Anda di halaman 1dari 3

Seorang usahawan muda telah menempa nama dalam perusahaan perabot.

Sebagai wartawan
sebuah majalah, anda diarahkan untuk mewawancara usahawan yang berkenaan. Isi wawancara
itu ialah tentang kegiatannya dalam bidang perusahaan perabot dan rancangan-rancangannya
pada masa akan datang. Tulislah wawancara anda itu selengkapnya.
***
Saya telah mendapat arahan daripada ketua editor untuk mewawancara seorang usahawan muda
yang telah berjaya menghasilkan perabot-perabot dan krafrangan hingga mendapat pasaran luar
negeri. Yang berikut ialah isi wawancara saya dengan usahawan tersebut, iaitu Encik Teo Hing
Seng.
Pemberita : Selamat sejahtera, Encik Teo.
Encik Teo : Selamat sejahtera. Silakan duduk.
Pemberita : Terima kasih. Terlebih dahulu rubuan terima kasih saya ucapkan kerana
kesudian Encik Teo untuk diwawancara. Bagaimanakah Encik Teo mula melibatkan diri
dalam bidang pembuatan perabot dan kraftangan ini?
Encik Teo : Sebenarnya, cita-cita saya ialah menjadi arkitek. Walau bagaimanapun, setelah
mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni halus dan perabot di Itali, saya
terpaksa melupakan cita-cita itu. Setelah menamatkan pengajian, minat saya untuk membuka
perniagaan sendiri dalam bidang ini begitu mendalam. Oleh sebab itulah, saya memberanikan
diri untuk membuka perniagaan dalam bidang ini.
Pemberita : Bagaimanakah timbulnya minat Encik Teo untuk melibatkan diri dalam
bidang ini?
Encik Teo : Pada mulanya saya kurang meminati bidang ini, tetapi setelah mengikuti pengajian
dalam bidang ini dan setelah melihat keindahan dan kehalusan pada barang-barang perabot dan
kraftangan, saya tertarik untuk mengusahakannya sendiri.
Pemberita : adakah Encik Teo sendiri yang membuka perniagaan ini?
Encik Teo : Pada mulanya bukan saya seorang saja yang terlibat dalam perusahaan ini. Saya
dibantu oleh tiga orang sahabat yang secara kebetulan mempunyai minat yang sama seperti saya.
Walau bagaimanapun, selepas setahun hanya tinggal saya seorang yang menguruskan perniagaan
ini sepenuh masa. Sahabat-sahabat saya telah membuka perniagaan masing-masing. Kini,
perniagaan ini saya miliki sepenuhnya. Saya dibantu oleh lima orang pekerja.

Pemberita : Apakah masalah yang Encik Teo hadapi ketika memulakan perniagaan ini
dahulu?
Encik Teo : Masalah utama ialah mendapatkan modal yang secukupnya. Namun begitu, masalah
ini dapat saya atasi melalui pinjaman bank. Masalah-masa lain termasuklah persaingan dengan
pengusaha perabot yang lain, kesukaran mendapatkan tenaga kerja yang mahir dan kreatif, dan
pasaran yang terhad juga. Namun demikian, masalah-masalah tersebut dapat saya atasi secara
beransur-ansur.
Pemberita : Saya yakin bahawa banyak orang yang kagum akan kejayaan Encik Teo .
apakah rancangan-rancangan Encik Teo pada masa yang akan datang?

Encik Teo : Saya bercadang untuk mengeksport perabot dan kraf tangan yang saya usahakan ini
ke luar negeri. Saya bercadang juga untuk mengajak pengusaha-pengusaha perabot dan kraf
tangan yang lain bergabung tenaga untuk menjayakan rancangan ini.
Pemberita : Adakah Encik Teo yakin bahawa rancangan ini akan berjaya dan mendapat
sambutan daripada masyarakat di luar negeri?
Encik Teo : Ya, saya yakin. Hal ini demikian kerana perabot-perabot yang saya hasilkan adalah
daripada kayu-kayan yang bermutu tinggi. Selain itu, saya percaya bahawa seni ukirnya yang
halus dan reka bentuknya yang unik akan menarik minat masyarakat luar untuk membeli perabot
yang saya usahakan ini.
Pemberita : Selain mengeksport perbot ke luar negeri, apakah rancangan lain yang
mungkin dijalankan?
Encik Teo : Saya bercadang juga untuk membuka cawangan kedai perabot di negara-negara
Asia, khususnya di Filipina, Brunie Darussalam, Jepun, dan Korea Selatan. Saya bercita-cita juga
untuk memperluas pasaran perabot ini hingga ke Amerika syarikat dan negara-negara Eropah.
Pemberita : saya mendapati bahawa Encik Teo mengutamakan perabot yang berbentuk
tradisional dan antik. Tidakkah Encik Teo bercadang untuk mengusahakan perabot
moden pula?
Encik Teo : Pada masa ini, saya lebih mengutamakan perabot berbentuk tradisional dan antik
kerana sambutan yang diberikan untuk perabot-perabot ini sungguh baik. Namun demikian, saya
bercadang juga untuk mempelbagaikan reka bentuk perabot tersebut pada masa akan datang.

Pemberita : Akhir sekali, apakah pesanan Encik Teo kepada pembaca majalah ini?
Encik Teo : Saya berharap agar mereka yang meminati bidang ini akan mengusahakannya
dengan sungguh-sungguh. Mereka perlu menjadi lebih kreatif juga. Tegasnya, kegigihan
seseorang itu akan menentukan kejayaannya dalam apa-apa bidang sekali pun.
Pemberita : Nampaknya setakat ini saja wawancara kita kali ini. Terima kasih sekali lagi kerana
Encik Teo sudi meluangkan masa untuk diwawancara.
Encik Teo : Sama-sama.

Anda mungkin juga menyukai