salah seorang penulis blog, menyampaikan sesuatu adalah kepuasan. Saya juga merasa puas jika cuba penulisan sejarah kampung ini dapat dijadikan arkib sejarah desa kecil kita. Air Molek Kuala Sungai Baru dikatakan dibuka oleh dua orang pendatang dari Air Molek Melaka. Kedua-duanya adalah adik beradik bernama Rahmat dan Kamat (sumber dari Datuk Nordin). Keduanya membuka petempatan ini dan seterusnya menamakan kampung ini mengikut nama asal kampung mereka. Satu versi lagi, dikatakan bahawa nama kampung ini diperolehi dari sebuah perigi yang sangat cantik, jernih airnya. Perigi ini dikatakan masih wujud lagi. Kejernihan, kedinginan air perigi ini akhirnya menjadi sebutan dan akhirnya melekatlah nama kampung ini dengan nama Air Molek. Kajian masih dilakukan untuk menentukan sejarah sahih kampung ini Perkembangan Kampung Air Molek Masa yang berlalu, membawa sama perubahan yang ketara di kampung ini. Dari sebuah kampung tradisional kini mula berkembang menjadi sebuah kampung yang berdaya saing dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas. Pekerjaan utama penduduk kampung ini adalah sebagai penoreh getah, tukang rumah, pekerja-pekerja di jabatan kerajaan dan sektor swasta. Jumlah penduduk lebih kurang 1000 orang. Kampung ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang dikenali dengan panggilan Solok Hilir, Solok Hulu, Solok Seberang dan Paya. Terdapat dua jalan utama memasuki kampung ini iaitu dari arah Lubuk China dan juga dari arah Kuala Sungai Baru. Jalan besar yang merentangi kampung ini merupakan jalan yang menghubungkan antara Pekan Lubuk China di sempadan Melaka dan Negeri Sembilan ke pekan-pekan terdekat seperti Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah dan terus ke Melaka. Selain itu, jalan ini juga digunakan untuk ke Port Dicksons. Dikatakan bahawa peduduk kampung ini mempunyai ikatan persaudaraan yang agak kuat melalui hubunga darah mahupun perkahwinan. Terdapat juga penduduk kampung ini yang datangnya dari perkampungan sekitar seperti Lubuk Redan yang dikenali sebagai baruh dan Ramuan China Besar. Dikelilingi oleh ladang-ladang getah dan kelapa sawit, suasana kampung ini masih tenang dan segar udaranya. Sebuah sekolah melengkapi keperluan pendidikan anak-anak kampung dan dikenali dengan nama SK Air Jernih. Sebuah Balai Raya, Pusat Cyber, Sekolah Agama dan Masjid turut menjadi ikon utama menyatukan masyarakat di sini.Yang lebih menarik adalah setiap solok mempunyai surau tersendiri dan menjadi tumpuan penduduk sekitar. Jika dahulu, deretan rumah kayu tradisional mmenuhi kampung, kini telah mula digantikan

dengan binaan rumah yang berasaskan batu dan bersifat lebih kekal. Ini menunjukkan perkembangan ekonomi masyarakat kampung telah mula mengalami perkembangan. (Tulisan ini tidak menggambarkan sejarah sebenar kampung ini. Usaha-usaha penulisan sedang dilakukan oleh beberapa pihak untuk mewujudkan sejarah yang boleh diterima pakai oleh semua-admin blog)

MENGGAMIT MEMOIR SILAM Musim Bersawah 1 Rasanya anak generasi Y sekarang ini tidak merasa keseronokan musim bersawah padi di kampung kita. Biarpun sawah tidak seluas bendang di Kedah dan Perlis namun keriangan orangorang kampung menuai padi jelas terpancar pada wajah mereka. Musim inilah ramai yang pulang ke kampung untuk merasa beras baru.

Gambar Hiasan Musim bersawah di kampung Air Molek telah lama ditinggalkan akibat kegagalan pengairan air. Ini bukan berlaku di kampung kita sahaja tetapi hampir kebanyakan kampung gara-gara jurutera yang mengubah sistem pengairan tradisional ke pengairan moden yang melenyapkan terus bekalan air. Dulu pada musim begini, akan kelihatan kerbau-kerbau menarik bajak atau sikat untuk menggemburkan tanah sebelum digantikan oleh jentera pembajak. Hanya segelintir sahaja yang mampu menggunakan mesin kubota. Namun keriangan jelas kelihatan. Di mana-mana kelihatan kerbau dengan tubuh berkilat menarik bajak. Selesai membajak sawah akan kelihatan pula, deretan kaum ibu menggandar anak-anak padi untuk digunakan dalam proses "mengubah". Maksudnya anak padi yang disemai ditapak semaian akan dicabut dan dialihkan ke petak-petak sawah. Besar, kecil, tua, muda kelihatan saling bertolong bantu. Menjemur diri di tengah panas. Berehat sebentar sambil menjamah nasih putih berlaukkan ikan sawah yang digoreng berlada atau sambal kata orang kampung. Sambil berbincang strategi kehidupan.

Gambar Hiasan Cukup masa akan kelihatan pula deretan orang-orang kampung memasuki kawasan sawah sama ada dari hujung tanjung atau dari rumah aruah Saiman, berhampiran dengan rumah Adam Palit. Kalau tak silap saya ada sebatang pokok Sena di situ dan sebuah jambatan kayu. Di atas sedikit,

ada sebatang pokok mangga yanjg sering menjadi balingan budak-budak. Buahnya akan menjadi makanan dan dicecah dengan garam atau kicap. Waktu menuai ini adalah waktu yang paling riang. Hasil telah boleh dinikmati. Batang-batang padi dibentuk menjadi serunai. Ditiup oleh kanak-kanak. Yang dewasa mencari sisa-sisa lopak air untuk meninjau jika ada ikan yang terkurung di lopak tersebut. Suatu masa dahulu juga, orang-orang kampung pernah memasang jaring untuk menangkap burung ayamayam. Tapi setelah diwartakan sebagai perbuatan yang salah aktiviti itu dihentikan. Batangbatang padi yang masih segar dibawa pulang untuk makanan kerbau yang ditambat.

MENGGAMIT MEMOIR SILAM Musim Bersawah 2 Setelah padi tuai dan dimasukkan ke dalam tong khas yang dipanggil "kui". Apabila diperlukan, padi-padi akan dijemur di atas tikar. Suatu masa dulu masih ada mesin mengangin padi yang digunakan untuk mengasingkan padi dari hampa. Seingat saya mesin tu dulu ada di rumah aruah Wan Kenit (Sekarang rumah Hj Meran Baba). Jika yang tidak mempunyai mesin, akan menggunakan kudrat manusia. Padi dimasukkan ke dalam nyiru dan bila angin bertiup akan dicurah padi tadi. Hampanya akan terbang mengikut angin. Padinya akan berkumpul setempat. Sains Orang kampung.

Gambar hiasan-rupa mesin angin padi Ada jadual tertentu, mesin padi akan masuk ke kampung untuk mengisar padi dengan bayaran yang agak murah. Dari hulu hingga ke hilir, mesin pada akan beroperasi seharian. Jika yang tidak berkesempatan, padi akan di bawah ke Pekan Kuala untuk dimesin. Yang mempunyai lesung dan tenaga akan menggunakan lesung untuk menumbuk padi.

Gambar Hiasan Ada juga padi yang diasingkan untuk dijadikan emping. Proses mengemping biasanya dilakukan pada waktu malam selepas isyak selalunya. Akan bertingkahlah bunyi antan dan lesung memecah keheningan malam.

SELEKOH BAHAYA AIR MOLEK Jika anda datang dari arah Solok Paya Lebar, Ramuan China Besar, anda akan memasuki Kampung Air Mole dari arah sempadan Negeri Sembilan-Melaka sebenarnya. Anda pasti ketemukan sebuah selekoh yang agak bahaya. Selekoh tersebut berada hampir dengan persimpangan masuk ke ladang getah dan Pusat Latihan Khidmat Negara. Selepas selekoh itu sebenarnya ada sebuah selekoh lain yang lebih bahaya dan telah mencatat puluhan kemalangan. Cuba anda perhatikan dari selekoh tadi ke pusat pengumpulan susu getah. Terdapa sebatang jalan masuk ke Solok Seberang. Di situlah selekoh tersebut berada dan berbentuk "S" yang amat panjang. Kerap terjadi kemalangan dan kerap juga penduduk kampung keluar membantu mangsa-mangsa kemalangan. Lantara terlalu banyak kemalangan, pihak JKR telah meluruskan sedikit jalan, memotong selekoh tersebut hinggalah menjadi seperti sekarang. Kalau dilihat betul-betul masih ada kesankesan tar yang menjadi sisa jalan raya yang dibina dahulu Padang Kilat Padang Kilat. Nama yang menarik dan telah mencatat pelbagai sejarah tersendiri. Terletak berhampiran rumah aruah Datuk Tambychik, salah seorang pengamal perubatan tradisional yang terkenal dan juga SK Air Jernih. Di sinilah anak-anak muda berganding bahu melepaskan penat dan lelah bekerja, belajar dan sebagainya pada waktu petang dengan bermain bola sepak. Biarpun kondisi padangnya tidak sebaik mana tetapi terlalu besar sejarah yang telah dicatat oleh padang kilat ini. Di sinilah anak-anak kampung mengasah bakat, menggilap kerjaya, bertukar informasi, bertemu rakan lama dan baru serta menjalin ukhuwah.

Sumber Foto: Laman Muka Buku Ahli PAKAM Dikatakan padang ini adalah rezab tanah perkuburan dan sememangnya terdapat beberapa perkuburan lama di kawasan ini. Dengarnya pihak pentadbiran kampung sedang berusaha menggantikan padang kilat ini dengan padang yang lebih sesuai memandangkan keperluan riadah untuk anak-anak kampung amat perlu. IKON YANG SUKAR TERLUPAKAN Seingat saya, zaman persekolahan saya di Sk Air Jernih, walaupun tidak lama tapi sempat bersama seorang ikon yang agak terkenal. Korang barangkali tering pada aruah Tok Mat. Tak ingat? Tapi ingat tak pada kereta lembu? Dialah ikon yang saya maksudkan.

Gambar Hiasan- kereta lembu Tok Mat tak ada bumbung macam ni sebab nak isi kayu getah. Menggunakan tayar lori. Siap ada spring lagi. Sumber Gambar:koranbergambar.blogspot.com Aruah ini seorang yang amat simple. Dengan gaya tersendiri beliau mengambil upah memotong dan menghantar kayu getah untuk pelanggan-pelanggannya dengan kereta lembu milik beliau. Seawal pagi aruah sudah keluar. Setelah mengurus lembu dan keretanya, beliau akan menuju ke ladang getah untuk memotong kayu-kayu dan diisi dalam kereta lembu beliau. Kemudiannya dihantar kepada pelanggan. Saya pernah membantu beliau bekerja. Dengan upah RM3. Besar

masa tu nilai RM3. Beliau sudah tiada lagi. Sudah lama kembali ke rahmatullah tapi ingatan bersama beliau masih kekal terutama nasihat dan ingatan beliau pada saya tentang kehidupan. Seorang lagi ikon yang popular dengan kereta lembu adalah Aki Lewat yang tinggal di Solok Seberang. Beliau juga sudah tiada lagi. Semoga mereka ini dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi insan pilihanNya. Al fatihah Pusara Pahlawan Negara

Gambar Hiasan Mungkin tidak keterlaluan kalau saya katakan beberapa dekad dahulu terdapat anak-anak kampung yang terkorban dalam pertempuran dengan komunis. Namun saya gagal mendapatkan info mengenai aruah-aruah ini. Dalam beberapa perbualan, terselit juga beberapa anak kampung yang disemadikan di tanh perkuburan di hadapan rumah Saudara Abdullah Karim adalah pejuang-pejuang yang terkorban dalam pertempuran. Jika ada info, emailkan kepada saya. Agar dapat saya abadikan pengorbanan mereka dalam blog ini sebagai tatapan generasi baru MEMASAK MINYAK Entri saya hari ini adalah tentang aktiviti memasak minyak kelapa oleh warga kampung kita ini. Dahulu aktiviti ini amat popular dikalangan orang kampung. Kelapa-kelapa dibeli dari perkampungan Cina Manlok. Berduyun-duyunlah orang kampung membaw kelapa pulang sama ada dikandar atau dibawa dengan basikal untuk dikupas, dibelah dan diparut. Kelapa ini dimasak sehingga menimbulkan minyak yang kemudiannya apabila sejuk minyaknya dibotolkan. Terjamin dari segala segi. Halal, bersih dan menjimatkan. Baki kelapa yang dimasak tadi dikenali dengan nama "tahi minyak", dijadikan makanan ringan kanak-kanak. Namun tidak bioleh dimakan lebih. Cirit birit jadinya. Ada juga dicampurkan dalam sambal tumis.

Sekarang ni, ramai dah tak tahu atau tak mahu menghasilkan minyak kelapa sendiri. Semuanya main beli di kedai. Murah dan tak banyak kerja. KES CURI LEMBU DI AIR MOLEK Kalau saudara-saudara membaca Sinar harian hari, pasti akan bertemu dengan curu lembu di kampung kita. 9 ekor lembu dilarikan namun kejadian ini disedari oleh petugas Cegah Jenayah yang melihat titisan darah dan kaki lembu yang terkeluar dari balutan kanvas lori. Cuba bayangkan 9 ekor lembu dicuri. Seekor kita anggarkan 1000. RM9000 lenyap begitu sahaja jika tiada tindakan pantas Pasukan Cegah Jenayah. Moralnya di sini adalah betap mudahnya jenayah dilalukan di kampung kita dan betapa cuainya penduduk kampung kita menjaga harta benda. Si pencuri memang salahlah. Tapi kita yang membiarkan lembu lepas bebas pula macam mana. Sama-samalah kita fikir-fikirkan mengatasi berulangnya perkara ini Wayang Penerangan Di Balai Raya Suatu masa dahulu, kerap juga Jabatan Penerangan masuk ke kampung membuat pelbagai promosi politik sambil menayangkan filem-filem. Lokasinya di Balai Raya. Berdyun-duyunlah penduduk kampung keluar menyaksikan tayangan percuma sambil membeli jualan-jualan yang dijual oleh peniaga kecil. Macam tengok wayang kat panggung. Sambil baring atas tikar mengkuang yang dibentang dan mengunyah kacang rebus, kacang goreng. Semua tu sudah tiada lagi. Masa sudah berubah. Generasi kini lebih suka menghadap internet dengan capaian terhadap laman-laman yang menyediakan pelbagai bentuk cerita yang lebih mudah dan percuma. Boleh dimuat turun. Disimpan dalam CD atau pendrive.

Inilah gambaran wayang pacak yang suatu masa dahulu sering datang ke kampung kita CERITA COMBAT Korang pernah tengok cerita COMBAT? Dulu cerita ni popular. Dengan Vic Morrownya sebagai Sarjan Saunders. Setiap minggu sekali. Awal-awal lagi dah sedia nak tengok. Yang mengaji sanggup ponteng mengaji. Combat punya penangan. Masa tu hitam putih lagi. Tumpanglah tengok mana-mana rumah yang ada TV. Antaranya rumah Saudara Azman Kari, Saudara Abdullah Karim. Seingat saya aruah Busu Karim berniaga di hadapan rumah masa tu.

Malam tengok Combat, siang pulak susup sasap dalam semak jadi Combat. Semua nak jadi Vic Morrow. Semua nak jadi Amerikana. Tak Nak jadi Jerman. Berbuihlah mulut meniru gaya mesin gun. Seronok masa tu. Macam-macam gaya dibuat. Macam mana dalam filem. Begitulah di luar filem. Awalnya, TV gunakan bateri atau generator sebelum digantikan oleh bekalan elektrik. Setiap solok ada pemilik TV yang bermurah hati memberikan peluang kepada jiran-jiran menumpang menonton TV Pelbagai Kisah Untuk Diceritakan Terlalu banyak kisah yang boleh diceritakan tentang desa tersayang. Sama ada yang boleh diceritakan atau off record demi menjaga hati sesetengah pihak. Namun saya cuba mengupas sebaik mungkin kisah-kisah yang boleh diceritakan untuk tatapan semua... Saya tidak lama di kampung. membesar di luar kemudian pulang ke kampung dalam lingkungan 7 hingga 8 tahun kemudia mencari rezeki di luar hingga sekarang. Namun ada cerita yang sukar dilepaskan dari ingatan... Sebenarnya di kampung kita, selain kedai Cina dua buah terdapat juga kedai Melayu iaitu kedai Atuk Kassim di hadapan rumah aruah Atuk Awang Arshad. Kedai Atuk Kassim di solok seberang, Kedai Teng Sze (yang ada sampai kini). Dua kedai yang telah tiada ialah kedai Nail (hadapan rumah Atuk Jamil Dolmat) dan kedai Vaduil di hadapan rumah Atuk Embong. Yang ada cuma bekas kedai, barangkali atau telah habis di mamah masa. Saya terlepas cerita bagaimana terbakarnya rumah Atuk Sulaiman (bapa Cikgu Kalal) dan juga beberapa cerita lain yang berlaku semasa saya di luar. Kebanyakan ikon yang saya sebut telah tiada lagi. Telah lama kembali ke rahmatullah. Namun, saya masing ingat rupa mereka dan keistimewaan mereka.

Juga saya pernah melihat bagaimana aruah Datuk Tambychik (bapa Paklong Sahal dan kakek) ditanduk kerbau di kandang pokok asam di hadapan rumah Wan Lema. Saya juga masih ingat lagi bagaimana perlawanan gasing pernah diadakan di kampung kita. Gelanggang yang saya ingat adalah di hadapan kedai risda. Sekarang ini sudah menjadi rumah Atuk Gawi. Atau kadang kala membaiki basikal di rumah Long Sani. Bengkelnya terletak di hujung serambi rumahnya dan aruah di kenali dengan nama Sani Bikin kerana kebolehannya mempergunakan barangan yang sudah rosak seperti asal. Upahnya.... terlalu murah Gotong-royong Angkat Rumah Sempat juga beberapa kali menyaksikan dan terlibat dengan aktiviti mengangkat rangka rumah untuk dipindahkan. Antaranya sewaktu mahu memindahkan rangka rumah aruah wan Nyonya (emak pakcik Tamin) ke rumah Pakcik Tamin. Semua dinding, atap dibuka, kemudian rangkanya diusung dari tapak asal ke tapak baru.

Gambar Hiasan- beginilah suasana sewaktu mengangkat rumah untuk dipindahkan. Kalau tengok discovery channel, mat salleh guna trailer. Orang Air Molek selamba jer, guna kederat tulang 4 kerat Waktu itu, kabel elektrik belum ada lagi. Jadi mudahlah mengangkat rangka rumah. Sekarang ni kalau buat macam tu, huru hara juga. Upahnya masa itu sama ada bubur kacang, bihun dan sebagainya. Yang menariknya adalah sikap masyarakat yang bergotong royong. Memang menarik BUNGA API MELAKA BUNGA API MELAKA. Ramai yang terpukau dengan kehebatan bunga api Melaka. Bunga api yang diperbuat dari buluh amat popular sewaktu majlis perkahwinan terutama malam berinai besar. Terdapat beberapa jenis bunga apai iaitu yang berdiri di atas tanah, yang berpusing dan juga yang dibuat dari buah kelapa. Biarpun tidak secanggih bunga api malam merdeka tapi itulah keunikannya.

Gambar Hiasan Cuma yang saya ingat, selepas balik dari rumah kenduri, rambut dan baju akan berbau seperti lumpur kerana tanah liat digunakan sebagai salah satu bahan untuk memadatkan bunga api. Waktu membakar bunga api inilah, seseorang anak muda akan menunjukkan gayanya. Yalah semua mata memandang ke arahnya. Jalanpun jadi semacam. Tapi habis kat situ jer. Tak ada lebih-lebihpun. Hero kampung. Nak menguratpun dari jauh DARI SINAR HARIAN- KES CURI LEMBU ALOR GAJAH - Dua pekerja sebuah syarikat kanopi sanggup membawa lari lori lima tan milik majikannya untuk melakukan kegiatan mencuri sembilan ekor lembu. Tindakan pekerja terbabit terbongkar apabila kedua-duanya ditahan sepasukan anggota cegah jenayah di Felcra Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, di sini, kira-kira 3 pagi semalam. Anggota penguat kuasa terdiri daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela dan polis melihat lori berkenaan dalam keadaan mencurigakan, sebelum bertindak mengekorinya. Sumber berkata, anggota terbabit kemudian ternampak kaki seekor lembu terjulur keluar dari lori yang ditutup dengan kanvas, selain darah haiwan berkenaan menitis sepanjang jalan. Lori berkenaan meluru laju ke arah Kuala Sungai Baru selepas pemandunya sedar mereka

dikejar. Mereka kemudian memecut ke arah Masjid Tanah dan tidak menghiraukan arahan penguatkuasa meminta mereka berhenti, katanya. Mungkin kerana panik, katanya, lori berkenaan dipandu dalam keadaan terhoyong-hayang sebelum memasuki laluan ladang sawit Felcra Ayer Molek 2, bagaimanapun tayar belakang sebelah kiri lori berkenaan meletup. Dua lelaki itu kemudian keluar dari lori berkenaan dan bertindak melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit dalam keadaan gelap meninggalkan lori yang sarat dengan lembu itu, katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian. Menurutnya, semasa diserbu, terdapat sembilan ekor lembu dalam lori berkenaan termasuk seekor daripadanya cedera patah kaki. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang giat menjalankan operasi memburu kedua-dua lekaki berkenaan yang masih bebas, katanya di sini, semalam. Dalam pada itu, seorang pekerja syarikat kanopi terbabit yang merupakan pemandu asal lori berkenaan, Mohd Hishamudin Abd Hamid, 26, berkata, dia menyedari lorinya hilang awal pagi semalam selepas ditanya majikannya. Menurutnya, majikan menyedari lori berkenaan yang diletakkan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, tiada di situ. Menurutnya, salah seorang lelaki terbabit merupakan pekerja baru dan dia percaya seorang lagi pekerja berkenaan terpengaruh untuk melakukan kegiatan mencuri BERITA TENTANG AIR MOLEK Melaka & Negeri Sembilan: Gangguan lembu Oleh Arifin Salleh 2010/08/11 KUALA SUNGAI BARU: Kira-kira 300 penduduk di kawasan perumahan Taman Rebana Jernih, Ayer Molek, di sini, melahirkan rasa tidak puas hati dengan masalah lembu peliharaan sentiasa berkeliaran di kawasan perumahan sejak sekian lama. Mereka mendakwa sudah semakin hilang sabar, selain bosan mengeluh mengenai isu itu dan kini berharap satu jalan penyelesaian segera diambil, khususnya menerusi campur tangan pihak berkuasa terbabit. Kalau dulu, kata mereka, bilangan haiwan ini boleh dihitung dengan jari tapi sekarang semakin bertambah sehingga sukar dikenal pasti jumlah sebenar. Peliknya, dakwa mereka lagi, pemilik lembu berkenaan seperti tidak makan saman.

Berita Harian membuat tinjauan ke kawasan berkenaan baru-baru ini selepas menerima aduan penduduk terbabit. Tinjauan dibuat dua kali termasuk pada hujung minggu lalu. Tinjauan pertama pada kira-kira jam 4.30 pagi lebih seminggu lalu mendapati terdapat enam kumpulan lembu berkeliaran di taman ini. Setiap kumpulan mempunyai antara empat hingga lima ekor. Ada antaranya dikesan menyelongkar tong sampah di hadapan rumah penghuni taman. Turut kelihatan timbunan najis bertaburan di atas jalan yang dilalui kumpulan haiwan ini, sekali gus dapat dibayangkan rasa tidak selesa penduduk apabila melihatnya pada waktu pagi terutama ketika hendak pergi kerja. Ketika tinjauan sekali lagi dilakukan hujung minggu lalu, tidak banyak perubahan berlaku. Lembu masih banyak berkeliaran secara berkumpulan dan najis bertaburan di atas jalan. Bau busuk menusuk hidung. Seorang penduduk, Ali Nasir, 58, ketika ditemui berkata, masalah ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini tidak ada tindakan tegas diambil bagi menanganinya, termasuk oleh pihak berkuasa terbabit. Beliau berkata, isu itu juga sudah banyak kali dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa penduduk dan kemudian diajukan kepada pihak berkenaan untuk tindakan susulan, namun turut tidak berkesan. Pemilik haiwan ini sepatutnya menternak lembu mereka ini dalam kawasan berpagar atau kandang, selain boleh mengikatnya pada pokok tanpa membiarkannya berkeliaran di dalam kawasan kediaman penduduk. Ini tidak, haiwan ini dilepaskan bebas mencari makan sehingga masuk ke kawasan kediaman kami. Kita sudah beritahu pemiliknya, tapi mereka seperti tidak peduli. Jadi harapan kita supaya pihak berkuasa terbabit dapat membantu. Dulu kita ada buat aduan termasuk menerusi media tapi tak ada kesan. Sekarang ini kita harap Berita Harian dapat membantu menyiarkan isu ini supaya pihak berkuasa berkenaan benar-benar dapat memahami masalah kami, katanya. Ali yang juga Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) taman itu, berkata, jika dulu kerajaan pernah mengarahkan semua anjing liar yang tidak berlesen ditembak, mungkin pendekatan sama dapat digunakan bagi lembu terbabit. Ini sajalah jalan yang kami nampak untuk menyedarkan mereka terbabit berhubung masalah kami hadapi. Sekarang ini disebabkan lembu itu, taman kami seperti kawasan ladang ternakan apabila najis lembu boleh dilihat bersepah-sepah di halaman rumah dan jalan, katanya. Seorang lagi Ahli Jawatankuasa KRT, Robini Sado, 40, ketika ditemui mengakui, longgokan najis lembu itu bukan saja memberi imej tidak baik kepada taman itu, malah mendatangkan bau busuk sehingga meloyakan tekak dan menyebabkan penyakit kulit.

Katanya, pihak berkuasa terbabit sewajarnya menangkap semua haiwan berkenaan dan hanya melepaskannya selepas pemiliknya datang membayar denda selain memberi amaran keras kepada mereka. Apa yang membuatkan kita marah, selain meninggalkan najis di merata-rata tempat dan menyelongkar tong sampah, haiwan ini juga ada kalanya dilihat merosakkan sejumlah pokok hiasan yang ditanam pihak berkuasa tempatan di sekitar taman. Sampai sekarang saya berasa hairan kenapa pemilik haiwan ini tidak mahu mengurungnya? Kalau hendak menternak lembu buatlah cara menternak, jangan menyusahkan orang lain sampai tahap begini, katanya SIMPANG PUNCA SESAK

KUALA SUNGAI BARU - Akibat arus pembangunan yang pesat di pekan ini menyebabkan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar di pekan Kuala Sungai Baru melahirkan kebimbangan apabila jalan utama sentiasa sibuk dengan kenderaan sehingga persimpangan utama menjadi sesak. Pesara tentera, Ishak Atan, 70, berkata, kebanyakan penduduk yang bekerja di sekitar Port Dickson dan Pengkalan Balak kerap menggunakan jalan berkenaan sebagai laluan alternatif untuk ke tempat kerja. Menurutnya, kebiasaannya laluan amat sesak apabila tiba waktu puncak terutama awal pagi, tengah hari dan petang. Dahulu laluan di sini tidak sesibuk sekarang tetapi apabila banyak kenderaan yang entah dari mana datangnya, jalan ini jadi sibuk. "Lebih memburukkan keadaan apabila kenderaan diletakkan sesuka hati di tepi jalan sehingga pengguna yang mahu masuk ke simpang terpaksa berhati-hati dan menunggu lama bagi meneruskan perjalanan," katanya. Ishak berkata, kemudahan jambatan yang dibina juga terlalu tinggi dan jaraknya pula kurang 20 meter dari persimpangan utama sehingga mengganggu penglihatan pemandu dari arah bertentangan. Sementara itu, Ahmad Jaafar, 75, pula berkata, jika pengguna datang dari arah Masjid Tanah, mereka mesti menempuh beberapa simpang berbahaya terutama simpang ke Taman Seri Gamelan, Kampung Baru, Ayer Molek dan Muara Jeti Kuala Sungai Baru. Salah satu daripada simpang berkenaan menjadi faktor utama kenapa laluan ini boleh menjadi begitu sesak dan kerap berlaku :kemalangan. Persimpangan sedia ada juga tiada kemudahan lampu isyarat. Minggu ini sahaja sudah dua kemalangan berlaku, betul-betul di simpang Ayer Molek walaupun tidak membabitkan kematian tetapi tetap mengancam nyawa pengguna lain, katanya. Kerani Powertek Berhad yang mahu dikenali sebagai, Shakila, 36, berharap, pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memikirkan sesuatu demi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna. "Saya pernah melihat motosikal dinaiki seorang pakcik terpaksa berhenti di tengah laluan

bersimpang sewaktu mahu memasuki simpang jalan ke Ayer Molek sebelum dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan disebabkan terlindung, katanya. Sinar Harian 14 Jul 2010 Hujung Tanjung Hujung Tanjung..... memang terdapat sebuah tanjung kecil yang terletak di persisiran sawah berhampiran dengan rumah Aruah Pak Long Kadir, Pak Long Sameon. Dulunya adalah jalan keluar masuk dari sawah ke kampung. Entah dari mana datangnya mitos yang mengatakan tempat itu agak keras. Jadi ramailah yang takut nak berbuat tak tentu hala di situ. Adalah pelbagai cerita yang disampaikan. Adalah pelbagai versi. Tapi sekarang ni saya lihat, budak-budak buat tak tahu jer dengan tempat tu. Bak kata orang kalau dulu kita kena bertabek nak lalu kat situ. Kini hantu syaitan pulak yang terpaksa berkuak bila kita nak lalu. Dari hujung tanjung, kita boleh melihat senario sawah padi yang luas. Dari hujung tanjung kita boleh melihat perbatasan sempadan antara kampung dan sungai. Masa tu banyak pokok gelam kat situ. dari hujung tanjung juga kita boleh merasai lembutnya tiupan angin. Kini, semuanya telah berganti dengan lautan pohon sawit. Generasi baru sudah tak kenal padi. Sewaktu saya mengendalikan satu program peringkat kebangsaan di negeri sembilan, ada pelajar yang mengatakan pokok padi sebagai pokok beras. Nak gelak ada. nak marahpun ada Kedai Minum Long Munah Say teringat kedai minum Long Munah. Masa tu belum lagi ada kedai sekarang. Long Munah buat kedai kayu. Menjual pelbagai makanan. kalau tak silap saya, ada rojak, mee goreng, kuih muih. Masa sekolah agama, ramai yang membeli makanan kat situ. Aruah pulak jenis yang pemurah. Selalu juga sedekah itu ini. Selain, kedai minum Long Munah, ada sebuah kedai minum di jalan masuk milik Long Mail. Bawah pokok cempedak. Kedai tu rasanya masih ada. Walaupun Long Mail suami isteri sudah kembali ke rahmatullah. Tempat orang berkumpul. Lain-lain kedai yang saya masih ingat adalah kedai Busu Ali di sebelah kubur. Kedai Busu Karim- generasi lama mesti tau. Kemudian kedai Santan Berlada- kalau tak silap di atas tapak rumah En Daud sekarang ni. Dan yang masih ada kini adalah kedai Busu Achim dan Kedai Roti Canai di hadapan masjid. Kedai kak Mera di hadapan rumanhya Setiap kedai ini mempunyai peminatnya sendiri. Ada pelanggan tersendiri. Malah menyediakan menu tersendiri. Biarpun kampung kita kecil tapi masih ada pelanggan yang untuk kedai-kedai begini Pelbagai Musim Di Kampung Saya tidak bermaksud menceritakan tentang musim buah atau sebagainya. Tetapi musim yang saya maksudkan adalah musim yang benar-benar bermusim. Contohnya musim perlawanan hoki.

Berpuluh batang anak-anak buluh akan menjadi mangsa kerana dijadikan kayu hoki. Di hulu, di hilir atau Seberang semuanya bermain hoki. Ada sahaja pertandingan yang dianjurkan sama sendiri. Kira gah juga dengan kayu hoki buatan sendiri. Habis musim hoki berganti pulak musim badminton. Sana sini kita akan melihat anak-anak remaj mengusung raket badminton. Pun ada tounament antara mereka. Masing-masing mengatur perlawanan. Hadiahnya saya lupa tapi yang penting perlawanan. Hebat budak-budak kampung kita. Banyak lagi musim yang boleh kita jumpa. Musim letup-letup. Musim senapang. Musim mengogo di sungai (saya akan ceritakan kemudian) dan entah apa musim. Semuanya bergantung kepada musim semasa dunia atau negara. Hebat bukan????? Tingginya Budi Seorang Pemimpin Tadi tengahari sempat hadiri perkahwinan anak buah di Senawang Jaya. Terkejut juga bila YAB Datuk Muhamad Hassan, MB Negeri Sembilan turut hadir. Beliau begitu sederhana. Makan bersama tetamu yang lain. Sempat juga berbual ringkas dengan beliau. Dengan santai beliau bercerita tentang agenda beliau untuk ke beberapa rumah kenduri hari ini dan rumah yang beliau berada sekarang ini adalah rumah keempat.

Bila berbual tentang kos perkahwinan beliau juga memberikan komen yang sama. Semakin mahal dan semakin membebankan. Santai dan melayan semua orang dengan mesra. Inilah kualiti pemimpin yang kita perlukan. Terutama di peringkat grass root terutama di kampung kita MENGAIL Satu kegemaran orang kampung kita adalah mencari ikan sawah atau ikan darat. yang menjadi tumpuan mereka adalah ikan betuk atau kepuyu, haruan atupun semilang. Umpan yang paling baik untuk mengail ikan-ikan jenis ini adalah telur kerengga. Sorrylah bagi pembaca bukan orang Air Molek rahsia membuat umpan ni tak dapat diperturunkan. Ha ha . Pantang.

Tentu orang luar dari Air Molek bertanya bagaimana nak gunakan telur kerengga sebagai umpan..... itu rahsia. Kena menuntut bawa pulut kuning baru boleh cerita. Telur kerengga ni menjadi kegemaran ikan-ikan tadi. Masa zaman saya mengikut orang mengail, kami hanya menggunakan batang buluh yang panjangnya melebihi 12 kaki. Puas mengusungnya. Lokasi dahulu adalah di sungai kampung kita ataupun di celah-celah anak padi waktu padi mula subur. Bagi yang pro boleh dapat hingga beratus ekor sehari. Ikan kepuyulah. Pasal dia duduk berkumpulan.

Antara yang saya ingat dan pernah saya ikut otai-otai ni mengail ialah Wan Ani nenek kepada Sali Borhan), Wan Teh ( mak aruah Cikgu Sahak) dan beberapa orang lagi. Itu kira otai-otai mengail. Sekarang ni dia orang dah guna kail bailey. Sekaki jer panjangnya. Bila tarik boleh keluar hingga 12 kaki. Ringan dan mudah dibawa. Tempat mengail????? Saya dengan sampai ke Muar.... memang Otai!!!!! Timba Upih

Saya nak mencadangkan agar di Balai Raya kampung di buat satu ruang khas untuk mempamerkan artifak-artifak yang pernah menjadi kegunaan orang-orang kampung sebagai bahan sejarah dan tatapan generasi baru. Antaranya yang boleh dipamerkan adalah Timba Upih, Jangka Mengkuang, Sabit Padi, Pisau Mengkuang, Antan Mengemping. Jika di susun dengan cantik dan kreatif, agar menjadi ruang yang menarik dan mampu menarik minat generasi baru

juga pelawat.PAKAM boleh ambil usaha ini kot. Jangan asyik tumpu pada bola jer. Tapi isi juga sanubari anak muda dengan jati diri dan perasaan bangga akan keturunan dan kampung... cadangan sayalah. Kembali ke Timba Upih ini, terlalu besar kegunaannya pada musim kemarau. Saat air perigi berkurangan, timba upih memainkan peranannya. Sifat upih yang ringan, tidak mengganggu kelodak di dasar perigi. Maka air yang bersih dapat diperolehi. Bilau kemarau terlalu teruk, barulah Lembaga Air Melaka menghantar air. Berderetanlah baldi di laman-laman, di jalan-jalan menunggu kedatangan lori air. Macam pesta pulak. Pesta musim kemarau. Gnerasi baru mungkin sudah tak kenal timba upih, sejuknya air perigi sewaktu pagi bila mandi waktu hendak ke sekolah, puasnya mandi bertimba-timba air tanpa perlu membayar bil dan dinginnya air perigi yang disimpan dalam tempayan untuk dijadikan air minuman. Inilah yang saya katakan. Kita kena mengembalikan sejarah dalam bentuk yang tertentu agar generasi baru mengetahui, mengenali dan menghargai sejarah keturunan mereka. Benar kata saudara saya Azman Kari, orang-orang Air Molek ini terpisah dari kampung-kampung yang lain. Seakan ada rahsia yang tersembunyi dan harus dirungkai untuk dikisahkan semula......saya akan cuba membantu beliau merungkai yang terpendam, membangkitkan semula batang yang terendam PERAWAT ALTERNATIF Seingat saya beberapa orang dari otai-otai kampung pernah menjadi perawat alternatif kepada penduduk kampung. Khidmat mereka ini amatlah berguna dan ternyata berkesan. Kebanyakan mereka telah tiada. Telah kembali ke rahmatullah. Yang paling rapat dengan saya adalah aruah moyang saya. Aruah Wan Enom. Waktu itu saya baru di darjah 1. Selalu juga saya lihat orang kampung datang meminta tangkal itu dan ini. Pengerasnya amat murah. Dua tiga puluh sen. Separuhnya saya punya untuk beli ais krim potong. Yang dipotong dan dicucuk dengan lidi. Ada lagi ke ais krim potong ni? Demam sikit minta tangkal dengan aruah moyang yang saya panggil wan. Aruah meninggal pada usia yang lanjut. Hampir 100 tahun umurnya. Telah bongkok waktu itu. Selain Wan Enom, Atuk Tambichyk- ayah kakek juga antara perawat tradisional yang agak terkenal. Beliau juga merupakan Pawang Kampung. Salah seorang ikon kampung pada zaman saya. Mana-mana yang menghidap penyakit yang teruk, pada aruah ini mereka mengadu. Aruah juga telah lama tiada. Yang tinggal anak-anaknya. salah seorangnya adalah Pak Long Sahal. Yang sering menjadi kawan saya minum kalau pulang ke kampung. Agak lucu orangnya. Seorang lagi yang saya ingat adalah Aki Baharom. Atau Imam Baharom. Aruah telah meninggal dunia. Begitu juga Pakcik Ahmad, anaknya yang membawa kereta sewa. Aruah sering tampil dengan kot kelabu dan menghisap cerutu. Salah seorang perawat yang terkenal di kampung kita. Beliau sering datang dengan basikal besarnya. Dengan gaya yang lembut dan tanpa banyak bicara, beliau akan melakukan tugasnya dan pulang setelah menjamah minuman yang disediakan. Juga tidak lupa dengan Wan Kenit. Ibu Datuk Md Jai yang mempunyai kebolehan mengurut. Pada aruah ini juga orang kampung sering datang untuk berurut atau meminta tangkal jika

ketegur dan sebagainya. Anaknya, Datuk Md Jai. Juga guru mengaji saya juga turut mempunyai kebolehan tertentu. Kini guru saya ini sudah semakin uzur.Namun setiap kali upacara menyembelih kambing, lembu atau kerbau, Atuk Md Jai yang akan mengambil peranan utama. Hasil sembelihannya tidak berbau, lembut dan manis. Kata orang ada petua. Barangkali benar.Yang saya ingat saya selalu membantu Atuk Md Jai memesin getah di paya. Beliau akan memasukkan getah dan saya akan memutar mesinnya. Kadang kala tak terputar dek kerana tebalnya. Tapi getah Atuk Md Jai sangat cantik. Pernah menjadi bahan pameran Risda kerana ketebalan dan ukuranya yang cantik dan mengikut standard. Selain Atu Md Jai yang sering saya temui di tempat memesin getah, seorang lagi ikon yang sering menarik perhatian saya adalah Atuk Lassim. Atuk Lassim juga telah meninggal dunia. Terdapat juga perawat-perawat sambilan tetapi mempunyai kepakaran tersendiri. Antaranya yang saya ingat adalah Imam Kadat. Amat serasi jika kanak-kanak atau budak kecil mengidap kenan. Wan Nah, isteri aruah Datuk Lewat seberang juga mempunyai kebolehan yang agak menarik. Yang lain-lain saya telah lupa. Barangkali saudara Azman Kari boleh membantu saya mengingatkan semula. Agar dapat disusun satu cerita mengenai mereka yang pernah berjasa pada penduduk kampung

Kampung kita bukan sekadar kampong yang wujud tanpa memberi sumbangan. Malah kehadiran kampong kita perlu diakui oleh ahli-ahli politik khususnya sebagai kubu kuat UMNO. Berani saya katakan bahawa kampong kita antara penyumbang tetap jumlah undi antara yang terbanyak di DUN Kuala Linggi. Meneliti sejarah Air Molek dan perkembangan semasa, ingin saya kongsi rentetan kedai-kedai minum yang berada di kampong kita. Sama ada masih ada atau sudah hilang di telan arus. Seingat saya pada waktu kecil dahulu, Atuk Mat Tegil pernah berjualan Sotong Bakar. Sotong kering yang dibakar atas bara kemudian diketuk agar lembut sebelum dicecah dengan kuahnya. Memang sedap. Teringat juga kedai minum Atuk Karim (Cuwin) di hadapan rumahnya dulu. Tempat minum sambil menonton TV. Rasanya aruah menggunakan generator sebagai pembekal kuasa. Di seberang jalannya pula, Busu Ali dan busu Pesut, ibu rakan sekelas saya, Lela Ali. Juga menyediakan makan minum sambil menonton tv. Kedai-kedai lainnya yang masih saya ingat adalah kedai Long Munah, masih ada hingga sekarang. Diteruskan oleh anaknya, Kak Yam. Di sebelahnya dulu ada kedai Mat Sam, yang berjual roti canai.

LOKASI PUPULAR DI KAMPUNG Barang kali ada yang tidak perasan dengan beberapa lokasi yang popular di kampong kita ataupun lokasi itu berubah fungsi dan rupa. Dahulunya, zaman remaja saya beberapa nama tempat menjadi aagak popular bagi kami. Antara yang terkenal adalah benteng Sajak. Nama itu wujud dari nama tuan punya tanah tersebut. Datuk Sajak. Lokasinya berhampiran rumah aruah Khatib Leman. Airnya dalam dan dasarnya berpasir. Swimming Pool alam semula jadi. Cuba Tanya pada Saudara Mat Jati atau Saudara Hashim Saad. Betapa nyamannya berenang kat situ Selain benteng sajak, kami biasa mendengar Sawaeh Tahi Ayam, Tambak. Saya kurang pasti lokasi tempat ini. Kena Tanya mereka yang menetap lama di kampong. Kedua-duanya membawa peranan dalam sejarah kampong kita. Yang sempat saya ketemu adalah kelapa sebatang. Memang ada sebatang kelapa yang tumbuh di tengah-tengah sawah waktu itu. Lokasinya mengarah ke Manlok, kalau tak silap. Selain kelapa sebatang, Hujung Tanjung, satu lagi tempat popular tetapi misterius. Terletak di belakang rumah Pakcik Kadir dan Pak Long Meon. Dulu kami agak seram melalui kawasan ini. Panggung. Jangan sangka panggung wayang tetapi yang saya maksudkan adalah jambatan panjang yang merentangi sawah dari rumah En Baharudin sekarang ini hingga ke seberang. Diperbuat dari kayu. Tingginya lebih kurang dua kali dan lebarnya lebih kurang 5 atau 6 kaki. Ada perigi di situ dahulu. Rasanya masih ada hingga sekarang. Selain itu, ada juga sebuah surau yang dikenali dengan nama Surau Haji Khamis- bapa kepada Pak Lang Aim, pemilik bas sekolah yang mengangkut pelajar ke SMK Rahmat. Padang Kilat telah lama ada. Dari zaman awal remaja saya lagi. Padang yang melahirkan ramai anak-anak kampong yang berminat dengan bola. Terletak di atas sedikit rumah Datuk Tambichik. Ada kubur lama juga berhampiran Padang Kilat. Dari dulu lagi menjadi tumpuan anak-anak muda bermain bole hingga mengharumkan nama kampong. Benteng Paya- juga tempat berenang anak-anak kampong. Lokasinya di hadapan rumah Pak Lang Minhat. Ada juga padang di situ tetapi kemudiannya menjadi kebun. Selain padang kilat, ada juga padang di hadapan surau Haji Md Jai di hilir. Tiang golnya sama ada buluh atau pelepah rembia.

AKTIVITI ANAK-ANAK KAMPUNG Terdapat beberapa aktiviti yang popular waktu itu. Malah aktiviti tersebut menjadi rutin mereka. Antaranya Sepak takraw di Balai Raya. Ramai jaguh-jaguh di kampong kita rupanya. Antaranya En Ahmad Saad yang pernah bermain untuk negeri. Petang dihabiskan di Balai raya sama ada untuk bermain takraw kemudian waktu malamnya bermain badminton. Selain aktiviti riadah, mencari ikan sawah juga popular di kampong. Antara yang mahir adalah aruah cikgu Ibrahim Said dan kini hobinya diteruskan oleh anak beliau Saudara Khalid. Serkap, jala, joran adalah alat penting sama seperti kayu golf orang-orang dibandar. Selain Cikgu Aim, antara yang mahir dalam mencari ikan sawah adalah aruah Pakcik Gamat, ayah saudara Rosli dan ramai lagi. Kini beberapa muka baru menjadi otai mencari ikan. Antara Bilal Ali atau Ali Iban. Kalau ke sungai, seingat saya antara pelopornya Pak Long Meon dan kini usahanya diteruskan oleh anak beliau, abang Ramli/Keram. Madu atau gula. Masih lagi diteruskan oleh anak-anak kampong kita. Satu usaha yang berisiko tetapi lumayan. Harga kini menjangkau RM80.00 sebotol. Antara yang masih bergiat mencari madu lebah antaranya Bilal Ali, Pakcik Kidon dan beberapa orang lagi. Kini penduduk Air Molek menghabiskan masa dengan berternak lembu, kambing dan kerbau.. Malah ada yang menjadi usahawan Berjaya. Selain berternak, ada yang berniaga, membuka kedai minum, kedai runcit dan sebagainya.

Anda mungkin juga menyukai