Anda di halaman 1dari 13

KEFAHAMAN DAN AMALAN AJARAN ISLAM KALANGAN SAUDARA BARU MASYARAKAT SIAM DI KELANTAN Oleh Razaleigh Muhamat @ Kawangit

Abstrak Kajian ini adalah bertujuan melihat sejauhmana pemahaman saudara baru tentang agama Islam dan amalan-amalan mereka setelah menganut agama Islam. Penulis memfokuskan kepada saudara baru masyarakat Siam yang memeluk agama Islam di lokasi negeri Kelantan. Oleh kerana kajian adalah lebih berbentuk tahap pengetahuan individu, penulis telah menggunakan kaedah pengedaran borang soal selidik untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan kepada responden. Selain itu, temubual dan observasi juga dilaksanakan untuk lebih memantapkan hasil kajian ini. Hasil kajian mendapati sebilangan besar responden telah memahami agama Islam dengan baik dan melaksanakan amalan-amalan wajib Islam. Mereka telah menjadikan Islam sebagai jalan untuk mencapai keredhaan Ilahi.

Pengenalan Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan kaum seperti Cina, India, dan tidak terkecuali juga daripada lain-lain bangsa seperti masyarakat Thailand yang dikenali sebagai bangsa Siam. Kajian dilakukan terhadap saudara baru bangsa Siam yang tinggal menetap di negeri Kelantan. Masyarakat Siam adalah salah satu golongan minoroti yang menduduki negeri Kelantan. Mereka berasal daripada Thailand dan telah datang berhijrah ke Kelantan atas sebab-sebab tertentu seperti mencari pekerjaan dan menuntut ilmu. Ada juga sebahagian daripada mereka datang ke Kelantan kerana ikatan perkahwinan. Masyarakat Siam ramai tinggal menetap di Kelantan berkemungkinan kerana kedudukan geografi negeri itu yang bersepadanan dengan Thailand. Agama asal nenek moyang mereka adalah agama Buddha. Namun kini semakin ramai yang memeluk agama Islam. Penulis mengkaji sejauhmana kefahaman mereka terhadap agama Islam dan amalan-amalan mereka sama ada bersesuaian dengan syariat Islam atau tidak. Asal-Usul Orang Thai Asal-usul orang Thai sukar dikenal pasti kerana sesetengah pakar berpendapat mereka berasal dari Sichuan di China. Terdapat juga pendapat yang mengatakan mereka berasal dari tenggara China, di utara Vietnam. Kira-kira 2,000 tahun dahulu orang-orang ini menggelarkan diri mereka Tai ( Dai, mengikut ejaannya di China) dan berhijrah ke selatan, ke arah Yunnan dan Guizhou. Mereka berpindah untuk mencari tanah yang subur bagi tujuan pertanian. Menjelang kurun ke-13, wujud perbezaan yang jelas di antara orang Thai di lima buah negara. Kini, mereka terdiri daripada orang Thai Hitam dan orang Thai Loa di Vietnam. Thai

2 Nuen dan Thai Phuan di Laos. Orang Thai Luen, Thai Yuan dan Thai di Thailand. Orang Thai Yai atau Shan di Myanmar dan orang Ahom di barat laut India. Terdapat banyak lagi kumpulan Tai lain di selatan China terutamanya di Xiashuangbanna, wilayah Yunnan paling selatan. Mereka berkongsi budaya, malah corak dan teknik tekstil mereka juga serupa. Walaupun loghat mereka berbeza, mereka adalah dari satu rumpun yang sama ( Sherley Hew. 1994: 42). Agama Orang Thai Majoriti orang Thai beragama Buddha. Selain negara dan raja, agama Buddha adalah salah satu tunggak negara. Raja dianggap pelindung semua agama. Oleh itu, kebebasan beragama wujud di Thailand sejak awal kurun ke-17 apabila raja Ayutthaya yang memerintah Thailand ketika itu membenarkan orang Kristian membina gereja. Agama Buddha menjadi agama rasmi pemerintah kerajaan Sukhothai. Ketika itu penduduk Thailand terpengaruh dengan ajaran agama yang dibawa oleh orang-orang Mon dan Khmer. Kesan daripada pengaruh inilah orang Thai mengamalkan konsep agama Hindu dalam pemerintahan beraja, sistem kasta Brahmin dan menyembah Erawan iaitu tuhan gajah. Pengaruh Hindu juga kelihatan dalam kesusasteraan klasik seperti cerita Rama dan Sita dalam epik Ramakien versi Thai bagi Hikayat Ramayana. Sebelum berlakunya pertembungan budaya, orang Thai mengamalkan animisme atau amalan menyembah alam semulajadi. Mereka berpendapat bahawa dunia ini dipenuhi makhluk halus phi yang perlu dilayan. Jika tidak dilayan kesejahteraan hidup akan terjejas ( Shirley Hew. 1994: 67). Komuniti Thai di Kelantan Orang Thai di Kelantan adalah seramai kira-kira 1 peratus daripada jumlah penduduk tempatan yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu. Kehadiran mereka di Kelantan mempunyai sejarah yang berbeza daripada kumpulan etnik lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Orang Thai telah lama berhijrah ke Kelantan dalam satu zaman yang mendahului penghijrahan besar-besaran imigran lain, terutama sekali imigran Cina dan India yang datang secara besarbesaran ke Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu) pada penghujung abad ke-19 dan permulaan abad ke-20. Selain itu, penempatan orang Thai terletak dalam perkampungan orang Melayu. Ini berbeza dengan penempatan imigran lain yang sebahagian besarnya tertumpu di kawasan bandar atau kawasan perladangan. Perbezaan yang amat ketara yang terdapat antara orang Melayu dan orang Thai adalah dari segi anutan agama masing-masing. Jika orang Melayu beragama Islam, orang Thai pula hampir kesemuanya beragama Buddha Theravada. Walaupun demikian, masih terdapat persamaan dari segi budaya terutamanya dari segi perkongsian elemen budaya yang dipengaruhi oleh tradisi India seperti dalam kepercayaan bomoh dan magis serta kepercayaan animisme. Dari segi fizikal pula, struktur binaan penting yang membezakan perkampungan Thai dengan perkampungan Melayu ialah biara atau wat, iaitu sebuah kawasan khas yang menempatkan kawasan suci dan rumah ibadat agama Buddha serta tempat tinggal golongan agamawan yang dikenali sebagai bikhu. Kebanyakan perkampungan Thai yang dihuni oleh jumlah penduduk yang ramai akan mempunyai biara masing-masing. Manakala bagi penempatan

3 Thai yang mempunyai jumlah penduduknya sedikit tidak akan dibina biara. Walau bagaimanapun, kebiasaannya dalam kampung berkenaan didirikan bangunan khas yang dinamakan samnaksong, iaitu tempat persinggahan bikhu yang datang melawat tempat tersebut dari semasa ke semasa. Di rumah kecil inilah golongan bikhu yang datang dari kampung lain itu akan mengadakan ritus khas keagamaan yang disertai oleh penduduk kampung berkenaan ( Mohamed Yusoff Ismail 2000 :116). Buddhisme Thai di Kelantan Agama Buddha di Kelantan mempunyai dua ciri utama. Pertama, agama Buddha adalah satu fenomena luar bandar kerana hampir semua biara di Kelantan terletak di luar bandar. Agama Buddha mempunyai sifat yang lebih mirip kepada tradisi Thai Therevada, terutama sekali dari segi bentuk seni bina bangunan, selain ritus dan keupacaraan yang lebih mementingkan kegiatan membuat pahala ( tham bun) seperti yang lazim berlaku dalam tradisi Buddhisme Thai. Salah satu daripada realiti yang dihadapi oleh agama Buddha Theravada di Kelantan ialah hakikat bahawa agama tersebut terpaksa bergerak dalam satu suasana yang didominasikan oleh masyarakat Melayu beragama Islam. Oleh yang demikian, agama Buddha sebagai agama golongan minoriti terpaksa memainkan peranan khusus dalam konteks sosial dan budaya yang berbeza jika dibandingkan dengan di Thailand. Bagi orang Thai di Kelantan, agama Buddha menjadi simbol yang sangat penting dari segi memenuhi tuntutan primordial sentiments yang berkait rapat dengan etnisiti dan identiti etnik Thai. Untuk itu mereka mengambil pelbagai cara untuk memastikan bahawa lambanglambang penting agama Buddha seperti biara dan bikhu, dipelihara dan dipertahankan sebaik mungkin biarpun terdapat beberapa kekurangan dan masalah. Fungsi tradisional biara dan bikhu mungkin telah banyak berubah jika dibandingkan dengan fungsinya di Thailand. Biar pun demikian, fungi asas dari segi sosial dan keagamaan tidak semestinya terhapus. Bahkan, institusi bikhu dan biara mungkin memainkan peranan baru dalam suasana yang agak khusus kepada golongan minoriti dalam konteks sebuah negara berbilang kaum. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa peranan tambahan itu terhasil daripada proses akomodasi yng berterusan oleh biara dan bikhu dalam memenuhi beberapa tuntutan sosial dan politik daripada golongan dominan yang mengelilingi mereka. Usaha untuk mempertahankan agama Buddha sebagai simbol penting Thai dapat dilihat pada langkah-langkah yang diambil untuk memastikan bahawa biara dipelihara dan dijaga dengan sempurna. Biarpun biara tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada pihak kerajaan, namun kebanyakan biara dijaga dengan baik dengan menggunakan dana kewangan yang disumbangkan oleh penduduk Thai tempatan dan sumbangan penganut agama Buddha daripada kalangan orang Cina. Bahkan, sumber kewangan daripada orang Cinalah yang telah banyak membantu mengatasi keperluan kewangan menjaga biara. Kedudukan agama Buddha sebagai agama minoriti juga bermakna bahawa tiada sebarang pengiktirafan rasmi diberikan kepada agama tersebut. Jika di Thailand agama Buddha adalah agama rasmi negara, di Malaysia amnya dan Kelantan khususnya, hanya agama Islam yang

4 diberikan pengiktirafan sebagai agama rasmi negara. Sehubungan itu, di Kelantan beberapa penyesuaian terpaksa dibuat dalam pengurusan biara dan perjalanan ritus dan upacara agama Buddha. Misalnya, tarikh beberapa ritus dan upacara kebiaraan kadangkala disesuaikan supaya jatuh pada hari kelepasan rasmi negeri, kecuali tarikh khas yang tidak boleh diubah langsung mengikut kelendar Buddhis seperti Hari Thaipusam ( Mohamed Yusoff Ismail 2000: 120). Statistik Saudara Baru Masyarakat Siam di Kelantan Sebagai bukti pemelukan Islam di kalangan masyarakat Siam di Kelantan, penulis akan membawakan statistik saudara baru di kalangan masyarakat Thai (Siam) Kelantan. Bilangan masyarakat Siam yang memeluk Islam akan dijelaskan melalui jadual di bawah daripada tahun 2000 hingga Januari 2006. JADUAL 1 : STATISTIK SAUDARA BARU SIAM DARI TAHUN 2000-JAN 2006 STATISTIK SAUDARA BARU SIAM DARI TAHUN 2000-JAN 2006 2001 2002 2003 2004 2005 L 5 15 P 10 7 21 L P 14 L 2 P 8 10 P : Perempuan L 9 P 9 18 L 8 17 P 9 L 1

2000 L P 6 5 11

2006 P 1

L : Lelaki

Sumber : Laporan Pengislaman Saudara Baru Mengikut Bangsa Dan Jantina Bagi Tahun 20002006

Kefahaman dan Amalan Ajaran Islam Saudara Baru Masyarakat Siam Penulis menganalisis tahap kefahaman mereka tentang Islam dan amalan-amalan mereka setelah memeluk agama Islam. Mungkinkah mereka masih mengamalkan amalan masyarakat Siam iaitu ajaran Buddha atau ajaran nenek moyang mereka. Sehubungan itu, analisis ini adalah berdasarkan borang soal selidik yang telah diedarkan kepada responden yang terdiri daripada saudara baru masyarakat Siam (40 orang responden telah menjawab soalan dalam borang soal selidik tersebut). Borang soal selidik ini memfokuskan kepada maklumat yang berkaitan latarbelakang responden ( masyarakat Siam), tahap kefahaman Islam dan sikap atau amalan mereka setelah memeluk Islam. Daripada hasil soal selidik ini, dapatlah dijelaskan nanti tahap kefahaman mereka tentang Islam dan amalan-amalan seharian mereka.

5 Latar Belakang Responden Latarbelakang responden adalah penting dalam melengkapkan lagi kajian ini. Latarbelakang responden adalah seperti yang dinyatakan berikut: i. Jantina JADUAL 2 : Jantina JANTINA Lelaki Perempuan Total Kekerapan 10 30 40 Peratus 25.0 75.0 100.0

Sumber : Borang soal selidik Responden terdiri daripada 30 orang perempuan dan 10 orang lelaki. Hal ini kerana, jumlah kaum lelaki adalah terhad dan lebih mudah untuk mendapatkan responden perempuan kerana jumlah mereka yang memeluk Islam adalah lebih ramai daripada kaum lelaki (rujuk statistic dalam jadual 1). ii. Umur JADUAL 3 : Umur UMUR 10-20 21-30 31-40 Kekerapan 5 7 8 Peratus 12.5 17.5 20.0

41 keatas Total

20 40

50.0 100.0

Sumber : Borang soal selidik

6 Jadual menunjukkan bilangan dan peratus responden dari segi umur. Melihat kepada jadual tersebut, jelaslah di sini bahawa bilangan mereka yang tertinggi memeluk Islam adalah golongan yang berumur 40 tahun ke atas iaitu 50 peratus. Manakala golongan ke dua tertinggi adalah dalam lingkungan umur 31 hingga 40 tahun yang telah mencatat peratus sebanyak 20 peratus. Ke dua-dua peringkat umur ini merupakan golongan dewasa yang mana mereka telah mempunyai pengalaman hidup masing-masing dan dapat menilai sesuatu dengan baik. Kerana itulah, pilihan jalan agama mereka adalah agama Islam.

iii. Status Perkahwinan JADUAL 4 : Status Perkahwinan STATUS Bujang Berkahwin Total Kekerapan 12 28 40 Peratus 30.0 70.0 100.0

Sumber : Borang Soal selidik Jadual menunjukkan status responden. Peratus yang tertinggi adalah yang telah berkahwin iaitu mencatat peratus sebanyak 70 peratus manakala yang masih bujang atau belum berkahwin adalah 30 peratus . Jelaslah di sini, kebanyakan responden yang datang atau sedang belajar di JHEAIK terdiri daripada mereka yang telah mendirikan rumahtangga sama ada dari kalangan lelaki mahupun perempuan.

iv. Pekerjaan JADUAL 5 : Pekerjaan PEKERJAAN Bekerja Sendiri Makan Gaji Kerajaan Makan Gaji Swasta Lain-Lain.Nyatakan Kekerapan 22 5 3 10 Peratus 55.0 12.5 7.5 25.0

7 Total 40 100.0

Sumber : Borang soal selidik Jadual di atas menunjukkan bidang pekerjaan responden. Pekerjaan yang mencatatkan bilangan peratus tertinggi adalah bekerja sendiri iaitu 55 peratus. Ke dua tertinggi diwakili oleh lain-lain iaitu 25 peratus. Penulis mendapati bahawa lain-lain ini adalah mereka yang tidak bekerja dan sebagai suri rumahtangga sepenuh masa. Bekerja di sektor awam adalah 12.5 peratus manakala di sektor swasta pula adalah 7.5 peratus. v. Taraf Pendididkan JADUAL 6 : Taraf Pendidikan TARAF PENDIDIKAN Tidak Pernah Sekolah Bersekolah Rendah Sekolah Menengah Kolej/Universiti Total Kekerapan 5 11 20 4 40 Peratus 12.5 27.5 50.0 10.0 100.0

Sumber : Borang soal selidik Melihat kepada taraf pendidikan pula, peringkat yang tertinggi adalah peringkat sekolah menengah iaitu 50 peratus manakala ke dua tertinggi adalah peringkat sekolah rendah iaitu 27 peratus. Terdapat juga di kalangan mereka yang belajar di peringkat pengajian tinggi iaitu universiti atau kolej, peratusan mereka adalah 10 peratus. Responden yang tidak bersekolah sebanyak 12.5 peratus. vi. Tempoh Peluk Islam JADUAL 7 : Tarikh/Tempoh Peluk Islam TAHUN MEMELUK ISLAM 1970-1980 1981-1990 Kekerapan Peratus

3 12

7.5 30.0

8 1991-2000 2001 ke atas Total 18 7 40 45.0 17.5 100.0

Sumber : Borang soal selidik Jadual di atas menunjukkan tahun responden memeluk agama Islam. Didapati bahawa majoriti mereka memeluk Islam pada tahun 1991-2000 iaitu pada peratusan yang tertinggi sebanyak 45 peratus. Jika dilihat pada tahun 1981-1990, bilangan mereka adalah menggalakkan pada peratusan 37.5 peratus. Keadaan ini membawa kesan positif apabila berlakunya peningkatan yang mendadak pada sepuluh tahun kemudiannya. Jelaslah bahawa agama Islam telah mendapat tempat di kalangan masyarakat Siam. vii. Faktor Memeluk Islam JADUAL 8 : Faktor Memeluk Islam FAKTOR PELUK ISLAM Berkahwin Kerelaan Sendiri Pengaruh Rakan Lain-Lain Total Kekerapan 12 23 3 2 40 Peratus 30.0 57.5 7.5 5.0 100.0

Sumber : Borang soal selidik Jadual menunjukkan faktor-faktor penyebab mereka memeluk Islam. Faktor atas kerelaan sendiri merupakan faktor utama kebanyakan mereka memeluk agama Islam iaitu peratusannya adalah 57.5 peratus. Manakala faktor ke dua adalah kerana ikatan perkahwinan yang mendorong mereka untuk memeluk Islam. Buktinya apabila peratusan mereka 30 peratus. Faktor yang lain lagi seperti pengaruh rakan mencatatkan 7.5 peratus manakala lain-lain faktor mencatatkan 5.0 peratus. Namun, majoriti mereka memeluk Islam atas dasar kehendak hati mereka sendiri.

9 Tahap Kefahaman Islam Di Kalangan Saudara Baru Masyarakat Siam JADUAL 9 : Tahap Kefahaman Islam di Kalangan Saudara Baru Siam BIL. PERKARA STS % TS % KS % S % AS %

1. Solat adalah wajib terhadap setiap orang Islam 2. Ibadat puasa adalah perkara yang wajib dilaksanakan 3. Zakat adalah rukun Islam yang ke empat 4. Agama Islam adalah agama fitrah manusia

40

100

2.5

39

97.5

12.5

7.5

11

27.5

12.5

16

40

7.5

10

31

77.5

5. Saya hanya mentauhidkan Allah dan tidak pernah mempersekutukan-Nya dengan sesuatu 6. Saya melaksanakan suruhan Tuhan dengan kerelaan hati bukannya paksaan 7. Saya menyakini setiap sesuatu perbuatan akan dibalas dengan balasan dosa dan pahala 8. Saya yakin wujudnya hari akhirat dan hari pembalasan -

7.5

37

92.5

7.5

37

92.5

2.5

39

97.5

2.5

39

97.5

Sts : sangat tidak setuju S : Setuju

ts : tidak setuju as : amat setuju

ks : kurang setuju

10 Sumber : Borang soal selidik Hasil dan dapatan daripada jadual di atas, didapati kebanyakan responden memahami tentang konsep kefahaman Islam dengan baik sekali. Mereka mengetahui tentang ketauhidan kepada Allah dan menyedari tentang amalan-amalan ibadat yang wajib bagi seseorang Muslim. Namun, terdapat segelintir daripada mereka yang agak keliru ketika menjawab soalan menguji minda iaitu soalan nombor tiga di mana penulis ingin menguji tahap kefahaman mereka dan keyakinan mereka dengan mengatakan zakat rukun Islam yang ke empat. Padahal zakat adalah rukun Islam yang ke tiga. Tetapi jika diperhatikan dari segi kefahaman yang lain adalah positif. Respon yang diberikan oleh mereka adalah memuaskan memandangkan mereka adalah saudara baru. Amalan Masyarakat Siam Setelah Memeluk Islam JADUAL 10 : Amalan Masyarakat Siam Setelah Memeluk Islam BIL. 1. PERKARA STS % TS % KS % S 3 % 7.5 AS % 37 92.5

Anda menunaikan solat lima waktu

2.

Anda berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan.

2.5

15

33

82.5

3.

Corak berpakaian anda mengalami perubahan Anda bergaul hanya dalam kelompok masyarakat Siam sahaja Anda masih mengamalkan amalan Siam Anda suka mendengar ceramah agama Anda menitik berat tentang

20

30

75

4.

14

35

11

27.5

10

25

10

2.5

5.

19

47.5

12

30

10

10

2.5

6.

17.5

33

82.5

7.

17.5

33

82.5

11 halal dan haram 8. Anda baca alQuran tiap hari 4 10 8 20 28 70

Sts : sangat tidak setuju S : setuju

ts: tidak setuju as: amat setuju Sumber : Borang soal selidik

ks: kurang setuju

Jadual di atas menunjukkan responden memberikan respon yang positif setelah memeluk agama Islam. Berdasarkan jawapan yang diterima, responden telah mengamalkan amalan Islam dengan sempurna. Terutama sekali dalam ibadat-ibadat wajib seperti puasa dan sembahyang. Di samping itu, mereka juga melaksanakan amalan-amalan yang boleh mendatangkan pahala seperti membaca al-Quran, manghadiri ceramah-ceramah keagamaan, berpakaian yang menutup aurat, dan juga mereka amat menitik beratkan soal halal dan haram dalam kehidupan mereka. Mereka juga tidak bersifat perkauman apabila disoal tentang pergaulan. Mereka bergaul dalam kelompok masyarakat majmuk bukannya dalam kaum masyarakat Siam sahaja.

Namun, terdapat segelintir di kalangan mereka yang masih mengamalkan amalan adat masyarakat tradisi Siam iaitu adat laikatong. Laikatong adalah satu perayaan tradisi Siam yang

12 berbentuk kesenian. Ia adalah antara adat membuang sial dalam diri seseorang. Sial akan dibuang dan dihanyutkan oleh air. Kebiasaannya akan dilaksanakan di tebing-tebing sungai. Hanya segelintir sahaja yang masih mengamalkan amalan ini. Hal ini berkemungkinan kerana mereka masih kuat dan terikat lagi dengan tradisi lama. Tetapi golongan yang tidak mengamalkannya lebih dominan daripada mereka yang masih mengamalkannya. Kesimpulan Berdasarkan hasil kajian ini, penulis dapat membuat beberapa rumusan, antaranya ialah: i. Masyarakat Siam merupakan golongan yang mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap agama mereka iaitu Buddha. Namun, apabila mereka memeluk agama Islam, mereka telah menafikan atau menyangkal segala kepercayaan mereka sebelum ini. Kebanyakan mereka menghambakan diri hanya pada Allah Yang Esa dan tidak akan mempesekutukan Allah dengan suatu makhluk yang lain. Mereka memahami dengan baik tentang rukun iman dan rukun Islam. Bagi amalan masyarakat Siam setelah memeluk Islam pula, penulis berpendapat mereka telah dapat melaksanakan amalan-amalan tuntutan Islam dengan baik sekali. Amalan mereka adalah berdasarkan syarak. Mereka telah meninggalkan segala amalan kufur sebelum ini.

ii.

Kesimpulan secara keseluruhannya, saudara baru masyarakat Siam telah mencapai tahap kefahaman dan amalan agama Islam yang agak baik. Mereka mampu mengamalkan amalan ibadat dengan agak sempurna. Di kalangan saudara baru ini, majoriti daripada mereka telah banyak berubah kepada yang lebih baik terutama dalam aspek pergaulan, menutup aurat, amalan, mahupun dalam perkara halal atau haram. Mereka telah meninggalkan corak kehidupan ajaran Buddha atau nenek moyang kepada kehidupan yang bercirikan keislaman. Oleh kerana mereka mengetahui tentang balasan pahala dan dosa, mereka telah mengaplikasikan akhlak dan akidah Islam dalam kehidupan seharian. Islam menggalakkan umatnya menjalinkan hubungan yang baik sesama manusia, tidak mengira bangsa, warna kulit, adat mahupun budaya. Kerana itulah pergaulan mesra di kalangan semua bangsa terjalin erat. Walaupun telah bergelar Muslim, mereka masih berhubung dengan bangsa mereka yang tidak Islam dengan baik sekali. Jelas sekali memperlihatkan mereka tidak pernah merasa tersisih dalam kelompok asal mereka. Hubungan persaudaraan mahupun persahabatan masih boleh diteruskan walaupun telah bergelar seorang Muslim.

RUJUKAN

Al-Wasilah JHEAIK. 1999. Buletin. JHEAIK. 1999.

13 Mohamed Yusoff Ismail & Rahimah Abdul Aziz. 2000. Masyarakat, budaya dan perubahan. Bangi: Penerbit UKM. Shirley Hew. 1994. Budaya serata dunia Thailand. Singapura:Times Book International. Che Mohd. Fahmi bin Che Omar. 2007. Pendaftaran Saudara Baru di Kelantan. Temu Bual. 6 Januari.

Anda mungkin juga menyukai