Anda di halaman 1dari 9

SEJAUH MANAKAH SUKATAN PELAJARAN DAN BUKU TEKS SEJARAH SMR MENGANDUNGI ELEMEN PERPADUAN KAUM DAN SEMANGAT

PATRIOTIK
1.0 Pengenalan Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Kemajmukan kaum ini menyebabkan perpaduan merupakan asas yang amat penting dalam mewujudkan keharmonian dan keamanan dalam kalangan rakyat. Unsur perpaduan antara kaum akan terjalin lebih kuat jika disulami dengan semangat patriotik terhadap negara. Kertas kerja ini turut mengupas isu-isu perpaduan kaum, unsur patriotisme yang terdapat di dalam mata pelajaran Sejarah tingkatan 1,2 dan 3. Malah ia turut memberi beberapa cadangan dan langkah agar pendidikan Sejarah ini mampu menerapkan nilai-nilai yang berkaitan dengan hubungan kaum dari aspek kandungan, penerapan nilai serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti yang dihasratkan di dalam mukadimah Akta Pendidikan 1996. Menurut Kamus Dewan (2011), perpaduan berasal daripada kata akar 'padu' , yang bermaksud bergantung, bersatu, bercampur untuk menjadi satu, kukuh dan utuh, bermuafakat, berunding dengan bersungguh-sungguh. Maksudnya sahaja sudah mencukupi untuk menerangkan kepada kita bahawa untuk menjadi kuat dan kukuh, tiada cara lain melainkan melalui perpaduan. Bagi kita rakyat Malaysia, yang pelbagai bangsa dan fahaman ini, perpaduan bermaksud kita semua mestilah bersatu, bermuafakat, bekerjasama, dan berunding untuk menjadi satu bangsa yang kuat. Patriotisme pula adalah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air . Perasaan ini perlu wujud di hati setiap individu rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sehubungan itu , semangat patriotik dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Justeru, berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah negara, murid dibimbing untuk menganalisis dan menilai fakta-fakta sejarah secara rasional. Natijah daripada pemahaman dan penghayatan sejarah negara , para pelajar dapat membina kekuatan semangat cinta akan negara. (PPK , 2000) 2.0 Mukadimah Akta Pendidikan 1996 Akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550 adalah bertujuan memansuhkan Akta Pelajaran 1961. Menurut mukadimah Akta Pendidikan 1996, ia bertujuan untuk mewujudkan undang-undang bagi mengawal selia bidang pendidikan di negara kita. Di dalam mukadimah Akta Pendidikan 1996 ini mengakui bahawa ilmu adalah penentu utama arah tuju negara dan penyelamat bangsa. Tegaskan di dalam bahagian ini bahawa tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi danmaklumat Ia juga bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang

berilmu pengetahuan,berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. (Junaidah & Norashimah , 2005). Bidang pendidikan negara mempunyai peranan penting dalam menjayakan wawasan negara demi untuk mencapai taraf negara maju sepenuhnya dan segi kemajuan ekonomi, keadilan sosial, dan kekuatan rohani, moral dan etika, ke arah mewujudkan suatu masyarakat yang bersatupadu, demokratik, liberal dan dinamik. Bahagian mukadimah Akta Pelajaran 1996 menjelaskan misi akta ini adalah untuk menghasilkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia dan segi kualiti bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi negara Malaysia. Selain itu, Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, Kurikulum Kebangsaan dan peperiksaan yang sama; pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan yang akan memenuhi keperluan negara, serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara. Daripada mukadimah Akta Pendidikan jelas menunjukkan elemen perpaduan dan patriotisme sangat diberi penekanan dalam bidang pendidikan di Malaysia. Perbincangan di dalam kajian ini seterusnya akan memfokus kepada sejauh manakah elemen perpaduan dan patriotisme di terapkan di dalam mata pelajaran Sejarah tingkatan 1,2 dan 3 yang dikategorikan sebagai tahap sekolah menengah rendah (SMR). 3.0 Matlamat Dan Kepentingan Matapelajaran Sejarah Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan agen perubahan memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda atau pelajar. Pendidikan, sering kali dianggap sebagai teras utama ke arah perpaduan nasional dan pemupukan kesetiaan dalam kalangan rakyatnya. Setelah peristiwa 13 Mei 1969, kurikulum yang dirangka bertujuan menanamkan kesedaran individu, ciri-ciri dan nilai rakyat Malaysia yang berfikiran terbuka di samping menolak sentimen perkauman, warisan dan perbezaan yang sempit antara mereka. Tumpuan kemudiannya adalah kepada melahirkan negara bangsa yang bersatu padu dan pengukuhan kesetiaan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar sekolah. Dasar Pendidikan Kebangsaan menggariskan matapelajaran Sejarah sebagai alat yang boleh mewujudkan nilai perpaduan dalam diri individu tidak kira bangsa atau agama. Penekanan pendidikan Sejarah tertumpu kepada kesedaran sejarah, toleransi dan kepekaan masyarakat untuk berkongsi tanggungjawab terhadap masa depan negara. Malamat yang terdapat dalam pendidikan Sejarah ini bertepatan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara iaitu menjadikan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Rakyat yang dimaksudkan dalam Falsafah Pendidikan Negara ialah menonjolkan ciri seperti sentiasa berusaha mengekalkan kestabilan negara melalui perpaduan kaum serta amalan nilai-nilai

murni seperti bekerjasama, tolong-menolong, berbelas kasihan, bertimbang rasa, hormat menghormati dan bertoleransi (Ee Ah Meng,1996). Menurut Ahamad bin Rahim (2011), Pendidikan Sejarah merupakan satu mata pelajaran yang dianggap relevan dalam menerapkan nilai-nilai perpaduan kaum dan semangat patriotisme dalam masyarakat multietnik di negara ini. Perpaduan dan patriotisme sepatutnya menjadi inti pati utama dalam sistem pendidikan kita. Persoalannya sejauh mana elemen perpaduan dan patriotisme telah diterapkan ke dalam sukatan pelajaran dalam mata pelajaran peringkatan sekolah. Kajian ini akan cuba mengupas sejauh mana elemen-elemen perpaduan dan patriotisme diterapkan didalam mata pelajaran Sejarah| tingkatan 1 hingga tinggatan 3. Penggunaan buku teks dalam pengajaran dan pembelajaran tidak menimbulkan suasana pembelajaran yang menarik. Penggunaan buku teks yang berlebihan menjadikan pengajaran bersifat stereotaip, kurang daya kreatif dan imaginatif. Guru yang terlalu bergantung kepada penggunaan buku teks akan menyebabkan pelajar kurang berminat terhadap pengajarannya kerana sifat buku teks yang statik dan tidak bersifat interaktif. Terdapat guru yang amat bergantung kepada buku teks. Nota-nota dipetik terus daripada buku teks. Pelajar diminta menggariskan bahagian yang penting dalam buku teks. Fenomena ini menimbulkan kebosanan kepada pelajar mengikuti mata pelajaran ini. Kajian Noraizan Hamzah (2008) menunjukkan pelajar akan berasa bosan semasa membaca buku teks kerana isi kandungannya terlalu banyak fakta yang perlu dihafal. Masyarakat lebih suka melihat kejayaan dalam sesuatu peperiksaan sebagai kayu ukur dalam menentukan keberhasilan dan kecemerlangan masa hadapan seseorang pelajar. Lantaran itu, sudah menjadi rutin guru mengajar untuk memastikan pelajarnya cemerlang dalam peperiksaan yang didudukinya tanpa menghiraukan matlamat dan objektif kurikulum itu sendiri. Pengajaran dan pembelajaran Sejarah dilihat lebih bersifat reproduction iaitu mengeluarkan segala fakta yang dipelajari dalam peperiksaan. Kandungan kurikulum yang terlalu bersifat peperiksaan ini menyebabkan matlamat pendidikan Sejarah untuk perpaduan kaum tidak dapat dicapai sepenuhnya. 4.0 Eleman Perpaduan dan patriotisme Di dalam Kandungan Sukatan Pelajaran dan Buku Teks Pelajaran Sejarah Sekolah Menengah Rendah (SMR) I.Isi kandungan buku teks Sejarah SMR didapati kurang menerapkan elemen perpaduan Untuk melihat dengan lebih jelas kita boleh merujuk bahagian Panduan Penggunaan Buku Teks buku teks Sejarah Tingkatan 2 muka surat ix hingga xi (Masariah, 2006) tidak menyatakan elemen perpaduan yang hendak yang diterapkan terapkan dalam buku tersebut. Pendapat ini juga selari dengan Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR (PPK, 2002) dimana didalam bahagian pendahuluan buku Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR muka surat 1 dan 2 tidak ada dinyatakan bahawa mata pelajaran Sejarah SMR ini untuk mencapai perpaduan negara seperti yang terkandung di dalam mukadimah Akta pendidikan 1996. Tetapi elemen-elemen ideologi negara seperti penerapan unsur patriotisme, pendidikan bertaraf antarabangsa, penyuburan daya tahan dan pendidikan sepanjang hayat ada dinyatakan dengan jelas dalam bahagian pendahuluan tersebut.
II.Kebanyakkan isi kandungan buku teks Sejarah SMR adalah lebih memberi

penekanan kepada sumbangan kaum Melayu sahaja kepada sejarah negara

Jika dikaji dari segi kandungan kandungan buku teks Sejarah SMR, hampir 80 peratus isi kandungan buku teks Sejarah SMR. Contohnya, dalam bab satu mata pelajaran Sejarah tingkatan 3 dengan tajuk Pendudukan Jepun Di Negara Kita. Di dalam tajuk ini menceritakan tentang tokoh-tokoh melayu bersatu padu dan mempunyai semangat patriotisme seperti Leftenan Adnan, Ibrahim Haji Yaakob, Anggota Force 136 Melayu dan Pasukan Wataniah Pahang berjuang menentang Jepun untuk mempertahankan tanah air (rujuk buku sejarah tingkatan 3, muka surat 26). Manakala Orang Cina digambarkan kurang bersatu padu dan patriotisme kerana bersikap anti-jepun kerana kesan daripada Perang China-Jepun dan India pula digambarkan semangat patriotisme kerana berjuang untuk memerdekakan negara India (rujuk buku sejarah tingkatan 3, muka surat 32). Banyak lagi bab-bab dalam buku teks Sejarah SMR seperti bab 3 tingkatan 2 (Negeri-negeri Melayu Utara dan Johor Benteng Keselamatan British), bab tujuh tingkatan 2 ( Perjuangan Rakyat Tempatan Mengembalikan kedaulatan Bangsa), bab dua tingkatan 3 (Malayan Union dan persekutuan Tanah Melayu) dan bab lima tingkatan 3 (Kemerdekaan Negara 31 Ogos 1957) menerangkan tentang sumbangan-sumbangan kaum Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara sehingga membelakangkan sumbangan kaum lain dalam memperjuangkan kemerdekaan. III.Isi kandungan buku teks dan sukatan pelajaran sejarah SMR kurang menyentuh tentang elemen perpaduan tetapi lebih penekanan kepada elemen patriotisme Buku teks Sejarah SMR adalah ditulis berdasarkan Huraian Sukatan Mata pelajaran Sejarah SMR. Bagi menjelaskan tentang perkara ini, boleh diteliti petikan tujuan pendidikan sejarah seperti yang nyatakan pada bahagian pendahuluan Huraian Pelajaran Sejarah Tingkatan 3 (PPK, 2002) adalah seperti berikut : Tujuan pendidikan Sejarah adalah untuk memupuk semangat setia negara dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah tanah air. Di peringkat Sekolah Menengah Rendah, pembelajaran tentang sejarah negara yang meliputi jangka masa selama lima ratus tahun disusun secara kronologi. Ia bertujuan untuk memberi pemahaman menyeluruh dan suatu gambaran lengkap tentang sejarah negara kepada murid. (Sumber : Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR ( PPK, 2002 m/s 2) Objektif isi kandungan mata pelajaran Sejarah SMR adalah tidak selari dengan matlamat Akta Pendidikan 1996 kerana kurang menfokuskan kepada pemupukan perpaduan kepada rakyat negara ini, tetapi elemen patriotisme dinyatakan dengan jelas sebagai sebahagian objektif di dalam kurikulum Sejarah SMR. Contoh elemen patriotisme dinyatakan dengan jelas dalam objektif ke lapan iaitu mempunyai dan mempertingkatkan semangat patriotik dan bersedia melibatkan diri dalam usaha mempertahankan kedaulatan, pembangunan dan kemajuan negara berdasarkan Huraian Sukatan Mata Pelajaran Sejarah Tingkatan 3 (PPK, 2002, m/s 4), tetapi tidak terdapat elemen perpaduan yang dinyatakan dalam objektif-objektif kurikulum Sejarah SMR tersebut. Menurut Huraian Sukatan Mata Pelajaran Sejarah tingkatan 3 (PPK, 2002), antara nilai-nilai patriotisme yang diterapkan di dalam buku teks tersebut ialah : a. Berbangga sebagai rakyat Malaysia.

Bersemangat setia negara. c. Bersemangat kekitaan. d. Berdisiplin. e. Berusaha dan produktif. Malahan, di dalam huraian sukatan juga dimasukkan kulum unsur dan tingkah laku patriotisme. Antara kulum yang terdapat dalam Huraian Sukatan Sejarah SMR ialah kulum tema / tajuk hasil, pembelajaran, konsep/istilah cadangan aktiviti dan pembelajaran unsur dan tingkah laku patriotisme. Kulum yang berkaitan dengan perpaduan tidak dimasukkan secara khusus. Sebagai contoh boleh rujuk Huraian Sukatan Sejarah Tingkatan 3 (PPK, 2002, m/s 27).
b. IV.Tema-tema di dalam sukatan kandungan dalam buku teks kurang

mengambarkan pemupukan elemen perpaduan dan patriotisme antara kaum di Malaysia. Tema-tema di dalam sukatan kandungan dalam buku teks SMR dipecahkan kepada enam tema yang dijadikan pokok perbincangan. Tema-tema tersebut seperti berikut: Tema Topik / Kandungan Tingkatan Tema 1 Tamadun Awal Dan Keagungan Kesultanan Melayu Melaka 1 Tema 2 Kesultanan Melayu Melaka Menjadi Asas Kerajaan Masa 1 Kini. Tema 3 Kemakmuran dan kekayaan Negara Kita Menarik Kuasa 2 Luar untuk Menjajah Tema 4 Tindak Balas Masyarakat Tempatan Terhadap Penjajah 2 British Tema 5 Perjuangan Rakyat ke Arah Kemerdekaan Tanah Air 3 Tema 6 Pembentukan Persekutuan Malaysia 3

(Sumber : Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR ( PPK, 2002 m/s 3) Hasil kajian ke atas ke enam tema tersebut didapati elemen perpaduan antara kaum juga kurang diberi penekanan tetapi lebih terarah kepada perpaduan kaum melayu sahaja.Ahmad, et.all (2011), menjelaskan beberapa sebab yang membawa faktor isi kandungan kurikulum mata pelajaran Sejarah boleh menjejaskan elemen pemupukan perpaduan dan patriotisme dalam kurikulum adalah kerana ianya dikatakan bersifat terlalu Melayu centrik.Peranan semua kaum dalam menuntut kemerdekaan dan memakmurkan negara perlu diberi penekanan. Sejarah yang diajar seolah-olah sejarah orang Melayu dan bukan sejarah Malaysia. Sumbangan dan pengorbanan kaum lain juga perlu dilihat dan dimasukkan dalam kurikulum Sejarah agar mata pelajaran lebih menarik, bersifat universal dan mempunyai nilai tambah. Setiap kaum mempunyai tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk kemerdekaan dan kemajuan negara. Pendapat tersebut juga selari dengan kajian yang dibuat oleh Mohd Rozi (2009) yang turut bersetuju dengan pendapat di atas.

5.0 Cadangan Penambahbaikan Isi Kandungan mata pelajaran Sejarah SMR Peranan kurikulum Sejarah SMR dalam mengeratkan perpaduan kaum dan semangat patriotisme dalam masyarakat pelbagai etnik di negara ini masih tetap relevan. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dan masalah, namun masih terdapat ruang yang luas untuk memperbaiknya lagi. Berdasarkan masalah- masalah yang telah dibincangkan di atas, berikut dikemukakan beberapa saranan untuk mengatasinya. Antaranya ialah :
I. Isi kandungan dan sukatan mata pelajaran Sejarah wajar diubah sesuai dengan keperluan masa kini Menurut Ornstein & Hunkins (2004) telah menjelaskan terdapat empat falsafah utama iaitu idealisma, realisma, pragmatisma dan existentialisma. i. Pengenalan mata pelajaran Sejarah daripada sudut pandangan falsafah idealisma ialah melahirkan rakyat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi serta berbangga sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat. Sebagai contoh, kurikulum Sejarah tingkatan1 (bab 1) yang tentang maksud sejarah, kepentingan sejarah, sumber sejarah, tujuan mempelajari sejarah negara memberi pendedahan kepada murid supaya mengenali sejarah negara. Manakala kurikulum Sejarah Kemerdekaan Negara dapat memberi semangat kepada anak muda menghargai pejuang pejuang kemerdekaan dan menghargai nilai kemerdekaan yang perlu dipelihara. Nilai moral dan spiritual yang terkandung dalam mata pelajaran Sejarah lebih bermakna sekiranya nilai-nilai tersebut dihurai secara terperinci dan dikaitkan dengan situasi semasa di akhir bab. ii. Falsafah realisma subjek sejarah diambilkira apabila peristiwa-peristiwa sejarah negara yang terkandung di dalam kurikulum sekolah telah disusun mengikut urutan peristiwa supaya dapat difahami oleh murid. Dengan itu murid lebih memahami aturan alam seperti kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka telah mengalami zaman kemerosotan apabila perpaduan tidak dijaga dan dihargai. Murid dapat menaakul dan menilai secara rasional kesan-akibat peristiwa sejarah sekiranya manusia melakukan tindakan yang bertentangan dengan aturan alam. iii. Falsafah pragmatisma menuntut perubahan beberapa bahagian mata pelajaran Sejarah. Situasi ini berlaku kerana secara realiti manusia sentiasa berubah dan menyesuaikan diri dengan perubahan selaras dengan perkembangan semasa negara. Abad ke-21 yang terdedah kepada arus globalisasi menuntut kerajaan sesebuah negara melakukan perubahan terutama daripada aspek peningkatan pengetahuan rakyatnya supaya dapat

menghadapi cabaran dunia. Justeru perubahan kandungan mata pelajaran sejarah sekolah harus dilakukan dengan mempelbagaikan aspek-aspek sejarah seperti perkembangan teknologi negara, sejarah sukan negara dan tokoh-tokoh yang mengharumkan nama negara hingga ke peringkat dunia. Isi kandungan yang tiada bukti empirikal dan diragui kesahihannya hendaklah diberi nafas baru sebagai legenda negara. Dengan ini rakyat yang ingin dilahirkan akan lebih rasional dan berpijak di bumi nyata. iv. Seterusnya, falsafah existentialisma juga terkandung di dalam pendidikan sejarah Malaysia apabila matlamat kurikulum yang digariskan memfokuskan kepada masyarakat perlu diberi kesedaran hak dan tanggungjawab individu sebagai rakyat Malaysia. Rakyat diberi kebebasan memilih kepimpinan negara menerusi pilihanraya. Malah kurikulum sejarah juga memberi fokus kepada rakyat yang mempunyai kebebasan bersuara, berpersatuan namun memahami tanggungjawab menjaga keamanan negara.

II.

Isi kandungan buku teks dan sukatan pelajaran Sejarah SMR perlu bersifat futuristik dan berdaya saing Keseimbangan dari aspek teori dan amali perlu diberi perhatian. Penekanan kepada fakta dan tahun perlulah diminimumkan. Ilustrasi yang menarik dalam kandungan kurikulum akan dapat menarik perhatian pelajar mengikutinya. Kurikulum Sejarah pada abad ini perlulah seimbang, progresif dan dinamik. Dalam konteks ini kurikulum yang dihasilkan perlu berpusatkan pelajar, realistik serta praktikal dan boleh diaplikasikan dalam konteks kehidupan seharian. Isi kandungan kurikulum Sejarah juga perlu dilihat kembali agar sumbangan semua kaum di negara ini dapat dilihat dan dihargai. Sumbangan kaum Melayu, Cina dan India terhadap proses kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan perlu dimasukkan dalam kurikulum. Hal ini akan dapat mengelakkan tafsiran sejarah yang dipelajari lebih menjurus kepada sejarah orang Melayu atau Melayu centric. Seharusnya kurikulum Sejarah itu dapat merangsang pelajar-pelajar agar dapat menghayati sejarah yang dipelajari itu adalah milik mereka bersama. Perkara ini penting agar setiap kaum akan dapat memahami sejarah bagi setiap kaum yang lain. Kurikulum sedemikian akan dapat menarik minat pelajar daripada semua kaum dalam menilai sumbangan kaum mereka terhadap sejarah pembangunan negara. Secara tidak langsung akan meningkatkan perpaduan dalam kalangan mereka. Tema-tema yang di dalam sukatan pelajaran Sejarah SMR juga perlu menjurus kepada tema yang dapat meningkatkan tahap integrasi kaum di negara ini Tema yang berkaitan dengan peranan dan sumbangan setiap kaum itu dari aspek politik, ekonomi dan sosial perlulah diberi fokus dalam menyusun kurikulum. Contohnya, dalam menuntut kemerdekaan Negara, peranan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan perlulah dikupas dan diperhalus daripada perspektif perpaduan, patriotisme dan integrasi kaum di negara ini. Perkara ini dapat dijadikan model integrasi terbaik generasi terdahulu dalam membentuk konsep integrasi kaum

III.

sebenar. Pelajar akan dapat menghayati dan mendalami peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini dan seterusnya akan memberi kesedaran kepada mereka tentang proses integrasi yang telah wujud sejak prakemerdekaan. Mohd Rozi (2009) yang turut bersetuju dengan pendapat di atas dan mencadangkan supaya kandungan pelajaran Sejarah perlu diubah kerana sumbangan kaum, masyarakat dan tokoh yang terlibat dalam perkembangan sejarah negara harus dicakupi secara menyeluruh dan bukannya dipilih (selected). Peranan ikon pascamerdeka seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan perlulah dilihat dari sudut perbincangan 1 Malaysia yang seterusnya boleh meningkatkan perpaduandan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Kerana isi kandungan buku sejarah SMR sekarangan didapati kurang memberi impak kepada pelajar dalam merealisaikan matlamat perpaduan kaum dan menyemai semangat patriotik di kalangan pelajar.
6.0 Kesimpulan Dari kajian tentang isi kandungan buku teks Sejarah SMR, didapati elemen perpaduan adalah sangat kurang diberi penekanan tetapi elemen patriotisme sangat diberi penekanan. Ini menyebabkan hasrat Akta Pendidikan 1993 untuk mewujudkan kurikulum pelajaran yang boleh memupuk perpaduan negara tidak tercapai. Bagi mengatasi keadaan ini, perubahan di dalam isi kandungan buku teks Sejarah SMR dirasakan amat perlu bagi merealisasikan matlamat menjadikan kurikulum pelajaran seperti mata pelajaran Sejarah sebagai medium untuk mewujudkan perpaduan dan patriotisme di antara kaum serta di Malayisia.

BIBLIOGRAFI Ahmad Fauzi Mohd Basri, Mohd Foad Sakdah & Azami Man.( 2007). Sejarah Tingkata 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Ghani Abdullah,PhD.(2009). Kepimpinan & Penambahbaikan Sekolah. Batu Caves : PTS Professional Publishing Sdn Bhd Akta Pendidikan 1996 ( Akta 550 ). (2003). Petaling Jaya : International Law Book Services Al Ramaiah.(2009). Kepimpinan Pendidikan: Cabaran Masa Kini. Petaling Jaya : IBS Buku Sdn. Bhd. Huraian Sukatan Pelajaran KBSM. (2002). Sejarah Tingkatan 3: Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Ibrahim Mamat. (1993). Kepimpinan Sekolah : Teori untuk Praktis. Kuala Lumpur :

Kumpulan Budiman Sdn Bhd: Junaidah Abdul Hamid & Norashimah Ismail. (2005). Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan : Teori, Polisi dan Pelaksanaan. Serdang : Universiti Putra Malaysia Latip Muhammad. (2007). Pelaksanaan Kepimpinan Pengajaran di Kalangan Pengetua Sekolah. Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu
Maisariah Mispari.Johara Abdul Wahab & Ridzuan Hasan.( 2006). Sejarah Tingkatan 2.

Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohammad Syamsul Izwan MD Fauzi, (2009), Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan Mok Soon Sang. 2010. Pengurusan & Pentadbiran Pendidikan III. Puchong : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Ramlah Adam, Abdul Hakim Samuri & Muslimin Fadzil. (2012). Sejarah Tingkatan 3.

Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Shahril Marzuki, Rahimah Ahmad & Hussien Ahmad. (2010). Kepimpinan Pengetua :Menjana Modal Insan Di Sekolah Berkesan. Batu Caves : PTS Profesional Publishing Sdn Bhd.

http://zuriman2.blogspot.com/2012/12/sejauh-manakah-sukatan-pelajaran-dan.html

Anda mungkin juga menyukai