Anda di halaman 1dari 4

"KE pangkuan kekanda kesumaku Laksamana Hang Tuah, satria bumi Melaka yang bertuah.

Maafkan adinda, sekiranya kehadiran perutusan ini sedikit mengganggu jeda senggang kekanda.
Barangkali juga perutusan ini mengganggu tugas kanda yang sibuk dengan tanggungjawab
menjaga kemakmuran negeri Melaka.

Kekanda,

Perutusan ini adalah perutusan rahsia adinda. Perutusan yang tercoret padanya tinta kasih dan
rindu kepada kekanda yang sentiasa bertakhta di hati adinda pada setiap jeda waktu yang ada.
Perutusan ini telah adinda coretkan ketika Paduka Baginda Sultan menghadiri satu sidang
musyawarah bersama-sama pedagang Benggali Putih di teratak Datuk Seri Bendahara Di Raja.
Maka, jeda waktu yang begitu berharga buat adinda seperti ini telah adinda manfaatkan untuk
mencoretkan perutusan buat kekanda sementelah dayang-dayang adinda ripuh menyiapkan air
bilasan untuk adinda bersiram yang diperbuat daripada 99 kuntum mawar sulung yang mekar di
taman larangan istana dan 99 kelopak tulip yang dihadiahkan oleh pedagang Belanda dari Majapahit
kepada Baginda Sultan.

Duhai Kekanda,

Bilakah serasanya kekanda mahu kembali bersua dengan adinda? Memadu kasih setelah teracun
rasa rindu nan jerih. Wahai kesuma jiwaku, usahlah kekanda gusar untuk bersua dengan adinda.
Barangkali muslihat yang sama ketika kita bertemu secara sembunyi di rumah inang pengasuh
adinda ketika di Pahang dahulu boleh kita amalkan buat kesekian kalinya. Barangkali kebijaksanaan
Dang Ratna, inang pengasuh adinda di sini melebihi kepintaran Dayangku Sita yang membenarkan
adinda menyusup keluar dari istana Bendahara Pahang dahulu, akan tetapi, sebagai srikandi Melaka
yang kini memegang sebahagian tampuk kuasa di istana yang agam ini, adinda yakin segalagalanya akan menjadi lebih mudah lalu dapatlah adinda melepaskan dendam rindu adinda terhadap
kekanda.

Kekanda Hang Tuah,


Apakah perkhabarannya dengan Hang Jebat sekarang? Hampir sepurnama adinda tidak bersua
dengannya, ketika keramaian perkahwinannya dengan Dang Baru menjadi sua terakhir antara kami.
Kanda, sudahkah kalian berdua berdamai setelah Jebat bermati-matian menyanggah hasrat
kekanda untuk melarikan adinda dari Pahang dahulu? Berpeganglah kepada resmi air. Dicincang
lumat tak akan putus, rawan tersemat, segeralah dihapus. Ibarat menarik rambut dalam tepung,
rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, umpama menghunus keris tika berguru, pencak
serius atma biarlah kudus. Usah kerana adinda yang seorang ini, kekanda berdua berhunus keris
dan mencipta rangkai sengketa bersaudara. Jika ini berlaku, kelak buruk akibatnya terhadap
kemakmuran bumi Melaka.

Kesuma jiwaku,
Usai bersantap bersama paduka Baginda Sultan selepas terbit fajar siddiq tadi, dinda telah
menerima selayang perutusan berlagu pilu daripada adinda Tun Zainal. Adinda bongsu dinda yang
seorang itu menyampaikan perkhabaran bahawa ayahanda adinda, Bendahara Seri Amar Diraja
sudah hampir sepurnama gering. Santap dan minumnya tidak lagi sering. Puas diorak pawangpawang seluruh negeri dan tabib alim dari negeri Arab sana, namun kegeringan ayahanda tetap
tidak mahu kebah. Kanda, Tun Zainal merafak sembah kepada adinda agar pulang untuk mencemar
duli untuk menjenguk ayahanda, akan tetapi adinda bimbang sekiranya hasrat adinda ini
dipanjangkan kepada Baginda Sultan, adinda akan dimurkai oleh baginda. Bukankah sejak kekanda
melarikan adinda dahulu Pahang dan Melaka sudah hampir-hampir saja mencipta perang sengketa,
namun oleh kerana kebesaran daulat duli Tuanku serta betapa gagahnya armada pendekarpendekar di Melaka, maka hasrat ayahanda untuk menyerang Melaka terpaksa dibatalkan,
sementelah baginda Sultan Terengganu pula mula memusuhi Pahang kerana dikatakan memungkiri
janji kerana membiarkan adinda terlepas ke tangan baginda Sultan Melaka. Seperti yang pernah
kekanda nyatakan kepada adinda dahulu, Terengganu, Terengganunya, Pahang, Pahangnya.
Dengan kebesaran daulat yang dimiliki oleh Baginda Sultan Melaka, maka usahlah kita rakyat
marhaen ini berhajat menggaris murka di hati baginda.

Kanda,
Hati adinda tidak keruan lantaran berbelah bahagi sama ada menjalankan tanggungjawab adinda
sebagai seorang anak yang tidak pernah menggarit garis luka, atau menumpahkan taat setia
kepada suami tercinta yang hakikatnya tidak pernah sekali pun adinda serahkan cinta ini
kepadanya. Cinta kepada ayahanda dan bonda adalah jambatan ke syurga, tetapi andai kepada

suami ditumpahkan taat setia, maka kasturi syurgalah juga aroma amalan kita. Apakah yang perlu
adinda lakukan kanda? Kolek cinta teroleng-oleng di muara jiwa, sedang di lubuk hati hanya arus
kasih kekanda yang masih deras bergelora. Adakah ini yang dikatakan cinta? Berkorban apa sahaja,
harta atau pun nyawa itulah kasih mesra lambang cinta yang sejati dan mulia.

Satria Hatiku,
Ketahuilah, erti perutusan ini sangat mendalam. Perutusan ini adalah nukilan rasa hati adinda yang
tidak keruan ketika ini. Terperangkap dan terjerlus di dalam beting perasaan yang terselut antara
kekeliruan cinta setia kepada suami dan cinta sejati terhadap arjuna yang bertakhta di hati. Kanda,
pada hakikatnya, bukanlah adinda mahu benar menjadi permaisuri. Bertakhta di singgahsana emas,
sedangkan bahtera perasaan dinda sendiri semakin lemas. Percayalah kanda, hanya kanda raja di
hati, dan selama-lamanya bersultan di sanubari. Akan tetapi, inilah takdir yang tidak dikarang.
Berkasih dan bersayang, berkorban apa saja meski kelak nyawa sendiri pipih melayang. Adinda
tidak bisa menyesali apa yang sudah terjadi kini. Kerana adinda sendiri yang memilih jalan berliku
ini. Kasih di hati buat sang marhaen arjuna, tetapi setia dicurahkan buat baginda yang mendaulati
segala-galanya.

Kekandaku Hang Tuah, Satria Bumi Melaka,


Saat ini, adinda terkenangkan pelayaran sandera kita dahulu. Pelayaran yang cukup manis dan
meninggalkan kenangan yang cukup bermakna buat adinda. Kolek, pinisi, layar dan lancang Melayu
Terengganu membawa kita meredahi lautan duga sambil menggenggam erti seraut cinta. Ya, adinda
membuat keputusan untuk merelakan kekanda melarikan adinda kerana adinda yakin pada tulus
cinta kita, meski ketika itu adinda sudah pun ditunangkan dengan raja muda Paduka Sultan
Terengganu. Ketahuilah kekanda, pada mulanya adinda menyangka bahawa hasrat kekanda mahu
melarikan adinda dari negeri Pahang adalah kerana cinta dan hasrat kekanda untuk
memperisterikan adinda. Kedaulatan bumi Melaka dan seisinya menarik minat adinda untuk
mengikut kekanda walau adinda sendiri tidak pasti apakah bentuk kepayahan yang bakal adinda
tempuhi sepanjang pelayaran kita nanti. Namun, apabila kekanda menyatakan bahawa tujuan
kekanda melarikan adinda adalah untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, adinda mula
terfikir kewajaran adinda menuruti kekanda.

Kanda,
Demi cinta adinda terhadap kekanda, adinda turuti segala-galanya. Ketika itu, meski luluh jiwa dan
perasaan adinda lantaran terasa dikhianati oleh kepercayaan yang diberikan atas nama cinta,
adinda turuti jua kehendak kekanda. Kanda, ketika kanda memberikan sirih jampi kepada adinda
dengan niat agar adinda dapat melupakan kanda keesokan hari, ketahuilah bahawa adinda tidak
sedikit pun menjamah sirih jampi itu. Adinda tahu, jika adinda memakan sirih jampi itu, seluruh
ingatan, rasa cinta dan gelora rindu adinda terhadap kekanda akan lenyap sama sekali. Adinda tidak
mahu kehilangan kanda, arjuna yang pertama dan selama-lamanya bertakhta di lubuk sukma
adinda.

Kekanda,

Beberapa waktu kebelakangan ini juga, adinda mencurigai tingkah Tun Lading, pengawal turus
kanan yang menjaga gerbang utama laut Melaka. Beliau kelihatan sangat akrab dengan pedagang
Benggali Putih yang mahu berdagang di Melaka. Bukanlah adinda mencurigai kesetiaan Tun Lading,
tetapi adat Melayu santun berbahasa, musuh di selimut haruslah waspada. Adinda gusar melihat
keakraban Tun Lading bersama pedagang Benggali Putih yang dikenali sebagai De Squera itu kerana
khuatir kalau-kalau semua ini adalah pakatan muslihat mereka untuk mengkucar-kacirkan
kemakmuran negeri Melaka. Seperti pesan orang-orang tua: pukul gendang bermain rebab, jangan
sampai mulut menguap, ungkal anak nakal tersilap, baik musuh merangka musabab. Adinda
bimbang kalau-kalau semua ini adalah helah muslihat sang dedalu luar yang mahu menguji
kemakmuran dan kedaulatan negeri Melaka.
Aduhai Kesuma Jiwaku,

Saat ini adinda terkenangkan saat pertemuan pertama kita dahulu. Siapa sangka, suatu hari nanti
adinda akan bertemu dengan Laksamana Hang Tuah yang sebelum itu hanya adinda penuhi hati ini
dengan hanya memuja kebentaraannya. Serasanya agak lucu, apabila teringatkan keletah
Dayangku Sita yang telah terlupa untuk bertanyakan nama kekanda, sedangkan pada sebelah
petang sebelumnya, Dayangku Sita telah bersetuju untuk mengambil kekanda sebagai anak
angkatnya setelah kekanda hanya bermodalkan nasib anak dagang Melaka yang terbuang.
Sehinggalah pada sebelah malam keesokan harinya, kita bersua empat mata di pesta Joget Pahang,
dan saat itulah hati adinda telah tertawan dengan kesantunan dan kerendahan diri kekanda. Ingat
lagikah kanda, pada keesokan malamnya kita berkisah tentang erti cinta dan rindu? Berkisah
bahawa setiap cinta itu memerlukan pengorbanan yang jitu? Bahawa setiap rindu itu harus diuji
getarnya. Bahawa bahtera kasih itu perlu diuji layar percayanya, dan yang lebih manis semestinya
minhaj bahawa cinta itu belum tentu perlu bersatu jasadnya. Ingatkah lagi kekanda?

Satria Hatiku,
Fahamilah bahawa perutusan ini adalah perutusan rindu yang tiada lagi bisa bersatu. Fahamilah
bahawa takdir cinta kadangkala tidak tertulis untuk kita. Andai lara rasa yang bakal menyusul,
biarlah. Andai seksa rindu yang berkunjung, biarlah. Biarlah andai setia ini goyah setelah diuji resah
dan gelisah yang parah. Serahkan segalanya kepada sejarah. Agar di situ tertulis riwayat dan
hikayat berdarah yang menjadi saksi pengorbanan cinta Tun Teja buat Hang Tuah.
INFO
ZULFAZLAN Jumrah, ahli Persatuan Penulis-Penulis Johor (PPJ) adalah peserta Minggu Penulis
Remaja 2006 (MPR 2006) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau terbabit dalam genre
cerpen, puisi dan novel. Karya
penuntut Bacelor Pendidikan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama (PBMP), Universiti Putra
Malaysia, ini, pernah mendapat tempat dalam Dewan Sastera, Berita Minggu, Mingguan Malaysia,
Skor, Tunas Cipta dan Jendela Selatan. Novel sulungnya, Takdir Belum Tertulis diterbitkan Penerbit
Ilmu Bakti Sdn Bhd.

Anda mungkin juga menyukai