Anda di halaman 1dari 14

SOP BEDAH ARTIKEL

1. Setiap peserta akan diberikan 1 set artikel. Terdapat dua (2) artikel yang dipilih iaitu:
a) Lingkaran keimanan
b) Menelusuri Kenangan Tarbiyah
2. Peserta-peserta dibahagikan kepada; satu (1) kumpulan lima (5) orang.
3. Setiap kumpulan diminta untuk bedah artikel dan membuat presentation dalam bentuk power
point. Setiap kumpulan dibekalkan sebuah laptop.
4. Masa yang diberikan kepada setiap kumpulan untuk menyiapkan tugasan adalah 30 Minit.
5. Setiap kumpulan hanya diberikan 15 minit untuk pembentangan
6. Pada akhir presentation, terdapat 2 orang juri yang akan menilai secara keseluruhan (overall)
presentation peserta.

Disediakan oleh,
Muhamad Izaidi Ishak
Dekan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.














ARTIKEL 1: DIARI : MENELUSURI KENANGAN TARBIYAH
Matahari terbit membawa lembaran baru dalam sejarah hidup manusia. Masa akan terus berlalu
dan waktu akan terus berputar. Namun hala tujunya satu, iaitu ke hadapan. Masa tidak akan
berputar kembali. Kisah silam tidak mungkin dilalui kembali. Yang tinggal cumalah kenangan.

Di tahun baru ini saya kembali menelusuri sejarah hidup. Bermula pencarian-pencarian saya sedari
alam persekolahan sehinggalah ke saat ini. Bagaimana saya mula bergelut dalam suasana tarbiyah
dan dakwah. Bersama dengan mereka-mereka yang kini berada di samping saya. Juga mereka-
mereka yang bakal berada di samping saya. Dan kesimpulan yang dapat saya buat adalah, ini semua
adalah percaturan Allah yang Maha Kuasa. Mahu dengar cerita saya?

2002 : SMAPL dijejaki
Saya bukanlah pelajar bermasalah di mata guru-guru. Saya boleh dikatakan 'pandai' mengelakkan
konflik dengan guru-guru. Padahal saya sering memberontak di dalam hati. Salah satu sebab
terbesarnya adalah makcik saya mengajar di sekolah itu, SMAPL.
Saya juga nakal bersama kawan-kawan, tetapi biasa-biasa saja. Mujur saya tidak minat bola sepak
sangat. Jadi saya tak terlibat dengan kes pecah masuk dewan makan untuk menonton kejohanan
bola sepak suatu ketika dahulu. Juga pergaduhan besar antara pelajar tingkatan 4 dan pelajar
tingkatan 6 gara-gara pelajar tingkatan 6 pemegang kunci bilik TV itu terlambat membuka pintu.
Nakal saya lebih kepada mengusik kawan-kawan. Mengutuk cikgu belakang-belakang, bertekak-
tekak dengan pelajar puteri sekelas dan lain-lain. Bukan saya suka-suka ya, memang semua pelajar
putera dalam kelas tu selalu bergaduh dengan pelajar puteri. Saya asalnya pelik juga, tapi bila
semakin menjadi-jadi, saya pun 'ter'ikutlah sekali. Tetapi yang ajaibnya, bila mula naik ke tingkatan
3, gaduh-gaduh tadi semuanya sudah hilang. Jadi bercintalah pula mereka ini. Pelik-pelik.
2004 : Lembaran Sosial Bermula
Perubahan mula berlaku dalam diri. Mungkin tindakbalas kimia daripada hormon-hormon
kematangan yang semakin banyak dirembeskan. Mula memerhati sekitar dengan lebih galak.
Peringatan agar lelaki menundukkan mata sudah semakin dilupakan. Berbondong-bondong pelajar-
pelajar tingkatan 3 mula berjinak-jinak dengan chat, Friendster, MIRC, Yahoo Messenger dan
sebagainya.
Mula ramai yang berkenal-kenalan dengan kawan-kawan baru, sudah punya TTM (Teman Tapi
Mesra), bercouple dan semakin mesra antara lelaki dengan perempuan. Saya ketika itu sempat
menganggap yang saya 'ketinggalan kerana masih tidak punya TTM. Mana tidaknya, mereka yang
boleh kata 'hampeh' pun satu-satu mula bercouple! Macam cendawan tumbuh!
Lalu langkah mula diorak. Usaha mula diletakkan. Umpan mula dipasang, kail mula diturunkan.
Menanti datangnya sesuatu yang dianggap 'rezeki' oleh kebanyakkan pelajar di saat itu. Dan hujung
tahun mula menunjukkan hasil. Umpan mula mengena. Kail mula ditarik perlahan-lahan. Penuh
kesabaran dan usaha. Lalu terpancinglah juga seekor...

2005 - Mei 2006 : Hanyut Dalam 'Aku dan Duniaku'
Dunia dirasakan bagai milik diri sendiri. Oh, silap. Milik kami bersama. Zaman yang penuh dengan
kemengarutan dan kejahiliyahan. Cinta mengaburi mata. Wang dan masa dihabiskan. Namun
tertutup dengan nama cinta suci dan cinta islami. Setiap tindakan dirasakan benar dan perlu
diperjuangkan.
Sambut hari lahir bersama. Saling bergurau senda. Sentiasa berkepit dengan telefon bimbit. Buat
profile Friendster sama-sama. Sempat keluar makan bersama. Sehingga dirasakan hidup sudahpun
sempurna. Tanpa sedetikpun merasakan diri sudah semakin dikotori jahiliyah. Sedikit demi sedikit
diri dimakan mazmumah. Kemuncaknya Ogos 2005, saya menunaikan umrah. Ka'bah di depan mata.
Namun sedikitpun air mata tidak terembes, apatah lagi bergenang. Padahal makcik di sebelah sudah
lama banjir pipinya.
Saya mula bertanya, "Kenapa dengan aku ni?"
Jun 2006 : Mula Melihat Sinar
Mula dengan Kem Kecemerlangan SPM 2006. Di situ saya mula mengalami perubahan. Perubahan
drastik. Cerita yang terperinci telah saya nukilkan sebagai cerpen. Maafkan Aku. Pengisian daripada
Dr. Muhammad Hizul Azri cukup memberi kesan dalam hidup saya.
Dan saya berubah bermula saat itu. Tetapi belum 100%. Masih ada yang tidak ditinggalkan. Cuma
hubungan semakin islamik. Kejut subuh, baca Al-Quran, SMS tazkirah dan apa sahaja yang
bernuansakan islami. Tetapi tetap sahaja hati tidak tenang. Fasilitator daripada program datang
setiap minggu ke sekolah. Akh Fairul Hafiz bin Adnan. Murobbi pertama saya. Saya mula berjinak-
jinak dengan pengisian daripadanya.
Lalu kemuncaknya tiba suatu saat,
"Minggu depan cuti kan? Ada program untuk antum semua. Di Penang."
"Dr. Hizul ada tak bang?" saya bertanya.
"Insya-Allah ada."
"Saya pergi, insya-Allah."
Dalam hati menanamkan tekad yang cukup kuat untuk hadir ke sana. Saya sangat-sangat ingin
bertemu kembali dengan lelaki yang saya anggap cukup istimewa itu. Saya ingin kembali mendengar
nasihat daripadanya. Surau Bukit Panchor menjadi latar tempatnya. Malam bersejarahpun berlalu.
Lembaran hidup sekali lagi diselak. Kisah bersejarah itu dilakar dalam cerpen Detik Bersejarah. Lalu
langkahan kaki semakin padu. Semangat untuk berubah semakin meluap-luap. Hala tuju hidup
berubah 180 darjah. Saya menjadi Umairzulkefli yang baru ketika itu. Umairzulkefli yang hidupnya
hanya ingin mencari redha Allah. Sungguh saya amat rindu detik dan saat itu.



2007 : Mula Mencorak Dakwah
UTP menjadi universiti pilihan. Walaupun keputusan percubaan melayakkan diri untuk memilih
universiti luar negara, namun saya tetap ingin ke UTP. Kerana ikhwah-ikhwah serta murobbi saya
ada di sana. Saya ingin terus berada dalam suasana tarbiyah. Saya ingin terus mewarnai hidup saya
dengan nuansa tarbiyah dan dakwah. Saya ingin meninggalkan terus kisah silam yang pahit dan
kelam. Lobi daripada ibu dan perlian daripada kawan-kawan kerana melepaskan peluang untuk ke
luar negara saya buat tidak tahu sahaja.
Dan kisah hidup tarbiyah saya bermula. Saya naik dengan cepat. Saya semakin kenal dengan ikhwah-
ikhwah. Saya mula diberi beban-beban dakwah. Saya semakin menjiwai nilai-nilai tarbiyah dan
ukhuwah. Semeseter kedua terus saya membawa usrah sendiri, walaupun mereka semua sama
umur dengan saya. Mereka saya bimbing sehingga dengan izin Allah menjadi teman-teman
seperjuangan saya.

2009: Sejarah Pahit
Dakwah sudah sangat besar. Hampir seluruh Malaysia dakwah sudah punya kadernya. Dan hampir
seluruh Malaysia saya pernah jelajahi demi urusannya. Namun Allah punya rencananya. Bibit
kemerosotan mula kelihatan. Ikhwah semakin ramai yang gugur. Di sana sini terdengar idea-idea
pelik. Saya sibuk dengan perancangan tarbiyah dalam UTP, sehingga kurang memerhatikan kisah-
kisah yang berlaku di sekitar.
Dan Tragedi itupun berlaku. Dakwah dilanda Tsunami ujian yang cukup besar. Kader-kader yang
tinggal cumalah beberapa kerat. UTP tinggallah saya seorang yang paling senior. Kembali menyusun
dakwah terkontang-kanting bersama anak-anak halaqoh yang tinggal. Juga Allah mengurniakan
sorang ikhwah yang masih junior namun hebat dan bersemangat daripada Sabah. Namun saya pasti
semua ujian ada hikmahnya. Allah tidak beri ujian tanpa makna. Saya dapat lihat ini peluang untuk
memperbaiki diri dan menguatkan langkah.

2010: Dakwah Berwajah Baru

Dakwah disusun kembali. Bermula dengan batu asas pertama. Mencari kader-kader baru bersama-
sama. Saling kuat menguatkan bersama-sama. Dan dakwah terus berjalan. Pematangan diri saya
turut berlangsung. Walau tempoh ini saya akui tempoh yang paling sukar. Saya bagai bersedirian
menggerakkan tanpa teman. Namun ikhwah-ikhwah tercinta sentiasa hadir.

Akh Azahar, Akh Zikri, Dr. Hizul, Akh Ucop, Akh Fakhrullah. Anak-anak halaqoh tercinta,
Hasbulnallah, Hazim, Khir, Khozafi, Zainul, Ikram, yang kini semua telah menjadi teman-teman
seperjuangan tercinta. Saya akan terus melangkah. Bersama-sama dengan kalian, insya-Allah.



2011 : Azam Baru, Hidup Baru
Dan kini tahun 2011 menjelang. Saya kembali menelusuri kenangan tarbiyah. Sungguh Allah Maha
Baik dan Maha Penyayang terhadap saya. Mematangkan diri saya dalam menempuh kehidupan agar
lebih bermakna di sisi-Nya. Ahli keluarga saya sudah ramai yang ditarbiyah. Semakin menerima
dakwah. Sungguh merupakan kebahagiaan yang tiada taranya. Dan kini, saya akan menamatkan
zaman bujang. Detiknya sudah hampir. Semoga Allah mempermudahkan urusan kami. Nantikanlah
pengumuman daripada saya. Doakan kami.
Alhamdulillah...
Kuatkan aku terus Ya-Allah, untuk berjuang di jalan ini. Untuk memimpin diri dan keluarga serta
dakwah ke arah yang direhai-Mu. Amiin...

Sumber:
SHOUTUL IKHWAH
http://umairzulkefli.blogspot.com/2011/01/diari-menelusuri-kenangan-tarbiyah.html















PERKONGSIAN: LINGKARAN KEIMANAN
Assalamu'alaikum WBT
Sekali lagi meniup habuk. Maafkan saya sekali lagi atas penyepian sekian lama. Para pembaca, artikel
kali ini memang agak panjang. Tetapi saya yakin ia merupakan jawapan yang dicari oleh ramai
daripada kita. Punca dan penyelesaian buat masalah ummah yang sedang kita hadapi. Selamat
Membaca. Semoga Allah redha.
Bila Berbicara Soal Keimanan
Bila berbicara tentang keimanan, jumhur ulama mengatakan bahawa iman itu adalah mengaku
dengan lisan, membenarkan dengan hati dan mengamalkan dengan anggota. Di dalam Al-Quran pula
Allah berfirman tentang ciri-ciri orang yang beriman. Allah berfirman:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah
hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan
hanya kepada Allahlah mereka bertawakkal.
[Q.S. Al-Anfaal, 8:2]
Penggunaan kalimah $yJR) adalah sebuah kaedah bahasa Arab iaitu An-Nafyu Wa Al-Istisna
(Penafian dan Pengecualian) yang membawa makna, orang yang dikatakan beriman itu hanyalah
mereka yang apabila disebutkan nama Allah, bergetar hatinya. Siapa yang tidak bergetar, maka dia
belum sempurna imannya.
Realiti masyarakat kita
Jika kita memandang sekilas kepada masyarakat kita, rasa-rasanya mereka ini tergolong dalam
kategori orang-orang yang beriman atau tidak? Mari kita menguak sedikit tabir masyarakat kita.
Pada tahun 2008, Datuk Seri Syed Hamid Albar mendedahkan catatan Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN) sejak tahun 2000 sehingga Julai 2008. Sebanyak 257,411 orang bayi didaftarkan tanpa nama
bapa.


Mari kita buat sedikit kira-kira. 257,411 orang bayi dalam masa 8 tahun. Bahagikan angka tersebut
dengan 8 tahun. Dalam setahun terdapat 32,176 orang bayi didaftarkan. Bahagikan pula dengan 365
hari setahun, terdapat 88 orang bayi didaftarkan. Dan jika kita bahagikan dengan 24 jam sehari,
hampir 4 orang bayi yang didaftarkan dalam sejam! Dan 4 orang bayi ini bermakna ada sekurang-
kurangnya 4 pasangan yang berzina ataupun 8 orang yang sedang berzina dalam sejam

Pada tahun 2011 pula, didedahkan dalam akhbar Berita Harian bahawa sebanyak 151,182 kes bayi
yang dibuang. Angka ini mari kita lakukan pengiraan yang sama, terhitung sebanyak 50,727 bayi
dibuang dalam setahun, 139 bayi dibuang dalam sehari dan lebih kurang 5.79 atau 6 orang bayi yang
dibuang dalam masa sejam. Statistik ini menunjukkan bahawa kadar perzinaan ini meningkat setiap
tahun. Bayangkan apa yang akan terjadi 5 tahun lagi?

Mari lihat kes perceraian pula. Kes perceraian yang didaftarkan oleh Mahkamah Syariah di seluruh
negara pada tahun 2008 sahaja adalah sebanyak 75,299 kes. Angka ini jika dikira menghasilkan
statistik yang jauh lebih mengejutkan. Sebanyak 206 kes perceraian sehari, dan lebih kurang 8 ke 9
kes perceraian sejam. Rupa-rupanya orang-orang di Malaysia ini bercerai setiap 8 minit sekali!

Alangkah teruknya akhlak dan keadaan umat Islam di Malaysia ini. Mari kita kembali kepada
persoalan kita, apakah rakyat dalam negara Malaysia yang kita cintai ini boleh dikategorikan sebagai
mereka yang beriman? Anda tentukan. Fakta telah menceritakan. Persoalannya di sini, bagaimana
semua ini boleh terjadi? Apakah titik mulanya semua kehancuran ini?
Mereka Tidak Serang Secara Fizikal, Kerana
Perkara ini sebenarnya kesan daripada perancangan musuh-musuh Islam sejak beribu-ribu tahun
yang lalu. Sejak kekalahan mereka dalam perang salib, mereka telah membuat kesimpulan bahawa
Tentera Muslimin tidak akan mampu dikalahkan dengan peperangan fizikal. Mereka seolah-olah
kebal dan tidak mempunyai kelemahan. Biarpun sedikit, mereka tetap akan menang. Dalam
peperangan Badar Al-Kubra, tentera Muslimin cuma berjumlah 313 melawan tentera musuh seramai
1,000 orang yang siap berkelengkapan perang. Berbezaan jumlah yang cukup besar, melebihi 3 kali
ganda. Begitu juga dalam peperangan Khandak, 3,000 orang tentera Muslimin menghadapi 10,000
orang tentera musyrikin. Pertolongan Allah sentiasa datang kepada mereka. Menyebabkan mereka
tidak terkalahkan.
Dan sirah juga mecatatkan kehebatan para sahabat di medan peperangan. Mereka umpama tidak
berasa sakit walaupun tercedera teruk dalam peperangan. Ada sahabat yang ditetak tangannya
sehingga hampir putus. Namun beliau tetap meneruskan peperangan. Namun tangannya yang
hampir putus itu mengganggu pergerakannya, lalu tangannya itu dipijak dan dicabutnya. Tangan itu
dicampakkannya ke tepi dan meneruskan peperangan. Sahabat yang lain pula, jarinya ditetak dan
hampir putus. Jari yang hampir putus itu juga mengganggunya, lalu seperti sahabatnya, jari tersebut
dipijak dan dicabut serta dilemparkan ke tepi dan peperangan diteruskan. Hebat bukan?
Inilah yang ditakuti oleh musuh-musuh Islam. Semangat syahid yang membuatkan mereka langsung
tidak takut untuk mati bahkan bersedia mengorbankan apa sahaja demi mencapainya. Mereka telah
menjual seluruh hidup mereka untuk membeli syurga yang telah dijanjikan oleh Allah SWT,
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan
memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau
terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan
siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli
yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.
[Q.S. At-Taubah, 9:111]
Jadi mereka mosakkan fikiran kita
Apakah yang dapat dilakukan untuk mengalahkan orang-orang seperti ini? Kesimpulan yang dibuat
mengenai mereka adalah, untuk mengalahkan tentera muslimin, mereka perlu dilemahkan terlebih
dahulu. Punca kekuatan yang ada pada diri mereka, yakni keyakinan dan kecintaan kepada Allah
SWT perlu dikikis sehingga mereka tidak lagi mampu untuk berjuang sepenuh hati. Dan cara itu
adalah dengan merosakkan fikiran mereka. Musuh-musuh Islam telah mencipta hiburan-hiburan,
permainan dan menggunakan pelbagai cara untuk melekakan umat Islam daripada agama mereka.
Lihat sahaja sekarang. Mereka campakkan sebiji bola di atas padang, diarahkan 20 orang
mengejarnya dan 2 orang sibuk menjaga di antara 2 tiang, berjuta-juta umat Islam akan menjerit dan
bertempik tidak tentu hala. Hanya disebabkan sebiji bola itu, solat dilalaikan, bahkan tidak sedikit
yang meninggalkannya. Mereka sanggup untuk bangun pada tengah-tengah malam untuk menonton
perlawanan bola sepak, tetapi akan tidur sebelum solat subuh dan langsung tidak
menunaikannya.Penangan komputer tidak kurang hebatnya. Kawan serumah saya di universiti,
hampir setiap masa saya masuk ke biliknya, pasti mereka sedang bermain Dota atau menonton
movie. Setiap masa dipenuhi dengan perkara yang sia-sia. Bagaimana mereka ini hendak memikirkan
keadaan umat Islam yang teruk ditindas? Apatah lagi jika diminta untuk pergi berjuang, lebih tidak
menyakinkan lagi.
Bagaimana strategi mereka?
Inilah penangan serangan pemikiran yang mereka lakukan. Mereka membuatkan umat Islam
menjauh daripada pegangan Islam yang sebenar. Membuatkan kita lupa jati diri kita, lalai akan
perjuangan dan tidak ingin malah tidak tahu bagaimana hendak berdakwah. Mereka dengan liciknya
menakluki negara-negara Islam yang berjauhan daripada pusat pentadbiran khalifah Islam terakhir
dan akhirnya khalifah ditumbangkan.
Lalu pola pemikiran yang rosak dan cintakan dunia diterapkan. Dengan televisyen kita semua telah
dipukau untuk meyakini bahawa Amerika dan Israel punya kuasa besar yang tidak mampu
ditewaskan. Pelbagai filem diterbitkan untuk menceritakan kehebatan dan kepahlawanan tentera
Amerika dan sekutunya. Gaya hidup merekalah yang paling benar dan perlu dicontohi. Dan mereka
bijak memanipulasi media masa untuk mencanang-canangkan gaya hidup mereka yang sangat
disukai oleh hawa nafsu.
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-
wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang
ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali
yang baik (syurga).
[Q.S. Ali Imran, 3:14]
Ini semua telah diterapkan sejak zaman nenek moyang kita lagi. Bayangkan berapa generasi di atas
kita telahpun diserang pemikirannya sehingga tidak tahu berdakwah dan tidak menitik beratkan
gaya hidup Islam dalam diri. Mudah cerita, katakana generasi pertama yang dirosakkan adalah
generasi moyang kita. Kerosakan yang dialami mereka mungkin tidak begitu teruk, hasilnya mereka
hanya faham Islam sekadar agama yang baik, solat jangan tinggal, maksiat jangan buat. Bagaimana
mereka mendidik anak-anak mereka atau lebih tepat, generasi datuk dan nenek kita?
Datuk dan nenek kita adalah mereka yang hidup sebagai dewasa pada tahun 1950 hingga 1970.
Mereka dididik dengan pengangan pandai-pandai jaga diri dan jadilah orang baik. Waktu itu belum
ada TV dan media-media perosak dan pendedahan gaya hidup barat masih belum meluas. Suasana
masyarakat masih terkawal dan mereka masih tidak teruk terpengaruh. TV yang ada cuma TV hitam
putih macam cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dengan suasana inilah datuk nenek kita mendidik
ibu bapa kita. Hidup semakin mula menyukai hiburan dan semakin kurang kefahaman Islam serta
suasana keislaman dalam rumah.
Mereka yang kurang kefahaman Islam ini pula akan mendidik anak-anak mereka menjadi orang-
orang yang tidak faham Islam. Hanya Islam pada nama dan ikut-ikutan. Inilah orang dewasa yang
hidup pada zaman 1970-an sehingga 1990-an. Ditambah lagi dengan kerosakan yang semakin
dahsyat pada waktu itu, dengan adanya TV dan internet serta pelbagai lagi media untuk musuh-
musuh Islam merosakkan pemikiran mereka, kefahaman Islam yang ada semakin runtuh. Inilah
generasi ibu dan bapa kita.
Kini tibalah masanya generasi kita. Kita adalah mereka yang hidup dewasa pada tahun 2000 hingga
tahun 2020. Generasi millennium. Dengan generasi di atas kita yang tidak memahami Islam, kita
dididik sehingga jauh daripada Islam bahkan langsung tidak mengenali Islam. Solat berjemaah tidak
pernah dihidupkan di rumah. Bagaimana hendak menghidupkan solat berjemaah, ibu bapa sahaja
ramai yang tidak solat! Dan generasi kitalah yang kita lihat sekarang sedang teruk rosak akhlaknya.
Berzina, buang anak, minum arak, bercerai, dan banyak lagi yang tidak sanggup saya sebutkan.


Maaf, mungkin ada yang tersinggung dengan pernyataan saya di atas. Saya tidak maksudkan semua
keluarga seteruk ini, tetapi inilah realiti yang terjadi kepada sebahagian besar masyarakat kita. Dan
sekarang kita sedang melihat realiti tersebut di depan mata kita. Relakah kita membiarkan semua ini
terus berlaku? Saya tidak sanggup. Saya tidak sanggup membiarkan anak saya hidup dalam suasana
yang jauh lebih teruk daripada yang sedang saya alami. Maka saya perlu buat perbaikan.
Jadi, apa yang perlu kita lakukan?
Setelah mendengar perbahasan-perbahasan di atas, mungkin dalam diri kita tercetus rasa untuk
membuat perbaikan. Kita terfikir, Aku mesti buat perubahan. Namun cetusan itu hanya umpama
percikan api yang tidak mampu menerangi apa-apapun. Cetusan yang kita peroleh ini, sepatutnya
kita percikkan kepada daun-daun kering sehingga daun-daun itu terbakar. Daun-daun kering itu kita
kumpulan dan kita bakar pula ranting-ranting kayu. Ranting-ranting yang telah terbakar ini, kita
masukkan pula kayu-kayu api dan seterusnya bahan bakar yang lebih besar lagi. Dengan itulah
percikan api yang kecil tadi dapat dikekalkan seterusnya dibesarkan serta disebarkan. Begitu juga
dengan kita. Sekarang, cetusan keinginan untuk perubahan yang kita dapati ini perlu dipastikan agar
berterusan.
Kami ada Lingkaran Kami
Peringatan perlu dilakukan secara rutin. Itulah yang saya dan rakan-rakan sedang lakukan.
Alhamdulillah, kami dengan izin Allah SWT secara rutin setiap minggu mempunyai lingkaran-
lingkaran kami lakukan untuk memperingatkan diri kami dengan ayat-ayat Allah SWT dan peranan
kami sebagai hambanya.

Lingkaran inilah yang kami panggil sebagai halaqoh ataupun lebih dikenali ramai sebagai usrah. Dan
inilah caranya kami akan memperbaiki ummah. Bila bercerita tentang usrah, masyarakat kita cukup
pesimis. Pandangan umum tentang usrah adalah suatu pertemuan dalam bulatan yang dilakukan
seminggu sekali, yang didalamnya dibacakan sebuah buku yang menjadi silibus oleh seseorang yang
dipanggil naqib atau ketua bagi usrah tersebut. Peserta yang datang tidak pernah dipedulikan
kedisplinan kehadiran serta perkembangannya. Peserta yang tidur dibiarkan sahaja. Walaupun
usrahnya berterusan, kadang-kadang buku yang sama juga dibacakan. Dan kemudian mereka pulang
tanpa ada perubahan yang dapat dibuat. Hanya pertemuan yang sia-sia. Jika memang itulah yang
berlaku, maka usrah yang dilakukan itu memang sebuah usrah yang sia-sia.
Halaqoh ataupun usrah yang saya maksudkan adalah halaqoh yang membawa perubahan kepada
diri. Ummat yang ada sekarang ini, rosaknya adalah berpunca daripada kerosakan pola pemikiran
sehingga tidak mampu berfikir dan bertindak dengan pola fikir Islam. Akal mereka telah didoktrin
dengan dahsyat sejak daripada lahir lagi. Maka akal merupakan perkara yang perlu diperbaiki. Sebab
itu kita perlukan tarbiyah yang menyeluruh. Mereka yang hadir, akan terus menerus dipantau
perkembangan dan perbaikan dirinya. Perlahan-lahan mereka diproses untuk menjadi insan yang
lebih baik. Mereka akan disusun serta diatur untuk menyebarkan dakwah ini sesuai dengan posisi
mereka. Dengan cara inilah kami mengembangkan dakwah.
Mereka yang bersama-sama berusaha menjaga kedalam lingkaran keimanan yang kami cuba bina
bersama-sama ini kami gelarkan sebagai Ikhwah dan Akhwat. Ada mereka yang menggelarkan
sesama mereka sebagai sahabat, sahibah, tuan-tuan yang mulia dan sebagainya. Tetapi kami lebih
selesa dengan panggilan Ikhwah dan Akhwat. Ini kerana perkataan Ikhwah adalah sinonim dengan
mereka yang ingin menjaga keimanan. Firman Allah:
Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu perbaikilah (hubungan) antara kedua
saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
[Q.S. Al-Hujuraat, 49:10]
Perkataan dalam ayat itu Allah gabungkan dengan perkataan . Oleh itu, kami lebih
selesa menggunakan panggilan Ikhwah atau Akhi dan Akhwat atau Ukhti kepada mereka yang sama-
sama menghidupkan lingkaran keimanan yang kami panggil halaqoh ini. Ikhwah serta Akhwat yang
sama-sama cuba membina keimanan dalam diri dan menyebarkannya kepada masyarakat.

Kami akan ubah dunia dengan halaqoh
Mungkin ramai yang tertanya-tanya ataupun meragui bagaimana dakwah boleh berkembang dengan
halaqoh. Sebenarnya ia merupakan sebuah kira-kira logik yang mudah difahami. Katakan sekarang
saya mentarbiyah 2 orang anak halaqoh dengan menghalaqohkan mereka secara intensif. Perbaikan
dirinya diperhatikan, kefahaman Islamnya dipertingkatkan. Kemahiran memberi tazkirahnya dilatih.
Mereka dibimbing untuk berkorban demi Islam dan memperjuangkannya.
Jika tarbiyahnya berjalan secara konsisten selama setahun, insya-Allah pada tahun kedua, mereka
akan menjadi ikhwah telah mampu membina halaqoh mereka sendiri. Mereka yang telah ditarbiyah
ini juga akan melakukan proses yang sama untuk mentarbiyah 2 orang lagi. Maka pada tahun kedua,
4 orang baru akan ditarbiyah.
Proses itu akan berterusan pada tahun ketiga, 8 orang akan ditarbiyah oleh 4 orang ini. Pada tahun
keempat pula 16 orang akan ditarbiyah, tahun kelima 32 orang dan begitulah seterusnya. Tidak
sampai 30 tahun semua rakyat Malaysia ini telah selesai ditarbiyah dan diproses. Itu baru 2 orang
setahun, dan hanya saya yang melakukannya. Dan semua ini akan diteruskan sehingga seluruh dunia
akan diubah. Dapat lihat logiknya?

Tarbiyah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW untuk memperbaiki keadaan masyarakat Arab
jahiliyah pada zaman baginda. Tarbiyah yang mampu mengubah masyarakat yang hina kepada
masyarakat yang mulia serta disegani. Tarbiyah baginda dimulai dengan mengajak orang-orang yang
dekat dengan baginda dan mereka-mereka yang dekat dengan orang yang diajak oleh baginda.
Mereka semua ditarbiyah di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam pada waktu malam sehingga
menjelang subuh. Mereka dibacakan Al-Quran, dibersihkan akhlaknya dan ditunjukkan cara hidup
yang perlu dilalui sebagai seorang muslim. Ini yang Allah SWT firmankan,
Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang
membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab
dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan
yang nyata.
[Q.S. Al-Jumuah, 62:2]
Suasana tarbiyah inilah yang dijalankan dalam bentuk-bentuk halaqoh kecil yang dijalankan oleh
baginda Rasulullah. Jika kita mendengar hadis-hadis yang menceritakan Ketika kami sedang duduk-
duduk bersama Rasulullah SAW.. dan seumpamanya, bagi kami ikhwah serta akhwat yang
ditarbiyah, kami memahami keadaan itu sebagai para sahabat sedang duduk dalam majlis halaqoh
yang dilaksanakan oleh baginda. Dan baginda telah membuktikan hasilnya. Musab bin Umair dan
Abdullah Ummi Maktum yang dihantar oleh Rasulullah ke Madinah telah berhasil mentarbiyah
penduduk Madinah sehingga hampir kesemua mereka beriman. Kemudiannya mereka bersetuju
melantik Rasulullah SAW sebagai pemimpin mereka, sehingga tertegaklah negara Islam yang
pertama di sana.
Idea tidak masuk akal?
Tentu ramai yang berfikir, bertapa idealnya idea ini. Mungkin sebagian anda mengatakan ini idea
yang tidak mungkin dapat dilaksanakan. Memang, demi sebuah kejayaan, kita perlu berimpian
besar. Rasulullah juga telah mencontohkan. Baginda bersabda, Sesungguhnya Konstantinopel itu
pasti akan ditakluki oleh orang Islam. Raja yang akan menaklukinya adalah sebaik-baik raja. Tentera
yang akan menaklukinya adalah sebaik-baik tentera. Ketika itu umat Islam jumlahnya masih sangat
sedikit. Pada logiknya, mereka pasti tidak mampu menakluki kota Konstantinopel yang sedang
dikuasai kuasa besar Rom pada masa itu. Namun mereka tidak pesimis dan terus-menerus cuba
menguasai Konstantinopel hingga selepas 800 tahun akhirnya Konstantinopel berjaya dikuasai oleh
orang Islam. Mereka percaya kepada cita-cita dan target yang diletakkan oleh Rasulullah, dan
mereka bekerja untuk membuktikannya. Persoalannya, adakah kita percaya?
Sekarang jangan kita susah-susah berfikir bagaimana caranya untuk menyebarkan Islam, membina
halaqoh dan sebagainya. Mulakan dengan perbaikan diri. Pastikan komitmen kita dengan proses
tarbiyah yang kita ikuti berada pada tahap yang tertinggi. Pastikan kita hadiri setiap pertemuan-
pertemuan tarbiyah yang dijalankan, sama ada halaqoh mingguan, dauroh, rehlah dan sebagainya.
Semua ini adalah sarana-sarana yang diperlukan untuk kita mentarbiyah diri dan memperbaiki
keimanan dalam jiwa. Dengan jiwa yang penuh dengan cinta kepada Islam dan perjuangan, maka
perjuangan Islam pasti akan kita dukung dan perjuangkan bersama. Kerana dakwah merupakan
sebuah fitrah.
Ramai yang mahu buat perbaikan
Ya, memang ramai orang yang ingin melakukan perbaikan ini. Bahkan mungkin ramai juga yang
punya idea yang sama dengan apa yang saya ceritakan di atas. Di negara kita sendiri kita terdapat
pelbagai gerakan yang ingin membuat perbaikan kepada ummah. Adanya PAS, ABIM, IKRAM, ISMA,
HALUAN, Tabligh dan pelbagai lagi cabang-cabang mereka di seluruh tanah air.
Kehadiran mereka semua amat kami syukuri. Semua gerakan tersebut adalah gerakan dakwah yang
baik dan sangat perlu kita sokong keberadaan dan perjuangannya. Setiap gerakan punya ketetapan,
prinsip, target serta strategi-strategi dakwah yang tersindiri. Kepelbagaian itulah yang menyebabkan
wujudnya pelbagai gerakan yang dapat kita lihat pada hari ini.
Dan begitu juga dengan kami. Kami punya prinsip dan strategi serta fokus kami yang tersindiri. Kami
akan mentarbiyah seramai-ramainya masyarakat sehingga terhasil Ikhwah dan Akhwat yang telah
ditarbiyah yang sanggup mengorbankan harta, diri bahkan segala-galanya demi memperuangkan
Islam. Dan kami akan pastikan kami membuat perubahan yang terbaik. Kita semua akan berlumba-
lumba dalam kebaikan dan kami tidak akan kalah dengan semua gerakan yang telah disebutkan
mahupun yang tidak disebutkan di atas.

..oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan...[Q.S. Al-Baqarah, 2:148]
Berbeza, bukan bermusuh
Jangan salah faham. Berbeza, bukan bermakna bermusuh. Berbeza yang ada di sini cuma dari sudut
fiqh dakwah atau cara pendekatan yang digunakan. Eh, kata semua gerakan bagus, kenapa kamu
buat yang lain? Kenapa tidak ikut sahaja mereka? Soalan ini sudah terlampau banyak dipertanyakan
kepada Ikhwah dan Akhwat. Dan soalan ini juga telah terlalu banyak dijawab. Dalam penulisan-
penulisan saya sebelum inipun telah saya jelaskan. Sila klik link ini. Juga ini. Serta ini. Bahkan ini.Ini
pun boleh. Dan perlu dijelaskan, menyokong dan mengakui gerakan lain adalah baik, tidak bermakna
kita perlu menyertai gerakan-gerakan tersebut. Buatlah kerja dakwah masing masing. Kita akan
sama-sama masuk ke syurga Allah, jika kita punya tujuan yang sama.
Kesimpulan: Bina Lingkaran Keimanan Kamu
Artikel ini saya tulis untuk semua yang membaca. Tidak kira siapa kamu. Buat kamu belum punya
lingkaran itu, binalah. Kalau susah sangat, sertailah mana-mana yang kamu jumpai. Buat yang telah
mempunyai lingkaran, pastikan lingkaran keimanan kamu adalah lingkaran yang membuat
perubahan dan mampu berkembang. Kalau tidak, tarbiyah itu akan terhenti pada kamu. Kamu tidak
akan mampu membantu sesiapa. Buat Ikhwah dan Akhwat yang bersama-sama menapaki jalan ini,
bersabarlah. Teruskan usaha kamu. Pastikan diri kita yang pertama sekali kita perhatikan kualitinya.
Kemudian, pastikan ikhwah serta akhwat yang kita bina tertarbiyah dengan baik.
Doakan saya, Ahmad Umair bin Zulkefli, isteri saya, Atifah binti Ahmad Yusoff, anak kami, Ahmad
Musab bin Ahmad Umair, akan terus istiqomah di jalan ini dan terus menerus meningkatkan kualiti
diri kami. Yakinlah, kita semua pasti akan mampu mencipta dunia yang lebih baik. Kepada Allah
jualah kita berharap.
Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan
kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang
berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabuut, 29:69]

Sumber:
SHOUTUL IKHWAH
http://umairzulkefli.blogspot.com/2012/03/perkongsian-lingkaran-keimanan.html

Anda mungkin juga menyukai