Anda di halaman 1dari 3

Assalamualaikum wbt.

alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT di mana


dapat kita berhimpun lagi pada hari ini. InsyaAllah pada hari ini saya akan
memberikan tazkirah ringkas mengenai solat.
"Sesungguhnya amalan pertama yang akan dihisab bagi seseorang
hamba di hari kiamat ialah SOLAT, jikalau solatnya baik maka dia
termasuk orang yang bahagia lagi beruntung dan jikalau solatnya
rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung..." (HR.
Imam al-Tirmidzi)
Sesiapa yang memeliharanya solat, maka dia akan memperolehi
cahaya, bukti keterangan dan kebebasan di hari kiamat. Dan bagi
mereka yang tidak menjaga solat, maka dia tidak akan memperolehi
cahaya, bukti keterangan dan kebebasan, sedang di hari kiamat dia
akan bersama Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalf. (HR. Imam
Ahmad)
Abu Qatadah r.a menceritakan bahawa beliau dengar
Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda : "Allah berfirman,
'Hai Muhammad! Aku telah mewajibkan lima kali solat sehari semalam
bagi umatmu. Aku telah berjanji dengan diriKu barang siapa
mengerjakan solatnya pada waktunya, maka dia akan dimasukkan ke
dalam syurga. Umatmu yang tidak menjaga solatnya tidak termasuk
dalam perjanjian ini". (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)
Sesunggguhnya solat itu tiang agama, ibarat rumah yang tiada tiang maka
robohlah rumah itu. Solat merupakan penghulu segala amal yang lain. Solat
merupakan syarat sah untuk diterima amalan yang lain. Solat juga merupakan
perkara yang pertama akan dihisab. Tidak ada alasan bagi sesiapapun untuk
meninggalkannya. Jika sakit tak mampu menunaikan dengan berdiri, boleh
ditunaikan dengan duduk. Tak dapat duduk boleh secara berbaring. Tak dapat
juga dengan berbaring boleh dengan isyarat. Tak ada air boleh tayammum.
Terlupa habis waktu, wajib ganti. Jika musafir, boleh dijama (dihimpunkan).
Pendek kata ibadah solat mestilah ditunaikan dalam keadaan apapun juga dan
dimanapun kita berada.
Sesungguhnya perbuatan meninggalkan solat ini merupakan kes jenayah yang
paling berat, kerana ia tonggak segala urusan agama ini. Kerana ia hubungan
dari seorang hamba dengan Tuan Penciptanya. Baik buruknya perlakuan
seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik,
dilakukan dengan penuh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat,
kefahaman dan lalu penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari
perbuatan keji. Hal ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul
dalam tiap individu. Firman Allah swt:
Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji
dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar
(faedahnya dan kesannya). (Al-'Ankabuut 45)

Solat adalah ibadat yang sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw lagi.
Dalam Al-Quran diceritakan yang Nabi Ibrahim as berdoa kepada Allah untuk
dirinya dan zuriatnya agar mendirikan solat sebagaimana Firman Allah swt:
Wahai Tuhanku! jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan
demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami,
perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim 40)
Begitu juga Nabi Ismail as:
Dan ia menyuruh ahlinya untuk bersolat dan menunaikan zakat.
(Maryam 55)
Demikianlah perintah solat merupakan suatu perkara yang telah diwajibkan
telah berkurun lamanya. Merupakan syiar seorang hamba yang patuh dan
tanggungjawab penting yang telah diwajibkan juga kepada seorang Rasul
pilihan Allah. Hinggalah kepada kita sampai hari ini.
Sabda Nabi saw: Ajarkanlah anak kamu supaya menunaikan solat
apabila sudah sampai umurnya tujuh tahun, dan pukullah jika sudah
memasuki 10 tahun. (Hr Abu Daud dan at-Tirmidzi. Imam at-Tirmidzi
berkata: Hadis Hasan). Disuruh dalam hadis ini ialah kepada walinya.
Daripada Imran bin al-Hushain ra, katanya: Aku ada penyakit bawasir,
maka aku bertanya Nabi saw tentang bagaimana dengan solat. Lalu
Nabi saw bersabda: Solatlah berdiri, jika tak mampu dalam keadaan
duduk, jika tak mampu dalam keadaan berbaring. (Hr Bukhari)
Yang pertama dihisab dari hamba dihari kiamat dari amalnya ialah
solat. Jika baik, maka dia telah berjaya, lulus. Dan jika rosak, maka dia
telah gagal, rugi. Jika ada sesuatu yang kurang dari solatnya, lihatlah
adakah ada padanya amal sunat, maka disempurnakan apa yang
kurang dari solat tadi. (Hr at-Tirmidzi, Hasan)
Perbezaan di antara seorang muslim dan syirik dan kafir adalah
meninggalkan solat. (Hr Muslim)
Marilah sama-sama kita melaksanakan solat dengan sempurna. Adalah menjadi
tanggungjawab memberi peringatan terhadap diri sendiri, keluarga, sanaksaudara, sahabat-sahabat akan betapa pentingnya solat. Marilah kita samasama berdoa memohon hidayah dan rahmat-Nya dan sama-sama kita pelihara
sebaiknya solat kita, hanya 5 kali sehari. Marilah kita jadikan solat ini sebagai
rutin kerja yang utama yang wajib dilaksanakan setiap hari. Dan jangan jadikan
solat ini perkara yang membebankan. Firman Allah swt:
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu
dari api neraka. (At-Tahrim 6).
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat,
dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. (Taha 132)

Akhir kata sebagai penutup kepada tazkirah ringkas ini, peliharalah sungguhsungguh solat kita ini dan jangan mengabaikannya. Marilah kita menjadi
hamba yang bersyukur hamba yang taat kepada penciptaNya. Sesungguhnya
yang baik itu datang daripada Allah dan yang buruk itu disandarkan ke atas
kelemahan diri saya ini namun hakikatnya kedua-duanya datang daripada Allah
SWT.

Anda mungkin juga menyukai