Anda di halaman 1dari 7

BAB 1

PENDAHULUAN
1.1

Pengenalan

Bab pertama kajian ini adalah untuk menjelaskan latar belakang kajian, permasalahan
kajian, objektif kajian, persoalan kajian, hipotesis kajian, kepentingan kajian, batasan kajian,
definisi istilah dan definisi pembolehubah kajian.
1.2

Latar belakang kajian

Beberapa penyelidikan dan kajian telah dijalankan oleh beberapa pengkaji mengenai literasi
awal

kanak-kanak.

Kebanyakan

kajian

yang

dijalankan

adalah

bagi

membantu

meningkatkan tahap pembacaan dan perancangan pembelajaran yang bersesuaian untuk


kanak-kanak. Menurut Amir Hamzah, 2004 dan Muhammad Raus, 2008, kajian yang
dijalankan oleh mereka menunjukkan bahawa proses pembelajaran membaca dan menulis
telah bermula awal dalam perkembangan kanak-kanak iaitu sejak kanak-kanak belum
melangkah ke alam persekolahan. Pada masa kini ini, literasi adalah amat penting dalam
kehidupan manusia. Oleh itu, seseorang itu harus menyedari dan memiliki kemahiran literasi
sejak dari awal lagi kerana tanpa kemahiran tersebut, seseorang itu akan mengalami
pelbagai kesukaran untuk menjalani kehidupan harian di negara moden.
Melalui Mahzan Arshad (2012), Isahak Haron et. al. (2006) menyatakan bahawa
kanak-kanak yang memiliki pengalaman dan kemahiran literasi awal yang baik dapat
membaca dengan lancar. Namun begitu, pada peringkat awal kanak-kanak, apabila kita
memperkatakan tentang literasi awal, kita lebih cenderung untuk membincangkan tentang
penguasaan tahap awal pembacaan kanak-kanak sahaja. Walhal, tahap literasi awal kanakkanak tidak hanya tertumpu pada kemahiran membaca sahaja tetapi turut melibatkan
kemahiran lain iaitu kemahiran bahasa lisan, kemahiran menyoal dan menjawab serta
kemahiran berfikir secara kritikal.
Terdapat beberapa pendapat dan kenyataan daripada pihak tertentu berkaitan
definisi literasi. Pada masa dahulu, menurut Mahzan Arshad (2012), kemahiran literasi
dikenali sebagai kemahiran untuk mengenal huruf atau celik huruf di mana ia bermaksud
kemampuan minimum untuk membaca dan menulis dalam sesuatu bahasa. Pada awal
tahun 1960-an, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu
(UNESCO) mendefinisikan seseorang yang memiliki keupayaan literasi sebagai individu
yang mampu membaca dan menulis suatu kenyataan yang pendek dan mudah dalam
kehidupan hariannya. Manakala, menurut Mahzan Arshad (2008), kemahiran literasi
bermaksud kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis dan berfikir dalam sesuatu
bahasa. Beliau turut berpendapat bahawa semua kemahiran ini merupakan satu proses
membina makna dan berfungsi dalam kehidupan manusia. Empat daripada kemahiran

tersebut iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis merupakan prinsip
utama dalam pengajaran bahasa di bawah komponen bahasa dan komunikasi (Kurikulum
Prasekolah Kebangsaan, 2001).
Berdasarkan definisi yang diterangkan, jelas ternyata bahawa kemahiran literasi
sentiasa diperlukan dalam kehidupan seharian manusia. Oleh yang demikian, kemahiran
literasi harus dipupuk dan dibentuk dari awal kanak-kanak lagi. Dalam bidang pendidikan
awal kanak-kanak, terdapat beberapa tokoh terkemuka telah menerangkan beberapa teori
berkaitan literasi awal kanak-kanak. Antaranya ialah Teori Perkembangan Kognitif (Piaget,
1960), Teori Konstektual (Vygotsky, 1962), Teori Psikolinguistik (Bruner, 1974) dan Teori
Penampilan Literasi (Marie Clay, 1982). Namun, dalam kajian ini, pengkaji memilih untuk
menggunakan Teori Penampilan Literasi (Emergent Literacy) oleh Marie Clay (1967) untuk
mengenalpasti tahap literasi awal kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, teori tersebut
menekankan bahawa proses pembacaan kanak-kanak terjadi secara berperingkatperingkat.
Teori Penampilan Literasi atau dikenali juga sebagai Teori Pemunculan Literasi telah
dicetuskan oleh Marie Clay melalui pelbagai kajian beliau. Kajian Marie Clay menekankan
aspek penguasaan bahasa dan tabiat membaca

pada peringkat awal kanak-kanak

sehingga ke alam remaja. Menurut Mahzan Arshad (2012), penampilan literasi bermaksud
kanak-kanak membina kemahiran membaca dan menulis tanpa titik permulaan atau
pengakhiran. Dalam Teori Penampilan Literasi, Marie Clay (1982) menjelaskan bahawa
perkembangan literasi kanak-kanak berkembang secara berperingkat-peringkat. Beliau telah
membahagikan pembaca kepada tiga tahap iaitu Tahap 1 (Pembaca Baru), Tahap 2
(Pembaca Awal) dan Tahap 3 (Pembaca Maju). Bagi kajian ini, pengkaji hanya melibatkan
kanak-kanak yang berusia lima tahun dan enam tahun bagi mengkaji sejauh mana tahap
literasi kanak-kanak pada usia sedemikian. Selain daripada itu, pengkaji turut menjalankan
kajian untuk melihat perkaitan di antara tahap literasi dengan faktor perbezan umur dan
jantina kanak-kanak.
1.3

Pernyataan masalah

Masalah bacaan dalam kalangan murid pendidikan khas sentiasa mendapat perhatian
umum sama ada daripada pihak ibu bapa dan guru-guru. Malah, pemimpin tertinggi negara
turut berasa risau tentang permasalahan tersebut. Keadaan tersebut jelas dilihat apabila
negara dikejutkan tentang 60 peratus pelajar tahap satu di seluruh negara masih belum
dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) oleh Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Berita Semasa pada tahun 2010. Pada tahun
sebelumnya, iaitu, pada tahun 2006, akhbar Berita Harian melaporkan bahawa terdapat
lebih daripada 100 000 murid sekolah rendah mengalami masalah tersebut. Sehubungan

dengan itu, Kementerian Pelajaran telah melancarkan program intervensi untuk murid Tahun
Satu yang tidak menguasai kemahiran 3M tersebut mulai tahun 2006.
Menurut Snow et. al. (1998) dalam Allor & Mc Cathreen (2003), kanak-kanak yang
mengalami masalah membaca atau yang berkemungkinan akan mengalami masalah
membaca harus mendapatkan bantuan secepat mungkin. Bahagian PERMATA (2009) pula
menyatakan hampir 90 peratus daripada 3 116 200 orang kanak-kanak bawah umur empat
tahun ke bawah tidak mendapat pendedahan sebarang program pendidikan awal kanakkanak yang sangat penting bagi merangsang perkembangan awal kanak-kanak. Pelbagai
langkah harus diambil bagi mengatasi masalah tersebut daripada berlanjutan di masa
depannya. Antaranya ialah guru perlu mengenal pasti tahap literasi awal kanak-kanak
terlebih dahulu sebelum bermulanya sesi pengajaran dan pembelajaran di awal tahun
persekolahan. Oleh yang demikian, guru boleh merancang aktiviti yang bersesuaian
mengikut tahap tertentu. Guru juga boleh menyediakan pelbagai aktiviti pemulihan dan
pengayaan bagi membantu kanak-kanak yang dikenal pasti memiliki kesukaran ketika sesi
pengajaran dijalankan.
Selain daripada itu, melalui sumber daripada Perpustakaan Negara (2011), Kajian
Olahan Semula Profil Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 2010 merumuskan bahawa
secara puratanya, golongan umur dari 10 tahun hingga 40 tahun membaca lapan buah buku
setahun dan mereka yang berumur lebih daripada 40 tahun hanya membaca enam buah
buku setahun. Kajian ini merupakan kajian yang dijalankan secara usaha sama antara
Perpustakaan Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia yang bertujuan untuk
mengenal pasti profil membaca dalam kalangan rakyat Malaysia di mana telah dimulakan
pada tahun 1996. Melalui kajian pada tahun 2010 tersebut, jelas terbukti bahawa tahap
pembacaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih pada tahap yang rendah. Bagi
membendung masalah ini daripada berlanjutan, kajian berkaitan literasi harus dijalankan
sejak dari awal kanak-kanak lagi. Justeru itu, pengkaji berharap kajian ini dapat memberi
maklumat tentang kepentingan tahap kemahiran literasi awal kanak-kanak.
1.4

Objektif kajian

Kajian ini dijalankan untuk mencapai objektif berikut:


i.

Mengenal pasti tahap literasi awal kanak-kanak berusia lima tahun mengikut teori

ii.

penampilan literasi.
Mengenal pasti tahap literasi awal kanak-kanak berusia enam tahun mengikut teori

iii.

penampilan literasi.
Mengenal pasti adakah terdapat perbezaan tahap literasi awal di antara kanak-kanak

iv.

berusia lima tahun dan kanak-kanak berusia enam tahun.


Mengenal pasti adakah terdapat perbezaan tahap literasi awal di antara kanak-kanak
lelaki dan kanak-kanak perempuan.

1.5

Persoalan kajian

Persoalan kajian adalah seperti berikut:


i.

Apakah tahap literasi awal kanak-kanak berusia lima tahun mengikut teori

ii.

penampilan literasi?
Apakah tahap literasi awal kanak-kanak berusia enam tahun mengikut teori

iii.

penampilan literasi?
Adakah terdapat perbezaan tahap literasi awal antara kanak-kanak berusia lima

iv.

tahun dan kanak-kanak berusia enam tahun?


Adakah terdapat perbezaan tahap literasi awal antara kanak-kanak lelaki dan kanakkanak perempuan?

1.6

Hipotesis kajian

Hipotesis dalam kajian ini ialah:


i.

H0 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap literasi awal kanak-kanak

ii.

berusia lima tahun dan tahap literasi awal kanak-kanak berusia enam tahun.
H0 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap literasi awal kanak-kanak
lelaki dan tahap literasi kanak-kanak perempuan.

1.7

Kepentingan kajian

1.7.1

Guru

Melalui kajian menilai tahap literasi kanak-kanak ini, pengkaji berharap agar dapatan kajian
dapat membantu para guru dalam mengenalpasti tahap literasi yang dimiliki oleh seseorang
kanak-kanak itu. Guru boleh menggunakan borang soal selidik yang digunakan oleh
pengkaji bagi tujuan tersebut. Setelah mengetahui tahap literasi setiap kanak-kanak, guru
dapat mengenalpasti dan menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran yang lebih sesuai
agar objektif pembelajaran dapat dicapai dengan jayanya walaupun kanak-kanak memiliki
tahap literasi yang berbeza.
1.7.2

Ibu bapa dan keluarga

Selain daripada memberi manfaat kepada guru, kajian ini juga diharapkan dapat membantu
para ibu bapa di rumah. Dengan mengenalpasti tahap literasi kanak-kanak, ibu bapa dapat
menyediakan dan menjalankan sebarang aktiviti yang dapat membantu meningkatkan tahap
literasi anak-anak mereka di rumah. Sebagaimana yang diketahui, ibu bapa dan keluarga
merupakan golongan yang paling rapat dengan kanak-kanak. Ini jelas terbukti melalui Teori
Ekologi Bronfenbrenner (1979) yang mengatakan bahawa penglibatan keluarga dalam
pendidikan awal kanak-kanak mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanakkanak.
1.7.3

Pengkaji pendidikan awal kanak-kanak dalam bidang literasi

Pengkaji turut berharap agar kajian ini dapat memberi sumbangan dalam bidang literasi
kanak-kanak. Kajian ini boleh dijadikan sebagai pembuka jalan untuk kajian-kajian
seterusnya dalam bidang tersebut. Para pengkaji dalam bidang pendidikan awal kanak-

kanak boleh menjadikan kajian ini rujukan untuk melakukan penyelidikan yang lebih
menyeluruh terhadap bidang pembacaan awal di Malaysia. Dalam kajian ini, pengkaji hanya
memfokuskan pada sejumlah kecil kanak-kanak pada satu kawasan sahaja. Oleh itu, hasil
keputusan kajian adalah tidak merujuk kepada tahap literasi awal kanak-kanak di seluruh
Malaysia. Maka, dengan itu, satu kajian yang lebih menyeluruh dan terperinci patut
dijalankan pada masa akan datang untuk melihat keputusan yang boleh merujuk kepada
seluruh kanak-kanak di Malaysia.
1.7.4

Pihak-pihak lain / masyarakat

Selain daripada ibu bapa dan guru, masyarakat juga memainkan peranan dalam
meningkatkan tahap literasi dalam kalangan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana,
masyarakat turut terlibat dengan kanak-kanak secara langsung atau tidak langsung. Oleh
itu, masyarakat harus menyedari tentang kepentingan tahap literasi sejak dari awal lagi bagi
membendung masalah 3M pada masa akan datang. Dengan yang demikian, pengkaji
berharap agar kajian ini dapat memberi kesedaran tentang literasi awal sejak kanak-kanak
lagi kepada masyarakat di luar sana.
1.8

Batasan kajian

1.8.1

Lokasi kajian

Kajian ini hanya dijalankan di SK. Meru 2, Klang , Selangor. Pengkaji memilih lokasi tersebut
kerana ia berdekatan dengan tempat tinggal pengkaji.
1.8.2

Sampel kajian

Tumpuan responden kanak-kanak dalam kajian ini ialah 10 orang kanak-kanak berusia 8
tahun dan 10 orang kanak-kanak berusia sembilan sahaja.
1.8.3

Tajuk kajian

Kajian ini hanya menilai tahap literasi awal kanak-kanak berdasarkan teori penampilan
literasi. Kajian ini tidak melibatkan faktor atau kesan dalam literasi awal kanak-kanak.

1.9

Definisi istilah

Terdapat beberapa istilah penting yang terlibat di dalam kajian ini. Istilah dan definisi adalah
seperti berikut:
1.9.1

Tahap literasi awal

Bagi kajian ini, maksud literasi adalah amat penting dan menjadi fokus utama. Menurut
Mahzan Arshad (2008), literasi bermaksud kemahiran mendengar, bertutur,

membaca,

menulis dan berfikir dalam sesuatu bahasa. Manakala, menurut Mahzan Arshad (2012),
pada tahun 1960-an, UNESCO mendefinisikan individu yang mempunyai keupayaan literasi
ialah individu yang dapat membaca dan menulis suatu pernyataan yang ringkas dan mudah

dalam kehidupan sehariannya. Dalam kajian ini, tahap literasi awal dibahagikan kepada tiga
tahap iaitu tahap pembaca baru, tahap pembaca awal dan tahap pembaca maju.
1.9.2

Kanak-kanak

Dalam Akta Kanak-kanak (2001), kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di


bawah umur 18 tahun. Namun, dalam kajian ini, pengkaji hanya menggunakan kanak-kanak
prasekolah yang terdiri dari kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan lima tahun dan
enam tahun (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2001).
1.9.3

Teori penampilan literasi

Bagi kajian ini, pengkaji menggunakan teori penampilan literasi yang dipelopori oleh Marie
Clay (1989) di mana beliau mendefinisikan penampilan literasi atau pemunculan literasi
sebagai perlakuan menulis dan membaca kanak-kanak yang berkembang kepada
kebolehan membaca dan menulis sebenar. Marie Clay (1991) turut membahagikan kanakkanak yang diklasifikasikan sebagai belum boleh membaca kepada tiga tahap iaitu tahap
pembaca baru, tahap pembaca awal dan tahap pembaca maju.

1.9.3.1 Tahap pembaca baru


Tahap pembaca baru adalah peringkat di mana pembaca mempelajari bagaimana buku
berfungsi (Marie Clay, 1991). Walker (2003) pula menyatakan bahawa pembaca baru harus
memiliki kemahiran menghubungkan apa yang dituturkan dengan tulisan teks iaitu
kesedaran kemahiran konsep cetakan.
1.9.3.2 Tahap pembaca awal
Clay (1991) menyatakan bahawa pembaca awal mula mempelajari bagaimana perkataan
berfungsi. Walker (2003) menganggap kanak-kanak pada peringkat pembaca awal ini
memfokus kepada textual literacy iaitu kemahiran fonemik dan fonetik.
1.9.3.3 Tahap pembaca maju
Menurut Clay (1991), tahap pembaca maju ialah peringkat di mana perkataan dan buku
berfungsi dalam pelbagai cara. Walker (2003) pula berpendapat bahawa pembaca tahap ini
merujuk kepada kelancaran membaca kerana kelancaran akan memudahkan kefahaman.
1.10

Definisi pembolehubah kajian

Pembolehubah boleh didefinisikan sebagai simbol atau konsep yang diandaikan sebagai
nilai-nilai atau angka-angka (Davis, 1998) dan konsep atau konstruk yang diselidik oleh
pengkaji (Gay & Airasian, 2000). Berikut adalah beberapa pembolehubah dalam kajian ini:
1.10.1 Pembolehubah bersandar
Menurut Sidek (2002), beliau mendefenisikan pembolehubah bersandar sebagai faktor yang
diperhatikan dan diukur untuk menentukan kesan daripada pembolehubah tidak bersandar.

Di dalam kajian ini, tahap literasi awal kanak-kanak bertindak sebagai pembolehubah
bersandar.
1.10.2 Pembolehubah tidak bersandar
Menurut Sidek (2003), definisi pembolehubah tidak bersandar atau juga dikenali sebagai
pembolehubah bebas ialah faktor yang dimanipulasi atau dipilih oleh pengkaji

untuk

menentukan hubungannya dengan faktor yang diperhatikan. Di dalam kajian ini, faktor
jantina kanak-kanak lelaki dan perempuan, umur kanak-kanak dan teori penampilan literasi
bertindak sebagai pembolehubah tidak bersandar.
1.11

Kesimpulan

Dalam bab ini, pengkaji telah membincangkan tentang latar belakang, objektif, persoalan,
hipotesis, kepentingan dan batasan kajian yang ingin dijalankan. Pengkaji turut menjelaskan
beberapa masalah yang dihadapi dalam bidang pembacaan awal kanak-kanak sama ada di
dalam negara mahupun di luar negara. Bagi menilai tahap literasi dalam kalangan kanakkanak prasekolah yang berusia lima tahun dan enam tahun, pengkaji memilih untuk
menggunakan teori penampilan literasi oleh Marie Clay. Selain itu, pengkaji turut
membincangkan mengenai definisi istilah dan pembolehubah yang terlibat dalam kajian ini.
Tinjauan kajian akan dibincangkan di dalam bab yang seterusnya.

Anda mungkin juga menyukai