Anda di halaman 1dari 3

DRAMA ABSURD DI MALAYSIA (BAHAGIAN 1)

Drama adalah sebuah fiksyen atau cereka yang mementingkan dialog atau aksi watak. Ia juga disebut
sebagai suatu persembahan pentas yang melakonkan cerita dari skrip yang ditulis oleh dramatisnya dan
pementasan itu diadakan di suatu tempat sama ada di panggung atau di pentas tanah lapang (Abd.
Rahman Hanafiah, 1984). Drama telah mengalami banyak perubahan sejak dari zaman sandiwara lagi.
Pada tahun-tahun 1970-an, drama Malaysia telah berubah daripada bentuk realisme kepada bentuk
baru. Bentuk drama tersebut dikenali sebagai drama absurd, teater kontemporari atau teater
eksperimen. Kertas kerja ini membincangkan tentang pemikiran drama absurd di sekitar tahun1970-an.
Oleh itu, skop perbincangan akan difokuskan pada kemunculan karya drama absurd dan dramatis-
dramatis yang menonjol pada dekad tersebut.

Secara praktiknya, teater absurd meninggalkan watak realistik dan situasi yang berkaitan dengan
teater konvensional. Masa, tempat dan identiti adalah kabur dan tidak jelas malah, kebiasaan-kebiasaan
yang asas kerap tidak diikuti. Plot yang tidak bermakna, berulang-ulang atau dialog yang tidak masuk
akal dan berbentuk absurd sering digunakan untuk mencipta sesuatu yang bersifat mimpi atau mood
mimpi ngeri (http://en.wikipedia.org/wiki/Theater_of_the_Absurd). Fokusnya ialah kekeliruan manusia
tentang persoalan asas kewujudan seperti ”Mengapa kita hidup?, Mengapa kita mesti mati? Serta
mengapa ada ketidakadilan dan penderitaan?” .

Di Barat, dramatis yang menjadi pelopor teater absurd ialah Samuel Beckett dengan karya
kotroversinya Waiting For Godot. Karya ini mengemukakan falsafah absurd oleh Albert Camus yang
mengatakan manusia yang sudah putus dari sejarah, dari akar agama dan metafizik, kehilangan, segala
tindakan menjadi tidak bermakna, absurd dan tidak berguna (http://www.theatrehistory.com/french).
Dramatis-dramatis absurd di Barat menggambarkan alam di mana manusia tidak ada harapan untuk
hidup, kerana tidak mereka tidak memahami diri mereka sendiri, tidak memahami alam persekitaran
mereka, dan tidak memahami atau mempercayai Tuhan (Solehah Ishak: 1982). Gambaran dalam
suasana mencari, menanti, kecewa dan putus asa lebih ketara akibat Perang Dunia Ke-2 yang telah
menyebabkan penderitaan dan kesengsaraan.

CIRI-CIRI DRAMA ABSURD

Ciri-ciri drama absurd sangat bertentang dengan drama realistik. Antaranya ialah (Solehah Ishak:
1982 dan Rahmah Hj Bujang: 1987);

Drama absurd bersifat universal iaitu tidak mewakili mana-mana identiti.

Dalam drama absurd tidak ada cerita atau plot.


Tidak terdapat perwatakan. Penonton hanya dihadapkan dengan patung-patung mekanikal yang
menurut perintah, dan tidak bergerak dengan sendirinya. Dengan kata lain watak-wataknya tidak benar-
benar berkembang dan digambarkan sebagai manusia yang mencari-cari, menanti-nanti, bahkan tidak
ada harapan masa depan. Watak-watak ini terus wujud tanpa memerlukan pengenalan atau latar
belakang.

Kebanyakan drama absurd mempunyai struktur bulat (circular structure). Drama-drama absurd
selalunya berakhir sepertimana ia bermula iaitu tiada permulaan dan pengakhiran. Pengarang bersikap
terbuka dalam karya mereka iaitu mereka bukan mahu mengajar atau menentukan sebaliknya; hanya
memaparkan satu andaian.

Dialog dalam drama absurd gagal berfungsi untuk berkomunikasi kerana bersifat asumsi yang
mengelirukan dan bukan bertujuan untuk menerangkan watak atau situasi dalam karya.

Sehingga tahun 1975, aktiviti teater eksperimen telah meningkat. Lebih banyak drama dipentaskan,
artikel, cadangan dan penglibatan beberapa institusi. Namun ironiknya, audien Malaysia semakin
berkurangan (Nur Nina Zuhra: 1992). Antara sebabnya ialah;

Teater bersifat eksperimen semakin terasing daripada arus masyarakat perdana. Skrip sangat
dipengaruhi oleh gaya teater dengan kesan absurd. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, drama sebegini
bersifat kabur dan tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka. Dalam masyarakat Melayu, seni
lazimnya mestilah berkait rapat dengan masyarakat untuk membolehkan seni itu dihargai.

Falsafah absurd tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia yang dilihat sebagai masyarakat yang
beragama.

Lakonan abstrak pada tahun 1970-an tidak dapat memuaskan kehendak audien yang kebanyakannya
mahu lari daripada tekanan hidup seharian. Teater kontemporari masih avant-garde (kumpulan yang
membawa pembaharuan) dan tidak memajukan komponen komersial teater. Filem, televisyen, dan
video berterusan mengambil alih teater.

Dengan kejayaan teater Melayu pada awal 1970-an, para penaungnya berpuas hati kerana matlamat
mereka telah terlaksana dan mereka mula bersifat berat sebelah antara drama yang baik dan drama
yang lemah.

Rusuhan Kaum pada 13 Mei 1969 merupakan faktor utama yang membentuk arah teater pada tahun
1970-an. Tragedi itu telah menimbulkan persoalan identiti nasional dan memberi kesan kepada hidup
rakyat Malaysia. Asas Kebudayaan Kebangsaan adalah penekanan kepada penggunaan bahasa
kebangsaan dan budaya Melayu. Polisi dan keprihatinan budaya ini telah secara langsung
mempengaruhi teater. Drama Melayu mula menggali akar sebab musabab kemiskinan khususnya orang
Melayu. Pada masa itu, lontaran pendapat tidak dapat diluahkan secara terbuka atau secara terus
terang. Oleh itu, gaya persembahan teater menolak gaya realisme dan cuba bereksperimen dengan seni
tradisional untuk menyampaikan mesej secara intrinksik. Secara tidak langsng, hal ini bukan sahaja
menekankan budaya Melayu, tetapi juga memberi gambaran dan maksud dinamik kontemporari.
Pada tahun 1970, Noordin Hassan mementaskan drama muzikal berbentuk surrealisme iaitu Bukan
Lalang Ditiup Angin. Berinspirasikan produksi advancer Noordin Hassan ini, muncul drama-drama lain
yang menggunakan pendekatan baru terhadap drama. Dramatis-dramatis absurd yang muncul pada
dekad ini ialah Dinsman, Hatta Azad Khan dan Johar Jaafar dan Mana Sikana.

Anda mungkin juga menyukai