Anda di halaman 1dari 12

Solat atau sembahyang adalah rukun kedua yang menjadi asas terbinanya Islam.

Solat juga
merupakan tiang agama dan satu cibadah wajib ke atas setiap umat Islam untuk
melakukannya dalam apa jua keadaan selagi akalnya masih sihat dan waras. Jika ditinjau
dalam al-Quran terdapat lebih dari 25 tempat ayat “ aqama” yang merujuk kepada makna
perintah agar melaksanakannya atau mendirikan solat dan terdapat lebih 70 kali perkataan “
as-solah” atau sembahyang diulang-ulang dan disebut dalam al-Quran, antaranya :

Firman Allah S.W.T.

Ertinya :
“ Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut
dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring.
Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka
dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah
satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya “

Sebagai umat Islam, sama ada remaja, dewasa, lelaki mahupun perempuan hendaklah
memerhati , memahami dan menghalusi dengan sehalus-halusnya perintah dari solat ini. Oleh
kerana itu , Baginda nabi SAW telah berpesan kepada umat Islam sejak 1400 tahun yang lalu
supaya ibubapa mengajar dan menyuruh anak-anak agar mengerjakan cibadah solat sejak
umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka jika enggan solat ketika berusia 10 tahun.

Solat Berjamaah Satu Tuntutan

Solat berjemaah pada masa kini didalam masyarakat kita hanya dijadikan sebagai upacara
sempenaan tertentu sahaja seperti ada majlis-majlis rasmi dan keramaian atau dijadikan acara
mingguan dan tahunan sahaja seperti solat jumaat dan hari raya. Persoalaannya kenapa
kebanyakkan dari kalangan kita orang Islam memandang remeh hal solat berjamaah serta
beranggapan ianya tidak penting ?!

Kepentingan solat lima waktu sememangnya diketahui umum oleh kita semua umat Islam,
sehingga ia diletakkan pada kedudukan kedua dalam rukun Islam selepas mengucap dua
kalimah syahadah dan disebut sebagai tiang agama.

Begitupun, keadaan umat Islam pada zaman ini yang sebahagiannya didapati sengaja
mencuaikan perintah Allah ini, apatah lagi untuk menunaikannya secara berjemaah, adalah
suatu hakikat yang amat menyedihkan hari ini.

Persoalaannya kenapa kebanyakkan dari kalangan kita orang Islam memandang remeh hal
solat berjamaah serta beranggapan ianya tidak penting?! Sedangkan lambang kesatuan dan
kekuatan umat Islam terletak didalam satu barisan bermula dari solat berjamaah. Firman
Allah SWT dalam surah al-Shaff ayat 4 :

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela


agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang
tersusun kukuh.
Tanggapan bahawa solat berjemaah tidak penting adalah sangkaan yang salah dan
bertentangan dengan perintah Allah SWT, sebagaimana firman Nya dalam surah al-Baqarah
ayat 43 :

Maksudnya: dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah
kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang Yang rukuk.

Maksud suruhan rukuk bersama orang-orang yang rukuk dalam ayat di atas, ialah suruhan
supaya solat-solat fardhu itu dilakukan secara berjamaah.

Tuntutan solat fardhu lima waktu secara berjemaah ini adalah sunnah Nabi SAW yang
sewajibnya kita sambut dan ikuti bukan hanya menyambut hari kelahiran Baginda
SAW setiap tahun sedangkan sunnahnya tidak disambut dan diikuti. Malangnya, apa yang
diperintah dan dituntut oleh Rasul tidak diikuti dan diamalkan, malah apa yang tidak
diperintah pula yang dilakukan. Inilah yang mengundang musibah dan bala daripada Allah
terhadap umat-umat yang terdahulu.

Nabi SAW memberi ancaman yang keras terhadap kaum lelaki yang selalu meninggalkan
solat berjemaah dengan sengaja tanpa uzur syarei, sebagaimana sabda baginda SAW dalam
satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah RA
bermaksud:

“Seberat-berat solat ke atas golongan munafiq ialah solat `Isya’ dan solat Subuh. Jika
mereka tahu kelebihan pada kedua-dua solat tersebut, tentu mereka akan menunaikannya
(secara berjemaah) walaupun dengan cara merangkak (ke tempat solat).

Sesungguhnya aku berhasrat (disatu masa) memerintah (sahabat-sahabat) menunaikan solat


(fardhu secara berjemaah) dengan memerintah seorang lelaki bersolat (menjadi imam)
bersama-sama sahabat (yang hadir), kemudian aku akan keluar dengan sekumpulan
lelaki bersama seberkas kayu api untuk mencari mereka yang tidak menunaikan
solat fardhu (secara berjemaah) maka aku akan bakar rumah-rumah mereka.”

Bertapa penting dan besar kedudukan solat fardhu lima waktu secara berjemaah disisi Islam,
sehinggakan ianya diberi kelebihan pahala dua puluh tujuh kali ganda bagi orang yang
bersolat secara berjemaah daripada bersolat bersendirian, sebagaimana dalam sabda
Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar ra
bermaksud: “solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda
pahala”

Marilah kita beramai-ramai menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah dimana
sahaja kita berada, sama ada di pejabat, di pasaraya, di sekolah, taman rekreasi dan yang
paling utama solat berjemaah ini dilakukan di masjid.

Solat berjemaah adalah lambang kekuatan dan keutuhan umat Islam serta cahaya keimanan
mereka. Tanda kelemahan kesatuan umat Islam serta malap keimanan mereka adalah
bilamana mereka meninggalkan solat secara berjemaah. Diantara perbezaan seorang muslim
yang sejati dan munafik adalah pada solat mereka. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa
ayat 142:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama)
Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah
pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan
munafik). Apabila mereka hendak berdiri sembahyang, mereka berdiri dengan malas. mereka
(hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka
Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan
mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang sekali).

Setelah kita memahami dan beriman dengan akidah dan tauhid sesuai Ahli sunnah wal
Jamaah yang sahih, susulannya pula perlu dibuktikan dengan amal soleh sebagai lambang
seorang mukmin. Amal soleh yang menjadi tunjang kepada lambang seorang mukmin adalah
solat fardu lima waktu sehari semalam.

Besarnya ibadat solat ini, sehingga Allah swt apabila ingin mewahyukan kefarduan ibadat
solat kepada Nabi saw dengan menjemput baginda dengan mukjizat yang paling unggul.
Baginda dijemput oleh Allah swt menjadi tetamu Allah yang mulia dengan perjalanan
mi’raj sehingga ke Sidratul Muntaha yakni langit ketujuh yang tertinggi. Baginda berjumpa
dengan Allah secara langsung, diwahyukan kerfarduan solat terus kepada baginda tanpa
perantaraan dan hijab.

Kalaulah solat ini bukan amal ibadat yang paling Allah cintai, masakan pula ianya
diwahyukan dengan cara yang paling agung, kepada Nabi yang Agung dan di tempat yang
tidak pernah ada makhluk menjejakinya kecuali Nabi Muhammad saw. Peristiwa ini menjadi
sejarah dan bukti tentang kepentingan ibadat solat berbanding dengan ibadat-ibadat yang
lain.

SOLAT TIANG ISLAM

Seperti yang kita sedia maklum, bahawa solat fardu merupakan rukun Islam yang kedua. Di
dalam hadis Nabi saw, Nabi mengatakan : “Pokok segala perkara adalah Islam dan
tiangnya adalah solat.” (HR. Tirmidzi no. 2825. Dikatakan sahih oleh Syeikh al-Albani
dalam Sahih wa Dhaif Sunan at-Tirmidzi ).

Jadi, apabila seorang Islam itu itu tidak mendirikan solat maka ia telah meruntuhkan tiang
Islam itu sendiri. Sehingga Islam tidak pernah membezakan di antara orang Islam dan orang
kafir dalam sesuatu amal ibadat melainkan dalam hal solat.

Mungkin kita suka menderma tetapi ada juga orang kafir yang suka menderma. Kita berbuat
baik kepada ibu bapa mereka juga berbuat baik kepada ibu bapa mereka. Boleh dikatakan
dalam banyak perkara amal kebaikan kemungkinan mereka ada yang sama dengan kita tetapi
tidak dalam hal ibadat solat. Solat hanya ada pada orang Islam sahaja. Ia Didirikan dengan
penuh displin, ditetapkan masanya dan mempunyai cara yang khusus pula.

BEZA ISLAM DAN KAFIR

Perkara ini dikuatkan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud : “Pemisah antara seorang
hamba dengan kekufuran dan keimanan adalah solat. Apabila dia meninggalkannya, maka
dia melakukan kesyirikan.” (HR. At-Thabari dengan sanad sahih. Syeikh al-Albani
mengatakan hadis ini sahih. Lihat Sahih at-Targib wa at- Tarhib no. 566).

Dengan hadis ini juga Umar al-Khattab pernah mengatakan : “Tidak ada bahagian dalam
Islam bagi orang yang meninggalkan solat”. (Kitab Sunan Ad-Daruqutni, Hadis sahih,
sebagaimana dikatakan oleh Syeikh al-Albani dalam Irwa’ul Ghali l no. 209).

Ketika Umar mengatakan perkataan di atas tatkala menjelang kematiannya, tiada seorang
sahabat pun yang mengingkarinya. Manakala seorang tabien yang bernama Abdullah bin
Syaqiq beliau mengatakan: “Dulu para shahabat Muhammad saw tidaklah pernah
menganggap suatu amal yang apabila ditinggalkan menyebabkan kafir kecuali solat”.
(Lihat As-Tsamar Al-Mustathab fi Fiqhis Sunnah wal Kitab, ms. 52)

FATWA SAHABAT DAN ULAMA SALAF

Hal ini mengukuhkan bahawa hukum meninggalkan solat adalah kafir merupakan ijmak
(kesepakatan) sahabat Nabi sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu al-Qayyim di dalam
kitab As-Solahnya.

Begitu juga majoriti ulama Salaf dalam membahaskan semua perkara maksiat yang
dilakukan seseorang Islam mereka sepakat tidak menjatuhkan kafir pelaku maksiat kecuali
dalam hal maksiat meninggalkan solat. Seperti kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah : “ Kaum
muslimin bersepakat bahawa meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja adalah dosa
besar yang paling besar dan dosanya lebih besar dari dosa membunuh, merampas harta orang
lain, berzina, mencuri, dan minum arak. Orang yang meninggalkannya akan mendapat
hukuman dan kemurkaan Allah serta mendapatkan kehinaan di dunia dan akhirat.” (As-
Solah, ms. 7)

Mana mungkin ada perasaan rasa bersalah atau berdosa kepada orang Islam apabila mereka
tidak mengetahui ancaman agama terhadap meninggalkan solat. Barangkali juga mereka yang
lalai menjaga solat tidak terdidik dari kecil akan kewajipan mendirikan solat ini oleh ibu
bapa mereka. Belajar solat sebenarnya dimulai di rumah bukan di sekolah. Diajar pertamanya
oleh ibu dan bapa sendiri bukan guru di sekolah.

Kepada yang lalai dan meninggalkan solat fardu ini hendaklah segera bertaubat. Mereka
yang enggan bertaubat dari meninggalkan solat dikhuatiri Allah akan mengazabkan kita
dengan neraka yang paling bawah. Allah swt berkata : “ Maka datanglah sesudah mereka,
pengganti (yang buruk) yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya,
maka mereka kelak akan menemui ‘al- ghoiya’, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan
beramal soleh.” (Surah Maryam, ayat 59-60)

Tahukah kita apa itu al-Ghoiya? Ibnu Mas’ud RA menjelaskan bahawa ‘ghoiya’ dalam ayat
tersebut adalah sungai di neraka jahanam yang sangat bawah, dan ianya merupakan tempat
kepada orang-orang kafir bukan tempatnya orang Islam yang diazab.(As-Solah, ms. 31)

Oleh itu kaum muslimin dalam Negara ini sewajarnya bersungguh-sungguh menjaga solat
fardu lima waktu ini sebagai benteng agar tidak terjatuh dalam lembah kekafiran. Kepada
yang telah menjaganya semoga ianya dapat terus istiqamah dalam mendirikannya di samping
memperbaiki tatacara solat sesuai dengan solat yang dilakukan oleh Nabi saw.
HIKMAH SOLAT
1- Meningkatkan perasaan ubudiyah terhadap Allah, kerana
kesibukkan kita dengan urusan dan tanggungjawab dunia
kadangkala menjadikan kita alpa siapa diri kita yang
sebenarnya. Bersolat mengingatkan kita akan kedudukan kita
sebagai hamba kepada pencipta kita iaitu Allah .

2- Masa untuk manusia bertaubat kepada Alllah daripada


segala dosa dan kesalahan yang mereka lakukan sepanjang
hari . Secara sedar atau tidak kita melakukan pelbagai dosa
setiap hari. Oleh itu, solat yang dikerjakan secara berterusan
membantu membersihkan dosa-dosa ini dan menyucikan hari
kita daripada kecenderungan kepada maksiat, sebagaimana
sabda Rasullulah saw :

"Apa pandangan kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di


hadapan pintu salah seorang daripada kamu di mana dia
mandi di situ lima kali sehari. Adakah masih tinggal sebarang
kekotoran pada tubuhnya ?" Mereka berkata:" Tiada ada
sebarang kotoran."

Baginda berkata lagi :"Demikian juga seperti solat lima


waktu, di mana Allah menghapuskan segala dosa."
(Direkodkan oleh Tarmizi dalam kitab Sunan al-Tarmizi pada bab Perumpamaan daripada
Rasullulah saw; perumpamaan solat lima waktu. )

3- Solat lima waktu ini juga bertindak sebagai pengisian atau


makanan yang berterusan kepada akidah dan keyakinan
kepada Allah. Dengan makanan dan bekalan yang
mencukupi,iman dan akidah akan menjadi lebih kuat .
Terdapat banyak sekali kelebihan-kelebihan atau keistimewaan yang hanya ada pada solat
dan tidak pada ibadah-ibadah lain. Lihat sahaja bagaimana Allah mewajibkan solat pada
baginda Rasulullah. Tidak seperti ibadah lain, ia difardukan oleh Allah secara langsung
kepada Rasulullah S.A.W di langit iaitu pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Melalui tajuk ini, saya cuba sebutkan 5 sebab utama yang menjelaskan kepentingan solat
kepada manusia sehingga kita perlu melakukannya 5 kali sehari semalam dalam apa jua
keadaan dan ketika.

Pertama: Solat Peluang Kita Berinteraksi Dengan Allah.

Solat membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui kelazatan
munajat kepada Pencipta dan melahirkan pengabdian kepada Allah dengan menyerah segala
urusan kepada-Nya, memohon kedamaian dan keselamatan daripada-Nya.

Lihat sahaja bentuk amalan solat yang diajarkan oleh Rasulullah, bermula dengan qiyam
(berdiri), ruku’, i’tidal dan sujud. Kesemuanya dilakukan dengan tujuan untuk membesarkan
Allah, Tuhan yang Maha Kuasa lagi Agung. Kenapa tidak? Dengan limpah kurniaan dan
nikmat yang dianugerahkan kepada kita baik dari segi kesihatan tubuh badan, zuriat, suami-
isteri, ibu bapa serta keluarga. Tidakkan itu satu nikmat yang tidak terhingga?

Baginda Rasulullah s.a.w. bukan sahaja mengajarkan cara melakukan solat tetapi juga
mengajarkan kepada kita dengan pelbagai pujian serta doa yang boleh diamalkan sepanjang
kita melakukan dengan ibadah solat iaitu bermula dengan qiyam atau berdiri sehinggalah
sebelum kita melafazkan ucapan salam.

Inilah yang saya maksudkan sebagai satu peluang untuk kita berinteraksi dengan Allah secara
langsung, menyembah kepada-Nya, memuji dan membesarkan Allah. Ianya tidak akan
berakhir sehinggalah kita mengucapkan salam pada-Nya.

Maka tidakkah rugi bagi kita jika kita tidak mengambil peluang semasa kita mengadap Allah
ini dengan memperbanyakkan doa baik berupa permintaan, permohonan bagi menjauhkan
dari segala bahaya godaan syaitan dan tidak lupa juga iaitu pengampunan kita kepada Allah.

Kedua: Peluang Menggandakan Pahala Dan Penghapusan Dosa

Solat bukan sahaja menjadi penyumbang kepada ganjaran yang berlipat ganda, malah ia juga
dapat menghapuskan dosa-dosa yang yang lalu.

Inilah kelebihan kita sebagai umat Nabi Muhammad s.aw yang tidak terdapat pada umat-
umat yang sebelumnya, sehinggakan baginda Rasulullah pernah menyatakan agama Islam itu
mudah. Mengapa tidak? Umat terdahulu seperti pada zaman Nabi Musa begitu banyak sekali
pantang larangnya. Hendak makan daging lembu sebagai contoh, tidak kesemuanya boleh
dimakan begitu sahaja, ada bahagian-bahagian yang ditegah daripada menjamunya. Kita umat
Nabi Muhammad? Selagi mana ianya disembelih dengan menyebut nama Allah, maka daging
lembu tersebut adalah halal dimakan.

Bangsa Yahudi pada zaman Nabi Musa juga disyariatkan untuk beribadah pada hari Sabtu
dan tidak dibenarkan melakukan perkara lain. Sehinggakan mereka melakukan tipu daya bagi
mengelakkan larangan ini. Umat nabi Muhammad? Kita bebas melakukan apa sahaja kerja
yang halal pada bila-bila masapun, asal sahaja kita tidak meninggalkan perintah Allah untuk
mendirikan solat Fardu lima waktu sehari semalam.

Bagaimana pula dengan hal pengampunan kepada Allah bagi dosa-dosa kita? Cukup dengan
bertaubat dengan sebenar-benarnya pada Allah, berazam untuk tidak mengulanginya lagi dan
benar-benar menyesal di atas segala kesilapan pada masa lalu di samping melakukan perintah
yang diwajibkan Allah seperti solat Fardu dan lain-lain ibadah bagi menampung dosa-dosa
kita yang lalu, maka Insha Allah dosa-dosa kita yang lampau akan diampunkan Allah.

Ini jelas di mana Nabi Muhammad pernah menyatakan bagi sesiapa yang melakukan solat
Fardu dari satu Jumaat ke satu Jumaat yang lain, maka dosanya di antara kedua Jumaat
tersebut akan diampunkan oleh Allah, begitu juga dengan sesiapa yang berpuasa pada bulan
Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka Allah akan mengampunkan dosa-
dosanya pada masa lalu.

Bagaimana pula dengan umat pada masa yang lalu? Bangsa Yahudi akibat kesilapan mereka
menduakan Allah dengan menyembah sapi, mereka diperintahkan Allah untuk berbunuh-
bunuhan sesama sendiri bagi membolehkan taubat kita diterima Allah. Tidakkah kita merasa
bersyukur sekarang menjadi umat nabi Muhammad?

Bercakap tentang solat pula banyak sekali kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan Allah
seperti dari segi penghapusan dosa.

Firman Allah :

Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian
siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu
malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan
kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-
orang yang mahu beringat. Surah Hud ( 11 ) : 114

Ini diperkuatkan lagi dengan sabda Rasulullah :

Ertinya :

Malah Rasulullah pernah mengumpamakan orang yang mendirikan solat Fardu lima waktu
kepada para sahabat seperti seorang yang mandi lima kali sehari yakni Allah membersihkan
sesiapa yang mengerjakan solat dengan penghapusan dosa-dosa.

Di samping itu dengan solat juga, bukan sahaja kita dapat mendekatkan diri kepada Allah
dengan mengucapkan segala pujian seperti tasbih, tahmid dan juga takbir ketika melakukan
qiyam, ruku’, sujud dan lain-lain perbuatan tetapi juga dianugerahkan dengan pahala yang
tidak terhingga.
Ketiga: Membentuk Mukmin Yang Kuat Dan Sihat

Pernahkah kita terfikir pabila kita mendirikan solat bagi menjalankan kewajipan perintah
Allah, kita bukan sahaja menerima pahala yang berlipat ganda dan ditebus segala dosa-dosa
kita yang terdahulu tetapi secara tidak langsung juga kita telah menanamkan pada diri kita
kecintaan dalam melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan atau jasmani.

Dengan melakukan solat juga dapat memperkukuh kesegaran tubuh badan kita. Solat
menuntut agar setiap muslim, bangun pagi seawal mungkin dan bersemangat dalam
menghadapi tugas-tugas harian sejak menjelang terbitnya matahari.

Menurut al-Zahabi: “ Dalam solat, faktor fizikal juga terlibat iaitu dalam bentuk senaman
untuk badan selain penumpuan fikiran. Senaman-senaman itu melibatkan berdiri tegak (
qiyam ) sujud, ruku’, tumakninah dan penumpuan melalui solat pergerakan-pergerakan badan
berlaku, dan kebanyakan organ dalam keadaan tenang. “

Rasulullah SAW melalui sunnahnya telah mengajarkan bahawa berdiri dalam solat harus
dengan tegap dan dalam posisi yang lurus dan tidak boleh dalam keadaan yang lemah atau
malas. Ia juga seharusnya dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak kelam kabut, ini dapat
disaksikan dalam perintah Rasulullah kepada seorang Arab badwi supaya mengulangi solat
yang dilakukannya dengan cara yang tidak teliti dan sempurna.

Dengan ini solat selain daripada merupakan ibadah ia juga merupakan satu bentuk riadah
tubuh badan harian yang tersusun dengan sedemikian rupa dalam memberikan kerehatan jiwa
dan juga jasmani manusia melalui pergerakan ketika melakukan ibadah solat seperti amalan
ruku’, i’tidal, sujud dan sebagainya seperti yang disebutkan tadi.

Menurut satu kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaya ke atas
sekumpulan peserta mendapati mereka yang sempurna solatnya lima kali sehari mempunyai
nilai komposisi badan yang lebih sihat berbanding dengan kumpulan peserta yang
meninggalkan solat, selain dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan
risiko penyakit jantung, stres, kolestrol dan lain-lain penyakit.

Keempat: Membentuk Kemantapan Rohani Dalam Diri

Solat yang dilakukan dengan penuh khusyu’ juga dapat menumbuhkan pada diri mukmin
yang melakukannya kekuatan rohani dan batin yang amat berguna dalam mengharungi segala
kesulitan hidup dan juga ujian dalam kehidupan seharian kita.

al-Zahabi menyatakan dalam kitab karangan beliau al-Tib:

“Ibadah solat sentiasa menghasilkan kegembiraan dan kepuasan, ia dapat mengurangkan


kebimbangan dan mengawal perasaan marah. Ia dapat meningkatkan rasa cinta kepada
kebenaran dan rendah diri terhadap manusia, melembutkan hati, membentuk kasih sayang
dan sifat memaafkan serta membenci dan sifat balas dendam…Seseorang boleh menemui
cara-cara untuk menyelesaikan masaalah-masaalah duniawi dan rohaniah. Dan seseorang itu
boleh memeriksa diri sendiri terutamanya apabila seseorang itu benar-benar menghayati
solatnya. Waktu yang paling baik ialah – selepas – tengah malam semasa kebanyakan orang
sedang tidur dan dalam keadaan sunyi sepi. “
Ini jelas sebagaimana firman Allah :

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat,
kerana sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang yang sabar.”

Dengan ini solat menjadi institusi pendidikan akhlak yang amali dan berdisiplin yang dapat
mengasuh sifat-sifat benar, amanah serta mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah S.W.T.:

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-
Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah
dari perbuatan yang keji dan mungkar; Surah al-‘Ankabut ( 29 ) : 45

Kelima: Memberi Keupayaan Mental Dan Kekuatan Dalaman Yang Tinggi

Selain dari faedah kerohanian yang dapat diraih melalui amalan solat yang dapat membantu
mukmin untuk sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan serta menjauhi perkara
maksiat dan juga mungkar, dengan mengerjakan solat juga akan dapat mengukuhkan moral
dan mental seorang mukmin.

Ini kerana ia akan dapat menanamkan dalam hati, kesedaran adanya pengawasan ilahi,
memelihara aturan-Nya, menjaga disiplin waktu, gentar akan ancaman dan seksaan Nya serta
sanggup mengatasi sifat-sifat kemalasan dalam memperturutkan hawa nafsu dan sifat-sifat
kelemahan manusia yang lainnya.

Antara contoh sifat kelemahan manusia yang berkaitan dengan mental ialah penyakit
kegelisahan atau Anxiety. Menurut Al-Quran ianya boleh diubati dengan melakukan solat.

Firman Allah :

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -Apabila ia
ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat
bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang – Iaitu mereka yang
tetap mengerjakan sembahyangnya; Surah al-Ma’arij ( 70 ) : 19-23

Daripada ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa solat adalah salah satu daripada cara
merawati kecelaruan kegelisahan. Ibadah solat merangkumi pelbagai aspek zikrullah seperti
doa, tasbih, takbir dan tahmid. Melalui zikrullah yang dibaca secara berulang-ulang ini
berdasarkan perasaan rindu kepada-Nya dapat mendidik jiwa manusia ke arah kebaikan serta
menjauhkan jiwa dari kejahatan selaras dengan kehendak Islam. Selain itu, ibadah solat juga
dapat mendidik jiwa manusia supaya sentiasa mencintai Allah dan Rasul-Nya. Cinta yang
mendalam ini akan membuat jiwa seseorang itu tenang dan sentiasa mengingati Allah serta
takutkan kebesaran-Nya.

Melalui ibadah solat juga mempraktikkan amalan berdoa kepada Allah, dengan cara ini dapat
memberi peluang kepada manusia untuk berinteraksi secara peribadi dengan Tuhan, selain
dari dapat meluahkan segala perasaan yang terbuku dalam hati mereka melalui doa yang
dipanjatkan kepada Allah. Ia juga sebenarnya menepati kaedah kaunseling atau Psycho
Therapy kerana mencurahkan perasaan yang menghantui diri pada orang kedua akan
membantu meringankan bebanan yang dihadapi.

Adapun dengan meninggalkan solat akan menyemarakkan kecintaan pada syahwat, buruk
dari segi akhlaknya, begitu juga jika solat dilakukan denga gerakan-gerakan anggota
badannya tanpa disertai kehadiran akal dan kekhusyukan hati tidak akan memberi kesan atau
impak yang mendalam dalam pembangunan mental seseorang.

Berbeza jika solat dikerjakan dengan bersungguh-sungguh dan khusyu’


dapat memperkuatkan jiwa daripada pengaruh cinta pada dunia, serta mengangkat diri
daripada keinginan nafsu terhadap kebesaran, harta dan kekuasaan.

Malah menurut kajian, seseorang yang memahami bacaan semasa solat dengan baik
mempunyai komposisi badan yang lebih sihat dan pemikiran yang lebih tenang selepas solat
berbanding dengan seorang yang tidak faham sepenuhnya bacaan semasa solat. Selain
menjauhkan jiwa seseorang daripada bersifat lalai yang boleh memesongkan kita ajaran
agama Islam.

Firman Allah:

Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenang karena dzikir kepada Allah. Ketahuilah
sesungguhnya dzikir kepada Allah akan membuat hati menjadi tenang

Surah al-Ra’ad ( 13 ) : 28

Begitu juga sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah : Menurut riwayat Ahmad, apabila
Rasulullah s.a.w. mengalami sesuatu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan,

“Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan sembahyang.”

Apa yang dapat disimpulkan ialah ibadah solat yang khusyu’ ini mempunyai pelbagai
kelebihan serta kekuatan mental serta ketenangan jiwa seterusnya dapat merawati segala
kekusutan yang menghantui jiwa seperti penyakit gelisah dan sebagainya.

Nota: Tulisan ini asalnya salah satu daripada topik bagi tesis sarjana saya, tetapi terpaksa
dikeluarkan bagi meringkaskan tesis. Ia juga sudah diubah dan ditambah bagi penyesuaian
tatapan umum agar tidak terlalu akademik.

Bibliografi:

Dr. Yusuf al-Qaradawi (1995), al-‘Ibadah Fi al-Islam, c. 24, Kaherah: Maktabah Wahbah, h.
224

Dr Wahbah al-Zuhayli ( 1989 ), al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, j.1, c.3, Beyrut : Dar al-
Fikr, h.499

Dr Suhayb Hasan ( 1996 ) Why Do We Pray ?, Riyadh : Dar al-Salam, h. 25.


Ahmad b. ‘Ali b. Hajar al-‘Asqal?ni ( 1989 ), Fath al-B?ri Syarh Sahih al-Bukhari, Kitab
Mawaqit al-Salat, Bab al-Salawat al-Khams Kaffarah, no. hadith 528 , j.2 , Beyrut-Lubn?n :
Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, h.13

‘Izz Al-Din Abd Al-Aziz bn Abd Al-Salam Al-Sulami ( 1995), Maqasid al-Solat, c.2,
Dimasyq-Syria : Dar al-Fikr, h.11. Lihat dengan lebih lanjut bagi hubungan antara orang
yang mengerjakan solat, hubungan dengan para Rasul juga dengan seluruh hamba Allah yang
soleh pada pada halaman 11-12 dalam kitab yang sama.

Dr Yusuf Al-Qaradawi ( 1995 ), al-Ibadah Fi al-Islam, c. 24, Kaherah : Maktabah Wahabah,


h.230

Fazlur Rahman ( 1992 ), Kesihatan dan Perubatan Dalam Tradisi Islam, Wan Mohd. Nor
Wan Daud et al ( terj. ), Malaysia : Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia., h. 70. Dinukil
daripada al-Zahabi dalam kitab al-Tib.

Muhammad Mahmud Abdullah (T.T), Fawaid al-Solat al-Shihhiyyah Wa al-Nafsiyyah Wa


Al-Ijtima’iyyah, Mansoura : Maktabah Al-Iman, h. 26

Fatimah Ibrahim et al (2009), Solat kebaikan dari Perspektif Sains, Kuala Lumpur: Universiti
Malaya, h. 27

Afzalur Rahman ( 1980 ), Islam Ideology And The Way Of Life, Singapura : Pustaka Nasional
Pte Ltd., h. 80.

Fazlur Rahman ( 1992 ) Kesihatan dan Perubatan dalam Tradisi Islam : Perubahan dan
Identiti, c.1, Malaysia : Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.Dinukil daripada al-Zahabi
dalam kitab al-Tib.

Afzalur Rahman ( 1980 ), Islam Ideological and The Way Of Life, Singapura : Pustaka
Nasional Pte Ltd., h. 78.

S. Abul Hasan Ali Nadwi (1976), The Four Pillars Of Islam. Mohammad Asif Kidwai ( terj.),
c.2, Lucknow: Academy of Islamic Research and Publication., h. 42

Dr ‘Abd Allah bin Muhammad bin al-Tayyar (2005) al-Solat, c.11, al-Riyad : Madar al-
Watan Li al-Nasyr, h. 22. Sila lihat dalam kitab yang tentang perbahasan rahsia kebanyakan
orang yang mengerjakan solat tetapi tidak mendapat kesan dalam akhlak mereka.Ibid., h.23.

Che Zarrina Sa’ari ( 2001 ), “Penyakit Gelisah (Anxiety / al-Halu’ ) Dalam Masyarakat Islam
dan Penyelesaiannya Menurut Psiko-Spiritual Islam” Jurnal Usuluddin, Bil.14, Disember
2001, h.19-20.

Che Zarrina Sa’ari ( 2001 ), “Penyakit Gelisah (Anxiety / al-Halu’ ) Dalam Masyarakat Islam
dan Penyelesaiannya Menurut Psiko-Spiritual Islam” Jurnal Usuluddin, Bil.14, Disember
2001, h.21. Lihat pada muka surat yang sama bagi perbahasan lebih mendalam akan hal ini.

Afzalur Rahman ( 1980 ), Islam Ideological and The Way Of Life, Singapura : Pustaka
Nasional Pte Ltd., h. 98.
Mahmud Syaltut (1987), al-Islam Aqidah Wa Syariah, c.14, Beyrut-Lubnan : Dar al-Syuruq,
h.83

Fatimah Ibrahim et al (2009), Solat kebaikan dari Perspektif Sains, Kuala Lumpur: Universiti
Malaya, h. 27

Anda mungkin juga menyukai