Anda di halaman 1dari 8

Tokoh Tempatan

1.0 Pengenalan
Setelah meneliti soalan tugasan untuk diselesaikan pada kali ini, kami secara
sepakat telah bersetuju untuk membuat kajian tentang seorang tokoh tempatan
yang belum dikenali umum namun tetap berjasa. Dalam perbincangan
seterusnya kami telah berjaya menyenaraikan tiga kategori tokoh untuk kami
pilih sebagai kajian kami. Kami telah kenalpasti seorang tokoh guru negeri
Kedah tahun 2005, seorang guru pondok dan seorang guru silat.
Setelah diperincikan lagi, kami telah sepakat untuk memilih guru silat sebagai
tokoh pilihan kami dalam kajian ini. Kami merasakan tokoh seperti ini tidak
begitu diendahkan oleh masyarakat sedangkan peranan mereka amat bermakna
sekali. Tambahan pula tokoh-tokoh yang zahirnya nampak amat biasa ini, kalau
tidak diselidiki betul-betul, mereka seolah-olah tiada keistimewaannya. Di
kawasan kami ini tidak ada lagi guru silat yang kami ketahui melainkan tokoh
yang kami pilih ini.
Bermulalah langkah seterusnya kami untuk menemu bual tokoh yang
dimaksudkan. Suatu petang kami bertiga telah ke tempat kediamannya, setelah
bertanya alamat dan mendapatkan petua untuk ke sana daripada orang-orang
kampung di situ. Malangnya tokoh tersebut tiada di rumah, tapi apa yang amat
menambat hati kami untuk meneruskan juga kajian tersebut apabila kami
ternampak ada galeri kecil di ruang depan rumahnya yang mempamerkan
berbagai-bagai gambar kenangan disamping artikel-artikel akhbar dan
dokumen-dokumen yang berkaitan dengan beliau. Kami meluangkan sedikit
masa untuk melihat bahan-bahan yang dipamerkan di situ.
Kami dicadangkan untuk datang pada waktu malam oleh anaknya kerana pada
kebiasaannya tokoh tersebut berada di rumah pada waktu malam.
Pada 09 Februari 2007, kami sekali lagi ke rumah tokoh tersebut, ternyata
malam itu kami amat bertuah kerana telah disambut dan dipersetujui untuk
menemu bual dengan beliau, walaupun temuramah kami sering diganggu
dengan tetamu yang lain atau panggilan-panggilan telefon. Kami yakin tokoh ini
memang hebat.
2.0 Latar Belakang Tokoh
2.1 Zaman Kanak-Kanak
Tokoh masyarakat yang telah berjaya kami kesan ialah Tuan Haji Hussain b Din
seperti di dalam Mykad yang ditunjukkan kepada kami. Namun bagi masyarakat
setempat nama Haji Ismail Silat Gayong adalah lebih popular. Nama Ismail
diberikan oleh nenek beliau ketika beliau berusia lebih kurang 2 tahun,
kononnya ketika masih bayi Tuan Haji Hussain selalu menangis tanpa diketahui
sebabnya. Fahaman orang tua-tua ketika itu, bayi yang kerap menangis kerana

nama yang diberikan kepadanya adalah tidak sesuai dan perlu diberikan dengan
nama yang lain.
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah dilahirkan pada tahun 1938 di
Kampong Permatang Tinggi, Bertam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Tarikh lahir
yang tepat tidak diketahui kerana tiada dokumen bertulis seperti sijil kelahiran
sebagai bukti. Ayahandanya Din bin Hussin berasal dari kampung tersebut. Pada
tahun 1941 ketika berusia kira-kira 3 tahun beliau telah mengikut ayahanda dan
bondanya meninggalkan kampung tanah kelahirannya di Permatang Tinggi, lalu
berhijrah ke Kampung Limbong, Mukim Langgar, Alor Star, Kedah.
Ketika berusia 7 tahun, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, seperti kanakkanak yang lain telah melangkahkan kaki ke alam persekolahan. Beliau
memasuki darjah satu di Sekolah Kebangsaan Langgar, Alor Star. Sekolah
tersebut masih wujud hingga kehari ini dengan wajah yang serba baru lagi
selesa. Beliau belajar di sekolah tersebut sehingga ke darjah empat sahaja.
Kemudiannya beliau telah berpindah dan balik semula ke kampung halamannya
yang asal di Permatang Tinggi dan tinggal bersama dengan datuk dan nenek
yang disayangi. Namun ibu dan bapa serta adik beradik yang lain terus menetap
di Kampung Limbong, Langgar. Beliau menyambung persekolahannya hingga ke
darjah 6 di sekolah yang berhampiran dengan rumah datuknya.
Seterusnya Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah melanjutkan pelajaran
peringkat menengah di Sekolah Agama Daeratul Maarif Al Wataniah (DMW),
Kepala Batas, Pulau Pinang. Selepas tiga tahun belajar di peringkat menengah di
situ, beliau telah kembali semula ke pangkuan ayahanda dan bondanya di
Kampung Limbong, Langgar kerana datuknya telah kembali ke rahmatullah. Di
sini ayahandanya telah menghantar Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail
meneruskan pengajiannya secara pondok, di Pondok Syeh Abdullah, Langgar.
2.2 Latar belakang Persilatan
Ketika usia mencecah remaja dan sudah mampu berdikari, dengan berat hati
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah menyampaikan hasrat hatinya
kepada kedua ayahanda dan bonda yang sangat dikasihi untuk membawa diri
mencari rezeki di tempat orang. Menurut Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji
Ismail, bondanya Hajah Habsah bt Hj Jaafar amat keberatan untuk melepaskan
anak jejakanya yang masih lembut ubun-ubun membawa diri berkelana,
memperjudikan nasib di tempat orang. Sebaliknya, ayahanda Tuan Haji Hussain
atau Tuan Haji Ismail langsung tidak menunjukkan rasa ragu terhadap hasrat
hati yang telah diluahkannya itu. Barangkali ayahandanya yakin dengan bekalan
ilmu agama yang telah ditimba oleh anaknya.
Suatu pagi yang penuh syahdu dalam tahun 1955, selepas bersalaman dan
berpeluk-pelukan dengan semua ahli keluarga terdekat, rakan sepermainan
serta jiran tetangga, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah nekad untuk
ke Kota Singapura. Jauh di lubuk jiwa ketika itu ialah ingin memasuki
perkhidmatan Tentera British atau lebih dikenali British Army. Benarlah kata

cerdik pandai, kita hanya merancang, tapi Allah jua yang menentukan. Hati kecil
terguris dan menangis sendirian kerana pekerjaan yang diidamkan ditolak
permohonannya, dengan alasan Tanah Melayu sudah hampir mencapai
kemerdekaan. Walaupun tidak begitu jelas maksud kemerdekaan pada ketika
itu, namun hati kecil sedikit terubat apabila masyarakat setempat mula
membicarakan bahawa Inggeris akan menyerahkan Tanah Melayu kepada anak
bangsanya sendiri.
Di Kota Singapuralah tempat yang pada mulanya menghancur luluhkan
perasaannya, telah menjadi detik permulaan Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji
Ismail terlibat dalam dunia persilatan melayu. Oleh kerana tidak mendapat kerja
yang dipohon, maka tidak ada apa yang hendak dilakukan, sehinggalah pada
suatu hari beliau telah menjinakkan diri untuk belajar Seni Silat Gayong di Jalan
Kayu Seleta, Singapura sebagai memenuhi masa yang terluang.
Setelah berguru lebih kurang 2 tahun, ketika Tanah Melayu di ambang
kemerdekaan, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah mengambil
keputusan untuk kembali semula kepangkuan keluarga di kampung.
Beberapa tahun kemudian, kira-kira pada tahun 1963, dengan berkat rezeki
yang Allah swt berikan, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, telah berjaya
menunaikan haji di Tanah Suci Mekah. Sekembalinya dari menunaikan fardu haji
yang menjadi rukun Islam yang kelima, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail
kembali menetap Permatang Tinggi, Seberang Perai untuk menemani nenek
yang tinggal keseorangan. Di sini beliau telah menyambung belajar Seni Silat
Gayong dengan seorang guru silat yang hebat iaitu Tuan Guru Datuk Meor Abdul
Rahman b Daeng Mohd Hashim. Tuan Guru Datuk Meor Abdul Rahman b Daeng
Mohd Hashim juga adalah merupakan pengasas kepada Pertubuhan Seni Silat
Gayong Malaysia. Selepas 3 tahun berguru dengan Tuan Guru Datuk Meor Abdul
Rahman b Daeng Mohd Hashim beliau sekali lagi kembali ke kampung halaman
tempat beliau dibesarkan. Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Tuan Haji
Hussain atau Tuan Haji Ismail telah mengorak langkah membuka gelanggang
untuk mengajarkan ilmu mempertahankan diri kepada anak-anak remaja
tempatan. Keazaman ini lahir kerana semasa peristiwa 13 Mei tersebut , beliau
dapat merasakan bahawa anak bangsanya sangat lemah dalam
mempertahankan diri dan mereka perlu didedahkan dengan ilmu
mempertahankan diri. Bermula dari tarikh tersebut hinggalah ke hari ini, Tuan
Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail masih aktif meneruskan kewajipannya itu.
2.3 Selepas Berkahwin
Latar belakang Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, banyak sekali yang perlu
dimuatkan di sini kerana hampir semuanya menarik. Tuan Haji Hussain atau
Tuan Haji Ismail, telah mendirikan rumah tangga sebanyak empat kali dan
dikurniakan seramai lapan orang cahaya mata. Perkahwinan yang pertama
beliau dengan Siti Aminah bt Yaacob seorang gadis dari Seberang Perai. Jodoh
mereka tidak panjang, selepas menimang seorang putera, isteri tercinta telah

menghembuskan nafasnya terakhir. Mendudalah Tuan Haji Hussain atau Tuan


Haji Ismail buat seketika.
Kemudian beliau bertemu pula jodohnya dengan Siti Zubaidah bt Hashim tetapi
jodoh mereka juga tidak panjang, kerana tiada persefahaman, mahligai yang
dibina tidak mampu bertahan. Mereka berpisah cerai selepas mendapat seorang
putera. Selang tidak berapa lama, buat kali yang ketiganya beliau dijodohkan
dengan gadis jelita Siti Fatimah bt Osman. Peristiwa lalu berulang lagi, Siti
Fatimah juga pergi buat selama-lamanya mengadap Ilahi selepas
memputerakan seorang zuriat buat ditinggalkan untuk mengubat kesunyian
suami tercinta.
Kata orang tua-tua jodoh Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail ringan. Beliau
dipertemukan jodoh dengan seorang gadis kampung yang sopan, Siti Aminah bt
Mahmud. Bersamanya Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, hidup bahagia
melayari bahtera rumah tangga hingga ke hari ini dengan dikurniakan lima
orang cahaya mata.
Begitulah sedikit sebanyak latar belakang tokoh yang kami kagumi ini. Di
samping itu, tokoh yang kami tonjolkan ini memiliki beberapa keistimewaan
yang lain, yang tidak berkaitan dengan dunia persilatan.
3.0 Keistimewaan tokoh
Dari temubual, pemerhatian dan lawatan kami ke galeri kecil di rumahnya, Tuan
Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, sebenarnya seorang tokoh masyarakat yang
memiliki beberapa keistimewaannya yang tersendiri.
3.1 Dalam Seni Silat Gayong
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah berguru secara langsung dengan
pengasas Pertubuhan Seni Silat Gayong iaitu Tuan Guru Datuk Meor Abdul
Rahman b Daeng Mohd Hashim.
Seterusnya Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail pula telah membuka
gelanggang dan mengajarkan seni silat gayong selama 38 tahun iaitu bermula
tahun 1969.
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail sedang menyumbangkan khidmatnya di
9 buah sekolah menengah dan 4 buah sekolah rendah di sekitar Alor Star, di
samping mengadakan perhimpunan mingguan di rumahnya pada setiap malam
Jumaat sejak tahun 1969 hingga ke hari ini tanpa ada minggu yang terkecuali.
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail tidak mengenakan sebarang yuran
bulanan kepada mereka yang datang belajar di rumahnya dan mengenakan
yuran sebanyak RM5.00 kepada setiap pelajar bagi sekolah-sekolah yang
diajarnya. Yuran itu pula diberikan kepada tenaga pengajar atau jurulatih yang
membantunya.
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail juga telah mengadakan Majlis Mandi
Minyak secara tahunan dengan menjemput bekas murid-muridnya, masyarakat
setempat dan orang kenamaan tempatan untuk sama-sama melakukan upacara

mandi minyak tersebut. Mandi minyak tersebut boleh menjadikan seseorang


yang sihat terus sihat dan yang berpenyakit sembuh daripada sakitnya dengan
izin Allah.
3.2 Sebagai Guru Quran
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail juga berkebolehan mengajar Al Quran.
Tanggungjawab ini dipikulnya serentak dengan tugas mengajarkan ilmu
persilatan. Beliau mengajarkan Al Quran kepada orang dewasa dari rumah ke
rumah pada zaman mudanya, di samping mengajarkan kanak-kanak sekolah di
rumahnya yang sebahagiannya telah dijadikan surau. Sejak kebelakangan ini
oleh kerana kekangan masa, beliau tidak lagi keluar mengajar Al Quran dari
rumah ke rumah.
`3.3 Sebagai bilal
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah menjadi bilal di Masjid Limbong
yang letaknya kira-kira 500 meter dari rumahnya sejak masjid tersebut dibina
kira-kira 15 tahun yang lalu. Sekarang usia beliau telah mencecah 69 tahun,
namun beliau tetap mampu melaungkan azan dengan baik.
3.4 Kesihatan yang baik
Menurut Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, sehingga sekarang beliau
bebas daripada sebarang penyakit yang dihidapi oleh kebanyakan rakan-rakan
yang seusia dengannya, seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, masalah
jantung dan sebagainya. Sepanjang hayatnya beliau tidak pernah dimasukkan
ke wad hospital kecuali semasa terlibat dalam kemalangan jalan raya. Lebih
mengkagumkan diusia emas sebegini, pada setiap malam Jumaat beliau akan
mula mengajarkan murid seniornya pada jam 11.00 atau 12.00 malam dan
berlarutan hingga jam 2.00 pagi. Namun kesihatan beliau masih lagi boleh
bertahan.
3.5 Tukang Urut
Dengan merendah diri beliau mengaku, bahawa beliau juga boleh
menjadi tukang urut apabila anak-anak buahnya tercedara seperti terseliuh atau
bengkak anggota tertentu ketika menjalani latihan. Di samping itu beliau juga
boleh mengubati masalah lemah tenaga kelakian. Beliau menafikan
kemampuannya untuk mengubati patah tulang, walaupun ada cerita yang
beliau mampu melakukannya.
3.6 Galeri dan Surau
Tokoh ini memang hebat dan istimewa apabila beliau telah menjadikan
sebahagian daripada rumahnya sebagai surau dan galeri yang mempamerkan
gambar-gambar,keratan-keratan akhbar serta dokumen-dokumen yang
diperolehi sepanjang penglibatan beliau dalam Pertubuhan Seni Silat Gayong.
3.7 Jemputan Persembahan dan Pertunjukkan
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail pernah dijemput untuk mengadakan
persembahan dan pertunjukkan di majlis-majlis perasmian yang dihadiri oleh
orang-orang kenamaan. Beliau pernah membuat persembahan atau

pertunjukkan di Stadium Bukit Jalil dan pernah berbuat demikian di Istana Anak
Bukit, Alor Star, Kedah atas jemputan pihak istana.
3.8 Kelab Vespa
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail juga menyertai Kelab Vespa Alor Star,
kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Beliau memiliki sebuah Vespa antik yang
berusia sekitar 20 tahun. Bagi Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail,
menunggang Vespa ke Sungai Petani, Butterworth dan sekali sekala ke Taiping
secara sendirian atau berkonvoi satu riadah yang mengasyikkan.
3.9 Jawatan Politik
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, juga terlibat dalam politik dan pernah
menjawat beberapa jawatan dalam sebuah parti politik di peringkat Cawangan.
Sekarang beliau masih memegang jawatan Timbalan Pengerusi atau Timbalan
Yang DiPertua.
3.10 Meminati Bola Sepak
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail juga amat meminati permainan bola
sepak. Minat tersebut telah menyebabkan beliau pernah menjadi Pengurus
Pasukan Putera Perdana Limbong suatu ketika dahulu, dan pasukan tersebut
pernah menjelajah hingga ke negeri Perlis.
4.0 Sumbangan Kepada Negara
4.1 Mengekalkan Warisan Bangsa
Dizaman globalisasi ini, semakin hari semakin banyak seni warisan bangsa
seperti silat, wayang kulit, makyong, dan seumpamanya lagi telah mula
dilupakan oleh masyarakat. Malah ramai generasi muda sekarang sudah tidak
mengenali lagi seni warisan kebanggaan datuk nenek mereka dahulu. Namun,
kita patut berbangga kerana masih ada lagi orang seperti Tuan Haji Hussain
atau Tuan Haji Ismail, yang sanggup meneruskan usaha dan mempertahankan
salah satu seni warisan bangsa kita supaya tidak pupus ditelan arus kemajuan
yang sedang menghambat dan menghimpit kehidupan kita. Aktiviti silat ini
adalah merupakan warisan pusaka bangsa melayu dan negara sejak ratusan
tahun yang lalu. Silat melayu secara umumnya merujuk kepada silat yang
terdapat dalam masyarakat melayu di Semenanjung Tanah Melayu.
4.2 Seni Mempertahankan Diri
Seterusnya Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, telah menyumbangkan
kepada masyarakat setempatnya seni silat gayong tersebut sebagai salah satu
seni mempertahankan diri yang amat sinonim dengan masyarakat Melayu suatu
ketika dahulu. Sekiranya langkah tersebut tidak dipikul oleh Tuan Haji Hussain
atau Tuan Haji Ismail, kami yakin masyarakat kita telah kehilangan sesuatu yang
berharga yang ditinggalkan sebagai pusaka bangsa. Seni silat gayong atau seni
silat Melayu untuk mempertahankan diri ini semakin diambil alih tempatnya
dengan ilmu mempertahankan diri yang lain, seperti tea kwando, judo, karate
dan sebagainya. Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail sedaya mampu ingin

mempertahankannya, dan yang merunsingkan kita juga hanya beliau sahaja


yang masih bertahan mengajarkan ilmu persilatan melayu di kawasan ini.
4.3 Mendidik Remaja
Sumbangan seperti mendidik anak-anak remaja menjadi insan yang berakhlak,
menghargai kesenian warisan, menggunakan masa lapang dengan aktiviti yang
berfaedah telah berjaya diterapkan oleh Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail,
kepada ribuan anak-anak remaja semenjak 38 tahun yang lalu. Melalui silat juga
dapat dipupuk semangat jati diri di kalangan remaja. Mereka mesti yakin dan
berpendirian silat gayong merupakan lambang keperibadian bangsa dan seni
budaya melayu yang sudah sebati dalam jatuh bangun kerajaan melayu
sepanjang zaman
4.4 Mencegah Masalah Sosial Remaja
Para remaja yang melibatkan diri dengan seni silat gayong ini, secara
keseluruhannya tidak terlibat dengan masalah sosial yang hebat melanda
mereka. Ini memang ditekankan oleh Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail
kepada anak-anak muridnya. Dalam persilatan melayu banyak pantang larang
yang perlu dipatuhi oleh sesiapa sahaja yang ingin mendalaminya. Melalui silat
secara tidak langsung telah mendisplinkan seseorang supaya tidak terlibat
dengan perkara-perkara yang tidak diingini, seperti maksiat, pergaduhan serta
masalah sosial yang lain.
4.5 Pembinaan Insan berdisplin
Semua jenis silat memang memfokuskan kepada disiplin individu yang tinggi.
Seseorang yang tidak berdisiplin tidak mungkin dapat mempelajari atau
mengikuti setiap ilmu yang disampaikan oleh para jurulatih atau guru mereka.
Ini bermakna peranan Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, dalam
membentuk disiplin anak-anak muda di kawasan ini adalah amat berharga
sekali. Sekaligus anak-anak muda yang terlibat dengan dunia persilatan ini
sudah terbiasa dengan amalan yang berdisiplin dan ini membantu mereka untuk
mengekalkan disiplin diri dalam setiap masa dan ketika.
4.6 Kemantapan Rohani
Seni silat gayong sangat berkait rapat dengan agama islam, banyak sekali doadoa dan amalan yang diajarkan bersangkut paut dengan pegangan agama.
Sehinggakan semua yang dilarang oleh agama Islam juga adalah dilarang dalam
seni silat gayong. Secara tidak langsung semua murid beliau juga mendapat
ilmu agama untuk memantapkan aqidah dan kepercayaan serta mengamalkan
akhlak Islam yang menjadi tunjang dalam ilmu persilatan Melayu khasnya seni
silat gayong.
Dalam agama Islam kitab suci Al Quran adalah panduan hidup di dunia dan
akhirat. Sebelum memahami kandungan Al Quran, adalah menjadi kewajipan
bagi umat Islam untuk menguasai bacaan Al Quran dengan baik. Sebagai guru
Al Quran, sumbangan Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail adalah merupakan
satu sumbangan yang tinggi nilainya.

4.7 Riadah Bermanfaat


Selain daripada sebagai seni mempertahankan diri, seni silat gayong juga
merupakan salah satu cara untuk melakukan riadah atau senaman yang
berkesan. Ini dapat dibuktikan oleh Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail,
ketika usianya mencecah 69 tahun, beliau masih sihat dan bebas dari segala
penyakit.
5.0 Penutup
Tuan Haji Hussain bin Din atau yang lebih dikenali dengan Haji Ismail Silat
Gayong adalah antara ribuan tokoh masyarakat yang tidak pernah diberikan
pengiktirafan oleh mana-mana pihak terhadap jasa dan bakti mereka terhadap
agama, bangsa dan negara. Bagi orang seperti Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji
Ismail, sumbangan mereka kepada masyarakat bukan untuk mendapatkan apaapa ganjaran, jauh sekali untuk mencari gelaran dan pengiktirafan. Keikhlasan
mereka untuk menyumbangkan jasa hanya semata-mata sebagai
tanggungjawab kepada masyarakat. Mudah-mudahan kita berharap akan lahir
dan kekallah tokoh-tokoh kecil
seperti ini yang akan menyumbang dan seterusnya mempertahankan warisan
bangsa daripada ditelan zaman. Semoga Allah memberkati usaha beliau dan
mendapat ganjaran pahala atas amal bakti beliau selama ini.

RUJUKAN
Temubual : Haji Hussain Din (09/02/2007). Guru Seni Silat Gayong.
Pemerhatian: Ruang Pameran (Galeri) (07/02/2007). No 57 Gelanggang Seni
Silat Gayong, Limbong.
Pendekar Muslim.(12/06/2006). Allahyarham Datuk Meor Abd Rahman. [Online].
http://www.geocities.com/gayong_utmkl/mahaguru/html. [12 Februari 2007]
Pendekar Muslim (26/11/2006). Silat Gayong. [Online].
http://www.wikipedia.org/wiki/silat_Gayong. [12 Februari 2007].
Seni Silat Gayong Malaysia Hulu Langat (tiada tarikh). [Online].
http://ulu_langat.idesa.net.my/budaya.html#gayong. [12 Februari 2007]

Anda mungkin juga menyukai