Anda di halaman 1dari 4

Nota Kuliah PSV 3053 Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual

4 Bidang Pendidikan Seni Visual


Kandungan Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual Sekolah Rendah disusun
dalam empat bidang kegiatan iaitu:

1. Menggambar
2. Membuat Corak dan Rekaan
3. Membentuk dan Membuat Binaan
4. Mengenal Kraf Tradisional
Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu pemerhatian secara
aktif, interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni
visual serta menghargai nilai baik. Pengajaran akan dilakukan secara bersepadu.
1. Menggambar
Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta
kemampuan murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar
dengan pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur,
imbangan dan komposisi. Antara kegiatan dalam bidang ini ialah:
1.1 Lukisan
1.2 Catan
1.3 Kolaj
1.4 Montaj
1.5 Cetakan
1.6 Resis
1.7 Gosokan
1.8 Stensilan
1.9 Percikan
1.10 Gurisan
1.11 Capan
1.12 Mozek
1.13 Poster
Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri.
Kegiatan menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali
pelbagai alat, bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan
memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan.
Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi fokus kegiatan
menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan
kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan

kesannya. Ini akan membolehkan murid menyelaras apa yang dilihat dan dialami
dengan apa yang dilakukan melalui gubahan. Aspek apresiasi hasil kerja
diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam
pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

2. Membuat Corak dan Rekaan


Bidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara
untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain.
Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana mana hasil
daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya.
Corak terhasil daripada pelbagai teknik dan cara. Antaranya melalui kegiatan
seperti:

2.1 Corak tidak terancang secara:


2.1.1 Pualaman
2.1.2 Tiupan
2.1.3 Titisan
2.1.4 Ikatan dan celupan
2.1.5 Renjisan dan percikan
2.2 Corak terancang secara:
2.2.1 Lukisan
2.2.2 Catan
2.2.3 Cetakan
2.2.4 Capan
2.2.5 Lipatan dan guntingan
2.2.6 Resis
2.2.7 Kolaj
2.2.8 Kaligraf
Bidang ini membolehkan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam
alam dan kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal
motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini
memberi peluang kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak
terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apresiasi
hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh
dilakukan dalam pelbagai cara seperti pergerakan, peragaan dan lakonan.
3. Membentuk dan Membuat Binaan

Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek


seni dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berpandukan
aspek tersebut murid dapat memahami dengan lebih jelas bila mereka
membentuk dan membina sesuatu model. Bidang kegiatan membentuk dan
membuat binaan juga mendedahkan murid dengan penggunaan pelbagai bahan,
alat dan teknik penghasilan. Ini memberi peluang kepada murid berinteraksi
secara kreatif dengan alat dan bahan, semasa menjalankan proses penghasilan
seni. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan tiga dimensi
merangkumi aktiviti seperti:
3.1 Arca timbul
3.2 Asemblaj
3.3 Mobail
3.4 Stabail
3.5 Model
3.6 Diorama
3.7 Boneka
3.8 Topeng
3.9 Origami
Kegiatan membentuk dan membuat binaan memberi peluang kepada murid
membuat rujukan kepada objek sebenar. Perbandingan ini akan memberi
kesedaran bahawa idea dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna. Aspek
apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini
boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan,
nyanyian dan cerita.
4. Mengenal Kraf Tradisional
Kraf tradisional boleh didefnisikan sebagai perusahaan (kerja seni) yang
melibatkan kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh
masyarakat yang diwarisi turun-temurun. Di sekolah rendah, murid
diperkenalkan dengan kraf tradisional seperti:
4.1 Alat domestik
4.2 Alat permainan
4.3 Alat pertahanan diri
4.4 Perhiasan diri (ornamen)
4.5 Batik
4.6 Tekat
4.7 Ukiran
4.8 Tenunan
4.9 Anyaman

4.10 Tembikar
Bidang ini memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional
dalam budaya tanah air. Kegiatan kraf tradisional memperkenalkan fungsi,
proses dan teknik membuat, alat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek
apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran yang
merangkumi pengenalan, proses pembuatan serta mengenali tokoh-tokoh bagi
setiap bidang kraf yang dinyatakan. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai
cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita

Anda mungkin juga menyukai