Anda di halaman 1dari 4

APLIKASI TEATER DALAM KEHIDUPAN

Kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan dengan seni. Bagi penggiat teater, persembahan teater bukan hanya untuk hiburan masyarakat semata-mata tetapi ianya satu seni dalam kehidupan. Mereka manfaatkan seni teater yang di pelajari dengan mengaplikasikan setiap sudut pembelajaran dan disiplin ke dalam kehidupan harian.

Malah jika dilihat, kebanyakan individu yang melibatkan diri dalam seni teater sering kali menyamakan seni teater sama dengan kehidupan harian mereka iaitu dari saat bangun tidur sehinggalah kembali tidur di malam hari, semuanya terdapat elemen seni teater. Teater umpama kehidupan, kehidupan umpama teater itulah sering dikatakan individu yang terlibat dalam seni teater. Mereka umpamakan dunia sebagai sebuah pentas teater yang luas yang mana watak dilakonkan oleh manusia serta dalam kehidupan itu terdapat hidupan yang mempunyai pelbagai ragamnya.

Sebenarnya, banyak aspek dalam bidang teater yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian manusia terutama kepada mahasiswa dan pelajar. Ini kerana golongan ini merupakan asset negara iaitu bakal pemimpin negara. Tambahan, dengan mendalami seni teater, sebenarnya kita diajar untuk melatih diri untuk menjadi seseorang yang lebih bertanggungjawab, jujur, berdisiplin tinggi, mempercayai diri, pembentukan akhlak dan peribadi, mengawal ego, serta peka terhadap persekitaran sekeliling. Malah, seorang sasterawan Indonesia pernah berkata Pelakon yang baik adalah seorang pengamal kehidupan yang baik juga. Oleh itu, sebenarnya banyak sekali manfaat yang boleh kita peroleh dengan mendalami seni teater.

Di bawah merupakan antara contoh aplikasi teater dalam kehidupan

Usaha tangga kejayaan

Rata-rata masyarakat berpendapat teater adalah satu seni lakonan yang hanya untuk mereka yang mempunyai bakat lakonan semula jadi. Sebenarnya pendapat itu kurang tepat, ini kerana seni teater sama seperti seni-seni atau perkara yang lain iaitu perlu dipelajari dari asasnya. Usaha, disiplin dan kemahuan antara perkara yang perlu dititikberatkan pelakon bagi menjayakan sesuatu teater. Ini juga sama dalam kehidupan seharian manusia, jika ingin berjaya dalam sesuatu bidang tertentu ataupun cemerlang dalam pelajaran, seseorang itu perlu berusaha dan bekerja keras dalam menggapai apa yang diinginkan. Dalam seni teater, kepuasan dalam melakonkan watak dan memuaskan penonton memerlukan seseorang pelakon meneliti dan mendalami setiap perkara yang dilakukan. Jika usaha yang gigih dan berterus mungkin kejayaan itu akan datang dengan sendirinya.

Disiplin dan ketepatan masa

Untuk menjadikan sesuatu teater itu berjaya, penggiat teater hendaklah sentiasa berdisiplin dalam setiap perkara yang dilakukannya. Disiplin ini termasuklah disiplin di atas pentas, semasa latihan serta disiplin di dalam kehidupan harian. Jika individu tersebut membuat sesuatu sambil lewa atau secara main-main ianya boleh mencacatkan sesuatu pementasan teater yang bagus. Malah jika seseorang pelakon kurang disiplin ianya juga boleh memberi kesan yang tidak baik kepada rakan-rakan pelakon dan krew pementasan teater. Ketepatan masa adalah disiplin yang sering dititikberatkan dalam melaksanakan pementasan teater. Jika kita datang lewat ke latihan atau masa pementasan bukankah ianya akan merosakkan pementasan teater. Jika hanya bagus pada skrip, prop atau pengarah tetapi bukan pad disiplin ianya boleh membunuh kejayaan sesuatu teater. Demikian juga sama dalam kehidupan manusia. Jika mahu berjaya disiplin yang tinggi dalam diri penting. Contohnya, jika mahasiswa hendak berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam pembelajaran mereka usaha yang jitu diperlukan di samping sentiasa menepati masa dengan sering hadir awal ke kelas, menghantar tugasan tepat pada waktunya dan sentiasa tidur awal supaya tidak mengantuk dalam kelas.

Kerjasama di dalam sepasukan

Seni teater merupakan satu aktiviti berkumpulan. Teater memerlukan setiap individu termasuk pelakon, pengarah, krew dan lain-lain bekerjasama dalam satu pasukan bagi menjayakan sesebuah pementasan teater. Kerjasama sekumpulan amatlah penting dan jika seseorang pelakon yang menganggap dirinya hebat, tetapi tidak dapat bekerjasama dengan pengarah mungkin lakonannya tidak menepati perwatakan sebenar watak yang dilakonkannya. Malah jika seorang pelakon hebat tidak dapat bekerjasama dengan penata cahaya, kehebatannya akan hilang dalam kegelapan pentas. Sikap bekerjasama juga boleh diaplikasikan dalam kehidupan mahasiswa dan pelajar terutama apabila melakukan sesuatu tugasan berkumpulan atau merancang melaksanakan sesuatu aktiviti.

Berinteraksi dengan jelas

Pembelajaran melalui teater juga boleh diaplikasikan dalam kehidupan iaitu melalui cara berinteraksi di dalam ahli masyarakat. Di dalam teater setiap pelakon diajar and perlu tahu membezakan cara pertuturan dan penggunaan vokal serta nada yang betul bila berinteraksi dengan individu lain. Di pentas teater pelakon perlu bertutur dengan jelas serta vokal digunakan perlu tepat dengan dialog dan situasi supaya penonton dapat memahami dan mendengar dengan jelas dan betul. Sebagai contoh, mahasiswa yang mempelajari serba sedikit cara pertuturan pentas teater ini boleh manfaatkannya dalam kelas iaitu apabila melakukan pembentangan di dalam kelas, mungkin mereka dapat membentang dengan bagus dan jelas. Selain itu, mahasiswa juga boleh manfaatkan bila berinteraksi dengan individu yang lebih berpangkat atau berusia di mana mahasiswa perlu berinteraksi menggunakan nada suara yang bersesuaian. Ini seterusnya boleh meningkatkan tahap komunikasi mahasiswa dan dapat berinteraksi dengan berkesan.

Percaya diri: Yakin, berani dan mencuba sesuatu yang baru

Bila berkata tentang seseorang yang tidak pernah muncul di tempat yang ramai orang, dia akan sering terasa gugup terutama berdiri di atas pentas dan berhadapan dengan penonton. Rasa gugup mungkin lebih tinggi bila disuruh berpidato pula. Bila seseorang gugup atau salah

berbicara dalam tingkah laku atas pentas, mereka sering menjadi bahan gelak tawa dan cemuhan. Oleh itu, mahasiswa yang sudah biasa berteater mungkin akan terhindar melakukan kesalahan. Ini kerana dalam teater, aspek kepercayaan diri diutamakan bagi melatih mereka untuk muncul depan penonton dengan sempurna. Percakapan, gerakan, lakonan, penggunaan pakaian, suara, dan bahasa adalah antara latihan yang dilakukan dalam kegiatan teater untuk meningkatkan kepercayaan diri pelakon. Setiap aspek yang dipelajari boleh diaplikasikan dalam kehidupan mahasiswa sebagai berani mencuba sesuatu yang baru, berani memikul tanggungjawab sebagai ketua dan sentiasa yakin diri untuk melakukan sesuatu.

Kesimpulannya, jika diamati dengan teliti terdapat banyak aspek dan kemahiran yang dipelajari dalam seni teater yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian manusia. Bagaimana kita mengaplikasikan adalah bergantung pada individu itu sendiri. Jika salah diaplikasikan, ianya akan memberikan kesan yang tidak elok namun sebaliknya jika digunakan dengan betul nescaya kejayaan akan di kecapi. Tepuk dada tanyalah selera anda.

APLIKASIKAN TEATER DALAM KEHIDUPAN

Dalam teater Supermokh lakonan Awie dan rakan-rakan memperlihatkan kejayaan pengaplikasian kehidupan lagenda bola sepak negara Allahyarham Mokhtar Dahari ke pentas teater. Tahniah.

Anda mungkin juga menyukai