Anda di halaman 1dari 3

PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), teater bermaksud seni yang menggunakan
pentas sebagai platform. Dalam konteks ini, teater dalam pendidikan merupakan satu seni
dalam persembahan yang menggabungkan seni lakonan dengan pelbagai seni yang lain
seperti seni muzik, seni tari, seni bina, seni berbahasa dan sebagainya. Menurut Robert
Cohen (1981) dalam bukunya Theatre, teater bermaksud satu bentuk kerja artistik di mana
para pelakon meniru watak ataupun perwatakan dalam sebuah bentuk persembahan secara
langsung berdasarkan kepada sebuah skrip.

Teater merupakan sebuah pementasan yang dihasilkan oleh pelakon dan ditonton
oleh audiens. Dalam pada itu, teater dalam pendidikan merupakan sesuatu aktiviti pengajaran
di sekolah yang berpusatkan kepada murid. Teater juga boleh dijadikan sebagai salah satu
medium yang penting untuk memupuk perpaduan kaum antara murid di sekolah. Selain itu,
murid dapat belajar untuk menjiwai watak atau skrip melalui teater ini. Secara tidak langsung,
ini dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid di samping mampu meningkatkan
potensi dalam diri mereka.

Tambahan pula, kebanyakan murid juga dapat meningkatkan penguasaan bahasa


secara tidak langsung melalui pembelajaran teater dalam pendidikan. Antara kemahiran-
kemahiran bahasa yang dapat dikuasai dengan lebih baik ialah kemahiran membaca dan
kemahiran lisan. Lebih penting lagi, teater dalam pendidikan juga dapat melatih kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan murid. Hal ini kerana dalam penghasilan
sesebuah pementasan teater, murid akan belajar cara untuk memikirkan dan mencipta
sesuatu idea yang baharu di samping menyelesaikan masalah yang timbul.

Melalui aktiviti teater, murid-murid juga dapat dibimbing untuk berkomunikasi dengan
lebih berkesan. Mereka dilatih untuk menggunakan laras bahasa mengikut konteks dan situasi
yang sesuai melalui aktiviti simulasi, main peranan dan improvisasi. Hasilnya, pembelajaran
melalui aktiviti-aktiviti teater ini akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas
lebih bermakna dan menyeronokkan.
RUMUSAN

Melalui kerja kursus ini, boleh dirumuskan bahawa teater dalam pendidikan merupakan satu
cara belajar yang istimewa dan kreatif bagi murid. Hal ini kerana murid dapat belajar mengenal
diri dan masyarakat dengan lebih jelas melalui teater. Melalui aktiiti teater, murid dibimbing
untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan dan hal ini sangat membantu dalam
meningkatkan kemahiran berbahasa mereka.

Teater dalam pendidikan dikatakan sebagai suatu pendekatan atau teknik yang sangat
berguna kerana boleh diaplikasikan dalam semua mata pelajaran oleh guru. Justeru, tidak
salah untuk menyatakan bahawa teater merupakan satu medium penting untuk
menyampaikan pembelajaran secara bersepadu sejajar dengan perkembangan pendidikan
moden pada abad ke-21 ini. Hal ini dikatakan demikian kerana murid digalakkan untuk
memaksimumkan semua aspek kecerdasan dalam diri mereka melalui penglibatan dalam
aktiviti teater. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan penting untuk memastikan murid
melibatkan diri secara aktif dalam proses penghasilan teater.

Melalui aktiviti teater ini, guru dapat membimbing murid untuk meneroka pemikiran
yang lebih meluas dan mendalam tentang sesuatu tema. Secara tidak langsung, aktiviti
sebegini boleh menggalakkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dalam kalangan
murid dan secara tidak langsung, guru telah membentuk peribadi murid dengan positif di
samping menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid.

Akhir sekali, boleh disimpulkan bahawa peranan teater dalam pendidikan bukan
sekadar boleh melatih kefasihan bertutur dan kecekapan berkomunikasi murid, malah juga
boleh mempertingkatkan perkembangan murid dari aspek JERIS, iaitu jasmani, emosi, rohani,
intelek dan sosial seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.
RUJUKAN

Sumber buku:

Hurwitz, A. & Day, M. (2001). Children and Their Art. Fort Worth: Harcourt College Publishers.

Kamaluddin Abd. Rahman. (2007). Teater Melayu Suatu Risalah Pemikiran Melayu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Read, H. (1977). Meaning of Arts. London: Faber & Faber.

Said. M. Noor. (2009). Mengenal Teater di Indonesia. Semarang: Penerbit Aneka Ilmu.

Sudjiman, Panuti. (1984). Kamus Istilah Sastera. Jakarta: Penerbit PT Gramedia.

Sumber Internet:

Mohd Farid Ismail. (2015). Konsep dan Latar Belakang Seni dalam Pendidikan. Diperolehi
pada 4 Mac 2017 daripada https://www.scribd.com/doc/251707307/Topik-1-Konsep-
Dan-Latar-Belakang-Seni Dalam-Pendidikan

Syairah Najiha. (2012). Teater dalam Pendidikan. Diperolehi pada 3 Mac 2017 daripada
https://www.scribd.com/doc/86925484/Teater-Dalam-Pendidikan

Anda mungkin juga menyukai