Anda di halaman 1dari 2

Lahirnya Dinasti Uthmaniyyah

Kita seringkali membaca atau menyebut tentang kejatuhan khilafah Uthmaniyyah pada Mac 1924, namun adakah kita
mengetahui akan bagaimana khilafah tersebut ditubuhkan? Bagaimana sifat keperwiraan mereka terhadap musuh-musuh
Allah? Meski dengan serangan gila tentera Tartar ke atas kota Khalifah di Baghdad melumpuhkan kerajaan Islam ketika itu,
Allah sendiri mempunyai perancangan yang lebih baik dan teliti, demi memelihara Islam ini.

Kerajaan Dinasti Uthmaniyyah diambil namanya dengan dinasabkan kepada pemerintah awal dari keturunan mereka yang
pertama, yakni Sultan Uthman ibn Sauji ibn Artugrul ibn Sulaiman Syah ibn Kia Alp.

Ketika prahara yang pertama menimpa umat Islam dengan serangan dari tentera Tartar, Sulaiman Syah melihat marabahaya
tersebut bagi negerinya di Mahan. Maka dia bersama sekutunya yang besar itu berpakat supaya berpindah ke negeri lain yang
lebih aman, iaitu Anatolia, di Asia Kecil.

Bersama-sama Sulaiman Syah ketika itu ialah 1000 tentera berkuda pada Abad ke-7 Hijrah. Dalam perjalanan mereka berhenti
di Akhlat, sehingga mereka mendapat berita tentang kemaraan tentera Tartar, maka mereka segera berpindah ke Azerbaijan.
Setelah itu, khabar menceritakan bahawa tentera Tartar telah jauh daripada negeri asal mereka, Mahan. Maka Sulaiman Syah
terdetik untuk pulang ke negerinya itu.

Dalam perjalanan, mereka berhenti singgah di Benteng Ja’bar, dalam wilayah Orga. Ketika mahu menyeberangi Sungai
Euphrat, tiba-tiba air menjadi bah dan menenggelamkan ketua Kabilah Kabi itu. Jenazahnya dikebumikan berdekatan benteng
tersebut.

Beliau meninggalkan empat orang Putera; Sankurtakin, Kun Togdai, Artugrul, dan Dandan. Kedua anaknya yang pertama
menunaikan hasrat ayahanda mereka tadi untuk pulang ke negeri asal mereka. Sedang kedua-dua putera lagi, Artugrul dan
Dandan meneruskan niat ayahanda mereka yang kedua, yakni melanjutkan perjalanan ke Anatolia. Artugrul dipilih menjadi
ketua kabilah, dan mereka menujuk Erzerum. Walaubagaimanapun, yang memilih untuk pulang ke negeri asal mereka, tiada
lagi berita dan khabar dari mereka setelah itu.

Tiba di Anatolia, Artugrul mengutus anakanya, Sauji untuk menghadap Sultan ‘Ala`uddin (baca: A’la `uddin: agama tertinggi)
Kaiqubas Sultan Saljuk Rumi untuk memohon izin bermastautin di dalam wilayah kekuasaannya dan diberi tanah untuk
bercucuk tanam dan berternak. Setelah permohonannya dipersetujui baginda sultan, Sauji pulang untuk membawa khabar
tersebut, namun ajal telah menjemputnya dahulu.

Setelah mengebumikan jenazah Sauji, mereka bergerak menuju ke tanah yang telah dihaidahkan kepada mereka. Tiba-tiba
dalam perjalanan, mereka melihat pertempuran dua angkatan tentera yang sedang sengit bertempur. Di sebelah jumlahnya
besar, sedang di bahagian lain, jumlah kecil sahaja.

Maka, Artugrul dengan semangat keadilan pada dirinya menyeru anak-anak buahnya untuk membantu kelompok tentera yang
lemah itu. Maka semangat mereka bertambah membara apabila mengetahui bahawa kelompok tentera yang besar itu ialah
tentera Mongol, sedang yang dalam kelompok kecil itu ialah tentera Sultan ‘Ala`uddin Saljuk Rumi yang sedang
mempertahankan negerinya dari dirobek oleh tentera Tartar. Akhirnya mereka memenangi pertempuran tersebut.
Sultan ‘Ala`uddin Saljuk berasa amat gembira dengan kemenangan tersebut. Maka Artugrul dijemput ke istana dan diberikan
kehormatan, pakaian persalinan, dan tanah dan wilayah kekuasaan yang lebih besar daripada yang djanjikan baginda. Selepas
itu kapan sahaja terjadi peperangan dengan pihak musuh, Artugrul membawa anak-anak buahnya untuk pergi berperang, dan
setiap kali kemenangan, Sultan ‘Ala`uddin memberikan hadiah wilayah yang baharu kepadanya. Artugrul diberi gelaran
‘Muqaddamah Sultan’ kerana apabila berperang, tentera Artugrul berada di barisan hadapan.

687 Hijrah. 1288 M – Artugrul mangkat dan Sultan ‘Ala`uddin menunjuk cucunya yang sulung, yakni Uthman putera Sauji
sebagai pengganti baginda.

Uthman I

Uthman, seperti mana datuknya tetap memberikan taat setia kepada Sultan ‘Ala`uddin Saljuk sehingga kerana kesetiaan dan
kegagahperkasaannya itu, dia diberi gelaran ‘Bey’, tanah-tanah wilayah, diberi izin mengguna matawang sendiri, juga boleh
mengguna namanya sendiri dalam khutbah jumaat, sehinggakan ketika itu dia seperti seorang Raja, yang tinggal hanyalah
mahkota.

699 Hijrah, 1300 M – tentera Mongol datang menyerang lagi, Uthman dengan keberanian dan keperkasaannya terus
mempertahankan wilayahnya dan wilayah Sultan ‘Ala`uddin. Namun tidak berapa lama selepas peperangan tamat, Sultan
‘Ala`uddin pun mangkat dan keturunannya tiada yang berkelayakan menjadi raja (700 Hijrah). Maka jalan untuk Uthman naik
lebih tinggi dan pergi lebih jauh terbentang luas. Dia memperteguhkan kedudukan dan pertahanan di wilayah haknya itu. Dia
memakai gelaran ‘Pardisyah Aal Uthman’ (Raja Besar Keluarga Uthman) dan memilih Iskisyihar sebagai pusat kerajaan.
Seterusnya baginda terus memperkukuh kedudukannya dengan mengirim surat kepada raja-raja kecil yang belum Islam
bahawa mereka diberi pilihan satu daripada tiga; Pertama: Islam, Kedua: Jizyah, Ketiga: Perang.

Ada daripada raja-raja tadi yang memeluk Islam, ada pula yang memilih untuk membayar jizyah, namun yang memilih untuk
berperang, meminta bantuan daripada tentera Mongol. Baginda Sultan Uthman tidak gentar sedikitpun terhadap bantuan
tersebut, malah mengirim pasukan tentera yang dipimpin oleh puteranya, Ourkhan. Puteranya bersama tentera berjaya
mengalahkan Tartar kemudian mengepung Kota Bursa pada 717 Hijriyyah – 1317 M dan berjaya menguasainya.

Di sinilah bermulanya dinasti Uhtmaniyyah dalam sirah Islam, dinasti ini terus memacu kegemilangannya sehingga membawa
kepada detik dan ketika pembukaan kota Konstantinopel dengan cubaan daripada Ourkhan I dan Murad I.

Dipetik dan disunting daripada Sejarah Umat Islam oleh Prof. Dr. HAMKA

Anda mungkin juga menyukai