Anda di halaman 1dari 4

REFLEKSI PENGAJARAN MIKRO

Setelah melalui sepuluh minit pengajaran mikro Bahasa Melayu dengan topik Akuarium
Ciptaanku kepada sepuluh orang murid kelas 5 Jaya, saya telah dapat mengenalpasti
beberapa kekuatan dan kelemahan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran saya.

2.1 Kekuatan
Antara kekuatan yang dapat saya kesan dalam sesi pengajaran mikro yang telah saya
jalankan setelah mendapat maklum balas daripada rakan sejawat dan murid-murid ialah
tentang penampilan guru yang sesuai termasuklah pakaian yang sopan, tampil dengan
yakin dan bersemangat, suara jelas dan lantang dapat menarik perhatian murid dan
meningkatkan kefahaman murid tentang isi pelajaran yang ingin disampaikan. Guru
prihatin kerana memberi perhatian kepada semua murid. Guru menegur kesalahan
murid secara spontan sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan.
Bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan iaitu kertas lukisan memang
sesuai kerana murid dapat melukis menggunakan idea dan pemahamannya sendiri
berpandukan arahan yang diberikan oleh guru. Guru juga telah memberi penerangan
terlebih dahulu pada papan tulis kepada murid-murid sebelum menjalankan aktiviti ini.
Masa yang diambil untuk menjalankan aktiviti sama mengikut perancangan yang
dibuat.
Murid memberi kerjasama yang sepenuhnya semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran yang dijalankan. Murid menjawab setiap soalan yang dikemukakan
dengan baik dan jelas. Penglibtan murid aktif. Guru membantu murid yang teragak-
agak untuk menjawab soalan yang dikemukakan dan membetulkan kesalahan murid
secara langsung. Tindakan susulan oleh murid yang tepat menunjukkan kefahaman
murid terhadap penyampaian guru tentang isi pelajaran yang disampaikan. Secara
keseluruhan pengurusan kelas adalah teratur dan dapat dilaksanakan mengikut
perancangan.

2.2 Kelemahan
Terdapat juga Kelemahan yang dikenalpasti dalam pelaksanaan tugasan mikro
pengajaran iaitu guru tidak menggunakan Bahasa Melayu standard sepenuhnya.
Adakala guru menggunakan dialek Kelantan. Guru juga memberi arahan kepada murid
dalam keadaan guru berjalan. Ini akan mengganggu tumpuan murid dan arahan
menjadi kurang jelas. Guru bercakap agak laju seolah-olah mengejar masa
menyebabkan murid rasa agak tertekan. Guru sepatutnya berbincang dan
menerangkan terlebih dahulu tentang akuarium serta kegunaannya. Ini akan dapat
meningkatkan kefahaman murid seterusnya akan berlaku percambahan idea murid,
barulah hasilnya lukisan murid memuaskan. Guru terlalu banyak bercakap ketika murid
sedang melukis, ini menyebabkan konsentrasi murid terganggu.
Bahan bantu mengajar (BBM) tidak mencukupi dan perlu ditambah. Ini jelas
dapat dilihat sewaktu murid melukis. Apabila guru menyuruh murid melukis akuarium,
mereka agak keliru untuk melukis sebuah akuarium idaman mereka menyebabkan guru
terpaksa membuat lakaran ringkas akuarium pada papan tulis di hadapan kelas. Masa
yang diperuntukkan enam minit untuk melukis terlalu singkat dan tidak mencukupi ini
menyebabkan hasil lukisan murid kurang memuaskan.
Murid kurang memberi tumpuan kepada penerangan guru kerana asyik
memikirkan lukisan akuarium yang ingin dihasilkan. Murid tidak mempunyai alat tulis
yang mencukupi menyebabkan terpaksa meminjam daripada kawan. Keadaan ini telah
menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran terganggu. Guru tidak memberi
peluang kepada murid untuk bercerita secara ringkas tentang lukisan yang mereka
hasilkan. Peluang untuk murid-murid memberi komen tentang lukisan rakan-rakan juga
tiada. Ini menyebabkan tidak berlaku perkongsian idea dan pendapat dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran tersebut.

2.3 Cadangan Cara Mengatasi Masalah
Segala kelemahan yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan
kualiti pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan
dalam tugasan pengajaran mikro yang dijalankan, guru perlu meningkatkan keyakinan
diri dan lebih berhati-hati bila berinteraksi dan memberi penerangan kepada murid agar
dapat menggunakan Bahasa Melayu standard atau Bahasa Melayu baku dengan betul
tanpa mencampuradukkan dengan dialek negeri Kelantan. Semasa memberi arahan
dan penerangan, guru perlu berdiri di hadapan kelas tanpa perlu berjalan terlalu kerap
kerana ini akan mengganggu tumpuan murid-murid. Percakapan guru seharusnya tidak
terlalu laju dan terlalu perlahan agar murid dapat mendengar dengan jelas. Sebelum
menjalankan sesuatu aktiviti atau latihan kendiri, guru haruslah memastikan murid-
murid telah dapat menguasai dan memahami isi pelajaran yang disampaikan, barulah
berlaku perkembangan idea daripada murid-murid. Sewaktu murid membuat latihan
atau melakukan aktiviti kendiri guru seharusnya kurang bercakap dan memberi
tumpuan serta teguran kepada murid secara individu. Guru harus memantau kerja-kerja
murid secara menyeluruh bagi mengelak murid meniru atau curi tulang.
Bahan bantu mengajar (BBM) haruslah menarik minat murid. Guru perlu
menunjukkan beberapa contoh akuarium melalui gambar atau tayangan slaid bagi
meningkatkan kefahaman dan idea murid-murid untuk mencipta dan melukis akuarium
mereka sendiri. Masa yang diberikan haruslah mencukupi antara sepuluh hingga lima
belas minit untuk melukis.
Guru harus memastikan alat tulis murid sentiasa mencukupi sebelum sesi
pengajaran dan pembelajaran bermula. Ini akan memudahkan guru untuk menjalankan
aktiviti pembelajaran. Guru juga boleh menyediakan peralatan yang perlu sebagai
persediaan awal bagi membantu murid-murid yang tidak mempunyai alatan yang
diperlukan.
Selepas aktiviti melukis dan mempamerkan hasil kerja murid, guru sepatutnya
mengambil sedikit masa untuk memberi peluang kepada murid bercerita tentang lukisan
yang dihasilkan dan memberi rakan-rakan komen tentang lukisan tersebut. Ini juga
dapat dijadikan pertandingan lukisan tercantik. Sebagai penghargaan guru boleh
menampal hasil lukisan pada sudut Bahasa Melayu di dalam kelas tersebut. Guru juga
boleh memberikan hadiah seperti alat tulis, buku cerita dan sebagainya. Ini akan
membuatkan murid berasa bangga dan dihargai seterusnya mereka akan seronok
untuk meneruskan pembelajaran selanjutnya.
Semoga refleksi ini dapat membantu saya untuk memperbaiki dan membuat
penambahbaikan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran saya pada masa akan
datang.

Anda mungkin juga menyukai