Anda di halaman 1dari 22

1

1. PENGENALAN

Pembangunan sosial merupakan suatu proses pembangunan yang memberi penekanan
kepada pembangunan manusia dan system sosialnya. Ia berhubung kait dengan dasar,
program dan aktiviti yang menjurus kepada pengisian nilai dan pembangunan budaya yang
dapat mempertingkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat. Dalam konteks
Malaysia, pembangunan bukan sahaja diukur berdasarkan pencapaian ekonomi dan
pembangunan fizikal, tetapi ia mesti diintegrasikan dengan usaha-usaha dan program untuk
mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Dengan itu, pembangunan social menjadi
suatu dasar yang amat kritikal dalam usaha membangunkan negara keseluruhannya.

Pembangunan negara tidak dapat dinikmati dengan sepenuhnya jika terdapat ketidak-
seimbangan antara pembangunan ekonomi dengan pembangunan sosial. Di samping itu,
tahap kemajuan sesebuah negara tidak boleh diukur hanya berdasarkan pembangunan
fizikal dan kejayaan material semata-mata. Sebaliknya aspek kualitatif seperti kemantapan
sosial, nilai-nilai moral, kekuatan intelektual dan keutuhan budaya perlu juga diambilkira dan
diberi perhatian yang wajar. Dengan itu, walaupun kerajaan bermatlamat untuk
meningkatkan taraf ekonomi dan pembangunan Malaysia supaya seiring dengan negara
maju yang lain, namun kerajaan tetap mewujudkan pembangunan yang mapan, bersepadu
dan holistik.

Selain itu, nilai-nilai bersama dan prinsip-prinsip sejagat perlu dipertingkatkan dan
dipertimbangkan bagi merealisasikan perpaduan negara. Di antara nilai-nilai sejagat ini
ialah menghormati hak asasi manusia, menentang pemerasan dan penindasan sesama
manusia, cintakan keadilan, bencikan keganasan, berperikemanusiaan, menghormati
pemimpin yang jujur serta cintakan keamanan dan perdamaian. Begitu juga dengan sifat-
sifat jujur, amanah, menghormati ibu bapa, orang tua dan orang berilmu, sanggup
berkorban untuk negara, berjuang menegakkan kebenaran, bersih, cekap, rajin bekerja dan
sebagainya, adalah di antara nilai-nilai umum yang dihormati dan dikongsi bersama oleh
anggota-anggota dari semua kumpulan etnik. Dengan menekankan dan mengamalkan
nilainilai sejagat dan mengelakkan penerapan nilai-nilai yang berkonflik akan memudahkan
usaha memupuk persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat yang berlainan etnik.
Interaksi antara manusia juga boleh merapatkan hubungan sesama manusia sekaligus
mampu mewujudkan perpaduan.
2


Dalam proses pembangunan negara, aspek agama tidak boleh dikesampingkan. Dalam
perspektif perkembangan tamadun, manusia yang mempunyai kepercayaan beragama
mempunyai sumbangan yang besar terhadap tamadun manusia. Bagi negara Malaysia,
kebebasan beragama telah dimaktubkan dalam perlembagaan. Agama Islam telah dijadikan
agama rasmi Persekutuan. Justeru itu, dalam kehidupan bermasyarakat dan berbudaya,
ajaran-ajaran dan nilai-nilai agama dipegang kuat serta diamalkan. Nilai-nilai Islam boleh
diringkaskan kepada prinsip umum, iaitu mengamalkan segala kebaikan dan mencegah dari
melakukan kejahatan. Nilai Islam juga boleh difahami menerusi penjelasan konsep-konsep
seperti amalan baik dan perbuatan jahat, pahala dan dosa, syurga dan neraka. Konsep-
konsep umum yang lahir dari budaya masyarakat Melayu tradisional telah disesuaikan
dengan amal kebaikan (makruf) dalam ajaran Islam. Kemungkinan terdapat nilai-nilai dalam
agama-agama lain atau ajaran-ajaran lain selaras dengan nilai hidup masyarakat Melayu
yang tidak bercanggah dengan agama Islam.

Unsur-unsur yang dipopularkan oleh kerajaan Malaysia pada masa kini seperti hidup
berdisiplin, kerajinan bekerja, semangat kejiranan, menjaga kebersihan, meningkatkan
tradisi keilmuan menerusi penyelidikan, penulisan dan kerajinan membaca, mengembalikan
maruah bangsa, berdikari, kepimpinan melalui teladan, bersih, cekap dan amanah, dan
berbagai-bagai lagi konsep yang dicipta adalah merupakan unsur-unsur penting yang cuba
diterapkan ke dalam masyarakat Malaysia untuk dijadikan sebagai garis panduan dalam
proses membangunkan satu bangsa Malaysia yang maju dan bermaruah. Himpunan dari
semua konsep ini mencerminkan falsafah hidup masyarakat Malaysia moden yang dipandu
oleh pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar, bercita-cita tinggi dan mempunyai pandangan
yang jauh ke hadapan, pemimpin yang sentiasa menyeru pengikutnya untuk membina satu
bangsa Malaysia yang bersatu padu walau apapun cabaran dan rintangan yang terpaksa
dihadapi. Hakikatnya, bangsa Malaysia yang pernah dijajah ratusan tahun memungkinkan
mereka berusaha untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang berjiwa merdeka, yakin dengan
kemampuan sendiri dan setaraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia.



3

2. ASAS-ASAS HUBUNGAN ETNIK DALAM ISLAM

2.1 Berkenal-kenalan (taruf)

Secara bahasa taaruf bermakna berkenalan atau saling kenal-mengenali. Asalnya
berasal dari perkataan taaarafa. Seperti ini sudah ada dalam Al-Quran. Seperti firman
Allah (yang ertinya),

Hai manusia sesungguhnya kami telah menciptakan kalian dari seorang lelaki dan
seorang wanita, lalu menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kalian
saling kenal-mengenali (taarofu) (QS. Al Hujurat: 13).

Perkataan li taaarafuu dalam ayat ini mengandungi makna bahawa, tujuan dari semua
ciptaan Allah itu adalah agar kita semua saling kenal-mengenali antara satu sama lain.
Secara umum, taaruf membawa erti saling kenal-mengenali. Dengan bahasa yang jelas
taaruf adalah keupayaan sebahagian masyarakat untuk mengenali masyarakat yang
lain.

Kenal mengenali di sini bukan hanya bermaksud mengenali nama sahaja tetapi lebih
daripada itu iaitu mengenali latar belakang keluarga, keturunan, budaya, adat, tradisi
seseorang individu dan sesebuah bangsa. Dengan wujudnya budaya kenal mengenali
ini maka secara tidak langsung akan mengelakkan perkelahian antara individu, etnik dan
juga bangsa.











4

2.2 Faham memahami (Tafahum)

Pengertian :
Bahasa: Saling memahami/saling mengetahui secara mendalam keadaan orang lain.

Istilah: Keupayaan untuk saling memahami dan mengetahui secara mendalam keadaan
secara jelas, baik secara peribadi mahupun keadaan keluarga.

Salah satu sifat yang harus ada pada sebuah persaudaraan (ukhuwwah) adalah
tafahum (saling memahami). Namun kebanyakan kita ingin dirinya difahami tetapi sulit
untuk memahami orang lain. Kita ingin orang lain memahami apa yang kita fikirkan dan
kerjakan, tetapi diri sendir sulit untuk memahami apa yang orang lain fikirkan dan apa
yang mereka kerjakan.

Tafahum adalah saling memahami. Hendaknya seorang muslim memperhatikan
keadaan saudaranya agar sentiasa memberikan pertolongan sebelum saudaranya
meminta, karena pertolongan merupakan salah satu hak saudaranya yang harus
ditunaikan.

Apabila satu-satu etnik mengenali budaya, adat, tradisi etnik lain, maka akan lahir sifat
untuk memahami budaya etnik tersebut secara lebih dekat. Umpamanya kenapa orang
Islam Islam melaungkan azan setiap kali sebelum solat, kenapa orang Hindu bawa
kavadi dan sebagainya.
Apabila seseorang memahami budaya etnik lain, maka mereka tidak akan
menentangnya kerana sedar ia adalah tuntutan agama, masyarakat dan sebagainya.

Dengan itu akan melahirkan rasa hormat-menghormati antara satu sama lain.






5

2.3 Bekerjasama (Taawun)

Taawun berasal dari bahasa Arab Taawana, Yataaawuna, Taawuna, yang artinya
tolong-menolong, gotong-royong, bantu-membantu dengan sesama manusia.

Pada hakikatnya, naluri hidup bertaawun telah dimiliki manusia sejak usia masih kanak-
kanak. Walaupun demikian, sikap ini perlu mendapatkan bimbingan secara terus
menerus dari orang dewasa. Dengan bimbingan orang dewasa sikap ini dapat
berkembang dengan baik.

Apabila wujud persefahaman di antara anggota masyarakat, maka ia akan melahirkan
konsep tolong-menolong dan bekerjasama dalam satu-satu aktiviti.

Konsep tolong-menolong di sini bukan hanya terhad kepada pertolongan berbentuk
tenaga sahaja, tetapi melewati pertolongan kewangan, buah fikiran dan sebagainya.

Konsep bekerjasama dan tolong-menolong antara etnik bukan hanya menguntungkan
satu etnik sahaja tetapi juga seluruh masyarakat. Umpamanya berkerjasama dalam
mencegah jenayah, membina kekuatan ekonomi, politik dan kemajuan negara itu
sendiri.














6

2.4 Persaudaraan (Ukhwah)

Ukhwah biasa di ertikan sebagai persaudaraan. Terambil dari kata yang pada mulanya
bererti memperhatikan. Makna asal ini memberi kesan bahawa persaudaraan
mengharuskan adanya perhatian semua pihak yang merasa bersaudara antara satu
sama lain.

Ukhwah (brotherhood) adalah persamaan di antara umat manusia. Dalam erti luas,
ukhuwah melampaui batas-batas etnik, agama, latar belakang sosial, keturunan dan
sebagainya. Ukhuwah secara hierarki mencari saling pengertian dan membangun
kerjasama dari segi keduniaan semaksimum mungkin dalam menunaikan tugas-tugas
kekhalifahan. Dengan konsep ukhuwah diharapkan ada persaudaraan dan persamaan
yang tidak membeza-bezakan umat manusia atas jenis jantina, asal-usul, etnik, warna
kulit, latar belakang, sosial, status ekonomi, mengingatkan umat Muhammad adalah
umat yang satu.

Dalam konteks Islam, semua orang Islam adalah bersaudara. Tanpa mengira etnik,
warna kulit, pertuturan dan sebagainya.
Apabila wujud konsep persaudaraan Islam dalam jiwa setiap muslim, maka akan lahir
sifat ikhlas, belas kasihan dan sebagainya. Selanjutnya ia tidak akan menyebabkan
seseorang itu melakukan perkara yang tidak baik kepada saudara seislamnya.

Sifat persaudaraan tanpa mengira etnik dan warna kulit ini akhirnya menjadikan umat
Islam satu kesatuan. Natijahnya umat Islam akan digeruni dan dihormati oleh musuh.






7

2.5 Kasih Sayang (Mahabbah)

Berkasih sayang merupakan salah satu sifat kemanusian yang sewajarnya di semai dan
di pupuk dalam sanubari setiap anggota masyarakat.

Sifat kasih sayang mampu mengikat hubungan kemesraan dikalangan masyarakat
pelbagai etnik. Apabila hati dengan hati bertaut erat, hilanglah sifat bermusuhan, benci-
membenci dan dengki-mendengki antara satu sama lain.

Tahap mahabbah yang paling rendah adalah bersih hatinya dari perasaan negatif
seperti perasaan hasad, membenci, dengki, dan apa-apa yang menyebabkan
permusuhan dan pertengkaran.

Apabila seseorang itu memahmi konsep persaudaraan Islam maka akan lahir sifat kasih
mengasihi antara satu sama lain.

Dengan kasih sayang seseorang akan menyebabkan seseorang rasa tidak tenang
apabila melihat saudaranya berada dalam kesusahan. Ia merasakan bahawa ia
berkewajipan untuk membantu meringankan kesusahan saudara seislamnya.

Dalam Islam konsep kasih sayang ini tidak terhad kepada sesama Islam sahaja, tetapi
melewati batasan etnik dan warna kulit.

Kasih sayang yang mendalam tehadap anggota masyarakat dan umat akan membawa
kedamaian hidup dalam sesebuah masyarakat dan negara.









8

2.6 Jamin menjamin (Tadhamun)

Kasih sayang antara anggota masyarakat akan melahirkan sifat jamin menjamin dari
sudut ekonomi, sosial, hak asasi manusia dan juga perundangan.

Ekonomi : Seseorang muslim akan memberi nafkah, infak, zakat, sedekah, waqf dan
sebagainya untuk menjamin golongan kurang bernasib baik mendapat pembelaan dan
hidup yang lebih sempurna.

Perundangan : Undang-undang Islam memberi jaminan bahawa setiap orang, termasuk
orang bukan Islam akan dibela dan di jamin keselamatan jiwa, harta, akal dan agama
masing-masing.















9

3. APLIKASI HUBUNGAN ETNIK DALAM ISLAM

3.1 Kemesraan Komunikasi

Penggunaan bahasa yang baik dan sopan santun menjadi asas dalam menghasilkan
komunikasi yang baik dan berkesan serta mengelakkan sikap sombong dan
memandang rendah.

Bertegur sapa dengan memberi salam atau ucap selamat, mengukir senyuman, sifat
lemah lembut,penyayang dan memberi perhatian sewaktu bercakap. Menghindari sikap
sombong, bermasam mukadan memandang rendah terhadap orang lain.

Ramai orang yang tidak menyedari bahawa antara rahsia yang boleh mengeratkan
perpaduan, ikatan persefahaman dan kasih mengasihi sesama ahli masyarakat ialah
memberi salam dan bertanya khabar tentang diri masing-masing. Islam amat
menganjurkan kita bersalaman dan bertanya khabar sesama jiran tetangga dan sahabat
handai. Tentang keutamaan memberi salam ini, Rasulullah SAW bersabda yang
diriwayatkan oleh Abu Daud r.a. yang bermaksud :

Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang lebih
dahulu memberi salam kepada yang lain.

Baginda SAW seterusnya bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni r.a. yang
bermaksud:

Sesiapa yang menjawab salam, maka ia adalah miliknya dan sesiapa yang
tidak menjawabnya, maka dia tidak termasuk dalam golongan umatku.

Setelah memberi salam dan menjawab salam, maka diikuti pula dengan khabar
pertanyaan tentang urusan kerja masing-masing, hal ehwal kesihatan keluarga,
berbincang tentang sesuatu masalah dan penyelesaiannya dan sebagainya. Jelaslah
manfaat memberi dan menjawab salam ini begitu banyak, sebagai pembuka bicara dan
penghubung tali silaturahim sesama Islam yang dikenali mahupun yang belum dikenali.

10

3.2 Budaya ziarah menziarah

Amalan ziarah menziarahi memberi banyak kebaikan terutamanya dalam
menghubungkan dan merapatkan hubungan silaturrahim sesama mereka. Islam sangat
menggalakkan umatnya untuk memperbaiki hubungan silaturrahim dan persaudaraan.

Budaya ziarah menziarahi orang adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Sebenarnya
ziarah-menziarahi digalakkan bukan sekadar pada masa sakit sahaja bahkan
melengkapi semua keadaan, baik semasa sihat mahupun berdukacita, sama ada
terhadap sahabat handai, saudara-mara, kaum keluarga, yang muda, lebih-lebih lagi
yang tua, bujang ataupun sudah berkahwin.
Semua ini telah pun dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW. Amalan seumpama ini
akan mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud:

Sesiapa yang menziarahi orang sakit, ataupun ziarah saudaranya kerana Allah
SWT maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan
bagus langkahmu, dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga

Sabdanya lagi daripada Abu Musa r.a. yang bermaksud:

Berilah makanan kepada orang yang lapar, ziarahilah orang yang sakit dan
lepaskanlah orang tawanan

Sebagaiamana ibadat-ibadat lain yang mempunyai syarat dan rukun serta adab, maka
menziarahi orang sakit juga mempunyai adab yang tersendiri untuk diikuti, agar ziarah
itu mengikut syariat Islam.







11

3.3 Hormat menghormati

Saling hormat-menghormati adalah salah satu sifat mahmudah atau sifat terpuji dalam
Islam. Sifat saling hormat-menghormati ini harus ada kepada seseorang muslim yang
mengaku beriman kepada Allah SWT. Sikap hormat-menghormati ini adalah antara ciri-
ciri menampilkan seseorang yang berakhlak mulia. Antara contoh-contoh sifat saling
hormat-menghormati itu ialah memberi layanan mesra dan sopan, saling bekerjasama,
saling menghargai antara satu sama lain dan menghargai budi serta jasa orang lain.
Selain itu,dalam pergaulan seharian, kita juga dituntut untuk berakhlak mulia seperti baik
dalam bertutur kata, perilaku bahkan ia menjadi syarat kesempurnaan Iman seorang
mukmin. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling bagus
akhlaknya. Dan orang-orang yang paling baik di antara kamu ialah mereka yang paling
baik terhadap isterinya". (Riwayat at-Tirmidzi)

Akhir-akhir ini, sifat saling hormat-menghormati ini telah mula terhakis sedikit demi
sedikit daripada amalan umat Islam. Apabila hormat-menghormati ini sudah tiada, ia
bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan pada hubungan sesama manusia malah ia
akan menyebabkan imej Islam itu akan dipandang negatif oleh pelbagai pihak.

Islam agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya Muhammad s.a.w.
telah mengajarkan kepada kita beberapa perkara yang perlu diamalkan berkaitan
dengan saling hormat-menghormati ini.










12

Menghormati sesama manusia

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 18:

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah atau
sombong) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak
sombong; Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong,
takbur, lagi membanggakan diri".

Sombong adalah sifat yang tercela. Dengan bersifat sombong sesama manusia akan
menyebabkan seseorang itu menolak kebenaran dan menghina sesama manusia.
Bukan itu sahaja, apabila sombong itu ada dalam diri manusia akan berlakulah
kezaliman dan rasa angkuh. Oleh itu, Allah SWT melarang perbuatan mengabaikan sifat
saling hormat-menghormati kerana kesan daripada tidak mengamalkan sifat ini akan
membawa kesan yang buruk di dalam kehidupan sesama manusia.

Menghormati jiran tetangga

Kepentingan sifat saling hormat-menghormati kepada jiran tetangga itu adalah seperti
mana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadisnya yang bermaksud:

"Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berbuat baik
kepada tetangganya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat
maka hendaklah ia menghormati tetamunya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai tanda berimannya seseorang itu adalah dengan saling hormat-menghormati
sesama jiran tetangga sekelilingnya. Dengan saling hormat-menghormati ini, setiap
masyarakat itu akan hidup dengan rukun damai dan harmoni. Masyarakat yang hidup
harmoni akan mampu melaksanakan tanggungjawab bersama dalam membangunkan
masyarakat seterusnya akan menggembirakan kehidupan bermasyarakat sesama
mereka.



13

3.4 Bersama dalam membuat keputusan

Salah satu daripada ciri-ciri keperibadian Islam ialah sentiasa bermesyuarat.
Bermesyuarat ialah berunding untuk mencapai sesuatu keputusan. Allah S.W.T sendiri
menyifatkan masyarakat Islam sebagai masyarakat yang banyak berbincang sesama
mereka dalam menentukan perkara-perkara yang penting. Firman Allah S.W.T yang
bermaksud:

Sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka.
(al-Syura,42:38)

Rasulullah S.A.W menyifatkan permesyuaratan sebagai satu langkah yang bijak yang
boleh mengelakkan penyesalan. Baginda S.A.W sentiasa berbincang dengan para
sahabatnya baik semasa menghadapi kesusahan mahupun kesenangan. Ini
diperintahkan sendiri oleh Allah S.W.T kepada Baginda S.A.W sebagaimana firman-Nya
yang bermaksud:

Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam setiap urusan.
( ali-Imran, 3: 159)

Seorang muslim yang sebenar tidak akan jemu berbincang dalam menghadapi masalah
besar. Dalam mengadakan mesyuarat seseorang itu tidak boleh bersikap pilih kasih
kerana pandangan yang bernas itu dapat diperolehi dari semua golongan. Oleh itu
permesyuaratan adalah satu sifat yang menjadi lambang kepada perpaduan masyarakat
Islam dan keunggulan peribadi individunya.









14

4. PANDANGAN ISLAM TERHADAP HUBUNGAN ETNIK

Perbincangan mengenai pandangan Islam terhadap hubungan etnik boleh dikategorikan
kepada tiga iaitu dalil yang dikemukakan dalam al-Quran, hadis nabi dan pandangan tokoh-
tokoh Islam.

4.1 Hubungan Etnik Menurut al-Quran
Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengira etnik. Oleh itu, tidak boleh
berlaku perbezaan atau penafian hak berdasarkan etnik (Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia, 2005: 37). Hal ini menjelaskan manusia secara fitrah dijadikan Allah dalam
bentuk, kelompok dan budaya yang berbeza dan semua mesti menerima dan
menghormati kepelbagaian dan perbezaan itu sebagai satu lumrah dan hukum alam
yang akan terus berlaku. Kepelbagaian dan perbezaan itu bukanlah faktor untuk
berpecahbelah dan bermusuhan. Seharusnya kita perlu kenal-mengenal dan membantu
antara satu sama lain agar kedamaian dan kemakmuran hidup bersama dapat dicapai.
Ia selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai umat manusia!Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki
dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku
puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan
yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang
lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya
(akan keadaan dan amalan kamu).
Surah al-Hujurat 49: 13

Menurut Fathi (1997: 121), ayat ini secara khusus meletakkan asas kemajmukan dan
menyatakan bahawa kepelbagaian manusia ini adalah bagi merangsang serta
menggalakkan berlakunya interaksi, kerjasama serta saling melengkapi dan bukannya
pengasingan atau konflik. Manusia secara keseluruhannya tanpa mengira batas tempat
dan masa adalah sama di sisi Islam dalam konteks kemanusiaan dan harga diri lantaran
di pandang satu di sisi Allah meskipun berbeza sifat fizikal dan budaya. Begitu juga
perbezaan agama di kalangan manusia adalah berlaku dengan kehendak Allah yang
15

memberi kebebasan kepada makhluknya untuk membuat pilihan sama ada untuk
beriman atau tidak. Ia menepati firman Allah yang bermaksud:

Wahai sekalian manusia!Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah
menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan
daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang
membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang
ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan
menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum
kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
Surah an-Nisaa' 4: 1

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan
kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu
dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.
Surah ar-Rum 30: 22

Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat
manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian
manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan
orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah
engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang
yang beriman?
Surah Yunus 10: 99








16

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari
Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan
sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah
menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi
mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga,
mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar
muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai
tempat bersenang-senang.
Surah al-Kahfi 18: 29

Islam juga menekankan tentang memberi keadilan kepada semua mengikut
undangundang tanpa mengira etnik yang dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah
kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan
hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang
sebaikbaiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Melihat.
Surah an-Nisaa' 4: 58

Seterusnya, Allah menegaskan bahawa perbezaan etnik itu tidak boleh menjadi alasan
untuk menafikan hak atau membezakan antara pelbagai etnik sepertimana dalam Surah
al-Maaidah yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman!Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu
mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku
adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Surah al-Maaidah 5: 8
17

Al-Quran juga memberi kelonggaran kepada orang Islam untuk menjalinkan hubungan
dengan orang bukan Islam selagi mereka tidak memusuhi Islam. Hal ini dijelaskan
dalam Surah al-Mumtahanah yang bermaksud:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-
orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Surah al-Mumtahanah 60: 8


Islam menekankan kepada kebebasan beragama dan pada masa yang sama al-Quran
memberi penjelasan dan keterangan kepada manusia bahawa agama di sisi Allah ialah
Islam. Hal ini menjelaskan bahawa Islam tidak memaksa penganut agama lain
menganut agama Islam seperti dalam Surah al-Baqarah yang bermaksud:

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata
kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak
percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia
telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh, yang tidak akan
putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Surah al-Baqarah 2: 256












18

4.2 Hubungan Etnik Menurut Hadis

Islam dengan jelas melarang kepada pembelaan etnik sendiri dalam erti kata membantu
dan membela etnik sendiri yang melakukan kesalahan. Larangan ini dijelaskan oleh nabi
dalam hadisnya yang bermaksud:

Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru ke jalan asabiah dan bukan di
kalangan kami orang yang berjuang di atas jalan asabiah dan bukan di kalangan
kami orang yang mati di atas dasar asabiah. Mendengar ungkapan tersebut,
para sahabat bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan asabiah wahai
Rasulullah? Baginda menjawab: Kamu membantu saudaramu di atas landasan
kezaliman (Muhammad Syams, 1990: 1720).

Begitu juga dengan asabiah yang sering disalahtafsirkan apabila sesuatu kaum berpakat
dan bekerjasama di atas landasan bangsanya dianggap asabiah. Asabiah pada
dasarnya difahami sebagai semangat perkauman sempit dan hidup subur di zaman
jahiliah kerana rasa cinta yang sangat mendalam terhadap suku kaum sendiri. Ia berlaku
tanpa batas di mana mereka sanggup berbunuhan dan berperang asalkan puak mereka
menang. Di sini kemenangan yang penting, bukannya kebenaran. Mereka membela
kaum sendiri walaupun perbuatan tersebut membawa ketidakadilan dan kezaliman
(Khairul Azmi,2003: 18). Asabiah hanya akan menjadi masalah dan menimbulkan
masalah sekiranya dijadikan suatu keyakinan pengganti kepada Islam dan disertai
dengan kefahaman karut yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam (Yusuf, 1996: 24).
Berpandukan hadis ini, hujah yang mengatakan perjuangan memajukan bangsa sendiri
sebagai asabiah tidak dapat diterima. Dalam konteks di Malaysia, usaha yang dilakukan
demi membawa kemajuan kepada orang Melayu tidak boleh dianggap asabiah. Hal ini
kerana ia berlaku dalam semangat setia kawan yang tiada unsur kezaliman di mana
usaha membantu orang Melayu dilaksanakan tanpa mengambil hak orang bukan
Melayu dan disebabkan orang Melayu jauh ketinggalan dari kaum lain. Sesuatu perkara
itu dianggap asabiah sekiranya kita membela dan membantu orang Melayu dalam
melakukan kesalahan seperti yang dijelaskan oleh Rasullulah SAW.



19

Rasulullah SAW juga menegaskan perkara ini dalam khutbah terakhir (Haji Wida) iaitu:

Wahai manusia!Ingatlah bahawa Tuhan kamu adalah satu dan bapa kamu
adalah satu, ingatlah tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang Ajam
dan tidak ada kelebihan orang Ajam ke atas orang Arab dan tidak ada kelebihan
orang berkulit hitam ke atas orang berkulit merah kecuali orang yang bertaqwa
(Ahmad, t.t.: 411).

Nabi juga mengingatkan umatnya seperti yang bermaksud:

Sesiapa yang menzalimi Dhimmi (golongan bukan Islam yang tunduk dan patuh
kepada pemerintahan Islam) atau yang membuat perjanjian damai atau
membebankan mereka dengan yang tidak mereka berupaya, maka akulah yang
akan berhadapan dengannya (Muhammad Syams, 1990: 255).

4.3 Hubungan Etnik Menurut Tokoh-Tokoh Islam

Perbincangan berikut mengenai hubungan etnik menurut tokoh-tokoh Islam dengan
mengambil kira pandangan sarjana Islam dari negara Arab yang banyak membuat
kajian tentang perundangan Islam yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam.
Pandangan sarjana Islam yang tinggal di negara Barat juga diambil kira kerana mereka
terdedah dengan suasana di mana umat Islam minoriti berbanding di negara Arab.
Disebabkan artikel ini membincangkan hubungan etnik di Malaysia, maka pandangan
sarjana Islam di Malaysia turut diambil kira kerana mereka lebih mengetahui situasi yang
berlaku di Malaysia.

Menurut Muhammad (1987: 273) yang merupakan seorang pakar perundangan Islam
telah menggambarkan perhubungan masyarakat yang disusun oleh Islam antara orang
Islam dan bukan Islam ditegakkan di atas dasar kebaikan, kemuliaan, keadilan,
lemahlembut, permesyuaratan, kepentingan bersama dan tolong-menolong serta
mencegah dari keburukan yang boleh menghancurkan masyarakat. Sifat-sifat ini dapat
menjalinkan perpaduan di kalangan pelbagai etnik tanpa mengira warna kulit dan
tiadanya perbezaan kedudukan dalam masyarakat. Penghormatan terhadap manusia
ialah dengan menghormati jiwa manusia itu sendiri tanpa melihat agama dan etnik.
20

Justeru, beliau merumuskan perhubungan masyarakat dalam Islam terbina atas tiga
dasar iaitu membolehkan setiap manusia untuk berusaha dengan tenaga yang ada
padanya dan membahagikan pekerjaan mengikut kemampuan, memberikan kebebasan
kepada setiap orang dengan tidak menceroboh hak orang lain dan membantu pihak
yang lemah tanpa mengira warna kulit.

Menurut Yusuf (1989: 4), Islam sentiasa menjalinkan perhubungan antara orang Islam
dengan bukan Islam atas asas-asas yang kemas dan padu merangkumi sifat toleransi,
keadilan, amal kebajikan dan belas kasihan yang belum pernah ditemui oleh sejarah
kemanusiaan sebelum Islam. Maka, penganut Islam dituntut berbuat amal kebajikan dan
melaksanakan keadilan kepada seluruh manusia biarpun orang itu terdiri daripada orang
bukan Islam selama mereka tidak menentang Islam. Namun, yang menjadi kepada
konflik antara manusia yang berlainan agama dan etnik apabila manusia itu dikalahkan
oleh hawa nafsu, perasaan fanatik, fikiran yang sempit dan mementingkan diri sendiri.

Perbincangan yang sama juga telah dibuat oleh tokoh-tokoh gerakan Islam iaitu Said
Hawwa (2003: 414) yang menjelaskan perbezaan bangsa, warna kulit, negara, keluarga
dan nenek moyang bukan untuk membeza dan mengasingkan antara satu sama lain.
Sebenarnya kelainan itu wujud untuk manusia saling mengenali dan mengasihi. Beliau
menegaskan manusia itu sendiri semuanya sama dalam konteks kemanusiaan bukan
mengikut ras, warna kulit, negeri, keluarga dan sebagainya. Tiada seorang rakyat yang
lebih istimewa daripada seorang rakyat yang lain dan tiada suatu bangsa istimewa
daripada suatu bangsa yang lain. Manakala Hasan (1403H: 101) yang merupakan
seorang tokoh gerakan Islam telah menerangkan pembahagian manusia mengikut
bangsa adalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk
berselisihan. Maka, Islam menolak sepenuhnya sifat fanatik kepada sesuatu bangsa dan
berpecah-belah. Sebaliknya interaksi antara Muslim dan bukan Muslim pula berpaksi
kepada kemaslahatan masyarakat dan kebaikan kemanusiaan.




21

5. KESIMPULAN

Dalam usaha untuk Malaysia memupuk perpaduan melalui kebudayaan dan pendidikan,
rakyat yang dibahagikan mengikut kumpulan etnik perlu saling bertolak ansur supaya
perpaduan Negara dapat dicapai. Antaranya termasuklah masyarakat majmuk yang
menerangkan bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum tetapi masih boleh hidup
dalam keadaan aman dan harmoni. Sifat toleransi yang diamalkan oleh pelbagai kaum
menunjukkan mereka bersedia menerima bangsa dan budaya lain sebagai satu budaya
yang sama, iaitu budaya Malaysia. Jadi, sebagai warganegara Malaysia, adalah
tanggungjawab kita untuk mewujudkan perpaduan di mana asas perpaduan telah
disediakan melalui penubuhan persekutuan. Kita hendaklah mencapai persefahaman,
persetujuan dan titik pertemuan ke arah perpaduan. Kita haruslah mengarahkan semua
usaha menuju kepada titik-titik pertemuan ini. Salah satu caranya ialah melalui proses
penyerapan yang berlaku akibat daripada pertembungan pelbagai kebudayaan, mestilah
secara semula jadi tanpa sebarang paksaan. Dalam konteks Malaysia, asimilasi budaya
pelbagai kaum telah, sedang dan akan terus berlaku. Rakyat harus mempunyai sifat bersih,
cekap dan amanah. Hal ini menyebabkan titik pertemuan antara kaum semakin luas. Titik
pertemuan yang menjadi nilai hidup bersama, yakni budaya masyarakat yang menginginkan
kebaikan. Jadi, titik pertemuan adalah kunci untuk mencapai matlamat terpenting negara,
iaitu penyatuan melalui keperibadian kebangsaan yang jitu.














22

6. Rujukan

Abdul Rahman Ahmad Hanafian. (2004). Komunikasi Budaya: Dari Alam Rahim Ke Alam
Barzakh. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Che Su Mustaffa, Abdul Rahman Abdul Aziz, Rohani Ab. Ghani, Jamaludin Mustaffa,
Nuredayu Omar. ( 2005). Isu-Isu Budaya Dalam Pembangunan Sosial. Sintok. Universiti
Utara Malaysia.

Fauzi bin Yusoh. ( 2004 ). Hubungan Kemasyarakatan Diantara Orang Islam Dengan Orang
Bukan Islam Menurut Pandangan Islam. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd. Taib Osman, Wan Kadir Yusoff. (1987). Kajian Budaya Dan Masyarakat Di Malaysia.
Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia.

Abdul Monir Yaacob. 2005. Hak dan tanggungjawab pelbagai kaum dari perspektif syariah.
In Malaysia sebagai sebuah negara Islam, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam
Malaysia.

Ali Abd. Wahid Wafi. 1976. Prinsip persamaan Islam. Trans. Mahmood Zuhdi Abdul Majid.
Kota Bharu: Syarikat Mursyid Sdn. Bhd.

Ismail Ibrahim. 2005. Perhubungan etnik menurut perspektif Islam. Paper presented at
Seminar Pemantapan Kurikulum TITAS dan Hubungan Etnik Peringkat Kebangsaan,
Riviera Bay Resort, Melaka 711 June.

Anda mungkin juga menyukai