Anda di halaman 1dari 10

UNIT 6

PENGAJARAN PEMULIHAN MEMBACA DAN MENULIS DALAM


BAHASA MELAYU

HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini, diharap pelajar dapat:

Mengenal pasti jenis-jenis masalah bacaan


Menjelaskan punca-punca masalah membaca
Menghuraikan kaedah-kaedah untuk mengajar membaca
Mengenalkan peringkat-peringkat perkembangan membaca dan menulis dalam
Bahasa Malaysia.

Di kelas anda ada beberapa orang kanak-kanak yang bermasalah dalam kemahiran
membaca dan menulis walau pun telah mengikuti pembelajaran yang sama dengan kanak-kanak lain
di dalam kelas anda. Kelemahan ini juga menyebabkan mereka juga tertinggal dalam pelajaran yang
lain. Apakah langkah-langkah yang perlu anda lakukan?

PENGENALAN
Kebolehan membaca merupakan kemahiran yang penting dikuasai walaupun kanak-kanak belum lagi
menjejak kaki ke sekolah. Keupayaan kanak-kanak membaca ayat mudah dengan lancar dan
menguasai sekumpulan perbendaharaan kata asas serta boleh mengeja perkataan sebelum memasuki
alam persekolahan berada dalam kedudukan yang lebih selesa dan menyakinkan berbanding dengan
kanak-kanak yang tidak menguasainya. Bagi kanak-kanak pemulihan khas, kegagalan mereka dalam
membaca bukanlah satu perkara yang luar biasa walaupun mereka telah mengikuti kelas bacaan. Oleh
kerana kemahiran membaca merentas semua mata pelajaran, ini mempengaruhi pencapaian mereka
dalam mata pelajaran lain. Kelemahan ini perlu ditangani dengan segera. Adalah menjadi
tanggungjawab guru untuk mengesan kelemahan membaca murid-muridnya dan cuba mengatasi
masalah ini.

KBP3013 Murid-murid Pemulihan Khas dan Masalah Pembelajarn Khusus Disleksia / 89

DEFINISI MEMBACA
Frak Smith (1971), mendefinisi membaca sebagai satu operasi psycholingustik . Bacaan juga
merupakan satu langkah lanjutan dalam perkembangan pembelajaran bahasa dan memproses
perkembangan-perkembangan yang diterima.
Atan Long (1976), membaca adalah proses pengembalian iaitu daripada proses menulis
kepada proses mentafsirkan kembali lambang-lambang bertulis dan mendapatkan makna atau buah
fikiran daripada bahan bertulis itu.
Abu Basar (1981): Membaca adalah gabungan proses menyuarakan lambang-lambang tulisan,
mengamati serta memahamkan kandungannya.
Oleh itu,secara umumnya membaca adalah proses memindahkan lambang-lambang bertulis
kepada suara, memahami makna-makna yang terkandung di dalamnya serta mengaitkan maknamakna tersebut dengan pengalaman sedia ada kanak-kanak.
Apakah yang Mempengaruhi Kemampuan Kanak-kanak Membaca?
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kebolehan kanak-kanak membaca antaranya
kemampuan mereka menguasai bahasa dan juga faktor persekitaran. Kemampuan berbahasa adalah
diperolehi secara beransur-ansur atau berperingkat mengikut masa dan pengalaman kanak-kanak dan
ia saling berkait antara satu sama lain. Perkembangan bahasa kanak-kanak bermula semenjak lahir
daripada bunyi tangisan yang pertama. Perkembangan bahasa kanak-kanak akan melalui peringkatperingkat yang tertentu mengikut urutan yang sama bagi setiap kanak-kanak tidak kira bangsa atau
pun jantina. Ibu bapa yang mengetahui peringkat-peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak dapat
membantu anak mereka meningkatkan keupayaan mendengar, bertutur, membaca dan juga menulis.
Bantuan dari peringkat awal lagi, dapat memberikan impak yang positif terhadap kemampuan mereka
membaca.
Bilakah kemahiran membaca boleh diperkenalkan?
Kemahiran membaca sudah boleh diperkenalkan secara beransur-ansur semenjak kanak-kanak
berusia 18 bulan. Pada usia seawal ini ibu bapa tidak perlu memberi penekanan kepada satu
pembelajaran yang formal, kanak-kanak diperingkat ini sudah memadai dengan memberi kesedaran
umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan pengunaannya dalam situasi seharian. Pengajaran
membaca dan menulis secara formal boleh dimulakan apabila kanak-kanak berusia tiga tahun.

KBP3013 Murid-murid Pemulihan Khas dan Masalah Pembelajarn Khusus Disleksia / 90

Hubungkait Belajar Bahasa dengan Keupayaan Membaca.


Kanak-kanak mempelajari bahasa secara berperingkat-peringkat. Pencapaian bahasa kanak-kanak
lebih mudah dipertingkatkan sekiranya mereka boleh membaca dan menulis dan begitu juga
sebaliknya.
a) Bayi hingga 2 tahun.
Bayi ketika dilahirkan tidak memahami bahasa. Lazimnya kita telah pun mengetahui bahawa
penguasaan bahasa pertama berlaku secara semulajadi semenjak kecil lagi. Pada tahap ini,
bahasa akan dipelajari secara berperingkat-peringkat. Apa yang penting ialah bayi itu mempelajari
secara tidak formal. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998): Bayi dapat menguasai bahasa itu
dengan cara memperoleh bukan melalui proses pembelajaran. Kanak-kanak hanya perlu
didedahkan kepada bahasa ibunda mereka dan secara tidak disedari mereka akan pandai dengan
sendirinya menggunakan bahasa itu.
Ketika kanak-kanak berusia 18 bulan mereka sudah mula mengetahui dan memahami
bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapanya. Kanak-kanak belajar melalui rangsangan deria
pendengaran secara langsung atau tidak langsung. Mereka mula menunjukkan minat membaca
dan ibu bapa boleh merangsang mereka membaca dengan memperkenalkan buku-buku yang
mengandungi banyak gambar yang berwarna-warni. Ibu bapa serta anak digalakkan
berbual/bercerita mengenai buku atau gambar yang dilihat. Aktiviti sebegini dapat memberi satu
landasan yang baik bagi memupuk minat membaca dari peringkat awal lagi.
b) 2 1/2 hingga 4 Tahun.
Proses pemerolehan bahasa berlaku secara aktif pada kanak-kanak dalam lingkungan umur dua
hingga enam tahun. Kebanyakannya hasil penyelidikan bahasa mendapati bahawa jangka masa
pemerolehan bahasa yang paling kritikal di kalangan kanak-kanak ialah antara umur dua tahun
hingga lima tahun. Sekiranya jangka masa ini terlangkau, maka perkembangan bahasa akan
terhalang.
Mengikut pandangan ahli bahasa, kanak- kanak yang lahir ke dunia sudah membawa
kebolehan atau potensi bahasa. Kebolehan atau potensi bahasa ini akan menentukan struktur
bahasa yang akan digunakan selanjutnya. Untuk itu kanak-kanak mudah dipengaruhi oleh unsurunsur yang berada dipersekitarannya seperti keluarga, rakan dan masyarakat disekelilingnya. Ini
bermakna persekitaran ini akan membantu serta mempengaruhi kebolehan bahasa kanak-kanak.
Perkembangan bahasa yang mantap akan membantu perkembangan mental dan sosial
kanak-kanak. Langkah yang sesuai untuk mengajar kanak-kanak membaca di peringkat ini ialah
dengan memperkenalkan huruf bersama gambar. Pada peringkat ini kanak-kanak belum lagi ada
kesediaan membaca, oleh itu ibu bapa perlu bersabar semasa membimbing anak mereka.
c) 4 hingga 7 tahun
Pada peringkat ini perkembangan otak sudah memasuki fasa terakhir. Kanak-kanak sudah
menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak perkataan. Mereka gemar
bertanya serta melihat gambar. Pada peringkat ini ibu bapa boleh mendedahkan anak mereka

KBP3013 Murid-murid Pemulihan Khas dan Masalah Pembelajarn Khusus Disleksia / 91

kepada persekitaran seperti bunyi-bunyi binatang atau kenderaan. Kanak-kanak sudah boleh diajar
menulis dan membaca perkataan dan ayat-ayat pendek.
Sekiranya usaha dan langkah-langkah yang sesuai telah diambil ketika kanak-kanak
melalui peringkat-peringkat ini, mereka akan lebih bersedia menempuh alam persekolahan sebenar
apabila tiba masanya. Kanak-kanak yang belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat
bertindak dan mudah faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di
sekolah.

MASALAH MEMBACA
Bincangkan jensi-jenis masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak pemulihan khas.
Masalah bacaan di kalangan pelajar sekolah, sudah menjadi perkara biasa kerana bilangan kanakkanak yang terlibat agak ramai. Fenomena ini bukan sahaja merisaukan pihak ibu bapa dan guru-guru
sahaja malahan pihak atasan khususnya Kementerian Pelajaran. Dari dulu lagi pelbagai usaha telah
dibuat sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, dan peringkat nasional. Antaranya dengan
pelaksanaan KBSR yang bermatlamatkan kecemerlangan pendidikan sekolah rendah, dan diikuti
dengan KBSM di sekolah menengah.
Walau bagaimanapun usaha itu dilihat gagal kerana masih ramai lagi yang tidak dapat
menguasai 3M. Hakikat ini diakui dalam seminar Kebangsaan KBSR pada 1989 yang merumuskan;
Pelaksanaan Program Pemulihan dan Pengayaan dalam kelas KBSR tidak mencapai
tahap yang dijangkakan menyebabkan terdapat sebilangan kanak-kanak tidak dapat
menguasai kemahiran asas 3M hingga ke peringkat tahap II persekolahan rendah dan di
peringkat persekolahan menengah.
Masalah Bacaan
Terdapat beberapa jenis masalah dalam menguasai bacaaan. Bagi kanak-kanak pemulihan antara
kelemahannya adalah seperti salah membunyikan huruf yang seakan-akan sama bentuknya,
membunyikan huruf tertentu, keliru membunyikan nama huruf yang seakan-akan sama. Hal ini pasti
menjadikan kanak-kanak salah faham menyebut susunan rangkai kata, ayat, intonasi dengan gaya
yang betul. Ketidakupayaan kanak-kanak menguasai kedua-dua kemahiran ini pasti memberikan
masalah kepada mereka untuk melahirkan ekspresi melalui tulisan. Antaranya, masalah
ketidakcekapan koordinasi mata dan tangan semasa menulis.
Ketidakupayaan ini dikesan semasa kanak-kanak memegang pensel dengan cara yang tidak
betul. Akibatnya kanak-kanak tidak dapat menulis garis perkataan dengan tepat serta mencampur aduk
huruf besar dengan huruf kecil dalam satu ayat. Manakala kelemahan dalam menghasilkan makna
dalam penulisan karangan pula, iaitu kanak-kanak lemah menyusun ayat dan buah fikiran mengikut
kewajaran fikiran mereka serta meninggalkan perkataan tertentu semasa menulis.

KBP3013 Murid-murid Pemulihan Khas dan Masalah Pembelajarn Khusus Disleksia / 92

Ketidakcekapan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca dan menulis menjadikan kanakkanak tidak berminat untuk belajar dan tidak memberikan tumpuan sepenuhnya. Berikut adalah antara
masalah bacaan yang sering dihadapi oleh murid pemulihan juga murid yang mengalami masalah yang
sama:
a) Keliru dangan bentuk huruf.
Masalah tidak kenal huruf merupakan punca utama kebanyakan kanak-kanak gagal membaca
dengan baik. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak akan menyebut sesuatu huruf sesuka hati
atau dengan meneka sahaja dan menjadikan perkataan itu tidak bermakna atau berlainan makna.
Mereka juga terkeliru dengan huruf kecil yang seakan-akan bentuknya. Ada juga yang melihat
huruf terbalik contohnya b menjadi d p dengan q dan sebagainya. Kekeliruan juga berlaku pada
nama-nama huruf yang seakan-akan sama bentuknya seperti c dan e.
b) Pada peringkat suku kata.
Antara masalahnya ialah tidak boleh mengadun/membatang suku kata terbuka /tertutup. Kanakkanak gagal membunyikan suku kata walau pun dapat mengejanya. Kekeliruan juga berlaku pada
perkataan yang melibatkan e taling dan e pepet. Kanak-kanak tidak dapat mengenal pasti
perkataan yang mana yang menggunakan e taling atau e pepet. Contoh pelita dan perak. Ada juga
yang gagal membunyikan membunyikan suku kata VK di awal perkataan. Seperti perkataan Islam
atau April. Perkataan yang mengandungi banyak suku kata juga menjadi sukar kepada mereka
kerana kerapkali berlaku ketidakmahiran membahagi/membatang suku kata khususnya yang
mengandungi diftong/vocal berganding serta yang imbuhan. Contoh perkataan: sungai dibaca
sung ai; perkataan lain seperti pasukan, kenderaan, penyapu dan sebagainya.
c) Kesukaran dalam pengamatan.
Dalam masalah ini kanak-kanak didapati sukar menguasai kemahiran diskriminasi. Mereka sukar
mengecam, mencari dan membezakan/mengasingkan perkataan yang dilihat. Kerap terkeliru
dengan huruf seperti b dengan d , m dengan n dll. Akibatnya bunyi yang disebut tidak menepati
perkataan sebenar. Mereka kadang-kadang dapat mengeja tetapi gagal untuk
menyembunyikannya, dapat membatang suku kata tetapi tidak dapat menyebut kembali apa yang
dieja. Ini berkaitan dengan ketidakupayaan untuk mengingat kembali apa yang dilihat dan
didengar.
d) Kesukaran membaca peringkat ayat.
Pada peringkat ini kanak-kanak sering membuang atau menggantikan perkataan dengan perkataan lain misalnya
jalan disebut alan, besar disebut besa. Ada juga yang meninggalkan perkataan ketika
membaca, seperti; Adam ada dua batang pensel. Dibaca sebagai Adam ada dua pensel.
Meninggalkan imbuhan juga berlaku seperti dalam perkataan dikelilingi disebut dikeliling dan
sebagainya. Masalah lain yang sering juga berlaku adalah salah sebut perkataan , bacaan kurang
lancar, dan membaca tidak mengikut intonasi yang betul.

Berdasarkan masalah-masalah bacaan di atas, berikan beberapa contoh masalah atau


kesalahan bacaan yang kerap dilakukan oleh kanak-kanak.

KBP3013 Murid-murid Pemulihan Khas dan Masalah Pembelajarn Khusus Disleksia / 93

Strategi Pengajaran Kemahiran Membaca


Terdapat berbagai-bagai kaedah dan teknik pengajaran bacaan yang telah kita pelajari dan digunakan
untuk membantu kanak-kanak yang tidak dapat membaca dengan baik. Hakikatnya semua kaedah dan
teknik itu boleh digunakan dengan berkesan. Semuanya bergantung kepada cara kita merancang
strategi pengajaran dan melaksanakannya ke atas kanak-kanak berkenaan. Perkara penting yang
perlu dititik beratkan adalah kanak-kanak ini perlu diajar menguasai kemahiran-kemahiran asas bacaan
terlebih dahulu supaya pemerolehan kemahiran membaca mereka menjadi mantap. Kemahirankemahiran yang dikuasai ini kelak akan membantu mereka menguasai kemahiran bacaan seterusnya.
Pengajaran membaca kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak berkeperluan khas
memerlukan strategi yang pelbagai. Guru tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah dan teknik
tertentu sahaja kerana kerana penerimaan seseorang kanak-kanak terhadap perkara yang diajar
adalah berbeza antara satu sama lain. Terdapat beberapa kaedah mengajar bacaan dalam bahasa
melayu yang sesuai dengan binaan perkataan bahasa melayu yang terbentuk melalui gabungan suku
kata.
Kaedah Mengajar Bacaan
Antara kaedah mengajar bacaan yang sering digunakan adalah:
a) Kaedah abjad/huruf.
Menurut Azman Wan Chik (1993), kaedah abjad dianggap sebagai kaedah nama-nama huruf yang
digunakan di dalam tulisan melayu iaitu A, B, C ...hingga Z. Kanak-kanak diajar menghafal nama-nama
huruf mengikut urutan.
Mengikut kaedah ini guru memulakan pengajaran dengan menunjukkan kad abjad kepada
kanak-kanak dan guru menyebut terlebih dahulu abjad-abjad tersebut untuk memperkenalkannya
kepada kanak-kanak. Kemudian guru sekali lagi menunjukkan kad-kad abjad tersebut dan meminta
kanak-kanak mengenalpasti dan menyebut abjad-abjad yang ditunjukkan dengan bantuan guru. Guru
akan membetulkan setiap kesilapan sebutan kanak-kanak ketika kad-kad abjad ditunjukkan.
Proses ini diulang sehingga kanak-kanak mampu mengenalpasti dan menulis abjad-abjad
yang telah diajar. Seterusnya kad-kad abjad ini akan di lekatkan pada papan tulis, kanak-kanak dipilih
secara rawak untuk mengambil kad yang disebut oleh guru. Selepas aktiviti ini kanak-kanak diminta
membuat latihan yang serupa secara bertulis di dalam buku masing-masing.
Langkah seterusnya kanak-kanak diajar pula huruf vocal a,e,i,o,u. Kanak-kanak diperkenalkan
dengan permulaan perkataan bermula dengan sesuatu bunyi huruf vokal seperti adik, abang, api, ayah.
Seterusnya kanak-kanak akan diajar perkataan yang bermula dengan huruf konsonen seperti duku,
duri, dada, dadu dan sebagainya. Ini adalah sebagai usaha untuk memperkenalkan kepada kanakkanak hubungan antara bunyi huruf dan perkataan. Kanak-kanak seterusnya diajar membaca ayat-ayat
mudah yang dibina dari perkataan-perkataan yang telah dipelajari. Diikuti huruf konsonen diftong dan
diagraf. Pada ketika ini juga diajar bunyi-bunyi huruf. Kaedah ini memang sesuai dengan binaan
perkataan bahasa melayu yang memang berasaskan suku kata. Kaedah ini membolehkan kanakkanak mengeja dan membunyikan perkataan baru walau pun belum lagi dipelajari.

KBP3013 Murid-murid Pemulihan Khas dan Masalah Pembelajarn Khusus Disleksia / 94

b) Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan.


Kaedah pandang sebut sangat sesuai dengan pengajaran bahasa Inggeris kerana ia tidak perlu
membatang suku kata. Dalam pengajaran bahasa melayu kaedah ini juga boleh digunakan kerana ada
kelebihan tertentu. Berpandukan namanya, kaedah ini meminta kanak-kanak menghafal pola-pola suku
kata yang ada dalam bahasa Malaysia. Kaedah pandang sebut tidak memerlukan kanak-kanak
mengeja. Mereka hanya perlu mengecam dan menghafal tulisan dan gabungan bunyi dua, tiga dan
empat huruf lalu menyebut terus contohnya:
Da di du de (dua huruf)
Ban bin bun bon (tiga huruf)
Tang ting tong tung (empat huruf)
Melalui kaedah ini pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan yang sudah biasa dan
sering digunakan seharian. Guru memulakan dengan mengenalkan dengan beberapa perkataan
dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Pada kebiasaannya perkataan tersebut disertakan dengan
gambarnya, kanak-kanak menyebut perkataan berdasarkan gambar yang dilihat dan mengejanya
tanpa membatang suku kata. Menggunakan kaedah ini guru dapat melatih kanak-kanak membaca
dengan sebutan dan rentak irama atau pun alunan suara yang betul dari mula lagi.
c) Kaedah fonik/bunyi
Kaedah fonik memberi penekanan kepada bunyi-bunyi dengan hurufnya. Bunyi huruf konsonan ialah b
c d f g h j k l m n p q r s t v w x y z. Manakala huruf vokal ialah a e i o u. Fonik adalah siri peraturan di
mana kanak-kanak mengingat dan menggunakannya apabila bertemu dengan perkataan-perkataan
baru.
Mengikut kaedah ini kanak-kanak didedahkan dengan peraturan tertentu seperti menyebut
huruf a dengan bunyi aa (mulut terbuka luas) bukannya ay. Kemudian mereka diminta menyebut dan
menulis a berulang kali sehingga dapat menggabungkan huruf dan bunyi serentak.Setelah bunyi huruf
diperkenalkan ia akan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya perkataan. Contoh; ro +
da disebut:
[ r ] + [ o ] = [ ro ]
[ d ] + [ a ] = [ da ]
[ ro ] + [ da ] dan kemudian disebut sebagai [ roda ]
Daripada membaca perkataan kanak-kanak dibimbing untuk membina dan membaca ayat-ayat
mudah Ayat-ayatnya biasa berbentuk berulang-ulang seperti;
Ibu beli baju.
Ibu beli baju baru.
Baju baru ibu warna biru.
Fonik mesti diajar dalam cara yang membenarkan kanak-kanak boleh menggunakannya
sebaik sahaja diperkenalkan kepada mereka. Setiap kali bunyi baru diajar, mereka patut diberi bahan
bacaan terpilih sebagai pengukuhan.

KBP3013 Murid-murid Pemulihan Khas dan Masalah Pembelajarn Khusus Disleksia / 95

d) Kaedah Gabungan Bunyi-kata


Kaedah mula diperkenalkan oleh Profesor Dato Dr.Ishak Haron melalui pembentangan kertas kerja di
KONPEN IV anjuran Suluh Budiman di Kuantan pada 8 hingga 10 Disember 1979. Kaedah ini
menggabungkan kemahiran membunyi beberapa huruf, suku kata dan membaca perkataan, rangkai
kata, ayat (yang bermakna) dalam satu atau dua pelajaran. Pada pelajaran seterusnya, secara
beransur-ansur kemahiran sebelumnya diperkembangkan.
Sebagai contoh: mulakan dengan memperkenalkan vokal. Dengan menggunakan kad
imbasan, buat latihan membunyikan huruf itu beberapa kali. Kemudian perkenalkan huruf konsonen.
Gabungkan huruf konsonen dengan vokal menjadi suku kata: ka ki ku, da du dll. Cantumkan suku kata
menjadi perkataan yang bermakna, kaki, kuku, kaku. Gunakan cara bermain bagi mencantum hurufhuruf menjadi suku kata, kemudian menjadi perkataan dan seterusnya menjadi ayat. Sebagai
pengukuhan kanak-kanak menulis perkataan dan ayat yang dibina.
Kaedah ini mementingkan latih tubi dan pendekatan pelbagai deria (multisensory) iaitu selain
dari melihat, membaca juga menyentuh kepada abjad atau perkataan yang diperlukan. Kaedah ini
melibatkan penggunaan visual, audio dan kinestetik dalam pengajaran bacaan serta tulisan. Kaedah ini
jelas berteraskan gabungan deria penglihatan dan pendengaran dengan tulisan (kinestetik). Melalui
kaedah ini kanak-kanak dilatih untuk melihat dan menyebut perkataan sambil menulis perkataan itu
berdasarkan ingatannya. Hasil tulisan akan dibandingkan dengan perkataan asal. Aktiviti ini dilakukan
berulang kali hingga kanak-kanak dapat mengeja dan menulis perkataan dengan betul.
e) Kaedah Gillingham
Kaedah Gillingham dianggap yang pertama seumpamanya yang melaksanakan dan mempopularkan
kaedah pelbagai deria, visual-auditori-kinestetik (VAK). Kaedah ini adalah berdasarkan kerja Dr.
Samuel T. Orton dan telah berkembang menjadi sebuah manual program membaca oleh Anna
Gillingham dan Bessie Stillman lewat 1930-an.
Pendekatan pengajaran ini sesuai kepada kanak-kanak yang mengalami masalah membaca
yang teruk disebabkan oleh faktor neurobiologi - seperti kanak-kanak disleksia. Kaedah ini sesuai
kerana kanak-kanak diajar menggunakan pendekatan pelbagai deria (multisensory approach).
Kaedah ini melibatkan penggunaan visual, audio dan kinestetik dalam pengajaran bacaan
serta tulisan. Kaedah ini jelas berteraskan gabungan deria penglihatan dan pendengaran dengan
tulisan (kinestetik). Melalui kaedah ini kanak-kanak dilatih untuk melihat dan menyebut perkataan
sambil menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya. Hasil tulisan akan dibandingkan dengan
perkataan asal. Aktiviti ini dilakukan berulang kali sehingga kanak-kanak dapat mengeja dan menulis
perkataan dengan betul.
Kaedah ini memerlukan masa pengajaran yang agak lama iaitu sekurang-kurangnya diadakan
lima kali sesi pengajaran seminggu selama dua tahun. Kaedah Gillingham berorientasikan pendekatan
fonetik yang menggunakan teknik surihan (tracing) untuk mengajar huruf tunggal dan bunyi yang
bersamaan dengannya. Ia memberi penekanan kepada enam kumpulan deria seperti:
V-a (visual audio) - Perkataan yang ditulis dan huruf-huruf yang dihubungkan dengannya. Kanakkanak tidak diperlukan menyebut huruf itu.

KBP3013 Murid-murid Pemulihan Khas dan Masalah Pembelajarn Khusus Disleksia / 96

A-v (auditori-visual) - Bunyi-bunyi huruf dan perkataan digabungkan dengan imej visual. Seperti
aktiviti ejaan.
A-k (auditori-kinestetik) - Bunyi-bunyi huruf dan perkataan digabungkan dengan pergerakan
kinestetik semasa menyebut dan menulis.
K-a (kinestetk-auditori) - Kanak-kanak dibantu menyurih (menekap) dan menulis bentuk huruf sambil
menyebut nama atau bunyi huruf tersebut.
V-k (visual-kinestetik) - Huruf cetak dan perkataan dikaitkan dengan pergerakan otot semasa bertutur
dan menulis.
K-v (kinestetik-visual) - Pergerakan otot semasa bertutur atau menulis dikaitkan dengan bentuk visual
huruf-huruf.
Melalui kaedah ini, membaca diajar dengan cara yang sistematik, kumulatif, urutan, dan
membina kemahiran menyahkod yang dapat membantu dan membimbing kanak-kanak menjadi
seorang pembaca yang fasih dan mahir. Kaedah ini juga boleh digunakan pada kanak-kanak normal
kerana arahan yang jelas, adalah baik untuk semua.

Pilih satu kaedah mengajar bacaan. Berdasarkan kaedah yang dipilih , sediakan satu perancangan
pengajaran yang teliti dan khusus bagi melaksanakan aktiviti tersebut .

RUMUSAN
Kebolehan sesorang kanak-kanak berbahasa berkait rapat dengan kebolehan mereka dalam
membaca dan menulis. Kemahiran membaca dan menulis adalah kemahiran asas yang perlu dikuasai
oleh setiap kanak-kanak kerana ia dapat menentukan pencapaian mereka dalam mata pelajaran yang
lain. Keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza dan guru hendaklah
memberi perhatian terhadap hakikat ini. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan
semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian
pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan bahan
bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang
teruk dan juga untuk kanak-kanak berkeperluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria sangat sesuai
digunakan.
Masalah bacaan adalah satu masalah yang sering berlaku dikalangan kanak-kanak pada
ketika ini tidak kira di sekolah rendah atau menengah. Ada beberapa faktor menyebabkan kanak-kanak
mengalami masalah membaca. Antara faktornya ialah disebabkan kebolehan kanak-kanak membaca
antaranya kemampuan mereka menguasai bahasa dan juga faktor persekitaran. Guru mestilah peka
dengan petunjuk-petunjuk tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanaknya kerana tingkah laku
tersebut menunjukkan kanak-kanak berkenaan menghadapi masalah dalam bacaan.

KBP3013 Murid-murid Pemulihan Khas dan Masalah Pembelajarn Khusus Disleksia / 97

Ada pelbagai jenis masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak pendidikan khas.
Pemilihan pendekatan pengajaran perlu bersesuaian dengan ketidakupayaan mereka. Setiap langkah
hendaklah diatur dan disusun dengan teliti supaya pelaksanannya berkesan. Pada permulaannya
kanak-kanak ini perlu diajar menguasai kemahiran-kemahiran asas bacaan terlebih dahulu supaya
pemerolehan kemahiran membaca mereka menjadi mantap. Guru tidak boleh hanya bergantung
kepada kaedah dan teknik tertentu sahaja kerana kerana penerimaan seseorang kanak-kanak
terhadap perkara yang diajar adalah berbeza antara satu sama lain.
Oleh itu, bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk, kaedah Gillingham
yang digolongkan sebagai pendekatan kinestetik sangat sesuai digunakan.

RUJUKAN
Jabatan Pendidikan Khas (2003c): Buku Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (Masalah
Penguasaan 3M). Malaysia. Percetakan Nasional Malaysia .
Philips, M and Philips, M.A (2005): The Ann Arbor Guide to Special Educational Needs. US. Ann
Arbor Publishers Limited.
Ashman, A and Elkins, J (1998): Educating children with special needs. (3rd edition). U.S.A. Prentice
Hall.
Isahak Haron. (2006). Awal Membaca Bahasa Melayu: Keberkesanan Kaedah Gabungan Bunyi Kata
Untuk Prasekolah dan Untuk Pemulihan. Tanjong Malim: UPSI.
Isahak Haron. (2006). Ujian Diagnostik Awal Membaca Bahasa Melayu. Tanjong Malim: UPSI.
Isahak Haron. (2006). Panduan Mengguna Ujian Diagnostik Awal Membaca dan Menulis Bahasa
Melayu. Tanjong Malim: UPSI.
Isahak Haron. (2006). Ujian Diagnostik Awal Menulis Bahasa Melayu. Tanjong Malim: UPSI.
McCusker, M. (1999). ERIC review: Effective elements of developmental reading and writing programs.
Community College Review, 27, 93-105.

Anda mungkin juga menyukai