Anda di halaman 1dari 16

Pelan Induk Pembangunan

Pendidikan
Sumber: http://alumniksm.blogspot.com/2010/11/pelan-indul-pembangunan-
pendidikan.html
Pada 14/8/2014

>> WEDNESDAY, NOVEMBER 10, 2010

PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN
2006-2010

Pendahuluan
Modal insan berminda kelas pertama merupakan
salah satu kunci utama untuk membolehkan
negara mencapai Wawasan 2020 yang telah
digagaskan. Merekalah yang akan meningkatkan
tahap produktiviti dan daya saing negara dalam
mendepani cabaran dan tekanan besar
persaingan abad ke 21. Agenda membina dan
memupuk modal insan yang menjadi benih
generasi masa depan ini amat bergantung
kepada kualiti sistem pendidikan negara. Justeru,
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)
2006-2010 telah dirangka untuk melaksanakan
dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang
holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia.
PIPP telah dilancarkan oleh Perdana Menteri,
Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 16
Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya. PIPP 2006-2010 telah menggariskan
enam teras iaitu membina Negara bangsa,
membangunkan modal insan, memperkasakan
Sekolah Kebangsaan, merapatkan jurang
pendidikan, memartabatkan profesion keguruan
dan melonjakkan kecemerlangan institusi
pendidikan.

1. Membina negara bangsa
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara
berbilang kaum seperti Malaysia
adalah amat penting terutama dalam era
globalisasi yang membenarkan pengaliran secara
bebas dan pantas bukan sahaja maklumat,
modal serta manusia tetapi juga sistem nilai,
budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara.
Keupayaan membina negara bangsa bergantung
kepada perkongsian nilai serta semangat
patriotisme, lingua franca, integrasi,
kewarganegaraan dan demokrasi.

Cabaran globalisasi dan liberalisasi menuntut
perubahan dinamik dalam system pendidikan
bagi melahirkan warganegara glokal yang
bertindak bijak menghadapi cabaran globalisasi
dan liberalisasi mengikut acuan local atau
tempatan. Fokus utama dalam membina negara
bangsa mencakupi usaha-usaha seperti
memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai
asas perpaduan, integrasi nasional dan bahasa
ilmu. Fokus lain ialah memupuk kecintaan
terhadap seni, warisan dan budaya bangsa serta
memupuk kefahaman yang jelas terhadap
pendekatan Islam Hadhari dalam membentuk
pemikiran kehidupan. Antara strategi untuk
membina negara bangsa ialah :

Menggerakkan gelombang baru gerakan
memperkasakan bahasa kebangsaan.
Memantapkan pelaksanaan Dasar Buku Negara.
Menyelaras peranan semua pihak terlibat untuk
menggiatkan aktiviti kebahasaan, kesusasteraan,
pengkaryaan, penterjemahan dan penerbitan.
Mewujudkan bulan bahasa dan sastera negara
dalam usaha memperkasakan bahasa
kebangsaan.
Bagi memantapkan perpaduan negara dan
integrasi nasional, pelbagai usaha akan
dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan
kefahaman rakyat agar menghormati
Perlembagaan Malaysia, meningkatkan semangat
patriotik melalui aktiviti kokurikulum dan
menanam semangat hormat-menghormati
sensitiviti masyarakat pelbagai kaum. Selain itu,
memberi kefahaman menyeluruh tentang
pentingnya semangat kejiranan ke arah
perpaduan dan integrasi nasional turut
dititikberatkan. Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) turut menyusun program bagi memupuk
kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya
melalui kurikulum kesenian, membina sekolah
seni, meningkatkan kerjasama dengan
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
(KEKWA) serta membudayakan penggunaan
tulisan jawi. Bagi memupuk kefahaman yang
jelas tentang pendekatan Islam Hadhari,
pelbagai aktiviti untuk bimbingan melalui siri
ceramah, seminar dan penerbitan bahan bacaan
berkaitan Islam Hadhari akan dilaksanakan.

2. Membangunkan modal insan
Pembangunan modal insan bertujuan
memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai
ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi
penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis
pekerjaan. Di samping itu, para pelajar akan
dilengkapi kemahiran, komunikasi berkesan,
kebolehan menggunakan teknologi komunikasi
maklumat (ICT) dengan baik, berupaya berfikir
secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak
secara rasional, mengamalkan pembelajaran
sepanjang hayat, mempunyai nilai tinggi serta
berupaya menjadi pemimpin berkesan dalam
keluarga dan masyarakat. Bagi mencapai dasar
dan matlamat tersebut, fokus pembangunan
modal insane sepanjang tempoh Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah :

Mengadakan lebih banyak pilihan pendidikan
kepada ibu bapa danpelajar
KPM akan meneruskan kewujudan pelbagai jenis
sekolah, aliran, mata pelajaran dan bidang
pengkhususan. Pendaftaran Sekolah Agama
Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN)
akan diteruskan. Pelaksanaan mata pelajaran
vokasional (MPV) di sekolah-sekolah akan
diperluaskan. Peruntukan belanja mengurus akan
ditingkatkan bagi sekolah kerajaan dan sekolah
bantuan kerajaan.

Meningkatkan keupayaan dan minat pelajar
untuk menguasai ilmu pengetahuan dan
kemahiran
Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah
(KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah
(KBSM) akan dikaji semula agar lebih
menekankan kemahiran berfikir aras tinggi.
Budaya cintakan ilmu pengetahuan akan dipupuk
dengan menggalakkan tabiat membaca.
Penerbitan dan penterjemahan pelbagai jenis
bahan bacaan sama ada dalam bentuk bercetak
atau bukan bercetak akan dipergiatkan. Bagi
menjayakan Program Pembestarian Sekolah,
infrastruktur yang mencukupi akan disediakan
seperti komputer, televisyen dan cakera video
digital (DVD). Bagi memastikan program ini
dapat beroperasi dengan lancar, program latihan
dan bimbingan akan diadakan iaitu Latihan Asas
Penggunaan Komputer, Latihan Penggunaan
Komputer untuk pengajaran dan pembelajaran
(P&P), Latihan Penggunaan Perisian Khusus dan
latihan Penggunaan Televisyen Pendidikan (TVP)
dalam P&P. Beberapa pendekatan P&P baru akan
diperkenalakn supaya menarik minat para
pelajar seperti program F1 Technology Challenge
dan Robotik.

Memupuk pelajar supaya memiliki kemahiran
dan ketrampilan
Kemahiran berkomunikasi merentas kurikulum
dan kokurikulum dengan memperbanyakkan
aktiviti literasi dan secara langsung akan
dipergiatkan. MPV akan diperluas di sekolah-
sekolah selain memastikan pelajar menguasai
kemahiran ICT. Bagi membina penampilan diri
yang positif, aktiviti bina diri seperti kerja
berpasukan dan pembinaan karakter akan
diperbanyakkan. Ceramah, seminar, motivasi
dan bengkel berunsur pembangunan insan akan
ditingkatkan bagi memupuk nilai-nilai murni,
budi bahasa dan adab di kalangan pelajar. Kerja
amal dalam masyarakat setempat seperti di
rumah orang tua dan anak yatim juga akan
diperbanyakkan. Aspek keselamatan, kesihatan
dan kebersihan (3K) turut diberi keutamaan.
Program Amalan Kebersihan Sekolah turut
dimantapkan sepanjang RMK-9.

Memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian
supaya lebih holistik
KPM akan mengubah penekanan peperiksaan
awam daripada berasaskan kandungan kepada
kemahiran atau daripada bersifat ujian kepada
kebolehan am. Bilangan mata pelajaran dalam
peperiksaan awam juga akan dikurangkan bagi
mata pelajaran tertentu. Sistem penggal akan
dikaji semula dan digantikan dengan sistem
semester bagi menjadikan suasana persekolahan
tidak berorientasikan peperiksaan. Bagi
memantapkan kualiti system pentaksiran dan
penilaian, standard prestasi kebangsaan bakal
diperkenalkan untuk dibandingkan dengan
standard negara lain.

Memantapkan program kokurikulum dan sukan
Budaya bersukan dan kokurikulum akan
diterapkan kepada pelajar dengan menyediakan
kemudahan serta peralatan sukan yang
mencukupi di semua sekolah tidak kira lokasinya.
KPM akan bekerjasama dengan Kementerian
Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara
(MSN) untuk melaksanakan program
pembangunan sukan lebih menyeluruh di
samping mengenal pasti sekolah yang dapat
dijadikan Pusat Sukan Daerah dan Negeri. Bagi
meningkatkan semangat patriotik, Rukun Negara
akan dipelajari dan dihayati dari peringkat awal
persekolahan. Penubuhan Kelab Rukun Negara
akan dilaksanakan di sekolah rendah dan
menengah.

Memperkukuh disiplin pelajar
Kempen Anti Buli, Kempen Anti Ponteng, kempen
melibatkan penglibatan ibu bapa dalam
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta
Kempen Pencegahan Salah Laku akan di
perhebatkan. Program Pendidikan Keselamatan
Jalan Raya 2005 akan dilaksanakan di sekolah
rendah secara berperingkat dengan
menerapkannya ke dalam mata pelajaran bahasa
Melayu.

Mempercepat perkhidmatan sistem aduan
masalah disiplin dengan
mempelbagaikan saluran aduan terus
Saluran aduan terus akan dipelbagaikan
termasuk talian terus, e-mail, faks dan khidmat
pesanan ringkas (SMS).

Memantapkan kurikulum
Pelaksanaan j-QAF kepada murid Islam dan
Pendidikan Moral kepada bukan Islam akan
diperluaskan. Selain itu, Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan akan diperluas
pelaksanaannya ke Tahap Dua sekolah rendah
dan sekolah menengah.

Meningkatkan kerjasama KPM dengan pelbagai
agensi
Ini akan dilakukan dengan menjalankan pelbagai
aktiviti bagi membangunkan modal insan.

3. Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
Dalam PIPP, tumpuan memperkasakan Sekolah
Kebangsaan (SK) diberi kepada sekolah rendah.
Ini kerana SK berperanan penting sebagai tapak
untuk menyemai serta memupuk perpaduan di
antara kaum dari peringkat awal persekolahan.
Ciri-ciri SK perkasa ialah :

Infrastruktur lengkap dan berkualiti.
Pemimpin dan guru cekap, terlatih dan
berkualiti, semua pelajar menguasai 3M.
Beraspirasi nasional.
Menawarkan bahasa Cina dan bahasa Tamil.
Pencapaian akademik cemerlang.
Sistem sokongan yang kuat dan mencukupi.
Iklim dan budaya sekolah yang sihat.
Penawaran dan pelaksanaan kurikulum
berasaskan pelanggan.
Penawaran dan pelaksanaan kokurikulum yang
berkesan.
Pencapaian sahsiah pelajar cemerlang.

4. Merapatkan jurang pendidikan di luar
bandar
PIPP bakal merapatkan jurang pendidikan antara
lokasi dengan membangunkan infrastruktur dan
kemudahan pendidikan luar bandar di seluruh
negara. Selain itu, ia turut memfokuskan
peningkatan kadar penyertaan dan
mengurangkan risiko keciciran pelajar. Tumpuan
akan diberi kepada sekolah-sekolah di
pedalaman Sabah dan Sarawak. KPM turut
memfokuskan untuk mengurangkan jurang
pencapaian akademik dengan menambah
bilangan komputer, TV Pendidikan, video
teleconferencing, SchoolNet, makmal komputer,
kemudahan perkakasan, pengisian dan tenaga
kerja. Ini akan mengurangkan jurang digital
yang wujud di kalangan murid dan guru luar
bandar. Beberapa langkah telah dikenal pasti
untuk meningkatkan penyertaan Orang Asli dan
minoriti iaitu meningkatkan penguasaan 3M
(membaca, menulis dan mengira).

5. Memartabatkan profesion perguruan
Guru-guru yang baru menamatkan pengajian
perguruan dari maktab atau institusi pengajian
tinggi akan diwajibkan berkhidmat di kawasan
pedalaman dahulu tanpa sebarang pengecualian.
KPM akan menambah baik insentif dan
mewujudkan skim insurans khusus kepada guru
yang berkhidmat di pedalaman selain
menyediakan rumah guru dan kemudahan asas
yang sempurna. Kurikulum Institut Pendidikan
Guru (IPG) secara berpusat akan digubal bagi
memberi penekanan kepada elemen baru dalam
kurikulum pendidikan guru. Ia akan memberi
focus kepada membangunkan infrastruktur yang
meliputi Pusat Maklumat Latihan Keguruan,
Sistem Penyaluran, rangkaian Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT), Portal
Pendidikan Guru dan Total Campus Management
System. Guru tugas-tugas khas bakal menikmati
elaun baru apabila PIPP 2006-2010 dilaksanakan
sepenuhnya. Pelbagai keistimewaan bakal
dilaksanakan seperti mewujudkan laluan pantas
untuk kenaikan gred DG berasaskan merit dan
prestasi akan dilaksanakan, kemudahan tempat
tinggal di kawasan pedalaman dan Bandar besar
akan disediakan dan menempatkan guru
mengikut opsyen dan keperluan.

6. Melonjakkan kecemerlangan institusi
pendidikan
Bagi melonjakkan lagi kecemerlangan institusi
pendidikan dalam system pendidikan negara,
dasar KPM adalah untuk mengadakan
pendekatan, piawaian
dan penanda aras yang lebih tepat serta
bersesuaian dengan ciri dan keperluan kluster
institusi pendidikan yang ada iaitu mengikut
bidang khusus (niche areas) masing-masing. Hal
ini kerana pada masa ini terdapat pelbagai jenis
sekolah dalam sistem pendidikan negara.
Institusi-institusi model yang dapat dijadikan
contoh akan dibangunkan supaya dapat dijadikan
showcase di peringkat antarabangsa. Ia
bertujuan untuk membuktikan keupayaan sistem
pendidikan negara di samping membantu usaha
untuk menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan
Pendidikan. Dalam pada itu, sebanyak 300 buah
institusi pendidikan yang menyerlah dan
cemerlang dalam kluster institusi pendidikan
tertentu akan dikenal pasti dan dipilih mengikut
elemen berikut :

Elemen utama (pencapaian purata,
kokurikulum).
Elemen sokongan (pengurusan dan pentadbiran
sekolah, ketrampilan guru, pengurusan
kewangan yang cekap, penglibatan ibu bapa dan
masyarakat).

Kesimpulan
Dengan termeterainya PIPP 2006-2010,
diharapkan bidang pendidikan bukan sahaja
dapat melahirkan modal insan yang
berpengetahuan, kuat fizikal dan cerdik minda
tetapi juga mempunyai nilai-nilai yang sempurna
dan murni untuk memikul amanah bagi
membantu memajukan negara. Modal insan yang
mempunyai celik minda dan nilai-nilai ditambah
sangat penting untuk melakukan anjakan besar
selain mampu bersaing untuk berjaya. Negara
perlu melahirkan lebih ramai Ulul-Albab (pemikir)
yang bersyukur kerana mereka merupakan
golongan yang mampu melaksanakan amanah
bagi membawa kebaikan kepada negara.
Sumber maklumat :Kementerian Pendidikan
Malaysia

Anda mungkin juga menyukai