Anda di halaman 1dari 16

1

PERLAKSANAAN DAKWAH KEPADA MUALLAF ORANG ASLI PAHANG


Oleh
Razaleigh Muhamat @ Kawangit
Abstrak
Muallaf Orang Asli di Pahang adalah golongan yang paling ramai berbanding
Muallaf Orang Asli di negeri-negeri lai. Berbagai pertubuhan seperti Jabatan
Agama Islam Negeri, PERKIM, JAKIM dan lainnya telah mengatur
perlaksanaan dakwah kepada mereka. Artikel yang ditulis secara kajian
kepustakaan ini melihat sebahagian dari usaha-usaha dakwah ini. Kajian
mendapati,
usaha-usaha
dakwah
ini
mendapat
sambutan
yang
menggalakkan dari golongan Orang Asli di negeri Pahang
1. Pendahuluan
Usaha dakwah kepada masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang telah
disumbangkan oleh pelbagai organisasi dakwah sama ada di kalangan
organisasi dakwah kerajaan atau bukan kerajaan. Salah satu pertubuhan
dakwah bukan kerajaan yang bergerak cergas melakukan pelbagai aktiviti
dakwah kepada masyarakat Orang Asli khususnya di Negeri Pahang ialah
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). Penulisan ini bertujuan untuk
mengenal pasti pendekatan dakwah yang telah dilakukan oleh PERKIM
Bahagian Pahang terhadap masyarakat Orang Asli.
2. Pendekatan Dakwah Melalui Pendidikan Dan Kebajikan
Pendekatan dakwah melalui pendidikan dan kebajikan merupakan
sebahagian daripada aspek yang memberikan kejayaan dakwah Rasulullah.
Perbincangan mengenai kedua-dua pendekatan dakwah ini adalah seperti
berikut:
a) Pendidikan
Dari sudut istilah pendidikan berasal daripada perkataan didik yang
membawa maksud jaga, pelihara, ajar. Apabila perkataan didik ditambah
dengan imbuhan per dan an, ianya memberi maksud dengan perihal
mendidik (Kamus Dewan 2007:350). Di dalam kamus bahasa Inggeris,
pendidikan disebut education yang membawa maksud proses latihan dalam
membangunkan pengetahuan, kemahiran, minda dan karekter individu
(Websters New Twentieth Century Dictionary 1972:576). Perkara yang sama
disebut dalam Kamus Oxford Fajar (2000:2158), bahawa pendidikan
melibatkan perihal melatih dan mengajar ilmu pengetahuan.
Di dalam bahasa Arab disebut tadib, taclim dan tarbiyyah yang
menunjukkan aspek pendidikan yang lebih holistik. Daripada maksud
tersebut, dapat dinyatakan bahawa pendidikan adalah proses untuk

2
membangunkan aspek intelektual, emosi dan rohani manusia dengan ilmu
pengetahuan ke arah matlamat ketaqwaan kepada Allah. Proses ini
melibatkan pembangunan ilmu pengetahuan yang berpandukan al-Quran
dan Sunnah. Prof. Syed Naquib Al-Attas menyatakan, pendidikan dalam Islam
di dasari dengan konsep agama (Al-din), konsep manusia (insan), konsep
ilmu (cilm dan macrifah), konsep kebijaksanaan (hikmah), konsep keadilan
(cadil), konsep amal (camal sebagai adab) dan konsep universiti (kuliyyahjamicah). Nyata sekali dengan pemahaman tentang tuntutan agama dan
kaitannya dengan tanggungjawab amalan insan yang di dasarkan kepada
konsep ilmu dan kebijaksanaan akan mencetuskan insan dan masyarakat
yang adil (Mohd Yusof Othman 1997:14) .
Menerusi tuntutan agama dan tanggungjawab amalan insan,
pendidikan turut membawa hala tuju manusia ke arah fitrah insani. Dalam
hal ini, Mohd Kamal Hasan menyatakan bahawa matlamat pendidikan dalam
Islam adalah tidak terkeluar daripada tujuan asal manusia dijadikan di muka
bumi ini, iaitu sebagai khalifah Allah yang bermatlamat untuk mendapatkan
hasanah fi al-dunya dan hasanah fi al-khirah. Maknanya kerja mendidik
insan adalah suatu usaha untuk menghasilkan insan yang boleh
mendatangkan kebaikan di dunia dan di akhirat nanti (Mohd Yusoff Othman
1997:ix). Termasuklah dalam membangunkan seorang Muslim yang baik dari
pemikiran dan budinya dalam melaksanakan komitmen amanah keinsanan
yang telah ditaklifkan (Sajjad Hussain 1979:37)
Bagi melahirkan manusia yang Muslim, pendidikan merupakan kunci ke
arah melakukan amal soleh yang baik. Hal ini kerana melakukan amal soleh
dengan mahirlah yang menjadi asas kepada penciptaan manusia. Amal soleh
juga yang menjadi kayu ukur dalam menentukan kejayaan hidup di dunia
dan di akhirat (Muhamood Zuhdi Ab Majid 2003:42). Firman Allah yang
bermaksud:
Dia (Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu
siapa di antara kamu yang lebih baik amalnnya. Dan Dia Maha Perkasa
lagi Maha Pengampun.
(Sura
h al-Mulk 67:2)
Sidek Baba (2003:16) menyebutkan, pendidikan dihubungkan dengan
penitipan penerapan adab manusia atau berlakunya proses taadib. Adab
bukan sahaja merujuk kepada ketertiban manusia mengatur kehidupan
rohaniah dan jasmaniah tetapi juga pemupukan nilai-nilai kebaikan (quality
of gooness) terhadap diri insan. Hal ini amat jelas diungkapkan oleh
Rasulullah s.a.w apabila menghubungkan addaba dan taadib mengharapkan
pendidikan terbaik. Addaba merujuk kepada matlamat pendidikan iaitu
membentuk insan beradab sementara taadib suatu proses pembentukkan
insan yang menumpu kepada pembangunan diri atau hati.

Imam al-Ghazli menyebutkan adalah untuk mendekatkan diri kepada


Allah dan bukan untuk memperoleh kedudukan, bermegah-megah dan
berlumba-lumba. Sebagai seorang tasawuf, al-Ghazli menekankan
pendidikan yang paling utama ialah untuk membuang segala kejahilan diri
sehingga individu tersebut dapat mengenal Pencipta dan matlamat ilmu
yang sebenarnya yang membolehkan individu itu dapat bertaqarrub kepada
Allah. Jika tujuan pendidikan selain bertaqarrub kepada Allah adalah bukan
objektif utama. Begitu juga dengan Ibnu Khaldun yang mempergunakan
keilmuan Islam sebagai tujuan pendidikan dalam Islam iaitu (Ghazali
Darusalam (2001:34):
a) Tujuan keagamaan. Pendidikan mesti membawa individu mengenal
TuhanNya, dapat beramal untuk akhirat dan dapat menunaikan hakhak Allah yang menjadi kewajipan kepadanya.
b) Tujuan keilmuan iaitu membawa seseorang kepada kemahiran yang
membolehkan individu menghadapi kehidupan dunianya.
Pembangunan individu Muslim yang diasaskan melalui pendidikan
keagamaan untuk ketaqwaan dan keilmuan untuk membangunkan potensi
diri manusia, dapat menjaga kepentingan di dunia dan di akhirat. Dengan
ilmu pengetahuan manusia dapat mengerjakan amalan yang diperintah
Allah. Dalam hal ini, Mustafa Mashyur (2005:453) menjelaskan amalan yang
tidak di dorongi ilmu akan memberikan destruktif kepada agama dan sistem
sosial.Semakin tinggi amalan (tindakan) manusia di dunia semakin tinggi
keimanannya terhadap Allah. Ini kerana keimanan kepada Allah adalah
berdasarkan kepada amalan seseorang Muslim itu sendiri. Perkara yang
demikian, telah diberikan keutamaan dalam dakwah Rasulullah iaitu
pembangunan manusia dalam kerangka tauhid melalui pendekatan
pendidikan.
Apabila Nabi Muhammad diutuskan, baginda memberikan perhatian
yang serius dalam pembentukan akidah sahihah. Konsep akidah sahihah ini
adalah sangat penting kerana ia dapat mengubah sifat manusia dari semua
bangsa kepada manusia Islam yang digelar muslim dan mukmin sebenar
yang menjadikan ketauhidan sebagai tunjang dalam setiap aspek kehidupan
mereka. Islam telah mendidik dan membentuk mereka daripada
penyembahan terhadap sesuatu yang bersifat kebendaan kepada
peribadatan dan penyembahan kepada Tuhan yang Maha Esa. Mereka tidak
lagi memikirkan manfaat yang datang dengan segera, tidak lagi berasa puas
untuk menyembah matahari hanya kerana sinar dan panasnya apatah lagi
batu yang dipahat dengan tangan dan tenaga mereka sendiri untuk
dianggap sebagai tuhan yang layak dipuja (Ahmad Shalaby 1957:21-23).

4
Dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w telah memberi pengajaran,
pembelajaran dan pentarbiyyahan untuk membina manusia yang beriman
kepada Allah. Menurut A.Hasjmy (1974:230) dalam pendekatan dakwah
perubahan positif manusia kepada ketauhidan adalah berdasarkan
pengajaran dan pendidikan (taclim dan tarbiyyah) sebagaimana dituntut
dalam surah al-cAlaq. Ianya ditegaskan bagi membasmi buta ilmu yang boleh
membuka minda dan hati manusia kepada keEsaan Allah. Pembangunan
aqidah manusia haruslah dipandu dengan ilmu melalui pendidikan.
Pendekatan taclim adalah pelajaran yang bersandar kepada
pengetahuan dan penyelidikan, manakala tarbiyyah pendidikan manusia
agar dengan pengetahuan dan penyelidikan yang telah diajarkan menjadi
sedar akan hakikat akidah dan syariah (A.Hasjmy 1974:231). Perbezaan ini
dapat dilihat bahawa taclim berinteraksi dengan rasional dan pemikiran, dan
tarbiyyah berinteraksi dengan jiwa dan rohani manusia (Mustafa Mashyur
2005:617). Kesan pendekatan Rasulullah s.a.w dalam pendidikan telah
membentuk manusia yang berkualiti seperti Abu Bakar al-Siddiq r.a, cUmar
al-Khattab r.a, Saidina cAli, cAbd Rahman al-cAuf dan lain-lain.
Dalam proses ini, Rasulullah s.a.w telah membentuk institusi
pendidikan Islam di awal perkembangan dakwah. Di antara institusi
pendidikan yang diwujudkan oleh Rasulullah s.a.w ialah (Nur Karelawati
2002:25-28):
i.

Rumah Al-Arqam

Peringkat awal dakwah Rasulullah s.a.w di Makkah adalah secara


rahsia selepas diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan risalah
Islam. Rasulullah s.a.w tidak menyampaikan dakwah secara terangterangan kerana dikhuatiri dengan tindakan buruk daripada
masyarakat jahiliyyah. Pada masa itu, dakwah Rasulullah telah di
sampaikan dan diterima oleh hubungan kerabatnya yang terdekat atau
kenalan baiknya. Mereka telah bertemu Nabi Muhammad s.a.w secara
rahsia untuk mengetahui tentang akidah dan ibadah Islam. Ketika
pemelukan kepada agama Islam bertambah kepada tiga puluh orang,
Nabi Muhammad s.a.w telah memilih rumah salah seorang
sahabatnya, al-Arqam bin Abi Arqam sebagai tempat pertama
mengadakan pertemuan dan pengajaran mengenai Islam (al-Buty
2000:66).
ii. Rumah Rasulullah
Rumah Nabi Muhammad s.a.w merupakan markas tarbiah sepanjang
period sebelum hijrah ke Madinah. Rumah baginda menjadi pusat
latihan dan pengkaderan yang efektif sehingga melahirkan mujahid
dakwah yang amat komited serta mampu menyambung perjuangan

5
baginda selepas kewafatannya. Dari institusi pengajian inilah muncul
kaum muhajirin dan ansar yang menjadi saudara di Madinah. Di sana
juga lahirnya tokoh kepimpinan Islam Khulafa al-Rashidin yang menjadi
role model kepada masyarkat Islam sehingga hari ini.
iii. Rumah Sahabat
Semasa Rasulullah s.a.w menjadi tetamu, menerima tetamu atau
menziarahi sahabatnya, baginda akan menyampaikan raisalah Islam.
Misalnya dalam peristiwa baginda di datangi oleh tetamu dari kabilah
Qais yang tinggal di Madinah. Dalam hal ini, Abdullah al-Ashajj sengaja
ditumpangkan di rumah Rasulullah dan pengikutnya ditumpangkan di
rumah sahabat baginda. Sepanjang menumpang di rumah Rasulullah,
Abdullah sentiasa bersamanya untuk bertanya tentang Islam,
sementara pengikutnya belajar di rumah para sahabat.
iv. al-Suffah
Selepas berhijrah ke Madinah, perkara utama yang yang dilakukan oleh
Rasulullah ialah membina masjid. Masjid di dirikan untuk pertemuan,
pengajian dan pentadbiran Madinah pada masa itu (al-Buti 2002:169).
Pusat pengajian di masjid dibimbing secara langsung oleh Rasulullah
yang dikenali al-Suffah.
Al-Suffah dibangunkan untuk menjadi pusat dakwah di Madinah.
Berbanding institusi pengajian Islam di Makkah, al-Suffah lebih
tersusun dengan mempunyai sistem pentadbiran dan pengurusan
yang teratur. Di antara mereka yang yang menjadi pembantu
Rasulullah ialah Abdullah Ibn Said, Ubaidah Ibn Samit, Ubaidah Ibn
Kaab dan lain-lain. Menurut Ahmad Ibn Hanbal, terdapat juga di
kalangan pendidiknya merupakan tawanan perang Badar.
v. Dar al-Qura
Dar al-Qura adalah kediaman Malik Ibn Nawfal yang telah dijadikan
tempat berkumpul sahabat untuk membaca dan menghafaz al-Quran
yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad.
vi. Kutub
Institusi ini merupakan tempat pengajian kanak-kanak Islam yang
memerlukan tarbiyyah, terutamanya bagi menggalakan mereka
mempelajari al-Quran. Abdullah Ibn Mascud menyatakan beliau
bersama Zaid Thabit pernah belajar al-Quran secara talaqqi
berhadapan Rasulullah s.a.w di Kutub sewaktu kecil.

Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa pendekatan dakwah melalui


pendidikan sangat penting dalam membina akidah Islam terhadap sasaran.
Melalui pendidikan yang di dasar kepada al-Quran dan al-Sunnah, ianya
dapat memberi keyakinan terhadap Allah. Hal ini juga ditunjukkan dalam
sirah Rasulullah s.a.w yang telah memberikan perhatian serius pangajaran
dan pentarbiyyah para sahabatnya sehingga mendapat kesan positif
terhadap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Begitu juga dalam
konteks hari ini, pendidikan dirujuk kepada bentuk secara formal dan tidak
formal.
b) Kebajikan
Kamus Dewan (2007:110) mendefinisikan kebajikan dengan sesuatu yang
membawa kebaikan. Dalam bahasa Inggeris kebajikan disebut welfare
(Oxford Fajar 2000:2155) yang memberi maksud kebajikan dengan
melakukan kebaikan untuk kesejahteraan (Websters New Twentieth Century
Dictionary 1972:2077).
Oleh itu, dapat difahami bahawa kebajikan adalah tindakan yang
memberi kepada kemanfaatan untuk individu, keluarga, masyarakat dan
negara. Dalam hal Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: dan hendaklah
kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan
janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)
(Surah al-Maidah
5:2)
Dalam konteks kepimpinan Islam, aspek kebajikan amat dititikberatkan
kerana ianya melibatkan soal tanggungjawab dan amanah yang akan
dipersoalkan oleh Allah di hari kiamat. Justeru kepimpinan Rasulullah s.a.w
menjadi model penting untuk kepimpinan dari sudut dakwah, ketenteraan,
kenegaraan dan sebagainya. Di antara pendekatan dakwah kebajikan yang
ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w:
i. Setelah orang kafir Quraish gagal membunuh Nabi Muhammad,
mereka telah merancang untuk mengepung orang Islam dengan tidak
dibenarkan sebarang urusan ekonomi. Rasulullah s.a.w bersama kaum
Muslimin telah menghadapi keadaan ini selama tiga tahun. Mereka
menghadapi masalah kekurangan makanan setelah Abu Jahal menyeru
peniaga menaikkan harga yang tinggi kepada pengikut Muhammad.
ii. Semasa hijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w berhenti di sebidang tanah
milik dua anak yatim dari kaum Ansar. Sebelum kedatangan Rasulullah
s.a.w, tempat itu telah di jadikan musalla. Kemudian Rasulullah s.a.w
memerintahkan untuk dibina masjid. Dalam hal ini, dua anak yatim
tersebut menyatakan untuk menghibbahkan tanah tersebut untuk

7
masjid. Namun Rasulullah menolak dan membayar sepuluh dinar
kepadanya.
iii. Rasulullah s.a.w sentiasa mengutamakan kepentingan agama. Dalam
hal ini, Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang pemimpin agama,
negara dan ketua peperangan tidak pernah mengambil kepentingan
harta. Hatta, harta peninggalan tidak boleh diwarisi oleh isteri
anaknya. Segala usaha yang dilakukan hanya untuk keselamatan
agama umatnya di dunia dan di akhirat. Bukahri meriwayatkan,
selepas daripada peperangan, Rasulullah s.a.w menyatakan sekiranya
kalian mempunyai harta sejumlah pohon di di Tihamah, nescaya akan
aku bahagikan kepada kalian, kemudian kalian tidak akan mendapatiku
bakhil, pendusta dan pengecut. Wahai manusia, demi Allah, aku tidak
punyai hak dari harta rampasan kecuali seperlima dan itupun
dikembalikan kepada kalian.
iv. Nabi Muhammad s.a.w turut sama menggali parit untuk benteng dalam
peperangan khandaq. Imam Bukhari meriwayatkan; ketika kami
sedang sibuk menggali parit, kami menemukan batu besar yang sukar
untuk dipecahkan. Para sahabat memberitahu kepada Nabi Muhammad
s.a.w. Maka Nabi s.a.w turun untuk bersama menggali parit. Dalam
masa yang sama, para sahabat melihat Nabi mengikat perut dengan
batu, setelah tiga hari tidak mengambil makanan.
v. Semasa perang Khandaq, mementingkan kebajikan para sahabatnya
yang turun menggali parit tanpa mengambil makanan selama tiga hari.
Terdapat salah seorang sahabat yang simpati dengan Rasulullah s.a.w
dengan keadaan demikian. Lalu menjemput Nabi ke rumahnya untuk
dijamu makanan. Akan tetapi, Nabi mengajak semua sahabatnya yang
bersama-sama menggali parit untuk menjamu makanan di rumah
sahabat yang bernama Jabir r.a.
vi. Nabi Muhammad s.a.w telah memberikan seratus ekor unta kepada
mereka yang memeluk Islam semasa perang Hunain. Begitu juga,
rasulullah s.a.w telah memberikan harta rampasan (ghanimah) perang
Hunain kepada penduduk Makkah yang baru memluk Islam.
vii. Di institusi pengajian al-suffah, para sahabat diberikan pengajian
secara percuma. Demi menjamin keperluan hidup mereka, Rasulullah
telah menyuruh para sahabat untuk menjamin mereka. Malah Nabi
Muhammad s.a.w turut menjamin sepuluh orang sahabatnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dakwah melalui kebajikan adalah
salah satu pendekatan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Demikian juga,
aspek kebajikan ini diteruskan oleh para sahabatnya dalam pemerintahan
khulafa, demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan agama Islam.

3. Latar Belakang Perkim Bahagian Pahang


PERKIM telah ditubuhkan pada 19 Ogos 1960 oleh Allahyarham Tunku Abdul
Rahman Putera al-Haj selaku Perdana Menteri Malaysia yang pertama ketika
itu dan beliaulah merupakan Yang Dipertua PERKIM yang pertama (PERKIM
t.th: 2). Ketika ini PERKIM diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Lantaran kegiatannya merebak ke seluruh negeri, banyak cawangancawangannya telah ditubuhkan. Cawangan pertama PERKIM yang
ditubuhkan ialah cawangan Selangor yang kemudiannya disusuli cawangan
Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak,
Kelantan dan terakhir sekali Terengganu (PERKIM t.th: 17).
Bagi PERKIM Bahagian Pahang, ia telah ditubuhkan pada tahun 1972
dan beroperasi di Tingkat 3, Jalan Gambut, Kuantan (PERKIM Bahagian
Pahang 2002: 5). Orang yang bertanggungjawab menubuhkan PERKIM
Pahang ialah Dato Haji Abdul Aziz b. Ahmad dan beliau merupakan
pengerusi yang pertama bagi pertubuhan tersebut (PERKIM Bahagian Pahang
1992: 6). Ketika ini, PERKIM bahagian Pahang diterajui oleh Dato Haji Abdul
Rashid b. Haji Abdul Rahman sebagai Pengerusi dan Tuan Haji Zainal Abidin
Haji Abu Bakar sebagai Setiausaha (PERKIM Bahagian Pahang 2003: 14).
Terdapat 11 cawangan PERKIM di seluruh Negeri Pahang iaitu PERKIM
Cawangan Daerah Kuantan, Pekan, Maran, Temerloh, Lipis, Cameron
Highlands, Wanita PERKIM Bahagian Negeri Pahang, Cawangan Daerah
Kuantan, Pekan, Bentong dan Jerantut (PERKIM Bahagian Pahang 2004: T.h).
Sebagai sebuah pertubuhan dakwah, PERKIM telah menggariskan lima
matlamat utama penubuhannya seperti berikut (PERKIM 1983: 21):
a. Dakwah: Menjalankan dakwah Islamiah kepada orang-orang Islam dan
bukan Islam dengan cara positif dan berkesan.
b. Pelajaran: Memberi, mengada, mengurus dan menjalankan pelajaran
dan pendidikan Islam menerusi segala media dan dengan cara yang
sah di sisi undang-undang.
c. Kebajikan: Menjalankan semua kerja-kerja kebajikan termasuk
memberi bantuan, derma, biasiswa atau dermasiswa kepada mereka
yang berkelayakan serta menjalankan kerja-kerja amal jariah kepada
golongan yang sakit, susah, miskin serta kepada Saudara-saudara
Baru.
d. Kerjasama dalam bidang agama Islam: Menubuhkan perantaraan dan
kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan dan badan-badan Islam lain
demi kemajuan agama Islam.
e. Lain-lain: Menjalankan lain-lain kegiatan demi kepentingan dan
kemajuan agama Islam.

Melalui matlamat yang dirancang di atas, didapati bahawa matlamat


pertama menunjukkan PERKIM bukan sahaja sebuah pertubuhan yang
melakukan dakwah kepada orang Islam tetapi penumpuan juga turut
diberikan kepada mereka yang bukan Islam. Keberkesanan amat
dititikberatkan dalam hal di atas. Menerusi matlamat yang kedua,
penumpuan diberikan kepada mereka yang telah menganut ajaran Islam
supaya mempelajari, memahami dan mendalami melalui saluran pendidikan
Islam dengan menggunakan segala media yang ada. Manakala menerusi
matlamatnya yang ketiga, penumpuan diberikan kepada hal-hal kebajikan
dalam bentuk bantuan kewangan serta membantu golongan-golongan
kurang upaya dan miskin termasuklah kepada Saudara Baru. Sementara
dalam matlamatnya yang keempat, memperlihatkan terserlahnya kerjasama
yang ingin dihulurkan kepada organisasi yang lain demi tersebar dan
berkembangnya agama Islam. Sementara itu dalam matlamatnya yang
terakhir, memperlihatkan bahawa bukan sahaja penumpuan kepada perkaraperkara dakwah, pendidikan, kebajikan serta kerjasama, malah PERKIM juga
bersedia menjalankan kegiatan selain daripada itu asalkan ianya membawa
kepada kemajuan agama Islam.
Daripada matlamat yang pertama, kedua, ketiga dan kelima ianya
boleh disatukan dalam satu matlamat yang khususnya iaitu tidak lain dan
tidak bukan kewujudan PERKIM adalah untuk melakukan aktiviti dakwah
kepada masyarakat sama ada yang telah Islam mahupun yang bukan Islam.
Penumpuan tersebut diberikan melalui pendidikan dan kebajikan. Manakala
matlamat yang keempat memperlihatkan kesediaan pertubuhan ini untuk
bekerjasama dengan agensi lain demi untuk menyebarkan agama Islam.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat difahami bahawa PERKIM
merupakan sebuah organisasi dakwah yang telah melaksanakan aktiviti
dakwah yang antara lainnya melalui dua pendekatan iaitu melalui saluran
pendidikan dan kebajikan sama ada sebelum sasaran memeluk Islam
mahupun selepas sasaran menerima Islam.
4. Pendekatan Dakwah
Muallaf Orang Asli

Perkim

Bahagian

Pahang

Terhadap

Sebagaimana dijelaskan di atas, terdapat dua pendekatan dakwah yang


telah dilaksanakan oleh PERKIM Bahagian Pahang terhadap masyarakat
Orang Asli di Negeri Pahang iaitu pendekatan dakwah melalui pendidikan
dan kebajikan.
a. Dakwah melalui pendidikan

10
Pendekatan dakwah melalui pendidkan dapat dibahagikan kepada dua
pecahan iaitu dakwah melalui aktiviti pendidikan secara formal dan secara
tidak formal yang dapat dijelaskan seperti berikut:
i. Dakwah Melalui Aktiviti Pendidikan Secara Formal
Pendekatan melalui pendidikan secara formal dilakukan selepas sasaran
memeluk Islam. Dalam hal ini, pendidikan kepada Muallaf Orang Asli telah
diperluaskan dengan mengadakan beberapa program dakwah seperti
ceramah agama1, latihan amali mengenai ibadat. Melalui kerjasama PERKIM
bahagian dan cawangan serta JKOA, program tersebut telah diadakan di
perkampungan Orang Asli seperti di Kg. Telok Gunung, Sg. Tementong, Sg.
Padi dan Pantos di Lipis, Sg. Bangkong, Sg. Tiang dan Sg. Kucing di
Jerantut, Sg. Mas, Sg. Lembing dan Buluh Nipis di Muadzam Shah dan di Pos
Penderas, Temerloh (PERKIM Bahagian Pahang 1997: 19) serta Kg. Hulu
Pareh dan Gapoi di Bentong (PERKIM Bahagian Pahang 1996: 25-26).
Selain daripada itu, pendidikan Islam turut diberikan penekanan oleh
PERKIM Bahagian Pahang dengan mengadakan kelas fardu ain dan kursuskursus dakwah. Kelas fardhu ain pernah diadakan seperti di kampung Orang
Asli Sg. Gapoi, Bentong (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 20). Manakala
kursus dakwah pula pernah diadakan di Sg. Temetong, Kuala Lipis (PERKIM
Bahagian Pahang 1996: 32) dan di Pos Penderas, Temerloh (PERKIM Bahagian
Pahang 2000: 17).
Bagi mengukuhkan amalan solat Muallaf masyarakat Orang Asli,
program solat berjemaah telah diadakan di perkampungan tertentu pada
tiap-tiap malam jumaat bersama penduduk kampung (PERKIM Bahagian
Pahang 1998: 40).
Di samping pendidikan di atas, Muallaf Orang Asli juga didedahkan
dengan pendidikan yang lain seperti mendidik mereka untuk memasak dan
membina kemahiran
dengan mengadakan kelas masakan dan kraftangan
sepertimana yang diadakan kepada Saudara Baru di Sg. Ruil, Cameron
Highlands (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 40).
ii. Dakwah Melalui Pendidikan Secara Tidak Formal
Sebelum masyarakat Orang Asli memeluk agama Islam, PERKIM
mengadakan program ziarah ke perkampungan mereka. Semasa berziarah
pendakwah PERKIM banyak menggunakan lojik akal dalam setiap pertemuan
dengan mereka supaya mereka dapat berfikir mengenai kebenaran agama
1

Terdapat pelbagai ceramah agama yang diadakan khusus ketika menyambut hari-hari
kebesaran dalam Islam seperti Israk Mikraj dan Maulidur Rasul oleh PERKIM kepada Saudara
Baru. Lihat PERKIM Bahagian Pahang 2001: T.h.

11
Islam. Pendekatan ini pernah digunakan di Pos Sinderot dan Lenjang di
daerah Lipis (PERKIM Bahagian Pahang (1998: 20).
Menurut En. Ahmadi b. Abdullah yang berkhidmat sebagai pendakwah
PERKIM, dengan menggunakan kaedah tersebut, pendakwah telah mendidik
sasaran supaya menggunakan akal mereka untuk membuat perbandingan
antara Islam dengan agama yang lain terutama dari aspek ketuhanan.
Contohnya betapa tidak logiknya tuhan itu banyak kerana sudah tentu akan
menimbulkan pergaduhan dalam mentadbir alam sebagaimana banyaknya
raja dalam mentadbir sesebuah negara dan betapa tidak logiknya manusia
menyembah objek beku yang tidak boleh memberi apa-apa rezeki atau
manfaat serta bersifat kaku sebagaimana yang terdapat dalam agamaagama lain (Ahmad Ahmadi b. Abdullah 2004).
Selepas masyarakat Orang Asli memeluk Islam, pihak PERKIM Pahang
turut menekankan aktiviti pendidikan yang bersifat tidak formal. Antaranya,
bagi menunjukkan komitmen untuk memajukan pendidikan Muallaf Orang
Asli, PERKIM Bahagian Pahang telah mewujudkan Kampung Bimbingan.
Antara kampung yang terpilih ialah Kg. Sg. Mas, di Kuantan, Kg. Ulong, di
Cameron Hinglands, Kg. Gadak dan Kg. Bukit Serdang di Rompin dan Kg.
Temetong di Lipis. Di kampung tersebut akan ditempatkan seorang guru
agama untuk mengajar penduduk kampung dengan dipantau oleh pegawai
dakwah PERKIM (Berita Harian 1989: 17).
b) Dakwah Melalui Aktiviti Kebajikan
Pendekatan dakwah yang dilakukan oleh PERKIM Pahang dalam aktiviti
kebajikan dapat dilihat kepada dua aspek iaitu kebajikan sosial dan ekonomi:
i. Sosial
Sebagai sebuah organisasi yang prihatin terhadap pembangunan sosio
kehidupan masyarakat Orang Asli, PERKIM Bahagian Pahang membuat
bancian penduduk, kemudahan asas, pertanian dan ternakan bagi sesebuah
kampung yang dilawatinya. Cara ini adalah lebih berkesan kerana dapat
mengetahui secara langsung setiap permasalahan yang timbul di kalangan
mereka. Dengan kaedah ini, setiap masalah yang mereka hadapi seperti
memerlukan bekalan elektrik, keperluan peralatan pertanian dan bekalan air
akan diketahui. Selanjutnya, pihak PERKIM Bahagian Pahang akan
memaklumkan kepada pihak-pihak tertentu agar setiap masalah yang
mereka hadapi dapat diselesaikan (PERKIM Bahagian Pahang 1996: 22).
Sempena dengan lawatan juga pernah diadakan aktiviti ibadah korban,
sepertimana yang diadakan di Pusat Latihan Orang Asli Paya Bungor,
Kuantan (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 17).

12
Bagi menjaminnya keberlangsungan dakwah dalam bentuk kebajikan
kepada Muallaf Orang Asli, PERKIM Bahagian Pahang telah menubuhkan
jawatankuasa di perkampungan yang tertentu yang dikenali sebagai
Jawatankuasa Muhibbah. Ia merupakan suatu pendekatan baru untuk
menyampaikan dakwah. Jawatankuasa Muhibbah ini ditubuhkan di kampungkampung Orang Asli yang berjiran dengan kampung orang Melayu.
Tujuannya supaya dakwah dapat disampaikan secara tidak langsung melalui
projek-projek kebajikan dan wujudnya persefahaman antara masyarakat
Orang Asli dengan orang Melayu. Antara kampung yang telah diwujudkan
jawatankuasa tersebut iaitu Kg. Pantos, Teluk Gunung, Harung, Sg. Temetong
dan Beletik di Lipis, Kg. Sg. Bangkong dan Sg. Berjuang di Jerantut dan Sg.
Mas di Kuantan (PERKIM Bahagian Pahang 1997: 20).
Untuk menunjukkan Islam sebagai agama yang mementingkan tolong
menolong dan sebagai agama nasihat, aktiviti gotong royong membersihkan
kawasan dan kelas motivasi kepada anak-anak Orang Asli turut diadakan di
perkampungan Orang Asli seperti di Kampung Sg. Berjuang dan Sg.
Bangkong, Jerantut (PERKIM Bahagian Pahang 1996: 32). Malah, di Sg.
Temetong, Lipis, PERKIM pernah mengadakan gotong royong membersihkan
tanah perkuburan (PERKIM 1996: 11).
Di samping mengadakan gotong royong membersihkan kawasan,
PERKIM turut mengadakan gotong royong bagi menjayakan majlis
perkahwinan Saudara Baru sepertimana diadakan di Kg. Gabong, Sg. Gapoi
(PERKIM Bahagian Pahang 1998: 35), Kg. Sg. Penjuring dan Hulu Pareh, di
Bentong (PERKIM Bahagian Pahang 2000: 23).
Selain daripada itu, bagi meraikan mereka yang telah memeluk agama
Islam, PERKIM Bahagian Pahang telah mengadakan majlis berkhatan.
Majlis tersebut pernah diadakan di Kampung Sg. Mas, Kuantan, di mana
seramai 23 orang telah terlibat dalam program ini (PERKIM Bahagian Pahang
1998: 28).
Bagi mengeratkan silaturrahim dan mewujudkan kemesraan dengan
masyarakat Orang Asli, lawatan muhibbah ke perkampungan telah dilakukan
seperti ke Kg. Sg. Gapoi dan Gabong bagi meninjau masalah Saudara Baru
serta perkara yang berkaitan dengan kebajikan, di samping mengadakan
majlis berbuka puasa (PERKIM Bahagian Pahang 1998:35).
Di samping itu, PERKIM Bahagian Pahang juga turut menganjurkan
hari keluarga. Antara aktiviti kebajikan yang diadakan sempena dengan hari
tersebut ialah gotong royong dan sukan rakyat sepertimana yang diadakan
di Sg. Mas, Kuantan (PERKIM Bahagian Pahang 1996: 22).
ii. Ekonomi

13
Pendekatan dakwah melalui ekonomi juga dapat dilihat dengan sumbangan
kewangan sebanyak RM 400.00 telah diberikan kepada penduduk kampung
untuk tujuan majlis berbuka puasa, umpamanya bantuan yang diberikan
kepada penduduk Kg. Pantos, Harong dan Sg. Padi, Lipis. Walaupun
demikian, bantuan kewangan ini hanya diberikan di sesetengah tempat
dalam masyarakat Orang Asli (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 43).
Selain itu, sebelum menjelang hari raya aidilfitri, pihak PERKIM juga
turut memberi sumbangan kepada setiap keluarga muslim di sesebuah
perkampungan supaya mereka turut merasai suasana berhari raya,
contohnya bantuan kepada penduduk kampung Bt. 55, Maran (Ibid. :37) dan
Sg. Mas, Kuantan (PERKIM Bahagian Pahang 1997: 31). Di samping itu,
sambutan majlis jamuan hari raya turut diadakan seperti di Kg. Sg. Padi dan
Sg. Temetong di Lipis (PERKIM Bahagian Pahang 2001: t.h).
Selain daripada itu, bantuan lain turut dihulurkan oleh PERKIM
Bahagian Pahang seperti bantuan kepada Tabung Keluarga Tua Islam seperti
kepada Orang Asli di Pusat Latihan Orang Asli Paya Bungor, menyampaikan
zakat seperti di Kg. Harong, Pantos dan Sg. Padi, Lipis (PERKIM Bahagian
Pahang 1997: 45). Di samping itu, bantuan pakaian terpakai dan pemberian
makanan turut dihulurkan kepada masyarakat Orang Asli sepertimana
bantuan kepada penduduk Kg. Sg. Temetong, Lipis (PERKIM Bahagian Pahang
1996: 32).
Berdasarkan huraian di atas, didapati bahawa terdapat dua
pendekatan dakwah yang dilakukan oleh PERKIM Bahagian Pahang kepada
Muallaf Orang Asli iaitu melalui pendidikan dan kebajikan. Daripada dua
pendekatan itu, pendekatan melalui kebajikan lebih dititikberatkan
berbanding dengan pendidikan.
Begitu juga jika dilihat dari sudut penekanan akitiviti yang dilakukan,
didapati aktiviti selepas pengislaman lebih diambilberat oleh pertubuhan ini
berbanding
aktiviti
sebelum
pengislaman. Oleh itu tidak hairanlah,
organisasi ini lebih cenderung untuk membina kehidupan seseorang selepas
memeluk agama Islam daripada mengajak sasaran memeluk Islam.
Jika dilihat daripada aktiviti sebelum pengislaman, aktiviti ziarah telah
diadakan. Semasa berziarah sasaran diajak berfikir tentang Islam,
mengetahui masalah sasaran, mengadakan aktiviti gotong royong dan
kelas motivasi.
Selepas sasaran memeluk Islam pula, banyak aktiviti yang telah
dilakukan seperti mengadakan ceramah agama, kelas fardhu ain, majlis
berkhatan, majlis berbuka puasa, bantuan hari raya, majlis korban, aktiviti
gotong royong, bantuan kepada warga tua dan menghulurkan zakat dan
bantuan pakaian terpakai dan makanan.

14

Secara keseluruhannya, pendekatan dakwah PERKIM Pahang dari


aspek pendidikan sememangnya memberikan kesan yang positif kepada
kehidupan beragama di kalangan Muallaf t Orang Asli. Namun dari konteks
Muallaf Orang Asli yang tinggal berdekatan dengan masyarakat Melayu,
pihak PERKIM masih kurang menekankan pendidikan dakwah yang
melibatkan secara langsung dalam kedua-dua komuniti ini. Agar ianya tidak
dilihat terdapat perbezaan dalam sebuah masyarakat Islam dalam jangka
masa akan datang. Perkara sedemikian, dapat dibentuk dengan memberikan
kefahaman tentang konsep kejiranan sepertimana yang dituntut dalam
Islam. Walaupun terdapat Jawatankuasa Muhibbah yang ditubuhkan bagi
menjalinkan persefahaman antara masyarakat Melayu dan Orang Asli,
namun ianya hanya difokuskan kepada pembangunan sosial yang
melibatkan pembangunan infrastruktur dan lain-lain.
5. Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa terdapat dua
penumpuan pendekatan dakwah yang telah dilakukan oleh PERKIM Bahagian
Pahang kepada masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang iaitu melalui
pendidikan dan kebajikan. Daripada dua pendekatan tersebut, dakwah
melalui kebajikan lebih ditekankan oleh organisasi ini. Dakwah tersebut
ditujukan kepada mereka yang belum Islam dan yang telah diislamkan.
Daripada dua sasaran tersebut, penumpuan dakwah lebih banyak
ditumpukan kepada mereka yang telah memeluk agama Islam. Oleh itu,
amat sinonimlah pertubuhan ini dinamakan sebagai Pertubuhan Kebajikan
Islam Malaysia kerana hala tuju dakwahnya lebih banyak ditumpukan dalam
bentuk kebajikan.
Rujukan
A.Hasjmy. 1974. Dustur dawah menurut al-Quran. Jakarta: Penerbit Bulan
Bintang.
al-Buti, Muhammad Said Ramdhan. 2002. Sirah Nabawiyyah, Analisis Ilmiah
Manhajiah terhadap sejarah pergerakan Islam di masa Rasulullah
s.a.w. Anuar Rafiq Saleh (Terj.). Kuala Lumpur: Darul Fajar Niaga.
Ghazali Darusalam. 2001. Pedagogi pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.
Mahamood Zuhdi Ab Majid. 2003. Pendidikan Islam ke arah pembentukan
warga holistik. Dlm. Abd Rahim Abd Rashid. Falsafah budaya dalam
pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya (UM).
Mohd Yusoff Othman. 1997. Teknologi maklumat: cabaran dan harapan dalam
pendidikan Islam. Prosiding Seminar Kebangsaan Teknologi Maklumat
Dalam Pendidikan Islam 1997. Maktab Perguruan Islam Bangi, hlm. iiixvi.

15
Mustafa Mahsyur. 2005. Fiqih dakwah. (Terj.) Abu Ridho. Jakarta: Al-Itishom
Cahaya Umat.
Nur Karelawati. 2002. Metodologi Dakwah Kepada Saudara Baru: Kajian
Khusus di Darul Arqam Singapura. Disertasi Sarjana Pengajian Islam.
Jabatan Pengajian Dakwah Dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam
UKM.
Kamus Dewan. 2007. Ed. 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Websters New Twentieth Century Dictionary. 1972. USA: Collin World.
Oxford Fajar Advanced Learners English Malay. 2000. Kuala Lumpur:
Penerbit Fajar.
PERKIM. T. Th. Memperkenalkan PERKIM, Pamplet. Kuala Lumpur: PERKIM.
PERKIM. T.th. Kisah Ringkas 25 Tahun PERKIM. Kuala Lumpur: Adabi Sdn.
Bhd.
PERKIM. 1983. Cenderamata Perasmian Bangunan Pertubuhan Kebajikan
Islam Malaysia. Kuantan: PERKIM Bahagian Pahang.
PERKIM Bahagian Pahang. 1989. PERKIM Pilih Lima Kampung Bimbingan,
Berita Harian, 2 September.
PERKIM Bahagian Pahang. 1992. Ucapan Perasmian Mesyuarat Agung PERKIM
Bahagian Negeri Pahang Oleh Dato Haji Ahmad b. Mohd Zin, dalam
Mesyuarat Agung PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-20, 14 Jun.
PERKIM. 1996. PERKIM Pahang Aktif, Suara PERKIM, Keluaran 2, Kuala
Lumpur: PERKIM, h. 11.
PERKIM Bahagian Pahang. 1996. Laporan Tahunan PERKIM Cawangan
Daerah-daerah Bagi Tahun 1995, dalam Mesyuarat Agung Tahunan
PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-24, 7 Julai.
PERKIM Bahagian Pahang. 1996. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Pahang
Bagi Tahun 1995, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian
Negeri Pahang Kali Ke-24, 7 Julai.
PERKIM Bahagian Pahang. 1997. Laporan Tahunan PERKIM
Cawangan
Daerah-daerah Bagi Tahun 1996, dalam Mesyuarat Agung Tahunan
PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-25, 6 Julai.
PERKIM Bahagian Pahang. 1997. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri
Pahang Tahun 1996, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM
Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-25, 6 Julai.
PERKIM Bahagian Pahang. 1998. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri
Pahang Tahun 1997, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM
Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-26, 5 Julai.
PERKIM Bahagian Pahang. 1998. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri
Pahang Tahun 1997, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM
Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-26, 5 Julai.
PERKIM Bahagian Pahang. 1998. Laporan Tahunan PERKIM Cawangan
Daerah-daerah Bagi Tahun 1997, dalam Mesyuarat Agung Tahunan
PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-26, 5 Julai.
PERKIM Bahagian Pahang. 2000. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Pahang
Bagi Tahun 1999, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian
Negeri Pahang Kali Ke-29, 1 Ogos.

16
PERKIM Bahagian Pahang. 2000. Laporan Tahunan PERKIM Cawangan
Daerah-daerah Bagi Tahun 1999, dalam Mesyuarat Agung Tahunan
PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-28, 9 Julai.
PERKIM Bahagian Pahang. 2001. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri
Pahang Tahun 2000, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM
Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-29, 26 Mei.
PERKIM Bahagian Pahang. 2001. Laporan Tahunan PERKIM Cawangan
Daerah-daerah Bagi Tahun 2000, dalam Mesyuarat Agung Tahunan
PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-29, 26 Mei.
PERKIM Bahagian Pahang. 2002. PERKIM Satu Tinjauan, Risalah PERKIM.
Kuantan. PERKIM Bahagian Pahang.
PERKIM Bahagian Pahang. 2003. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri
Pahang Tahun 2002, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM
Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-31, 6 Julai.
PERKIM Bahagian Pahang. 2004. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri
Pahang Tahun 2000, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM
Bahagian Negeri Pahang Kali ke-32, 3 Julai.
Syed Sajjad Hussain Syed Ali Ashraf. 1979. Crisis in Muslim education. Jeddah:
King Abdul Aziz University Of Jeddah.

Anda mungkin juga menyukai