Anda di halaman 1dari 2

KENAPA KITA DIWAJIBKAN SOLAT

SOLAT adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam setiap hari.
Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan
Rasulullah s.a.w, daripada takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya
dengan penuh takwa. Orang yang mendirikan solat adalah orang yang beriman.
Orang yang beriman mesti mendirikan solat.

" Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu


mendirikan solat." (Ibrahim:31)

Di dalam al-Quran, dilaporkan ada lebih 25 tempat ayat "agama" yang merujuk
kepada makna perintah mendirikan solat dan lebih 70 kali perkataan "as-solah" atau
solat diulang dan disebut dalam al-Quran. Antaranya, firman yang bermaksud:

" Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah
kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan
semasa kamu berbaring.

" Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan
aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa).
Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-
orang yang beriman, yang tertentu waktunya. " (an-Nisa':103)

Setiap individu Muslimin dan Muslimah mesti mengerjakan solat. Malah, bagi ketua
keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat. Ibu bapa
pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia
tujuh tahun. Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya.
Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat,
malah mengiringi mereka yang mengerjakannya. Solat akan menjadikan seseorang
sentiasa mengingati Allah dan menghampirkan diri dengan-Nya, sekali gus
menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.

" Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu,
sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku."
(Toha:14)

Solat adalah tanda kesyukuran. Muslimin atau Muslimah yang mengerjakan solat
adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala
nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat
kepada-Nya. Ibadat solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada
melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang
dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud:

" Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima
waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa
antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar."
(Hadis riwayat Muslim)

Solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang
dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si
pelakunya daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.

" Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan
mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar
(faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)

Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. Kita boleh
lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan
solat, jauh berbeza bukan!

" Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu)


mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun: 1-2)

Solat dapat menenteramkan jiwa. Orang yang melakukan solat secara sempurna
dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan
sekaligus menjadikan kehidupannya lebih ceria. Seorang yang taat mengerjakan
solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya
serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya.

" Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) mengeluh apabila


kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali
orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-
23)

Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana


solat bagi Baginda adalah amalan penyejuk hati. Kelebihan ini sekurang-
kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan
solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut
sama melakukannya.

Anda mungkin juga menyukai