Anda di halaman 1dari 2

Bahasa dan Budaya Mengukuhkan Semangat Kekitaan

Bahasa dan Masyarakat


Oleh Ami Masra

Dalam kehidupan bermasyarakat, menyemai dan memupuk semangat kekitaan sangat penting bagi
mengekalkan perpaduan yang sudah sedia terjalin. Bahasa memainkan peranan yang sangat penting
dalam kehidupan. Bayangkan, jika tiada semangat kekitaan, sudah tentu persefahaman dan
kerjasama dalam masyarakat tidak wujud.
Setiap individu yang tinggal dalam masyarakat hendaklah mempunyai semangat kekitaan. Melalui
semangat kekitaan, kehidupan dapat dimanfaatkan dengan lebih bermakna lagi. Kehidupan
masyarakat akan lebih aman dan tenteram apabila semangat ini dapat diwujudkan pada setiap masa.
Perpaduan bangsa dapat dilakukan melalui bahasa.
Kajian pakar sains sosial membuktikan bahawa perpaduan dan permuafakatan penduduk yang
sentiasa menjaga bahasa akan mewujudkan suasana aman, harmoni dan sejahtera. Keunikan hidup
di Malaysia banyak bergantung pada perpaduan dan permuafakatan antara kaum. Perpaduan dan
permuafakatan ini bermula daripada semangat kekitaan yang wujud dengan mengekalkan budi
bahasa dalam kehidupan masyarakat di kawasan perumahan, sama ada di desa ataupun di kota.
Misalnya, orang menggunakan bahasa untuk berbicara tentang ajaran Islam yang mementingkan
perpaduan, permuafakatan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat yang
berlandaskan Islam. Orang Mukmin diumpamakan sebagai binaan yang menyokong antara satu sama
lain dan bahasa pula menjadi penghubung dan penguat muafakat.
Sesuatu bangsa itu tidak boleh membangun dan berjaya jika hidup bersendirian. Oleh itu, sebagai
individu kita hendaklah bersama-sama hidup bergotong-royong, bantu-membantu, hormat-
menghormati dan berkasih sayang. Mengamalkan bahasa dan budaya yang baik akan dapat
merealisasikan keadaan ini. Setiap individu juga perlu mengamalkan hidup bermasyarakat dengan
menyertai aktiviti gotong-royong, menghadiri majlis rumah terbuka, menghadiri majlis perkahwinan
dan aktiviti lain yang dijalankan oleh penduduk setempat. Dalam hubungan ini, bahasa memainkan
peranan sebagai alat komunikasi yang berkesan. Misalnya, melalui majlis rumah terbuka Aidilfitri yang
diadakan setiap tahun, ahli masyarakat dapat berkenal-kenalan, merapatkan silaturahim, menjalinkan
kemesraan dan mengeratkan persaudaraan.
Untuk mengeratkan hubungan kasih sayang, kita mestilah menggunakan bahasa yang bersopan
santun. Mereka yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam kehidupan bermasyarakat akan merasakan
diri mereka terpinggir. Akhirnya, mereka akan hidup seperti kera sumbang dalam masyarakat
tersebut. Kehidupan yang dipinggirkan oleh ahli masyarakat akan menyebabkan diri rasa terasing dan
tersisih.


Konsep mengamalkan bahasa dan budaya, serta semangat kekitaan sudah tentu akan mewujudkan
suasana aman, harmoni dan sejahtera dalam kehidupan penduduk yang bermasyarakat. Konsep ini
sebenarnya sudah lama diamalkan dalam kehidupan masyarakat Melayu lama di desa. Hal ini
seharusnya diterapkan dan diamalkan di bandar dan di kota sebagai amalan yang baik. Bahasa yang
diamalkan dalam semangat kekitaan akan menjalin kasih sayang dan rasa persaudaraan.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Anda mungkin juga menyukai