Anda di halaman 1dari 31

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Membaca merupakan suatu kemahiran yang sangat bernilai dan bersifat dinamik serta

perlu dikuasai oleh setiap manusia tanpa mengira bangsa, agama mahupun keturunan.

Penyataan ini seiring dengan tuntutan ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi

Muhammad S.A.W sebagai penyampai wahyu dari Allah S.W.T ke dunia ini iaitu Iqra

yang bermaksud ‘Bacalah’. Implikasi dari ayat ini menerangkan tentang tuntutan

membaca kepada setiap manusia bagi membentuk sahsiah dan perwatakan sebagai insan

berpengetahuan.

Membaca merupakan medium bagi seorang individu mendapatkan ilmu

pengetahuan. Menurut Abdul Rasid (2011), salah satu cara seorang individu

memperoleh sumber pengetahuan dan asas kepada pembentukan diri ke arah menjadi

insan berilmu adalah melalui membaca. Slogan seperti ‘Membaca Jambatan Ilmu’ dan

‘Membaca Pengasas Minda’ yang dicetuskan oleh para cendekiawan telah dijadikan

sebagai antara pegangang falsafah kepentingan membaca (Baharom et al., 2012).

Penyataan sedemikian dengan jelasnya menerangkan bahawa membaca merupakan

salah satu daripada kemahiran asas yang perlu di kuasai oleh setiap manusia.

1
Kemahiran membaca merupakan kemahiran asas kepada pembentukan diri ke

arah memperoleh ilmu. Lantas itu, kemahiran membaca perlu diberi penekanan sejak

dari awal usia kanak-kanak. Hal ini kerana kemahiran membaca berkait dengan

penguasaan bahasa kanak-kanak. Menurut Surayah dan Aminah (2013), kemahiran

membaca merupakan salah satu aspek asas dalam domain perkembangan bahasa dan

kemahiran ini juga memainkan peranan besar dalam pelbagai aspek perkembangan

kanak-kanak. Manakala, Hasnah dan Habibah (2013) turut menjelaskan bahawa

perkembangan bahasa seseorang kanak-kanak mempunyai pertalian yang rapat dengan

perkembangan pemikiran atau kognitif mereka. Sehubungan itu, pendedahan awal

kepada kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak perlulah disediakan supaya

dapat mengelakkan masalah ketidakupayaan kanak-kanak menguasai kemahiran

tersebut.

Peringkat umur kanak-kanak enam tahun dan kebawah adalah peringkat umur

emas atau golden age. Ini kerana, pada peringkat umur sedemikian, pertumbuhan dan

perkembangan kanak-kanak berada dalam fasa sensitif. Menurut Rosmah dan Mariani

(2014), pada usia kanak-kanak enam tahun pertama, mereka akan melalui tahap

perkembangan dan pertumbuhan yang paling pesat dalam diri. Melalui pendidikan dan

pendedahan yang sesuai, ianya mampu merangsang semua aspek perkembangan kanak-

kanak ketahap optimum. Berpandu kepada asas ini, usaha meningkatkan penguasaan

kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak perlu dilaksanakan seawal usia

kanak-kanak bawah enam tahun (Zainiah, Juppri & Mazlina, 2014). Oleh itu, kemahiran

membaca perlu diberi penekanan semasa kanak-kanak berada di peringkat prasekolah

kerana proses perkembangan bahasa dan menggarap ilmu bagi kanak-kanak bermula

semasa mereka berada di peringka usia di antara empat hingga enam tahun.

2
Bagi membantu meningkatkan perkembangan kemahiran membaca dalam

kalangan kanak-kanak prasekolah, kementerian pendidikan telah melakukan pelbagai

inistiatif termasuklah menyenaraikan beberapa strategi pengajaran dan pembelajaran

(PdP) yang boleh digunai pakai sebagai panduan kepada guru untuk menggalakkan

pemunculan literasi membaca dalam kalangan kanak-kanak. Namun, masalah tidak

boleh membaca dan tidak minat membaca dalam kalangan kanak-kanak prasekolah

masih berlaku. Kegagalan dan sikap tidak berminat kanak-kanak menguasai kemahiran

membaca di peringkat prasekolah perlu dilihat dengan serius dan memerlukan kaedah

serta startegi tertentu untuk mengatasinya. Ini kerana, isu atau masalah tidak menguasai

kemahiran membaca dan tidak berminat belajar membaca boleh memberikan kesan

buruk kepada kanak-kanak daripada segi akademik dan sosial.

Oleh yang demikian, tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal

pasti sama ada perlaksanaan intervensi pengajaran berlandaskan aktiviti permainan

dapat membantu meningkatkan kebolehan kanak-kanak prasekolah menguasai

kemahiran membaca dan seterusnya memupuk minat untuk belajar membaca. Kajian ini

menggunakan permainan “T-Pintar” yang telah di ubah suai berdasarkan satu permainan

tradisional iaitu teng-teng dan diaplikasikan sebagai bahan inovasi dalam pengajaran

kemahiran membaca Bahasa Melayu. Menurut Noor Azlinna dan Jamaludin (2018),

perlaksanaan aktiviti bermain semasa sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc)

dalam bilik darjah prasekolah merupakan pendekatan kreatif yang menjadi keutamaan

kementerian pendidikan bagi merealisasikan matlamat Pembelajaran Abad ke-21

(PAK21). Tambahan lagi aktiviti bermain diberi penekanan dalam pendidikan

prasekolah kerana bermain merupakan fitrah atau tingkah laku semulajadi kanak-kanak

prasekolah.

3
1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN

Membaca adalah salah satu kemahiran literasi yang penting dalam kehidupan

manusia zaman ini. Kemahiran membaca tidak datang secara semula jadi dan setiap

manusia tidak dilahirkan dengan keupayaan membaca. Untuk menguasai kemahiran

tersebut, seorang individu perlu didedahkan dengan kemahiran membaca sejak dari usia

kanak-kanak. Terdapat banyak dapatan kajian terdahulu telah membuktikan bahawa

kemahiran membaca perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak semasa di peringkat

pendidikan prasekolah kerana penguasaan kemahiran ini mampu untuk memberi impak

positif terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak (Yahya, Aisah, Azmey, DK. Siti

Ardiah & Maszuraimah, 2012; Kamisah, Fadhilah & Saedah, 2016; Hanifah, Vicent &

Muhammad Idris, 2019). Menyokong dapatan ini, Nur Shakirah dan Muhammad Saiful

Haq (2017) turut menjelaskan bahawa kemahiran kognitif seorang kanak-kanak

berkembang melalui penguasaan bahasa yang melibatkan kegiatan memperoleh

pengetahuan dari kemahiran membaca. Ketidakbolehan kanak-kanak menguasai

kemahiran membaca memberi kesan negatif terhadap pemerolehan bahasa dan sekaligus

menjejaskan prestasi pencapaian akademik mereka.

Kini, semakin ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka

mengikuti program pendidikan prasekolah sama ada yang dikelolakan oleh Kementerian

Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan

Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) atau institusi pendidikan swasta.

Pendidikan prasekolah merupakan suatu program yang menyediakan pengalaman

pembelajaran awal bagi kanak-kanak sebelum mereka melangkah masuk ke alam

persekolahan formal. Penyertaan kanak-kanak dalam program pendidikan awal mampu

mengelakkan masalah keciciran dalam dunia pendidikan yang semakin berkembang.

4
Berdasarkan laporan tahunan 2017 Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia

(PPPM), kadar enrolmen kebangsaan prasekolah bagi kanak-kanak berumur 4+ hingga

5+ tahun telah menunjukkan peningkatan iaitu, 85.6% bagi tadika kerajaan dan 51.9%

bagi tadika swasta berbanding tahun sebelumnya (KPM 2017). Seterusnya, Noorhayati

(2012) dan Siti Az Zaharah (2017) berpendapat, penambahan bilangan kanak-kanak

memasuki program pendidikan prasekolah di sebabkan oleh faktor dorongan dan

persaingan dalam kalangan ibu bapa yang ingin memastikan anak-anak mereka

berkebolehan menguasai kemahiran awal membaca sebelum anak mereka melangkah ke

alam sistem pendidikan formal Tahun Satu di sekolah rendah. Melalui penyataan ini,

jelas menunjukkan ibu bapa masa kini semakin cakna terhadap kepentingan pendidikan

dan pendedahan literasi awal di berikan kepada kanak-kanak terutama dalam kemahiran

membaca.

Meskipun jumlah penyertaan kanak-kanak pada peringkat prasekolah semakin

meningkat dan kurikulum prasekolah telah digubal berkesesuaian dengan

perkembangan dan teori pembelajaran kanak-kanak, namun masih terdapat sejumlah

besar kanak-kanak prasekolah belum menguasai kemahiran membaca. Oleh itu, kajian

ini dijalankan ekoran daripada isu sebilangan besar kanak-kanak berumur enam tahun

yang masih lagi tidak menguasai kemahiran membaca dan tidak berminat belajar

membaca, walaupun sudah melalui proses pembelajaran selama satu atau dua tahun di

peringkat prasekolah (Suraya & Aisah, 2014; Siti Az Zaharah, 2017; Hanifah, Vicent

dan Muhammad Idris, 2019). Kegagalan kanak-kanak prasekolah menguasai kemahiran

ini memberi impak negatif kepada penguasaan kemahiran membaca di peringkat arus

perdana dan seterusnya menjejaskan pencapaian akademik mereka.

5
Bagi kanak-kanak normal yang berkeupayaan menguasai kemahiran mendengar

dan bertutur, mereka pada dasarnya turut berupaya untuk cepat menguasai kemahiran

membaca pada usia yang awal. Penyataan ini sepadan dengan penjelasan Kamisah,

Fadhilah dan Saedah (2016) yang menerangkan bahawa kanak-kanak prasekolah yang

tidak mengalami masalah kurang upaya kognitif, mereka sepatutnya sudah boleh

menguasai kemahiran membaca pada akhir pendidikan prasekolah. Tambahan lagi,

Mohd Nazri dan Wan Nurul Baizura (2018) pula menjelaskan, kebolehan kanak-kanak

menguasai kemahiran membaca akan memudahkan mereka menguasai tunjang-tunjang

pembelajaran lain dalam kurikulum prasekolah yang mempunyai kesinambungan

dengan tunjang yang difokuskan di peringkat sekolah rendah. Lantaran itu, kegagalan

kanak-kanak prasekolah menguasai kemahiran membaca boleh menyebabkan proses

pembelajaran menjadi lebih mencabar, malah minat kanak-kanak untuk membaca turut

menurun.

Program pendidikan Bahasa Melayu prasekolah adalah berpandukan prinsip

kemahiran bersepadu yang meliputi empat domain utama asas bahasa iaitu kemahiran

mendengar, bertutur, membaca dan menulis (KPM, 2016). Hal ini bertepatan dengan

kajian yang di jalankan oleh Tiffany, Suzanne, dan Crystle (2014) yang menjelaskan

bahawa kanak-kanak dengan kemahiran pertuturan dan pendengaran yang baik, mereka

lebih bersedia dan mudah untuk menerima pelajaran khususnya belajar membaca dan

menulis. Selanjutnya, Hasnah dan Habibah (2013) pula menerangkan, salah satu

daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pembelajaran bahasa

adalah kemahiran membaca dan kemahiran tersebut merupakan lanjutan daripada

kemahiran asas mendengar dan bertutur.

6
Merujuk kepada Kurikulum Standard Praskeolah Kebangsaan (KSPK) semakan

2017, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggariskan bahawa Standard

Kandungan (SK) Bahasa Melayu (BM) selepas kemahiran mendengar dan bertutur,

adalah kemahiran membaca. Manakala, dalam Standard Pembelajaran (SP) kemahiran

membaca pula, KPM telah menetapkan pada akhir program pendidikan prasekolah,

murid-murid prasekolah 5+ sepatutnya boleh membaca bahan bacan dengan sendiri. Ini

bermakna, kanak-kanak prasekolah 5+ sewajarnya sudah boleh menguasai kemahiran

suku kata dalam sukatan BM2.3.3 dan BM2.3.4, iaitu membaca perkataan dengan suku

kata terbuka yang terdiri daripada pola konsonan (K) dan vokal (V) atau KV yang

terdiri daripada suku kata terbuka: i) KV+KV; ii) KV+KV+KV dan suku kata tertutup

iaitu: i) KVK; ii) V+KV; iii) V+KVK; iv) KV+KVK; v) KVK+KV; dan

vi) KVK+KVK. Hal sedemikian menjelaskan bahawa KSPSK semakan 2017 telah

menetapkan penanda aras yang perlu dicapai untuk menilai tahap pencapaian kemahiran

membaca kanak-kanak prasekolah. Namun, masih terdapat sebilangan kanak-kanak

prasekolah tidak mencapai tahap yang ditetapkan seperti yang di sarankan dalam KSPK.

Selanjutnya, asas proses literasi awal membaca dalam mata pelajaran Bahasa

Melayu adalah kemahiran membatang suku kata iaitu kemahiran menyebut gabungan

huruf konsonan dan vokal contohnya ba, bi, bu. Menurut Noor Azliana dan Jamaludin

(2018), penguasaan asas literasi membaca dalam kalangan murid bertitik tolak daripada

keupayaan mereka menguasai kemahiran membatang pelbagai suku kata bagi

membentuk perkataan yang bermakna. Penyataan ini turut di sokong oleh Kamisah

(2013) yang turut menjelaskan bahawa proses pembelajaran membaca bagi kanak-kanak

prasekolah selepas daripada aktiviti menguasai kemahiran mengenal, mengecam dan

menyebut huruf adalah penguasaan kemahiran membatang dan menyebut suka kata.

7
Kecekapan kanak-kanak prasekolah menguasai kemahiran membatang membolehkan

mereka menguasai kemahiran membaca perkataan yang lebih tinggi arasanya.

Manakala, menurut Abdull Sukor dan Kalaidevi (2012), kanak-kanak perlu diajar

membaca secara berperingkat dan peringkat pertama dalam proses pengajaran membaca

berdasarkan pendekatan masteri adalah kemahiran membatang suka kata terbuka dan

tertutup.

Sungguhpun, isu ketidakbolehan kanak-kanak prasekolah menguasai kemahiran

membaca membimbangkan, namun isu tersebut bukanlah penghalang dan dijadikan

alasan kepada guru prasekolah untuk tidak membantu kanak-kanak yang bermasalah

dalam penguasaan kemahiran membaca. Ini kerana, penguasaan kemahiran membaca di

peringkat prasekolah dapat diatasi melalui strategi PdP yang terancang. Lantaran itu,

guru-guru prasekolah disarankan untuk mempelbagaikan strategi pengajaran yang lebih

kreatif dan bersesuaian dengan perkembangan bagi memastikan tiada kanak-kanak

terpinggir atau tercicir dalam menguasai kemahiran membaca sejak dari peringkat awal

pembelajaran kemahiran bahasa. Menurut Zaharah dan Suziyani (2019), strategi

pengajaran yang berkesan dan tepat adalah pengajaran yang dapat memberi pengalaman

yang menyuburkan menyeronokkan dan menarik minat murid-murid untuk memberikan

perhatian serta melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPc yang sedang berlangsung.

Selaras dengan itu, guru prasekolah disarankan untuk merancang dan

mengaplikasikan pelbagai aktiviti yang boleh menarik minat kanak-kanak dalam PdPc

kemahiran membaca. Pembelajaran secara santai dan menyeronokkan sudah sinonim

dengan kanak-kanak di peringkat prasekolah. Justeru itu, perlaksanan pendekatan

belajar melalui bermain dikesan sebagai satu starategi pengajaran yang dapat memberi

8
peluang kepada kanak-kanak untuk belajar dalam suasana santai, bebas,

menyeronokkan dan bermakna (KPM, 2016). Menurut Suppiah (2015), aktiviti

pembelajaran yang dilakukan melalui bermain sebenarnya merangsang sensori atau

deria kanak-kanak dan sekaligus memberi suatu pengalaman pembelajaran secara tidak

langsung kepada mereka. Jelas beliau lagi, pengalaman seumpama ini dapat

memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan meningkatkan penguasaan

sesuatu kemahiran kepada kanak-kanak.

Manakala, menurut Norzalikha dan Suziyani (2018), untuk meningkatkan

sesuatu kemahiran, keyakinan diri dan sikap positif dalam diri kanak-kanak, pengajaran

guru perlu bersifat berkesan, bermakna dan menyeronokkan. Aliza dan Zamri (2016),

dalam kajian mereka mendapati, aktiviti PdPc secara bermain dalam pembelajaran di

peringkat prasekolah mampu meningkatkan kemahiran, semangat, keupayaan dan

menghilangkan tekanan kanak-kanak untuk membina pengetahuan dan kefahaman

sendiri tanpa dipaksa. Tambahan lagi, para tokoh ilmuan awal dalam pendidikan awal

kanak-kanak dan ahli psikologi terkenal seperti Jean Piaget, Lev Vygotsky, Maria

Montessori, Eric Erikson dan Jerome Bruner turut menegaskan bahawa bermain ialah

aktiviti dan permainan ialah objek pembelajaran (Aliza, Sharifah Nor & Zamri, 2018).

Lantaran itu, perlaksanaan pendekatan belajar melalui bermain dalam kemahiran

membaca kepada kanak-kanak prasekolah amat digalakkan dan perlu diberi penekanan.

Banyak kajian sama ada dalam dan luar negara yang mendukung pelaksanaan

pendekatan belajar melalui bermain di peringkat prasekolah keberkesanan

meningkatkan kemahiran dan minat kanak-kanak dalam aktiviti membaca (Jaslinah,

2014; Martina & Anne, 2016; Aliza, Sharifah Nor & Zamri, 2018; Zahara & Suziyani,

9
2019; Jane & Karin, 2019). Menurut Alissa dan Wendy, semasa kanak-kanak bermain

mereka pada hakikatnya sedang membina kemahiran membaca yang diperlukan untuk

pembelajaran literasi secara formal (Alissa dan Wendy, 2009). Manakala, Hanifah,

Vincent dan Muhamaad Idris (2018) pula menjelaskan, untuk memperoleh impak positif

terhadap proses pembelajaran membaca dalam kalangan kanak-kanak prasekolah, guru

mestilah memilih dan melaksanakan kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan minat

dan kemampuan kanak-kanak. Maka dengan itu, Noraini et al. (2018) menegaskan,

konsep pendekatan belajar melalui bermain dalam PdP kemahiran membaca harus

dipratikkan secara berkesan supaya kanak-kanak dapat menguasai kemahiran tersebut

dengan lebih mudah.

Sehubungan itu, kajian ini dijalankan untuk melihat sejauhmana perlaksanaan

aktiviti belajar melalui bermain dapat membantu meningkatkan penguasaan kemahiran

membaca dan memupuk minat kanak-kanak belajar membaca. Seiring dengan sifat

semulajadi kanak-kanak yang gemar bermain aktiviti permainan yang membenarkan

mereka bergerak aktif, maka satu inovasi permainan berasaskan permainan tradisional

melayu yang berkonsepkan permainan teng-teng iaitu permainan T-Pintar telah

dibangunkan. Pemilihan permainan tradisional sebagai bahan inovasi adalah

berdasarkan penyataan bahawa permainan tradisional semakin kurang dimainkan oleh

kanak-kanak (Zuriawati, Mohd Asyiek & Norfarizah, 2014). Selain itu juga, dengan

mengaplikasikan permainan ini di dalam proses PdP kemhairan membaca, kanak-kanak

dapat melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran dan sekaligus memupuk

minat mereka untuk terus belajar membaca .

10
1.3 PEMASALAHAN KAJIAN

Kemahiran membaca dipilih sebagai fokus utama kajian ini kerana indikator pencapaian

kanak-kanak dalam bidang akademik banyak bergantung pada tahap kebolehan mereka

menguasai kemahiran asas literasi khususnya membaca. Dengan terbatasnya

penguasaan kemahiran membaca kanak-kanak, ianya menjadi penyebab utama keciciran

mereka dalam pendidikan. Penyataan ini dikukuhkan lagi berdasarkan penerangan dari

Noor Azliana, Nik Noraini dan Mahani (2013) yang menjelaskan, terdapat kajian

menunjukkan bahawa hampir 90% kemungkinan kanak-kanak mempunyai masalah

membaca pada peringkat awal persekolahan akan kekal mempunyai masalah membaca

sehingga akhir tahun sekolah rendah. Lantaran itu, penumpuan terhadap usaha bagi

meningkatkan penguasaan kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak sekolah

kerap dilakukan di pelbagai peringkat. Namun, isu atau pemasalahan kanak-kanak

sekolah tidak boleh menguasai kemahiran membaca masih wujud dan menjadi dilema

dalam dunia pendidikan sehingga ke hari ini.

Berdasarkan ringkasan dari Laporan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan

Malaysia (2013-2025) melaporkan bahawa tahap penguasaan kemahiran membaca

rakyat Malaysia berada pada tahap sederhana iaitu pada kedudukan 54 daripada 74

negara peserta (KPM, 2017). Manakala merujuk pada sorotan laporan dari World

Competitiveness Yearbook (WCY), seramai 52% daridapa jumlah populasi rakyat

Malaysia berusia 15 tahun keatas dikesan mengalami masalah buta huruf (Institute for

Management Development, 2017). Rentetan itu, Tamam, Zamri, Nik Mohd. Rahimi dan

Jamaludin (2010), berpendapat isu membaca tidak pernah lapuk untuk dibahaskan

walaupun pembangunan sistem pendidikan negara kian berkembang pesat.

11
Permasalahan kanak-kanak sekolah tidak menguasai kemahiran membaca

dikenal pasti berlaku bermula pada peringkat prasekolah lagi. Menurut Kamisah,

Fadhilah dan Saedah (2016), walaupun kanak-kanak prasekolah merupakan golongan

normal yang sedang mengalami perkembangan kognitif yang sanat pesan, tetapi mereka

terdedah kepada risiko kesukaran membaca. Hasil kajian berkaitan masalah penguasaan

kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak prasekolah menunjukkan tahap

penguasaan kanak-kanak prasekolah dalam pembacaan adalah sangat membimbangkan.

Hanifah, Vicent dan Muhammad Idris (2019) menyatakan, masalah kanak-kanak

prasekolah tidak menguasai kemahiran membaca masih serius di negara ini. Penyataan

ini diperoleh melalui hasil pentaksiran membaca yang telah dilaksanakan pada tahun

2018 dalam kalangan kanak-kanak prasekolah di sebuah negeri di Malaysia

menunjukkan, sebanyak 48.1% kanak-kanak prasekolah belum menguasai kemahiran

membaca.

Seterusnya, merujuk pada Standard Pembelajaran membaca BM2.3.3,

sewajarnya kanak-kanak prasekolah yang berumur 5+ berkebolehan menguasai bacaan

perkataan dengan suku kata terbuka (i) KV+KV; (ii) KV+KV+KV. Namun, maklumat

yang diperoleh daripada rekod perkembangan Tunjang Komunikasi murid prasekolah

dalam Kemahiran Membaca Bahasa Melayu pada semester 1 di sebuah prasekolah

swasta yang dipilih adalah sebaliknya dan maklumatnya di nyatakan dalam Jadual 1.1.

Jadual 1.1 : Rekod Perkembangan Kemahiran Membaca Bahasa Melayu.

Standard Pembelajaran Menguasai Sederhan Belum


Kemahiran Membaca Sepenuhny a Menguasa
a Menguasa i
i
BM2.3.3 Membaca perkataan dengan suku 10 orang 8 orang 2 orang
kata

12
Berdasarkan tinjauan awal terhadap kanak-kanak yang belum menguasai

kemahiran membaca di prasekolah terpilih, mereka menunjukkan ciri-ciri seperti keliru

dengan orientasi kedudukan huruf seperti ‘b’ dengan ‘d’ dan ‘p’ dengan ‘q’, bentuk

huruf seperti ‘g’ dengan ‘y’, dan ‘h’ dengan ‘n’. Seterusnya itu, mereka juga didapati

masih tidak tekal dalam membunyikan huruf yang sama frekunsinya seperti ‘b’ dengan

‘d’, ‘p’, ‘t,’. Hal sedemikian menyebabkan, mereka belum mampu untuk membaca

perkataan suku kata terbuka KV+KV yang sepatutnya perlu dikuasai sebelum

melangkah ke Tahun Satu. Selain itu, kanak-kanak tersebut turut dilihat tidak berminat

untuk mengikuti PdP kemahiran d bilik darjah walaupun guru telah mengambil inisiatif

menggunakan bahan bantu mengajar (BBM).

Pemasalahan dan kelemahan penguasaan kemahiran membaca yang wujud

dalam kalangan kanak-kanak perlu di beri perhatian serius sejak dari peringkat awal

pendidikan. Sekiranya, pemasalah ini tidak di gembleng dari awal, ianya pasti

membawa kepada risiko kegagalan membaca semasa di sekolah rendah dan berlajutan

sehingga sekolah menengah. Menurut Noor Azlinna dan Jamaludin (2018), masalah

ketidakbolehan dalan kalangan murid-murid Tahap Satu aliran perdana menguasai

kemahiran membaca Bahasa Melayu sering menjadi kekangan kepada para guru di

sekolah. Lebih membimbangkan, menurut Noor Hidayah dan Fadzilah (2013), masih

terdapat murid-murid dari Tahun Enam di sekolah rendah ketinggalan dalam

pembelajaran. Punca utama dikesan berlakunya masalah sedemikian, disebabkan oleh

kelemahan murid-murid tersebut menguasai kemahiran literasi khususnya membaca

sejak memasuki Tahun Satu lagi.

13
Banyak faktor yang menjadi penghalang keberkesanan proses pengajaran dan

pembelajaran kemahiran bahasa khususnya dalam penguasaan kemahiran membaca di

peringkat prasekolah. Menurut Noorhayati (2012), pelbagai faktor telah dikenal pasti

sebagai penyebab kepada masalah pembelajaran dalam membaca dalam kalangan

kanak-kanak sekolah. Pemilihan strategi dan kaedah pengajaran guru yang kurang

efektif telah dikenal pasti merupakan antara faktor kelemahan penguasaan kemahiran

membaca dalam kalangan kanak-kanak prasekolah (Mahzan dan Chee, 2017).

Seterusnya, menurut Aliza dan Zamri (2016), masih terdapat sebilangan guru di

peringkat prasekolah mengeluh dan menghadapi kesukaran untuk mengajar kemahiran

membaca kepada kanak-kanak prasekolah. Senario ini berlaku kerana guru-guru

prasekolah masih memilih untuk mengaplikasikan startegi pengajaran konsenvional

berpusatkan guru iaitu secara chalk and talk semasa sesi PdPc kemahiran membaca.

Perancangan aktiviti pembelajaran kemahiran membaca yang dipraktikkan oleh

guru prasekolah kurang menarik dan membosankan juga dikenal pasti menjadi

penyebab proses pengajaran guru dalam kemahiran membaca kurang berkesan.

Berdasarkan laporan pemerhatian kajian Latifah (2018), beliau mendapati guru

prasekolah kurang kreatif dan tidak inovatif dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran

kemahiran membaca dalam Tunjang Komunikasi. Masalah tersebut menyebabkan,

kanak-kanak prasekolah sering memperlihatkan tingkah laku yang kurang fokus dan

tidak memberi tumpuan sepenuhnya semasa sesi pembelajaran kemahiran membaca

berlansung dalam bilik darjah. Sependapat dengan dapatan kajian tersebut, Suraya dan

Aisah (2014) menjelaskan, masih terdapat guru-guru yang menggunakan aktiviti

mengajar membaca dengan hanya menggunakan buku bacaan semata-mata dan kurang

berminat untuk mengaplikasikan aktiviti belajar sambil bermain dalam PdP.

14
Kegagalan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca dengan baik dari

peringkat awal pendidikan akan menjadi bertambah teruk apabila guru tidak bijak

mempelbagaikan strategi pengajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan dan

minat kanak-kanak. Faizah (2017) dan Sharifah Nor dan Aliza (2011) berpendapat, guru

perlu mempunyai kemahiran yang cukup dalam mempelbagai startegi pengajaran yang

berbeza. Sehubungan itu, semua pihak yang terlibat terutamanya guru dalam bidang

pendidikan awal kanak-kanak sewajarnya perlu lebih kreatif dan berinovasi dalam

merancang aktiviti pembelajaran kemahiran membaca yang bersesuaian dengan

kehendak kanak-kanak. Hasil dari perlaksanaan aktiviti tersebut, objektif pembelajaran

membaca yang telah ditetapkan dapat dicapai dengan lebih berkesan dan bermakna.

Selain itu, strategi pengajaran guru juga menjadi lebih seronok dan mampu menarik

perlibatan kanak-kanak dalam PdPc kemahiran membaca dalam bilik darjah

Ringkasanya, penyataan masalah dalam kajian ini ialah masih ada kanak-kanak

prasekolah gagal menguasai kemahiran membaca perkataan suku kata terbuka KVKV

disebabkan masalah keliru dengan bentuk huruf dan kelemahan membatang serta

menyebut suku kata KV. Selain itu, strategi pengajaran guru yang kurang kreatif dan

tidak menarik telah mengakibatkan kanak-kanak tidak berminat untuk belajar membaca

semasa di prasekolah.

Sehubungan itu, satu bentuk intervensi pengajaran perlu dilaksanakan bagi

membantu mengatasi masalah kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak

prasekolah. Menurut Kamisah (2013), apabila guru dapat mengenal pasti ada kanak-

kanak yang menghadapi masalah dalam pembelajaran, maka guru perlu bertindak dan

melaksanakan beberapa jenis pembelajaran intervensi yang sesuai dengan tahap

kebolehan kanak-kanak. Manakala, Mary, Lucy, Yvonne dan Diarmuid (2012) dari

15
National Educational Psychological (NEP) menegaskan, apabila di dalam bilik darjah

terdapat kanak-kanak yang masih belum boleh membaca, kaedah dan startegi

pengajaran biasa tidak mencukupi. Oleh itu, intervensi pengajaran perlu diberi kepada

kanak-kanak tersebut bagi tujuan mengatasi masalah yang dihadapi.Kajian tindakan

yang dijalankan oleh Felicia (2012), menunjukkan apabila terdapat empat orang kanak-

kanak prasekolah di kenal pasti berhadapan dengan masalah kemahiran prabacaan,

mereka telah diberikan intervensi pengajaran melalui aktiviti permainan doh. Ternyata,

intervensi pengajaran permainan doh berkesan meningkatkan kemahiran prabacaan

kanak-kanak tersebut. Seterusnya, dalam kajian Kamisah dan Rohaty (2012) pula,

membuktikan pembangunan modul berasaskan teknologi maklumat (ICT) sebagai satu

set modul intervensi membaca telah berjaya meningkat tahap pencapaian kemahiran

membaca yang lebih baik dalam kalangan kanak-kanak prasekolah pilihan.

Berdasarkan dapatan-dapatan kajian dinyatakan, jelas mengukuhkan lagi

pernyataan tentang kepentingan intervensi pengajaran diberi kepada kanak-kanak yang

masih gagal menguasai kemahiran membaca. Umum mengetahui, kanak-kanak secara

semulajadinya cenderung dan suka bermain. Lantaran itu, intervensi pengajaran untuk

meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak boleh direncanakan

melalui aktiviti permainan. Menurut Ramlah (2013), kaedah pembelajaran secara

bermain penting pada peringkat prasekolah kerana aktiviti bermain dapat

mengembangkan kemahiran belajar dalam kalangan kanak-kanak. Manakala, Fairosnita

dan Kamarul (2015) pula menerangkan, aktiviti permainan dalam pembelajaran

merupakan satu platform yang mampu menggerakkan naluri semulajadi kanak-kanak,

memberi peluang mereka bergerak bebas, mendedahkan aktiviti sebenar kepada mereka

dan melatih mereka memberi fokus dalam pembelajaran.

16
Seterusnya, belajar melalui bermain merupakan pendekatan yang sangat penting

dalam pembelajaran awal kanak-kanak, malah pendekatan ini sangat disarankan

perlaksanaannya oleh kementerian pendidikan pada peringkat prasekolah. Walau

bagaimanapun, menurut Irwan Mahazir, Siti Khadijah, Tamil, Mohd Hasril dan Mohd

Erfy (2018), kajian-kajian berkaitan perlaksanaan aktiviti permainan dalam proses

pembelajaran pada peringkat prasekolah masih sedikit. Namun tambah mereka lagi,

dapatan kajian dari para pengkaji terdahulu telah berjaya membuktikan bahawa aktiviti

permainan yang dijalankan semasa proses PdPc dalam tunjang pembelajaran prasekolah

berjaya memberikan impak postif terhadap penguasaan suatu kemahiran kepada kanak-

kanak. Malah, perlaksanaan aktiviti permainan juga dapat meningkatkan minat kanak-

kanak mengikuti sesi pembelajaran dalam suasana seronok dan gembira.

Bertitik tolak daripada penyatan masalah kajian, maka satu aktiviti belajar

melalui bermain menggunakan inovasi permainan bahasa iaitu T-Pintar telah

dibangunkan. Aktiviti permainan T-Pintar telah di pilih sebagai intervensi pengajaran

kemahiran membaca Bahasa Melayu kepada dua orang kanak-kanak berumur 6 tahun

dari sebuah prasekolah swasta yang terletak di Johor Bahru. Pengajaran dan

pembelajaran dilaksanakan dalam kajian ini melalui aktiviti latih tubi, memilih gambar

objek, menyebut bunyi huruf konsonan dan vokal (KV) berdasarkan kad huruf pilihan,

dan seterusnya membentuk serta membaca perkataan suku kata KVKV berdasarkan

gambar objek menggunakan permainan T-Pintar yang telah diubah suai. Perlaksanaan

aktiviti permainan T-Pintar ini dibangunkan adalah untuk mewujudkan persekitaran

pembelajaran yang membolehkan kanak-kanak prasekolah meneroka aktiviti membaca,

berinteraksi dan latihan pengulangan dalam kemahiran membaca Bahasa Melayu

melalui pembelajaran yang seronok dan menggembirakan.

17
1.4 TUJUAN KAJIAN

Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti aktiviti belajar melalui

bermain permainan T-Pintar. Aktiviti permainan tersebut digunakan sebagai satu bentuk

kaedah dan startegi intervensi pengajaran yang relevan diaplikasikan semasa proses

PdPc kemahiran membaca Bahasa Melayu kepada kanak-kanak prasekolah dalam bilik

darjah. Aktiviti permainan bahasa T-Pintar diketengahkan dalam kajian ini adalah

bertujuan untuk mengenal pasti sama ada aktiviti permainan tersebut dapat

meningkatkan kemahiran kanak-kanak menyebut gabungan suku kata KV.

Tujuan seterusnya kajian ini dilakukan adalah untuk mengenalpasti sama ada

intervensi pengajaran menggunakan permainan T-Pintar dapat memenuhi indikator yang

ditetapkan dalam Standard Pembelajaran (SP) Kemahiran Membaca BM2.3.3.

Berdasarkan petanda aras SP kemahiran membaca Bahasa Melayu KSPK semakan

2017, kanak-kanak prasekolah yang berumur 5+ sewajarnya berkebolehan menguasai

bacaan perkataan dengan suku kata terbuka KV+KV.

Selain itu, dalam kajian ini pengkaji juga ingin mengenal pasti sama ada minat

kanak-kanak belajar kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu dapat di semai melalui

aktiviti permainan T-Pintar Suku Kata. Maklumat tentang minat kanak-kanak penting

untuk mengetehui sama ada aktiviti permainan bahasa seperti T-Pintar mampu

memotivasi mereka untuk berminat dan seronok belajar membaca dalam Tunjang

Komunikasi Kemahiran Membaca Bahasa Melayu bersama guru.

18
1.5 OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN

Objektif umum kajian ini adalah untuk melihat sejauhmana pendekatan belajar melalui

bermain permainan T-Pintar dapat membantu kanak-kanak di sebuah prasekolah swasta

di Johor Bahru meningkatkan tahap pencapian kemahiran membaca Bahasa Melayu.

Sehubungan itu, objektif khusus kajian ini dikemukan seperti berikut:

i. Mengenal pasti aktiviti permainan T-Pintar dapat meningkatkan kemahiran

membunyikan gabungan huruf konsonan dan huruf vokal atau KV.

ii. Mengenal pasti aktiviti permainan T-Pintar dapat meningkatkan kemahiran

membaca gabungan dua suku kata KV+KV.

iii. Mengenal pasti aktiviti permainan T-Pintar dapat memupuk minat kanak-kanak

untuk belajar kemahiran membaca Bahasa Melayu.

Soalan Kajian

Bagi mendapatkan jawapan daripada objektif yang telah dinyatakan, berikut adalah

soalan-soalan kajian yang akan menjadi asas kepada kajian ini:

i. Adakah aktiviti permainan T-Pintar dapat meningkatkan kemahiran membunyikan

gabungan huruf konsonan dan huruf vokal atau KV ?

ii. Adakah aktiviti permainan T-Pintar dapat meningkatkan kemahiran membaca

gabungan dua suku kata KV+KV?

iii. Adakah penggunaan aktiviti permainan T-Pintar dapat memupuk minat kanak-

kanak belajar kemahiran membaca Bahasa Melayu?

19
1.6 SIGNIFIKAN KAJIAN

Perlaksanaan kajian ini adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi mutu PdP Tunjang

Komunikasi di peringkat prasekolah khususnya dalam kemahiran membaca Bahasa

Melayu menggunakan pendekatan belajar melalui bermain. Hal ini selaras dengan

penyataan Sharifah Nor dan Aliza (2011) yang menjelaskan bahawa pendekatan belajar

melalui bermain berkesan di serapkan dalam pengajaran dan pembelajaran literasi

kanak-kanak kerana aktiviti bermain mampu untuk menarik minat kanak-kanak untuk

terus belajar konsep literasi awal. Sehubungan itu, intervensi pengajaran berlandaskan

aktiviti permainan T-Pintar di lihat sebagai alternatif baru yang sesuai diterapkan dalam

strategi dan kaedah pengajaran kemahiran membaca Bahasa Melayu dalam kalangan

kanak-kanak prasekolah.

Seterusnya, pelaksanaan kajian ini signifikan untuk mengembangkan idea dan

kreativiti guru prasekolah dalam mereka cipta aktiviti bermain yang sesuai untuk

diaplikasikan dalam PdPc kemahiran membaca kepada kanak-kanak. Ini berikutan

terdapat banyak dapatan kajian terdahulu, mendapati guru prasekolah tidak

memfokuskan pendekatan bermain dalam PdP Tunjang Komunikasi kemahiran bahasa

kerana kurang pengetahuan, kurang kemahiran dan tidak kreatif untuk mencipta aktiviti

bermain yang menarik dan sesuai semasa sesi PdPc kemahiran membaca (Sharifah Nor

& Aliza, 2012; Aliza, Sharifah Nor & Zamri, 2018; Zahara & Suziyani, 2019). Justeru

itu, menerusi kajian ini ianya dapat memberi idea tambahan kepada guru untuk

membangunkan inovasi bahan pengajaran sendiri seperti permainan T-Pintar dalam

menarik minat kanak-kanak melibatkan diri dalam pembelajaran kemahiran membaca

Bahasa Melayu. Hal ini sepadan dengan pendapat Suppiah, Rachel Mildred,

20
Norazilawati dan Sandra (2017) yang menjelaskan bahawa bahan pengajaran dan

pembelajaran yang berkesan bukan sekadar menarik tetapi mampu untuk

memotivasikan murid supaya melibatkan diri dengan pembelajaran. Melalui kajian ini

juga, ianya dapat mengubah tanggapan guru prasekolah terhadap kesukaran

melaksanakan aktiviti bermain dalam PdPc kemahiran membaca dalam bilik darjah.

Selain itu, dapatan kajian ini berpotensi untuk mengubah persepsi masyarakat

khususnya ibu bapa yang kurang pemahaman mendalam dan sering menganggap aktiviti

belajar melalui bermain hanya membuang masa serta tidak sesuai di laksanakan dalam

dalam proses PdP kemahiran membaca (Kamisah, 2011; Jaslinah, 2014). Dengan

perlaksanaan kajian ini, ianya dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa akan

kepentingan aktiviti belajar melalu bermain di terapkan dalam pembelajaran kemahiran

membaca kanak-kanak di peringkat prasekolah. Selain itu, ibu bapa turut di galakkan

melakukan kesinambungan aktiviti belajar melalui bermain di rumah dalam usaha

membantu anak-anak mereka menguasai kemahiran asas membaca.

Disamping itu, kajian ini juga dapat menambah pemahaman pengusaha atau

pemilik prasekolah atau tadika swasta berkaitan konsep belajar melalui bermain dalam

proses PdPc kemahiran membaca. Melalui dapatan kajian ini, ianya dapat menjelaskan

bahawa aktiviti permainan yang memerlukan pergerakkan fizikal seperti T-Pintar

berpontensi untuk menyuntik minat dan semangat kanak-kanak untuk belajar membaca

dalam aktiviti belajar yang seronok, gembira dan bermakna. Selain aktiviti permainan

juga berupaya meningkatkan prestasi pencapaian membaca kanak-kanak prasekolah dari

bacaan asas kepada aras bacaan yang lebih tinggi.

21
1.7 BATASAN KAJIAN

Dalam kajian ini, batasan kajian yang ditetapkan adalah meliputi Standard Pembelajaran

(SP) kemahiran membaca, subjek kajian, tempoh masa, jenis dan lokasi prasekolah, dan

set soalan untuk ujian lisan pra dan pos.

Batasan atau fokus kajian yang pertama ialah SP kemahiran membaca yang

dipilih. Kajian ini telah membataskan SP kepada kemahiran membaca gabungan suku

kata terbuka KV dan dua suku kata terbuka KVKV sahaja tanpa melibatkan keseluruhan

SP kemahiran membaca BM2.3.3 seperti terkandung dalam KSPK semakan 2017. Suku

kata terbuka KV merupakan bacaan suku kata asas dalam menguasai kemahiran

membaca dan perlu dikuasai dengan baik dari aspek gabungan huruf. Ia juga menjadi

faktor kepada kemampuan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca perkataan yang

yang lebih tinggi arasnya.

Batasan kajian yang kedua pula ialah responden kajian. Dalam kajian ini, dua

responden kajian yang berumur enam tahun dipilih sebagai subjek kajian. Responden

kajian ini merupakan kanak-kanak yang belajar di kelas Jumbo 3 dan telah melalui

pendidikan dari awal tahun di prasekolah tersebut. Oleh kerana kanak-kanak dari kelas

Jumbo 3 ini mempunyai keupayaan bacaan yang pelbagai, penetapan kriteria pemilihan

subjek kajian ditetapkan oleh pengkaji supaya subjek kajian yang mempunyai

keupayaan bacaan yang tidak menguasai sahaja dipilih. Dalam hal ini, pemilihan subjek

kajian adalah bergantung kepada laporan rekod perkembangan kemahiran membaca

Bahasa Melayu semester 1. Berdasarkan laporan tersebut, responden kajian dikesan

berada di tahap belum menguasai kemahiran membaca perkataan KVKV.

22
Batasan kajian yang ketiga ialah tempoh masa. Kajian ini mengambil tempoh

masa selama enam bulan. Manakala, batasan tempoh intervensi pengajaran berlangsung

selama lima minggu iaitu bermula pada pertengahan bulan Jun hingga pertengahan

bulan Julai 2019 (tidak termasuk hujung minggu dan cuti umum). Tempoh masa lima

minggu ini dipilih mengikut jadual pembelajaran kemahiran bahasa Bahasa Melayu di

kelas Jumbo 3, iaitu selama tiga puluh minit sehari dan tiga kali seminggu. Selain itu,

jangka masa yang ditetapkan juga cukup untuk menguji pencapaian kemahiran

membaca subjek kajian melalui intervensi pengajaran aktiviti permainan T-Pintar.

Batasan kajian yang keempat pula adalah jenis dan lokasi prasekolah. Dalam

kajian ini, pengkaji telah memilih sebuah prasekolah swasta yang berlokasi di Kampung

Kangkar Tebrau, Johor Bahru, iaitu Akademi Nahjan. Prasekolah ini dipilih sebagai

tempat kajian kerana prasekolah ini mempunyai ruang dalam bilik darjah yang luas dan

selesa. Oleh yang demikian, ianya memudahkan pengkaji melaksanakan kajian aktiviti

permainan yang memerlukan subjek kajian melakukan pergerakkan fizikal.

Seterusnya, batasan kajian terakhir adalah berkaitan dengan huruf konsonan (K)

dan vokal (V) yang di uji dalam borang senarai semak dan set soalan ujian pra dan

pasca. Sebanyak enam huruf kecil kosonan iaitu “b”, “d”, “g”, “j”, “l” dan “n”’ yang

sering menjadi kekeliruan responden kajian telah dipilih mewakili huruf konsonan.

Manakala tiga huruf vokal yang dipilih adalah terhad kepada huruf kecil “a”, “i” dan

“u”. Tiada ukuran masa diambil pengkaji semasa responden kajian di uji menyebut

gabungan huruf KV dan membaca perkataan dua suku kata terbuka KV+KV.

23
1.8 DEFINISI OPERASIONAL

Terdapat beberapa istilah yang telah digunakan bagi memperjelaskan kefahaman

terhadap konsep-konsep yang digunakan dalam kajian ini. Istilah-istilah yang berkaitan

dengan kajian ini ditakrifkan mengikut pendapat para cendikiawan dan pakar

pendidikan yang dinyatakan sumber setiap satunya. Berikut adalah beberapa istilah

yang terkandung dalam kajian ini dan didefinisikan dengan ringkas supaya dapat

memberi maksud yang sesuai berdasarkan keperluan kajian:-

1.8.1 Kanak-kanak Prasekolah

Mengikut Akta Pendidikan 1996 pula, kanak-kanak prasekolah di definisikan sebagai

individu lelaki atau perempuan yang berumur antara empat hingga enam tahun yang

menghadiri program pendidikan prasekolah (Siti Azira dan Mohd Jasmy, 2018).

Manakala, menurut Femmi Nurmalitasari (2015), kanak-kanak prasekolah bermaksud

kanak-kanak yang berusia antara empat hingga enam tahun yang sedang mengalami

perubahan pada fasa kehidupan sebelumnya. Tambah beliau lagi, pada peringkat usia

sebegini, pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak berpotensi berkembang dengan

pesat dan hebat. Namun, perkembangan setiap kanak-kanak tidak sama dan berbeza.

Ringkasnya, pengkaji mendefinasikan istilah kanak-kanak prasekolah sebagai

kanak-kanak yang berumur antara enam tahun yang sedang menerima pendidikan awal

di prasekolah kendalian institusi pendidikan swasta . Kanak-kanak prasekolah yang

terlibat dalam kajian ini juga telah melalui sesi pembelajaran kemahiran membaca di

prasekolah yang sama sejak dari awal tahun ini.

24
1.8.2 Kemahiran Membaca

Melalui transformasi kurikulum KSPK semakan 2017, kemahiran membaca telah

disenaraikan sebagai salah satu fokus utama dalam tunjang pembelajaran iaitu Tunjang

Komunikasi Bahasa Melayu yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak prasekolah. Menurut

Norain et.al. (2018), kemahiran membaca ditakrifkan sebagai kebolehan seseorang

individu untuk menamakan huruf dan membunyikan vokal, membaca dan memahami

perkataan, ayat serta perenggan. Manakala, Naimah, Nor Hashimah dan Hashim (2011)

pula menjelaskan, kemahiran membaca merujuk pada peringkat kemahiran kedua yang

perlu diperoleh kanak-kanak prasekolah selepas peringkat prabacaan.

Dalam konteks kajian ini, perkataan kemahiran membaca bermaksud

menyuarakan tulisan yang tertera pada bahan bercetak dan memahami makna isi

kandungan bahan bercetak yang di baca. Kemahiran membaca boleh dikuasai melalui

proses pembelajaran secara bermain yang dilakukan secara pengulangan yang konsisten

dan latihan latih tubi.

1.8.3 Suku Kata Terbuka

Pada peringkat awal kanak-kanak, aktiviti kemahiran membaca disusun mengikut

urutan daripada mudah kepada yang lebih sukar iaitu bermula daripada menyebut bunyi

huruf vokal. Diikuti dengan membunyikan gabungkan bunyi huruf konsonan dan vokal

atau KV. Kemudian, urutan seterusnya adalah membina dan membaca suku kata serta

membaca perkataan yang menggandungi dua suku kata terbuka KV+KV.

25
Dalam bahasa Melayu terdapat sebelas pola suku kata. Menurut Kamisah,

Fadhilah dan Saedah (2016), suku kata bermaksud bahagian perkataan berasaskan

kehadiran vokal. Perkataan dalam bahasa Melayu ditandai dengan kewujudan bunyi

vokal atau bunyi yang digabungkan. Merujuk pada KSPK semakan 2017, sebanyak

sembilan pola suku kata terbuka dan tertutup disenarikan dalam SP kemahiran membaca

Bahasa Melayu dan ianya perlu dikuasai oleh kanak-kanak prasekolah (KPM, 2016).

Ringkasnya, istilah suku kata terbuka dalam kajian ini berfokus pada pola suku

kata satu suku kata terbuka KV dan dua suku kata terbuka KV+KV. Sebanyak 18

perkataan satu suku kata KV telah dibina hasil daripada gabungan enam huruf kecil

kosonan (K) yang dipilih iaitu; “b”, “d”, “g”, “j”, “l” dan “n”’ dengan tiga huruf kecil

vokal pilihan iaitu “a”, “i” dan “u. Manakala, sebanyak 10 perkataan dua suku kata

terbuka KVKV telah dibina hasil dari gabungan huruf konsonan dan huruf vokal (KV)

pilihan

1.8.4 Permainan T-Pintar

Dalam pendidikan awal kanak-kanak, permainan selalu digunakan sebagai satu medium

untuk menarik minat kanak-kanak untuk belajar. Selain itu, aktiviti permainan juga

berperanan untuk meyumbang kepada perkembangan kanak-kanak. Menurut Uswatun

Hasanah, 2016, permainan boleh di takrifkan sebagai salah satu bentuk aktiviti sosial

yang menjadi keutamaan kepada kanak-kanak untuk memperoleh keseronokan, mengisi

masa lapang atau sebagai aktiviti bersukan. Manakala, Yiawla, Filipus dan Poppy

(2017), mendefinisikan permainan sebagai suatu aktiviti bermain atau aktiviti sukan

yang mempunyai aturan dan pergerakkan yang harus di lakukan.

26
Dalam kajian ini, permainan merujuk kepada satu aktiviti permainan yang

diinovasikan dari permainan tradisional teng-teng iaitu permainan T-Pintar dan

digunakan sebagai bahan intervensi pengajaran kemahiran membaca. Set permainan T-

Pintar terdiri daripada:

i. Foam mate T-Pintar mudah alih berwarna merah dan hijau serta bersaiz

XXX. Di atas setiap foam mate di tampal satu poket lutsinar untuk

memasukan kad imbas huruf dan suku kata KV.

ii. Kad-kad suku huruf yang dihasilkan dengan menggunakan kertas putih

tebal bersaiz XXXX sentimeter dan di cetak. Setiap huruf vokal dicetak

warna merah dan huruf konsonan dicetak warna hitam.

27
iii. Kad-kad suku kata KV dihasilkan dengan menggunakan kertas warna,

dicetak dan di laminate bagi memastikan ketahanannya. Setiap suku kata

dengan vokal berbeza dicetak dengan menggunakan kertas berbeza

warna.

iv. Kad gambar dihasilkan dari imej-imej yang di ambil dari internet, dicetak

dan di laminate. Setiap kad gambar mewakili objek suku kata KVKV

contohnya: kad gambar batu.

Permainan T-Pintar ini digunakan untuk membantu meningkatkan tahap

kemahiran membaca suku kanak-kanak prasekolah yang masih gagal menguasai

kemahiran tersebut. Selain itu, melalui permainan ini juga ianya mampu untuk menarik

minat kanak-kanak supaya gembira belajar dan aktif melibatkan diri dalam proses PdPc

kemahiran membaca berlangsung dalam bilik darjah.

28
1.8.5 Meningkatkan

Secara dasarnya, istilah meningkat merujuk kepada perubahan kedudukan atau

peringkat dari tahap lama ke tahap baru. Merujuk pada Kamus Dewan Edisi Keempat

(2010), perkataan meningkatkan ditakrif sebagai meninggikan tahap sesuatu perkara.

Dalam kajian ini, perkataan meningkatkan merujuk kepada proses menaikkan

atau meninggikan tahap penguasaan kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak

prasekolah. Aspek kemahiran membaca yang di uji tahap peningkatannya adalah

kemahiran membunyikan gabungan suku kata KV dan membaca perkataan suku kata

terbuka KVKV dari tidak lancar kepada lancar selepas menerima intervensi pengajaran

aktiviti permainan T-Pintar Suku Kata yang diaplikasi dalam PdPc kemahiran

membaca.

1.8.6 Minat

Istilah minat merupakan antara pemboleh ubah penting yang di kaji dalam kajian ini.

Secara umumnya, istilah minat berkait dengan perasaan suka atau senang seseorang

terhadap sesuatu hal atau aktiviti. Selain itu, istilah minat juga kerap dikaitkan sebagai

dorongan atau keinginan yang timbul dalam diri seseorang individu yang menyebabkan

individu tersebut menaruh perhatian pada aktiviti atau kegiatan suatu perkara. Menurut

Palaniappen (2009), minat menyebabkan individu memberi perhatian kepada sesuatu

hal atau perkara dengan kerelaan sendiri tanpa perlu dipaksa. Manakala, Noor Erma dan

Leong (2014) menjelaskan bahawa minat adalah suatu perasaan keterikatan yang

menjadi pendorong kepada murid untuk bergiat cergas dalam aktiviti pembelajaran.

29
Dalam kajian ini, istilah minat merujuk kepada ciri-ciri kanak-kanak

berkeinginan untuk belajar kemahiran membaca. Ciri-ciri kanak-kanak minat belajar

kemahiran membaca yang dimaksudkan adalah seperti;

i. Merasa seronok dan gembira semasa aktiviti pembelajaran berlangsung.

ii. Berani untuk melibatkan diri dalam aktiviti.

iii. Bersedia untuk mengulangi aktiviti pembelajaran.

iv. Bersemangat untuk meningkatkan tahap bacaam.

1.9 RUMUSAN

Bab ini telah merupakan pengenalan kepada latar belakang kajian yang berkaitan

dengan kemahiran membaca, masalah kanak-kanak prasekolah yang masih belum

menguasai dan tidak berminat mempelajari kemahiran membaca Bahasa Melayu.

Berdasarkan masalah yang di hadapi oleh kanak-kanak prasekolah dalam kemahiran

membaca, satu intervensi pengajaran menggunakan aktiviti permainan T-Pintar yang

diadaptasi daripada permainan tradisional Melayu iaitu teng-teng telah dicipta. Kajian

ini dijangka dapat memberikan impak positif dalam proses PdP kemahiran membaca

kepada kanak-kanak dan guru dari sebuah prasekolah swasta di daerah Johor Bahru.

Justeru itu, perbincangan dalam bab ini merupakan garis panduan dan asas dalam

menjalankan kajian supaya kajian ini fokus kepada objektif yang telah digariskan

sebelum ini. Perbincangan dalam bab berikutnya adalah berkaitan dengan sorotan

literatur, iaitu kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji lain dalam bidang

pembelajaran kemahiran membaca. Daripada sorotan tersebut, pembinaan kerangka

konsep kajian dilakukan berdasarkan teori-teori pembelajaran yang dibincangkan.

30
31

Anda mungkin juga menyukai